Friday, 23 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Para Sahabat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.











”Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Para Sahabat”


















BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah syukur dengan rahmat-Nya, kini kita dipertemukan lagi, walaupun dalam situasi yang berbeza, dengan rahmat-Nya kita masih bernafas menghirup udara kurniaan Allah SWT yang begitu banyak nikmat kepada kehidupan kita, dengan rahmat-Nya juga hari ini kita semua dapat satu lagi perkongsian ilmu berkenaan dengan pembahagian pentafsiran Al-quran Nur Karim. InsyaAllah.




Adakah kita sedar akan rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita?



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Ingatlah!



Dengan rahmat Allah SWT, kita semua dipermudahkan untuk mencari ilmu-ilmu Allah SWT walaupun pada awalnya kita tidak menjangkakan ia berlaku. Dengan rahmat dari Allah SWT juga, kita dimasukkan ke dalam syurga-Nya.



Mengapa saya mengatakan sedemikian?



Kalau dilihat dari sudut pandangan mata hati kita, dan ia juga diperakui dan disepakati malahan tiada keraguan mengenainya, dapatlah ditamsilkan bahawa masuknya kita (orang-orang beriman) ke dalam syurga adalah kerana Rahmat dari Allah SWT. Kalau hendak dihitung segala amalan kebaikkan dan pahala-pahala amalan kita semua, sememangnya tidak tergapai akan diri kita untuk memasuki syurga-syurga Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia sekarang ini yang penuh dengan pelbagai karenah dosa dan noda yang melimpah sehingga menyebabkan manusia setiap hari digelumbangi dengan dosa-dosa kemaksiatan. Inilah hakikatnya pengertian Rahmat kurniaan Tuhan kepada sekelian alam. Maka dengan itu janganlah kita kufur dengan nikmat Rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Senantiasalah berdoa dan memohon agar rahmat-Nya senantiasa di samping kita sehingga ke hari kiamat. Janganlah kita menjadi seperti orang-orang kafir yang senantiasa diberikan rahmat oleh Allah SWT kepadanya tetapi tidak pernah bersyukur akan nikmat-nikmat tersebut, walaupun ia tahu malahan mengetahui darimananya nikmat rahmat itu ia perolehi.






Firman Allah SWT :


Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (Surah Yunus – Ayat 31).



Perlu diingati juga, artikel saya bukanlah berkenaan dengan rahmat Allah SWT, tetapi seperti biasa ia adalah satu mukadimah Aqidah dan Iman yang sering saya bawakan untuk peringatan diri saya dan anda semua untuk dijadikan pedoman yang ibrah bagi mengharungi kehidupan di dunia ini agar tidak lupa kepada syariat Allah SWT. Iman itu mutiara saudara. Malahan iman itu sebenarnya lebih dari mutiara. Maka dengan itu yakinlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.





Sahabat r.a adalah mereka yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW dan sempat melihat penurunan wahyu ke atas Baginda SAW. Oleh itu, mustahil berlaku penyelewengan dan pembohongan daripada mereka. Bahkan, merekalah paling memahami isi kandungan Al-quran berbanding generasi selepasnya kerana Al-quran diturunkan menurut bahasa mereka.



Selain itu juga, antara sebab ‘Nuzul’ (penurunan) ayat Al-quran sebahagiannya menepati permintaan dan perkataan sahabat r.a seperti Hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.h dan Imam Muslim r.h bahawa Umar Bin Al-Khattab r.a berkata :


“Allah bersetuju dengan pendapat yang aku ajukan kepada Nabi SAW pada tiga pekara (lalu Allah menurunkan ayat Al-quran untuk membenarkan pendapatku itu).” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim r.h).



Antara tafsir paling utama digunakan dalam memahami ayat-ayat Al-quran ialah tafsir para Sahabat seperti tafsir Ibn Abbas r.a, Tafsir Ibn Mas’ud r.a dan selain daripada mereka berdua. Ini kerana mereka banyak mempelajari dan mendapat Hadith berkaitan pentafsiran ayat Al-quran. Ulama terdahulu dan terkemudian bersepakat bahawa tafsir mereka berdua antara tafsir yang paling agung. Di sini juga saya akan cuba bawakan pembahagian pentafsiran ayat-ayat Al-quran melalui pendapat para sahabat-sahabat r.a sebagai rujukan dan panduan untuk sama-sama kita kongsikan.



Firman Allah SWT :


Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha – Ayat 5).



Al-Hafiz Ibn Hajar r.h telah menyatakan di dalam Kitab Fath Al-Bari :


“Dinukilkan daripada Imam Al-Barawi r.h dalam kitab tafsirnya, iaitu Tafsir Al-Barawi : Ibn Abbas menegaskan kebanyakan ahli tafsir berpendapat bahawa makna “Istiwa’ ” ialah kedudukan paling tinggi. Dikuatkan lagi dengan riwayat yang dinukilkan oleh Ummu Salamah r.a, Rabi’ah dan lain-lain mengenai thabitnya perbuatan Allah berada di atas Arasy.”



Imam Malik r.h berkata :


“Makna perkataan istiwa’ memang dapat difahami (jika menurut istilah bahasa Arab). Cuma keadaan cara bagaimana Dia beristiwa’ tidak dapat dibayangkan oleh akal. Oleh itu, mentaqrirkan (percaya) sepenuhnya dalam hati (tanpa bertanya caranya) adalah termasuk keimanan dan menafikannya adalah kufur.” (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, jilid 13, muka surat 406).



Saudara dan saudari yang dimuliakan dan dikasihi Allah SWT.



Saya akan cuba bawakan lagi contoh pentafsiran Al-quran melalui pendapat para Sahabat r.a pada ayat Al-quran yang berikutnya.



Firman Allah SWT :


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah An-Nisa’ – Ayat 43).



Ibn Kathir r.h telah menegaskan dalam kitab tafsirnya, iaitu ‘Tafsir Al-quran Al-Azim’ seperti berikut :


“Mengenai maksud perkataan ‘sentuh dalam ayat di atas, dinukilkan beberapa pendapat Ibn Abbas r.a. Menurut ibn Abbas r.a : Kalimah ‘kamu bersentuh’ di dalam ayat bermaksud ‘bersetubuh’ . Tambahnya lagi : Kalimah ‘sentuh’, ‘pegang’ atau ‘ciuman antara dua bibir’ dalam ayat Al-quran adalah bermaksud jimak. Allah berhak menukarkan dengan kalimah yang berbeza-beza menurut kehendak-Nya.”



Selain itu, Ibn Kathir r.h juga telah mendatangkan jalan riwayat lain yang sampai kepada Ibn mas’ud r.a katanya :


“Menurut Ibn Mas’ud r.a, kalimah tersebut bukan bermaksud jimak (bersetubuh) tetapi ia bermaksud sentuh selain daripada jimak.”



Ibn Kathir r.h berkata :


“Ibn Jarir Al-Tobari r.h menegaskan bahawa kedua-dua pendapat itu boleh digunakan pakai. Cuma ayat di atas sebenarnya memang bermaksud jimak (bersetubuh). Pada keadaan lain, kalimah tersebut bermaksud sentuh atau pegang secara umumnya boleh digunakan dengan pelbagai makna. Pendapat ini paling tepat kerana terdapat riwayat daripada Nabi SAW bahawa Baginda sendiri mencium salah seorang daripada isterinya lalu terus keluar untuk mengerjakan solat tanpa memperbaharui wuduk.” (Sila rujuk Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, muka surat 205).





Saudara-saudari faham tidak dengan penjelasan yang telah saya bawakan ini.



PERINGATAN!


Apabila pentafsiran ayat Al-quran dan Hadith berlawanan dengan pendapat para Sahabat atau Tabi’in, kita hendaklah menerima kedua-dua pendapat itu. Jika sebaliknya, kita wajib mendahului tafsir yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW berbanding tafsir lain. Ini adalah kerana, Baginda SAW lebih mengetahui maksud sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT.



Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Hujurat – Ayat 1).



Ibn Kathir r.h berkata :


“Apa yang dimaksudkan dengan ‘jangan kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya’ adalah jangan kamu mendahului pendapat dan perbuatan sebelum Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukumnya.”



Saudara dan saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Oleh yang demikian, pembahagian pentafsiran mengikut kaedah para sahabat adalah salah satu tatacara yang bertepatan dengan suruhan Rasulullah SAW kepada umatnya. Janganlah kita mengambil mudah akan hakikat ini, sehinggakan ada sesetengah kita yang tidak memperakui Sahabat-sahabat Baginda SAW yang turut menyumbang akan masa dan tenaga mereka bersama-sama Nabi SAW dalam memertabatkan agama Allah SWT. Janganlah kita juga menjadi seperti Ahli Kitab (yahudi dan nasrani) yang sering membuat fitnah terhadap Nabi SAW dan para Sahabat r.a. Lebih malangnya lagi fitnah-fitnah tersebut dipanjangkan lagi selepas kewafatan Baginda SAW dan para Sahabat r.a sehinggalah ke hari ini. Sebagai contoh yang boleh kita lihat adalah golongan ‘Syiah’, ‘Rafidlah’, ‘Murjiah’ dan sebagainya. Golongan tersebut adalah golongan yang sesat dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malahan dengan itu juga golongan ini sebenarnya tidak mengiktiraf langsung Nabi SAW dan Sahabat-sahabat Baginda SAW. Mereka juga sanggup mengeluarkan fahaman-fahaman songsang dan zalim yang bermotifkan ‘keperibadian’ pemimpin-pemimpin mereka. Lebih malangnya lagi, ada di kalangan kita yang sanggup terimanya secara rawak, walaupun pada hakikatnya semua orang tahu bahawa golongan ini adalah golongan yang sesat dari jalan Allah SWT.






Kembalilah kita semua ke jalan Allah SWT!



Janganlah kita semua terpesong dengan hasutannya. Kembalilah kita semua kepada Sunnah SAW dan Kitabullah dengan sebenar-benar takwa!



Allah SWT adalah tempat yang kita tuju!



Perkasakan lagi Iman kita terhadap-Nya!



Bangkitlah sekelian rakan-rakanku dari lena yang dibuai oleh syaitan-syaitan laknatullah!



Persiapkan diri dengan segala ‘bekalan’ untuk menghadapinya di sana kelak!



Ingatlah!



Syaitan dan Iblis itu sebenarnya adalah musuh-musuh utama kita!



Ia tidak mampu, jika kita semua benar-benar beriman dan ikhlas terhadap Allah SWT!



Ingatlah janji Allah SWT ini!



Firman Allah SWT :


“Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ibrahim – Ayat 22).



Saya berpesan pada diri saya dan anda semua yang hadir bagaikan mutiara di sini agar kembalilah kita semua kepada syariat Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takutlah kita semua akan seksaan-seksaan yang telah Allah SWT janjikan kepada mereka yang kufur dan takutlah kita semua akan azab-azab Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Dunia ini adalah satu persinggahan, tempat ujian segala amalan-amalan kita dan tempat untuk kita dekatkan lagi dengan Allah Azza Wa Jalla. Cintailah Allah SWT, ikutlah Rasulullah SAW, genggamilah Islam dengan erat, agar tidak boleh di cerai-beraikan oleh musuh-musuh Allah SWT. AllahuAkbar!



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails