Tuesday, 19 January 2010

Antara Iman Dan Taklid.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Alhamdulillah, Syukur ke hadrat-Nya, dilimpahi dengan nikmat dan hikmah bagi seluruh alam semesta. Ucapan Alhamdulillah sudah memadai dengan keyakinan dalam diri bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan semesta alam. Tidak perlu gusar dan gundah untuk ‘berebut-rebut’ Allah s.w.t kerana Allah s.w.t itu Wujud, dan Allah s.w.t itu adalah Tuhan untuk seluruh alam semesta ini. Tumbuhan, haiwan, manusia, alam cakrawala dan sebagainya adalah milik Allah s.w.t. Dan Tuhan kita adalah Esa, iaitu Allah s.w.t yang mentadbir seluruh alam ini mengikut kehendak-Nya.


Iman itu percaya dan yakin, dan Islam itu pula menyerah dengan segala senang hati dan rela, timbulnya ialah setelah akal itu sendiri sampai kepada hujung perjalanan yang masih dapat dijalaninya. Oleh sebab itu maka bertambah tinggi perjalanan akal, bertambah banyak gerbang pengetahuan yang dipakai, pada akhirnya bertambah tinggi pulalah martabat Iman dan Islam seseorang.


Sabda Nabi s.a.w :

“Agama itu ialah akal. Dan tidak ada agama pada orang yang tidak berakal”


Maka dengan itu juga Iman atau Islam yang hanya dipusakai atau hanya dikerjakan kerana turut-turutan, belumlah tentu kesempurnaannya. Meskipun bagaimana teguhnya mereka memegang segala asas agama, maka pegangan itu mudahlah terlepas atas sebab pertahanannya tidak ada di dalam lubuk kesedaran jiwanya sendiri.


Sebagai contoh yang hendak saya digambarkan di sini seumpamaannya orang-orang dari desa (kampung) di dalam masyarakat mereka yang agama telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, tetapi tiba-tiba ia berpindah ke kota. Maka kian sehari kian tanggal dan tinggallah agama itu daripada dirinya, kerana keadaan sekitarnya yang berubah secara mendadak daripada yang dipergaulinya dahulu. Dan agama yang dikejarkan hanya kerana turut-turutan (Taklid), amat takut akan ujian akal. Lantas ia murka, dan menuduh ‘keluar dari Agama’.


Dengan itu disimpulkan, diertikan dan ditafsirkan bahawa yang maksud dengan perkataan “Aku percaya dan Aku menyerah dengan segala senang hati” adalah ucapan serta merta (spontan) yang keluar dari lubuk jiwa manusia setelah diajukan sendiri mempergunakan akal dan fikirannya, sampai selanjutnya mungkin. Akhirnya bertemulah dia dengan suatu akhir perjalanan yang akal tidak dapat memberi keputusan lagi, sebagaimana yang telah saya terangkan di awal tadi.


Apa sebab dia tidak dapat memberi keputusan?


Dia hendak mencari keputusan apa yang dikatakan benda!. Padahal dia adalah hidup dalam lingkungan benda itu sendiri!. Padahal dia pun benda!. Dan dia hendak mencari apa dan siapa Zat yang mengatur benda. Padahal mencari dirinya sendiri pun akal itu tidak tahu!.


Saya tertarik dengan seorang tokoh pujangga Jerman yang mahsyur ketika itu iaitu Goethe. Beliau berkata :

“Jika begini yang dikatakan Islam, mengapa aku tidak masuk ke dalam golongan seorang Muslim?”.


Lantaran itu dilanjutkan lagi, bagi memperlihatkan kebenaran,

“Ya Rasulullah s.a.w, tunjukkanlah dan ajarkan daku tentang agamamu iaitu Islam kepadaku”

(Saiyidina Umar Al-Khatab r.a)


Dan lagi.

“Aku mencari ribuan ketenangan dalam hidup, akhirnya aku menemui Islam”

(Yusuff Islam).


Dan mungkin pula orang-orang yang telah mengakui dirinya Islam, Umat Islam dan ibu bapanya Islam, hidup dalam masyarakat Islam, harus memeriksa kepercayaan itu kembali, sebab sudah terlalu jauh dilihat terkeluar dari asasnya. Kepercayaan itu sebenarnya dilihat sering berlegar-legar ke suatu arah tanpa tuan yang empunya. Keyakinan tersebut sering disalah ertikan antara ‘Percaya’ (Iman) dengan ‘menurut sajalah’ (Bebalisme).


Iman adalah pendapat sendiri, di dalam perjalanan hidup mencari kebenaran, iaitu kesungguhan yang tidak pernah berhenti dan jemu sehingga insaf kelemahan diri di hadapan Kebesaran Yang Maha Besar. Manakala ‘percaya sajalah!’ adalah menurut dengan membuta-tuli apa yang telah dikatakan orang lain, atau apa yang diterima dari guru, sehingga akal sendiri menjadi beku dan kaku. Setelah timbulnya kekakuan dan kebekuan tersebut, maka membeku pulalah kefahaman agama dan tidak bercahaya sinarnya. Itulah yang bernama ‘Taklid’. Dengan itu diertikan bahawa ‘Taklid’ itu sebenarnya musuh kemerdekaan Akal!.


Akal yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t, Tuhan Semesta Alam, telah disalah ertikan, diperlakukan, ditujukan dan dipraktikkan kepada arahtujuan kemungkaran, maka akan timbul pula satu sifat untuk ‘Penafian’ terhadap Maha Agung. Ini lumrah apabila manusia itu bersifat makhluk dan benda!. Padahal kita disebenarnya tahu dan lebih tahu dari makhluknya yang tidak berakal. Benarlah kata-katanya Islam itu untuk yang berakal. Akal itu menafikan kebathilan. Adakah saya orang yang berakal?. Adakah anda juga orang yang berakal?. Tanya Iman. Allahu Akhbar!.



Saturday, 16 January 2010

Golongan Manusia Di bawah Naungan Allah Di Padang Mahsyar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah syukur kehadrat-Nya kita bertemu kembali melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan muslihat dan fitnah duniawi yang mencabar keimanan dan ketaqwaan kita. Berbekalkan Iman dan Taqwa itu juga menjadikan diri kita lebih hampir kepada Allah s.w.t. Dekad kini, ramai yang terlupa malahan sengaja melupakan bahawa kita sebenarnya pasti akan menuju ke sesuatu tempat yang abadi yang hadir mengikut kehendak dan ketentuan dari-Nya. Dunia yang hampir uzur, dihuni gelagat manusia berlumba-lumba mencari kepuasan hidup bagi memenuhi nafsu yang tiada penghujungnya. Setiap saat roh kita merintih, meraung dan mendesak agar ia dilepaskan untuk mengelakkannya lebih lama terjerumus dalam jasad yang tidak henti-henti melakukan kemaksiatan kepada Allah s.w.t. Sedarkah kita akan hakikat ini?.




Kita berbangga dengan koordinasi sistem pendidikan yang menarik dan ulung meliputi dengan universiti, kolej, sekolah pendidikan menengah, sekolah pendidikan rendah dan pendidikan asas bimbingan kanak-kanak yang memuaskan dan yang terbaik dikalangan Negara membanggun. Sehinggakan setiap negeri di Negara kita mempunyai pelbagai pusat pendidikan yang mengajak manusia agar menimba ilmu untuk menjadikan manusia itu lebih berpengetahuan dan bertamadun. Tetapi pada hakikatnya kita terlupa dan semakin melupakan bahawa koordinasi sistem pendidikan itu kekurangan pendidikan rohaniah bagi mendidik hati-hati manusia yang telah dan akan rosak akibat dari perbuatannya sendiri. Kita terlupa bahawa sistem pendidikan pembaikpulihan pengurusan rohaniah itu perlu ada bagi melancarkan atau meneutralkan kembali sistem kehidupan kita yang semakin hari semakin membimbangkan. Begitu juga halnya dalam soal pembanggunan koordinasi sistem kesihatan. Kita bangga mempunyai hospital yang bertaraf moden dan maju, dengan sistem terkini yang diambil dari Negara barat yang membolehkan setiap pesakit itu dirawat dengan cara yang amat mudah dan cepat. Tetapi pada hakikatnya juga, kita terlupa untuk merawati pesakit hati manusia yang semakin hari semakin membinggungkan. Walaupun banyaknya pusat rawatan jasad manusia seperti ‘tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan’, namun penyakit hati seperti sombong, bongkak, takabur, dengki, dan seribu satu penyakit iblis ini sukar untuk kita rawat dan ubati. Ini adalah realiti yang patut kita kongsikan bersama. Realiti sebuah sketsa kehidupan manusia di alam fana ini.


Sebagaimana yang telah kita perbincangkan sebelum ini, bahawa mempercayai alam-alam ghaib itu adalah wajib kita sematkan dalam diri kita. Di samping itu juga, keyakinan kita terhadap alam kubur dan hari kiamat itu memperlihatkan bertapa teguh dan mantapnya iman seseorang itu tentang apa yang telah Allah s.w.t nyatakan dalam Kalam-Nya. Sebagaimana juga yang kita ketahui umum, ketika di padang mahsyar kelak, keadaannya cukup berbeza sekali jika hendak digambarkan ketika berada di dunia ini. Seluruh makhluk yang berada di padang mahsyar nanti akan merasakan kepanasan yang cukup memeritkan. Ini juga digambarkan bahawa keadaan matahari ketika itu hanya berada sekitar satu jengkal dari paras umbun-umbun kepala kita. Bahkan ketika itu juga kelihatan peluh mencurah-curah keluar dari tubuh manusia sehinggakan seluruh tubuh manusia ketika itu ditenggelami dengan peluh yang meloyakan.


Dari Umar Al-khatab r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda :

“Sesungguhnya matahari itu dekat pada hari kiamat, sehingga keringat (peluh) seseorang itu hampir paras setengah telinganya”

(HR Imam Bukhari dan Muslim r.a)


Dari Abu Hurairah r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda :

“Akan berpeluh orang-orang di hari kiamat hingga mengalir peluh mereka di atas tanah tujuh puluh hasta, dan tenggelam mereka dalam peluhnya sampai kemelut dan telingganya” (HR Imam Bukhari dan Muslim r.a)


Ia juga bergantung kepada amalan kita ketika di dunia dahulu, jika kita kufur dan ingkar atas arahan-Nya, maka ketika itu kita diazabkan dengan peluh yang melemaskan. Sabda Nabi s.a.w dari Al-Miqdad r.a :


“Maka ketika itu manusia akan mandi peluh menurut amal perbuatannya, maka di antara mereka ada yang peluhnya hanya sampai ke kaki, dan ada yang sampai ke lututnya serta sebahagian dari mereka tenggelam dalam peluh sampai ke mulutnya. Rasulullah s.a.w sambil berisyarat dengan tangannya ke mulutnya” (HR Imam Muslim r.a).


Ketika itu manusia kian gelisah, takut dan resah dengan apa yang berlaku, kalau dahulu ketika di dunia, saat getir itu kita boleh melarikan diri darinya melalui undang-undang, rasuah dan sebagainya, tetapi ketika di padang mahsyar kelak, manusia tidak boleh dan tidak akan dapat melarikan diri walaupun usaha tersebut dilakukan berkali-kali ketika itu. Inilah gambaran yang hendak Allah s.w.t perlihatkan kepada kita tentang kekuasaan-Nya terhadap apa yang telah dijanjikan oleh-Nya.


Firman Allah s.w.t :

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Ke manakah hendak melarikan diri?. Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan!” (Surah Al-Qiyaamah – Ayat 10 & 11).


Walaupun demikian, tidak semua manusia itu menerima azab dari Allah s.w.t, ia bergantung kepada amalan-amalan kita ketika di dunia dahulu. Jika kita patuh akan perintahnya, maka Allah s.w.t akan memberi rahmat yang tidak disangka-sangka ketika itu. Allah s.w.t akan memberi naungan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya ketika di padang mahsyar kelak. Ia merupakan satu rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang tidak putus-putus mengigati-Nya ketika dunia dahulu. Di antara hamba-hamba-Nya yang akan mendapat perlindungan dari-Nya telah dinyatakan dalam Hadith Shahih Imam Bukhari dan Muslim r.a. Hadith ini dari Abu Hurairah r.a yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :


“Tujuh orang yang akan berada di naungan Allah s.w.t dengan rahmat-Nya pada hari yang tiada naungan selain dari naungan-Nya”

1) Pemimpin, Penguasa dan Imam yang adil.

2) Orang yang ketika zaman remajanya kuat melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.

3) Orang yang hatinya sering bertaut kepada rumah Allah.

4) Orang yang saling berkasih, bertemu dan berpisah kerana Allah s.w.t

5) Orang yang digoda oleh wanita untuk melakukan maksiat tetapi ia menolaknya kerana takutnya ia pada Allah s.w.t

6) Orang yang suka bersedekah kemudian disembunyikan, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya.

7) Orang yang selalu mengigati Allah s.w.t dengan berzikir sehingga kedua matanya menitiskan air mata.


(HR Imam Bukhari dan Muslim r.a).


Oleh yang demikian, ketujuh golongan manusia itu akan mendapat naungan Allah s.w.t ketika di padang mahsyar kelak. Ini adalah pekara benar, kejadian yang akan berlaku ketika di sana kelak. Hadith tersebut menyatakan bahawa golongan tersebut mendapat naungan dan rahmat dari Allah s.w.t, tetapi kita tidak dapat mengenal pasti naungan yang macammanakah di maksudkan itu. Ini termasuk dalam pekara-pekara yang ghaib, di mana seorangpun tidak dapat mengetahuinya dan mengambarkannya melalui pancaindera kita. Hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui hakikat yang sebenar.


Maka dengan itu, setelah apa yang telah digambarkan sebentar tadi, renungilah diri kita amnya, adakah kita tergolong di dalam golongan yang dimurkai Allah s.w.t atau adakah kita adalah golongan yang berada di naungan dan rahmat-Nya. Kalau dahulu undang-undang adalah tempat kita berlindung dan berselimut untuk menyelamatkan diri kita ketika di dunia, tetapi apabila di hari Kiamat nanti, tiada satupun undang-undang tersebut dapat menyelamatkan kita kecuali undang-undang Allah s.w.t. Segala perbuatan kita kelak akan diperlihatkan dengan adil di hadapan Allah s.w.t. Setiap pancaindera dan seluruh anggota badan kita kelak adalah saksi utama dalam perbicaraan kita di hadapan Allah s.w.t sambil disaksikan oleh para malaikat, Nabi dan Rasul-Nya. Pada ketika itu juga, tiada istilah pangkat dan kedudukan yang dapat menolong kita, hanya Iman dan Taqwa sahaja dapat menyelamatkan kita dari kemurkaan Allah s.w.t. Padang mahsyar adalah tempat pengadilan manusia, saat itu kita hanya memikirkan tentang diri sendiri, tiada sesiapa yang dapat membantu kita kelak kecuali amalan-amalan pahala kita ketika di dunia dahulu. Ini adalah realiti, satu peristiwa yang wajib kita percayai dengan semaksimanya. Tiada hujah-hujah yang konkrit yang menyatakan bahawa setelah matinya seseorang, maka berakhirnya episod sebuah riwayat hidup.


Ingatlah, kita adalah umat yang terakhir yang akan menuju ke alam akhirat. Kita adalah umat sebaik-baik umat dari kalangan umat terdahulu. Tetapi kita adalah umat yang di dahulukan oleh Allah s.w.t untuk di adili berbanding dengan umat-umat terdahulu. Nabi s.a.w sepanjang hidupnya senantiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar umatnya dilindungi dan dirahmati. Tetapi kita masih lagi tidak segan silu melakukan pengkhianatan terhadap Baginda s.a.w. Pernahkah kita terfikir, kenapakah Allah s.w.t menghantarkan Nabi dan Rasul-Nya untuk manusia?. Manusia itu punyai jasad dan roh (pekara ini telah kita bincangkan dalam posting saya yang lalu, “Hati itu…bahagian satu dan dua) jasad itu sebenarnya kita yang kelolakan untuk memacukan kehidupan kita mengikut keizinan dari-Nya, tetapi roh itu merupakan satu jisim yang sukar untuk kita menjaganya. Maka Allah s.w.t menghantarkan Nabi dan Rasul-Nya untuk memberi rahmat kepada roh-roh kita agar kembali kepada landasan yang betul mengikut syariat-Nya. Jika kita kianati Nabi dan Rasul Allah s.w.t ini, maka sebenarnya kita telah menuju satu jalan yang amat sempit dan sukar iaitu jalan menuju kemurkaan Allah s.w.t.


Ambillah masa untuk kita bertafakur dan merenungi diri kita akan hakikat ini. Renungilah sedalam-dalamnya tentang apa yang telah kita lakukan hari ini, semalam, seminggu lepas, sebulan lepas, setahun lepas dan seabad lepas. Ingatlah dunia ini adalah tempat untuk ujian. ujian keimanan dan ketaqwaan kita terhadap Allah s.w.t. Ujian untuk meletakkan diri kita berada di neraka atau syurga Allah kelak. Maka dengan itu bangkitlah wahai saudara, saudari sekelian. Mantapkanlah lagi Iman dan Taqwa kita terhadap-Nya. Jangan biarkan diri kita, keluarga kita dimamah dan dijilat api neraka. Perbaharuilah lagi Iman kita agar ‘di sana’ kelak kita bersama-sama dengan Nabi dan Rasul-Nya. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!


Wednesday, 13 January 2010

Golongan Manusia Yang Dimurkai Di Padang Mahsyar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah dengan limpah-Nya, kita bersua kembali mengharungi kehidupan fana ini yang mencabar dan tercabar. Begitu sinonimnya, ketika ini kemelut pencerahan Pengunaan Kalimah Allah kian terungkai satu demi satu. Segala tipu muslihat ahlil kitab kian terserlah kebodohannya sehingga sanggup mengunakan undang-undang mereka untuk ‘memaksa’ masyarakat Islam agar patuh atas desakkan mereka. Umat Islam bukan Umat yang mudah untuk diperlekehkan dengan undang-undang buatan manusia yang palsu. Walaupun kita kenal malah patuh dengan undang-undang tersebut, tetapi dalam soal melibatkan Agama Islam, lantas segenap Umat Islam bersatu bangun menentangnya dengan lantang. Walaupun ada minoritinya golongan pemimpin kita yang bersetongkol dengan mereka, namun jihad tersebut tidak pernah luntur dalam hati-hati kita terhadap Islam. Begitulah kuatnya masyarakat Islam kita hari ini, walaupun golongan belianya hampir hancur dan musnah akibat propaganda barat yang mendengkelkan. Ini semua adalah ketentuan dari Allah s.w.t untuk menguji sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Bagi yang mengagungkan pemimpin-pemimpin yang mengelarkan diri mereka seorang pejuang, Nah! Kini kamu akan melihatnya sendiri apabila sentimen Kalimah Allah ini dimainkan oleh ahlil kitab, sejauhmana ia digelar sebagai pejuang Islam. Fikirkan!.


Buat pengetahuan kita semua, mengikut kajian awal sejarah ketamadunan Masyarakat Melayu adalah bangsa yang telah Allah s.w.t jadikan Islam itu agama tunggal sejak dari awal ia wujud lagi. Tiada bangsa dalam dunia ini yang Allah s.w.t jadikan ia satu bangsa dengan satu agama. Kadangkalanya pula satu bangsa dengan pelbagai etnik agama. Lihat sahaja bangsa China, mereka mempunyai banyak agama dalam satu bangsa, begitu juga dengan bangsa India, yang mempunyai banyak anutan agama dalam bangsa mereka, Bangsa Barat, amnya adalah bangsa yang mempunyai paling banyak beragama tidak terkecuali juga Bangsa Arab, ia juga merupakan bangsa yang banyak menganuti agama selain dari Islam, dan semua bangsa-bangsa di dunia ini mempunyai pelbagai agama dalam satu bangsa kecuali Bangsa Melayu. Masyarakat Melayu amnya sinonim dengan agama Islam. Jarang kita dengar masyarakat melayu beragama selain dari Islam. Kalau adapun ketika dahulunya ia adalah keturunan dari kalangan masyarakat beragama Islam juga. Lihat sahaja masyarakat Melayu Champa di Kemboja, Yala, Pattani, Narathiwat, Myanmar, Laos, Segelintir di Vietnam, di Afrika Selatan, di India, di China dan seluruh pelusuk dunia ini. Rata-ratanya adalah dari beragama Islam. Ini adalah ketentuan Allah s.w.t yang menaikkan bangsa Melayu itu dengan Islam. Saya tidak beranggapan bahawa masyarakat Melayu itu bagus dalam setiap semua bangsa di dunia ini, tetapi apa yang saya hendak perlihatkan di sini adalah tentang hakikat kepada mereka-mereka yang masih lagi samar-samar malah masih lagi mengagungkan bangsa luar dan agama selain dari Islam itu satu ikutan tanpa merujukpakai kepada kebenaran. Inilah realitinya apabila segelintir bangsa Melayu yang masih tidak segan silu mencedok budaya luar serta menganuti agama selain dari Islam tanpa mengetahui asas sebenar bahawa Islam itu telah sebati dalam masyarakat kita. Pekara inilah yang dibimbangi kita dekad ini, memertabatkan bangsa Melayu tetapi kesucian Islam itu dipandang remeh, dan hanya mempraktikkan ajaran Rasulullah s.a.w itu hanya pada tempat-tempat ibadah sahaja dan pekara-pekara asas dalam Islam. Kalau tidak berlakunya semua ini, mana mungkin timbulnya golongan murtad di kalangan warga Melayu hampir mencecah kepada 200.000 orang, serta mana mungkin fail pertukaran agama Islam kepada agama lain semakin hari semakin membimbangkan di pejabat-pejabat jabatan Islam berkanun. Ini adalah suatu pekara yang benar yang perlu kita sama-sama pertanggungjawabkan kelak. Maka dengan itu, pertahankanlah kesucian Islam itu demi menjamin keredhaan Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.


Kita hentikan buat seketika berkenaan dengan itu, kita teruskan apa yang telah saya war-warkan di tajuk utama saya. Ini juga berkaitrapat dengan santapan Aqidah dan Iman kita khasnya. Percaya dan yakin bahawa wujudnya hari kiamat dan hari pembalasan itu wajib tersemat di dalam diri kita. Ahlil Kitab menyatakan bahawa apabila manusia itu mati kelak, tiada penghidupan selepas itu. Dan dunia ini juga adalah tempat untuk bersenang-lenang menikmati kemewahan duniawi. Sangkaan itu sama sekali meleset, setiap manusia itu pasti dibangkitkan kelak. Dibangkit dan dihitungkan amalan-amalan semasa berada di dunia. Ini adalah teras kepercayaan kita bahawa kehidupan dunia ini adalah tempat untuk mengumpul amalan sebanyaknya bagi bekalan hari akhirat kelak. Jika kosong amalan tersebut, maka kosong juga syafaat kita di hari kebangkitan kelak. Maka dengan itu fakir-fikirkanlah sesuatu untuk kita amnya, sejauhmana langkah kita setakat ini, adakah ia lurus atau ia bersimpang siur?.


Saya tertarik dengan sebuah kitab iaitu “Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi” karya Asy-Syaikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani. Kitab ini bagus untuk kita semua baca dan miliki. Kadangkalanya penerangan dari penulis ini sedikit sebanyak menginsafkan diri seseorang. Penulis mengajak para pembaca kitabnya agar mentauhidkan syariat Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t merahmati penulis kitab tersebut. Saya rujuk muka surat halaman 44 hingga 45. Keterangan tersebut berupakan Hadith yang telah dinyatakan oleh sahabat Nabi s.a.w iaitu Mu’adz bin Jabal r.a. Beliau bertanya kepada Nabi s.a.w, apakah yang dimaksudkan Allah s.w.t dalam surah An-Nabaa’, ayat 18.


“Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);” (Surah An-Nabaa’ – Ayat 18).


Ketika Rasulullah s.a.w ingin menerangkan kepada Mu’adz bin Jabal, lantas air mata baginda bercucuran keluar dari kelopak mata baginda s.a.w dan Beliau lalu berkata :


“Wahai Mu’adz, sesungguhnya engkau telah menyatakan sesuatu pekara yang benar!. Umatku kelak akan hadir di Padang Mahsyar dengan sepuluh golongan. Masing-masing adalah berbeza-beza keadaan rupa dan caranya. Dan Allah s.w.t telah menukar wajah-wajah mereka dan tidak akan dikembalikan lagi wajah-wajah tersebut sebagai manusia yang sempurna.” Antara golongan tersebut adalah :


Golongan Pertama.

Golongan mereka ini akan bertukar menjadi seperti seekor kera. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka mengadu domba (mencela, mengumpat) ketika di dunia dahulu.


Golongan Kedua.

Golongan mereka ini akan bertukar wajah menjadi seekor babi. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka memakan makanan dan minuman yang haram.


Golongan Ketiga.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan yang terbalik, iaitu kakinya berada di atas dan kepalanya berada di bawah. Golongan mereka ini juga adalah golongan manusia yang ketika di dunianya gemar memakan pekara-pekara atau harta-harta yang berteraskan riba.


Golongan Keempat.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mata yang buta. Golongan manusia ini juga merupakan golongan yang bathil dalam menetapkan hukum-hukum Allah s.w.t ketika berada di dunia dahulu.


Golongan Kelima.

Golongan manusia yang bertukar menjadi bisu, pekak serta tidak berakal. Golongan ini adalah ketika di dunia suka membuat dirinya riya’, mengagumi diri dan berbangga pada amalan-amalannya sendiri kepada orang lain.


Golongan Keenam.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mengunyah lidahnya sendiri, lidah tersebut terjelir keluar sehingga ke paras dada sambil mengeluarkan nanah yang menjijikkan. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka berpidato atau bercakap berkenaan pekara-pekara yang baik, tetapi hakikatnya ia tidak melakukan apa yang dikatakannya. Sebaliknya kejahatan dan kemaksiatan itu adalah rutin hariannya.


Golongan Ketujuh.

Golongan manusia yang berjalan dan dihalau dalam keadaan terpotong kedua belah tangan dan kakinya. Ini adalah golongan manusia yang suka menganggu jiran tetangganya dengan pekara-pekara yang jahat dan bathil.


Golongan Kelapan.

Golongan manusia yang berjalan dipadang mahsyar kelak dalam keadaan tersalib dipohon-pohon kurma dari neraka. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka mengajak manusia agar mengikuti dan membela pemimpin-pemimpin negara yang jelas tidak jujur dalam pemerintahannya.


Golongan Kesembilan.

Golongan manusia yang berjalan di padang mahsyar dalam keadaan badan mereka berbau busuk yang dahsyat. Mereka-mereka ini adalah golongan manusia yang suka melempiaskan nafsu syahwat mereka dan menolak hak-hak Allah s.w.t dengan tidak berzakat, bersedekah dan sebagainya ketika di dunia dahulu.


Golongan Kesepuluh.

Golongan manusia yang dipakaikan Allah dengan baju yang panas ketika di padang mahsyar kelak. Golongan mereka ini adalah ketika di dunia dahulu merupakan seorang yang sombong, bongkak dan takabur terhadap syariat Allah s.w.t.


Merujuk daripada kesepuluh golongan tersebut, maka didapati bahawa ketika itu manusia akan melalui satu saat yang genting dan getir dan Allah s.w.t membezakan manusia bergantung kepada amalan-amalan kita ketika di dunia. Ia jelas berbeza-beza perwatakan manusia pada ketika itu. Ada yang diaibkan dan ada yang muliakan Allah s.w.t. Nanti saya akan terangkan berkenaan manusia yang berada di naungan Allah s.w.t ketika di padang Mahsyar di artikel saya yang akan datang. InsyaAllah.


Di dalam Al-Quran ada menyebut bahawa, manusia ketika berada di dunia sering berpaling dari syariat Allah s.w.t. Dalam masa yang sama juga mereka sering mendustakan ayat-ayat Allah, tetapi ketika di himpunkan di padang mahsyar kelak, Allah s.w.t akan butakan mata mereka. Padahal ketika di dunia mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang buta penglihatannya. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Thaha – Ayat 124-126 yang bermaksud :


“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. (Surah Thaha – Ayat 124-126).


Dalam ketika itu juga, terdapat golongan manusia yang dihimpunkan dikalangan orang-orang yang ngeri seksaannya. Mereka adalah golongan orang-orang yang kafir di mana mereka dihalau dengan keras dan diseret-seret muka-muka mereka. Firman Allah s.w.t :


Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. (Surah Al-Furqan – Ayat 34).


Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa di himpunkan di padang Mahsyar itu benar, dan seksaan api neraka itu juga benar. Kita sebagai orang Islam wajib mempercayai dengan semaksimanya. Tiada nas-nas yang menyatakan bahawa kiamat itu satu dongengan yang direka-reka oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :


“Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.” (Surah Al-Khafi – Ayat 47).


Liku-liku kehidupan pada ketika itu hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Jika kita melihat ayat-ayat Allah dalam Al-Quran, kita dapati Allah s.w.t sengaja menjelaskan dan memperlihatkan betapa dahsyatnya seksaan api neraka kepada makhluknya yang ingkar. Sehinggakan kita sebagai manusia yang diberikan akal dan fikiran juga dapat mengambarkan seksaan tersebut melalui gambaran akal fikiran kita. Gambaran ini seolah-olah Allah s.w.t gambarkan kepada manusia agar kembali kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Tetapi ia berbeza pula dengan gambaran ketika berada di dalam syurga Allah. Sesuatu pekara yang Allah s.w.t gambarkan kepada kita, tetapi kenikmatan tersebut tidak dapat digambarkan atau ditafsirkan oleh akal-akal kita. Ini satu pertunjuk kepada kita bahawa nikmat yang Allah s.w.t janjikan itu adalah nikmat yang belum pernah kita lihat dan rasai ketika di dunia ini. Oleh yang demikian, kita masih di dalam bulan Muharam dan di awal bulan masehi, maka perbaharuilah lagi Iman kita untuk menjaminkan lagi diri kita agar tidak tergolong di dalam kalangan orang-orang yang rugi ketika di hari kiamat kelak. Kalau dahulunya kita suka melakukan pekara-pekara kemaksiatan, maka apabila melihat dan mendengar ayat-ayat Allah s.w.t, ambillah satu jalan pendekatan untuk menghampirkan lagi diri kita dengan Allah s.w.t. InsyaAllah jika ada kesempatan waktu dan ketika, saya akan menghuraikan lagi dengan lebih lanjut berkenaan dengan golongan manusia yang di bawah naungan Allah s.w.t ketika berada di Padang mahsyar. WaAllahualam.





Nota Dan Rujukan :

1- Tafsir Al-Quran Prof Dr. Hj Mahmud Yunus.

2- Kitab Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi (Karya Asy-Syeikh Abdul Wahab Asy-Syarani - Terbitan Salim Nabhan Surabaya)

3- Kitab Riyadlush Shalihin - Imam An Nawawi.




Wednesday, 6 January 2010

Kita Adalah Hamba-Nya.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir


Buat insan yang mengenal diri,

Mengenal erti gelombang kehidupan,

Mengharungi badai bergelora mendatang,

Cabaran disapa buat pedoman,

Insafilah jua berbekalkan Iman,

Bekalan hidup menuju keredhaan.


Ada yang berkata,

Akulah Firaun,

Ada yang berteriak,

Akulah Qarun,

Ada yang mengelar,

Akulah Abu Lahab,

Adakah ia cukup untuk berdepan dengan-Nya?,

Adakah ia cukup untuk menghadapi tentera-tentera-Nya?,

Adakah ia cukup untuk mengharungi neraka-Nya?,

Kelak tunduk meratap kekesalan,

Kekesalan berpanjangan dengan larut hiba,

Meminta, meraung, merayu dan mendamba,

Agar di kembalikan semula,

Agar dapat bersujud menyembah-Nya,

Agar dapat mentauhidkan Rasul-Nya,

Namun itu semua sudah terlewat,

Terlewat buat selama-lamanya,

Ingatlah…

Siapakah kita disamping-Nya?,

Kita adalah hamba-Nya,

Kita adalah hamba-Nya,


Anak-anak muda memperaga,

Tiada rasa kekesalan diri,

Tiada rasa maruah diri,

Membiarkan diri diperkuda,

Mengikut nafsu selamanya,

Membuang zuriat merata-rata,

Menjadi insan jahil noda,

Membiarkan hati kelam dosa,

Adakah kita makhluk yang terbiar?,

Adakah kita lupa syariat-Nya?,

Kianati Rasul-Nya,

Memperhujahkan Kalam-Nya,

Ragam manusia melupai diri,

Nikmat dunia disalah erti,

Kelak kamu diperhitungkan,

Bersama-sama saksi Allah,

Bersama-sama janji Allah,

Ketika itu barulah terhantuk,

Menyesal sudah tiada bererti,

Wahai insan…Insaflah..

Wahai Insan…Ingatlah..

Wahai Insan…Kembalilah..

Kerana...

Kita adalah Hamba-Nya,

Kita adalah Hamba-Nya.


Pangkat sudah,

Kedudukan sudah,

Kemewahan sudah,

Cukupkah wahai Insan?,

Cukupkah wahai maulana hadhari?,

Cukupkah wahai Ulama’ gerbang neraka?,

Cukupkah wahai Ullul Amri berselimutkan dosa?,

Cukupkah?…

Ingatlah..,

Bumi ini milik Allah,

Langit ini milik Allah,

Air ini milik Allah,

Batu ini milik Allah,

Dirimu jua milik Allah,

Apakah yang kita ada?,

Katakan...

Dimanakah destinasi terakhir kita?,

Katakan...

Wahai insan...

Renungilah diri,

Setitikpun kita tiada,

Sedebupun kita tidak terdaya,

Sesaatpun kita tidak boleh menahannya,

Lupakah kita akan semua itu?,

Lupakah kita tentang janji itu?,

Lupakah...

Lupakah...

Ingatlah wahai insan,

Kita akan dipertanggungjawabkan kelak,

Kita akan dipertanyakan kelak,

Kita akan dipersaksikan kelak,

Apakah jawapan di hadapan Maha Esa?,

Apakah cukup dengan kedudukan?,

Apakah cukup dengan kemewahan duniawi?,

Apakah cukup dengan pengikut materialisme?,

Apakah cukup dengan kroni-kroni?,

Katakanlah…

Allah Maha Besar,

Hukumlah daku atas pembohongan dan pengkhianatanku,

Aku malu berdepan dengan-Mu,

Adakah kemahsyuran duniawi dapat membantu?,

Katakanlah...

Allah Maha Besar,

Allah jualah tempatku kembali,

Allah jualah tempatku berlindung,

Allah jualah tempatku merayu,

Lupakah kita,

Sabda Rasul-Nya,

Siapakah insan yang terakhir yang dimasukkan ke dalam syurga?,

Adakah kita insan itu?,

Adakah kita punyai ciri-ciri itu?,

Katakanlah...

Allah Maha Besar,

Wahai insan…

Kita akan diperhitungkan kelak,

Diadili dengan seadilnya,

Pergunakanlah ruang waktu mentauhidkan-Nya,

Agar kita diredhai-Nya,

Kerana...

Kita adalah hamba-Nya,

Kita adalah hamba-Nya,

Allahu Akhbar!.


You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails