Friday, 19 February 2010

Holy Water?.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah, ucap syukur terhadap-Nya, menghidupkan dan memberi rahmat serta hidayah kepada kita semua bagi mengharungi kehidupan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini mengikut segala ajaran yang dibawa oleh junjungan besar kita iaitu Nabi s.a.w. kehidupan kini penuh dengan fitnah, tidak kiralah dipersekitaran kita mahupun di laman-laman siber yang pada amnya kian membimbangkan. Fitnah itu kalau kita semua tahu, dosanya lebih dahsyat dari dosa seseorang yang membunuh saudaranya sendiri. Fitnah itu tidak mengenal akan siapa mangsanya. Dengan fitnah itu juga, kadangkalanya persahabatan akan terputus, keluarga akan cerai berai, masyarakat akan berkelahi, Negara akan kacau-bilau dan berpuak-puak serta masyarakat dunia amnya akan menjadi kusut dan diselubungi dengan perasaan saling dengki mendengki, hasut menghasut dan seribu satu macam penyakit iblis yang akan muncul.


Sebagaimana juga yang telah kita semua ketahui, melalui fitnah itu juga, umat Islam akan menjadi berpecah, berpuak-puak, bersengketa walaupun hanya melibatkan pekara-pekara yang kecil. Lihat sahaja contohnya dua belas tahun yang terdahulu, kerana fitnah umat Islam Negara kita terbahagi kepada beberapa puak dan fahaman, satu berfahaman taghut, satu berfahaman firaun, satu berfahaman Qarun. Inilah realitinya masyarakat yang masih tidak kenal akan propaganda yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk memecah belahkan umat Islam di Negara kita khasnya. Prinsip ‘Pecah dan ‘Tadbir’ itu adalah propaganda yang sering dimainkan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan Negara umat Islam itu mundur dari segi, kefahaman pengetahuannya, aqidahnya, pentadbirannya, sistem pertahanannya, dan sebagainya. Kini!, bencana fitnah itu bermain lagi, dan perpecahan itu tetap akan berlaku selagimana sentimen-sentimen fitnah itu dimainkan oleh pihak tertentu untuk memperlihatkan bahawa masyarakat kita kini akan menuju lagi perpecahan yang amat dahsyat dari apa yang sebelum ini terjadi.


Kalau kita lihat, Andalusia jatuh adalah kerana ketaksuban pemimpinnya terhadap duniawi, maka apabila ia lemah, mereka dipecahbelahkan kepada beberapa wilayahnya menjadi satu wilayah yang begitu banyak pemimpin. Setelah perpecahan berlaku, maka hadirlah ideologi baru untuk memperbaharui sistem yang telah ada. Timbullah pula Ideologi Sekularisme barat mengantikan sistem pentadbiran Islam yang telah sedia ada. Ia berlaku bukan jangka masa yang singkat, tetapi perancangannya mengambil masa beratus-ratus tahun lamanya. Maka apa yang sedang kita lihat pada Negara Andalusia itu ketika ini?. Begitu juga terjadinya pada Negara Iraq khasnya. Majoriti pemimpin Islam yang berada di bumi Anbiyaa itu tidak mendapat kata sepakat, ada yang ‘Pro’, ada yang ‘Bantah’ dan ada yang ‘Berkecuali’. Tetapi pada hakikatnya mereka-mereka itu sudah lama berpecah-belah akibat dari sedikit perselisihan faham mengenai kemewahan duniawi. Inilah kebenaran masyarakat umat Islam amnya yang masih tidak mahu mempelajari, mengigati malah menteladani apa yang dikatakan ‘Pecah’ dan ‘Tadbir’ oleh pihak Ahli khitab. Ini soal aqidah yang kita semua ketahui dan jarang pula kita memahaminya dengan tertil. Kalaulah pekara yang terang-terang itu kita semua tidak dapat menghidu dan melihatnya, macamana pula hendak memperhujahkan pekara-pekara lain yang melibatkan aqidah umat Islam, sebagai contohnya soal “Holy Water”. Sesuatu pekara yang kecil, tetapi digembar-gemburkan agar menjadikan Umat Islam itu keliru. Malah ada yang terlibat dengan pekara-pekara kesyirikan terhadap Allah s.w.t. Bilalah masyarakat kita hendak membuang pekara-pekara Tahyulisme dan Bebalisme ni!.


Kalau kita semua perhatikan Holy water bukan lagi satu isu perkataan asing bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia. Walaupun jarang dilihat oleh orang ramai, namanya memang pernah didengar oleh orang ramai. Cerita mengenai holy water sudah tersebar di kalangan orang-orang Melayu sejak lebih 50 tahun yang lalu, setelah berlakunya kes murtad pertama dalam sejarah tanah air pada tahun 1950, melibatkan seorang gadis bernama Natrah.


Apabila berlakunya kes murtad kedua, ketiga, keempat dan seterusnya, cerita-cerita mengenai holy water semakin tersebar luas dengan pelbagai versi. Akibatnya holy water menjadi sesuatu yang amat ditakuti oleh orang-orang Islam, sehingga kadangkala menjadi tidak berasas. Pada hal, apalah sangat dengan holy water?. Jika benar holy water itu begitu hebat, di dalam Islam pastilah ada penawarnya. Ini sejajar dengan kemuliaan Al-Quran dan kesempurnaan Islam itu sendiri.


Jika benar holy water itu begitu hebat, orang-orang Kristian tidak perlu bersusah payah hendak memurtadkan orang Islam, sehingga terpaksa mengunakan pelbagai taktik licik lain?. Mereka boleh memasukkan holy water ke dalam minuman dan makanan yang datang dari Negara mereka dan dijual dikedai-kedai di tanah air kita dan Negara-negara umat Islam lain, habis episod orang Islam di dunia ini akan murtad.


Ternyata, realiti sebenar tidaklah begitu. Begitupun, umat Islam janganlah pula mengambil sikap terlalu mudah dengan holy water ini sehingga sanggup cuba hendak meminumnya walaupun holy water tersebut hanyalah hanya holy water biasa sahaja. Holy water bukanlah minuman untuk orang Islam. Lebih-lebih lagi ternyata di kalangan orang-orang kristian ada yang sesat, walaupun semua kristian itu sendiri adalah sesat. Mereka yang sesat itulah yang merosakkan nama dan menyalahgunakan holy water.


Namun, mengaitkan holy water dengan mudahnya orang menjadi murtad tentunya Tidak Wajar. Orang murtad kerana dia sendiri yang mahu keluar Islam, bukan kerana holy water. Selaku umat Islam, kita perlu bersikap rasional dalam hal-hal sedemikian. Dengan itu barulah kita boleh melakukan langkah-langkah wajar yang lebih konkrit bagi mengatasi masaalah murtad di kalangan umat Islam.


Justeru, orang ramai terutamanya umat Islam perlu faham dengan pekara ini. Umat Islam tidak sewajarnya mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan tanpa asas mengenai holy water. Sebaliknya, setiap umat Islam perlu memantapkan Ilmu, Iman dan mempertingkatkan amalan masing-masing dari hari ke hari. Dengan itu barulah umat Islam tidak berjaya digoyahkan Iman dan Takwanya oleh golongan anti Islam, dan menjadi umat yang benar-benar berjaya di dunia dan di akhirat serta disegani kawan dan lawan. Sama-samalah kita renunginya dengan lebih mendalam bahawa holy water itu hanyalah satu propaganda pihak kristian untuk menakut-nakutkan serta mencalitkan aqidah umat Islam. Kalaulah benar kehebatan holy water tersebut, ada lagi yang lebih hebat darinya. Siapa Dia? Allah s.w.t Maha Perkasa terhadap sekelian ciptaan dan makhluk-Nya. Lupakah kita akan hakikat itu?. Maka dengan itu perbaharuilah serta mantapkanlah lagi Aqidah dan Iman kita untuk menangkis segala propaganda yang dibawa oleh pihak tertentu untuk melemahkan umat Islam. Allahu Akhbar!.

Wednesday, 17 February 2010

Sifat Taqwa.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah, syukur dengan limpah rahmat dan hidayah dari-Nya, kita dipertemukan lagi, diberikan nafas untuk menghirup udara untuk menjalani tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh-Nya terhadap kita sebagai pentadbir dan pengurus alam ini mengikut ketentuan dan keredhaan-Nya berlandaskan syariat-syariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w untuk sekelian manusia bagi mentauhidkan Allah s.w.t.


Sabda Rasulullah s.a.w:

“Perasaan takutkan Allah merupakan sumber kebijaksanaan”


Ibnu Umar r.a sering menangis kerana takutnya Allah s.w.t. Katanya kepada orang yang memerhatikannya: “Agaknya kamu hairan melihat aku menangis? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah”


Pada suatu hari Nabi s.a.w telah melalui seorang sahabatnya yang sedang membaca Al-Quran. Apabila sipembaca tadi sampai ke ayat yang berbunyi:


“Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;” (Surah Al-Rahman – Ayat 37)


Bulu roma sipembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya: “Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang nasibku ini.” Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Tangismu telah menyebabkan para malaikat juga turut sama menangis” Jawapan yang sama telah diberi oleh Nabi s.a.w kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjudnya.


Abdullah bin Rawahah r.a telah menangis pada suatu hari ketika beribadah. Isterinya melihat keadaannya turut juga menangis bersama-sama. Lalu ia bertanya kepada isterinya: “Mengapa kamu menangis?.” Jawab isterinya : “Apa yang menyebabkan engkau menangis itulah yang menyebabkan aku menangis.” Kata Abdullah: “Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui Ash-Shirath, aku menangis.Aku tidak tahu samaada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak.”


Pada suatu ketika Zurarah bin Aun r.a sedang bersolat di masjid. Apabila ia membaca ayat:


“Kerana apabila telah ditiup sangkakala, Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar” (Surah Al-Muddaththir – Ayat 8 & 9)

Lalu ia jatuh rebah ke bumi dan meninggal dunia. Begitulah betapa taqwanya ia terhadap Allah s.w.t.


Dalam satu kisah yang lain pula, telah diriwayatkan bahawa Aishah r.a ha telah bertanya kepada Nabi s.a.w:


“Adakah di antara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?.”


“Ya,” Jawab Nabi s.a.w. “Dia ialah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah ia lakukan”


Nabi s.a.w menjawab lagi:

Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah. Titisan air mata kerana takutkan-Nya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang di jalan-Nya.”


Mengikut tafsir hadith ada tujuh jenis manusia yang dapat melindungi diri di bawah naungan Arash. Salah seorang daripada tersebut adalah orang yang menangis apabila berseorangan kerana takutkan Allah dan kerana menyesali dosa-dosanya yang telah lampau.


Umar r.a berkata:

“Kalau pada hari perhitungan diistiharkan kepada seluruh manusia, dan kecuali seorang sahaja yang akan memasuki neraka, sudah tentu dosa-dosaku akan menyebabkan aku menyangka yang simalang itu adalah aku sendiri. Sebaliknya kalau diistiharkan yang semua kecuali seorang sahaja akan memasuki syurga, sudah tentu aku akan berharap yang orang yang menjadi pilihan Allah itu adalah aku sendiri.”


Kisah umar r.a tersebut menunjukkan bertapa perlunya perasaan takut bercampur dengan harapan ini terselit di hati Umat Islam yang inginkan kebahagiaan ukhrawi. Bila menghadapi maut pula harapan akan rahmat Allah s.w.t sepatutnya melebihi perasaan takut tersebut.


Kata Nabi s.a.w:

“Tidak seorang pun yang sepatutnya mati tanpa harapan yang kuat akan rahmat Allah.”


Saya tertarik dengan sebuah kisah yang telah diriwayatkan apabila Imam Ahmad bin Hambal sedang menghadapi maut, dia mengesakan anaknya supaya menbaca Hadith-hadith Nabi s.a.w agar menekankan tentang perlunya ada harapan akan rahmat Allah s.w.t. Tetapi bagaimana pula dengan kita?.


Namun dekad kini, keadaan sungguh berbeza, pencaturan ketaqwaan yang telah dicontohi sebelum ini kian luput. Manusia seolah-olah tanpa rasa takut dan gerun terhadap kekuasaan Allah s.w.t. Ada yang sangup menafikan, melawan dan melemparkan fitnah yang berpanjangan terhadap Allah s.w.t serta Rasul-Nya. Maka tidak hairanlah juga, dilema takutkan Allah s.w.t ini sudah kian terpinggir oleh sesetengah manusia yang kononnya mengakui akan kebesaran Allah s.w.t. Lihat sahaja pada Negara kita amnya, menangis, merintih, bersedih bukan kerana kasihnya kepada Maha Pencipta, tetapi atas dasar cinta dan kasihnya terhadap populari seseorang. Lebih malangnya lagi, mereka-mereka ini datangnya dari orang-orang yang mengakui bahawa mereka itu beragama Islam. Pekara ini yang amat-amat dibimbangi kita saat ini.


Maka dengan itu, kalau dahulunya kita semasa dipersekolahan, kita sering dihidangi dengan Ilmu agama yang secukupnya, maka perkukuhkanlah ia kembali, agar ia tidak luput. Pelajarilah sejarah-sejarah ketokohan Ilmuan Islam yang terdahulu dari generasi kita, yang banyak mengajar akan erti Taqwa, agar segala ikutan yang terbaik itu terpahat dalam diri dan generasi kita. Kita bukan bangsa yang hanya mencedok dari budaya bangsa penjajah dan sekuralisme, kita adalah bangsa yang merdeka, merdeka dari segi pemikiran, tetapi bukan beerti kita merdeka, Islam itu kita ketepikan. Bukankah kita perlu berbangga dengan bangsa yang berteraskan Islam?. Islam itu adalah pemangkin kemajuan dunia dan akhirat. Jika majunya kita ‘tanpa Islam’, maka sebenarnya kita telah terpesong dari rahmat Allah s.w.t. WaAllahu a’lam. Allahu Akhbar!.




Thursday, 11 February 2010

Ketaatan Mendirikan Solat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man

yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Solat atau sembahyang merupakan salah satu rukun Islam yang terpenting dalam setiap diri seorang Muslim. Solat juga adalah ikatan benteng terakhir bagi Aqidah seorang yang mengenal Allah s.w.t. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka tiadalah lagi ikatan pertaliannya dengan Islam. Pada Hari Kiamat kelak, sepertimana yang kita semua ketahui bahawa solat itu adalah merupakan amalan yang pertama sekali diperiksa dan ditanya oleh Allah s.w.t. Bagi pendapat saya, solat itu adalah perisai atau benteng bagi diri setiap orang Islam. Jika tidak bersolat, maka ia juga dilabelkan sebagai orang yang mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu. InsyaAllah saya akan perjelaskan pekara ini di akhir perenggan nanti. Maka bersolatlah kita semua sebelum ‘kita disolatkan dihadapan Imam’. Ketika itu solat kita sudah tidak berguna lagi sebagai bekalan menuju ke alam yang abadi.


Sabda Rasulullah s.a.w :

“Solatlah yang membezakan kekufuran dengan keimanan”


Nabi s.a.w telah menyatakan bahawa Allah s.w.t telah berfirman kepada Baginda :


“Kemurkaan-Ku akan menimpa orang yang menaruh sebarang perasaan benci terhadap sahabat-sahabat-Ku. Mereka yang diberkati dengan kasih sayang-Ku ialah mereka yang menjalankan setiap perintah-Ku tanpa ragu-ragu. Orang yang meningkat tinggi pada pandangan-Ku ialah orang yang melakukan Nafilah sehingga dia Ku jadikan ‘kekasih-Ku’. Kemudian jadilah Aku telingganya, dengan mana ia mendengar, matanya, dengan mana ia melihat, tangannya, dengan mana ia memegang dan kakinya, dengan mana ia berjalan .(pendengarannya, penglihatannya, pemegangannya, dan perjalanannya sesuai dengan perintah-Ku sehingga ia tidak ingin mengunakan sebarang anggota badannya untuk mengingkari perintah-perintah-Ku) Kalau orang tersebut adalah yang sedemikian, maka doanya Aku makbulkan, kalau ia meminta perlindungan, permintaannya Aku tunaikan”


Sebagai contoh yang hendak saya nyatakan di sini adalah, solat itu sebenarnya merupakan pembersihan hati dan jiwa kita sebagai seorang hamba-Nya untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Solat itu juga adalah kemuliaan Iman dan Takwa kita terhadap Allah s.w.t. Tidak mendirikan solat beerti kita ingkar terhadap perintah-Nya. Selayak keingkaran tersebut juga tergolong di dalam golongan orang kafir dan kufur terhadap Allah s.w.t. Jika kita memegang jawatan tinggi atau diri kita disanjungi orang, tetapi kita tidak mendirikan solat, maka sebenarnya martabat kita sebagai seorang Muslim itu sebenarnya yang terbawah sekali dari kaca pandangan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak memandang seseorang itu berdasarkan keturunan, pangkat, rupa, harta, kerjaya dan sebagainya, tetapi sebaliknya Allah s.w.t melihat hamba-Nya itu berdasarkan Keimanan dan Ketakwaannya terhadap Allah s.w.t. Jika kita sebagai seorang pendidik sekalipun malah kita sebagai orang yang sering membantu masyarakat dalam segenap topik, tetapi kita mengambil mudah berkenaan dengan solat, maka ia adalah satu usaha yang sia-sia dan keberkatan kita di hadapan Allah s.w.t sebagai seorang yang beragama Islam itu adalah yang terburuk. Walaupun usaha-usaha murni kita itu memberi kesan yang mendalam terhadap seseorang. Maka secara keseluruhannya solat itu merupakan tiang dan batu asas monumen sebagai seorang Muslim.


Oleh yang demikian, sebagai contoh yang hendak saya bawa dan kongsikan di sini adalah tentang solat Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Saya tertarik dengan satu riwayat dari Isteri Nabi s.a.w iaitu Ummul Mukminin Aishah r.a yang mengisahkan ketika pada suatu malam Rasulullah s.a.w sedang tidur berbaring bersamanya, lalu Baginda s.a.w kemuadian berkata, “Sekarang biarlah aku menyembah Allah, Pemberi rezekiku”. Sambil berkata demikian, Baginda pun lalu bangun serta mendirikan solat dengan segala perasaan ikhlas dan tawadhuk. Semasa Baginda s.a.w bersolat, ia menangis, demikian juga keadaannya ketika rukuk dan sujud. Setelah bangun dari sujud keadaan Baginda s.a.w masih tidak berubah dengan tangisannya. Demikianlah halnya sehingga Bilal r.a melaungkan azan menandakan waktu fajar telah menjelang tiba. Lalu ketika itu Isteri Nabi s.a.w Ummul Mukminin Aishah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w.


“Ya Rasulullah, tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni setiap dosa Tuan, mahupun yang telah lalu ataupun yang akan datang. Tetapi Tuan masih memandang rendah terhadap diri Tuan sendiri”. Maka ketika itu Baginda Rasulullah s.a.w menjawab; “Aku sudah sepatutnya berterima kasih kepada Allah. Aku sudah sepatutnya bersembahyang begini mengigatkan ayat-ayat yang telah diwahyukan Allah kepada aku. Apakah tidak patut aku berterima kasih kepada Tuhanku?”


Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”(Surah Ali-Imran – Ayat 190-191).


Ada juga diriwayatkan dalam hadith Rasulullah s.a.w bahawa kaki Baginda s.a.w bengkak-bengkak kerana Beliau memanjangkan rakaat ketika di dalam sembahyangnya. Begitulah apa yang di gambarkan oleh Baginda terhadap ketekunannya ketika bersolat. Pekara ini sepatutnya kita ambil ibrah yang berguna untuk mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah s.w.t dari apa yang telah di ajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Perlu diingati juga, bahawa kita baru di permulaan tajuk, banyak lagi yang kita perlu kongsikan di sini tentang hakikat bersolat. Sebagai contoh yang lain pula, saya bawakan di sini adalah solat yang di lakukan oleh Para Sahabat r.a yang mahsyur.


Ada riwayat juga menyatakan bahawa Syaidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang telah dinyatakan oleh Abdullah bin Zubair r.a bahawa, beliau bersolat berdiri dengan tegak tanpa bergerak-gerak seolah-olah beliau terpaku di bumi. Maka para ulama’ semuanya berpendapat yang Abdullah bin Zubair itu telah belajar sembahyangnya daripada Abu Bakar r.a dan Abu Bakar r.a pula mempelajarinya dari Nabi s.a.w. Menurut cerita, Abdullah bin Zubair apabila ia bersujud, maka sujudnya itu terlalu lama sehingga burung-burung dapat hinggap bertenggek di atas badannya. Kadangkalanya pula ia berukuk dan bersujud sepanjang malam. Begitulah gambarannya yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Nabi s.a.w terhadap cintanya mereka kepada Allah s.w.t.


Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain iaitu ketika Syaidina Umar Al-Khatab r.a telah ditikam dan luka akibat tikaman itulah yang menyebabkan ia meninggal dunia. Badannya berdarah dan kadangkalanya ia jatuh pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu solat, dia pun bangun lalu mendirikannya. Kata-kata huqamah beliau berkenaan solat ketika itu adalah; “Tiada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. Inilah yang sepatutnya kita semua contohi, tidak bermakna kita sakit, maka tidak diwajibkan bersolat. Bukankah Islam juga mengajar akan kita tentang solat ketika kita sakit?.


Sebagai contoh sahabat yang lain pula adalah Syaidina Uthman r.a, beliau akan bersolat sepanjang malam serta mengkhatamkan seluruh Al-Quran dari masa ke semasa. Begitu juga dengan syaidina Ali r.a, beliau akan mengeletar dan wajahnya menjadi pucat. Ketika itu beliau telah ditanya oleh seseorang berkenaan dengan keadaan dirinya, lalu ia menjawab; “Telah tibalah masanya untuk aku tunaikan amanah yang telah dipersimpankan kepada aku oleh Allah s.w.t dan yang enggan diterima oleh langit, bumi dan bukit-bukau”.


Saudara-saudari kenal tidak dengan sahabat Nabi s.a.w iaitu Hatim bin Asam r.a?. Beliau merupakan seorang yang tekun ketika beribadah kepada Allah s.w.t. Ada riwayat menyatakan bahawa ketika tibanya waktu sembahyang, lalu ia berwudhuk serta berjalan ke tempat yang hendak ia bersembahyang. Kemudian ia pun berdiri untuk bersembahyang. Semasa itulah beliau membayangkan suatu gambaran yang jelas di hadapan matanya iaitu kaabah di hadapan, kakinya di titian Ash Shirath dengan syurga di sebelah kanannya dan neraka di sebelah kirinya serta malaikat Izrail a.s di belakangnya. Beliau berasa seolah-olah itu adalah solatnya yang terakhir. Dalam ketika itu beliau menunaikan solat tersebut dengan penuh Keimanan, Keikhlasan dan Ketaatan terhadap Allah s.w.t.


Oleh yang demikian ini adalah gambaran yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada sahabat-sahabatnya dan seterusnya ia diwarisi hingga ke saat ini. Jika Nabi s.a.w dan sahabat r.a sangat ikhlas dan tekun ketika bersolat, malah di kalangan mereka juga adalah golongan yang Nabi s.a.w nyatakan sebagai ahli syurga dengan segala rintangan dan dugaan, kenapakah kita tidak mencontohinya, sedangkan kita ini amat dan terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan mereka semua?. Persoalan inilah yang sepatutnya bermain diminda kita ketika ini. Lihat sahaja ketika zaman Rasulullah s.a.w, ketika itu masjid Baginda tidak secantik dan seindah masjid yang tersergam sekarang, tetapi Makmumnya ketika itu sehinggakan bersolat di luar masjid bersama-sama Rasulullah s.a.w. Tetapi berbeza dengan keadaan pada hari ini, ruang masjid ketika solat fardu wajib itu kadangkalanya amat-amat menyedihkan walaupun masjid tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang canggih. Lebih malangnya lagi, apabila tibanya musim perayaan, solat sunat itu pula melebihi Mukmunnya dari solat fardu. Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sebenarnya memperlekehkan Islam secara umumnya.


Begitu juga halnya bagi orang-orang yang sengaja meninggalkan solat. Kadangkalanya cara mereka ini seolah-olah tidak mengambarkan rasa kesalahan mereka terhadap Allah s.w.t. Lebih malangnya lagi ia terdiri dari golongan yang tahu akan erti solat tersebut, malahan golongan ini juga merupakan golongan yang rata-rata berpendidikan. Golongan yang meninggalkan solat ini, saya gambarkan ia sebagai golongan yang mensyirikkan Allah. Tentu ada di antara kita di luar sana menganggap bahawa ia sesuatu yang melampau, tetapi ini adalah satu peringatan buat kita semua, bahawa orang yang tidak bersolat itu adalah orang yang sememangnya tidak beragama, malah ia juga termasuk dalam golongan orang yang syirik terhadap Allah s.w.t serta kufur terhadap nikmat-Nya. Tahukah kita semua akan dosa Syirik itu? Apakah syirik itu?. Tentu kita tahu malah mengenal akan makna syirik itu, jadi kenapa kita meninggalkan solat kalau kita benar-benar malah tahu akan hakikat syirik tersebut. Bukankah Islam itu untuk orang yang berakal. Maka akal itulah yang membezakannya.


Firman Allah s.w.t:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyat – Ayat 56).


Saudara dan saudari faham tidak akan maksud dan tafsir ayat Allah s.w.t tersebut?. Ia adalah bersifat tegas dan larangan serta peringatan kepada golongan jin dan manusia agar mengigati-Nya. Melalui apa?. Melalui Solat dan ibadah kepada-Nya. Maka sudah jelas, Allah s.w.t berfirman bahawa solat itu merupakan ibadah yang penting dan merupakan rukun bagi seseorang Muslim. Jika solat itu dianggap remeh, maka sebenarnya kita adalah golongan yang tidak pernah mensyukuri nikmat dan rahmat Tuhan. Sebagai contoh yang lain, jika seseorang itu tidak bersolat, maka ia tidak mengigati langsung akan Allah s.w.t. Sedangkan dalam hidup dan mati kita mestilah berpaksikan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memberi kehidupan kepada kita dan Allah s.w.t yang memberi rezeki kepada kita. Maka jika ia enggan bersolat, disifatkan juga bahawa hati dan jiwanya berpaksi kepada selain dari Allah s.w.t. Mungkin boleh jadi kemewahan, kemahsyuran, pangkat, harta, kerjaya, dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa pekara tersebut melebihi pentingnya dari Allah s.w.t. Bukankah ini sesuatu pekara yang menduakan Allah?, Bukankah ini juga tergolong kepada pekara yang mensyirikkan Allah?. Sedangkan pada hakikatnya kita hanya sedar bahawa mensyirikkan Allah itu hanya kepada bomoh, pawang, dukun dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, pekara-pekara yang lain yang bersangkutan dengan entiti syirik itu kita tidak kisahkan.


Oleh yang demikian, di sini saya ingin memperbetulkan sedikit tentang apa yang kita sama-sama perbincangkan dan akan dilalui nanti, di mana, ubahlah pemikiran kita tentang hakikat bersolat. Pada ibu dan bapa yang berada di luar sana, ubahlah sikap agar memilih bakal menantu yang bersolat. Untuk apa yang perlu saya katakana di sini?. Cuba kita semua bayangkan, dekad ini orang melihat bakal menantu itu berpaksikan kepada sejauh mana pelajaran mereka, pekerjaan yang dijawatnya, keturunan, malah ada seribu satu asas yang tidak munasabah yang telah lama diperlihatkan oleh mereka-mereka ini. Tetapi bermulalah dengan Tarbiyah ini, ubahlah dari sikap memilih bakal menantu yang sedemikian kepada bakal menantu yang bersolat. Pilihlah bakal menantu yang benar-benar tahu tentang Syariat-Nya, malahan tergolong di dalam golongan orang-orang yang bersolat. Bukankah dalam Islam telah mengajar akan hakikat tersebut?. Bukankah agama itu satu pencaturan kehidupan yang utuh?. Jadi kenapa harus memperlekehkannya. Cuba kita lihat, jika seseorang itu tergolong di dalam orang yang tidak bersolat, dan ketika itu ia diraikan dengan meriah di majlis perkahwinannya, maka sebenarnya kita sekeluarga sebenarnya berdosa. Berdosa bagaimana? Berdosa kerana meraikan orang yang tidak bersolat ketika di hari perkahwinannya. Kalau pada zaman Rasulullah s.a.w, orang yang tidak bersolat berjamaah ketika di masjid, Nabi s.a.w menyuruh agar membakar rumah-rumah mereka. Ini satu peringatan kepada kita semua bahawa solat itu adalah ibadah yang amat-amat penting dalam Islam. Maka dengan itu saya berpesan kepada diri saya dan kamu yang berada di luar sana malahan yang sering mengikuti perkembangan blog saya ini, agar segerahlah bertaubat dan kembalilah kepada-Nya. Hijrahkanlah pemikiran kita tentang istilah solat ini, kalau dahulunya kita ini golongan yang ingkar bersolat, maka bertekadlah bahawa saat ini kita adalah golongan orang yang menyegerakan ketikamana tibanya waktu solat. Bukalah minda kita akan hakikat kebenaran ini, kita diberikan waktu oleh Allah s.w.t, bukan untuk menambahkan atau membebankan dosa-dosa kita, sebaliknya kesempatan waktu dan ketika itu hendaklah digunakan untuk mentauhidkan-Nya. WaAllahua’lam. Allahu Akhbar!.



Wednesday, 10 February 2010

Nur Islam.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, bertemu kembali dengan taufiq dan hidayah dari-Nya, kita dipertemukan bagi mengharungi kehidupan ini dengan penuh rahmat dan kesyukuran dari-Nya. Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Jabbar, Ya Salam, Ya Allah. Kepada-Mu kami berserah.




“Nur Islam”. Kalimah suci ini merupakan dasar mutiara Islam yang paling utama dari satu permulaan bagi segala sifat kemuliaan. Setiap debu-debu amal kebajikan yang dilakukan tidak akan diterima tanpa secebis mutiara kalimah ini. Oleh itu setiap kalangan para Sahabat r.a pada ketika zaman Islam dahulu yang berada di peringkat permulaan telah mengorbankan hampir keseluruhan tenaga mereka untuk menyinarkan kalimah ini dan menentang keras terhadap pihak-pihak yang cuba menghalangi mereka dari menyebarkan kalimah suci ini.


Walaupun mereka-mereka ini seringkali berada di medan lautan Fisabilillah yang mengerunkan dan hanya mempunyai sedikit masa untuk meneroka serta mempelajari secara mendalam dari lautan Nur Islam yang mana mereka juga sedar betapa dikehendaki serta mesti diterokai isi-isi mutiara tersebut dari lembah lautan kemuliaan itu. Namun demikian semangat keupayaan mereka ke arah pembabitan itulah yang telah kita warisi satu bentuk mutiara Nur Islam mengenai kitab suci Al-Quran dan Hadith yang mana kita tidak patut berasa bangga terhadap diri kita sendiri. Manakala para Sahabat r.a dahulunya hanya mempunyai segelintir ruang dan masa dalam penerokaan mereka di lautan ilmu Nur Islam ini. Oleh kerana kesibukan mereka di dalam medan peperangan ketika pancaran serta percikkan Nur Islam lahir ketika di peringkat permulaan.


Firman Allah s.w.t:

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (Surah At-Taubah – Ayat 122).


Abdullah bin Abbas r.a menerangkan bahawa lembaran ayat-ayat suci Al-Quran yang telah diwahyukan pada zaman permulaan Islam itu adalah menyeru setiap orang Mukmin agar keluar di jalan Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t:

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taubah – Ayat 39).


Dan lagi Firman Allah s.w.t:

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”(Surah At-Taubah – Ayat 41).


Para sahabat r.a pada ketika itu sangat sedikit bilangannya dan mereka terpaksa memegang semua tanggungjawab di dalam segala keperluan berkaitan dengan Islam. Oleh itu Allah s.w.t dengan limpah rahim-Nya telah mengurniakan setiap kalangan mereka dengan pekerjaan yang sesuai dengan diri mereka. Selepas berakhirnya zaman kegemilangan para Sahabat r.a, maka Nur Islam telah berkembang dengan jauh dan meluas serta bilangan orang-orang Islam telah berkembang dengan begitu pesatnya.


Sebaliknya pula para Sahabat r.a yang terkemudian selepas itu tiada mempunyai kebolehan untuk melakukan pekerjaan atau tugas sepertimana yang telah dilakukan oleh golongan Sahabat di zaman Rasulullah s.a.w terdahulu. Dengan itu, Allah s.w.t telah memilih segolongan mereka-mereka yang berasingan untuk melakukan pekerjaan tersebut di dalam salah satu bahagian dari beberapa cabang Nur Islam ini. Golongan para Muhaddithin dikehendaki mengorbankan masa mereka di dalam pengumpulan dan penyebaran Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Begitu juga bagi kalangan kaum ‘Fuqaha’ (ahli ilmu hukum), ‘Sufi’ (ahli ilmu zikir), ‘Qurra’ (ahli di dalam ilmu pembacaan Al-Quran), ‘Mujahidin’ (pejuang di jalan Allah) dan seterusnya.


Setiap kelompok golongan tersebut mempunyai bidangnya yang tersendiri sebagai satu tugas yang akan dijalankan oleh mereka sepanjang masa. Langkah-langkah itu sangat diperlukan serta diperhebatkan ketika itu. Para Rasul-Nya dan yang teristimewa adalah Baginda Rasulullah s.a.w yang mana menjadi ‘Penghulu’ bagi kalangan Rasul-Nya itu hanya dikurniakan kemuliaan melakukan demikian. Dengan itu, semua ini dapatlah menerangkan mengapakah lingkaran kisah-kisah tentang keperibadian mereka yang unggul ini selain dari para Sahabat r.a telah pun diterjemahkan di dalam riwayat-riwayat kamil mereka. Begitulah secara rawaknya tentang syumulnya Nur Islam itu, sehinggakan dicemburui oleh lapisan kaum yang ingkar dan kufur.


Bertepatan dengan itu, perubahan zaman tercanggih ini merubah segala-galanya, di mana ketika ini manusia sering melupai akan jasa dan pengorbanan mereka-mereka yang terdahulu, sehinggakan sanggup mengangkat mertabat bangsa dan ilmuan pihak yang kufur itu sebagai cabang ilmu yang tinggi. Lantaran dengan itu juga, kita adalah generasi pemangkin untuk merubahnya kembali membawa Nur Islam itu terus dan akan berkembang sehingga ke hari kebangkitan kelak. Ini adalah amanah yang perlu kita semua ketahui, bahawa tiada kemuliaan yang tinggi selain dari kemuliaan dan keredhaan dari-Nya. Ayuh! Saudara dan saudari sekelian, gelombang perubahan kini terbuka dan menanti saat untuk ditegakkan melalui syariat-Nya. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.



Saturday, 6 February 2010

Alam Barzakh.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.





Alhamdulillah. Kini bertemu kembali, mengharungi dugaan dan cabaran hidup di dunia ini yang penuh dengan muslihat dan fitnahnya serta adakalanya meruncingkan segenap corong-corong kehidupan kita. Ada yang tersungkur, ada yang tegap berdiri, ada yang tergelincir lalu sedar dan ada yang terjerumus lalu menyembah ke bumi. Ini adalah rutin kehidupan manusia masa kini yang peka dan lalai akan syariat-Nya. Kehidupan yang semakin sempit serta dilingkari dengan ketaksuban akan manusia dengan pekara-pekara keindahan dan kemuliaan duniawi. Kalau kita lihat dekad kini, manusia tanpa segan silu sering melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, seolah-olah ia menjadi satu budaya yang perlu dipraktikalkan oleh setiap genap kehidupan manusia. Tidak kiralah lingkaran golongan di bawah umur atau yang sudah meningkat umur. Ia menjadi trend untuk memperlihatkan bahawa, manusia itu sebenarnya mencabar serta mengkhianati Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Jika kita amati sedalam-dalamnya, kurang dan tipisnya Iman itu adalah penyebab utama lahirnya pekara-pekara tersebut. Kita dikurniakan Allah s.w.t dengan begitu menarik sekali organ pancaindera dan sifat pemikiran waras untuk mencanangkan suatu pekara, tetapi kita seringkali mengunakannya pada tempat dan pekara-pekara yang tidak mendatangkan apa-apa kesan dalam diri kita. Kita boleh melihat, tetapi kabur dan buta dalam meletakkan dan mentauhidkan hukum-hukum Allah s.w.t. Kita dapat menyentuh, tetapi bila bab-bab sensitiviti yang berkaitan agama Allah s.w.t, kita tewas, kita dapat mendengar sehingga lebih dari 10 meter, tetapi dalam masa yang sama, bisikan syaitan yang tidak sampai sejengkal itu kita turuti, kita dapat bertutur, sehinggakan kita diiktiraf sebagai pidato yang hebat, tetapi apabila kemungkaran yang melibatkan dosa dan kemaksiatan kita sering abaikan, kita dapat menghidu, tetapi dalam masa yang sama hiduan kita itu tidak menjangkaui apa yang sepatutnya dihidu oleh seseorang yang bergelar Muslim. Ini realiti, tidak kiralah kita sebagai seorang pemimpin, pendidik, saintis, doktor, jurutera, arkitek, pekerja bawahan, pekerja buruh dan sebagainya. Kebarangkalian ceteknya pengetahuan tentang pekara-pekara ghaib yang telah Allah s.w.t nyatakan dalam Kalam-Nya serta dilanjutkan lagi melalui Rasul-Nya itu tidak kita ambil kisah dan sering meminggirkannya. Kalau kita lihat zaman kegemilangan Rasulullah s.a.w, Baginda serta sahabat-sahabatnya beribadah sehinggakan bercucuran air mata. Apabila Rasulullah s.a.w menyatakan akan kebenaran pekara-pekara ghaib, lalu para sahabat jatuh pengsan ketika Baginda s.a.w berucap. Inilah yang dikatakan tebal dan teeguhnya Iman dalam diri seseorang. Tetapi kita pada hari ini, bercucuran airmata adalah kerana soal-soal yang melibatkan cinta dan sayangnya kita terhadap idola pujaan kita. Kalau pekara bercucuran air mata ketika beribadah ini kita tidak terapkan dalam diri dan hati-hati kita, maka sebenarnya kita terlalu jauh dengan golongan yang Rasulullah s.a.w itu sifatkan, malah pada amnya, kita juga terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan para mujahid dan mujahadah di Negara Palestin. Ini adalah kebenaran saudara dan saudari sekelian. Kebenaran yang memperlihatkan kepada kita bahawa benarlah sabda Rasulullah s.a.w itu, di mana sabda Beliau ketika di akhir zaman kelak maka hadirlah golongan yang berpenyakit cintakan dunia serta takutkan kematian. Dalam sedar dan tidak sedar, rupanya kita semakin hampir ke ambang tersebut. SubhanaAllah.


Alam barzakh?. Apa yang kita semua ketahui tentang alam barzakh?. Apa dalil-dalil yang menyatakan alam barzakh itu?. Persoalan inilah yang sepatutnya kita dalami untuk memperlihatkan betapa teguhnya Iman kita terhadap Allah s.w.t. Mempercayai pekara-pekara yang ghaib, mestilah tersemat dalam diri dan generasi kita. Semua agama di dunia ini mempercayai bahawa kelak manusia akan dibangkitkan setelah menuju kematian, tetapi ia berbeza-beza dan lebih afdal lagi Islam itu mengariskan panduan kebenaran, bahawa setiap sesuatu dan perbuatan itu akan ditimbal balik mengikut apa yang telah dilakukan manusia ketika di dunia dahulu. Ia amat berbeza sekali dengan agama selain dari Islam, di mana setelah kematian itu, maka seluruh manusia akan di masukkan ke dalam syurga, walaupun ia penuh dengan dosa-dosa ketika di dunia dahulu. Islam menyangkal akan semua itu. Perlu diingati juga, bahawa dosa bukan satu warisan yang akan terhapus melalui orang lain, setiap dosa tersebut akan ditanggung oleh orang yang membuat dosa. Ini Aqidah yang perlu kita semua ketahui untuk bekalan diri dan generasi kita akan hakikat dosa dan pekara-pekara ghaib tersebut. Bukankah Islam itu satu kebenaran yang sempurna?.


Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-Imraan – Ayat 185.


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”


Menurut Al-Quran dan Al-Hadith telah dinyatakan bahawa tahanan di alam barzakh itu adalah hak, iaitu sesuatu yang benar-benar terjadi dan akan berlaku pada setiap manusia. Sebagai bukti dan kenyataan yang konkrit yang perlu dikongsikan bahawa orang-orang yang telah mati mendahului kita mereka telah dikuburkan atau dimakamkan di dalam liang lahad. Maka mereka itu sudah berada di alam barzakh. Tahanan atau kediaman yang saya nyatakan ini juga adalah sebagai lanjutan kehidupan setiap manusia, Setelah mengalami hidup pada dua tahap.


Yang pertama hidup di alam kandungan ketika sewaktu masih dalam kandungan ibu, yang pada umumnya selama hanya 9 bulan. Keadaan pada ketika itu adalah sempit, amat terbatas, banyak kesukaran dan penuh kegelapan yang menyukarkannya. Setelah 9 bulan lamanya lalu ia dilahirkan dari kandungan ibu, maka beradalah manusia itu dalam alam yang lebih luas seperti apa yang kita kecapi sekarang ini.


Tahap yang kedua adalah merupakan perumahan yang sedang kita alami sekarang ini, iaitu di alam dunia yang sementara dan seketika sahaja. Kini kita sedang mengalami pertumbuhan yang pasti berlaku sejak dari kecil menjadi muda, dari miskin menjadi kaya, dari tidak berilmu menjadi pintar, dari muda menjadi tua, dari sihat menjadi sakit, dari lemah menjadi kuat, dari yang hidup menjadi mati dan sebagainya. Di dunia ini adalah untuk menentukan adakah manusia itu beriman atau kufur, manusia itu soleh atau derhaka, manusia itu melakukan maksiat atau bertakwa kepada Allah s.w.t dan seterusnya, sehingga manusia itu menemui ajalnya. Ini kerana setiap manusia pasti akan merasai kematian, dan di akhirat kelak semua pahala perbuatan kita akan disempurnakan. Semua perbuatan dosa kita akan diperhitungkan dan diadili dengan seadilnya di hadapan Allah s.w.t. Pekara ini telah saya bincangkan di artikel saya yang lalu.


Oleh yang demikian, setelah sukatan umur yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada manusia itu telah datang akan masanya, di saat itulah akan hadir tamu yang diundang dan diperintahkan oleh Allah s.w.t iaitu Malaikat Izrail a.s hadir untuk mencabut nyawa. Pekara ini juga telah saya bincangkan dalam artikel saya yang lalu. Maka ketika itu juga, kesakitannya bukan kepalang lagi, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa tubuh kita ketika itu seperti ditusuk oleh sebuah pedang yang tajam sebanyak 300 kali bagi mereka-mereka yang kufur terhadap Allah s.w.t. Ini berbeza pula bagi mereka yang dikasihi oleh Allah s.w.t, di mana ketika itu malaikat Izrail mencabut nyawanya dengan begitu teliti dan secara perlahan-lahan.


Menurut Imam Ibnu Abiddunya r.a, setelah manusia itu mati (ruh terpisah dari jasad) lalu ia menjadi kaku dan tidak berdaya. Apabila ia sebagai seorang yang mukmin dan mukminat, muslim dan muslimat, maka segeralah kaum kerabat, ahli keluarga, kawan-kawan dan sebagainya memberi penghormatan (berta’ziah) dengan bermaksud memberi penghormatan terakhir kepada simati tersebut. Setelah dimandikan, dikafankan dan disolatkan lalu jenazah tersebut diiringi pergi ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Sesudah dimasukkan jenazah tersebut ke dalam liang lahad yang telah sedia digali maka jenazah tersebut dimakamkan dengan sempurna sekali. Ia ditimbuni dengan tanah-tanah yang lembut kemudian setelah selesai maka ia dibacakan tahlil dan didoakan serta ada yang ditalkinkan (bagi kebanyakan pengubur jenazah). Setelah selesai, maka sendirilah ia di dalam kubur seorang diri yang diliputi dengan kegelapan, kedukaan, kecemasan, ketakutan, kegembiraan, kesenangan, kemuliaan dan sebagainya.


Apabila jenazah tersebut berada di dalam alam barzakh dan setelah para hadirin serta sanak saudara meninggalkannya, maka ketika itu Allah s.w.t mengembalikan roh simati tersebut ke dalam jasad tubuhnya dan dihidupkan kembali untuk menghadapi hal pekara alam kubur yang meliputi seksaannya, kenikmatan kubur dan pertanyaan alam barzakh. Tetapi pada ketika itu, ia bukanlah seperti mana beradanya kita di alam dunia ini, ia amat berbeza dan ia adalah kebijaksanaan dan Kekuasaan Allah s.w.t. Tetapi kita sebagai orang-orang yang beriman yakin dan pasti bahawa alam barzakh itu adalah suatu alam kebenaran dan tetap akan berlaku kepada setiap manusia.


Dalam Al-Hadith Imam Bukhari dan Imam Muslim r.a, yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :


“Sesungguhnya apabila jenazah telah diletakkan di dalam kubur (alam barzakh) lalu para hadirin dan ahli keluarga yang telah menghantarnya itu pulang, maka sesungguhnya jenazah tersebut benar-benar dapat mendengar bunyi tapak-tapak kaki mereka yang sedang pulang tersebut”.


Lalu ia didatangi pula oleh dua malaikat dan keduanya seolah-olah didudukkan dan kemudian menanyainya. “Apa yang telah engkau I’tikadkan tentang orang ini? (Nabi Muhammad s.a.w). Jika orang tersebut seorang yang mukmin, ia akan menjawab : “Saya bersaksi bahawa ia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya”. Lalu ia menyuruh melihat tempat di dalam neraka sambil mengatakan bahawa tempat itu telah digantikan Allah dengan tempatnya di dalam syurga. Orang tersebut dapat memandangnya dan bergembiralah ia.


Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa dari Qatadah (rawi Anas bin malik r.a),


Baginda s.a.w telah menyebutkan kepada kami bahawa untuk tempat orang itu di dalam kuburnya, dilebarkan seluas 70 hasta dan dipenuhi dengan sesuatu yang hijau (kemungkinan untuk hiburannya).”


Jika orang tersebut ternyata orang kafir dan munafik dalam menjawab pertanyaan di atas, ia akan menjawab ‘tidak tahu, saya ikut-ikutan sahaja apa yang dikatakan orang (tidak diiringi dengan Iman), maka ketika itu secara spontan sahaja dua malaikat tersebut menyatakan : “Semoga engkau tidak tahu menahu apa-apa” lalu ia dipukul dan diseksa dengan besi sehingga menjerit sekuat-kuatnya. Di mana jeritan dari pukulan kepada orang yang berdosa tersebut dapat didengari oleh semua ciptaan Allah s.w.t kecuali syaitan, iblis, jin dan manusia. Saya ulangi sekali, kecuali syaitan, iblis, jin dan manusia.


Saya rujuk dalam Hadith yang lain pula yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud r.a dari Anas bin malik r.a :


“Keduanya (Munkar dan Nakir) bertanya kepadanya : “Siapakah Tuhanmu, apa agamamu? dan apa diutuskan ditengah-tengah kamu?” Orang mukmin akan menjawab : “Tuhanku Allah, agamaku Islam dan orang yang dibangkitkan di tengah-tengah kami ialah Rasulullah.” Sedang orang kafir pula pada ketiga-tiga pertanyaan itu hanya dapat menjawab : “Tidak tahu”.”


Lalu saya rujuk juga dalam Hadith yang lain pula yang telah diriwayatkan oleh Imam Dailami r.a dari Anas bin Malik r.a :


“Munkar dan Nakir datang menemui mayat tersebut dalam kuburnya lalu mendudukkannya, Jika orang itu mukmin kedua malaikat tersebut bertanya kepadanya : “Siapa Tuhanmu?.” Ia menjawab : “Allah”, “Siapa Nabimu?.” Ia menjawab : “Muhammad”, “Siapa Imammu?.” Lalu ia menjawab : “Al-Quran”. Lalu malaikat tersebut melapangkan kuburnya. Jika ia orang kafir dan munafik, keduanya bertanya : “Siapa Tuhanmu?”, Ia menjawab : “Tidak tahu”, “Siapa Nabimu?”, Ia menjawab : “Tidak tahu”, “Siapa Imammu?”, lalu ia juga menjawab : “Tidak tahu”. Lalu kedua malaikat tersebut memukulnya dengan kedua tiang, suatu pukulan sehinggalah menyala-nyala api di dalam kuburnya dan disempitkan kuburnya hingga ia terhimpit berpatah tulang belulangnya”.


Oleh yang demikian, Hadith tersebut menerangkan kepada kita keadaan manusia ketika di dalam tahanan alam barzakh. Di mana seseorang itu akan ditanya oleh dua malaikat (Munkar dan Nakir) serta diseksa olehnya jika orang tersebut orang yang ingkar terhadap perintah-Nya, begitu juga sebaliknya dengan kenikmatan dan kesenangan ketika di kubur bagi para Muttaqin.


Setiap manusia yang telah berada di alam barzakh, ia akan berdiam sehingga datangnya akan hari kiamat kelak, serta dibangkitkan sekelian manusia dari kuburnya untuk diajukan dalam Persidangan Mahkamah Allah di padang Mahsyar nanti. Sebagaimana yang diketahui umum, bahawa alam barzakh itu adalah merupakan suatu taman dari taman-taman Syurga dan ia juga merupakan suatu lubang dari lubang-lubang Neraka. Ia juga merupakan tahap pertama untuk kita ke alam akhirat. Maka dengan itu, sesiapa yang berada di dalam alam kubur itu dalam keadaan yang selamat, ia juga akan terselamat ketika di hari akhirat kelak. Dan sebaliknya jika ia berada di alam barzakh itu dengan keadaan yang tidak selamat, maka lebih ngeri lagi kecelakaan dan kesengsaraannya ketika di akhirat nanti.


Nabi s.a.w bersabda :


Dari Uthman bin Affan r.a, Rasulullah s.a.w berkata : “Sesungguhnya alam kubur itu adalah tahap pertama untuk alam akhirat. Bilamana seseorang telah selamat dalam tahap pertama itu, untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih ringan. Tetapi kalau tidak selamat dalam tahap pertama (alam kubur itu), maka untuk tahap-tahap selanjutnya akan lebih dahsyat” (HR Imam Tirmizi, Imam Ibnu Majah dan Imam Al-Hakim r.a).


Maka jelas dan tertillah dari apa yang telah kita perbincangkan ini. Setiap manusia yang telah mati itu akan dipertanggungjawapkan dari perbuatannya sendiri ketika di dunia. Tiada unsur-unsur yang menyatakan bahawa alam barzakh itu adalah tempat yang kekal abadi, ia disangkal sekeras-kerasnya dalam Islam. Alam barzakh itu adalah tempat yang sementara sebelum kita semua dibangkitkan menuju ke padang Mahsyar untuk diadili Allah s.w.t mengikut apa yang telah kita lakukan ketika di dunia dahulu dengan seadil-adilnya. Kalau dahulunya ketika di dunia kita seorang pemimpin, maka ketika di hadapan Allah, kita sebenarnya adalah hanya sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta.


Kita akan dibangkitkan kelak mengikut golongan-golongan yang kita taksub ketika di dunia dahulu, kalau kita taksub dan cenderong kepada para Muktaqin, maka ketika dibangkitkan kelak kita bersama-sama golongan Muktaqin juga. Dan sebaliknya jika kita terlalu taksub dan cenderong terhadap golongan kufur dan munafik ketika di dunia dahulu, maka ketika dipadang mahsyar kelak kita digolongkan Allah s.w.t ke dalam golongan yang kufur dan munafik juga. Perlu diingati juga bahawa ketika kita berhadapan dengan Allah s.w.t untuk diadili atas apa yang telah kita lakukan ketika di dunia dahulu, kita sebenarnya hadir kepada Allah s.w.t hanya berseorangan diri. Maka ketika itu segala kebaikan dan keburukan kita ketika di dunia dahulu akan dipersembahkan dan diperlihatkan bersama-sama bukti dan saksi-saksi yang jelas nyata di hadapan Allah s.w.t. Kalau dahulunya kita boleh menghapuskan segala bukti kesalahan kita untuk melepaskan diri kita ketika di dunia, tetapi ketika di akhirat nanti seluruh anggota badan dan persekitaran kita akan menjadi saksi dan bukti di atas perbuatan kita. Di hadapan Allah s.w.t ketika itu, tangan, kaki, mata, kulit, daun-daun, debu, angin dan seluruhnya akan berkata-kata akan kebenaran di hadapan Allah s.w.t. Ia akan tunduk dan patuh akan perintah Allah s.w.t. Dan ketika itu tiada yang lebih berkuasa selain dari Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.


Oleh itu, setelah kita sama-sama bincangkan dengan panjang lebar ini, kita ambillah satu pendekatan dalam diri kita bahawa menyakini hakikat kebenaran Alam Ghaib ini yang telah Allah s.w.t nyatakan kepada kita. Kita sememangnya mengetahui akan hakikat ini, tetapi dengan tipisnya Iman dalam diri kita itu membuatkan ia dipandang remeh serta menganggap bahawa masa itu terlalu panjang. Baca dan carilah kitab-kitab serta buku-buku yang berkaitan dengan Alam Akhirat dan Alam Barzakh ini yang banyak terdapat di kedai-kedai buku. Ambillah satu nasihat yang berguna untuk kita semua gunapakai bagi diri dan generasi kita yang mendatang. Ceritakanlah pekara-pekara yang benar tentang Islam kepada generasi dan kawan-kawan kita khasnya akan hakikat kesempurnaan Islam. Kalau dahulunya kita sering menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk membaca dan melayari siber dengan pekara-pekara yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada kita, maka saat ini ubahlah dan hijrahlah minda kita untuk mencari info-info tentang Ad-deen.

Kita berbangga mempunyai ramai kenalan, kadangkalanya meliputi segenap kaum yang ada dalam Negara kita ini, tetapi bila timbulnya bab-bab yang berkaitan dengan Islam, kita sering kaku, dan menganggap golongan yang tertentu sahaja yang perlu dipraktikkan. Sedarkah kita, bahawa kita ini adalah Khalifah-Nya.


Lebih malangnya lagi ada segelintir dari kita yang berbangga membaca buku-buku berkaitan Islam dengan kuantiti yang begitu banyak sekali, sehingga menyatakan bahawa satu hari dengan satu buku, bukankah itu menimbulkan riak dalam diri kita terhadap orang lain. Orang-orang yang benar-benar memahami akan konsep Mukmin serta memahami akan maksud ayat-ayat Allah s.w.t, ia tidak akan memperhebahkan apa yang telah ia lakukannya terhadap agama Allah s.w.t. Sifat rendah diri dan Tawadhuk itu tersemat dalam dirinya. Beribadah dan beramal itu bukan sekadar dari sudut imej semata-mata, ia perlulah lahir keyakinan dan cintanya kita terhadap Allah s.w.t. Barulah kita akan dapat menikmati kemanisan ketika beribadah. Lihat sahaja ketika zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat sebagai contoh yang terdekat, mereka beribadah bukan untuk menunjukkan bahawa mereka hampir terhadap Rasulullah s.a.w, tetapi dengan keteguhan Iman dan takwa itulah yang menjadikan Rasulullah s.a.w mengiktiraf mereka. Pernahkah kita terfikir sikap riak dalam diri itu sebenarnya memakan diri kita sendiri. Riak itu satu unsur betapa ceteknya Iman seseorang terhadap Allah s.w.t. Riak itu juga merupakan syirik-syirik kecil yang telah Nabi s.a.w nyatakan dalam hadithnya. Lupakah kita akan hakikat riak itu?. Maka dengan itu, kembalilah diri kita amnya kepada hakikat yang sebenar, bahawa mempercayai dan menyakini bahawa kita ini hanyalah sebagai hamba-Nya. Saya berpesan pada diri saya dan saudara serta saudari sekelian, kembalilah kita kepada syariat-Nya, pergunakanlah ruang masa yang singkat ini untuk mentauhidkan-Nya, hindarkanlah masa-masa kita untuk melayari siber dengan pekara-pekara yang tidak mendatangkan faedah, bagi yang gemar menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk membahaskan suatu isu yang tidak mendatangkan apa-apa kesan itu, maka hentikanlah. Hiasilah masa dan ruang kita ini dengan pekara-pekara yang berfaedah, sudahkah kita mengkhatam Al-Quran serta mempelajari tafsirnya sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita membaca hadith-hadith Rasulullah s.a.w sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita bersedekah kepada yang memerlukan, sebulan yang lalu, setahun yang lalu?, sudahkah kita membantu ibubapa kita dalam kehidupan mereka, sebulan yang lalu, setahun yang lalu?. Ini batu asas untuk kita semua ketahui, akan hakikat itu. Ini juga mengambarkan kepada kita bahawa masa dan ruang ketika itu terlalu terhad ketika kini. Zaman yang begitu pantas dengan peredaran masa dan ketikanya sehingga membuatkan manusia itu leka dan lalai. WaAllahua’lam. Allahu Akhbar!.


You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails