MyMini Library.
BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu.
Amma ba'du.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Ukhuwah, dan Salam Persahabatan buat semua yang hadir di www.MujahidinCyber.blogspot.com .
Suka atau tidak, perjuangan penulisan ini perlu diteruskan, demi memperlihatkan akan kebenaran yang telah kian lama di sisihkan oleh pihak yahudi laknatullah. Kebenaran itu sebenarnya berpihak, namun atas sifat manusia yang suka menyembunyikan akan kebenaran tersebut, maka amat sukar untuk generasi Madani dekad kini untuk mengetahuinya dengan lebih tertil. Pujian juga ditujukan kepada sekelian pihak mujahidin dan mujahadah yang tidak kering dengan keringat dan buah fikiran untuk memperlihatkan akan kebenaran tersebut melalui lebaran-lebaran wacana yang bernas.
Laluannya amat sukar, walaupun ia penuh dengan emosi dan intonasi yang menarik bagi memperlihatkan betapa kejinya sikap-sikap manusia yang disebut sebagai Zionis, yang sering mengunakan pelbagai taktik serangan minda bagi meruntuhkan akhlaq-akhlaq umat Islam dewasa kini. Malahan betapa malanglah nasib seseorang itu, bilamana segala asutan dan anasir-anasir jahat mereka itu dijadikan sebagai pegangan dalam kehidupan harian.
Persoalannya di sini.
Adakah rakyat Palestin yang telah diganyang oleh pihak zionis itu kian rebah?
Pada zahirnya kelihatan begitu, saban hari ada sahaja berita kematian dari pihak Palestin yang terbunuh dek sikap ganas rejim yahudi. Namun setelah lebih dari 50 tahun, masih kelihatan pejuang-pejuang Palestin yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Semakin ditekan, ditindas, diseksa, dibunuh dan diperlakukan seperti haiwan, malah semakin banyak tekanan yang diterima oleh pihak zionis laknatullah. Mereka seolah-olah telah kaku dan terpingga-pingga di atas apa yang telah berlaku terhadap mereka.
‘Mustahil’?
‘Mana mungkin’?
‘Tidak semestinya’?
Itulah perkataan yang sering diungkapkan oleh pihak zionis terhadap segala tindakan mereka terhadap rakyat Palestin. Percaya atau tidak, rakyat Palestin semakin hari semakin meningkat bilangannya, walaupun saban hari dihujani dengan bom-bom Kimia buatan Amerika, namun ujian tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berjihad menegakkan amanah Allah SWT.
Untuk memperlihatkan bahawa pihak yahudi itu telah berkubur di bumi Palestin maka Al-Quran itu adalah sebagai rujukan. Orang-orang yang beriman dan orang-orang yang penuh yakin dengan Allah SWT, adalah orang yang mengetahui akan hakikat ini. Ujian kemusnahan dunia yang dihadapi oleh pihak Palestin tersebut, tidak mengambarkan bahawa Islam itu telah tewas dan hancur. Minda manusia itu tidak tercapai terhadap apa yang telah termaktub, malahan minda manusia itu sebenarnya amat-amat terbatas. Terbatas terhadap kuasa dan anasir duniawi yang melekakan. Saya bawakan di sini sebagai bukti yang menunjukkan bahawa yahudi itu sebenarnya telah lama tewas dan tersingkir dari bumi Palestin melalui rujukan Kalam-Nya.
“Petanda Yahudi Tersingkir Dari Bumi Palestin”
Apabila saya rujuk pada kitab Al-Rahiq al-Makhtum Sirah Nabawiah. Didapati bahawa dalam surah Al-Isra’, Allah SWT telah berfirman bahawa yahudi itu sebenarnya telah tersingkir dari bumi Palestin sejak dari dahulu lagi akibat dosa–dosa yang telah mereka lakukan. Jika kita semua meneliti ayat tersebut, didapati bahawa kita akan melihat bahawa Allah SWT menyebutkan kisah tersebut dalam satu ayat sahaja. Perhatikan betul-betul ayat tersebut.
Firman Allah SWT :
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’ – Ayat 1).
Setelah itu Allah SWT terus menyebut tentang keburukan dan dosa yang dilakukan oleh orang yahudi. Kemudian Allah SWT memperingatkan mereka bahawa Al-Quran ini benar-benar menunjukkan ke arah jalan yang lurus.
Mungkin kita menyangka bahawa dua ayat ini tidak ada sangkut paut satu sama lain, tetapi yang sebenarnya, Allah SWT mengemukakan pendekatan ini untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Israk berlaku dengan dibawa Nabi SAW ke Baitul Maqdis, kerana orang yahudi akan disingkirkan daripada menjadi pemimpin umat manusia. Ini disebabkan mereka telah melakukan pelbagai dosa yang menyebabkan tidak ada ruang untuk mereka terus menerajui kepimpinan manusia. Allah SWT akan memindahkan kepimpinan ini kepada Rasul-Nya SAW.
Allah SWT akan menyatukan untuknya dua pusat dakwah Nabi Ibrahim A.S kerana telah tibalah masanya kepimpinan kerohanian itu bertukar daripada satu umat kepada umat yang lain. Kepimpinan akan berpindah daripada umat yang sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada umat yang melahirkan kebaikan dan kebajikan, di mana Rasul umat itu sentiasa mendapat wahyu Al-Quran yang menunjukkannya ke jalan yang paling lurus. Maka sudah jelaslah kepada kita bahawa pihak yahudi itu sememangnya telah disingkirkan oleh Allah SWT dari bumi Palestin, dan digantikan dengan orang-orang yang taat dan beramal soleh terhadap Allah SWT.
Persoalannya di sini.
Bagaimana kepimpinan ini akan bertukar, sedangkan Rasulullah SAW sedang berada Mekah dan diusir pula oleh penduduknya?
Inilah persoalan yang akan menyingkap misteri kepada satu hakikat yang lain pula, iaitu pusingan dakwah Islamiah ini telah hampir sampai kepada penamat dan kesempurnaannya. Pusingan yang baru akan bermula dan berbeza daripada pusingan awal. Kerana itu, kita dapati sebahagian ayat-ayat dalam surah Al-Isra’ itu menyebutkan tentang amaran dan peringatan keras kepada orang musyrikin.
Firman Allah SWT :
“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.” (Surah Al-Isra’ – Ayat 16-17).
Di samping ayat-ayat ini, terdapat pula ayat-ayat lain yang menerangkan kepada umat Islam tentang tatasusila peradaban, fasal-fasal dan prinsip-prinsip yang perlu dijadikan sebagai asas untuk membina masyarakat Islam. Seolah-olah orang Islam telah sampai ke satu tahap di mana segala urusan mereka dari segenap aspek berada di bawah penguasaan mereka sendiri dan mereka telah membentuk satu kesatuan yang kuat di mana atas kesatuan itulah kelak masyarakat mereka akan melalui pusingannya.
Ia juga memberikan mesej bahawa Rasulullah SAW akan menemui jalan keluar dan tempat yang aman di mana urusan Baginda SAW akan mendapat kedudukan yang kukuh. Tempat itu nantinya akan menjadi pusat dakwah ke seluruh dunia. Inilah salah satu rahsia daripada peristiwa Israk yang berkat itu. Ia ada hubung kait dengan perbincangan kita ini, justeru itulah ia penting untuk disebutkan.
Disebabkan hikmah ini dan sebab yang seumpamanya, saya berpendapat bahawa peristiwa Israk itu berlaku pada saat hampir terjadinya Baiah Al-Aqabah yang pertama atau di tengah-tengah antara dua Baiah Al-Aqabah.
Maka jelaslah kepada kita semua, bahawa ujian Allah SWT itu tidak meliputi apa yang telah kita lihat dan hadapi, tetapi sebaliknya ujian Allah SWT itu sebenarnya berlegar-legar disegenap urusan kehidupan. Ayat 16 dan 17 dari surah Al-Isra’ itu jelas kepada kita bahawa ujian itu sebenarnya berterusan dan telah dilalui oleh rakyat Palestin. Jangan sangka pihak yahudi yang mempunyai kekuatan bala tentera dan sistem pertahanannya yang menakjubkan itu dapat menembusi ketentuan Allah SWT. Dan jangan kita sangka bahawa rakyat Palestin yang berjuang bermati-matian demi Tauhid Allah SWT itu telah putus dari rahmat Allah SWT. Allah SWT senantiasa memberi rahmat dan syafaat-Nya terhadap hamba-hamba-Nya yang beramal soleh.
Mungkin kita melihat situasi sekarang begitu genting ketika di Palestin, Tetapi mana mungkin Allah SWT tidak menolong hamba-hamba-Nya yang telah berjuang demi menegakkan syariat Allah SWT. Dari sudut mata kasar penglihatan, kelihatan begitu, tetapi seksaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang ingkar amat jelas dan pantas. Lebih pantas dari apa yang kita lihat sekarang ini. Walaupun hakikatnya ia berjalan agak begitu lama, tetapi ia adalah sesuatu yang benar dan telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Lupakah kita semua akan kisah Nabi Musa A.S dan kaumnya ketika dikejar oleh Firaun?
Lihatlah pada ketika itu, keadaan menjadi buntu apabila Nabi Musa A.S dan kaumnya dikepong dan dikejar oleh tentera Firaun dari setiap sudut. Mereka seolah-olah telah berputus asa untuk menyelamatkan diri, diikuti pula dengan terbentangnya Laut Merah di hadapan mereka. Namun Nabi Musa A.S dan pengikutnya yang setia itu, yakin akan hadirnya pertolongan Allah SWT melalui wahyu yang telah Baginda perolehi sebelum perjalanan tersebut. Maka dengan tidak disangka-sangka, pertolongan tersebut hadir bagaikan tidak diduga, memperlihatkan akan kekuasaan, kebenaran dan kekuatan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang sabar dan bertakwa. Maka segala-galanya tercatat, segala-galanya terlihat dan segala-galanya telah terpapar bahawa betapa hebatnya kekuasaan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya yang taat. Ini adalah satu peristiwa yang wajib kita semua percayai, bahawa disetiap sudut kegentingan dan kegetiran itu ada penawarnya dari Allah SWT, jika kita semua yakin dan benar-benar yakin terhadap-Nya.
Oleh yang demikian, inilah Tauhid Islamiah yang perlu kita ada dalam diri, bahawa menyakini setiap perbuatan dan amalan itu tetap akan menerima pembalasan dan ada penghujungnya. Saat dan waktu itu adalah ketentuan dan urusan dari Allah SWT, dan kita sebagai orang-orang yang beriman kepada-Nya perlu yakin dengan sepenuh hati kita, bahawa Islam itu akan tegak di bumi Allah SWT. Bangkitlah kita semua, demi islam yang ad-deen. Janganlah leka dengan dakyah dan anasir jahat pihak yahudi laknatullah yang sering datang untuk menyesatkan kita, sepertimana iblis yang telah memesongkan dan menipu Adam A.S suatu ketika dahulu. Janganlah kita berputus asa, ingatlah bahawa kita adalah dilandasan yang benar, dan jika kita ditempat yang diredhai oleh Allah SWT, maka akan hadirlah pula godaan iblis dan syaitan untuk menghasut serta memesongkan kita. Maka genggamlah erat Kalam-Nya dan Sunnah SAW demi menjamin diri kita semua dilandasan yang betul serta diredhai Allah SWT dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment