Tuesday, 1 September 2009

Bersolat Tetapi, Melakukan Maksiat?.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah segala puji bagi Allah s.w.t. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya agama yang mulia di sisi Allah adalah agama Islam. Barang siapa yang memilih agama selain dari agama Islam, maka agama yang terpilih itu tidak diterima oleh Allah. Di akhirat kelak ia tergolong di kalangan orang yang amat-amat rugi di sisi Allah s.w.t.


Dekad kini, satu situasi yang amat membimbangkan jelas ketara, bilamana suatu perubahan demi perubahan telah jelas dan ketara apabila Islam itu dipandang remeh dan mudah bagi mereka-mereka yang hanya sekadar mengamalkan Islam secara ikut-ikutan, demi untuk memuaskan hati-hati segelintir manusia dan diri sendiri. Begitu mudah sekali ada sesetengah itu juga yang melemparkan sejauh-jauhnya Islam itu, demi mengejar akan kemasyuran dan kemewahan duniawi tanpa memikirkan akan kesan dan akibatnya terhadap Iman dan Islam itu khasnya. Lantaran dengan itu, maka timbullah satu budaya di kalangan masyarakat kita khasnya muda-mudi yang masih tidak peka dan serik akan akibat perbuatan mereka, yang meminggirkan sejauhnya ajaran Rasulullah s.a.w, sehinggakan golongan ini juga sudah pandai berteriak dan berkata akan kesahihan ajaran Rasulullah s.a.w tersebut. Begitu mudah tomahan itu dilemparkan tanpa memikirkan akan akibat bahana yang akan menimpa ke atas diri mereka kelak.


Mungkin golongan yang minoriti ini, terpengaruh atau kurangnya didikan terhadap hati-hati dan jiwa mereka untuk mengenal dan mendalami Islam. Lebih mengejutkannya lagi, bilamana golongan-golongan ‘pintar’ adalah golongan yang sering menimbulkan suasana yang amat kurang menyenangkan ini. Lihat sahaja di pengurusan dan pengajian di peringkat tertinggi, sikap dan aqidah dari segelintir mereka-mereka ini amat memalukan dan memualkan. Ada yang menutup aurat dan berkopiah, tetapi masih lagi melakukan pekara-pekara yang boleh mencemarkan kesucian Islam itu sendiri. Begitu juga diperingkat yang lain, berpendidikan tinggi, tetapi masih melakukan pekara-pekara kemaksiatan yang tegar dan songsang. Malah tidak dinafikan juga, golongan manusia-manusia yang usianya sudah ‘meniti senja’ masih tidak boleh membuang tabiat mata keranjangnya, sehinggakan darah daging sendiri menjadi santapan nafsu buas mereka. Nauzubillah!. Saya tidak diskriminasi terhadap golongan ini, tetapi ia suatu yang benar-benar berlaku di zaman ini, lebih malangnya lagi ia sering diperlakukan oleh golongan-golongan yang menganggap mereka Islam. Islam itu Ad-deen, Islam itu Suci, Islam itu memberi satu pengertian yang besar terhadap umat manusia, haiwan, tumbuhan dan alam semesta ini. Islam membawa rahmat kepada sekelian makhluk, sekelian ciptaan-Nya. Tahukah kita akan hakikat ini?.

Allah s.w.t Berfirman :
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”
(Surah ali-Imran – Ayat 19).

“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (surah Ali-Imran – Ayat 85).

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Diantara kamu ada yang beramal baik hingga hampir masuk syurga, kemudian datang ketentuan Allah, maka dia beramal buruk dan lalu dicampakkan ke dalam neraka”
(Hadith Riwayat Bukhari).

Maka jelaslah kepada kita, bahawa prinsip Islam itu perlu diperteguhkan walaupun ia memerlukan satu pengorbanan yang amat tinggi. Saya pernah diajukan oleh rakan sekerja saya yang beragama Budha, ketika kami sama-sama bekerja di tapak pembinaan di sebuah negeri di sebelah selatan tanahair. Ketika itu kami ditugaskan sebagai monitori sebuah projek pusat pengajian tinggi (Universiti Teknikal Melaka Malaysia – Utem). Walupun rakan sekerja saya ini beragama Budha, tetapi minat untuk mendalami akan Islam jelas terpancar dari raut wajahnya, Ia memberikan satu penguraian yang lebih menarik, bilamana ketika itu kami sama-sama menyewa di sebuah rumah tetapi berlainan bilik. Kadangkalanya pula, soalan-soalan berisi pengisian hati dan jiwa sering diajukan dari beliau kepada saya, sehinggakan saya mengambil masa yang tidak terlalu lama untuk menerangkan kepadanya, ini kerana untuk memberi penjelasan terhadap persoalan itu memerlukan satu jawapan yang tepat tanpa saya huraikan dengan panjang lebar dan mengunakan falsafah. Selalunya jawapan yang saya berikan itu memberi kesan yang mendalam terhadap beliau, sehinggakan buku-buku rujukan saya dipinjam dan dibaca olehnya dengan masa yang singkat. Saya masih ingat lagi soalan yang saya anggap sebagai soalan “Killer” yang telah diajukan beliau kepada saya, iaitu : Kenapa orang-orang Islam yang bersolat tetapi masih lagi melakukan pekara-pekara mungkar (maksiat)?. Jawapan ini saya perlu ajukan juga kepadanya, kenapa orang-orang beragama budha bersembahyang, tetapi ia masih melakukan kejahatan?. Lataran jawapan dari beliau adalah kerana mereka tidak menganggap agama budha itu satu agama mereka. Dan beliau sendiri menyatakan, bahawa agama budha itu hanya berlaku ketika berlakunya hari-hari kematian dan perayaan sahaja. Jawapan dari beliau itu amat jelas bahawa, prinsip agama yang dibawa oleh mereka itu sebenarnya tidak memberi kesan yang mendalam terhadap hati-hati dan jiwa-jiwa mereka sebenarnya. Lantas saya menjelaskan kepadanya tentang soalan yang telah diajukannya terhadap saya tadi.

Kenapa orang-orang Islam yang bersolat tetapi masih lagi melakukan pekara-pekara mungkar (maksiat)?.

1) Lalai Ketika Solat
Solat itu tiang asas agama Islam, Solat itu mencegah dari pekara-pekara mungkar, Solat itu memberi kesan terhadap hati dan jiwa seseorang, solat itu memberi ketenangan abadi terhadap rohaniah dan jasmaniah. Jika kita bersolat tetapi masih tidak segan silu mengerjakan pekara-pekara kemaksiatan, maka beerti solat tersebut adalah solat yang diawang-awangan. Ini amat jelas ketara bilamana mendirikan solat ketika di hujung-hujung masuknya waktu solat yang seterusnya. Solat yang sedemikian adalah solat bagi mereka-mereka yang lalai ketika bersolat. Lalai dengan karenah keduniaan, kemasyuran harta dan kekayaan serta dibelenggu dengan tugas-tugas harian. Kadangkalanya pula, mereka-mereka yang lalai dalam solat tersebut, lupa dan tertinggal akan rukun-rukun dan adab-adab ketika bersolat. Terlalu terikut-ikut dan fikiran masih berkecamuk dengan urusan peribadi dan urusan tempat kerja, yang sering terbawa-bawa ketika dalam solat. Bukankah itu menunjukkan bahawa ia salah satu solat yang tidak membawa erti dan makna terhadap diri kita kelak. Sebagai contoh, Sebagai seorang pelajar, ia akan memberi tumpuan terhadap apa yang diajarkan kepadanya oleh guru atau pensyarah ketika di dalam kelas atau kuliah. Jika penumpuan itu tersasar jauh, maka ia akan memberi kesan yang negatif terhadapnya dan memberi kesan impak yang mendalam terhadap bidang pencarian ilmu. Maka dengan itu, tumpuan perlu diketengahkan demi untuk tidak ketinggalan dalam pencarian ilmu. Begitu juga dengan bersolat, jika gagal untuk mendalaminya, maka kita akan berkeadaan lalai dan alpa terhadap perlakuan dan perbuatan kita ketika bersolat.

Allah s.w.t Berfirman ;
“(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang “ ”(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya”. (Surah Al-Maa’un – Ayat 4 & 5).

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesiapa yang bersolat, tetapi solatnya tidak dapat menjauhkan dia dari perbuatan keji dan mungkar, maka solatnya itu hanya menjauhkan dirinya dari Allah” (Hadith Riwayat Baihaqi).

2) Tidak Menghayati Bacaan Ketika Solat.
Masaalah yang sama juga sering berlegar-legar kepada kita ketika bersolat iaitu tidak menghayati, tidak memahami dan kurang penumpuan terhadap bacaan dan rukun-rukun ketika berada di dalam solat. Bukankah ini suatu pekara yang amat merugikan kita?. Bersolat tetapi masih tidak memberi tumpuan penuh terhadap bacaan yang telah Nabi s.a.w ajarkan kepada kita. Seringkali juga pekara-pekara ini berlaku ketika tibanya solat subuh. Ada juga sesetengahnya pula masih leka dan sering tersalah ketika membaca surah asas ketika solat tersebut. Saya amat tertarik dengan satu hadith Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di mana hadith tersebut menyatakan bahawa, suatu ketika pada zaman Rasulullah s.a.w, di sebuah masjid dan diimami oleh seorang imam yang sering membacakan surah yang amat panjang sehinggakan ia melibatkan masa yang terlalu lama ketika bersolat tersebut. Pekara ini sering berlaku dan ia telah diajukan kepada Rasulullah s.a.w, tentang pekara tersebut oleh sahabat-sahabat baginda. Lantas baginda bergegas ke rumah ibadah tersebut dan menemui imam itu serta menyatakan kepada beliau, supaya memendekkan bacaan surah ketika bersolat berjamaah. Baginda menjelaskan bahawa, jika hendak mengimami sesuatu jemaah, hendaklah kita meringkaskan bacaan surah di dalam solat, ini kerana, ia dapat memudahkan para makmum yang berada di belakang untuk memberi tumpuan terhadap bacaan mereka dengan baik, dan berkemungkinannya pula ditakuti para makmum yang berada dibelakang tersebut, boleh jadi ada yang berkeadaan yang sakit, tua dan uzur serta tidak berkemampuan untuk berdiri terlalu lama atau mempunyai urusan-urusan lain yang penting untuk dilaksanakan dengan segera. Lantaran dengan itu ditakuti juga, para makmum tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap solat kerana keletihan akibat terlalu lama menunggu. Nasihat Nabi s.a.w ini patut kita contohi ketika ini, di mana para imam wajib dan perlu peka terhadap makmum yang mengikuti jemaahnya. Tetapi apa yang malangnya pekara ini jelas dan amat ketara bila solat-solat sunat ketika Ramadhan itu dipanjangkan sehinggakan menyebabkan para makmun ‘lari’. Islam itu bukan satu penindasan, Islam itu terlalu suci. Ini menunjukkan kepada kita, bahawa Islam itu mementingkan kebajikan dan kesejahteraan pengikut-pengikutnya. Oleh yang demikian penumpuan terhadap bacaan ketika solat itu wajib kita kelolakan dengan betul dan baik sekali untuk mengelakkan kita kurang tumpuan ketika berada di dalam solat.

3) Tidak Khusyuk Ketika Solat.
Pekara yang ketiga yang akan saya sebutkan ini adalah tidak khusyuk ketika bersolat. Pekara ini sering dibelenggu dikalangan kita. Pekara yang sememangnya manusia tahu dan peka malah ia sering alpa dan endah ketika bersolat.

Allah s.w.t Berfirman :
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
(Surah Al-Baqarah – Ayat 45).

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Orang mukmin itu, segera solat bila sampai masa, solatnya khusyuk, kata-katanya penawar, sabarnya takwa, diamnya berfikir dan pandangannya ikhtibar” (Hadith Riwayat Hassan Basri).

Jika kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda dan para sahabat sering bersolat dalam keadaan yang khusyuk, dengan penuh keimanan tanpa ada sedikit keraguan. Ini sebagai contoh yang perlu kita lihat dan teladani dengan begitu baik sekali. Jika suatu isu itu berlegar-legar di minda kita ketika bersolat, maka untuk mendapatkan solat yang khusyuk itu mengkin tersasar jauh. Sebagai contoh, dalam pasukan perbarisan, mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan setiap pergerakan dan perbuatan mereka seiring dengan rakan-rakan mereka yang lain, untuk menampakkan sesuatu yang menarik dalam perbarisan tersebut, latihan demi latihan dijalankan untuk memperolehi pergerakan perbarisan yang menarik dan dikagumi. Kadangkalanya pula, ia melibatkan masa latihan yang agak lama, tetapi jika dalam sebuah perbarisan itu ada segelintir yang tidak memberi tumpuan, maka kecacatan jelas ketara ketika perbarisan itu berlaku. Tumpuan, penelitian, peka dengan arahan adalah matlamat untuk menjadikan suatu pasukan perbarisan itu menarik. Begitu juga dengan bersolat, jika penelitian, penumpuan itu tersasar jauh, maka bagaimana kita hendak mengadap Allah dengan keadaan kita yang terumbang-ambing serta tidak ketentuan terhadap diri kita. Bukankah itu pekara yang amat-amat merugikan ibadah kita. Suatu pekara yang dibuat tanpa mendapat apa-apa ganjaran kecuali penat dan letih sahaja. Islam mengajar kita tentang pemikiran yang total, pemikiran penumpuan yang luas terbuka. Cuba kamu lihat para ilmuan Islam terdahulu, seperti Ibnu Sinna, Ibnu Khaldun, Ibnu Batutha dan sebagainya, mereka memperolehi solat yang khusyuk terhadap ibadah mereka ketika menyembah Allah s.w.t, dan ganjaran hingga ke hari ini mereka memperolehi barakah dariNya. Dan jelas ketara ketika para sahabat-sahabat Nabi s.a.w bersolat sehingga ada yang menyatakan dalam kitab-kitab israeliyat terdahulu bahawa terdapat burung-burung hinggap ke badan para sahabat ketika bersolat. Itu salah satu contoh yang perlu kita ambil dan wajib kita contohi untuk hari-hari yang mendatang ini.

Setelah penguraian tentang tiga pekara tersebut telah saya olahkan dengan terperinci, maka terjawaplah segala persoalan yang telah diajukan kepada saya oleh rakan sekerja tadi. Tetapi perlu diingati juga, kita dipermulaan bab, banyak lagi yang perlu saya jelaskan kepada anda semua tentang kategori-kategori solat yang umumnya dilakukan kita dimasa ini dan ia bolehlah memusabahkan diri kita yang fakir dan dhaif ini untuk membuahkan sesuatu yang lebih baik dan sempurna dari sebelum ini. Insyaallah.



Solat Terbahagi Kepada Tiga Kategori.

“Solat Peminta”. Zahirnya ia melihatkan kepada kita tentang pekara-pekara yang sering kita terlupa, bahawa ia kadangkala dilakukan dengan sengaja oleh kita. Bersolat sekadar untuk meminta sesuatu untuk keperluan hawa nafsu dan mempunyai agenda tersendiri serta ganjaran, yang menyebabkan kita jauh dari rahmat-Nya. Solat yang saya sifatkan ini, merupakan satu solat yang hanya bersolat sekadar untuk memenuhi hajat dan ganjaran seseorang lantas meminggirkan rahmat-Nya. Ini jelas amat ketara sekali ada segelintir pelajar-pelajar atau orang awam yang minoritinya sekadar bersolat untuk lulus dalam sesebuah peperiksaan. Bersolat sekadar memohon ganjaran terhadap apa yang mereka hajati. Bukankah itu menunjukkan kepada kita betapa jauhnya kita terhadap prinsip Islam itu sendiri. Jika bersolat itu punyai niat dan agenda tersendiri, maka perbetulkanlah niat kita ketika bersolat. Perbetulkan segala Aqidah kita yang hanya membuahkan suatu pekara-pekara yang menjauhkan diri terhadap rahmat Allah s.w.t.

“Solat Takut”. Satu pekara yang masih sebati dalam diri segelintir masyarakat kita. Bersolat kerana perasaan takut dan gentar terhadap seksaan dari Allah s.w.t. dengan perasaan takut dan gentar itulah menyebabkan diri tersebut tidak khusyuk dan mengangap bahawa solat itu satu pekara yang menakutkan. Mungkin ada sedikit kekeliruan terhadap anda diluar sana, tetapi saya cuba terangkan kepada kamu semua tentang kategori solat ini. Bersolat dengan berkeadaan takut, dan gerun terhadap seksaan Allah s.w.t tentang azabnya api neraka, seksaan dunia dan seksaan kubur. Solat sedemikian merupakan satu solat yang jelas ketara tentang buruknya solat tersebut terhadap Maha Pencipta. Islam mengajar kita tentang sifat-sifat yang baik, sempurna, tawadhok dan menjadikan kita insan yang peka serta beriltizam dalam menempuhi segala rintangan hidup. Bersolat dengan perasaan takut dan meminggirkan rahmat Allah dalam solat, adalah pekara yang tidak baik untuk kita contohi. Bersifat perasaan takut, gerun dan gentar ketika bersolat menjadikan diri kita tersasar jauh serta agenda khusyuk dalam solat itu telah jauh menyimpang dan nas-nasnya. Sebagai contoh, jika seorang yang sedang belajar memandu kereta, pada mulanya ia berkeadaan tidak stabil dan berasa takut untuk belajar memandu, tetapi apabila perasaan takut itu mula memuncak tinggi, maka adakah ia dapat memandu kereta tersebut, tentu ‘Tidak Boleh’, kerana perasaan takut terhadap kereta menganggu situasinya ketika memandu nanti, dan ‘Boleh’, tetapi pemanduannya itu mungkin ada sedikit kecacatan, akibat dari perasaan takutnya dia terhadap kereta itu. Dan seterusnya boleh menyebabkan ia berasa gementar lalu mengambil masa yang agak lama untuk memandu kereta tersebut. Bukankah jelas, faktor ketakutan itu menggugat kretibitinya sebagai pemandu. Perasaan takut itu juga berkecamuk sehinggakan solat yang sepatutnya dilakukan dengan betul dan tertil, tidak dapat dilakukan dengan khusyuk. Allah Maha Pengasih lagi Maha penyayang setiap makhluk-Nya, adakah kamu semua terlupa akan itu. Fikirkanlah!.

“Solat Tanda Kesyukuran”, beerti bersolat tanda syukurnya seorang hamba terhadap Maha Pencipta. Bersyukurnya terhadap keredhoan Allah s.w.t terhadap hamba-hamba-Nya. Solat yang sedemikian inilah yang perlu kita terapkan dalam diri kita. Beribadah tanda kesyukuran seorang hamba terhadap Illahi di atas nikmat dan kurniaan-Nya kepada kita. Bukan sekadar bersolat dan beribadah semata-mata untuk ganjaran syurga, tetapi beribadah adalah untuk rasa kasih dan sayangnya seoraang hamba terhadap Maha Pencipta. Di dalam konsep ini, ia memerlukan satu penerapan hati yang utuh dan jitu terhadap Maha Pencipta, di atas pemberian, kurniaan-Nya dan segala nikmat yang tidak terhingga terhadap kehidupan kita.

Allah s.w.t Berfirman :

”Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al Hujurat - Ayat 13).

Waallahu’ alam.

2 comments:

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails