Tuesday, 8 September 2009

Rasulullah SAW Begitu Istimewa - Bahagian 1.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam .



Islam bermaksud selamat atau sejahtera. Agama Islam merupakan agama asal bagi manusia. Ia bukan hasil dari suatu perkembangan pemikiran dan kebudayaan manusia, tetapi ia adalah fitrah semulajadi yang telah ada pada setiap manusia. Perkataan Islam juga membawa maksud tunduk dan menyerah diri kepada Allah s.w.t. Terdapat perkataan Islam disebut dalam Al-quran yang bermaksud :

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Surah Al-Maidah – Ayat 3).

Dalam masa yang sama Allah menegaskan bahawa agama selain dari Islam ditolak oleh Allah sebagaimana firman-Nya :

“Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imraan – Ayat 85).

Agama Islam mempunyai kedudukan yang berbeza dengan agama lain. Ini adalah disebabkan agama Islam akan sentiasa terpelihara daripada sebarang penyelewengan sebagaimana yang telah berlaku kepada agama lain. Agama Islam juga merupakan syariat Nabi Muhammad s.a.w iaitu Nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah di mana keseluruhan ajarannya telah jelas dan tidak dapat diragukan lagi. Segala ajaran Islam telah disebut dengan jelas di dalam Al-quran sejak lebih kurang 1400 abad yang silam.

Berkisarkan kepada penerangan ini juga, maka wajiblah kita mempercayai segala ajaran yang dibawa oleh junjungan kita Rasulullah s.a.w tanpa ada syak dan prasangka serta wajib kita kelolakan dan sebarkan mengunakan akal dan iman kita sebaik mungkin. Saya begitu terkejut, bilamana ada segelintir saudara-saudara kita yang mengakui akan dirinya sebagai pendakwah yang mengunakan laman siber untuk berdakwah, tetapi masih mengunakan atau melampirkan sikap yang terlalu ‘Prig concept’ terhadap komen-komen atau pertanyaan dari para pembaca blog beliau. Mengunakan perkataan amarah dan melampirkan sikap yang negatif terhadap mereka-mereka di luar sana merupakan pekara biasa yang boleh kita lihat dekad ini. Perlu diingati juga, bahawa berdakwah bukanlah sekadar mengikut hati dan nafsu semata, sikap terlalu melahirkan perasaan marah dan tidak mahu menerima pendapat adalah satu pekara yang perlu kita elakkan. Saya tertarik dengan satu hadith Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim r.a, di mana pada suatu ketika baginda bersama-sama sahabat sedang berada di dalam masjid, lalu datang seorang pemuda yang tidak tahan untuk membuang air kecil, lalu pemuda tersebut lantas membuangnya di dalam masjid. Pekara ini telah dapat dilihat oleh Baginda dan sahabat-sahabat baginda, lantas para sahabat memberitahu baginda agar menangkap pemuda tersebut untuk dihukum kerana membuang air kecil di kawasan masjid tersebut. Tetapi baginda s.a.w hanya menyatakan “biarkanlah, mungkin dia tidak ketahui adab-adab untuk membuang air kecil, dan aku akan mengajar dia dan kamu semua, bagaimana kita hendak menyucikan tempat yang terkena najis” lantaran dari ucapan Baginda tersebut, para sahabat tergamam. Begitulah sikap Baginda, aqidah yang dibawa oleh Baginda itu menunjukkan sikap sabar dan toleransinya Baginda ketika berdakwah. Seharusnya kita patut mencontohi dari apa yang telah Nabi s.a.w ajarkan kepada kita. Berubahlah wahai saudara-saudaraku sekelian, Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w itu satu ikutan dan petunjuk kepada sekelian manusia. Sesungguhnya keperibadian Nabi itu merupakan sebuah Al-quran yang bergerak. Maka ikutlah sunnah yang telah baginda berikan kepada kita. InsyaAllah.

Berbalik kita kepada persoalan pokok yang akan saya huraikan ini, kita tinggalkan seketika tentang forum di atas tadi, untuk melanjutkan perbincangan kita mengenai tajuk yang telah saya utarakan di atas.

Mendalami sejarah dan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w, Nabi junjungan umat Islam yang terakhir, kita akan dapati banyak contoh dan panduan yang boleh kita ambil sebagai pelengkap kepada kehidupan. Hakikatnya segala ajaran dan nasihat yang dibawa oleh Baginda sesuai untuk semua lapisan umat manusia, tidak kira masa, tempat dan zaman. Saya cuba jelaskan kepada saudara-saudara semua tentang istimewanya Rasulullah s.a.w berbanding para Nabi dan Rasul terdahulu. InsyaAllah.

1) Nabi Muhammad s.a.w adalah satu-satunya Nabi yang diutuskan untuk seluruh umat manusia. Berbeza dengan para Nabi sebelumnya di mana mereka diutuskan untuk kaum tertentu sahaja. Sebagai contoh yang saya akan bawa di sini adalah Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s yang hanya diutuskan untuk kaumnya sendiri iaitu kaum Bani Israel. Kalau kita lihat pada masa sekarang, seluruh umat manusia tahu akan kebenaran Islam yang telah dibawa oleh Baginda. Jelas dan ketara sekali di Negara kita iaitu Malaysia, Islam tersebar luas di pelusuk negeri dan Islam juga tersebar dengan sendirinya kepada setiap bangsa-bangsa yang terdapat di Malaysia. Bukankah ini menunjukkan ia satu kebenaran?.

Sabda Isa a.s :
“Tidaklah aku disuruh kepada yang lain hanya kepada segala domba yang sesat di antara Bani Israel” (Matius 15:26).

“Maka kedua belas orang inilah yang disuruh yesus dengan pesannya demikian, janganlah kamu pergi ke negeri orang kafir, dan janganlah kamu masuk ke negeri orang Samaria” (Matius 10:5,6).

Dengan demikian jelaslah kepada kita, bahawa agama kristian ini sebenarnya adalah suatu agama yang dikhususkan kepada Bani Israel sahaja, bukan untuk semua manusia di atas dunia. Tetapi umat kristian sekarang ini tidak lagi berpegang kepada kitab sucinya, sehingga ia melanggar fatwa Nabi Isa a.s itu sendiri. Secara jelasnya Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w itu sebagai Nabi dan Rasul terakhir untuk seluruh umat manusia telah dijelaskan dalam kitab Injil di mana kedatangan Baginda adalah untuk memberi rahmat dan berita gembira kepada seluruh umat manusia. Pekara ini jelas terdapat di dalam kitab injil sebagai berikutnya :

“Dan aku akan meminta kepada Bapa, maka dia akan mengurniakan kepada kamu penolong yang lain, supaya ia menyertai kamu selama-lamanya”

(Yahya 14:16).

“Iaitu Roh Kebenaran, yang dunia ini tidak dapat menyambut oleh sebab ia tiada nampak akan Dia, dan tiada kenal Dia. Tetapi kamu kenal Dia, kerana Ia tinggal beserta dengan kamu, dan Ia akan ada dalam Kamu” (Yahya 14:17)

2) Nabi Muhammad s.a.w merupakan penutup bagi keseluruhan Nabi dan Rasul sebelumnya. Tiada Nabi selepas Baginda dan Islam itu telah lengkap pada zaman pemerintahan Baginda. Saya amat tertarik, bilamana ada sesetengahnya manusia yang masih mengakui bahawa dia adalah utusan dari Allah setelah kewafatan Nabi s.a.w, dan turut mengakui bahawa ia adalah Nabi dan Rasul bagi kaum Melayu. Ini sungguh memeranjatkan kita semua, apabila sikap segelintir manusia yang terlalu taksub akan konsep kenabian. Daripada penelitian saya, mereka ini merupakan golongan yang jahil terhadap Kalam Allah. Mentafsirkan isi Al-quran mengikut pendapat dan pandangan sendiri sehinggakan mengetepikan segala ajaran Nabi s.a.w melalui para Ulama pewaris Nabi. Golongan ini juga merupakan golongan yang sesat dan golongan yang sangat-sangat dilaknati oleh Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya sebenar-benar percakapan adalah kitabullah (Al-quran), sebaik-baik petunjuk Sunnah Muhammad s.a.w, seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diadakan di dalam agama Allah, setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan, dan setiap yang menyesatkan itu sudah tentu tempat kembalinya ke neraka.”

Allah s.w.t Berfirman :
“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sod – Ayat 29).



3) Mu’jizat Rasulullah s.a.w yang paling besar iaitu Al-quran adalah mu’jizat yang kekal hingga hari kiamat sementara mu’jizat dan tanda Nabi dan Rasul sebelumnya hanya muncul pada saat kejadian. Sebagai contoh yang saya bawakan di sini adalah Nabi Isa a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati dengan keizinan Allah s.w.t. Dan Nabi Musa a.s yang boleh mengeluarkan air melalui ketukan tongkatnya ke atas batu bagi mengeluarkan 12 pancutan air ketika perjalanannya bersama-sama kaum Bani Israel keluar dari bumi Mesir akibat di kejar oleh askar-askar Firaun. Al-quran merupakan mu’jizat Nabi s.a.w yang kekal hingga kehari kiamat kelak. Maka beruntunglah kita kerana masih dapat membaca dan mengkaji mu’jizat Nabi s.a.w hingga ke hari ini.

Allah s.w.t Berfirman :
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Surah Al-Qamar – Ayat 17).





4) Kitab-kitab samawi seperti Taurat dan Injil tidak dapat dihafal oleh para rahib dan pendeta, sedangkan kitab suci Al-quran sangat mudah dihafal oleh semua bangsa di muka bumi ini dari usia kecil hinggalah dewasa. Bahkan mereka yang tidak memahami bahasa arab juga boleh menghafalnya. Selain dari itu kitab-kitab samawi ini juga telah dimansuhkan sejak diturunkan Al-quran pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Saya amat tertarik bila saya pergi kesebuah Pusat Pengajian Tahfiz Al-quran di kawasan daerah saya, di mana ketika itu saya bersama-sama rakan saya dapat melihat dengan sendirinya, kanak-kanak dari golongan bawah lingkungan umur 10 tahun sudah dapat menghafaz Al-quran bersama-sama tajwid dan tafsirannya. Pekara ini amat jelas kepada kita, bilamana tibanya bulan Ramadhan yang sedang kita lalui ini, pelajar-pelajar tahfiz mula mengimami makmum dengan bacaan Al-quran yang begitu lancar dan tertil sekali sehinggakan dapat menghabiskan 114 surah dalam masa 30 hari. Golongan tahfiz ini juga adakalanya boleh menghafaz setiap hadith-hadith Rasulullah s.a.w dengan begitu jelas dan terang sekali. SubhanaAllah. Tetapi apa yang paling mendugacitakan kita pada hari ini, golongan penghafaz Al-quran ini sering dipinggirkan, lebih-lebih lagi bila habisnya bulan Ramadhan, mereka diketepikan dan diperlukan bila datangnya bulan yang mulia ini. Ini satu bentuk budaya masyarakat kita yang telah lama sebati dalam jiwa-jiwa dan hati-hati para koordinasi masjid. Saya begitu tertarik dengan sebuah hadith Rasulullah s.a.w, di mana telah diriwayatkan oleh Iman Bukhari dan Muslim r.a di dalam hadith shohih Baginda, telah menyatakan, ketika berlakunya perang Badar, ramai penghafaz-penghafaz Al-quran dari kalangan para sahabat Baginda telah Syahid di medan perang, lalu Baginda menyuruh para sahabatnya yang lain untuk mengali sebuah kubur yang besar untuk semadikan semua para syuhadah. Apa yang menariknya di sini, Baginda bertanya kepada para sahabat Baginda, “Siapakah di kalangan Syuhadah ini yang paling banyak menghafaz Al-quran?” maka jawab para sahabat, “sifulan dan sifulan”. Lantaran dari itu, baginda mendahului dahulu para syuhadah penghafaz Al-quran kemudian barulah para syuhadah yang tidak atau yang belum menghafaz Al-quran. Jelaslah kepada kita, Rasulullah s.a.w lebih mengutamai para syuhadah yang menghafaz Al-quran dari para syuhadah yang belum menghafaznya lagi. Tetapi apa yang malangnya di negara kita pada hari ini, golongan penghafaz Al-quran ini mendapat tempat yang kurang baik dalam organisasi negara dan dipandang sepi, ini kerana masyarakat kita (segelintir) lebih mengagungkan ijazah-ijazah dari barat yang lebih kepada fahaman ideologi Darwinisme. Berubahlah saudara-saudaraku, demi kemajuan Ummah sejagat, demi Islam yang Ad-deen!.

5) Sunnah Baginda s.a.w dijaga Allah s.w.t supaya tidak hilang. Justeru itu, Hadith Nabi Muhammad s.a.w menjadi sumber kedua selepas Al-quran dalam mencari sesuatu permasaalahan dalam kehidupan dan ajaran Islam. Ini amat bersesuaian sekali bilamana Baginda bersabda :

“Telah aku tinggalkan dua pekara ini untuk kamu, agar kamu semua tidak akan sesat sama sekali bilamana Al-quran dan Sunnahku menjadi ikutan dan pegangan kamu semua hingga ke hari kiamat kelak.” (Hadith Riwayat Tarmizi).

Oleh yang demikian, cara ikutan dan ajaran Rasulullah s.a.w wajiblah kita kelolakan dengan sebaik mungkin sepertimana yang telah Baginda amanatkan kepada kita sejak 1400 tahun yang lalu. Adakalanya kita berpegang kepada Al-quran tetapi masih meminggirkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Ini amat jelas ketara dalam urusan-urusan membabitkan alam perkahwinan. Ucapan-ucapan dari mulut-mulut manusia yang gemar melafazkan talak tanpa memikirkan akibat seterusnya, menyebabkan Sunnah Nabi s.a.w itu dipinggirkan sejauh-jauhnya. Jika kita mengkaji sejarah penaklukan kota Melaka dari tangan-tangan pihak kristian iaitu Portugis, pihak-pihak inilah yang bertanggungjawab membakar dan memusnahkan semua kitab-kitab agama Islam. Dengan penaklukan kota Melaka itu juga, banyak Al-quran dan kitab-kitab sunnah Rasulullah s.a.w dimusnahkan oleh mereka, sehinggakan begitu sukar pada masa itu untuk memperolehinya. Tetapi apa yang menakjubkan kita zaman ini, bahawa Al-quran dan dan kitab-kitab Sunnah Baginda s.a.w begitu mudah untuk kita dapati disetiap corong-corong kehidupan kita ini. Tetapi apa yang malangnya hari ini, golongan kita masih tidak tahu membezakan antara ajaran Islam dengan ajaran khayalan duniawi. Kalaulah begini sikap kita, maka 1000 tahun lagi belum tentu kita dapat takluki bumi Palestin dari pihak Ahli kitab. Fikirkan!.

Allah s.w.t Berfirman :
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya” (Surah Al-Maidah – Ayat 48).





Kebahagian 2 (disini)

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails