Monday, 17 August 2009

Sejarah Hidup Abu Ubaidah Bin Jarrah R.A.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam.

Dunia kini dikejutkan dengan pelbagai gelombang ideologi minda dari pihak Ahli kitab yang sengaja menimbulkan kepelbagaian kepincangan umat Islam khasnya. Pelbagai perancangan dengan teliti dan halus berlegar-legar demi untuk meluputkan segala peninggalan Ilmuan Islam, yang telah sebati dalam jiwa-jiwa golongan Mukmin dekad ini. Ini pula disokong oleh pihak-pihak yang saya gelarkannya sebagai 'duri dalam daging' (Munafik), yang masih tidak berputus asa untuk memesongkan Aqidah umat Islam. Dengan sengaja menimbulkan satu fenomena baru yang amat jengkel dan meluputkan segala sejarah Umat-umat atau tokoh-tokoh Islam yang Ulung. Hal ini amat ketara bilamana tokoh-tokoh yang saya anggap sebagai 'Tokoh Bacul' dimainkan pihak ahli kitab dan munafik untuk menunjukkan kemewahan, kekayaan, kekuatan dan kemasyuran individu tertentu untuk menunjukkan bahawa tokoh tersebut patut disanjung dan digah dari tokoh-tokoh Ilmuan Islam yang telah umat Islam ketahui umum. Dengan mewar-warkan satu ideologi baru ini juga, ramai golongan muda terpengaruh dan menjadikan 'Tokoh Bacul' ini menjadi idola dan ikutan sepanjang zaman, sedangkan tokoh tersebut hanya sebagai pemain atau ahli sukan yang tidak ada pengetahuan langsung tentang seorang tokoh ulung. Lihat sahaja, dinegara kita amnya masih tidak segan silu mengagungkan tokoh-tokoh sukan tersebut yang kebanyakannya datang dari golongan yang kufur terhadap Allah s.w.t. Golongan yang mengajak orang ramai supaya, berpesta, berkelakuan buruk, meminum arak, berzina secara rambang, berjudi, membazir dan sebagainya. Adakah ini cara ikutan kita selama ini?. Mungkin persoalan 'semangat berpasukan' ini dimainkan oleh mereka untuk mengagumi tokoh-tokoh tersebut, tetapi cuba kamu bayangkan, kenapa Islam itu tersebar dengan meluas dipelusuk dunia, adakah dengan semangat berpasukan, atau adakah ikutan rambang dari pengikutnya?, tentu 'Tidak'. Fikirkan!. Untuk itu dalam topik saya yang seterusnya ini adalah satu rentetan permulaan bagi kita untuk mengenal akan tokoh-tokoh Ilmuan Islam yang sememangnya kita ketahui umum sejak dari bangku sekolah lagi.



Perbanyakkanlah Ilmu-ilmu tentang tokoh-tokoh dan jasa-jasa pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada kita 1400 tahun dahulu yang tiada penganti dan tolok bandingnya pada zaman kita sekarang. Maka dengan itu ambillah satu informasi baru yang menyeluruh untuk kita sama-sama mentauhidkan Agama Allah s.w.t seperti mana yang telah tokoh-tokoh Islam ini lakukan dahulu. Sumber-sumber rujukan ini juga saya kutip dari buku-buku dan kitab-kitab terbitan dari negara seberang (Indonesia), di mana saya anggapkan ia sebuah 'Negara Gedung Ilmuan Islam' yang mahsyur di Nusantara ini. Semoga dengan ini, sedikit sebanyak saya lampirkan dalam bahasa Ibunda bagi melahirkan satu golongan yang faham dan mengerti diseluruh umat Islam khasnya di negara Nusantara. InsyaAllah.

Sejarah Hidup Abu Ubaidah Bin Jarrah R.A.

Tubuhnya kurus tinggi dan berjanggot nipis. Beliau termasuk orang yang pertama memeluk Islam. Identitinya dapat kita ketahui melalui sabda Nabi SAW :
“Sesungguhnya setiap ummat mempunyai orang kepercayaan, dan kepercayaan ummat ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah." Kehidupan beliau tidak jauh beza dengan kebanyakan sahabat-sahabat yang lain, diisi dengan pengorbanan dan perjuangan menegakkan Islam yang Ad-Deen. Oleh yang demikian, ketika beliau pergi berhijrah ke Ethiopia pada gelombang kedua demi menyelamatkan aqidahnya. Namun kemudian beliau balik kembali untuk menyertai perjuangan Rasulullah SAW , mengikuti setiap peperangan sejak perang Badar. Pada saat perang Uhud, Abu Ubaidah menunjukkan keutuhan keimanannya. Dalam situasi peperangan yang begitu dasyat, ia melihat ayahnya dalam barisan kaum musyrikin. Dan melihat kekufuran ayahnya, tanpa ragu lagi, ia mengayunkan pedangnya untuk menghabiskan salah satu kumpulan Quraisy yang tidak lain adalah ayahnya sendiri.

Masih dalam perang Uhud, ketika pasukan muslimin kucar-kacir dan banyak yang lari meninggalkan pertempuran, justru Abu Ubaidah berlari untuk mendapatkan Nabi SAW tanpa takut dan gentar sedikitpun terhadap musuh-musuh Islam dan segala rintangan. Lalu ia dapati pipi Nabi SAW terluka, iaitu terhujamnya dua rantai besi penutup kepala beliau, segera ia mencabut rantai tersebut dari pipi Nabi SAW . Abu Ubaidah mulai mencabut rantai tersebut dengan gigitan giginya. Rantai itupun akhirnya terlepas dari pipi Rasulullah SAW . Namun bersamaan dengan itu pula gigi seri Abu Ubaidah ikut terlepas dari tempatnya. Abu Ubaidah tidak gentar terhadap musuh-musuh Islam pada ketika peperangan tersebut. Diulanginya sekali lagi untuk mengigit rantai besi satunya yang masih menancap dipipi Rasulullah SAW hingga terlepas. Dan diikuti juga dengan tercabutnya gigi Abu Ubaidah sehingga dua gigi seri sahabat ini tercabut kerananya. Sungguh, satu keberanian dan pengorbanan yang tak terperikan.

Sisi lain dari kehebatan sahabat yang satu ini adalah kezuhudannya. Ketika kekuasaan Islam telah meluas dan kekhalifahan dipimpin Umar r.a, Abu Ubaidah menjadi pemimpin didaerah Syria`. Saat Umar mengadakan kunjungan dan singgah dirumahnya, tak terlihat sesuatupun oleh Umar r.a kecuali pedang, perisai dan pelana tunggangannya. Umarpun lantas berujar,"Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu sebagaimana orang lain mengambilnya ?" Beliau menjawab, "Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup menyenangkan."
Lelaki mulia ini wafat ketika terjadi wabak penyakit tho`un di Syam. Selamat atasmu wahai Abu Ubaidah, semoga kami dapat meneladani perilakumu. Wallahu a`lam.





Sumber Rujukan :
Shifatu Shofwah : I/154 dll
( Disarikan dari Shifatush Shofwah, Ibnu Jauzi dan Qishhshu An-Nisa Fi Al Qur`an Al-Karim, Jabir Asyyaal )

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails