YA ALLAH,
Sesungguhnya Engkau yang mentadbir alam ini,
Sesungguhnya Engkau yang menciptakan diri yang fakir ini,
Sesungguhnya nikmat dan rahmatMu penuh tanda keagunganMu,
Sesungguhnya Engkau Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Aku dilahirkan dengan rahmatMu,
Engkau memberi kesempurnaan pancainderaku,
Engkau memberi kesempurnaan anggota tubuhku,
Betapaku bersyukur terhadapMu,
Meniti keagungan ciptaanMu.
YA ALLAH,
Kurniaan mataku ini dari rahmatMu,
Aku dapat melihat keindahan dan kesempurnaan ciptaanMu,
Aku dapat melihat kebaikan dari rahmatMu,
Aku dapat menerobos kebathilan dari hamba-hambaMu,
Mata ini akan terus melihat keEsaanMu,
Demi Engkau Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Kurniaan mulutku ini dari keagunganMu,
Aku dapat berkata-kata melalui lidah dan bibirku,
Aku dapat merasai setiap nikmat rezekiMu,
Aku dapat berzikir memujaMu,
Aku akan terus memperjuangkan kalimahMu,
Demi Engkau Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Kurniaan telinga ini dari tanda kebesaranMu,
Aku dapat mendengar kesempurnaan keagungan ciptaanMu,
Aku dapat mendengar lunak kalam suciMu,
Aku dapat mendengar desiran ombak biru,
Pendengaran ini akan terus memacu atas keredhaanMu,
Demi Engkau Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Kurniaan hidungku ini dari rahmatMu,
Aku dapat bernafas mengikut ketentuanMu,
Aku dapat menghidu keharuman ciptaan alamMu,
Aku dapat menghidu, harumnya para syuhadah,
Deria ini, akanku macu kesempurnaan ciptaan kemuliaanMu,
Demi Engkau Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Kurniaan tanganku ini dari keagunganMu,
Aku dapat mengapai setiap keperluanku,
Aku dapat menyentuh setiap gerakku,
Lantaran pena ini, ku lakar atas keredhaanMu,
Lantaran gerak tangan, ku bersujud terhadapMu,
Gerak tanganku ini tanda kesyukuranku terhadapMu,
Gerak tangan dan jemariku ini, biarlah berbakti terhadapMu,
Demi kurniaanMu ini, ku pergunakan ke jalan keredhaanMu,
Demi Engkau, Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Kurniaan kakiku ini dari tanda kebesaranMu,
Aku dapat melangkah menyusuri jalan-jalan keredhaanMu,
Aku dapat berjalan, menuju taman-taman syurgaMu,
Lantaran kakiku ini tanda kemuliaanMu,
Lantaran kakiku ini tanda kebesaran keagungan ciptaanMu,
Gerak kakiku ini membolehkanku bersolat,
Gerak kakiku ini membolehkanku mencari rezekiMu,
Demi kurniaanMu ini, ku perjuangankan ke jalan Fisabie’lillah,
Demi Engkau, Ya Rahman, Ya Rahim.
YA ALLAH,
Namun.. Namun aku lupa,
Terlalu fakirnya diri ini terhadapMu,
Terlalu kerdilnya diri ini terhadap keagunganMu,
Aku ditatang dengan pelbagai nikmatMu,
Aku diberikan dengan pelbagai anugerahMu,
Namun sukarku hendak membalasnya,
Namun sukarku hendak mensyukurinya.
Wahai Diri,
Perdekatkanlah diri ini terhadapNya,
Perbanyakkanlah zikir terhadapNya,
Tinggalkanlah dunia ini dengan seribu kepalsuan,
Kepalsuan laknatullah semata-mata,
Kepalsuan harta riba,
Kepalsuan muslihat dunia,
Kepalsuan maksiat melata,
Kepalsuan golongan berada,
Kepalsuan pangkat dan kedudukan sementara,
Kepalsuan hakikat dunia.
Wahai Diri,
Jika tauladan itu sudah menjelma,
Jika seksaan itu telah dikata,
Insafilah apa jua kebathilan dan kedurjanaan,
Usah mengikut nafsu membara,
Pergunakanlah masa sesingkat ini sesempurna,
Pergunakanlah jihad hati ke jalan keagunganNya,
Selagi nyawamu tidak tersekat-sekat,
Akibat menyeru segala maksiat,
Memungkiri segala nikmat,
YA ALLAH.
Fakirnya diri ini,
Menyusuri lembah tanpa rahmatMu,
Keredhaan dan kemuliaanMu itu penawarku,
Demi Engkau, Ya Rahman, Ya Rahim.
Hasil Pena : Muhammad Ibn Nazir.
No comments:
Post a Comment