Saturday, 27 June 2009

Tazkiatun Nafs.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam.

Pengukuhan Spiritualisme hati begitu tercabar di ambang dekad ini, akibat dari pencaturan hidup yang berpaksikan ideologi-ideologi atau fahaman-fahaman yang menjengkelkan. Setiap ruang-ruang kehidupan sering dipenuhi dengan sifat dan fitrah manusia yang masih lagi mencintai akan duniawi sehingga melupai akan hari kebangkitan. Namun yang demikian, setiap sesuatu yang memualkan dan memeritkan hati itu punyai penawar dan pengubatnya. Setiap permulaan itu berdetik dengan berakhirnya sesuatu episod. Sebagai contoh, sipesakit yang kronik memerlukan ubat untuk menjadi penawar bagi penyakitnya. Manakala sidoktor itulah orang yang bertanggungjawab untuk memastikan pesakitnya menerima rawatan mengikut kadar yang telah diwujud dan ditetapkan bagi membasmi segala macam kesakitan mengikut keredhaanNya. Begitu juga dengan golongan pelajar dengan pendidik, ilmu itu adalah penawar bagi pelajar untuk menjadi seorang insan yang berkualiti dan berwibawa. Golongan pendidik ini pula sebagai golongan yang menyuapkan segala macam ilmu, untuk pelajarnya bagi melahirkan pelajar yang tidak buta ilmu. Pendek kata, setiap apa yang menjengkelkan itu ada penawarnya, ada rawatannya dan ada hikmahnya. Perlu diingati juga, untuk melahirkan suatu yang pasti itu memerlukan satu pendekatan spritualisme yang jitu dan utuh untuk melahirkan golongan yang teguh Iman dan akalnya.

Sedekad ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai ragam manusia yang amat memalukan, tidak kiralah di tanahair kita (Malaysia), mahupun di Negara luar amnya. Fenomena demi fenomena terbuak keluar dari segenap penjuru, mengisahkan keaiban kejengkelan dan kedaifan buah fikiran. Lihat sahaja sekeliling kita, begitu ramai makhluk bernama manusia sewenang-wenangnya meremehkan dan merendahkan syariatNya. Dengan tidak mengenal akan identiti neraka dan syurga, tidak mengenal akan dosa dan pahala, tidak mengenal kebaikan dan keburukan, tidak mengenal halal dan haram serta begitu mudah dilihat dengan mata kasar disegenap penjuru ruang kehidupan ini. Walaupun ia telah diterjah dengan bertalu-talu oleh insan-insan yang menyintaiNya, namun masih ada lagi yang tewas dan tumbang akibat dari taksubnya akan nafsu. Di manakah perginya iman dan akal seseorang itu?.

Sebagaimana yang telah diketahui umum, suatu pencerahan telah ditamsilkan dengan begitu tertil sekali sejak dari permulaan terciptanya Nabi Adam a.s hingga ke hari ini, bahawa musuh-musuh utama itu adalah Syaitan laknatullah dan manusia berupa atau berhatikan syaitan. Mereka akan merobek-robek hati-hati manusia agar mengikuti jejaknya supaya mudah terjerumus ke dalam Neraka. Jika disebut akan peristiwa ini, maka semua manusia akan mengerti, faham, dan ingat akan sebenar musuh-musuhnya dan peristiwa tersebut. Malah ada yang menyatakan, “kami akan beriman kepadaMu dan meninggalkan segala kemungkaran”. Tetapi atas segala desakan, dorongan, terjahan dan tipisnya keimanan itulah membuatkan manusia ‘kembali’ kepada kekufuran yang nyata.

Allah s.w.t telah berfirman :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar” .”Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".Allah berfirman: "Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".” Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Surah Al-Baqarah – Ayat-30-34).

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam posting saya yang lalu, “Hati Itu…” (disini), maka ia telah diketahui umum untuk tatapan bahawa, Hati merupakan satu agen penting dalam jasad kita untuk merangkakan satu bentuk fitrah kehidupan, bagi mentauhidkan syariatNya, tetapi jika punyai Hati yang kotor dan ‘sakit’, maka jasad turut akan merasainya, lalu ia membuahkan satu sifat yang sering dikelolakan oleh Nafsu. Oleh yang demikian, mengambil sikap terlalu alpa akan ‘kecederaan’ hati itulah yang membuahkan satu umat yang ingkar dan kufur terhadap Maha Pencipta. Sepertimana yang telah kita ketahui umum, amnya setiap ‘penyakit’ ada rawatan dan penawarnya, setiap musibah itu, ada hikmahnya, setiap kekusutan itu ada jalan penyelesaiannya dan setiap yang kufur dan ingkar itu ada kesudahannya. Sebagai contohnya hendak saya utarakan di sini, sebagai seorang pesakit, ia memerlukan ‘ubat’ untuk memperbaiki lagi imunisasi kecergasan badan, bagi memberi isyarat supaya ia akan sembuh dengan cepat, maka dengan itu, ‘ubat’ sebagai agen pembasmi penyakit tersebut, akan memainkan peranan yang cukup penting di dalam sistem koordinasi tubuh badan kita. Begitu juga dengan hati dan jasad kita yang telah ‘kotor’, ia memerlukan satu sumber untuk memperbaiki lagi sistem Roh dan Jasad dengan sempurna. Tetapi dengan cara yang bagaimana?. Kelak akan saya sesuaikan istilah ‘Tazkiatun Nafs” (mensucikan diri) ini dengan apa yang telah dan akan saya forumkan di sini. InsyaAllah.




Pernahkah kamu terfikir dengan membaca, menghafal dan memahami isi kandungan Al-Quran itu membolehkan Iman seseorang itu hampir dengan Allah s.w.t. Mungkin ini suatu yang berada terlalu asing bagi mereka-mereka yang berada di luar sana, yang sekadar hanya membaca dan terus membaca, tanpa mengetahui akan tafsir dan terjemahannya. Jika kita lihat dari sudut yang jauh, ramai dikalangan (minoriti) kita, masih mengamalkan dan masih sehingga kini yang membaca tetapi tidak mengetahui akan terjemahan dan tafsirannya. Lebih malangnya lagi, ia berlaku pada peringkat yang telah “meniti senja”, di mana juga, penekanan membaca tanpa mengetahui akan tafsirannya itu adalah lebih utama. Bukankah itu sesuatu yang amat merugikan?.

Allah s.w.t, telah berfirman :
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar”. (Surah Al-Israa’ – Ayat 9).

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Hendaklah menjadi Imam orang yang paling banyak menghafaz Al-Quran atau paling baik (tajwid) bacaannya di kalangan kamu”

(Hadith Riwayat Ahmad).

Oleh yang demikian, sudah dinyatakan berkali-kali, bahawa Al-Quran adalah ‘penawar’ bagi membasmi nafsu. Dengan membaca, memahami tafsiran serta terjemahannya, maka sedikit sebanyak pengukuhan Iman itu jelas ketara. Ini amat berbeza sekali, bilamana di Negara-negara barat amnya, mereka sering mengalami hati yang gundah, sepi dan kusut, walaupun punyai bilangan harta yang melimpah ruah. Mereka akan mengikut nafsu mereka untuk mencari ketenangan, dengan berhijrah ke serata dunia untuk ‘sesebuah ketenangan jiwa’. Tetapi malangnya, bukan ketenangan yang mereka dapati, tetapi hanya membuang masa, duit dan tenaga untuk semua itu. Lebih malangnya lagi, ketenangan yang mereka idam-idam itu pula mengundang beribu-ribu permasalahan lain, malahan kewarasan mereka turut tersasar. Bukankah itu sesuatu yang amat merugikan dan meletakkan begitu ceteknya akal seseorang itu?. Islam mengajar kita agar memegang konsep berfikir baru bertindak. Islam mengajar akan erti-erti perjuangan hakiki berkonsepkan syariatNya. Begitu juga pada para muslim (segelintir) di luar sana, dengan hanya membaca Al-quran, tanpa mengetahui akan maksud serta tajwidnya adalah suatu pekara yang amat merugikan. Bukankah dengan mengetahui akan tafsir serta terjemahan Al-quran itu amat menguntungkan kita, malahan memberi satu impak yang positif untuk diri kita serta ia dapat merawat hati-hati kita yang kotor. Mungkin di saat ini kamu berasa ‘keliru’, saya akan berikan kepada kamu sedikit gambaran dan kiasan, untuk menyelami apa yang tersirat terhadap orang-orang yang hanya membaca Al-quran tetapi ‘malas’ untuk mempelajari akan terjemahan dan erti maksud Al-quran.

Pernahkah kamu melihat atau memegang burung kakak tua?, ia kelihatan begitu cantik dan menarik, lebih-lebih lagi dengan keadaan warna di bulunya, begitu juga dengan warna di mata burung tersebut, sesiapa yang melihatnya akan merasa kagum akan kecantikan burung kakak tua. Lebih mengkagumkan kita lagi, apabila ia boleh berkata-kata atau bersuara melalui apa yang telah diajarkan kepadanya. Kadangkala pula, ia boleh menyapa sesiapa yang melaluinya. Bukankah itu sesuatu yang terlalu unik. Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa, burung kakak tua hanya boleh mengikut apa yang hanya kita ajarkan kepadanya, malahan ia tidak mengetahui apa yang ia katakan dan, hanya mengikut suara dari tuannya sahaja.

Begitu juga dengan apa yang kita perbincangkan ini, dengan hanya membaca Al-quran, tetapi masih tidak mengetahui akan terjemahan dan tafsirnya, maka ia sesuatu yang amat merugikan kita, walaupun ia nampak seperti suatu yang menarik bila membacanya, tetapi hakikatnya, mengendahkan akan maksud Al-quran tersebut mengundang seribu kedaifan. Maka dengan itu, adakah kita patut mengikut jejak ‘burung kakak tua’ tersebut?. Fikirkan!. Maka dengan itu, untuk merawati hati-hati kita yang daif itu, hendaklah kita mendampingi selalu dengan membaca Al-quran berserta dengan tafsir dan terjemahannya, bagi melahirkan insan-insan yang celik Kalam Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Seseorang yang tiada dalam dadanya suatupun (apa yang dihafaz) dari Al-quran, samalah keadaannya seperti sebuah rumah yang buruk lagi usang”
(Hadith Riwayat Tirmidzi).

“Bacalah Al-quran, buatlah kajian ilmu dengan majlis ilmu atau berzikirlah dan jangan habiskan masa kamu dengan pekara yang tidak berfaedah”
(Hassan Al-Banna).




Pernahkah kita terfikir, bahawa dengan bersolat 2/3 malam (solat sunat taubat, tahajjud, hajat dan sebagainya) itu membawa pengertian yang besar dalam diri dan hati kita. Ini suatu yang amat jarang berlaku dalam segelintir masyarakat kita dekad ini. Mereka masih mengamalkan pendekatan pemikiran yang cetek, di mana, ia akan dilakukan apabila timbulnya suatu permasaalahan yang besar dan kusut. Maka dengan sebab itulah mereka-mereka bangun dan bersolat malam, tetapi apa yang lebih malangnya lagi apabila ada segelintir yang tidak pernah langsung melakukannya walaupun usia ‘diambang senja’. Bersolat 2/3 malam memerlukan satu spiritualisme jatidiri yang utuh, ia memberi satu kesan yang mendalam. Dengan bersolat malam, kita akan dapat merasai satu ketenangan dan keharmonian dalam hati-hati kita yang gundah tersebut. Dengan keadaan malam yang sunyi dan tenang, maka ia memberi kesan yang mendalam terhadap hati-hati kita ketika itu. Dan ia sedikit sebanyak membawa kita ke satu tempat di mana ketenangan dan bermuhasabah dalam memohon sesuatu keredhaan dari Allah s.w.t.

Allah s.w.t telah berfirman :
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Surah Al-Baqarah – Ayat-45).

Pernahkah kita terfikir, bahawa mereka yang bangun bersolat malam mempunyai semangat dan jatidiri serta tahap keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yang tinggi?. Ini telah dibuktikan, bilamana seorang Sejarahwan perang yang mashyur iaitu Sollehudin Al-Ayubi telah memilih tentera-tenteranya untuk pergi berperang menentang tentera Yahudi dan Nasrani adalah di kalangan tentera yang bangun bersolat malam. Ia telah dapat dibuktikan bila bumi Palestin telah dapat dibebaskan dengan begitu mudah tanpa melalui sebarang rintangan yang besar dari pihak musuh. Semangat jihad itu jelas terpancar dalam hati-hati tentera Islam tersebut, apabila mereka sering bangun bersolat malam bagi meminta keredhaan dari Allah s.w.t untuk menghadapi musuh-musuh Islam. Jika tentera-tentera Islam itu punyai semangat untuk pergi berperang dan memohon keredhaan dari Allah untuk merestuinya menentang musuh-musuh Islam dan Allah s.w.t merestui dan meredhai serta memakbulkan segala doa dan harapan mereka, kenapa kita yang tidak pernah pergi berperang masih tidak dapat mengawal nafsu dalaman kita untuk bangun bersolat malam. Fikirkan?. Oleh yang demikian, tanamkan dalam diri untuk mengubah dari satu kejengkelan hati kita kepada keredhaanNya, dengan beriltizam untuk bangun bersolat malam bagi merawat hati-hati kita yang kotor dan gundah itu.

Mendampingi diri dan berkawan rapat dengan para Ustaz dan ulama’ Islam juga dapat memberi kesan dalam merawati dan mengubati hati kita yang tandus itu. Mungkin ini memerlukan satu pendekatan yang berbeza, tetapi ia perlu dilakukan dengan sebaik mungkin bagi mendekatkan diri dan hati kita itu dengan ilmu-ilmu Islam yang Syumul. Saya sering pergi ke majlis-majlis Ilmu atau Usrah di masjid berhampiran rumah saya, apa yang amat menyedihkan saya adalah, majlis-majlis Usrah tersebut dihadiri oleh orang-orang yang telah ‘meniti senja’ umurnya. Kadangkala juga, hadirinnya tidak sampai keangka yang dikehendaki, ia amat menyedihkan lagi bila majlis-majlis yang saya anggap sebagai ‘Taman-taman syurga’ tersebut masih tidak didatangi orang, walaupun ia telah diberitahu terlebih dahulu dari tarikh yang akan dijalankan. Jika hasrat kita hendak mengubati hati kita yang kelam itu, maka hendaklah kita sering mendampingi atau berhubung rapat dengan para Ustaz, ahli Ulama’ atau ahli cerdik pandai yang boleh membimbing diri kita kemercu yang lebih baik. Mungkin dikala ini terfikir akan kamu, bagaimana hendak mendampingi mereka-mereka tersebut, sedangkan bukan mudah untuk mengenal akan diri para Ulama tersebut?. Pendekatan ini memerlukan satu pengolahan yang jauh dan panjang lebar untuk menjawab persoalan ini, tetapi akan saya berikan cara untuk kita mengenal akan mereka-mereka ini. Perlu diingati juga, bahawa ramai (minoriti) para ulama’ dan ustaz-ustaz di negara kita ini yang masih mengamalkan sifat pilih kasih, dan materialisme dalam memperjuangkan agama Islam yang Ad-deen. Mungkin dengan pendekatan ini, ramai dikalangan kita yang terloncat-loncat dan berang, apabila isu ini saya utarakan. Ini akan saya buktikan untuk diketahui umum. Bukankah Islam mengajar kita akan kesejahteraan kepada setiap Muslim, hidup tanpa rasa sifat bermegah dan berkira-kira terhadap apa yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita.

“Ustaz’ Imbuhan”, mereka-mereka (segelintir) ini hanya mengajar sekadar untuk meminta imbuhan dan ganjaran. Ini jelas boleh kita lihat, di mana setiap apa yang telah diajarkan olehnya sekadar untuk imbuhan dan ganjaran tanpa memikirkan akan hala tuju ajaran Islam yang sebenar. Jika ganjaran tersebut tidak setimpal dengan apa yang telah diajarkannya kepada mereka-mereka yang memerlukan, maka ia akan berhenti di separuh jalan dan meninggalkannya atas faktor sedikitnya imbuhan terhadap apa yang ia perolehinya. Ini boleh kita lihat di kawasan-kawasan pendalaman yang jauh dari masyarakat. Golongan para Ustaz inilah yang patut kita jauhi, kerana sikap terhadap materialisme telah terpahat dalam diri mereka. Memang tidak menafikan bahawa, imbuhan itu perlu untuk mengantikan penat lelah mereka untuk berdakwah, tetapi perlu diingati juga bahawa, Allah s.w.t tidak meminta sebarang ganjaran dan imbuhan terhadap apa yang telah Dia kurniakan kepada kita. Dengan kurangnya motivasi dalam diri untuk ‘berjihad’ menyebarkan Agama Allah itulah yang telah pudar dalam diri para Ustaz tersebut. Ini menyebabkan banyak persoalan yang bermain diminda, apabila golongan yang berada di kawasan pendalaman sering dipinggirkan. Pernahkah kamu terfikir, berapa jauhkah perjalanan Para perdagang-perdagang Islam ke Negeri Melaka untuk berdagang dan berniaga malahan untuk berdakwah serta menyebarkan Islam?. Kenapa mereka datang begitu jauh, adakah untuk mencari kemewahan, kekayaan dan kemasyuran?. Kamu mungkin tidak mengetahuinya, bahawa tujuan sebenar para pedagang dari Negara luar tersebut adalah untuk menyebarkan Agama Islam keseluruh Tanah Nusantara, di mana pada ketika itu mereka di dalam keadaan yang agak kelam dan diselubungi dengan keadaan umat yang jahil dan tidak beragama. Maka Islam memberi rahmat kepada mereka, atas jasa-jasa para Ulama’ ketika itu yang tidak pernah memikirkan penat lelah dan ganjaran terhadap apa yang telah disebarkan dan diajarkan kepada mereka, sehingga terciptanya Islam yang kukuh di Negara kita malahan di seluruh Nusantara ini. Fikirkan!.

“Ustaz Pangkat”, mereka-mereka (segelintir) ini hanya mementingkan akan pangkat dan kedudukan, semata-mata untuk periuk nasi mereka, tanpa mengikut akan syariat Islam yang Syumul. Ini jelas ketara, apabila suatu isu itu berkait rapat dengan pemimpin-pemimpin mereka, maka ia akan mengambil bahagian untuk menepis segala mungkin bagi menjaga ‘orang di atas’ dan ‘kerusi empuknya’. Golongan Ustaz inilah yang amat dikutuk dalam Islam. Islam melarang umatnya bermuka-muka dan bersifat munafik. Islam melarang umatnya mengunakan kedudukan sebagai benteng untuk menghalalkan kebathilan. Sebagai contoh yang hendak saya forumkan di sini adalah soal fatwa melarang merokok. Sejauh mana keberkesanan fatwa tersebut, sedangkan ia sering disebut-sebut oleh orang ramai akan keharaman merokok tersebut, tetapi disambut ‘sayu’ oleh golongan “Ustaz Pangkat” ini. Sepatutnya, golongan Ustaz inilah yang memainkan peranan yang cukup besar untuk membimbing dan mendidik kita semua akan kebenaran fatwa tersebut, tanpa memikirkan ‘terjahan’ dari pihak atasan. Mereka perlu berani mengetengahkan sesuatu isu yang jelas kebaikan dan keburukan itu dengan terperinci kepada orang ramai, barulah Islam itu dipandang mulia di sisi manusia, malahan kepercayaan terhadap golongan Ustaz ini tidak tercabar lagi. Pernahkah kita fakir, bahawa pangkat, kedudukan dan darjat yang dikurniakan oleh manusia itu adalah satu sifat yang sementara, tetapi kedudukan kita di alam akhirat di sisi Allah s.w.t itulah yang kekal selama-lamanya. Fikirkan!.

“Ustaz Pewaris Nabi”. Golongan di mana ketika ini amat berkurangan di dalam dan juga di luar Negara. Golongan Ustaz ini merupakan satu golongan yang hanya berdakwah mengikut Syariat Islam dan Sunnah Nabi s.a.w tanpa mengira apa-apa balasan dan imbuhan dari mana-mana pihak. Niat untuk mengembangkan Syiar Islam itu jelas terpancar dari raut wajah dan hatinya, malahan sanggup berkorban demi untuk Islam tercinta. Golongan tersebut juga merupakan satu golongan yang sering ditindas, dicaci, ditomah, dipenjarakan malahan ada juga yang dibunuh. Segala ilmu yang terpancar darinya jelas memberi kesan yang mendalam terhadap sesiapa yang mendekatinya, sehinggakan ia diibaratkan sebagai golongan Para Alim Ulama’ yang ulung tanpa ada pengantinya. Golongan Ustaz ini juga sering memainkan peranannya cukup besar untuk berdakwah dan mengembangkan syariat Islam, tidak kiralah ia sekali sekala tersasar ke atas golongan kafir sekalipun, sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap golongan kufur tersebut. Ustaz Pewaris Nabi ini juga sering memainkan peranan yang amat penting untuk menegah kebathilan dan kemungkaran terhadap golongan atasan. Ia akan mengajar kita tanpa ada tokok tambah dalam urusan-urusan menetakkan hukum-hukum malahan Sunnah Nabi s.a.w dan Kalam Allah s.w.t itu adalah pegangan yang utuh dalam konsep berdakwah. Maka dengan itu saya sarankan kepada kita semua agar memilih Ustaz dan ulama’ yang sedemikian rupa, untuk merawat hati kita yang gelap itu. Ia akan memberi kesan terhadap Iman dan Akal kita khasnya untuk menjadi seorang yang tekun mencari keredhaanNya malah ia juga sebagai pengubat hati-hati kita yang kotor tersebut.

Allah s.w.t telah berfirman :
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Surah Ali-Imraan – Ayat-104).




Pernahkah kamu berpuasa tidak kiralah puasa sunat mahupun yang wajib?, jika belum melakukannya, maka kamu belum menemui rawatan untuk penyakit hati-hati kamu. Berpuasa itu satu syariat yang telah ditetapkan bagi mereka-mereka yang beriman dan bertaqwa. Berpuasa itu juga mencegah kita dari melakukan pekara-pekara kemaksiatan tegar. Berpuasa itu juga dapat menjaga tubuh anggota kita dari melakukan pekara-pekara yang tidak berfaedah. Mungkin ini suatu yang perlu kamu korbankan, demi untuk merawati hati-hati kamu yang kusut itu, tetapi ia memerlukan satu tindakbalas jatidiri untuk melaksanakannya, bukan sekadar menurut nafsu semata-mata. Dengan berpuasa, maka akan ada dalam hati dan jasad kita untuk tidak melakukan pekara-pekara kebathilan dan kemudaratan diri. Dengan berpuasa itu juga, dapat kita menjadi seorang insan yang berjiwa bersih, malahan menurut kajian bidang perubatan, ia memberi kesan yang positif terhadap organ-organ dalaman kita. Pernahkah kamu terfikir, kenapa kita diwajibkan berkerja selama 8 jam (mengikut akta buruh) dalam masa satu hari dan mengambil masa 1 jam untuk waktu rehat. Malahan jika menyambung waktu kerja selepas 8 jam tersebut, kita diberi 30 minit untuk masa rehat. Ini adalah untuk merehatkan minda kita yang kusut tersebut dan memberi masa yang secukupnya untuk badan agar ia berhenti seketika untuk ‘berehat’. Jika badan kita terlalu kuat berkerja, tentu kamu akan tahu akibat dari kesannya. Situasi inilah yang amat membimbangkan diri kita selama ini. Begitu juga dengan organ dalaman badan kita, ia memerlukan rehat yang cukup untuk menjalankan lagi aktivitinya di masa akan datang. Kalau diri kita perlukan rehat yang cukup untuk kita menampung hari berkerja, maka organ dalaman kita juga perlukan masa yang cukup untuk berhenti seketika bagi melalui aktiviti ‘rehat’. Bukankah dengan berehat seketika, dengan berpuasa kita dapat melalui satu proses perkembangan organ dalaman yang baik dan sihat. Cuba kamu bayangkan seketika, kamu dilahirkan sehingga ke hari ini, jika kamu tidak berpuasa, apa akan terjadi dalam organ dalaman kamu itu, tentu ia amat meletihkan dan menyebabkan pelbagai penyakit untuk masa yang akan datang. Maka dengan itu berpuasa itu satu rahmat untuk diri dan organ dalaman kamu itu. Berpuasa itu satu fitrah bagi mereka-mereka yang mentauhaidkan syariatNya. Oleh yang demikian, untuk merawati dan mengubati hati-hati kamu itu untuk menjadikannya lebih bersih, maka jalan berpuasa itulah perlu dilakukan. Tidak kiralah ia sekadar hanya berpuasa sunat. Maka lakukanlah selagi kamu menyayangi Akhlaq dan tubuh badan kamu itu.



Dengan berzikir, maka akan hadirlah satu perasaan kasih dan sayang dalam diri kita terhadap Maha Pencipta. Berzikir juga mengingatkan akan diri kita yang kerdil lagi lemah ini terhadap Allah s.w.t. Pernahkah kamu terfikir, bahawa dengan berzikir lebih mendekatkan lagi hati-hati kita kepadaNya. Dengan berzikir juga memberi ketenangan dan ketenteraman terhadap jiwa-jiwa dan hati-hati kita yang kusut.

Allah s.w.t telah berfirman :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-R’ad – Ayat-28).

Oleh yang demikian, mengambil langkah untuk mengigati Allah s.w.t dengan sentiasa berzikir itulah jalan yang terbaik untuk kita mengubati dan merawati hati-hati kita yang kotor tadi. Bilakah kali terakhir ucapan zikir yang terpancar keluar dari mulut-mulut kamu ketika ini?, jika tiada maka lakukanlah. Mungkin kamu belum mengetahui akan nikmat berzikir, saya akan cuba terangkan kepada kamu tentang apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?. Berzikir itu satu ucapan kemuliaan yang terpahat dalam hati yang suci dan diucapkan dari seorang hamba terhadap Maha Pencipta atas rasa bersyukur terhadapNya. Jika Allah s.w.t mengurniakan kita dengan pelbagai nikmat yang tidak terperi, sehinggakan kita kemercu kejayaan, maka tiada sebab untuk kita melupakanNya. Tetapi adakah kita senantiasa mengigatiNya?. Jika kamu sering mengucapkan kata-kata kasih terhadap isteri, kekasih, kawan-kawan, anak-anak, kedua orang tua, pemimpin dan sebagainya, atas rasa sayangnya kamu terhadap mereka, tetapi kenapa kamu tidak pernah mengucapkan rasa kesyukuran terhadapNya, sedangkan Ia yang menghidupkan dan yang memberikan nikmat terhadap kamu dan insan-insan yang kamu sayangi itu selama ini. Allah s.w.t memberi nikmat anggota tubuh badan kita tanpa ada cacat celapun, tetapi adakah kita pernah terfikir untuk mensyukuri dan berterimakasih di atas pemberianNya. Fikirkan!. Maka dengan itu mengambil langkah untuk mendekati diri dengan berzikirullah adalah jalan dan penawar bagi mengubati hati-hati kita kita yang kusut dan kelam itu.

Setelah apa yang kita perbincangkan ini, dikupas dengan begitu menarik sekali, maka buahkanlah satu pemikiran untuk ‘Tazkiatun Nafs’ (mensucikan diri) bagi melahirkan satu matlamat merawat hati kita dengan Keimanan dan TauhidNya.

Allah s.w.t telah berfirman :
“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

(Surah Asy-Syams – Ayat-8-10)

Setiap kemudaratan itu punyai penyelesaiannya, janganlah kita berputus asa terhadap apa yang menimpa ke atas diri kita selama ini. Itu mungkin suatu ujian yang telah Allah s.w.t tetapkan untuk kita untuk menguji tahap keimanan dan ketaqwaan diri kita selama ini. Bukankah sesuatu musibah itu ada hikmah dan nikmatnya terhadap orang-orang yang beriman?.

Allah s.w.t telah berfirman :
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

(Surah Al-Hadid – Ayat-22-23).

Oleh yang demikian, tanamkan satu pendekatan dalam diri kita untuk ‘berjuang’ habis-habisan bagi melawan hawa nafsu kita yang dikelola oleh syaitan laknatullah. Lahirkanlah dalam hati dan jiwa kita untuk senantiasa mengigati Allah s.w.t. Allah s.w.t senantiasa mendengar segala rintihan dalam hati umat-umatNya, Allah mengetahui apa yang tersurat dan tersirat dalam hati-hati kamu. Jadikan permulaan ini sebagai satu titik tolak untuk ‘berhijrah’ dari satu kebathilan kepada keredhaanNya. Ingatlah kita semua, Allah senantiasa memerhatikan gerakgeri kita, setiap apa yang kamu luahkan dalam hati dan setiap apa yang kamu lakukan itu diketahui Allah s.w.t. Lakukanlah satu proses ‘Mujahadah Annas’ (berusaha melawan nafsu) itu dengan sebaik dan sebijak mungkin, berdoalah selalu terhadapNya, semoga kita dan insan-insan yang lain akan dirahmati dan diredhai olehNya. InsyaAllah. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!. Allahu Akhbar!.

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails