Thursday, 18 June 2009

Khalifah Muda - Bahagian 2

Dari Bahagian 1 (disini)

Anak-anak kamu (Khalifah Muda) akan memerhatikan segala gerakgeri kamu dalam masa tumbesaran mereka, jika perlakuan buruk yang kamu lampirkan dan tonjolkan kepada mereka, maka akan timbul pula satu sifat yang sebati dalam diri mereka semua untuk melakukan apa yang telah kamu lakukan kepada mereka. Kamu mungkin akan marah dan memukul bilamana anak-anak kamu melakukan kesilapan, tetapi adakah kamu pernah terfikir, bahawa akal dan fikiran kanak-kanak tidak tercapai dan tergapai terhadap satu pemikiran yang waras dan primitif. Mereka sebenarnya masih belajar dalam mencanang erti kehidupan di fana ini, maka mengambil sikap untuk menasihati dan menyatakan akan akibat dari perbuatan buruk itu akan kesannya kepada mereka perlu diutamakan, bukan hanya memukul dan mendera serta memarahi membabi buta tanpa hala tuju.





“Tidaklah digolongkan dalam orang muslim itu mereka yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang tua” (Hadith riwayat Bukhari)

Dalam konsep membentuk aqidah pula, banyak dikalangan ibubapa yang masih alpa. Sebagai contoh yang hendak saya utarakan di sini adalah, ibubapa perlulah berilmu dan berkeyakinan dalam mengetengahkan setiap jawapan kepada anak-anak mereka. Jangan membiarkan setiap soalan yang diutarakan dari anak-anak dengan jawapan yang tidak berkualiti, tanamkan satu sifat dimana soal-soal Agama Islam dengan tegas dan tersusun. Janganlah kita mengambil mudah dalam memberikan dan mentafsir jawapan, kerana setiap apa yang kita utarakan dan berikan kepada mereka, maka itulah jawapan yang mereka akan ingati dan pegangi hingga ke alam dewasa kelak. Sebagai contoh lain yang perlu kita ambil adalah, berapa banyak di kalangan kita yang peka terhadap anak-anak bilamana mereka pergi menuntut, membaca dan belajar Al-Quran. Ada sesetengahnya pula mempunyai Al-Quran yang lusuh dan tidak boleh membacanya lagi, sedangkan Al-Quran tersebut boleh dibeli oleh ibubapa dengan harga yagng berpatutan dan berkemampuan, sedangkan kita (ibubapa) masih boleh membeli telipon bimbit yang berjenama tinggi. Bukankah itu menunjukkan kepada kita bahawa, satu bentuk ketidakadilan kepada kita dalam memimpin serta mendidik anak-anak kita dengan adil dan sempurna. Jika telipon bimbit itu boleh kita beli dengan harga yang tinggi dan sanggup membeli telipon bimbit (underwater) dengan harga yang begitu mahal, maka tiada sebab untuk kita membeli Al-Quran baru untuk anak-anak kita. Jelaslah kepada kita satu bentuk pembaziran telah berlaku dengan sewenangnya tanpa kita sedari. Begitu juga dengan pakaian kita yang berjenama tinggi, sehinggakan tudung, kopiah, sejadah dan telekong anak-anak, kita abaikan. Kemanakah perginya akal dan fikiran kita selama ini, kita punyai akal dan fikiran yang matang lebih dari anak-anak kita, mengapa pekara yang patut didahulukan itu kita ketepikan dan endahkan?.

Allah s.w.t berfirman :
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah Al-Furqaan – Ayat-67).





Begitu juga dengan cara kita mendidik anak, berapa banyak dikalangan kita yang peka terhadap pembelajaran anak-anak, sedangkan, anak yang sering pergi menuntut ilmu Al-quran tidak diendahkan tentang adab-adab membaca Al-Quran. Ada yang berpakaian tidak menutup aurat bila membaca Al-quran dan lebih menyedihkan pula, ada yang tidak berwudhuk ketika memegang dan membaca Al-quran. Bukankah itu satu bentuk Aqidah yang perlu ibubapa terapkan sejak dari umur yang muda lagi, sedangkan ibubapa masih tidak peka akan hakikat tersebut. Ini sebagai contoh kecil yang saya nyatakan di sini, sebenarnya banyak yang perlu kita perbincangkannya lagi.

Kamu mungkin tidak pernah terfikir, tentang apa yang anak-anak kamu fikirkan, anak-anak kamu mungkin sedang memerhatikan gerakgeri kamu, jika apa yang kamu terapkan itu benar dan betul maka bertuahlah anak-anak dan diri kamu kelak, tetapi apa yang kamu ajarkan itu buruk, maka kesengsaraan itu akan berpanjangan sehingga kamu diusia tua kelak. Maka dengan itu kamu dipertanggungjawabkan dengan satu amanah yang cukup berat untuk kamu laksanakan, kamu insan yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk membimbing anak-anak kamu dengan sempurna, maka hargailah setiap apa yang telah Allah s.w.t berikan kepada kamu. Janganlah mengambil sikap terlalu alpa dan mudah bagi mencanang apa jua taulan yang mendatang, kerana sikap yang sedemikian akan memberi satu impak yang tragis terhadap diri dan keluarga kamu. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w :

“Setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya, pemimpin akan ditanya tentang jagaannya, lelaki akan ditanya tentang isteri dan anak-anaknya” (Hadith Riwayat Muslim).


Begitu juga dengan ibu-ibu yang berada di luar sana, perlu ingat bahawa, kamu kaum hawa yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada kamu dengan pelbagai nikmat yang tidak terperi, kamu telah diberikan tanggungjawab untuk memberi susuan kepada anak-anak kamu, janganlah kamu (ibu-ibu) merasa terlalu cerewet dan malas dalam situasi ini. Kamu mungkin tidak terfikir, bahawa, kamu telah menyusukan Khalifah Muda ini, di mana jika kalau ia telah pergi meninggalkan kamu (meninggal dunia), maka ia adalah ahli-ahli syurga Allah s.w.t. Tidakkah kamu berasa bangga akan diri kamu, bahawa kamu adalah orang yang telah menyusukan ahli-ahli syurga Allah s.w.t ini. Maka dengan itu lahirkanlah satu generasi yang sering kasih dan mengasihani antara kedua-dua pihak. Ibubapa perlu memainkan peranan penting dalam mentauliahkan tauhid Allah s.w.t ini kepada anak-anak mereka dengan sebenar-benarnya. Begitu juga jika anak-anak yang belum akil baligh, mereka terlalu suci untuk kamu (ibubapa). Janganlah kita mendera mereka dengan akal nafsu, sebaliknya gunakanlah satu pendekatan yang harmoni dan tertil untuk mencari dan menyelesaikan segenap permasaalahan tersebut. Mendera dan memarahi membabi buta, tanpa hala dan tujuan, melemparkan kata-kata kesat tanpa berfikir dahulu, ini semua mencerminkan betapa ceteknya pemikiran kamu sebagai ibubapa. Pernahkah kamu terfikir, bahawa, jika anak-anak kamu (belum akil baligh) itu melakukan apa-apa kesalahan, maka dosa kesalahan itu sebenarnya telah diampunkan oleh Allah s.w.t. Walaupun ia menyembah selain dari Allah, memakan benda-benda yang haram, membunuh, berjudi dan melakukan zina dan pelbagai lagi, maka semua dosa-dosa tersebut tidak dikira oleh Allah s.w.t, kerana mereka semua belum akil baligh, dan jika mereka meninggal dunia dalam usia yang belum mencukupi syarat-syarat akil baligh maka syurga itulah tempat-tempat mereka. Hargailah jua situasi ini dengan satu pendekatan yang lebih mulia lagi. Sebab itu Allah s.w.t memberi satu penghormatan kepada kanak-kanak ini dengan begitu mulia lagi disisi Allah s.w.t. Jika Allah s.wt memberikan satu kemuliaan kepada mereka, kenapa kamu (ibubapa) yang sama Allah s.w.t ciptakan seperti makhluk yang lain tidak sanggup memaafkan dan menghargai jiwa anak-anak?. Cuba kamu fikirkan, Allah s.w.t sedia memaafkan dan menempatkan makhluk-makhlukNya di tempat yang mulia, kenapa kita sebagai manusia yang kerdil ini, begitu susah untuk memaafkan dan menjadikan anak-anak kita sebaik mungkin?. Maka dengan itu tanamkanlah satu sifat untuk membimbing dan menjiwai anak-anak kita dengan sebaik dan semulia mungkin, kerana amanah sebagai Khalifah itu bukan terletak pada diri kamu, tetapi kepada generasi dan pewaris-pewaris kamu yang akan datang. Kamulah sebenarnya yang mencanang akan kebaikan dan keburukan anak-anak kamu mengikut acuan syariat Islam yang Ad-Deen, teraskan dan pupukanlah satu spiritualisme dalam diri kamu untuk mereka-mereka ini bagi melahirkan satu generasi dan pewaris yang beretika, berilmu, beriman dan berkualiti bagi melahirkan ‘Khlifah Muda’ yang kita idam-idamkan..InsyaAllah..Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!.

2 comments:

  1. Allahuakbar.. moga artikel ini dibaca oleh aramai anak muda.. teruskan berkarya.. mg istiqamah.. amin (^_~)

    ReplyDelete
  2. salam perjuangan....
    jemput ke http://akubudakpelupa.blogspot.com/

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails