Monday, 27 December 2010

Siapakah Ahlul Sunnah Wal Jamaah?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat anda yang berkunjung di sini.



Secara umumnya untuk menjadi umat Islam yang selamat dan diberkati Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, sama ada dalam Tauhid mahupun dalam Ibadah. Hakikat ini tidak dapat diragukan lagi sekiranya kita meneliti contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasul kita iaitu Rasulullah SAW yang mulia di sisi Allah Ta’ala dan menjadi medan contoh yang baik untuk kita dari semua dari sudut aqidah dan ibadah Baginda SAW.


Untuk mengetahui bagaimana aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya kita mestilah terlebih dahulu memastikan siapakah yang paling tepat digolongkan sebagai golongan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.


Maka, saya nasihatkan buat diri saya dan para pembaca blog ini dapat menilai apa yang saya nyatakan ini secara ikhlas dan jujur. Walaupun sikap taksub adalah dilarang tetapi taksub kepada dalil atau hujah yang kuat daripada Al-Quran dan Hadith-hadith sahih SAW adalah sikap yang disanjung dan terpuji. Lebih-lebih lagi jika perbahasannya mengenai masaalah aqidah, masalah yang cukup sensitif di mana peranan akal sangat terbatas dalam perbahasan tersebut.




Firman Allah SWT :

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-An’am : Ayat 153).



Sebahagian ulama tafsir mengertikan jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus” dengan golongan “Ahlul Sunnah Wal Jamaah”. Demikian pula ketika mereka mentafsirkan makna yang sama dalam surah Al-Fatihah iaitu “Tunjukilah kami jalan yang lurus.” (Surah Al-Fatihah ; Ayat 6).


Sabda Rasulullah SAW :

“Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Ahlul Sunnah Wal Jamaah” (Hadith Sahih Riwayat Imam Al-Thabrani r.h).


Dalam riwayat lain pula yang hendak saya kongsikan di sini pula adalah :


“Sahabat bertanya : Siapakah mereka (puak yang selamat itu) ya Rasulullah? Baginda menjawab : Yang satu itu ialah mereka yang berpegang dengan peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” (Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi r.h ).


Dan seterusnya saya kongsikan lagi mengenai Hadith Rasulullah SAW ini :


“Maka bahawasanya barangsiapa yang hidup (lama) di antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak, ketika itu pegang teguhlah sunnahKu dan sunnah Khalifah Rasyidin yang diberi hidayah. Pegang teguhlah itu dan gigitlah dengan gerahammu.” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).


Oleh yang demikian sebenarnya nas-nas seumpama ini sungguh banyak, sama ada daripada ayat-ayat Al-Quran ataupun Hadith-hadith sahih Nabi SAW. Saya berpendapat nas-nas di atas yang telah saya nyatakan tersebut sudah cukup bagi kita umat Islam untuk membuat kesimpulan bahawa…


Siapakah Yang Sebenarnya Golongan Ahlul Sunnah wal Jamaah!




Maka, jika kita perhatikan pula jawapan bagi Hadith-hadith Nabi SAW, iaitu ketika Baginda SAW ditanya “Siapakah Golongan Yang Akan Selamat Itu”, maka dapatlah kita semua simpul dan huraikan bahawa golongan tersebut adalah :


“Golongan Yang Berpegang Teguh Kepada Iktikad Nabi Muhammad SAW Dan Iktikad Para sahabat Rasulullah SAW”


Ini sesuai dengan kesimpulan yang dibuat oleh pengarang sebenar kitab Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Sila rujuk “Iktikad Ahlul Sunnah Wal Jamaah – Hasil tulisan Sirajuddin Abbas, muka surat ke 16”.


Kaum Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah kaum atau golongan yang menganut iktikad sebagaimana iktikad yang dianut oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat Baginda SAW.


Demikian juga yang telah disimpul dan dihuraikan dengan cukup terperinci dan tersusun di dalam kitab “Al-Faraq Bainal Firaq – Hasil Abu Qadir bin Tahir bin Muhammad Al-Baghdady Al-Isfarainy (Wafat : 429H / 1037M), Tahqiq Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid, muka surat 8”.


Berikut adalah dari petikannya :

“Sesungguhnya puak yang akan selamat daripada mereka itu ialah puak yang berpegang teguh dengan iktikad Rasulullah SAW dan iktikad sahabat-sahabat Baginda. Dan semua puak selain daripada puak tersebut adalah sesat”. (Al-Faraq Bainal Firaq – muka surat 8).


Kalaulah demikian pengertian aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, yang telah dihuraikan dengan begitu tersusun dan tertib sekali…



Adakah aqidah kita sesuai dengan aqidah Rasul dan para Sahabat Baginda SAW?



Atau!



Kita sekadar mendakwa berpegang kepada aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah tapi dalam realitinya kita menganut fahaman Muktazilah atau Syiah?





Oleh yang demikian, sesuai dengan makna Ahlul Sunnah Wal Jamaah hendaklah sikap kita yang paling tepat ialah merujukkan semua pekara sama ada aqidah ataupun syariah kepada pegangan Nabi Muhammad SAW dan pegangan para Sahabat Baginda SAW. Atau dengan kata lain, merujuk segala pekara yang dipertikaikan kepada AL-QURAN dan HADITH SAHIH RASULULLAH SAW. Semangat dan sikap ini sangat sesuai dengan arahan daripada Allah SWT yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisaa : Ayat 59).


Maka daripada yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT serta hadith Nabi SAW, tidak wajarlah kalau saya terlalu memperkatakan ciri-ciri Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan siapakah Abu hasan Al-Asyaari kerana perkongsian dan perbahasan tersebut adalah terkeluar daripada kehendak topik dan huraian apa yang telah saya nyatakan ini.


Harapan saya adalah, sekiranya kita telah setuju dengan difinisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah seperti yang telah saya nyatakan di atas, maka kita tidak perlu ragu-ragu beriktikad sekiranya iktikad itu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah SAW serta menjadi Iktikad para Sahabat SAW.


Untuk lebih memantapkan keyakinan kita terhadap hakikat di atas, cuba renungkan beberapa nas-nas yang saya bawakan ini sebagai panduan untuk kita fikirkan bersama.


Firman Allah SWT :

“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Az-Zumar : Ayat - 17 & 18).


Maka, kalau kita ingin mendapat hidayah dan tergolong ke dalam golongan orang yang berakal, kita mestilah suka Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama)”. Dalam kontek ini yang paling baik untuk diikuti ialah segala yang datang daripada Allah dan Rasulullah SAW serta para Sahabatnya.


Firman Allah SWT :

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” (Surah Al-An’am : Ayat – 116).


Berdasarkan pula ayat di atas, kita dilarang mengikuti sesuatu ajaran hanya dengan alasan kerana ajaran tersebut diyakini atau diamalkan oleh orang ramai. Tetapi menurut pandangan yang betul, kebenaran sesuatu ajaran hanya ditandai dan dipersetujui oleh dalil walaupun hanya diikuti oleh segelintir manusia di muka bumi ini.


Sabda Rasulullah SAW :

“Maka bahawasanya barangsiapa yang hidup (lama) di antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak, ketika itu pegang teguhlah sunnahKu dan sunnah Khalifah Rasyidin yang diberi hidayah. Pegang teguhlah itu dan gigitlah dengan gerahammu.” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).


Perselisihan faham yang digambarkan oleh Rasul dalam Hadith di atas memang sudah benar-benar berlaku sejak dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Bermacam-macam ajaran telah timbul pada hari ini. Setiap golongan mendakwa ajarannyalah yang betul dan tepat, walaupun adakalanya dicedok bulat-bulat dari ulama’ulama’ yang meragukan.


Kita selaku orang awam hendaklah jangan mudah terpengaruh dengan labuhnya jubah dan besarnya serban ataupun irama zikirnya yang menusuk kalbu serta jauhnya perjalanan beliau menuntut ilmu sehingga ke bumi anbiya’. Itu semua bukan ukuran yang hakiki untuk menentukan kebenaran sesuatu ajaran.



Baginda SAW pernah menyatakan perasaan khuatirnya tentang kemunculan imam-imam yang akan menyesatkan sebagaimana dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud :


“Sesungguhnya yang sangat aku takuti bakal menimpa umatKu ialah (kemunculan) imam-imam yang menyesatkan” (Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi r.h).


Cara untuk selamat daripada penyelewengan dan kesesatan adalah sangat mudah dan telah pun dinyatakan oleh Rasulullah SAW dengan begitu jelas. Oleh sebab itu, adalah menjadi tugas kita (umat Islam) semua untuk sentiasa menyesuaikan aqidah dan amalan kita dengan aqidah dan amalan Rasul dan Sahabat-sahabat Baginda SAW.


Sabda Rasullullah SAW :

“Semua umatku akan masuk syurga kecuali sesiapa yang enggan. Baginda ditanya : Siapakah yang enggan itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : Sesiapa yang mematuhiKu akan masuk syurga dan sesiapa yang mengingkariKu dialah yang enggan.” (Hadith Sahih Imam Bukhari r.h).



Dengan ketentuan Hadith sahih ini, kita hanya perlu membuat pilihan. Iaitu pilihan yang paling tepat untuk tujuan hidup kita di muka bumi ini. Jika kita tersalah membuat pilihan yang tepat, maka kita sebenarnya telah menuju ke arah atau golongan yang telah Nabi SAW maksudkan tersebut iaitu golongan yang enggan memasuki syurga.



Apakah kita ingin masuk syurga ataupun tidak!





Caranya telah didedahkan oleh Baginda SAW iaitu dengan mematuhi segala ajaran Baginda. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang bijak dalam membuat pilihan serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang sering memohon pertolongan dari Allah Azza Wa Jalla. WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails