Thursday 26 August 2010

Penciptaan Alam Sebagai Bukti Keagungan Allah SWT.







Penciptaan Alam Sebagai Bukti Keagungan Allah SWT.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.






BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat anda yang berkunjung di sini.




Sebelum ini kita telah sama-sama kongsikan tentang apa yang dikatakan dengan ‘Kebesaran dan kekuasaan Allah SWT’ yang berkait rapat dengan penciptaan alam semesta yang luas ini. Jika hendak didalami dan mengkajinya kebesaran dan kekuasaan Allah SWT terhadap kita serta alam ini, maka amat sukar untuk kita menghitung kenikmatan-kenikmatan yang telah diberikan kepada kita khasnya. Begitulah halnya yang terjadi, jika kita melihatnya dari sudut pandangan mata hati kita yang kecil ini, menampakkan bahawa Allah SWT adalah bersifat Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana sesuai dengan zhat-Nya. Namun yang demikian, tidak semua manusia yang mahu memahami dan mensyukuri segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, sebaliknya penafian dan pengkhianatan itu pula dilontarkan kepada-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang telah diberi hidayah dan rahmat dari-Nya, akan merasakan bahawa nikmat tersebut yang dilimpahi setiap detik ke atas dirinya adalah merupakan satu nikmat kasih sayang dari Maha Pencipta terhadap hamba-hamba-Nya.




Maka jelaslah kepada kita bahawa metodologi Al-quran di dalam memperkatakan dan membicarakan tentang planet, matahari, tumbuh-tumbuhan, hujan, langit dan lain-lain lagi bukan bertujuan untuk memperlihatkan prinsip-prinsip ilmiah, tetapi ia melainkan menunjukkan bukti-bukti yang memperlihatkan keagungan Allah SWT. Itupun jika kita memahami akan ayat-ayat Allah SWT di dalam kalam-Nya.




Persoalannya di sini…




Mengapa Al-quran tidak membahaskan masaalah-masaalah itu secara mendalam dan ilmiah?




Pekara tersebut adalah mempunyai motif yang sangat mendalam dan strategi. Al-quran dimaksudkan untuk membimbing manusia menuju dan mengenali (makrifat) Allah SWT, di samping menunjukkan nilai-nilai dalaman, universal dan fleksibelnya Al-quran. Ini adalah kerana, akal manusia selalu berkembang dan mampu mengupas rahsia alam ini. Namun, sesungguhnya Al-quran disudut lain juga berbicara tentang topik tertentu secara terperinci, yang hanya mampu difahami oleh orang-orang yang bergelar Muslim-Mukmin.




Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.




Al-quran, mengikut catatan, bukan sebuah kitab ilmu fizik dan biologi yang membahaskan alam secara terperinci, justeru itu, ia hadir dengan menampilkan beberapa konsep kebenaran ilmiah yang membuat semua manusia kagum. Sebagai contohnya, ketika membicarakan topik alam, Al-quran menyatakan di awal penciptaannya, beberapa keadaan dan situasi, serta dan akhir kejadiannya. Ia juga mengisyaratkan bagaimana mula-mula proses penciptaan bumi dan langit, bagaimana keadaan matahari, bulan, bintang serta akhir perjalanan alam ini. Bukankah itu menunjukkan keagungan Allah SWT terhadap kita.




Ketika Al-quran menerangkan tema dan situasi tersebut, tidak satupun konsep yang bertentangan dengan kebenaran ilmiah yang telah dicapai oleh akal manusia melalui pelbagai penyelidikan. Sebagai contoh yang boleh saya bawakan di sini untuk perkongsian bersama adalah segala sesuatu diciptakan Allah SWT adalah berpasang-pasangan sebagai sesuatu yang dapat mengingati kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Sebagai firman-Nya yang bermaksud :



Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami). (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.” (Surah Az-Zariyat – Ayat 49 & 50).



Ayat ini mengambarkan kepada kita bahawa ia senada dengan teori positif dan negatif, segala realiti secara neutral terbentuk dari dua unsur iaitu hidup secara berpasang-pasangan demi melahirkan sesuatu fitrah yang telah ditentukan oleh Allah SWT.





Saudara-saudari yang dikasihi dan dirahmati Allah SWT.





Begitu juga halnya keadaan langit dan bumi yang berasal dari keadaan yang satu. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :



“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah Al-Anbiyaa’ – Ayat 30).




Konsep Al-quran ini tidaklah bertentangan dengan teori yang menyatakan bahawa pada mulanya langit dan bumi itu satu. Dalam pekara ini Al-quran juga sekadar mengungkapkan kaedah-kaedah yang umum sahaja. Kemudian masaalah lain-lainnya diserahkan kepada akal manusia untuk mentafsirkannya berdasarkan sumber yang betul dan disepakati oleh semua ahli tafsir. Dalam Al-quran juga disebut bahawa inti kehidupan adalah air, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-quran yang bermaksud :



Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup?” (Surah Al-Anbiyaa’ – Ayat 30).




Maka konsep ini sudah merupakan realiti ilmiah yang tidak dapat disangkal lagi dan dipersetujui oleh semua para ahli tafsir dan saintis moden.




Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.




Al-quran menjelaskan tentang proses awal kejadian manusia, proses perkembangan hingga pada akhir perjalanan hidupnya. Konsep Al-quran dalam hal ni adalah, bahawa manusia (secara biologi) dari unsur tanah, kemudian air sperma yang tersimpan dalam tempat yang kukuh (rahim). Berikutnya membentuk segumpal darah, segumpal daging, tulang-belulang, kemudian dibungkus dengan daging. Manakala di fasa terakhir dibentuk sebagai makhluk lain (struktur manusia) yang lengkap dengan unsur roh(unsur roh ini akan saya bawakan di artikel yang lain sebagai perkongsian), sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :



“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah Al-Mu’minun – Ayat 12, 13 & 14).




Ternyata konsep Al-quran ini telah terbukti akan kebenarannya dan tidak perlu disangkal lagi oleh mana-mana pihak yang menafikannya. Pekara ini juga telah kita sama-sama kongsikan dalam artikel saya yang lalu, di mana saya telah nyatakan bahawa kedungguan para pengikut “Teori Evolusi Darwin” yang menyatakan bahawa keterangan Al-quran tersebut adalah salah, lantas mereka (golongan aties) menyatakan bahawa kewujudan alam ini adalah secara kebetulan dan telah sedia ada tanpa ada kuasa-kuasa lain yang menciptakannya. Namun dakwaan tersebut akhirnya telah tumbang bersama-sama sikap egonya serta pengikutnya yang mengelarkan diri mereka sebagai golongan Atiesma.




Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.




Disebutkan dalam Al-quran, bahawa gunung berperanan sebagai pasak bumi yang berfungsi sebagai pengawal kegoncangan yang akan mengancam manusia. Adanya sungai-sungai dan jalan-jalan berfungsi sebagai petunjuk perjalanan manusia menuju satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :



“Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.” (Surah Al-Nahl – Ayat 15).




Oleh yang demikian, inilah perjalanannya yang perlu kita semua ketahui dan fahami dengan sebenar-benarnya, bahawa Al-quran itu adalah mukjizat Nabi SAW, dan Rasulullah SAW itu sebenarnya pembawa rahmat untuk sekelian Alam. Kita telah dibekalkan dengan Kalam-Nya serta Sunnah SAW sebagai pegangan hidup sehingga ke hari kiamat kelak. Janganlah kita tergelincir langsung dari kedua-dua pegangan ini sehingga meletakkannya jauh menyimpang dari pegangan hidup. Janganlah kita semua terlalu taksub dengan propaganda barat yang menyatakan sesuatu yang tidak pasti serta jauh menyimpang dari syariat Allah SWT. Mereka akan cuba memutarbelitkan segala fakta dan isi kandungan yang terdapat di dalam Al-quran dengan melampirkan satu ‘adegan-adegan baru’ yang kalau diteliti dengan jelas akan membawa kesyirikan dan kemurtadan kepada Allah SWT. Begitulah juga apa yang terjadi kepada kita khasnya di sini (Malaysia), di mana ada pihak yang membawa ajaran baru untuk mensyirikkan Allah SWT dengan mempercayai pekara-pekara Tahyulisma dan Bebalisma. Dengan membawakan satu agenda untuk mengajak agar orang Islam mempercayai tentang makna tarikh kelahiran. Mereka juga menganggap bahawa dengan tarikh hari kelahiran tersebut sedikit sebanyak memberi ruang kepada manusia untuk mengenal dan mempercayai akan nasib untungnya mereka ketika di dunia ini. Bukankah ini semua merupakan sesuatu yang syirik. Syirik kepada Allah SWT. Ingatlah! mempercayai dan menduakan sesuatu selain dari Allah SWT itu adalah syirik. Dosa syirik itu merupakan dosa yang besar, dan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan kesungguhan bertaubat. Bukankah kita semua telah di ajar dengan prinsip rukun-rukun Iman. Bukankah Qada’ dan Qadar itu salah satu daripadanya. Lupakah kita akan semua itu! Kelihatan masyarakat kita hari ini terlalu cetek dan goyah ilmunya, semata-mata ingin mengejar sedikit kemewahan dan kemahsyuran demi memuaskan nafsu dan keseronokan duniawi semata-mata. Bilalah orang-orang kita ini hendak membuang sifat dan sikapnya yang taksub kepada pekara-pekara Tahyul? Saya berpesan pada diri saya dan anda yang berada di luar sana agar segera menjauhi pekara-pekara yang di larang oleh Allah SWT serta pekara-pekara yang menghumbankan diri kita ke azab neraka-Nya. Berpeganglah kepada ajaran Tauhid-Nya dengan sebenar-benar Takwa dan Iman. AllahuAkbar!



2 comments:

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails