Tuesday, 24 August 2010

Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Hikmah Penciptaan Suria.









Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Hikmah Penciptaan Suria.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.










BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ramadhan.





Ketahuilah kita semua bahawa Allah SWT menciptakan suria (matahari) untuk keperluan sekelian alam dalam mengatur segala ruang kehidupan di bumi mahupun di planet-planet yang lain. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui tentang hikmah sebenarnya penciptaan matahari terhadap makhluk-Nya.



Firman Allah SWT :


“Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)” (Surah Nuh – Ayat 16).



Allah SWT menjadikan pergerakkan matahari untuk melahirkan malam dan siang di seluruh negara di muka bumi. Jika tiada matahari, bagaimana manusia berusaha mencari penghidupannya dan berusaha untuk urusan-urusan mereka sedangkan dunia ini gelap bagi mereka? Bagaimana mereka (manusia) akan menikmati kehidupan sedangkan kenikmatan dan manfaat cahaya tidak ada pada mereka? Jika tidak ada cahaya matahari, maka tidak ada manfaatnya mata memandang dan warna pun tidak dapat dilihat mahupun membezakannya.



Perhatikanlah…



Seandainya matahari tidak terbenam nescaya tidak akan ada ketenangan dan ketenteraman. Walhal, mereka sangat memerlukan ketenangan serta pancaindera mereka (manusia) perlu beristirehat dan manusia juga perlu membangkitkan kembali kekuatan untuk mencerna makanan untuk tenaga bagi menghadapi kehidupan harian mereka. Ini dalah kerana semangat yang ada pada makhluk mendorongnya untuk terus menerus bekerja dan berusaha untuk kehidupan. Maka, jika malam tidak muncul, kebanyakkan haiwan dan tumbuhan juga tidak mengalami proses tumbesaran yang sempurna dan teratur.





Selain itu, dengan terus menerusnya matahari bersinar, bumi akan menjadi panas dan kering sehingga semua haiwan dan tumbuhan yang berada di atasnya akan melecur dan terbakar. Jadi, dengan terbitnya matahari di suatu waktu dan terbenamnya di waktu yang lain, membuatnya dalam hal cahaya bagaikan pelita bagi penghuni rumah, di satu waktu ia menyala dan di waktu yang lain ia menghilang, agar mereka dapat tenang dan tenteram.



Dengan demikian, matahari selamanya beredar untuk memberikan manfaat bagi penduduk bumi dengan berganti-gantinya cahaya dan kegelapan yang saling tolong-menolong serta bantu-membantu untuk kebaikan dan keseimbangan alam. Dengan dekat dan jauhnya matahari, musim-musim berjalan dengan teratur, sehingga teratur pulalah urusan-urusan tumbersaran tumbuhan-tumbuhan dan haiwan-haiwan.




Saudara-saudari yang dirahmati dan dimuliakan Allah SWT.




Perhatikanlah…





Perjalanan matahari dalam orbitnya selama setahun. Setiap hari ia (matahari) terbit dan terbenam dengan ketentuan Penciptanya. Jika matahari tidak terbit dan terbenam, maka tidak ada beza antara malam dan siang, serta waktu-waktu juga tidak dapat diketahui dan ditafsirkan akan ketibaan saatnya. Seandainya gelap secara terus-menerus, maka ia akan membawa bencana bagi semua makhluk. Maka perhatikanlah lagi, bagaimana Allah SWT menjadikan malam sebagai tempat tinggal dan pakaian serta menjadikan siang untuk penghidupan.



Perhatikanlah…



Bagaimana Allah SWT memasukkan malam kepada siang dan siang kepada malam dan bagaimana pula Ia menambah dan mengurangi kedua-duanya menurut aturan tertentu?



Perhatikanlah…



Perjalanan matahari sehingga dengan sebab itu musim panas dan musim sejuk datang silih berganti. Jika matahari berada lebih rendah dari tengah langit, maka udara menjadi sejuk dan muncul pula musim sejuk. Jika ia berada tepat di tengah langit, udara sangat panas. Jika ia berada di antara kedua-duanya maka musim akan seimbang. Jadi, dengan adanya empat musim ini dalam setiap tahun, urusan tumbuh-tumbuhan dan haiwan menjadi teratur.



Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.



Mari kita semua fikirkan, bagaimana Allah SWT mengatur pula peredaran matahari pada gugusan bintang untuk membentuk putaran tahun. Peredaran inilah yang menghimpunkan empat musim iaitu musim sejuk, musim dingin, musim panas dan musim luruh.



Berdasarkan ukuran putaran matahari, hasil-hasil tanaman dan buah-buahan dapat diketahui. Kemudian ia kembali lagi, lalu memulai lagi waktu perjalanannya. Dengan perjalanannya, maka sempurnalah masa satu tahun dan perhitungan tahun menjadi benar dengan ketentuan Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.



Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Renungkanlah…



Bagaimana matahari menyinari alam ini dan bagaimana Allah SWT mengaturnya? Jika ia menyinari alam dari satu tempat sahaja, maka sinarnya hanya akan sampai pada satu arah sahaja, sedangkan semua arah yang lain tidak mendapat sinarnya, kerana gunung-ganang dan dinding-dinding telah membatasinya. Maka Allah SWT menjadikannya terbit di pagi hari dari sebelah timur, sehingga sinarnya merata tempat-tempat di sebelah Barat yang berhadapan dengannya. Kemudian ia terus beredar dan menyelubungi satu arah demi satu arah sampai berakhir di sebelah Barat dengan menyinari tempat-tempat yang di pagi hari tidak mendapat sinarnya, sehingga tidak tersisa satu tempat pun melainkan mendapat sinar cahayanya. SubhanAllah!





Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Kemudian kita fikirkan lagi…



Bagaimana Allah SWT mengatur waktu kedua-duanya yang sesuai untuk kepentingan seluruh alam, sehingga kedua-duanya mempunyai ukuran waktu tertentu yang bila melebihinya akan membahayakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di bumi.





Haiwan tidak akan tenang selama masih mendapati cahaya siang dan binatang ternak tidak akan berhenti mencari makanan sehingga pekara itu akan mengakibatkan kerosakan baginya. Sedangkan tumbuh-tumbuhan, jika waktu siang agak panjang, maka ia akan terus mendapat panas matahari, yang menyababkan menjadi kering dan panas, lalu akan menggering dan seterusnya akan terbakar.





Demikian juga malam, jika ia agak panjang, nescaya pekara itu akan mencegah haiwan untuk bergerak dan mencari makan. Pekara ini juga akan membekukan suhu tumbuh-tumbuhan sehingga ia akan membusuk dan menjadi rosak, sebagaimana yang tejadi pada tumbuh-tumbuhan jika tempat tumbuhnya tidak terkena sinar matahari.



Saudara-saudari yang dimuliakan dan dikasihi Allah SWT.



Pernahkah kita terfikir akan semua itu?



Pernahkah kita bersyukur terhadap-Nya?



Pekara ini yang sepatutnya bermain di dalam minda kita. Kita telah dikurniakan pelbagai rahmat dan nikmat, tetapi kita juga sering melanggari segala nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan oleh-Nya kepada kita. Sedangkan kita semua mengetahui bahawa nikmat dan rahmat itu sebenarnya adalah tanda bahawa Allah SWT itu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kebesaran dan kekuasaan Allah SWT itu menunjukkan dengan jelas bahawa kita adalah terlalu fakir dan fuqara. Kita (manusia) amat-amat memerlukan bantuan dan dokongan dari rahmat dan nikmat oleh Allah SWT. Jangan sangka kita sudah dibesarkan dengan pelbagai nikmat dunia yang melimpah serta kedudukan yang tinggi, tidak perlu lagi dengan rahmat dan nikmat dari Allah SWT sehingga bersifat sombong terhadap-Nya.



Bukan begitu saudaraku sekelian.



Bukan begitu tujuan kita.



Kita dilahirkan bukan untuk melawan dan mengkhianati Allah SWT serta rasul-Nya, tetapi sebaliknya kita dilahirkan di dunia ini adalah untuk mentaati segala perintah dan suruhan-Nya dengan berbekalkan Iman dan Takwa. Jika ini pun kita masih samar-samar, bagaimana kita hendak bicarakan hal-hal yang berkaitan dengan penyatuan Ummah. Ini bukan jalan pintas untuk kita ke hadapan, tetapi meminggirkan Islam dengan begitu jauh sekali. Bersyukurlah terhadap nikmat dan rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada diri, keluarga dan negara kita selama ini. Lihatlah mereka-mereka (muslim) yang berada di luar cakupan negara kita, kelihatan mereka terlalu dhaif dan sukar untuk mengembangkan sinar Islam terhadap negara dan tanahair mereka sendiri, sehingga sanggup berkorban dan terkorban kerana cintanya terhadap Islam. Sebagai contoh, lihatlah umat-umat Islam (saudara-saudara kita) yang berada di Amerika Syarikat, mereka berusaha keras tanpa hiraukan apa jua rintangan yang menimpa mereka, mereka telah difitnah serta hak-hak mereka sebagai warga Muslim-Amerika ketika ini telah diperlekehkan dengan sebegitu hina sekali akibat dari serangan peristiwa 9 september beberapa tahun yang lalu. Tetapi semangat jati diri mereka untuk membentuk ummah Islam yang jitu tidak pernah luntur, dan akhirnya mereka telah berjaya mendapatkan persetujuan dari Presiden Barrack Obama untuk membina sebuah masjid berdekatan dengan tapak “Ground Zero” (bekas tapak WTC) di atas usaha yang berterusan dari mereka serta ketentuannya dari Allah SWT. Bukankah itu menunjukkan bahawa Rasulullah SWT itu membawa rahmat kepada sekelian alam, dan Islam itu merupakan agama yang benar. Mereka (rakyat Muslim-Amerika) telah melakukan sesuatu yang betul, mereka juga sebenarnya telah berjihad untuk agama Allah SWT. Tetapi malangnya ketika ini di negara kita khasnya (Malaysia), rakyatnya (minoriti) masih gemar mengimarahkan pesta-pesta dan konsert-konsert berbanding dengan majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid ataupun di surau-surau. Lebih malangnya lagi, golongan yang berada di ambang usia merupakan golongan yang kerap mengimarahkan masjid dan surau-surau berbanding dengan golongan muda-mudi. Malahan lebih malangnya lagi, (kisah benar), ada sesetengah masjid atau surau yang terdapat di sini (Malaysia) lebih banyaknya ‘tahi cicak’ dari banyaknya jemaah yang mengimarahkan masjid. Setuju atau tidak, itu adalah kenyataan dan kebenarannya. Pekara ini yang harus kita semua telan. Dan pekara ini juga yang wajib kita semua fikirkan.



Mana perginya Islam ‘Hadhari’ yang digembar-gemburkan!.



Mana perginya ‘Pemuda-Pemuda’ dan ‘Puteri-Puteri’ pemangkin negara!



Jika inipun masih kita ketinggalan dalam mengatur setiap gerak langkah penyatuan Ummah, maka sebenarnya kita telah ketinggalan jauh, jauh dari masyarakat yang minoritinya beragama Islam, seperti di Eropah. Jauh dari sudut pemahaman Islam, jauh dari masyarakat Madani. Jauh…dan terus jauh….




Angkatlah wahai saudara-saudariku sekelian!




Angkatlah Islam itu setinggi-tingginya!




AllahuAkbar!

















Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku, ampunilah dosa kedua orang tuaku, menangkanlah umat Muhammad hancurkanlah kafir kuffar…





1 comment:

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails