Wednesday, 25 August 2010

Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Manfaat Udara.






Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Manfaat Udara.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.









BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada anda yang melewati di sini.



Di artikel yang lalu, kita telah mengetahui dan kongsikan bersama tentang apa yang di katakan ‘Kebesaran dan Kekuasaan Allah SWT’. Kita juga telah mendalami tentang serba sedikit berkenaan dengan alam semesta ini dengan sedikit infomasi yang telah kita sama-sama kongsikan serta fahami bersama. Walaupun ia bukanlah satu maklumat yang merangkumi semua caturan berkenaan dengan sains, tetapi diharapkan juga agar ia memberikan satu kesan gurisan dalam jiwa dan hati kita, bahawa sebenarnya kita ini dikelilingi dengan rahmat dan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita tanpa disedari. Walaupun kadangkalanya kita memahami dan mengetahuinya melalui sistem pembelajaran jangka masa yang lampau, tetapi sebenarnya itulah hakikat yang menyatakan bahawa alam ini juga turut diberi kasih sayang dari Allah SWT. Benarlah apa yang kitakan bahawa Allah Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana terhadap sekelian makhluk-Nya. Kita sebagai manusia yang telah Allah SWT berikan akal dan buah fikiran yang baik, sekurang-kurangnya dapatlah melihat serta memikirkan tentang apa yang dikatakan dengan makna Maha Pencipta. Jika kita masih belum mengenali akan-Nya, maka sebenarnya kita belum faham dan mengetahui apa yang dikatakan pula Matlamat Penciptaan kita di dunia ini. Semoga cetusan minda dan garapan yang menyentuh sanubari ini akan menjadikan diri kita lebih dekat dan terus selamanya dekat terhadap Allah Azza Wa Jalla.

Ketahuilah kita semua, bahawa pergerakkan dan peredaran udara adalah melalui bantuan angin. Seandainya ia tidak berlaku yang sedemikian, maka akan rosak binasalah semua haiwan di darat mahupun di udara. Seandainya haiwan-haiwan tidak lagi menghirup serta menikmatinya, maka udara panas yang terdapat pada dirinya akan menuju ke dalam hatinya, serta pekara ini akan memyebabkan kesihatannya terganggu dan akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit dalaman terhadapnya. Bukankah itu menunjukkan kepada kita, bahawa udara itu sebenarnya adalah sumber yang amat-amat diperlukan dalam menjalani ruang kehidupan di muka bumi ini. Perhatikan pula hikmah peredarannya awan oleh udara. Kalau bukan kerana kasih sayang Allah Yang Maha Pencipta dengan menciptakan angin, nescaya awan akan menjadi berat dan tetap tidak bergerak di tempat-tempatnya sehingga bumi tidak akan dapat mengambil manfaat daripadanya.



Firman Allah SWT :


Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” (Surah Al-Hijr – Ayat 22).




Saudara-saudari yang dirahmati dan dimuliakan Allah SWT.




Bagaimana kapal-kapal di lautan berjalan dan berpindah dari satu daerah ke daerah yang lain dengan bantuan hembusan udara. Kapal-kapal tersebut membawa pelbagai jenis rezeki yang tiada di sesebuah Negara tersebut sehingga para penduduknya mendapat daripada manfaat bantuan tersebut. Lihat sahaja pada bulan Ramadhan ini, kita telah dibekalkan dengan bertan-tan buah kurma yang terdapat di Negara Arab, yang sememangnya tidak terdapat langsung di Negara kita khasnya. Maka kapal-kapal laut yang berlayar itu telah dibantu oleh bantuan udara yang secukupnya untuk sampai ke sini bagi menampung permintaan dan memberi banyak manfaat terhadap kehidupan kita amnya. Itu tidak termasuk dengan pelbagai lagi jenis barangan yang lain, malahan ia juga dapat membantu ekonomi sesebuah Negara tersebut dengan begitu berkesan sekali.



Kalau tidak kerana pelayaran kapal-kapal tersebut dengan bantuan udara, maka barang-barang itu hanya akan ada di tempat-tempat di mana ia diciptakan. Haiwan-haiwan ternak juga agak sukar untuk dipindahkan di daerah atau Negara-negara lain tanpa bantuan kapal-kapal laut yang disokong oleh bantuan udara. Sinonimnya kelihatan manusia itu memiliki keperluan-keperluan yang mendorong mereka membawa masuk apa-apa yang tidak diciptakan di tempat atau di Negara mereka. Bukankah itu satu fitrah bagi manusia.




Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.




Dengan pergerakkan udara, bau-bauan di muka bumi ini akan hilang. Jika tiada udara, maka tempat-tempat tinggal akan menjadi tercemar akibat bau yang kurang menyenangkan serta sedikit sebanyak boleh menyebabkan pelbagai wabak atau penyakit yang boleh membahayakan kesihatan manusia dan haiwan. Manfaat yang ditimbulkan oleh laut dengan memindahkan debu dan pasir ke kebun-kebun dan menguatkan pohon-pohonnya dengan tanah yang sampai kepadanya berkat daripada pergerakkan udara. Permukaan gunung juga tertutup dengan debu sehingga dapat dilakukan kegiatan pertanian yang meluas. Sedangkan debu yang menuju ke persisiran pantai juga termasuk sesuatu yang bermanfaat kepada manusia. Semua ini adalah berkat daripada gerakan air laut dengan bantuan udara. Kalaulah semua ini tidak disokong oleh udara, maka amat sukarlah untuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan untuk menjalankan aktiviti harian mereka setiap hari.




Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.




Mari kita semua perhatikan lagi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.




Cuba kita semua lihat pula, bagaimana hujan turun dengan berpisah-pisah disebabkan oleh pergerakkan udara, sehingga ia jatuh ke bumi sedikit demi sedikit. Kalau tidak kerana pergerakkan udara, maka ketika air hujan turun, ia akan turun dengan sekali tumpahan yang deras sehingga akan menghancurkan apa-apa yang terkena olehnya ketika turun ke bumi kelak. Kemudian titisan-titisan hujan tersebut akan mengumpul sehingga terbentuklah sungai-sungai dan laut-laut di muka bumi ini tanpa membahayakan sesiapa sekalipun. SubhanAllah. Cuba kita semua perhatikan jika ketika hujan itu turun dengan limpahan yang kuat dan deras, apakah yang akan berlaku ketika air itu menghampiri manusia dan seluruh tanaman serta haiwan-haiwan yang terdapat di muka bumi ini. Tentu ia akan menyukarkan serta boleh memudaratkan alam ini.



Firman Allah SWT :


Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.” (Surah Al-Nahl – Ayat 10 & 11).



Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.



Di antara kesempurnaan nikmat Allah SWT dan keagungan hikmah-Nya adalah dengan menjadikan udara yang cerah di celah-celah titisan hujan. Sehingga keduanya datang bersilih ganti kerana terdapat kebaikan bagi alam ini. Tidakkah kita semua perhatikan bahawa jika hujan terus-menerus turun dengan lebat dan deras, nescaya ia akan memusnahkan tanaman, menghancurkan tempat kediaman, memutuskan jalan-jalan yang terdapat di bumi, menghalangi pelbagai lagi kegiatan harian manusia yang melibatkan urusan-urusan pencarian rezeki untuk kehidupan harian dan tanggungan mereka. Seandainya udara terus-menerus cerah, nescaya badan manusia dan tumbuh-tumbuhan menjadi kering.



Pekara ini boleh membahayakan manusia dan akan menyebabkan kekeringan yang menimbulkan bahaya lain berupa penyakit-penyakit atau wabak-wabak yang berjangkit. Harga-harga makanan pun akan menjadi lebih mahal dan melambung tinggi nilainya. Jika hujan dan udara datang silih berganti maka udara akan menjadi sederhana dan seimbang untuk mengimbangi iklim. Selain daripada itu juga, kita dapat menghirup zat dan oksigen yang mengandungi pelbagai vitamin bagi menyihatkan organ-organ tubuh badan kita. Seandainya kita tidak menghirup udara, maka pernafasan kita menjadi rosak dan ianya akan membawa kebinasaan bagi koordinasi kesihatan kita. WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails