Wednesday, 13 January 2010

Golongan Manusia Yang Dimurkai Di Padang Mahsyar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah dengan limpah-Nya, kita bersua kembali mengharungi kehidupan fana ini yang mencabar dan tercabar. Begitu sinonimnya, ketika ini kemelut pencerahan Pengunaan Kalimah Allah kian terungkai satu demi satu. Segala tipu muslihat ahlil kitab kian terserlah kebodohannya sehingga sanggup mengunakan undang-undang mereka untuk ‘memaksa’ masyarakat Islam agar patuh atas desakkan mereka. Umat Islam bukan Umat yang mudah untuk diperlekehkan dengan undang-undang buatan manusia yang palsu. Walaupun kita kenal malah patuh dengan undang-undang tersebut, tetapi dalam soal melibatkan Agama Islam, lantas segenap Umat Islam bersatu bangun menentangnya dengan lantang. Walaupun ada minoritinya golongan pemimpin kita yang bersetongkol dengan mereka, namun jihad tersebut tidak pernah luntur dalam hati-hati kita terhadap Islam. Begitulah kuatnya masyarakat Islam kita hari ini, walaupun golongan belianya hampir hancur dan musnah akibat propaganda barat yang mendengkelkan. Ini semua adalah ketentuan dari Allah s.w.t untuk menguji sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Bagi yang mengagungkan pemimpin-pemimpin yang mengelarkan diri mereka seorang pejuang, Nah! Kini kamu akan melihatnya sendiri apabila sentimen Kalimah Allah ini dimainkan oleh ahlil kitab, sejauhmana ia digelar sebagai pejuang Islam. Fikirkan!.


Buat pengetahuan kita semua, mengikut kajian awal sejarah ketamadunan Masyarakat Melayu adalah bangsa yang telah Allah s.w.t jadikan Islam itu agama tunggal sejak dari awal ia wujud lagi. Tiada bangsa dalam dunia ini yang Allah s.w.t jadikan ia satu bangsa dengan satu agama. Kadangkalanya pula satu bangsa dengan pelbagai etnik agama. Lihat sahaja bangsa China, mereka mempunyai banyak agama dalam satu bangsa, begitu juga dengan bangsa India, yang mempunyai banyak anutan agama dalam bangsa mereka, Bangsa Barat, amnya adalah bangsa yang mempunyai paling banyak beragama tidak terkecuali juga Bangsa Arab, ia juga merupakan bangsa yang banyak menganuti agama selain dari Islam, dan semua bangsa-bangsa di dunia ini mempunyai pelbagai agama dalam satu bangsa kecuali Bangsa Melayu. Masyarakat Melayu amnya sinonim dengan agama Islam. Jarang kita dengar masyarakat melayu beragama selain dari Islam. Kalau adapun ketika dahulunya ia adalah keturunan dari kalangan masyarakat beragama Islam juga. Lihat sahaja masyarakat Melayu Champa di Kemboja, Yala, Pattani, Narathiwat, Myanmar, Laos, Segelintir di Vietnam, di Afrika Selatan, di India, di China dan seluruh pelusuk dunia ini. Rata-ratanya adalah dari beragama Islam. Ini adalah ketentuan Allah s.w.t yang menaikkan bangsa Melayu itu dengan Islam. Saya tidak beranggapan bahawa masyarakat Melayu itu bagus dalam setiap semua bangsa di dunia ini, tetapi apa yang saya hendak perlihatkan di sini adalah tentang hakikat kepada mereka-mereka yang masih lagi samar-samar malah masih lagi mengagungkan bangsa luar dan agama selain dari Islam itu satu ikutan tanpa merujukpakai kepada kebenaran. Inilah realitinya apabila segelintir bangsa Melayu yang masih tidak segan silu mencedok budaya luar serta menganuti agama selain dari Islam tanpa mengetahui asas sebenar bahawa Islam itu telah sebati dalam masyarakat kita. Pekara inilah yang dibimbangi kita dekad ini, memertabatkan bangsa Melayu tetapi kesucian Islam itu dipandang remeh, dan hanya mempraktikkan ajaran Rasulullah s.a.w itu hanya pada tempat-tempat ibadah sahaja dan pekara-pekara asas dalam Islam. Kalau tidak berlakunya semua ini, mana mungkin timbulnya golongan murtad di kalangan warga Melayu hampir mencecah kepada 200.000 orang, serta mana mungkin fail pertukaran agama Islam kepada agama lain semakin hari semakin membimbangkan di pejabat-pejabat jabatan Islam berkanun. Ini adalah suatu pekara yang benar yang perlu kita sama-sama pertanggungjawabkan kelak. Maka dengan itu, pertahankanlah kesucian Islam itu demi menjamin keredhaan Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.


Kita hentikan buat seketika berkenaan dengan itu, kita teruskan apa yang telah saya war-warkan di tajuk utama saya. Ini juga berkaitrapat dengan santapan Aqidah dan Iman kita khasnya. Percaya dan yakin bahawa wujudnya hari kiamat dan hari pembalasan itu wajib tersemat di dalam diri kita. Ahlil Kitab menyatakan bahawa apabila manusia itu mati kelak, tiada penghidupan selepas itu. Dan dunia ini juga adalah tempat untuk bersenang-lenang menikmati kemewahan duniawi. Sangkaan itu sama sekali meleset, setiap manusia itu pasti dibangkitkan kelak. Dibangkit dan dihitungkan amalan-amalan semasa berada di dunia. Ini adalah teras kepercayaan kita bahawa kehidupan dunia ini adalah tempat untuk mengumpul amalan sebanyaknya bagi bekalan hari akhirat kelak. Jika kosong amalan tersebut, maka kosong juga syafaat kita di hari kebangkitan kelak. Maka dengan itu fakir-fikirkanlah sesuatu untuk kita amnya, sejauhmana langkah kita setakat ini, adakah ia lurus atau ia bersimpang siur?.


Saya tertarik dengan sebuah kitab iaitu “Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi” karya Asy-Syaikh Abdul Wahab Asy-Sya’rani. Kitab ini bagus untuk kita semua baca dan miliki. Kadangkalanya penerangan dari penulis ini sedikit sebanyak menginsafkan diri seseorang. Penulis mengajak para pembaca kitabnya agar mentauhidkan syariat Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t merahmati penulis kitab tersebut. Saya rujuk muka surat halaman 44 hingga 45. Keterangan tersebut berupakan Hadith yang telah dinyatakan oleh sahabat Nabi s.a.w iaitu Mu’adz bin Jabal r.a. Beliau bertanya kepada Nabi s.a.w, apakah yang dimaksudkan Allah s.w.t dalam surah An-Nabaa’, ayat 18.


“Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar);” (Surah An-Nabaa’ – Ayat 18).


Ketika Rasulullah s.a.w ingin menerangkan kepada Mu’adz bin Jabal, lantas air mata baginda bercucuran keluar dari kelopak mata baginda s.a.w dan Beliau lalu berkata :


“Wahai Mu’adz, sesungguhnya engkau telah menyatakan sesuatu pekara yang benar!. Umatku kelak akan hadir di Padang Mahsyar dengan sepuluh golongan. Masing-masing adalah berbeza-beza keadaan rupa dan caranya. Dan Allah s.w.t telah menukar wajah-wajah mereka dan tidak akan dikembalikan lagi wajah-wajah tersebut sebagai manusia yang sempurna.” Antara golongan tersebut adalah :


Golongan Pertama.

Golongan mereka ini akan bertukar menjadi seperti seekor kera. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka mengadu domba (mencela, mengumpat) ketika di dunia dahulu.


Golongan Kedua.

Golongan mereka ini akan bertukar wajah menjadi seekor babi. Mereka ini adalah golongan manusia yang suka memakan makanan dan minuman yang haram.


Golongan Ketiga.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan yang terbalik, iaitu kakinya berada di atas dan kepalanya berada di bawah. Golongan mereka ini juga adalah golongan manusia yang ketika di dunianya gemar memakan pekara-pekara atau harta-harta yang berteraskan riba.


Golongan Keempat.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mata yang buta. Golongan manusia ini juga merupakan golongan yang bathil dalam menetapkan hukum-hukum Allah s.w.t ketika berada di dunia dahulu.


Golongan Kelima.

Golongan manusia yang bertukar menjadi bisu, pekak serta tidak berakal. Golongan ini adalah ketika di dunia suka membuat dirinya riya’, mengagumi diri dan berbangga pada amalan-amalannya sendiri kepada orang lain.


Golongan Keenam.

Golongan manusia yang dihalau dalam keadaan mengunyah lidahnya sendiri, lidah tersebut terjelir keluar sehingga ke paras dada sambil mengeluarkan nanah yang menjijikkan. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka berpidato atau bercakap berkenaan pekara-pekara yang baik, tetapi hakikatnya ia tidak melakukan apa yang dikatakannya. Sebaliknya kejahatan dan kemaksiatan itu adalah rutin hariannya.


Golongan Ketujuh.

Golongan manusia yang berjalan dan dihalau dalam keadaan terpotong kedua belah tangan dan kakinya. Ini adalah golongan manusia yang suka menganggu jiran tetangganya dengan pekara-pekara yang jahat dan bathil.


Golongan Kelapan.

Golongan manusia yang berjalan dipadang mahsyar kelak dalam keadaan tersalib dipohon-pohon kurma dari neraka. Golongan manusia ini adalah golongan yang suka mengajak manusia agar mengikuti dan membela pemimpin-pemimpin negara yang jelas tidak jujur dalam pemerintahannya.


Golongan Kesembilan.

Golongan manusia yang berjalan di padang mahsyar dalam keadaan badan mereka berbau busuk yang dahsyat. Mereka-mereka ini adalah golongan manusia yang suka melempiaskan nafsu syahwat mereka dan menolak hak-hak Allah s.w.t dengan tidak berzakat, bersedekah dan sebagainya ketika di dunia dahulu.


Golongan Kesepuluh.

Golongan manusia yang dipakaikan Allah dengan baju yang panas ketika di padang mahsyar kelak. Golongan mereka ini adalah ketika di dunia dahulu merupakan seorang yang sombong, bongkak dan takabur terhadap syariat Allah s.w.t.


Merujuk daripada kesepuluh golongan tersebut, maka didapati bahawa ketika itu manusia akan melalui satu saat yang genting dan getir dan Allah s.w.t membezakan manusia bergantung kepada amalan-amalan kita ketika di dunia. Ia jelas berbeza-beza perwatakan manusia pada ketika itu. Ada yang diaibkan dan ada yang muliakan Allah s.w.t. Nanti saya akan terangkan berkenaan manusia yang berada di naungan Allah s.w.t ketika di padang Mahsyar di artikel saya yang akan datang. InsyaAllah.


Di dalam Al-Quran ada menyebut bahawa, manusia ketika berada di dunia sering berpaling dari syariat Allah s.w.t. Dalam masa yang sama juga mereka sering mendustakan ayat-ayat Allah, tetapi ketika di himpunkan di padang mahsyar kelak, Allah s.w.t akan butakan mata mereka. Padahal ketika di dunia mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang buta penglihatannya. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Thaha – Ayat 124-126 yang bermaksud :


“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?. Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. (Surah Thaha – Ayat 124-126).


Dalam ketika itu juga, terdapat golongan manusia yang dihimpunkan dikalangan orang-orang yang ngeri seksaannya. Mereka adalah golongan orang-orang yang kafir di mana mereka dihalau dengan keras dan diseret-seret muka-muka mereka. Firman Allah s.w.t :


Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. (Surah Al-Furqan – Ayat 34).


Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa di himpunkan di padang Mahsyar itu benar, dan seksaan api neraka itu juga benar. Kita sebagai orang Islam wajib mempercayai dengan semaksimanya. Tiada nas-nas yang menyatakan bahawa kiamat itu satu dongengan yang direka-reka oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :


“Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.” (Surah Al-Khafi – Ayat 47).


Liku-liku kehidupan pada ketika itu hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Jika kita melihat ayat-ayat Allah dalam Al-Quran, kita dapati Allah s.w.t sengaja menjelaskan dan memperlihatkan betapa dahsyatnya seksaan api neraka kepada makhluknya yang ingkar. Sehinggakan kita sebagai manusia yang diberikan akal dan fikiran juga dapat mengambarkan seksaan tersebut melalui gambaran akal fikiran kita. Gambaran ini seolah-olah Allah s.w.t gambarkan kepada manusia agar kembali kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Tetapi ia berbeza pula dengan gambaran ketika berada di dalam syurga Allah. Sesuatu pekara yang Allah s.w.t gambarkan kepada kita, tetapi kenikmatan tersebut tidak dapat digambarkan atau ditafsirkan oleh akal-akal kita. Ini satu pertunjuk kepada kita bahawa nikmat yang Allah s.w.t janjikan itu adalah nikmat yang belum pernah kita lihat dan rasai ketika di dunia ini. Oleh yang demikian, kita masih di dalam bulan Muharam dan di awal bulan masehi, maka perbaharuilah lagi Iman kita untuk menjaminkan lagi diri kita agar tidak tergolong di dalam kalangan orang-orang yang rugi ketika di hari kiamat kelak. Kalau dahulunya kita suka melakukan pekara-pekara kemaksiatan, maka apabila melihat dan mendengar ayat-ayat Allah s.w.t, ambillah satu jalan pendekatan untuk menghampirkan lagi diri kita dengan Allah s.w.t. InsyaAllah jika ada kesempatan waktu dan ketika, saya akan menghuraikan lagi dengan lebih lanjut berkenaan dengan golongan manusia yang di bawah naungan Allah s.w.t ketika berada di Padang mahsyar. WaAllahualam.





Nota Dan Rujukan :

1- Tafsir Al-Quran Prof Dr. Hj Mahmud Yunus.

2- Kitab Mukhtashar Tadzkiratul Qurthubi (Karya Asy-Syeikh Abdul Wahab Asy-Syarani - Terbitan Salim Nabhan Surabaya)

3- Kitab Riyadlush Shalihin - Imam An Nawawi.




Wednesday, 6 January 2010

Kita Adalah Hamba-Nya.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir


Buat insan yang mengenal diri,

Mengenal erti gelombang kehidupan,

Mengharungi badai bergelora mendatang,

Cabaran disapa buat pedoman,

Insafilah jua berbekalkan Iman,

Bekalan hidup menuju keredhaan.


Ada yang berkata,

Akulah Firaun,

Ada yang berteriak,

Akulah Qarun,

Ada yang mengelar,

Akulah Abu Lahab,

Adakah ia cukup untuk berdepan dengan-Nya?,

Adakah ia cukup untuk menghadapi tentera-tentera-Nya?,

Adakah ia cukup untuk mengharungi neraka-Nya?,

Kelak tunduk meratap kekesalan,

Kekesalan berpanjangan dengan larut hiba,

Meminta, meraung, merayu dan mendamba,

Agar di kembalikan semula,

Agar dapat bersujud menyembah-Nya,

Agar dapat mentauhidkan Rasul-Nya,

Namun itu semua sudah terlewat,

Terlewat buat selama-lamanya,

Ingatlah…

Siapakah kita disamping-Nya?,

Kita adalah hamba-Nya,

Kita adalah hamba-Nya,


Anak-anak muda memperaga,

Tiada rasa kekesalan diri,

Tiada rasa maruah diri,

Membiarkan diri diperkuda,

Mengikut nafsu selamanya,

Membuang zuriat merata-rata,

Menjadi insan jahil noda,

Membiarkan hati kelam dosa,

Adakah kita makhluk yang terbiar?,

Adakah kita lupa syariat-Nya?,

Kianati Rasul-Nya,

Memperhujahkan Kalam-Nya,

Ragam manusia melupai diri,

Nikmat dunia disalah erti,

Kelak kamu diperhitungkan,

Bersama-sama saksi Allah,

Bersama-sama janji Allah,

Ketika itu barulah terhantuk,

Menyesal sudah tiada bererti,

Wahai insan…Insaflah..

Wahai Insan…Ingatlah..

Wahai Insan…Kembalilah..

Kerana...

Kita adalah Hamba-Nya,

Kita adalah Hamba-Nya.


Pangkat sudah,

Kedudukan sudah,

Kemewahan sudah,

Cukupkah wahai Insan?,

Cukupkah wahai maulana hadhari?,

Cukupkah wahai Ulama’ gerbang neraka?,

Cukupkah wahai Ullul Amri berselimutkan dosa?,

Cukupkah?…

Ingatlah..,

Bumi ini milik Allah,

Langit ini milik Allah,

Air ini milik Allah,

Batu ini milik Allah,

Dirimu jua milik Allah,

Apakah yang kita ada?,

Katakan...

Dimanakah destinasi terakhir kita?,

Katakan...

Wahai insan...

Renungilah diri,

Setitikpun kita tiada,

Sedebupun kita tidak terdaya,

Sesaatpun kita tidak boleh menahannya,

Lupakah kita akan semua itu?,

Lupakah kita tentang janji itu?,

Lupakah...

Lupakah...

Ingatlah wahai insan,

Kita akan dipertanggungjawabkan kelak,

Kita akan dipertanyakan kelak,

Kita akan dipersaksikan kelak,

Apakah jawapan di hadapan Maha Esa?,

Apakah cukup dengan kedudukan?,

Apakah cukup dengan kemewahan duniawi?,

Apakah cukup dengan pengikut materialisme?,

Apakah cukup dengan kroni-kroni?,

Katakanlah…

Allah Maha Besar,

Hukumlah daku atas pembohongan dan pengkhianatanku,

Aku malu berdepan dengan-Mu,

Adakah kemahsyuran duniawi dapat membantu?,

Katakanlah...

Allah Maha Besar,

Allah jualah tempatku kembali,

Allah jualah tempatku berlindung,

Allah jualah tempatku merayu,

Lupakah kita,

Sabda Rasul-Nya,

Siapakah insan yang terakhir yang dimasukkan ke dalam syurga?,

Adakah kita insan itu?,

Adakah kita punyai ciri-ciri itu?,

Katakanlah...

Allah Maha Besar,

Wahai insan…

Kita akan diperhitungkan kelak,

Diadili dengan seadilnya,

Pergunakanlah ruang waktu mentauhidkan-Nya,

Agar kita diredhai-Nya,

Kerana...

Kita adalah hamba-Nya,

Kita adalah hamba-Nya,

Allahu Akhbar!.


Monday, 4 January 2010

Propaganda Golongan Triniti.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Dengan taufiq dan hidayah-Nya kita dipertemukan lagi. Dengan keizinan dari-Nya kita dihidupkan lagi, menghirup udara-udara segar serta menikmati panorama keindahan ciptaan-Nya. Hari ini kita diberika rahmat-Nya, melalui liku-liku kehidupan dengan sempurna, tetapi masih ada insan-insan yang tidak mengecapi dari apa yang telah kita kecapi. Kita megah mempunyai nagara yang merdeka, lebih 50 tahun kita mengecapi, tetapi masih ada Negara Islam khususnya yang masih berperang, berjihad dan berkorban demi sebuah Negara Islam yang berdaulat. Kita bersyukur kerana kurniaan rezeki yang melimpah ruah, sehinggakan rezeki tersebut membawa bahana terhadap diri kita, tetapi dalam masa yang sama ada insan yang hanya berselimutkan pelepah-pelepah tamar dan beralaskan daun-daun tamar bagi mengharungi kehidupan harian. Kita berbangga kenderaan dan rumah yang besar, penuh permaidani dan perabut yang berjenama, tetapi ada insan yang hanya beralaskan tikar mengkuang yang lapuk, untuk tidur, makan, dan bersolat di situ. Kita mendabik dada mendonggak ke langit, dengan kereta yang besar dan mempersonakan, tetapi ketika itu masih ada insan yang hanya berjalan 100 km untuk sampai ke sesuatu destinasi bagi mencari rezeki. Ini semua rencah-rencah kehidupan, mengamit setiap emosi insan yang bergelar Khalifah-Nya.


Apabila menjelmanya tahun baru bagi masehi, maka ramailah sekelian manusia berpusu-pusu menghadirkan diri, mengamit dan mencoretkan sebuah memori indah yang mereka anggap sebagai sebuah sejarah yang tidak akan dilupakan. Dari yang benar-benar mengakui dirinya sebagai seorang muslim, bertukar wajah membentuk seorang yang hitam wajahnya, atas faktor ceteknya fahaman Islam. Mereka ini sewenang-wenangnya mencoret arang di muka sendiri dan terpalit pula pada yang lain. Begitu juga khasnya dengan golongan pemerintah, saya sudah muak dengan slogan para pemimpin kita, yang rata-ratanya menyatakan bahawa 'ekonomi kita
akan melonjak tinggi dan memperolehi keuntungan Negara yang besar'. Ini semua mengambarkan betapa ‘meriahnya’ mereka-mereka ini yang majoritinya bergelar muslim sehingga mengetepikan hukum-hukum Allah s.w.t serta mengagungkan kemewahan duniawi. Dalam masa yang sama juga mengajar agar rakyat 'meloncat-loncat' memperagakan susuk tubuh yang mengiurkan di atas pentas tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam. Inikah contoh yang ada pada pemimpin yang mengelar diri mereka sebagai pemimpin Islam. Nauzubillah min zaliq. Sudah terlupakah mereka maut, jodoh, rezeki itu di sisi Allah s.w.t. Lupakah mereka 'ketika tidurpun, kita boleh pergi menemui-Nya. Ketika berucappun kita boleh menemui ajal. Inilah rentetan dari mereka-mereka yang sering mengetepikan syariat Allah s.w.t. Saya tidak mahu membahaskan berkenaan soal ini, kerana mereka-mereka ini menganggap diri mereka lebih ‘arif’ dalam semua sudut dari pemimpin Ulama'. Dan kerana mereka-mereka ini jugalah membuatkan Islam itu tercalar lagi. Insaflah wahai pemerintah, kita telah di serang dari semua sudut oleh mereka-mereka yang dahagakan darah umat Islam, kita telah menghadapi keruntuhan akhlaq dalam generasi muda-mudi kita. Butakah kalian semua!.Allahu Akhbar!


Perkataan Allah menurut Eksiklopedia Islam adalah merujuk kepada sebutan atau nama Tuhan yang tiada Tuhan selain Allah. Perkataan Allah yang digunakan oleh Umat Islam adalah merujuk kepada Allah yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada “Tuhan Bapa” iaitu salah satu oknum daripada akidah ‘Triniti’. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain itu juga, lafaz Allah tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah “Theos” bukannya Allah.


Sekiranya kalimah Allah juga terdapat di dalam Bible sebagaimana yang dijadikan hujah oleh Reverand datuk Murphy Pakiam, maka ini adalah semata-mata kerana wujudnya unsur-unsur ketauhidan oleh Nabi-Nabi yang diutuskan sebelum Rasulullah s.a.w, tetapi telah tercemar daripada tujuan asal. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah ‘El’, ‘Eloh’, ‘Elohim’ dan juga Yhwh.


Manakala di dalam bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah Theos. Jika kita mengkaji sejarah Rom, didapati juga bahawa mereka menyembah Tuhan yang disepakati oleh mereka sebagai yang sebenar memanggil Tuhan ini sebagai “Hotheos”. Manakala sekiranya ada di kalangan mereka yang menyembah Tuhan palsu, mereka akan memanggil Tuhan tersebut sebagai ‘Tontheos’. Bagi kedua-dua bahasa yang dijadikan penulisan bagi kedua-dua kitab suci ini, tidak terdapat satu pun kalimah Allah.


Firman Allah s.w.t :

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).” (Surah Ali-Imran – Ayat 69).


Jika kita melihat Enekmen larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang di mana ia telah memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan sama sekali penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enekmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada orang Islam kecuali negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enekmen ini.


Saya rujuk
dalam enekmen Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengambil perhatian di atas pandangan dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh ahli-ahli seperti berikut :


1) Kalimah Allah Lafz al-jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian. Sekiranya kalimah Allah digunakan secara lafziah semata-mata, ia tidak menimbulkan sebarang masalah. Tetapi sekiranya digunakan untuk penulisan dalam bahan-bahan penerbitan, ia adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan perlu disekat.


2) Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian dalam Negeri (KDN) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.


3) Beberapa buah majlis Agama Islam dan NGO Islam telah melakukan pencelahan dalam perbicaraan kes Chatolic Herald Weekly sebagai sokongan kepada kerajaan.


4) Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi ‘subtancenya’. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan Syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat Tauhid.


5) Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan aqidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja mengunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.


6) Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terbuka sehingga membenarkan pekara-pekara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian mengunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.


7) Kalimah Allah sebenarnya tidak ada dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan ‘God’ tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan ‘God’ diterjemahkan sebagai Allah.


8) Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan aqidah umat Islam.


9) Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat daripada aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada aqidah dan kesucian agama Islam.


10) Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam, sebagai agama rasmi Negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama, bukan sekadar terlepas pandang semata-mata.


Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama umat Islam dan ia tidak boleh di gunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Firman Allah s.w.t :

Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” (Surah An-Nisaa – Ayat 171).


Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga khasnya golongan peniaga-peniaga bukan Islam mengantungkan Kalimah suci Allah yang pada hakikatnya mereka itu tidak ubah seperti mengaibkan Islam. Walaupun ia dianggap sebagai pekara yang kecil, tetapi kesannya terpalit dalam masa yang agak panjang.


Firman Allah s.w.t:

"Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman." (Surah Al-Baqarah - Ayat 6).


Ini adalah kenyataan, satu bentuk propaganda pihak triniti (kristian) yang mana motif mereka adalah untuk mengelirukan masyarakat dunia tentang fahaman Islam. Kalau dahulunya mereka mempercayai bahawa Tuhan itu tiga tetapi setelah diterjah dan dihentam bertubi-tubi oleh mubaligh-mubaligh mereka tentang kesahihan triniti tersebut, maka mereka cuba untuk mengubah sesuatu ketentuan itu kepada kekeliruan. Ini menunjukkan betapa jauhnya fahaman yang mereka bawa itu sehingga setiap orang dapat mengenal ketulenan agama tersebut. Jika kita mengkaji tentang sejarah Nabi Isa a.s, sebenarnya agama Beliau adalah khusus untuk Bani Israil sahaja dan menyeru agar kaumnya menyembah Allah s.w.t yang Maha Esa Tetapi segala kebaikan tersebut telah bertukar kenyataannya atas sikap manusia-manusia yang mempunyai kepentingan peribadi sehingga sanggup mengubah apa yang telah termaktub dalam kitab Injil tersebut. Pekara ini dinafikan sejak berabad-abad lamanya. Maka dengan itu sebagai umat Islam yang bertamadun dan mempunyai aqidah yang teguh, pekara ini tidak boleh kita anggap remeh, ia melibatkan maruah umat dan agama Islam itu sendiri. Oleh itu, perjuangankanlah dari apa yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada kita demi Islam yang Ad-Deen. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails