Monday, 26 October 2009

Kemana Hilangnya Tanggungjawab Tersebut?.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, dengan nikmat dan rahmat-Nya, dapatlah kita hidup dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin kepada-Nya. Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad S.A.W itu hamba dan PesuruhNya.


Seringkali kita dikejutkan dengan berita-berita yang menyejutkan sistem kekeluargaan masyarakat kita yang begitu enteng dengan hukum-hukum yang telah digaris pandukan untuk organisasi kekeluargaan. Apabila nas-nas panduan sistem organisasi kekeluargaan ini mula dicalar, malah pula tercalar, maka akan timbul pula penyakit-penyakit peranan yang dengkel melibatkan hati-hati yang kotor dalam mencanang setiap permasaalahan. Ini mengakibatkan satu bentuk ketidakpuashatian terhadap pasangan suami isteri tersebut dalam melalui setiap permasaalahan mereka. Kalau dahulunya, perkataan ‘sayang’ sering dilaungkan dengan tanpa dipaksa, tetapi setelah kian dinihari dan ‘dilanda gelombang banjir’ perkelahian sesama mereka, maka perkataan yang dianggap azimat dan keramat tersebut, pudar dan lusuh dari ungkapan yang sering dimainkan. Maka dengan itu, timbul pula penyakit baru, di mana tuduh menuduh, menunding jari, salah menyalahi dan sebagainya sering diungkapkan bagi memenuhi hasrat nafsu api kemarahan demi menyatakan kebenaran diri sendiri yang sombong lagi bongkak. Pekara ini sering berlaku dalam arena kekeluargaan di negara kita yang semakin hari semakin bercambah. Tanggungjawab yang sepatutnya dipikul, terpaksa pula dikorbankan atas dasar pekara yang langsung tidak diterima akal. Mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, sehinggakan timbulnya perasaan yang kurang senang terhadap isteri. Inilah hakikatnya, apabila Islam itu dipandang sepi, Islam itu diletakkan sejauh-jauhnya dan Islam itu dipinggirkan dengan sewenang-wenangnya. Kembalilah kita kepada Islam, Islam membentuk keperibadian yang mulia, Islam memberi sinar dan kesejahteraan bagi manusia dan seluruh alam ini. Janganlah kerana keegoan diri kita sebagai seorang lelaki yang bergelar suami atau bapa itu membuahkan satu bentuk ketidakseimbangan dalam sistem kekeluargaan kita. Pesanan yang berguna ini adalah untuk diri saya serta untuk sekelian golongan bergelar suami untuk mengembalikan semula kegemilangan organisasi sistem kekeluargaan yang telah digaris pandukan oleh Rasulullah S.A.W mengikut syariat Islam yang Ad-Deen. InsyaAllah.

Nafkah.
Pemberian nafkah oleh suami kepada keluarga merupakan satu tanggungjawab yang mesti ditunaikan. Nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan dan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan. Walaupun ia merupakan satu tanggungjawab, pemberian nafkah juga boleh diibaratkan sebagai sedekah kepada keluarga. Ini telah dijelaskan dalam Hadith Nabi S.A.W :

“Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan itu adalah merupakan sedekah” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

“Cukup berdosa ke atas orang yang menahan nafkah ke atas orang yang ditanggungnya” (Hadith Riwayat Muslim).

Firman Allah S.W.T :
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”
(Surah Al-Talaq – Ayat 7).

1) Nafkah perbelanjaan keluarga.
Menyediakan perbelanjaan keperluan harian, merupakan aset yang penting dalam menanggani kemelesetan ekonomi keluarga. Pekara ini perlu di titik beratkan agar keborosan dapat dikurangkan seminima yang mungkin. Suami juga perlu peka akan keperluan semasa, agar pembaziran tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya. Saya begitu terharu, apabila didapati di media dan di dada akhbar dekad ini, sering memaparkan kos keperluan harian suami dan isteri lebih meningkat dari kos pembelanjaan untuk keperluan ahli keluarga mereka. Ini amat jelas ketara apabila keperluan harian tersebut dicampuri dengan perbelanjaan yang tinggi, sehinggakan yuran pendidikan anak sering terabai. Maka dengan itu menyediakan perbelanjaan keperluan harian untuk ahli keluarga itu mestilah melalui proses yang telus dan mengikut kadar keperluan semasa serta meminggirkan perbelanjaan yang ‘boros melampau’. Jika pekara ini dapat dilakukan dengan sebaik mungkin, maka tidak menjadi persoalan jika nafkah-nafkah itu sampai ke tempat yang sepatutnya. Dan nafkah-nafkah tersebut dibelanjakan ke jalan yang betul mengikut acuan Islam.

Firman Allah S.W.T :
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisa’ – Ayat 34).

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Apabila kamu membelanjakan satu dinar atas nama Allah S.W.T. Satu dinar untuk memerdekakan hamba, memerlukan dan satu untuk keluargamu, dinar yang kamu belanjakan ke atas keluargamu dianggap satu ibadah dan perbuatan yang mulia, dan kamu akan mendapat ganjaran melimpah daripada Allah S.W.T”. (Riwayat Muslim dan Al-Tirmidzi).

2) Nafkah makanan dan minuman serta pakaian.
Menyediakan keperluan asas keluarga seperti makanan, minuman dan pakaian adalah tugas seorang bapa atau suami. Ini bukan sahaja untuk memberikan nafkah tersebut kepada ahli keluarganya, tetapi merupakan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan olehnya dengan sebaik mungkin. Menyediakan makanan dan minuman yang halal dari sumber-sumber yang baik, perlu diterapkan dalam diri seorang suami atau bapa, agar dapat melahirkan generasi warisan yang mulia dan diredhai-Nya. Ramai masyarakat kita masih keliru akan hakikat ini, menganggap bahawa isteri juga memainkan peranan dalam mencari sumber kewangan untuk menyara ahli keluarga mereka, tetapi pada hakikatnya, bahawa proses ini perlu melalui persetujuan dari seorang isteri terlebih dahulu. Bukan sekadar memaksa isteri bekerja dengan kuat demi menampung hutang-piutang dan kos bebanan suami yang membosankan, Sedangkan suami masih ‘berdengkur’ ketika isteri sudah mula melangkah pergi mencari rezeki. Malahan ada juga tidak segan silu meminta wang dari isteri untuk membeli sekotak rokok. Pekara ini amat-amat memalukan kita, memaksa isteri bekerja tanpa persetujuan darinya dan dibebani pula dengan keadaan suami yang bersikap ego dan bongkak. Bukalah mata wahai saudara-saudaraku, tentang hakikat ini. Begitu juga dengan nafkah keperluan pakaian, ia juga sering dipinggirkan oleh suami atau bapa yang menganggap itu urusan yang meremehkan. Perlu diingati juga bahawa, pakaian itu merupakan pekara yang penting untuk ahli keluarga melalui proses kehidupan hariannya. Jika suami atau bapa boleh membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk ‘make-up’ sebuah kereta idamannya, mengapa tidak boleh memberikan sedikit keperluan pakaian yang sempurna dan menutup aurat untuk ahli keluarganya. Manakala pula, sisuami ingin melihat isterinya kelihatan cantik dan menarik, tetapi ada segelintirnya pula terlalu berkira-kira dalam membelanjakan wang untuk pakaian isterinya. Fikirkan!.

Allah S.W.T berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”. (Surah Al-Baqarah - Ayat 172).

Sabda Rasulullah S.A.W :
“Ya Rasulullah : Apakah hak isteri ke atas kami?. Bersabda Rasulullah : Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan hendaklah memberikan pakaian kepadanya seperti mana engkau berpakaian”. (Hadith Riwayat Abu Daud Dan Al-Nasa’i).

3) Nafkah tempat tinggal.
Sebagai seorang suami atau bapa mestilah bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri dan anaknya. Ini bagi menjamin keselamatan mereka agar tidak dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Firman Allah S.W.T :
“Tempatkanlah isteri-isteri itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu”. (Surah Al-Talaq – Ayat 6).

4) Nafkah keselamatan dan perlindungan.
Sepertimana yang telah kita semua ketahui, bahawa keselamatan dan perlindungan terhadap isteri dan anak adalah salah satu keperluan yang sangat penting. Ini menjamin agar tidak berlaku pekara-pekara yang tidak diingini. Tapi malangnya pada hari ini, pihak bapa atau suami (segelintir) masih belum cukup mengetahui akan hakikat ini, di mana ada anak atau isteri sewenang-wenangnya keluar ketika waktu malam tanpa ada arah dan tujuan. Pekara ini perlulah disiasat dan diteliti terlebih dahulu, agar kepincangan terhadap sistem kekeluargaan itu dapat diatasi. Saya begitu terharu pada masakini, ada segelintir ibubapa yang terlalu berlembut dalam soal isu peribadi anak-anaknya, di mana mereka (ibubapa) terlalu memberi isyarat ‘Green Light’ terhadap pasangan kekasih pilihan anak-anaknya, sehinggakan ada yang sanggup membiarkan anak-anaknya melakukan pekara-pekara terlarang di dalam rumah mereka sendiri. Dan pekara ini sememangnya diketahui oleh ibubapa mereka, tetapi dengan adanya sifat dayus itulah penyebab perlakuan maksiat itu bermaharajalela di rumahnya, sedangkan pihak ibubapa mengetahui akan hakikat itu. Pekara inilah yang membimbangkan kita dekad ini, di mana ibubapa terlalu melayan kehendak anak dengan penuh rasa kasih dan sayang tanpa memikirkan akibat kesudahannya serta meminggirkan sejauhnya Syariat Islam yang telah dibawa oleh Nabi S.A.W. Maka dengan itu, buanglah sifat-sifat dayus kita sebagai seorang suami atau bapa bagi menjamin kesejahteraan keluarga kita. Saya begitu tertarik dengan sebuah Hadith Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi R.A di mana Rasulullah menyifatkan perlindungan dan keselamatan yang diberikan kepada keluarga disamakan seperti seorang yang mati syahid.

“Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan harta bendanya, maka dia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan dirinya maka ia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka ia adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya maka ia adalah syahid” (Hadith Riwayat Al-Tirmidzi).

Mas Kahwin.
Tanggungjawab sebagai seorang suami atau bapa tidak berakhir dengan pemberian nafkah sahaja, tetapi ia menyeluruh, seperti pemberian Mas Kahwin. Mas kahwin merupakan pemberian wajib yang diberikan oleh suami kepada isterinya setelah berlaku akad nikah. Dalam masyarakat kita, nilai mas kahwin berbeza mengikut sesebuah negeri. Perintah bayaran mas kahwin ini telah tertera dalam beberapa contoh ayat-ayat Al-Quran dan hadith:

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah An-Nisaa – Ayat 4).

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Mana-mana lelaki mengahwini perempuan atas sekurang-kurangnya mahar/sebanyak-banyaknya, tetapi tidak ada maksud hendak membayarkankan dia kepada perempuan itu sebagai haknya, setelah itu ia mati dan padahal belum lagi ia tunaikan, maka ia bertemu nanti dengan Allah pada hari kiamat termasuk ia dalam bahagian orang-orang yang berzina”. (Hadith Riwayat Al-Tabarani dan Al-Hakim).

Layanan Yang Baik Dan Saling Menghormati.
Sebagaimana yang telah diketahui umum, suami isteri adalah individu asas dalam unit keluarga yang baru terbentuk. Hubungan yang sedia terjalin ini juga akan membentuk caragaya interaksi dan hidup dalam sistem kekeluargaan. Hubungan rutin dan layanan akan menjadi pola kehidupan kelak. Oleh itu, suami isteri perlu membentuk hubungan dan memberi layanan yang sempurna. Saya amat terharu bila ada sesetengah suami atau bapa yang sering alpa dalam memberi nilai kasih sayang terhadap anak-anak dan isterinya, sehingga mengabaikan segala tuntutan sebagai seorang pemimpin keluarga. Ini amat jelas dapat dilihat, bilamana anak-anak dan isteri didera dan diperlakukan seperti zaman jahilliah. Didera secara membabi buta tanpa hala tujuan yang jelas sehingga menyebabkan trauma yang berpanjangan terhadap mereka. Ia sering berlaku bila suami atau bapa tersebut merupakan seorang yang bersifat panas baran, pemarah, dan penagih dadah. Pekara ini perlulah kita jauhi, agar keselamatan dan kasih sayang dapat kita terapkan bersama-sama mereka. Bersikap optimis dalam mencanang kasih sayang terhadap anak dan isteri kita dengan berhemah adalah pekara yang perlu ditunjangkan sejak dari akar umbi lagi. Ia perlu dilaksanakan dengan dedikasi bagi menjadikan keluarga kita sempurna. Oleh yang demikian, luangkanlah masa kita untuk mendampingi mereka, bagi mencari dan menyelesaikan masaalah yang mereka hadapi. Jadilah sebagai suami dan bapa yang penyayang dan berhemah, buangkanlah segala sifat-sifat kearah kekerasan, kerana dengan kekerasan itu tidak dapat menjaminkan sesuatu jawapan dan keputusan yang tepat. Malah dengan kekerasan itu juga membuahkan lagi seribu kedhaifan buah fikiran sebagai seorang yang bergelar ‘Pemimpin Keluarga’. Dampingilah selalu akan mereka, kerana mereka memerlukan nasihat, pedoman, rujukan dan sebagainya untuk menghadapi segala onak ranjau kehidupan yang mendatang. Luangkanlah juga ruang masa kita untuk memberi nasihat, teguran dan sebagainya untuk mereka mengenal dengan lebih dekat akan akibat dan kesudahannya. Dari apa penelitian saya, bahawa keluarga yang bermasaalah itu datang nya dari kekurangan penelitian dari pihak ibubapa, kurangnya kasihsayang dan kurangnya didikan agama yang sempurna. Maka dengan itu, saya berpesan untuk diri saya dan para suami yang budiman di luar sana agar berilah ruang kasih sayang kita terhadap mereka-mereka ini, lampirkanlah satu sifat yang berhemah dalam menguruskan segala kepincangan. Kurangkanlah berkata-kata kepada pekara yang buruk dan mengaibkan isteri dan anak kita, sebaliknya doronglah semangat untuk mereka disamping tanamkanlah jiwa-jiwa dan hati-hati mereka untuk mengenal Maha Pencipta. InsyaAllah.

Rasulullah S.A.W bersabda :
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan paling lembut terhadap keluarganya.” (Hadith Riwayat Al-Tirmidzi).
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan akulah (Rasulullah S.A.W) yang paling baik kepada isteriku”. (Hadith Riwayat Al-Tirmidzi).
Didikan.
Sebagai seorang pemimpin rumahtangga, suami perlu dibekalkan ilmu pengetahuan supaya dapat membimbing keluarga dengan sempurna. Pemimpin berilmu dapat menerajui keluarga ke jalan Allah dan dapat membawa kebahagian dunia dan akhirat. Suami perlu mengunakan strategi yang kreatif dan berlemah-lembut semasa mendidik isteri dan anak. Oleh kerana keistimewaan kedudukan suami dalam rumahtangga, para suami perlu bersedia menunaikan tanggungjawabnya. Tetapi malangnya, pada hari ini, suami (segelintir) masih tidak memperdulikan akan hakikat itu. Sebagai contoh, adakalanya suami menyuruh anak dan isteri bersolat, tetapi dalam masa yang sama, ia tidak bersolat. Adakalanya ia menyuruh agar menutup aurat, tetapi ia juga mendedahkan aurat ketika bersukan dan beriadah. Pekara inilah yang amat-amat dibimbangi. Maka dengan itu, perbetulkanlah segala kepincangan dengan berhemah dan dedikasi. Gunakanlah pemikiran yang tajam dan sempurna dalam menangani segala pekara yang melibatkan agama. Janganlah kita sewenang-wenangnya mengeluarkan ‘fatwa sendiri’ untuk memenangi dan menutup kesalahan. Ruangkanlah masa kita untuk membaca kitab-kitab dan buku-buku berkaitan sejarah kegemilangan umat Islam terdahulu kepada mereka untuk pendedahan awal demi melahirkan hati-hati yang murni terhadap Islam. Janganlah kita memberi didikan dan pengetahuan yang mengelirukan serta memesongkan untuk menyuap minda isteri dan anak-anak kita. Pergunakanlah ruang yang luas itu untuk tujuan yang betul berlandaskan nas-nas Islam yang syumul.
Firman Allah S.W.T :
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”. (Surah An-Nisaa – Ayat 34).

Oleh yang demikian, sebagai seorang suami atau bapa, penekanan terhadap agama Islam itu perlu ditunjang dan terapkan sejak dari mula lagi. Segala kekhilafan dan kesalahan isteri dan anak perlulah melalui proses penyusunan yang betul, bukan hanya mengikut sifat amarah yang menyala-nyala. Kadangkala kita nampak akan kesilapan isteri dan anak kita, sedangkan dalam masa yang sama kita sembunyikan tanggungjawab kita terhadapnya. Isteri yang sepatutnya mendidik anak dirumah dengan penuh kasih sayang, kita gunakan kudratnya untuk membuat sesuatu kerja yang tidak berfaedah. Banyak contoh yang boleh kita lihat sejak akhir-akhir ini dimedia masa dan media cetak elektronik, ini amat memalukan kita. Dan lebih malangnya lagi, ia berlaku di kalangan umat Islam seperti kita. Begitu juga dengan anak-anak, ada suami (segelintir) yang sangup mendera zuriatnya sendiri sehingga mendatangkan kematian, lihat sahaja kes-kes yang terdapat di negara kita, semakin hari, semakin jelas ketara. Maka dengan itu, pergunakanlah masa yang singkat ini untuk memperbetulkan kembali batu asas tanggungjawab kita sebagai seorang suami atau bapa. Lahirkanlah generasi yang saling menyayangi sesama keluarga. Tunjukkanlah sifat-sifat sebagai seorang ketua keluarga yang kuat dan berkesan dalam memimpin keluarga kita bagi melahirkan keluarga yang bahagia dan sejahtera di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Nota dan Rujukan :
1) Al-Quran dan Tafsir Prof. Dr. Mahmud Yunus.
2) Hadith Shohih Muslim.
3) Hadith Shohih Tirmidzi.
4) Hadith Shohih Abu Daud.
5) Hadith Shohih Al-Nasa'i.
6) Ahkam Al-Usrah : Dr Muhammad bin Makjuz (Matba'ah An-Najah, Al Jadidah).
7) Manusia dan Islam : Dato' Dr. Harun Din.

2 comments:

  1. syukran atas komen2 yang membina.....syukran juga sebab sudi jadi follower

    ReplyDelete
  2. BismillahirRahmanirRahim.
    Terima kasih jua untuk saudara kerana sudi melampirkan diri di blog 'usang' kelolaan saya, semoga sama-sama memperjuangkan agama Islam yang Ad-Deen..InsyaAllah

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails