Monday, 27 December 2010

Siapakah Ahlul Sunnah Wal Jamaah?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat anda yang berkunjung di sini.



Secara umumnya untuk menjadi umat Islam yang selamat dan diberkati Allah SWT, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, sama ada dalam Tauhid mahupun dalam Ibadah. Hakikat ini tidak dapat diragukan lagi sekiranya kita meneliti contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasul kita iaitu Rasulullah SAW yang mulia di sisi Allah Ta’ala dan menjadi medan contoh yang baik untuk kita dari semua dari sudut aqidah dan ibadah Baginda SAW.


Untuk mengetahui bagaimana aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya kita mestilah terlebih dahulu memastikan siapakah yang paling tepat digolongkan sebagai golongan Ahlul Sunnah Wal Jamaah.


Maka, saya nasihatkan buat diri saya dan para pembaca blog ini dapat menilai apa yang saya nyatakan ini secara ikhlas dan jujur. Walaupun sikap taksub adalah dilarang tetapi taksub kepada dalil atau hujah yang kuat daripada Al-Quran dan Hadith-hadith sahih SAW adalah sikap yang disanjung dan terpuji. Lebih-lebih lagi jika perbahasannya mengenai masaalah aqidah, masalah yang cukup sensitif di mana peranan akal sangat terbatas dalam perbahasan tersebut.




Firman Allah SWT :

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-An’am : Ayat 153).



Sebahagian ulama tafsir mengertikan jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus” dengan golongan “Ahlul Sunnah Wal Jamaah”. Demikian pula ketika mereka mentafsirkan makna yang sama dalam surah Al-Fatihah iaitu “Tunjukilah kami jalan yang lurus.” (Surah Al-Fatihah ; Ayat 6).


Sabda Rasulullah SAW :

“Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Ahlul Sunnah Wal Jamaah” (Hadith Sahih Riwayat Imam Al-Thabrani r.h).


Dalam riwayat lain pula yang hendak saya kongsikan di sini pula adalah :


“Sahabat bertanya : Siapakah mereka (puak yang selamat itu) ya Rasulullah? Baginda menjawab : Yang satu itu ialah mereka yang berpegang dengan peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” (Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi r.h ).


Dan seterusnya saya kongsikan lagi mengenai Hadith Rasulullah SAW ini :


“Maka bahawasanya barangsiapa yang hidup (lama) di antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak, ketika itu pegang teguhlah sunnahKu dan sunnah Khalifah Rasyidin yang diberi hidayah. Pegang teguhlah itu dan gigitlah dengan gerahammu.” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).


Oleh yang demikian sebenarnya nas-nas seumpama ini sungguh banyak, sama ada daripada ayat-ayat Al-Quran ataupun Hadith-hadith sahih Nabi SAW. Saya berpendapat nas-nas di atas yang telah saya nyatakan tersebut sudah cukup bagi kita umat Islam untuk membuat kesimpulan bahawa…


Siapakah Yang Sebenarnya Golongan Ahlul Sunnah wal Jamaah!




Maka, jika kita perhatikan pula jawapan bagi Hadith-hadith Nabi SAW, iaitu ketika Baginda SAW ditanya “Siapakah Golongan Yang Akan Selamat Itu”, maka dapatlah kita semua simpul dan huraikan bahawa golongan tersebut adalah :


“Golongan Yang Berpegang Teguh Kepada Iktikad Nabi Muhammad SAW Dan Iktikad Para sahabat Rasulullah SAW”


Ini sesuai dengan kesimpulan yang dibuat oleh pengarang sebenar kitab Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Sila rujuk “Iktikad Ahlul Sunnah Wal Jamaah – Hasil tulisan Sirajuddin Abbas, muka surat ke 16”.


Kaum Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah kaum atau golongan yang menganut iktikad sebagaimana iktikad yang dianut oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat Baginda SAW.


Demikian juga yang telah disimpul dan dihuraikan dengan cukup terperinci dan tersusun di dalam kitab “Al-Faraq Bainal Firaq – Hasil Abu Qadir bin Tahir bin Muhammad Al-Baghdady Al-Isfarainy (Wafat : 429H / 1037M), Tahqiq Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid, muka surat 8”.


Berikut adalah dari petikannya :

“Sesungguhnya puak yang akan selamat daripada mereka itu ialah puak yang berpegang teguh dengan iktikad Rasulullah SAW dan iktikad sahabat-sahabat Baginda. Dan semua puak selain daripada puak tersebut adalah sesat”. (Al-Faraq Bainal Firaq – muka surat 8).


Kalaulah demikian pengertian aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah, yang telah dihuraikan dengan begitu tersusun dan tertib sekali…



Adakah aqidah kita sesuai dengan aqidah Rasul dan para Sahabat Baginda SAW?



Atau!



Kita sekadar mendakwa berpegang kepada aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah tapi dalam realitinya kita menganut fahaman Muktazilah atau Syiah?





Oleh yang demikian, sesuai dengan makna Ahlul Sunnah Wal Jamaah hendaklah sikap kita yang paling tepat ialah merujukkan semua pekara sama ada aqidah ataupun syariah kepada pegangan Nabi Muhammad SAW dan pegangan para Sahabat Baginda SAW. Atau dengan kata lain, merujuk segala pekara yang dipertikaikan kepada AL-QURAN dan HADITH SAHIH RASULULLAH SAW. Semangat dan sikap ini sangat sesuai dengan arahan daripada Allah SWT yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisaa : Ayat 59).


Maka daripada yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT serta hadith Nabi SAW, tidak wajarlah kalau saya terlalu memperkatakan ciri-ciri Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan siapakah Abu hasan Al-Asyaari kerana perkongsian dan perbahasan tersebut adalah terkeluar daripada kehendak topik dan huraian apa yang telah saya nyatakan ini.


Harapan saya adalah, sekiranya kita telah setuju dengan difinisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah seperti yang telah saya nyatakan di atas, maka kita tidak perlu ragu-ragu beriktikad sekiranya iktikad itu berlandaskan Al-Quran dan Sunnah SAW serta menjadi Iktikad para Sahabat SAW.


Untuk lebih memantapkan keyakinan kita terhadap hakikat di atas, cuba renungkan beberapa nas-nas yang saya bawakan ini sebagai panduan untuk kita fikirkan bersama.


Firman Allah SWT :

“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Az-Zumar : Ayat - 17 & 18).


Maka, kalau kita ingin mendapat hidayah dan tergolong ke dalam golongan orang yang berakal, kita mestilah suka Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama)”. Dalam kontek ini yang paling baik untuk diikuti ialah segala yang datang daripada Allah dan Rasulullah SAW serta para Sahabatnya.


Firman Allah SWT :

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” (Surah Al-An’am : Ayat – 116).


Berdasarkan pula ayat di atas, kita dilarang mengikuti sesuatu ajaran hanya dengan alasan kerana ajaran tersebut diyakini atau diamalkan oleh orang ramai. Tetapi menurut pandangan yang betul, kebenaran sesuatu ajaran hanya ditandai dan dipersetujui oleh dalil walaupun hanya diikuti oleh segelintir manusia di muka bumi ini.


Sabda Rasulullah SAW :

“Maka bahawasanya barangsiapa yang hidup (lama) di antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak, ketika itu pegang teguhlah sunnahKu dan sunnah Khalifah Rasyidin yang diberi hidayah. Pegang teguhlah itu dan gigitlah dengan gerahammu.” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).


Perselisihan faham yang digambarkan oleh Rasul dalam Hadith di atas memang sudah benar-benar berlaku sejak dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Bermacam-macam ajaran telah timbul pada hari ini. Setiap golongan mendakwa ajarannyalah yang betul dan tepat, walaupun adakalanya dicedok bulat-bulat dari ulama’ulama’ yang meragukan.


Kita selaku orang awam hendaklah jangan mudah terpengaruh dengan labuhnya jubah dan besarnya serban ataupun irama zikirnya yang menusuk kalbu serta jauhnya perjalanan beliau menuntut ilmu sehingga ke bumi anbiya’. Itu semua bukan ukuran yang hakiki untuk menentukan kebenaran sesuatu ajaran.



Baginda SAW pernah menyatakan perasaan khuatirnya tentang kemunculan imam-imam yang akan menyesatkan sebagaimana dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud :


“Sesungguhnya yang sangat aku takuti bakal menimpa umatKu ialah (kemunculan) imam-imam yang menyesatkan” (Hadith Sahih Riwayat Tirmidzi r.h).


Cara untuk selamat daripada penyelewengan dan kesesatan adalah sangat mudah dan telah pun dinyatakan oleh Rasulullah SAW dengan begitu jelas. Oleh sebab itu, adalah menjadi tugas kita (umat Islam) semua untuk sentiasa menyesuaikan aqidah dan amalan kita dengan aqidah dan amalan Rasul dan Sahabat-sahabat Baginda SAW.


Sabda Rasullullah SAW :

“Semua umatku akan masuk syurga kecuali sesiapa yang enggan. Baginda ditanya : Siapakah yang enggan itu ya Rasulullah? Baginda menjawab : Sesiapa yang mematuhiKu akan masuk syurga dan sesiapa yang mengingkariKu dialah yang enggan.” (Hadith Sahih Imam Bukhari r.h).



Dengan ketentuan Hadith sahih ini, kita hanya perlu membuat pilihan. Iaitu pilihan yang paling tepat untuk tujuan hidup kita di muka bumi ini. Jika kita tersalah membuat pilihan yang tepat, maka kita sebenarnya telah menuju ke arah atau golongan yang telah Nabi SAW maksudkan tersebut iaitu golongan yang enggan memasuki syurga.



Apakah kita ingin masuk syurga ataupun tidak!





Caranya telah didedahkan oleh Baginda SAW iaitu dengan mematuhi segala ajaran Baginda. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang bijak dalam membuat pilihan serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang sering memohon pertolongan dari Allah Azza Wa Jalla. WaAllahua’lam.



Wednesday, 22 December 2010

Hadith Qudsi : Belitan Iblis – Siri 10.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





Hadith Qudsi - Siri 9




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini.


Berkata Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud :


“Berkata Iblis : Ya Tuhanku! Engkau telah turunkan Adam (ke dunia), dan adalah di dalam pengetahuan-Mu bahawasanya akan ada (baginya) Kitab-kitab dan Pesuruh-pesuruh, maka apakah Kitab-kitab mereka dan siapakah Pesuruh-pesuruh mereka? Berfirman Tuhan : Pesuruh-pesuruh mereka ialah para Malaikat dan para Nabi yang dilantik dari antara mereka, sedang Kitab-kitab mereka ialah Taurat, Injil, Zabur dan Furqan.”

“Berkata Iblis : Dan apa pula Kitabku? Berfirman Tuhan : Kitabmu ialah Wasyam (tattoo), Bacaanmu ialah syair (sajak), Pesuruh-pesuruhmu ialah tukang sihir, Makananmu ialah apa yang tidak disebut atasnya nama Allah, Minumanmu setiap yang memabukkan, katamu yang benar ialah dusta, Rumahmu ialah bilik air, Perangkapmu ialah kaum wanita, Mu’azzinmu ialah seruling, dan masjidmu ialah pasar.” (Hadith Riwayat Thabarani r.h).



Dalam menterjemahkan huraian kontek Hadith Qudsi tersebut (seperti di atas) , ia memerlukan dua pekara yang mesti kita semua perhatikan di dalam pembicaraan Allah Ta’ala kepada Iblis yang terkutuk itu. Sebagaimana yang telah kita semua ketahui bahawa sebagaimana Bani Adam, Iblis dan syaitan juga mempunyai keturunan terus menerus sehingga ke hari kiamat. Apabila permintaannya untuk mempunyai keturunan terus menerus sehingga ke hari Kiamat dikabulkan Tuhan, Iblis lalu bersumpah akan memperdayakan manusia dari semua sudut agar manusia tidak akan mensyukuri, mengingati, mengenal dan mengikuti syariat Tuhan. Dia (Iblis) telah bersumpah akan melaksanakan cita-cita jahatnya ini dihadapan Allah Ta’ala. Walau bagaimana sekalipun, Allah telah mengingatkan Iblis agar tidak semua manusia yang dapat dipengaruhinya. Mereka-mereka terkecuali termasuklah orang-orang yang memperoleh rahmat Allah Ta’ala dengan menerima petunjuk dan hidayah-Nya. Selain dari itu pada umumnya bahawa terjerumus ke dalam perangkap Iblis dan syaitan itu, sebagaimana yang kita ketahui serta melihatnya dengan akal.





Kalau kita telah mengetahui semua itu, maka hendaklah kita terlebih dahulu mensyukuri Allah Ta’ala yang telah melindungi kita dari penipuan Iblis dan syaitan, dan sentiasalah berdoa kepada-Nya agar kita diselamatkan-Nya dari golongan Iblis dan syaitan sehingga ke akhir hayat kita.


Adapun dua pekara yang mesti kita perhatikan itu, ialah jalan yang akan memimpin kita ke kanan. Allah Ta’ala telah pun mengirimkan para rasul dan Nabi untuk menunjukkan kita kepada jalan yang diredhai-Nya, serta diturunkan pula ke atas kita Kitab-kitab untuk kita kembali kepadanya, apabila ada pekara-pekara yang kita musykilkan.


Sepekara lagi ialah jalan yang akan menarik manusia ke kiri, iaitu yang dipelopori oleh Iblis dan syaitan, yang akhirnya akan dilontarkan ke dalam neraka bersama-sama pengikut-pengikutnya. Semoga kita semua diselamatkan Allah Ta’ala daripadanya.


Lantaran Iblis dan syaitan mengetahui, bahawa Allah Ta’ala tidak akan membiarkan manusia disesatkan begitu saja, apabila Dia telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan Kitab-kitab, Iblis pun bertanya kepada Tuhan tentang Kitab yang akan digunakan untuk mengelirukan manusia. Berikut saya cuba huraikna serba sedikit berkenaan dengan apa yang terkandung di dalam hadith Qudsi tersebut (seperti di atas) berkenaan dengan apa yang telah Allah SWT berikan kepada makhluk-Nya yang takabbur seperti Iblis dan syaitan ini.



Kitab Iblis adalah Wasyam (Tatoo).

Tatoo atau lukisan yang dibuat atas badan, dicucuk dengan jarum, lalu dicorakan dengan warna yang diminta oleh si pemakainya. Pekara ini adalah haram kerana ia termasuk merosakkan ciptaan Tuhan yang indah. Melihat saja pada tattoo yang dibadan itu sudah menjijikkan, apatah lagi kalau duduk bersama-samanya atau bersatu dengannya. Hanya yang dapat sabar bersamanya ialah orang yang serupa fikirannya dan kelakuannya dengan sifat-sifat hina si Iblis. Nasalullahas Salamah!






Kemudian, kita juga tahu orang yang suka membuat tattoo pada tubuhnya itu tergolong dari orang-orang yang serong jalan hidupnya, seperti penjahat, gangster, dan sebagainya, sehingga jika ada diantara mereka yang ingin keluar dari kumpulan ini, niscaya pekara pertama mereka hendak lakukan adalah untuk menghilangkan tattoo tersebut. Maka situasi begitu sukar untuk menghilangkan kesan daripada lakaran tattoo tersebut sehingga mereka berasa begitu amat-amat sakit untuk menghilangkannya. Perlu diingati juga, kesakitan itu hanyalah sakit ketika berada di atas dunia ini sahaja, tetapi berbeza sekali jika nanti di akhirat kelak, dia akan diseksa Tuhan, jika tattoo itu turut bersama di tubuhnya ketika menemui Allah Ta’ala di akhirat nanti. WaAllahua’lam.



Syair-Syair Yang Melalaikan.

Bacaannya adalah syair-syair, atau sajak-sajak yang melalaikan. Ini adalah kerana biasanya syair dan sajak yang melalaikan itu sering menarik manusia kepada alam khayalan dan emosi yang dikhuatiri akan menimbulkan hal-hal yang terlarang yang boleh membawa kepada takabbur dan sesat. Bersyair dan bersajak dalam bidang-bidang yang terkawal oleh undang-undang Islam tiadalah terlarang, malah amatlah digalakkan pula disebabkan kesan dan pengaruh syair dan sajak itu amat mempengaruhi jiwa manusia. Kalau baik, tentulah baik pula kesannya. Demikian pula sebaliknya.


Di dalam Al-Quran, Firman Allah SWT :


“Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya?” (Surah Asy-Syu’araa’ : Ayat 224, 225 dan 226).




Di dapati bahawa para penyair itu sentiasa menurutkan perasaannya yang jahat, iaitu yang dipimpin oleh syaitan dan Iblis, sehingga mereka berani mengatakan apa saja menurut kata hati mereka, sedang mereka tidak pernah melakukan apa yang mereka katakan itu. Tegasnya syair dan sajak yang tidak terbendung oleh dasar keimanan kepada Allah Ta’ala, ataupun yang berunsurkan pemujaan kepada selain daripada Allah Ta’ala, ataupun yang membesarkan hal-hal yang diharamkan-Nya, adalah terlarang dan hukumnya haram dan berdosa, malahan ia juga sedikit sebanyak boleh mengundang kepada gejala-gejala khurafat dan syirik.



Ahli Sihir Pesuruh Iblis.

Pesuruhnya ialah ahli sihir yang selalu mengilhamkan sesuatu menerusi ilmunya yang sesat dan khurafat yang diterimanya dari bisikan jin dan iblis. Ilmu ini juga termasuk ilmu yang terlarang yang tidak boleh dipercayai, meskipun kerapkali telah berlaku benar, namun menpercayainya akan menarik kepada sirik dan pekara-pekara yang menyekutukan Allah SWT. Ini adalah kerana apa yang berlaku itu adalah dengan takdir dan kehendak Tuhan. Tiada seorang makhluk pun yang turut campur tangan dalam takdir dan kehendak Allah Ta’ala. Begitulah halnya jika seseorang itu terlalu taksub dengan ilmu-ilmu khurafat dan mempercayai sepenuhnya bomoh-bomoh yang mengunakan bantuan dari Iblis dan syaitan bagi menyembuhkan sesuatu penyakit.




Bukankah itu gejala yang mendekatkan diri kita terhadap dosa syirik!


Lihat sahaja dekad kini, manusia seperti lebih mempercayai bomoh-bomoh yang mengamalkan ilmu-ilmu sihir dari memohon terus kepada Allah SWT. Begitulah halnya yang terjadi di zaman serba moden ini, manusia sering kali terlalu taksub dengan pakar-pakar motivasi yang mengunakan tarikh lahir, nama, perwatakan dan sebagainya sebagai melawan takdir yang telah ditentukan Allah SWT terhadapnya. Malahan apa yang lebih membimbangkan adalah, ada segelintir dari kalangan kita yang mempercayai sesuatu benda yang dianggap keramat untuk dijadikan tangkal azimat. Sebagai contohnya cebisan kayu pokok koka, yang dianggap sebagai azimat yang boleh melindungi manusia dari anasir-anasir jahat.


Bukankah itu juga pekara-pekara yang mendatangkan Syirik!


Mereka seolah-olah lebih mempercayai kata-kata ahli sihir tersebut dari menilai diri sendiri. Walhal, kalau apa yang kita ketahui malahan lihat dengan mata kita, di dapati ahli sihir tersebut bukanlah orang yang soleh yang cukup untuk kita jadikannya sebagai rujukan permasaalahan agama. Malah, kadangkala solat Jumaat pun tidak kelihatan langsung!


Adakah orang-orang seperti ini sesuai untuk kita jadikan rujukan dalam menghadapi permasaalah kita?



Makanan Yang Tidak Disebut Nama Allah.



Makanannya apa yang tidak disebut ke atas nama Allah. Nah! Mewah betul syaitan dapat jalan untuk merampas makanan manusia. Betapa banyak orang yang makan tidak menyebut nama Allah, tidak tahu membaca ‘Bismillah’ serta doa makan, bukan sahaja orang-orang awam, malah orang-orang yang berilmu juga dalam banyak hal amat jarang-jarang menyebut nama Allah. Bila diingatkan, mereka hanya ketawa saja, tidak berasa kecewa, kemudian tidak juga menyebut nama Allah seterusnya. Walhal disunatkan membacanya pada bila-bila masa disetiap perbuatan kita. Kalaulah terlupa di awalnya jangan sampai tertinggal di akhirnya, ataupun ketika ingat, bacalah! Islam mengajar kita untuk mambaca ‘Bismillah’ ini, bukan saja di waktu makan, malah pada semua perbuatan kita agar terselamat daripada angkara jahat syaitan, yang ada pada setiap waktu bagi memasang perangkapnya untuk menjadikan kita sebagai hambanya serta mangsanya. Malahan jika kita membacanya juga membolehkan kita mendapat pahala ibadat serta mengelakkan diri kita dari sebarang musibah dan bencana. WaAllahua’lam.




Minuman Yang memabukkan.

Minumannya ialah setiap yang memabukkan. Malah apa saja yang minumannya memabukkan, tidak kira apa yang akan dinamakan sekalipun, jika umumnya memabukkan, maka haram hukumnya. Ada orang yang telah sebati dengan minuman yang memabukkan ini, telah melahirkan sifat suka memuja minuman tersebut sehinggakan sanggup mengajak serta mengajar orang-orang baru yang hendak berjinak-jinak dengan minuman keras tersebut, tidak kiralah ahli keluarganya mahupun rakan-rakan karibnya. Bahkan sebagaimana yang telah kita semua ketahui bahawa sebarang minuman yang memabukkan itu adalah haram di sisi Allah Ta’ala.



Kata-Kata Dusta.




Kata benarnya ialah dusta, yang sering menyebabkan manusia terkeliru dan tertarik kepada kesesatan. Sebab apa yang dibisikkan oleh iblis itu selalunya yang indah-indah dan sungguh mempersonakan. Tetapi di sebaliknya sering terselit racun yang amat bisa yang membahayakan. Kita tidak usah bermegah diri dapat menjauhkan diri dari tipu daya iblis, Nabi Adam a.s pun dapat ditipunya, apatah lagi kita yang sedemikian rupa. Sebaliknya kita haruslah selalu memohon kepada Allah Ta’ala agar kita dilindungi-Nya daripada iblis dan syaitan dengan mengucap selalu ; “A’udzu Billaahi Minasy-Syaithanir Rajiim.



Tempat Tinggal Iblis.

Rumahnya ialah bilik mandi ataupun tandas. Ini adalah kerana di tempat itulah sarang dan tempat tinggalnya. Nabi SAW mengajar kita ketika hendak masuk ke tandas atau bilik air agar membaca doa supaya kita dilindungi Tuhan daripada syaitan jantan dan syaitan betina di tempat tersebut. Sebab itu Nabi SAW juga mengajar kita agar menjaga kebersihan diri dan pakaian kita semasa kita berada di tempat tersebut, kerana dikhuatiri akan terjadinya pelbagai penyakit yang tidak diingini yang berpunca dari khianat syaitan dan iblis.



Perangkap Iblis.

Perangkapnya ialah kaum wanita, ini adalah kerana di situlah terletaknya kejayaan iblis dan syaitan untuk mengoda kaum lelaki.



Jangan marah kaum wanita!


Ada sebuah Hadith yang bermaksud, bahawa apabila syaitan gagal untuk mengoda kaum lelaki, ia akan mendatangkan wanitanya, dan dari situlah ia akan melemparkan panah godaannya kepada silelaki tersebut.


Sebagai contoh!


Lihatlah kepada kisah Nabi Adam a.s, betapa dia telah tergoda masih dapat mempertahankan diri, tetapi akhirnya akibat pujukan dari Hawa, dia tersungkur juga, walhal sebelumnya sudah dia katakan kepada Hawa, bahawa buah yang disuruh syaitan memakannya itu adalah buah larangan dari Allah Ta’ala dan tidak sanggup melanggar perintah Allah SWT, biar apa-apa pun yang berlaku. Tetapi apabila dipujuk oleh Hawa, Nabi Adam a.s terpedaya juga. Demikianlah syaitan memasangkan perangkapnya menerusi kaum wanita, dan sebenarnya dia cukup arif, bahawa di situlah tempat yang paling mudah untuk dia berjaya memperdaya manusia. Mudah-mudahan kita akan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala dari tipudaya syaitan yang menyesatkan itu. Amin.



Mu’azzin Iblis.



Mu’azzinnya ialah alatan muzik yang melalaikan. Ini adalah kerana muzik yang melalaikan itu boleh menyebabkan manusia terlupa dari tangganugjawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini. Ia juga sedikit sebanyak boleh mengundang gejala-gejala yang hampir kepada kemaksiatan seperti zina, judi, pergaulan bebas dan sebagainya. Ada sesetengah pendapat irama yang berupa hal-hal berkaitan dengan kesucian agama Islam itu di benarkan, tetapi ia sebenarnya boleh menjadi haram jika segala urusan atau syariat Islam itu di pandang sepi dan dipinggirkan dengan alasan yang tidak munasabah. Begitulah juga hal-halnya yang melibatkan muzik-muzik yang boleh mendatangkan rasa taksub terhadap seseorang serta sesuatu pekara sehingga meletakkan Maha Pencipta itu jauh dari landasan sebenar. Maka dengan itu, berhibur dengan dendangan muzik itu adalah harus, tetapi ia juga boleh menjadi dosa dan dilaknati Tuhan, apabila ia memencilkan syariat Allah SWT samaada secara langsung mahupun tidak langsung. Maka berhati-hatilah diri kita agar tidak terjebak kepada pekara-pekara yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah SWT terhadap kita. WaAllahua’lam.



‘Masjid’ Iblis.

Masjidnya pula adalah pasar-pasar yang sibuk dengan orang ramai. Ini adalah kerana dipasar tersebut sering berlakunya hal-hal yang memurkakan Allah Ta’ala, seperti tipu menipu, dusta-mendustai, kata-mengata, khianat dalam timbangan, malahan seribu satu macam pekara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Oleh yang demikian, sebab itu kita disunatkan agar membaca doa serta zikrullah kepada Allah SWT agar terhindar dari segala hasutan dan tipudaya syaitan ketika berada di dalam pasar tersebut. Lihat sahaja keadaan pasaraya dekad kini, hiburan yang melalaikan sering menjadi halwa buah telingga para pengunjungnya sehingga menyebabkan kelalaian yang melampau. begitu juga halnya dengan pekara-pekara maksiat yang berleluasa serta tegar di setiap sudut ruang yang terlindung. Nauzubillah!



Oleh yang demikian, berkenaan dengan huraian maksud hadith Qudsi ini, dapatlah ditafsirkan bahawa mempercayai pekara-pekara ghaib tentang wujudnya makhluk Allah SWT yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar kita itu adalah salah satu rukun-rukun Iman selain daripada kita mempercayai tentang adanya hari Kiamat. Maka dengan itu godaan dan hasutan iblis serta syaitan yang telah kita sama-sama kongsikan ini dapatlah membuka ruang minda kita untuk lebih berhati-hati dalam kehidupan kita agar tidak terjebak dan terjerumus ke dalam ruang maksiat serta perangkap mereka yang hadir dari setiap genap sudut.


Hadith Qudsi ini juga memperlihatkan kepada kita agar berhati-hati serta mengambilnya sebagai panduan untuk kehidupan kita yang serba mencabar ini. Semoga kita semua terpelihara dari segala hasutan Iblis dan syaitan dengan diberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya di dunia mahupun diakhirat kelak. Amin!



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails