Tuesday, 27 July 2010

Tafsir Al-Quran Menurut Istilah Bahasa Arab.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.











“Tafsir Al-Quran Menurut Istilah Bahasa Arab”













BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera.





Sebelum ini (artikel yang lalu) kita semua telah memahami serta mendalami betapa pentingnya pentafsiran Al-quran. Kita juga telah berkongsi bersama tentang tatacara pemahaman pembahagian pentafsiran Al-quran merujuk kepada cara yang betul dan berkesan iaitu dengan menggunakan sumber tafsir Al-quran, Hadith Sahih SAW, Pendapat Para Sahabat r.a, Pendapat Tabi’in, dan ulama’ salafusoleh juga tidak menolak perlunya menilai pentafsiran Al-quran agar bertepatan dengan pembahagian pentafsiran berpandukan penggunaan Bahasa Arab. Ini adalah kerana, ketika Uthman bin ‘Affan r.a memerintahkan para penulis Mushaf Uthmani menyiapkan mushaf-mushafnya untuk diedarkan ke seluruh jajahan Islam selepas berlakunya pertelingkahan bacaan antara mereka, beliau memerintahkan agar kembali menggunakan bahasa Quraisy, iaitu bahasa Arab di zaman itu. Ini kerana Al-quran diturunkan menggunakan bahasa mereka.



Firman Allah SWT :


Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Surah Yusuf – Ayat 2).




Saudara dan saudari yang dimuliakan Allah SWT.




Antara contoh pentafsiran Al-quran yang memerlukan kembali kepada kaedah tata bahasa Arab agar pentafsirannya lebih menepati maksud sebenar adalah melalui surah Al-Baqarah – Ayat 29.


Firman Allah SWT :


“Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29).



Al-Hafiz Ibn Hajar r.h telah menyatakan dalam kitab ‘Fath Al-Bari’. Ibn Battol r.h berkata :

“Ulama’ berbeza pendapat dalam mentafsirkan kalimah (Istawa’) mengenai firman Allah SWT :kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit,” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29).



Menurut pendapat golongan ‘Muktazilah berdasarkan istilah bahasa Arab adalah bermaksud (Istai’la) iaitu kasar dan mengalahkan dengan zalim berdalilkan sebuah syair Arab yang berbunyi :


Orang ramai telah menuju (menyerang) ke atas Iraq tanpa pedang tetapi darah berciciran”.



Tetapi, golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah menolak pendapat mereka. Menurut mereka, pendapat golongan Muktazilah itu dianggap Fasiq (membawa kerosakan pada makna ayat Al-quran) dan tidak boleh diterima kerana Allah SWT tidak layak disifatkan dengan bersifat kasar dan mengalahkan dengan zalim.





Menurut mereka lagi, pendapat paling sahih dan benar mengenai pentafsiran kalimah (astawa’) adalah bermakna kedudukan paling tinggi. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ahli Sunnah Waj Jamaah. Allah SWT sendiri mensifatkan diri-Nya dengan kedudukan yang MAHA TINGGI.



Firman Allah SWT :


“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Yunus – Ayat 18).



Jelaslah bahawa kedudukan Allah SWT di tempat paling tinggi termasuk salah satu daripada sifat-sifat Zat-Nya. (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, Jilid 13, mukasurat 406).



Ibn Hajar r.h berkata :


“Boleh dikatakan bahawa pendapat paling tepat mengenai kalimah (astawa’) ialah ia termasuk salah satu daripada sifat-sifat perbuatan Allah yang berkait rapat dengan Zat-Nya” (Sila rujuk Syarh Al-Aqidah Al-Washotiyah, Al-Hirash, muka surat 91).



Imam Al-Hafiz ibn Hajar menjelaskan lagi dalam kitab Fath Al-Bari :


“Dinukilkan daripada Abu Ismail Al-Harawi dalam kitab Al-Faruq yang mana sanadnya sampai kepada Daud bin Ali bin Kholaf, katanya : Ketika kami bersama-sama Abdullah bin Al-A’rabi (Muhammad bin Jiyad Al-Lughawi) seorang lelaki telah bertanya mengenai firman Allah SWT :


“Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha – Ayat 5).



Abdullah bin Al-A’rabi (seorang pakar bahasa Arab) menjawab : Dia SWT berada di atas ‘Arasy seperti mana yang disifatkan oleh-Nya. Lelaki itu berkata : Wahai Abdullah! Sesungguhnya apa yang aku tahu bahawa makna istiwa’ ialah istaula iaitu mentadbir di mana-mana. Abdullah berkata : Diam! Jangan sekali-kali kamu mengatakan istiwa’ bermaksud istaula , iaitu mentadbir atas sesuatu pekara (urusan) di mana-mana sedangkan berlawanan dengan apa yang difirmankan Allah SWT.


Orang yang berada di sekeliling Abdullah berkata : Jikalau astawa’ bermakna istaula, iaitu mentadbir di mana-mana tanpa pengkhususan berada di atas ‘Arasy, mustahil kerana pekara itu berlaku ke atas semua makhluk.” (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, Jilid 13, muka surat 406).





Kesimpulannya, wajib golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah menetapkan bahawa Allah SWT berada di atas ‘Arasy mentadbir segala urusan. Haram sama sekali mengatakan bahawa Allah SWT mentadbir makhluknya di mana-mana kerana ia merendahkan sifat Allah yang Maha Berkuasa Mentadbir makhluk tanpa perlu berada di mana-mana. Hanya berada di ‘Arasy, Allah SWT Mengetahui segala perbuatan makhluk-Nya. Berbeza dengan makhluk yang mentadbir di atas muka bumi. Mereka perlu kepada pengkhususan tempat untuk mentadbir.



Apa yang peliknya ketika kini, ada pengikut-pengikut fahaman Asya’i-rah, termasuk masyarakat nusantara mengguna pakai fahaman Muktazilah ini. Mereka mentafsirkan kalimah (astawa’) bermakna (istaula) dan pekara ini telah tersebar luas pada sesetengah kitab tafsir, tauhid dan pendapat-pendapat para ulama’ terkemudian. Mereka mengingkari ketinggian Allah SWT yang berada di atas ‘Arasy. Sedangkan, pekara itu ‘thabit’ daripada Al-quran, Hadith Nabi SAW yang sahih, pendapat para sahabat r.a, Tabi’in dan imam-imam mujtahid. Bahkan pendapat mereka itu berlawanan dengan bahasa Arab sebenar yang difahami oleh seluruh bangsa Arab dan tidak perlu kepada takwilan (pengubah suaian ayat dan makna) kerana Al-quran itu sendiri diturunkan mengikut bahasa mereka.






Persoalannya…



Apakah mereka masih memerlukan kalimah bahasa Arab yang lain untuk memahami serta memahamkan firman Allah SWT itu?



Jawapannya YA!.



Sudah tentu tidak ada perbezaan antara golongan ini dengan bangsa Yahudi yang melampau dalam mentakwil dan mengubah maksud firman Allah SWT yang asal dengan tangan-tangan mereka. Manakala mereka (yahudi) telah menukar ‘tahrif’ kalimah asalnya mengikut daya akal mereka yang cetek serta berkepentingan peribadi. Begitu juga perbuatan golongan yang suka mentakwil (mengubah makna asal) ayat-ayat Allah SWT yang sedikit sebanyak memberi makna jauh menyimpang dari kehendak-Nya. Lihatlah bagaimana mereka menyamakan perbuatan mereka hanya menambah huruf-huruf yang kecil bagi memperlihatkan tahrif yang jauh menyimpang dari makna asalnya. Pekara ini yang dibimbangi oleh semua umat Islam, kerana ada kitab-kitab yang telah dinukilkan masih mengunakan ayat-ayat serta terjemahan yang diambil dari kalimah-kalimah orang-orang yahudi sebagai rujukan sesuatu pekara. Kesannya, maka timbullah agama baru yang berfahaman anti Hadith dan sekuralisme. Maka dengan itu pembahagian pentafsiran Al-quran menggunakan penggunaan bahasa Arab mestilah dirujuk kepada ulama’ tafsir yang pakar dalam bahasa Arab tanpa ada sedikit pun mencampurkan antara Hak dan berkepentingan. WaAllahua’lam.



Monday, 26 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Tabi'in.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.










“Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Tabi’in”











BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Ukhuwah dan Salam Perjuangan buat semua yang hadir di sini. Semoga anda semua berada di dalam rahmat Allah SWT serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.





Pentafsiran Al-quran melalui para Tabi’in r.h juga sangat penting kerana mereka adalah generasi yang hidup selepas kewafatan Rasulullah SAW serta sempat menemui para Sahabat r.a. Mereka (Tabi’in) mengambil pentafsiran itu daripada para sahabat Nabi SAW. Sedangkan, para Sahabat r.a mengambilnya dari Nabi SAW. Mustahil generasi mereka melakukan pembohongan dan pemalsuan kerana kebenaran selepas kewafatan Baginda SAW. Merekalah generasi yang bersungguh-sungguh mempelajari daripada para sahabat yang masih hidup di zaman mereka dan mengarang kitab-kitab tafsir agung untuk disebarkan kepada generasi terkemudian.



Saudara-saudari yang dimuliakan dan dikasihi Allah SWT.



Sebagai contoh yang hendak saya bawakan di sini untuk perkongsian bersama adalah seperti apa yang telah ditegaskan oleh Imam Bukhari r.h di dalam Kitab ‘Al-Tauhid’, Jilid 8, muka surat 175. Kitab ini baik untuk kita semua miliki dan membacanya. Isikandungannya pula amat ‘complete’ , dari segi olahan dan tafsirnya berkenaan dengan ayat-ayat Al-quran.



Firman Allah SWT :


Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29).



Munurut Abu ‘Aliah :


“Apa yang dimaksudkan dengan ‘menuju ke langit’ ialah kedudukan yang lebih tinggi merentasi langit.”



Imam Mujahid r.h pula berkata :


“Kalimah ‘Istiwa’ bermaksud kedudukan lebih tinggi di atas ‘Arasy merentasi langit.’



Manakala Imam Al-Tobari r.h pula mentafsirkan dan berkata :


“Istiwa” bermakna paling tinggi selepas menyatakan beberapa pendangan ulama’ terkemudian mengenai pekara itu. Oleh itu, pendapat paling tepat mengenai Firman Allah SWT :

“kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29). Ia bermaksud Allah SWT lebih tinggi dari ke tujuh-tujuh langit dan Dia SWT telah mentadbir dengan kekuatan-Nya dan mencipta tujuh lapisan langit.



Imam Al-Tobari r.h menukilkan riwayat itu dari para Rabi’ yang telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a maksud kalimah (“kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29). Anas bin Malik r.a berkata : Ia bermaksud Allah meninggikan kedudukan-Nya merentasi langit. WaAllahua’lam.





Oleh yang demikian, pembahagian pentafsiran Al-quran mengikut kaedah pendapat para Tabi’in r.h juga memberi penjelasan dan makna yang tepat serta mengikut kehendak Rasulullah SAW. Baginda menyarankan kepada Para Sahabat agar menulis kembali serta menghafazkannya setiap wahyu yang telah diturunkan Allah SWT kepada Baginda SAW melalui malaikat Jibril a.s dan kemudiannya menjadikan wahyu tersebut sebagai pedoman yang ibrah kepada umat manusia dan generasi yang akan datang. Maka selepas itu, munculnya para Tabi’in yang soleh dan taat kepada Allah SWT menukilkannya kembali mengunakan bahan-bahan yang kekal berlandaskan sumber-sumber yang sahih dari para Sahabat r.a untuk dibawakan pula kepada generasinya yang akan datang sehinggalah saat kini kita semua telah dapat mengecapinya.



Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Inilah hakikatnya perjuangan para Tabi’in terhadap sumbangannya kepada Islam sehingga ke hari ini. Kitab-kitab hasil nukilan mereka itu amat agung untuk kita semua pelajari dan miliki. Mereka (Tabi’in) bukan sahaja mengalami kesukaran untuk menukilkan kitab-kitab mereka, tetapi mereka juga adakalanya telah diseksa, dibunuh dan dibuang negeri oleh musuh-musuh Islam yang bencikan cara mereka menyebarkan syiar Islam. Laluan mereka ketika itu amat sukar, disusuli pula dengan propaganda pihak Yahudi, Nasrani dan Majusi yang berkomplot untuk menjatuhkan semua empayar-empayar Islam pada ketika itu. Kesukaran itu juga dipanjangkan apabila mereka-mereka (Tabi’in) seringkali difitnah oleh musuh-musuh Islam yang hadir dari segenap penjuru. Inilah ujian getir yang telah mereka alami sepanjang hidup mereka. Maka sebagai umat Muhammad SAW yang hadir terkemudian seperti kita, hendaklah kita mencontohi mereka (tabi’in) dalam usaha-usaha keras mereka bagi memastikan segala Wahyu dan Ajaran SAW itu sampai ke diri kita dan generasi kita yang akan datang.





Sebagai contoh yang hendak saya kongsikan di sini adalah berkenaan dengan perjalanan hidup Imam Al-Qurthubi r.h. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Sepanyol (andalus). Beliau juga merupakan rujukan kepada semua ulama’-ulama’ solehfusoleh pada ketika itu. Apabila tercetusnya peperangan dan penindasan dari pihak Nasrani (kristian) ketika mereka hendak merampas kembali bumi Andalus dari pihak kerajaan Islam iaitu pada tahun 1036 M sehingga 1492 M. Pelbagai peristiwa kejam telah dilakukan oleh pihak kristian terhadap penduduk Islam Andalus. Ada yang telah dibunuh, diseksa, dipenjara dan dibuang negeri pada ketika itu. Segala kitab-kitab yang berkaitan dengan Islam telah dibakar dan dimusnahkan oleh pihak kristian atas dasar prinsip mereka untuk membalas dendam terhadap umat Islam Andalus ketika itu. Maka Imam Al-Qurthubi r.h telah mengambil keputusan untuk berpindah ke Jazirah Arab untuk memulakan kehidupan yang baru. Tetapi dalam masa yang sama, beliau juga telah menyiapkan kitab-kitabnya yang mahsyur itu walaupun pada ketika itu tercetusnya situasi yang perit untuk beliau menghabiskan nukilan kitab-kitabnya. Inilah contoh yang patut kita semua ikuti, walaupun dalam keadaan susah dan memeritkan sekali, beliau tetap juga mencari dan menukilkan ilmu-ilmu Allah SWT atas dasar zuhud dan tawadhoknya terhadap agama Allah SWT. Janganlah kita melupakan jasa-jasa para Tabi’in ini yang telah banyak membantu kita dalam pencarian ilmu-ilmu Allah SWT. Sebaliknya ketika ini, kita masih lagi mengagung-agungkan sarjana-sarjana dari pihak kafir yang sedikit sebanyak menafikan hukum-hukum dan ketauhidan kepada Allah SWT. Pekara inilah yang ditakuti, lebih-lebih lagi generasi yang akan datang ini sering ‘disuapkan’ dengan keagungan idea-idea pihak kafir yang kebanyakkannya datang dari negara-negara bukan Islam. WaAllahua’lam.



Friday, 23 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Para Sahabat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.











”Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Para Sahabat”


















BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah syukur dengan rahmat-Nya, kini kita dipertemukan lagi, walaupun dalam situasi yang berbeza, dengan rahmat-Nya kita masih bernafas menghirup udara kurniaan Allah SWT yang begitu banyak nikmat kepada kehidupan kita, dengan rahmat-Nya juga hari ini kita semua dapat satu lagi perkongsian ilmu berkenaan dengan pembahagian pentafsiran Al-quran Nur Karim. InsyaAllah.




Adakah kita sedar akan rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita?



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Ingatlah!



Dengan rahmat Allah SWT, kita semua dipermudahkan untuk mencari ilmu-ilmu Allah SWT walaupun pada awalnya kita tidak menjangkakan ia berlaku. Dengan rahmat dari Allah SWT juga, kita dimasukkan ke dalam syurga-Nya.



Mengapa saya mengatakan sedemikian?



Kalau dilihat dari sudut pandangan mata hati kita, dan ia juga diperakui dan disepakati malahan tiada keraguan mengenainya, dapatlah ditamsilkan bahawa masuknya kita (orang-orang beriman) ke dalam syurga adalah kerana Rahmat dari Allah SWT. Kalau hendak dihitung segala amalan kebaikkan dan pahala-pahala amalan kita semua, sememangnya tidak tergapai akan diri kita untuk memasuki syurga-syurga Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia sekarang ini yang penuh dengan pelbagai karenah dosa dan noda yang melimpah sehingga menyebabkan manusia setiap hari digelumbangi dengan dosa-dosa kemaksiatan. Inilah hakikatnya pengertian Rahmat kurniaan Tuhan kepada sekelian alam. Maka dengan itu janganlah kita kufur dengan nikmat Rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Senantiasalah berdoa dan memohon agar rahmat-Nya senantiasa di samping kita sehingga ke hari kiamat. Janganlah kita menjadi seperti orang-orang kafir yang senantiasa diberikan rahmat oleh Allah SWT kepadanya tetapi tidak pernah bersyukur akan nikmat-nikmat tersebut, walaupun ia tahu malahan mengetahui darimananya nikmat rahmat itu ia perolehi.






Firman Allah SWT :


Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (Surah Yunus – Ayat 31).



Perlu diingati juga, artikel saya bukanlah berkenaan dengan rahmat Allah SWT, tetapi seperti biasa ia adalah satu mukadimah Aqidah dan Iman yang sering saya bawakan untuk peringatan diri saya dan anda semua untuk dijadikan pedoman yang ibrah bagi mengharungi kehidupan di dunia ini agar tidak lupa kepada syariat Allah SWT. Iman itu mutiara saudara. Malahan iman itu sebenarnya lebih dari mutiara. Maka dengan itu yakinlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa.





Sahabat r.a adalah mereka yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW dan sempat melihat penurunan wahyu ke atas Baginda SAW. Oleh itu, mustahil berlaku penyelewengan dan pembohongan daripada mereka. Bahkan, merekalah paling memahami isi kandungan Al-quran berbanding generasi selepasnya kerana Al-quran diturunkan menurut bahasa mereka.



Selain itu juga, antara sebab ‘Nuzul’ (penurunan) ayat Al-quran sebahagiannya menepati permintaan dan perkataan sahabat r.a seperti Hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.h dan Imam Muslim r.h bahawa Umar Bin Al-Khattab r.a berkata :


“Allah bersetuju dengan pendapat yang aku ajukan kepada Nabi SAW pada tiga pekara (lalu Allah menurunkan ayat Al-quran untuk membenarkan pendapatku itu).” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim r.h).



Antara tafsir paling utama digunakan dalam memahami ayat-ayat Al-quran ialah tafsir para Sahabat seperti tafsir Ibn Abbas r.a, Tafsir Ibn Mas’ud r.a dan selain daripada mereka berdua. Ini kerana mereka banyak mempelajari dan mendapat Hadith berkaitan pentafsiran ayat Al-quran. Ulama terdahulu dan terkemudian bersepakat bahawa tafsir mereka berdua antara tafsir yang paling agung. Di sini juga saya akan cuba bawakan pembahagian pentafsiran ayat-ayat Al-quran melalui pendapat para sahabat-sahabat r.a sebagai rujukan dan panduan untuk sama-sama kita kongsikan.



Firman Allah SWT :


Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha – Ayat 5).



Al-Hafiz Ibn Hajar r.h telah menyatakan di dalam Kitab Fath Al-Bari :


“Dinukilkan daripada Imam Al-Barawi r.h dalam kitab tafsirnya, iaitu Tafsir Al-Barawi : Ibn Abbas menegaskan kebanyakan ahli tafsir berpendapat bahawa makna “Istiwa’ ” ialah kedudukan paling tinggi. Dikuatkan lagi dengan riwayat yang dinukilkan oleh Ummu Salamah r.a, Rabi’ah dan lain-lain mengenai thabitnya perbuatan Allah berada di atas Arasy.”



Imam Malik r.h berkata :


“Makna perkataan istiwa’ memang dapat difahami (jika menurut istilah bahasa Arab). Cuma keadaan cara bagaimana Dia beristiwa’ tidak dapat dibayangkan oleh akal. Oleh itu, mentaqrirkan (percaya) sepenuhnya dalam hati (tanpa bertanya caranya) adalah termasuk keimanan dan menafikannya adalah kufur.” (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, jilid 13, muka surat 406).



Saudara dan saudari yang dimuliakan dan dikasihi Allah SWT.



Saya akan cuba bawakan lagi contoh pentafsiran Al-quran melalui pendapat para Sahabat r.a pada ayat Al-quran yang berikutnya.



Firman Allah SWT :


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Surah An-Nisa’ – Ayat 43).



Ibn Kathir r.h telah menegaskan dalam kitab tafsirnya, iaitu ‘Tafsir Al-quran Al-Azim’ seperti berikut :


“Mengenai maksud perkataan ‘sentuh dalam ayat di atas, dinukilkan beberapa pendapat Ibn Abbas r.a. Menurut ibn Abbas r.a : Kalimah ‘kamu bersentuh’ di dalam ayat bermaksud ‘bersetubuh’ . Tambahnya lagi : Kalimah ‘sentuh’, ‘pegang’ atau ‘ciuman antara dua bibir’ dalam ayat Al-quran adalah bermaksud jimak. Allah berhak menukarkan dengan kalimah yang berbeza-beza menurut kehendak-Nya.”



Selain itu, Ibn Kathir r.h juga telah mendatangkan jalan riwayat lain yang sampai kepada Ibn mas’ud r.a katanya :


“Menurut Ibn Mas’ud r.a, kalimah tersebut bukan bermaksud jimak (bersetubuh) tetapi ia bermaksud sentuh selain daripada jimak.”



Ibn Kathir r.h berkata :


“Ibn Jarir Al-Tobari r.h menegaskan bahawa kedua-dua pendapat itu boleh digunakan pakai. Cuma ayat di atas sebenarnya memang bermaksud jimak (bersetubuh). Pada keadaan lain, kalimah tersebut bermaksud sentuh atau pegang secara umumnya boleh digunakan dengan pelbagai makna. Pendapat ini paling tepat kerana terdapat riwayat daripada Nabi SAW bahawa Baginda sendiri mencium salah seorang daripada isterinya lalu terus keluar untuk mengerjakan solat tanpa memperbaharui wuduk.” (Sila rujuk Tafsir Ibn Kathir, Jilid 1, muka surat 205).





Saudara-saudari faham tidak dengan penjelasan yang telah saya bawakan ini.



PERINGATAN!


Apabila pentafsiran ayat Al-quran dan Hadith berlawanan dengan pendapat para Sahabat atau Tabi’in, kita hendaklah menerima kedua-dua pendapat itu. Jika sebaliknya, kita wajib mendahului tafsir yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW berbanding tafsir lain. Ini adalah kerana, Baginda SAW lebih mengetahui maksud sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT.



Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Hujurat – Ayat 1).



Ibn Kathir r.h berkata :


“Apa yang dimaksudkan dengan ‘jangan kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya’ adalah jangan kamu mendahului pendapat dan perbuatan sebelum Allah dan Rasul-Nya menetapkan hukumnya.”



Saudara dan saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Oleh yang demikian, pembahagian pentafsiran mengikut kaedah para sahabat adalah salah satu tatacara yang bertepatan dengan suruhan Rasulullah SAW kepada umatnya. Janganlah kita mengambil mudah akan hakikat ini, sehinggakan ada sesetengah kita yang tidak memperakui Sahabat-sahabat Baginda SAW yang turut menyumbang akan masa dan tenaga mereka bersama-sama Nabi SAW dalam memertabatkan agama Allah SWT. Janganlah kita juga menjadi seperti Ahli Kitab (yahudi dan nasrani) yang sering membuat fitnah terhadap Nabi SAW dan para Sahabat r.a. Lebih malangnya lagi fitnah-fitnah tersebut dipanjangkan lagi selepas kewafatan Baginda SAW dan para Sahabat r.a sehinggalah ke hari ini. Sebagai contoh yang boleh kita lihat adalah golongan ‘Syiah’, ‘Rafidlah’, ‘Murjiah’ dan sebagainya. Golongan tersebut adalah golongan yang sesat dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malahan dengan itu juga golongan ini sebenarnya tidak mengiktiraf langsung Nabi SAW dan Sahabat-sahabat Baginda SAW. Mereka juga sanggup mengeluarkan fahaman-fahaman songsang dan zalim yang bermotifkan ‘keperibadian’ pemimpin-pemimpin mereka. Lebih malangnya lagi, ada di kalangan kita yang sanggup terimanya secara rawak, walaupun pada hakikatnya semua orang tahu bahawa golongan ini adalah golongan yang sesat dari jalan Allah SWT.






Kembalilah kita semua ke jalan Allah SWT!



Janganlah kita semua terpesong dengan hasutannya. Kembalilah kita semua kepada Sunnah SAW dan Kitabullah dengan sebenar-benar takwa!



Allah SWT adalah tempat yang kita tuju!



Perkasakan lagi Iman kita terhadap-Nya!



Bangkitlah sekelian rakan-rakanku dari lena yang dibuai oleh syaitan-syaitan laknatullah!



Persiapkan diri dengan segala ‘bekalan’ untuk menghadapinya di sana kelak!



Ingatlah!



Syaitan dan Iblis itu sebenarnya adalah musuh-musuh utama kita!



Ia tidak mampu, jika kita semua benar-benar beriman dan ikhlas terhadap Allah SWT!



Ingatlah janji Allah SWT ini!



Firman Allah SWT :


“Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ibrahim – Ayat 22).



Saya berpesan pada diri saya dan anda semua yang hadir bagaikan mutiara di sini agar kembalilah kita semua kepada syariat Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Takutlah kita semua akan seksaan-seksaan yang telah Allah SWT janjikan kepada mereka yang kufur dan takutlah kita semua akan azab-azab Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Dunia ini adalah satu persinggahan, tempat ujian segala amalan-amalan kita dan tempat untuk kita dekatkan lagi dengan Allah Azza Wa Jalla. Cintailah Allah SWT, ikutlah Rasulullah SAW, genggamilah Islam dengan erat, agar tidak boleh di cerai-beraikan oleh musuh-musuh Allah SWT. AllahuAkbar!



Wednesday, 21 July 2010

Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Sahih.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.










"Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Sahih"











BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Bertemu kita kembali, dalam tajuk dan artikel yang sama tetapi pembahagian pecahan ilmu yang berbeza. Sebelum ini dalam artikel saya yang lalu, saya telah menekankan serba sedikit dan menjelaskannya berulang-ulang kali berkenaan dengan prosedur pemahaman kita memahami ayat-ayat tafsir Al-quran bersumberkan yang tepat dan tersusun mengikut kaedah Rasulullah SAW. Maka dengan itu kini, saya cuba panjangkannya lagi berkenaan dengan pembahagian pentafsiran Al-quran berlandaskan Hadith-hadith Sahih SAW yang telah dipersetujui dan disepakati oleh seluruh ulama’-ulama’ tafsir. Jika anda semua belum membaca dan memahaminya, maka eloklah anda semua membaca kembali artikel-artikel saya sejak dari awal penguraian berkenaan dengan “Beriman Kepada Kitab”. Semoga apa yang bermanfaat ini sedikit sebanyak membuka ruang minda kita untuk mencintai mukjizat Rasulullah SAW ini. InsyaAllah.





Kaedah kedua dalam ilmu pentafsiran Al-quran ialah menggunakan Hadith Sahih yang ada kaitan dengan ayat-ayat Al-quran tersebut. Ini kerana, tidak semua ayat-ayat Al-quran dapat ditafsirkan dengan ayat Al-quran yang lain. Rasulullah SAW lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT berbanding dengan manusia biasa. Bahkan, Hadith Sahih yang datang daripadanya tidak lain hanyalah wahyu daripada Allah SWT dan bukan menurut fikiran Baginda SAW. Maka sebab itulah Baginda SAW mampu mentafsirkan Al-quran. Terdapat banyak ayat-ayat Al-quran yang ditafsirkan oleh Baginda SAW melalui Hadith Baginda SAW.



Firman Allah SWT :


Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah Al-Najm – Ayat 3-4).








Allah SWT telah menurunkan Al-quran untuk menerangkan kepada manusia sebagaimana firman-Nya :


“(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” (Surah Al-Nahl – Ayat 44).



Menurut Miqdam bin Ma’di Karib r.a, Rasulullah SAW telah bersabda :


“Bukankah telah didatangkan kepadaku Al-quran berserta sesuatu yang seumpamanya (Hadith).” (Hadith Sahih Riwayat Abu Daud r.h).



Terdapat banyak ayat-ayat Al-quran yang telah ditafsirkan oleh Nabi SAW sendiri melalui Hadith-hadithnya yang Sahih. Sebagai contoh yang boleh kita sama-sama kongsikan di sini adalah seperti berikut :



Firman Allah SWT :


“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah Al-Anfal – Ayat 60).



Ayat 60 dari surah Al-Anfal tersebut ada menerangkan tentang ‘Kekuatan’, iaitu kekuatan secara umum. Sedangkan, kekuatan atau kelengkapan perang yang sewajarnya boleh didapati daripada sabda Baginda SAW yang berbunyi :



Sabda Rasulullah SAW :


“Sesungguhnya ‘Kekuatan’ itu ialah pada balingan (panah dan sebagainya). Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Mengenai ungkapan ‘kekuatan’ itu ialah pada balingan panah di atas. Imam Al-Qurthubi r.h berkata dan mentafsirkan Hadith ini yang berbunyi :



“Perlu menyediakan peralatan perang untuk menunjukkan kekuatan dan kecanggihan senjata terhadap musuh ketika berperang. Baginda SAW memberi perumpamaan seperti alat memanah kerana ia mudah digunakan, panahan laju dan jauh serta tepat mengenai sasaran apabila panahan dibuat pada barisan hadapan musuh. Dengan itu, pihak musuh akan berpecah dan barisan belakang akan lari bertempiaran. Di zaman sekarang, alat-alat peperangan yang hampir menyamai alat memanah seperti peluru yang diletakkan di dalam sejenis alat lalu dilancarkan kepada pihak musuh. Kaedah yang digunakan semuanya hampir sama, iaitu kaedah balingan atau lancar. Oleh kerana kaedah yang digunakan ada persamaan, Islam menganjurkan umatnya mempelajari (cara memanah dan berenang) terutama golongan pemuda dan remaja Islam.”



Sabda Rasulullah SAW :


“Sesiapa yang mempelajari cara balingan (panahan) kemudian meninggalkannya, dia bukanlah daripada kalangan kami atau telah mengingkari (Nabi).” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Salamah bin Al-Akwa’ r.a berkata :


“Suatu hari, Nabi SAW telah berjalan melalui suatu kumpulan atau rombongan Bani Aslam. Sedangkan, ketika itu Baginda SAW telah melihat mereka sedang mengadakan perlawanan memanah. Lantas Baginda SAW bersabda : “Lontarlah kuat-kuat wahai Bani Ismail! Sesungguhnya nenek moyangmu dahulu adalah pakar pembaling (pemanah). Lontarlah kamu semua. Aku (Rasulullah) akan turut serta bersama bani ini (Mi’jan bin Al-Adzra’). Lalu pihak lawan mula berhenti dari bermain panah. Lantas Baginda SAW bertanya : Mengapa kamu tidak memanah? Jawab mereka : Macam mana kami ingin memanah sedangkan engkau (Rasulullah) menyebelahi mereka? Lalu Nabi SAW berkata : Panahlah sekarang dan aku akan menyertai kumpulan kamu.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari r.h).





Al-quran dari ayat tersebut telah dirujuk melalui Hadith Nabi SAW yang menyatakan akan tafsirnya dengan begitu jelas. Sebab itu ramai Imam tafsir Al-quran menekankan bahawa mentafsir Al-quran mengunakan Hadith-hadith Sahih adalah merupakan maklumat yang paling tepat dan bertepatan dengan kehendak Rasulullah SAW.



Sebagai contoh lain yang boleh kita kongsikan bersama untuk menguatkan lagi hujah tersebut adalah melalui surah Yunus, ayat ke 26.



“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus – Ayat 26).



Nabi SAW telah mentafsirkan “satu tambahan yang mulia” ialah melihat wajah Allah SWT ketika di akhirat kelak.



Sabda Rasulullah SAW :


“Ketika itu, dibukakan hijab (pelindung atau penutup). Oleh itu, tidak ada sesuatu pemberian yang lebih mereka sukai berbanding melihat wajah Tuhan mereka.” (Hadith Sahih Riwayat Muslim r.h).



Kemudian, Nabi SAW membaca firman Allah SWT seperti berikut :


“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus – Ayat 26).



Saya cuba bawakan lagi ayat-ayat di dalam Al-quran yang memperlihatkan pentafsiran Al-quran berlandaskan Hadith-hadith Rasulullah SAW bagi menyesuaikan lagi konsep ilmu dan perbincangan yang sedang kita perkatakan ini. Sebagai contoh yang boleh diambil sebagai rujukan adalah dalam surah yang berikut :



Firman Allah SWT :


“(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya.” (Surah Al-Qalam – Ayat-42).



Menurut Imam Bukhari r.h dalam kitabnya pada tafsir Al-quran. Ketika mentafsirkan ayat di atas, beliau mendatangkan sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a.

Sabda Rasulullah SAW :


“Ketika Allah mendedahkan betis-Nya, setiap orang lelaki dan wanita yang beriman telah turun sujud. Dan yang tinggal hanyalah mereka yang sujud dalam keadaan riak dan sombong ketika di dunia lalu dihentak belakangnya supaya turun sujud.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari r.h).



Namun, perlu diingatikan bahawa kita tidak boleh sama sekali membuat perumpamaan (tasybih) terhadap Allah SWT, iaitu menyamakan-Nya dengan makhluk (manusia).



Firman Allah SWT :


“Dia lah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah Asy-Syura – Ayat 11).



Menurut pegangan ahli sunnah wal jamaah ketika menghadapi ayat-ayat berkaitan sifat Allah SWT yang terdapat dalam Al-quran, mereka mengakui seperti apa yang dinyatakan tanpa ‘Takwil”, ‘Ta’til’ atau ‘Tahrif’. Mereka menisbahkan bahawa Allah SWT menpunyai dua tangan, muka, pendengaran dan penglihatan yang layak bagi Allah SWT. Mereka tidak berani mengubah maksud asalnya seperti apa yang diwahyukan kepada Nabi SAW kerana Baginda SAW sendiri tidak pernah mentakwilkan kalimah sifat itu.



Saya ulangi sekali lagi, Baginda Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mentakwilkan kalimah sifat itu.



Selain itu, Rasulullah SAW sendiri pernah menisbahkan bahawa Allah SWT menpunyai betis, jari dan kaki yang layak bagi diri-Nya. Oleh kerana tidak dapat membayangkan hakikat sebenar sifat-sifat Allah yang dinyatakan dalam Al-quran, Ulama’ Salafussoleh bersepakat bahawa wajib beriman dengan ayat sifat dan menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT. ***(Diingati juga kepada pembaca, agar membaca dan memahami secara mendalam tentang apa yang telah saya perkatakan ini)***




Saya cuba bawakan lagi contoh-contoh yang lain sebagai rujukan untuk perkongsian bersama iaitu melalui surah Al-An’am – Ayat 82.



Firman Allah SWT :


“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah Al-An’am Ayat-82).



Abdullah bin Mas’ud r.a berkata :


“Ketika ditanya sebab penurunan ayat, orang-orang Islam berasa gelisah atau susah hati. Mereka berkata : Bukankah kami juga pernah menzalimi diri sendiri? Rasulullah SAW bersabda : Bukan begitu maksudnya. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan zalim ialah syirik. Tidakkah kamu mendengar perkataan Luqman kepada anaknya”

“Wahai anakku, janganlah kamu syirik kepada Allah. Sesungguhnya syirik kepada Allah adalah satu kezaliman paling besar.” (Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim r.h).



Kalau kita rujuk dalam kitab ‘Fath Al-Bari, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani r.h telah mentafsirkan maksud firman Allah yang berbunyi :


Tidak mencampur-adukkan.”



Selain itu, Ibn Hajar r.h juga telah menyebut antara pengajaran daripada ayat di atas sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Fath Al-Bari :


“Sesungguhnya pembahagian zalim (syirik) berbeza-beza. Ini kerana, setiap maksiat tidak dinamakan syirik. Oleh itu, sesiapa pun, dia akan mendapat keamanan dan petunjuk di dunia dan akhirat.”



Oleh yang demikian, sumber pentafsiran Al-quran itu hendaklah kepada landasan yang betul berdasarkan apa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada kita semua. Janganlah kita terlalu alpa dengan pembahagian tafsir tersebut dengan merujuk kepada bahan-bahan serta ‘ustaz-ustaz’ yang cetek dari segi ilmu pentafsirannya. Saya tidak menuduh sesiapa sekalipun dalam konteks ini, tetapi biarlah ia bertepatan dan dipersetujui oleh ulama’-ulama’ tafsir yang zuhud. Belajar memahami tafsir bukanlah sekadar bergantung kepada satu, dua dan tiga orang ulama’ tafsir sahaja, tetapi biarlah ia diikuti dengan bilangan yang banyak bagi memudahkan diri kita lebih mendalami dan memahami tafsiran Al-quran tersebut berlandaskan yang betul. Di sini juga saya cuba sarankan kepada ustaz dan ustazah yang mengajar berkenaan dengan tafsir Al-quran agar lebih ‘rajin’ dalam mentafsirkan juga ayat-ayat Al-quran itu dengan hadith-hadith Sahih Rasulullah SAW. Walaupun kebergantungannya terhadap cerita-cerita Israeliyat, tetapi mestilah ia bermotifkan sumber-sumber yang sahih. Sikap terlalu ‘ringan’ dalam bab mentafsir Al-quran yang hanya mengunakan akal dan pemikiran cetek semata-mata adalah tidak mencukupi dari apa yang diperlukan.





Teguran juga tidak terlepas kepada mereka-mereka yang digelar golongan Anti-Hadith yang semakin berleluasa di negara kita malahan di seluruh Nusantara ini. Golongan ini adalah golongan yang dilaknati Allah SWT. Golongan tersebut diberitakan telah berkembang biak dengan meluasnya di negara kita amnya. Golongan Anti-Hadith ini juga sebenarnya adalah ‘duri dalam daging’ dalam dunia Islam, malahan ia juga merupakan musuh-musuh Islam yang bergerak secara halus. Saya sarankan agar kembalilah kepada ajaran Rasulullah SAW dan Syariat Tauhid Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Anda menafikan serta menidakkan pekara-pekara yang jelas ajaran Rasulullah SAW dengan menyatakan pendapat sempit anda serta menafikan terus segala para ulama’-ulama’ soleh terdahulu dengan sedikit perbezaan yang jelas bukan memihak kepada pandangan anda. Dalam masa yang sama anda cuba menghasut umat Islam agar terus membenci ajaran Rasulullah SAW serta para Sahabat r.a yang mereka bawa.




Persoalannya…





Siapakah anda (Anti-Hadith) sebenarnya jika hendak dibandingkan dengan Baginda SAW dan para Sahabat r.a?





Adakah ilmu dan keperibadian anda (Anti-Hadith) itu sudah cukup menandingi mereka-mereka itu?





Apakah sumbangan anda (Anti-Hadith) terhadap dunia Islam?




Persoalan ini yang sepatutnya dijawab oleh mereka-mereka yang kononnya sebagai penegak agama Allah SWT, tetapi dalam masa yang sama menafikan Sunnah SAW dengan mengetengahkan kronologi jumud dan pelbagai bagi mengaburi mata umat Islam. Jika diri belum sempurna untuk menguasai pengunaan bahasa Arab dengan baik, maka lupakan sahaja fahaman-fahaman songsang yang menidakkan Sunnah Rasulullah SAW. Ada yang perlu diperbincangkan secara terbuka dan ada juga yang memerlukan perbincangan secara berlapang dada, tetapi ia mestilah melalui proses perbincangan yang sihat, bukannya melampirkan sesuatu rujukan yang mengaibkan keperibadian Rasulullah SAW.



Ingatlah!



Jika hendak diukur sekalipun ilmu-ilmu anda (Anti-Hadith) sememangnya anda belum layak dan masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Baginda SAW dan para Sahabat r.a. Maka kembalilah kepada landasan yang benar iaitu landasan yang dibawa oleh junjungan besar kita iaitu Rasulullah SAW agar kita selamat di dunia dan di akhirat. Buangkan segala sifat-sifat yang keji dalam diri bagi memperbetulkan kembali aqidah-aqidah rohaniah yang telah tercemar oleh perasaan taksubnya terhadap Iblis dan Syaitan Laknatullah.



InsyaAllah, saya akan cuba panjangkan lagi penguraian saya berkenaan dengan pembahagian tafsir Al-quran melalui sumber-sumber yang diajar oleh Nabi SAW kepada umatnya di artikel-artikel saya yang akan datang mengikut keizinan dari-Nya. Semoga kita semua berada di dalam rahmat Allah SWT serta senantiasa di dalam perlindungan dari Allah Rabbul Jalil. Amin.

WaAllahua’lam.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails