Assalammualaikum dan Salam Sejahtera. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Segala Puji Bagi Allah Tuhan Semesta Alam, Salam dan Selawat kepada Rasulullah s.a.w, Ahli keluarga Baginda, Sahabat dan Sahabiahnya serta para pejuang mujahid di jalan Allah. Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi dengan kurniaan rahmat dan nikmatNya dapatlah kita bersua di arena siber ini dengan lebih tertil dan sempurna sekali. Biarpun segala badai dan godaan kehidupan yang mendatang, namun Tauhid Islam kita sama-sama dapat teguhkan dan dirikan dengan keizinanNya. InsyaAllah.
Lantaran dengan itu, setiap perlakuan dan tingkahlaku kita mestilah berpaksikan Iradat dariNya. Saya diajukan oleh beberapa rakan-rakan siber saya, yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang di mana soal dalaman rohaniah setiap individu yang sering mengalami tekanan emosi dan jiwa yang meruncingkan. Persoalan tersebut akan saya rungkaikan dari sudut yang berbeza mengikut pengetahuan dan keizinan dariNya. Diharap dengan itu juga, para fahaman Apologetik di luar sana mestilah berfikiran terbuka bagi mengilhamkan dan menghasilkan satu perungkaian yang tepat dan sempurna. InsyaAllah.
Hati merupakan zahiriah bagi setiap diri manusia, setiap manusia mempunyai hati, hati yang bagaimana? akan saya terangkan nanti jika kamu semua mengikuti setiap penulisan saya kelak dengan tekun dan sabar. Saya akan berikan perumpamaan dan imbasan untuk tatapan kamu semua, bagi membolehkan kamu mengetahui akan erti maksud artikel yang akan saya hujahkan ini. Sepertimana artikel saya yang lepas, saya sering membuat satu perumpamaan bagi mereka-mereka di luar sana mudah memahaminya bagi mewujudkan satu golongan yang sentiasa berfikir apologetik yang dipangil Ullul Albab.


Firman Allah s.w.t :
"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya". (Surah Luqman - Ayat 34)
Begitu juga dengan keadaan hati kita, yang akan saya bincangkan ini. Sebenarnya Allah mengurniakan kita hati untuk kita menjadi insan yang sempurna di alam fana ini. Awas! kamu mungkin akan berkata, bahawa hati yang berada di dalam organ badan kita. Kamu silap, apa yang saya maksudkan itu adalah, Hati Rohaniah, sesuatu benda yang tidak kita dapat rasa, sentuh dan lihat kecuali Allah s.w.t. Allah menjaga dan mengawal segala gerakgeri kita mengikut ketentuanNya (kamu jangan terpesong dengan perkataan "menjaga" dan "mengawal", pelajari sifat-sifat 20 tentang Allah s.w.t.). Setiap perlakuan kita sering diperhatikan Allah s.w.t, begitu juga dengan perasaan gundah dan muram yang sering kamu alami. Allah s.w.t mengurniakan kita dengan dua pekara untuk kita hidup di muka bumi ini, iaitu Hati (roh) dan Jasad (tubuh badan). Hati itu adalah kepunyaan Allah, Dia yang mengawal serta menjaga hati kamu itu sebaik mungkin, tetapi hati akan menjadi hitam serta sakit, bilamana diri dan akal kita dimercu dan dipandukan oleh nafsu. Nafsu adalah suatu benda yang dikelola oleh syaitan laknatullah untuk memesongkan dan menterbalikkan aqidah manusia, maka jauhilah dari sifat-sifat yang menjerumus kita ke kancah nafsu buas kelolaan syaitan. Jasad? apakah itu jasad?. jasad adalah tubuh anggota badan kamu yang boleh kamu rasa, lihat, nampak, pegang, bau dan sebagainya mengikut organ pancaindera kamu yang telah Allah kurniakan. Jasad kita berasal dari tanah. Jasad dan hati (roh) saling berhubungkait dan saling berhubung rapat untuk membolehkan kamu hidup. Cuba kamu pegang benda sekeliling kamu, tentu kamu berasa hairan, bagaimana kamu boleh memegang dan melihat benda tersebut, melalui bantuan apa? fikir sejenak. Sebenarnya diri kamu dipandu oleh jasad dan hati (roh) bagi membolehkan kamu menjalankan aktiviti-aktiviti harian kamu di muka bumi ini, mengikut keredhaan dan keizinanNya. Jika Hati (roh) dan Jasad terpisah di antara satu sama lain, maka kamu sebenarnya telah terpisah hubungan kamu dengan dunia ini iaitu kematian.
Bila hati kita berjauhan dengan Maha Pencipta, maka hati kita akan rasa kekalutan, kegelisahan, ketakutan dan sebagainya. Pernahkah kamu semua terfikir, bahawa, jika seorang anak yang terpisah dari seorang ibu, apakah ia akan dapat lakukan, semestinya ia akan berasa gelisah dan gundah serta boleh menyebabkan suatu kejadian yang tidak menentu di atas perlakuannya. Bukankah itu jelas pada kita bahawa ibu dan anak saling berkait rapat. Begitu juga kita dengan Maha Pencipta. Tetapi dengan cara yang bagaimana?. Dengan bersolat, berdoa, dan berzikir sebanyak mungkin. Tetapi solat yang bagaimana?. Solat yang diredhai oleh Allah s.w.t. Pernahkah kamu menunaikan solat sunat yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada kita?. Pernahkah kamu bangun 2/3 malam bersolat tahajud, solat taubat, solat hajad dan solat tasbih?. Jika belum, lakukan mulai sekarang. Solat itu tiang agama, jika tiang agama itu kita tidak dirikan dengan teguh dan utuh, bagaimana kamu hendak berasa tenang dan tenteram dalam jiwa rohaniah kamu. Ingat! solat itu mencegah kita dari kemungkaran.
Kalau kamu menetap berjauhan dari ibubapa kamu, saat itu kamu terasa rindu dan teringat akan dia, tentu, kamu akan pulang ke kampung halaman, dengan menaiki kereta sendiri, keretapi, bas dan sebagainya dan mengeluarkan wang yang banyak untuk memulakan perjalanan tersebut. tetapi untuk kita mendekati diri kita kepada Allah bukanlah dengan cara begitu, hanya dengan bersolat, berdoa serta berzikir. Allah tidak meminta ganjaran dari makhluk-makhlukNya, tetapi Ia hanya mahukan makhluk-makhlukNya bersujud dan mentaati segala perintah dan meningalkan segala kemungkaran. Kamu mungkin belum tahu akan apa yang saya nyatakan ini, tetapi jika kamu lihat dalam diri kamu, apakah yang telah Allah kurangkan sejak kamu lahir, dan apakah yang telah Allah tambahkan dalam diri kamu sejak kamu hidup, berapa banyakkah yang kamu semua pernah mengucapkan kalimah suci "LaillahaillaAllah", saat ini, sejam lalu, hari ini, semalam, seminggu, sebulan, setahun yang lalu. Fikirkan.
Firman Allah :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". (Surah Ali-Imran - Ayat 190 & 191)
Renungkan. Jika belum, bagaimana Allah hendak mengurangkan rasa gundah dalam hati kamu itu, jika kamu tidak mengigatiNya. Bukalah mata hati kamu semua, setiap kegusaran dan kegelisahan itu ada penawarnya, janganlah kita berasa kecewa dan keluh resah, kembalilah kita kepadaNya dengan selalu mengigati akan suruhan dan laranganNya. Barulah kita perolehi hati yang bersih malahan setiap gerakgeri kita akan dirahmatiNya. InsyaAllah
Firman Allah s.w.t:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya".(Surah Adz Dzariyaat - Ayat 56-58)
Oleh yang demikian, lahirnya kita di muka bumi ini, mempunyai misi dan visi, bukan hanya hidup tanpa hala dan tujuan. Bertujuan itu lebih mulia dari hidup yang hanya dilingkari dengan kemewahan, tetapi hati dan perasaan masih berkecamuk dengan retorik-retorik kehidupan yang jengkel. Al-Quran telah menyatakan kepada kita 1400 tahun dahulu, bahawa tentang ciri-ciri orang yang beriman dan bertakwa kepadaNya.

Firman Allah s.w.t:
"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit." (Surah Ibrahim - Ayat 24)
"Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup." (surah Ibrahim - Ayat 26)

Firman Allah s.w.t:
"Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".
(Surah As-Sajdah - Ayat 7, 8 & 9)
Berubahlah demi Allah s.w.t, ingatlah jika hati kamu telah terpisah dari jasad kamu, maka kamu akan kemercu pengadilan yang seadilnya iaitu Alam Barzakh dan Hari Pembalasan. Allah s.w.t memberi kamu hati yang luhur dan bersih sejak kamu dilahirkan, akan tika dan saat waktunya, Allah s.w.t akan mengambil dari kamu mengikut ketentuan dan kemahuanNya. Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!