Monday, 9 March 2009

Allah s.w.t Maha Bijaksana - Anggota Tubuh Manusia

Oleh : Muhammad Ibn Nazir

Maha Suci Allah, Tuhan Semesta Alam. Alhamdulillah Syukur kehadrat Allah S.W.T, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Selawat dan Salam bagi Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya.

Badan kita adalah organisma sempurna yang membolehkan kita hidup di bumi ini dengan selesa, untuk berlari dan bermain, untuk membaca dan menulis dan, ringkasnya, ia membolehkan kita melakukan sebarang aktiviti. Organisma-organisma ini amat indah hingga tidak seorang pun dapat menyamakan mereka dengan mana-mana teknologi maju.
Bagaimana kamu mengenali tubuh kamu sendiri, yang bekerja tanpa henti dan dapat memperbaiki dirinya sendiri apabila rosak?


Jendela Kita Ke Dunia Luar: Mata
Setiap organ di dalam badan kita amat penting kepada kita. Hidup kita akan berubah sekiranya kita kehilangan satu daripadanya. Sebagai contoh,... Dapatkah kamu fikirkan apa yang dapat kamu lakukan jika kamu tidak mempunyai mata? Kamu tidak akan dapat mengetahui bagaimana rupa paras ibu bapa kamu, adik beradik, atau kawan-kawan. Kamu tidak dapat melihat semua benda-benda yang indah ini. Kamu tidak dapat bermain permainan yang kamu main sekarang. Kamu tidak akan dapat membaca artikel-artikel saya ini dan melihat gambar berwarna-warni di dalamnya. Kamu tidak dapat membayangkan bagaimana rupa seekor arnab atau seekor lembu, kerana kamu tidak pernah melihatnya. Kamu tidak dapat melihat kartun di TV. Kamu tidak dapat melakukan aktiviti kamu dengan mudah. Kamu mungkin tidak dapat mencari jalan di sekitar rumah kamu. Kamu tidak dapat melihat sebarang warna atau bentuk, kamu juga tidak dapat mengenali warna atau mengenal pastinya, serta senarai ini tidak akan habis.


Allah menjadikan setiap manusia dengan mata yang membolehkan mereka melihat. Allah telah memberikan manusia anugerah berharga ini. Mata kita memainkan fungsi paling penting. Ia menjalankan proses-proses penting yang tidak kita sedari, dan hanya selepasnya kita dapat melihat sekeliling. Mari kita kaji secara ringkas bagaimana kita melihat.

Setiap objek di dunia ini memantulkan dan memancarkan cahaya ke sekelilingnya. Sebagai contoh, semasa kamu melihat artikel ini, cahaya yang terpantul dan terpancar daripada artikel ini sampai ke belakang mata kamu melalui pupil. Cahaya ini, setelah melalui satu siri proses di belakang mata kamu, telah ditukar menjadi isyarat elektrik. Isyarat elektrik ini sampai ke otak kamu. Di belakang otak kamu terdapat pusat penglihatan yang membolehkan kamu melihat. Pusat penglihatan ini adalah sebuah tempat yang kecil. Di kawasan kecil inilah isyarat elektrik ini membentuk imej artikel ini dan ia berlaku ketika kamu melihat artikel ini.

Untuk menerangkan secara ringkas proses-proses ini sahaja telah memakan masa, sedangkan proses ini berlaku dengan pantas. Proses-proses ini berlaku secepat apabila kamu melihat artikel ini, pada kelajuan yang tidak dapat kamu melihatnya. Bukankah ia merupakan satu sistem yang sangat sempurna? Jika kamu masih ingat saya telah menyebutkan tentang para penyokong evolusi sebelum ini. Saya juga menyebut bahawa mereka ini percaya bumi, alam semesta, bintang-bintang dan semua hidupan adalah hasil daripada kebetulan. Mereka yang berkata demikian juga berkata perkara yang sama tentang mata. Mereka berkata, "Mata telah terbentuk dengan sendirinya secara kebetulan." Dapatkah sebuah sistem yang kompleks dan indah terbentuk dengan sendirinya? Saya berikan satu contoh untuk menjelaskan betapa mengarutnya pendapat ini.


Jurutera-jurutera telah menghasilkan kamera fotografi dan kamera video dengan meniru mata manusia. Bagaimanapun, tidak satu pun peralatan ini dapat memberikan gambaran yang jelas seperti mata kamu. Sekarang angkat kepala kamu daripada artikel ini dan lihat sekeliling kamu. Tidakkah pandangan kamu begitu jelas? Tidak terdapat sebarang kekaburan, bintik-bintik putih atau garisan terputus di dalam penglihatan kamu. Sering berlaku, kamu melihat bintik-bintik putih atau garisan-garisan terpisah di dalam satu imej.

Walaupun ini semua tidak terjadi dan dengan semua teknologi terkini, televisyen masih tidak dapat menghasilkan imej yang sempurna seperti mata kamu. Sekarang, mari kita fikirkan sejenak. Ini menunjukkan mata kamu adalah jauh lebih maju dan berkualiti daripada kamera video atau kamera fotografi atau televisyen. Apa yang akan kamu lakukan sekiranya seseorang datang kepada kamu dan berkata seperti berikut

"Telah berlaku satu ribut taufan yang menyebabkan kabel-kabel elektrik, skru-skru, penukul-penukul, pemutar skru terbang keluar pintu dan tingkap untuk keluar daripada rumah, dan kemudian semuanya berkumpul di halaman.
Kemudian ia ditimpa hujan dan petir dan semua bahan-bahan ini bercampur-aduk dengan tanah. Setelah berlalu beberapa lama dan saya melihat sebuah televisyen muncul.”
Adalah mustahil untuk sebuah televisyen membentuk dirinya sendiri.


Apakah mungkin mata kamu yang jauh lebih berkualiti daripada televisyen, dapat terbentuk dengan sendirinya? Sudah tentu tidak! Sebagaimana sebuah televisyen tidak dapat terbentuk dengan sendirinya, sebaliknya seseorang telah membuatnya, mata kita juga bukan hasil daripada kebetulan. Allah s.w.t yang telah menjadikan mata kita yang dapat melihat imej tiga dimensi dan berwarna dengan begitu jelas. Kerana itulah kita perlu bersyukur kepada Allah di atas segala keindahan yang kita saksikan.

Telinga Kita Yang Dapat Mendengar Tanpa Sebarang Gemercikan.
Allah telah menjadikan telinga kita sempurna seperti mata. Bayangkan sebuah stereo, sebagai contoh. Walaupun kamu memasang stereo terbaik, kamu tetap akan mendengar bunyi gemercikan dan desiran. Rangkaian radio sering bercampur aduk. Sekarang, jangan bercakap tapi dengar sahaja! Dapatkah kamu mendengar sebarang bunyi desiran? Telinga kamu tidak akan menghasilkannya. Kamu mendengar suara dengan begitu jelas sekali. Jadi apakah kamu merasakan telinga kamu juga menghasilkan bunyi gemercikan seperti stereo? Allah telah menjadikan telinga kita dengan sempurna dan kita dapat mendengar bunyi di sekeliling kita tanpa sebarang gangguan.
Allah telah menjadikan telinga kita sedemikian rupa sehinggakan kita tidak dapat mendengar bunyi-bunyi yang akan mengganggu kita. Darah di dalam tubuh kita, sebagi contoh, mengalir dengan begitu pantas dan ia menghasilkan bunyi yang banyak ketika proses peredarannya. Bagaimanapun, telinga kita tidak mendengar bunyi yang dihasilkannya. Bumi kita juga menghasilkan bunyi yang kuat ketika berputar. Tetapi, Allah telah menjadikan telinga kita begitu ideal sehingga kita tidak dapat mendengar bunyi ini. Allah sentiasa memelihara kita. Kerana itulah, sepanjang hidup kita, Allah tidak membiarkan kita mendengar bunyi-bunyi yang mengganggu kita. Allahu-Akhbar!.




Kerana itulah kita perlu bersyukur kepada Allah di atas nikmatnya, Allah telah menjelaskannya di dalam ayat Al-Quran:

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran; supaya kamu bersyukur".
(Surah An-Nahl : 78)

Jantung Kita Yang Tidak Pernah Penat
Bagi kita, jantung adalah organ asas. Ia berdenyut sekitar tujuh puluh dua kali seminit dan kira-kira empat puluh juta kali setahun. Untuk memahami bagaimana proses ini amat memeningkan, cuba buat genggaman dengan tangan kamu dan kemudian lepaskannya, kemudian teruskan membuat genggaman dan lepaskan. Berapa minit kamu dapat berbuat begitu?


Jantung kamu, yang bersaiz sebesar penumbuk kamu, berterusan melakukan aktiviti ini sepanjang hidup kamu tanpa merasa letih atau berhenti. Jantung kita tidak pernah berhenti walaupun ketika kita tidur. Jika merasa gembira, jantung kita akan berdenyut lebih pantas, dan ia berdenyut perlahan ketika kita berehat. Jantung kita melakukan penyenggaraan ini secara automatik ketika kita tidak menyedarinya. Setiap kali jantung kita berdenyut, ia mengepam darah ke seluruh badan kita. Apa yang kita perlukan untuk hidup terdapat di dalam darah ini. Setiap sel kita menerima oksigen dan makanan yang diperlukan daripada darah. Jantung kita mengepam sekitar 43,000 liter darah setiap hari. Tahukah kamu berapa banyak darah ini? Ia mencukupi untuk memenuhi 150 tab mandian.

Tidakkah kamu akan merasa penat sekiranya kamu cuba mengeringkan sebuah tab mandian dengan menggunakan sebiji cawan? Sekarang bayangkan bagaimana hendak mengeringkan air di dalam 150 tab mandian dengan sebiji cawan? Mungkin kamu tidak akan dapat melakukan tugas yang sukar ini. Bagaimanapun, jantung kita telah melakukan tugas ini dan telah melakukannya sejak kita dilahirkan dan akan terus melakukannya sehingga kita meninggal dunia. Lebih-lebih lagi, ia tidak pernah berhenti. Kamu, misalnya, pasti akan berehat ketika melakukan kerja-kerja berat. Kamu perlu berbaring, atau berehat, tetapi jantung kita tidak pernah letih, kerana ia merupakan keperluan kepada kita. Ia kecil tetapi tugasnya amat besar. Kerana itulah, Allah telah menjadikannya sedemikian rupa sehingga ia tidak pernah letih.

Tahukah Anda Terdapat Askar Di Dalam Tubuh Badan Yang Melindungi Kita Daripada Kuman?
Tempat kita duduk, udara yang kita sedut, benda-benda yang kita pegang penuh dengan kuman dan virus, tetapi kita tidak dapat melihatnya. Kuman dan virus adalah organisma-organisma kecil yang menyebabkan penyakit di dalam badan manusia. Kita tidak dapat melihatnya tetapi ia boleh menyebabkan kita jatuh sakit dan hilang kekuatan. Terdapat organisma-organisma lain yang kita tidak dapat lihat. Ia membentuk askar di dalam tubuh kita dan melindungi kita daripada kuman dan virus. Askar ini dikenali sebagai "Sistem Imuniti".
Apabila satu virus memasuki badan, sel imuniti yang bertindak sebagai pengawal akan mengenal pastinya. Sel pengawal ini akan memanggil sel imuniti dengan memberi amaran kepada mereka. Pada masa yang sama, senjata yang diperlukan telah pun dihasilkan. Ketika virus-virus ini memasuki sel-sel badan untuk membiak. Sel imuniti membunuh sel-sel badan ini untuk menghapuskan virus ini. Hasilnya: Tubuh kita memenangi peperangan ini.
Sistem imuniti kita terdapat di dalam darah. Sel-sel yang membentuk system imuniti kita dikenali sebagai sel darah putih. Apabila musuh memasuki badan kita, darah kita bekerja seperti sebuah makmal. Ia dengan segera menghasilkan bahan-bahan khas untuk menentang musuh ini dan menghasilkan lebih banyak sel yang setanding dengan kekuatan musuh. Satu pertempuran sengit berlaku. Kadang kala tentera di dalam badan kita memenangi pertempuran ini tanpa kita menyedarinya dan kuman dan virus mati.
Kadang kala kita dapat merasai pertempuran ini. Kamu nyatakan bagaimana? Apabila kamu demam! Sudah tentu kamu pernah merasai demam mungkin beberapa kali. Iaitu ketika musuh kamu sedang bertempur dengan tentera di dalam badan kamu. Ketika di dalam pertempuran ini, badan kamu menggunakan seluruh tenaganya dan memerlukan lebih. Sekiranya kamu berlari, ketika badan kamu terlibat di dalam pertempuran, kamu akan menggunakan semua tenaga yang diperlukan oleh tubuh kamu untuk bertempur. Di dalam keadaan ini, tentera kamu akan tewas di dalam pertempuran ini dan kamu akan jatuh sakit.

Bagaimanapun, apabila kamu demam, selalunya kamu berbaring untuk berehat, dan tentera kamu menggunakan semua tenaga yang ada. Dengan itu, tentera berkemungkinan untuk menang. Apabila suhu badan kita meningkat, badan kita memberikan isyarat "rehat"!


Tahukah kamu apa akan berlaku sekiranya kamu tidak mempunyai system imuniti ini? Sebaik sahaja kita dilahirkan, kuman pertama yang memasuki tubuh kita akan membunuh kita. Kerana Allah amat mengasihi hambanya dan mengambil berat terhadap semua manusia, Dia telah menjadikan semua manusia dengan system imuniti. Seperti yang saya kemukakan di awal artikel ini, kita terhutang budi kepada Allah setiap saat kehidupan kita kerana dapat melihat benda-benda yang indah dan menikmati makanan yang lazat. Kerana itulah, kita perlu mengingati Allah setiap ketika dan berkata "Ya Allah, saya bersyukur di atas segala keberkatan yang Engkau berikan kepada ku". Maha Suci Allah.

Menjurus kita kepada tentang pengenalan serba sedikit akan kejadian dan fungsi tubuh anggota badan kita, seharusnya kita perlu peka dan prihatin tentang keistimewaan yang telah Allah berikan kepada kita dan wajib kita menjaga dan menguruskan tubuh badan kita dengan begitu baik sekali. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails