Monday 27 September 2010

Hadith Qudsi : Memakmurkan Rumah Allah – Siri 7.







Hadith Qudsi : Memakmurkan Rumah Allah – Siri 7.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir. Perkongsian kita berkenaan huraian Hadith-hadith Qudsi masih jauh dan perlu dikongsikan di sini. Insya’Allah.


Berkata Abu Said Al-Khudri r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :


“Sesungguhnya rumah-rumah-Ku di bumi ialah masjid-masjid, dan sesungguhnya pengunjung-pengunjung-Ku di masjid-masjid itu ialah orang-orang yang memakmurkannya.” (Hadith Riwayat Abu Nu’aim r.h).


Sebagai pedoman, kalau kita kasih kepada seseorang, kita selalu mengunjungi dan mengambil berat akannya. Apatah lagi kalau orang itu telah banyak berbudi kepada kita, tentulah kalau boleh setiap hari kita akan mengunjungi dan menyayanginya serta sering menanyakan khabar mengenainya. Sebab budi itu adalah hutang yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Bak kata pepatah : “Hutang budi dibawa mati”. Begitulah lazimnya sebagaimana yang kita semua ketahui dan sematkan hari-hari dalam konteks kehidupan harian kita.


Maka, kalau begitulah yang selalu kita lakukan terhadap manusia, maka sepatutnya kepada Tuhan lebih dari itu. Sebab kurnia dan pemberian Tuhan kepada kita tidak terputus walau sedetik sekalipun, malah segala nikmat dan pemberian-Nya itu kita rasakan terus-menerus, meskipun kita termasuk hamba-Nya yang tidak beriman, ataupun kalau beriman tidak pula patuh kepada semua perintah-Nya. Ini kerana rahmat Tuhan dan kurniaan-Nya itu menyeluruh kepada semua makhluk-Nya yang di bumi, tidak kira Mukmin, kafir, munafik, haiwan, tumbuhan dan segala alam cakerawala ini dan ini juga hanya berlaku di dunia fana ini sahaja. Berlainan dengan rahmat-Nya di akhirat nanti, maka ia akan berlaku hanya kepada siapa yang beriman dan taat kepada-Nya semata-mata. Diharapkan juga agar jangan ada yang terkeliaru dengan apa yang saya nyatakan ini.


Sebagai seorang hamba yang beriman dan patuh, sewajarnya kita tidak lupa kepada Allah Ta’ala, dan sering mengunjungi-Nya bagi menandakan kesyukuran sebagai seorang hamba kepada Tuhannya. Alhamdulillah, Tuhan telah pun mengajarkan, bagaimana kita boleh mengunjungi-Nya, walhal kita masih lagi hidup di dunia yang kecil ini. Iaitu dengan mengunjungi masjid-masjid yang dinamakan oleh Tuhan sebagai rumah-rumah-Nya.


Justeru itu, kita harus memerhatikan diri kita berapa kali setahun kita hadirkan diri ke masjid-masjid?


Ada orang yang memang tidak pernah kenal masjid!


Ada orang juga yang hanya datang ke masjid setahun sekali atau dua kali, iaitu pada hari raya sahaja!


Maka dikatakan bahawa orang yang baik itu bolehlah kita katakana ia hanya datang ke masjid seminggu sekali sahaja iaitu untuk menunaikan solat Jumaatnya sahaja!


Namun apa yang dituntut dalam Islam adalah lebih dari itu! Sebab itu menunjukkan kasihnya seseorang itu kepada Rumah-rumah Allah dan bila kita kasih kepada Rumah Allah, bukankah itu bererti kita kasih kepada Allah SWT?


Fikirkanlah ia sebaik-baiknya!


Tetapi!


Harus diingati juga.


Sejahil mana sekali dan seingkar mana kita untuk TIDAK pergi menziarahi serta mengunjungi Rumah-rumah Allah, kelak suatu ketika kita juga akan DIUSUNG hadir ke dalam Rumah-rumah Allah SWT.


Tahukah makna DIUSUNG itu?


Fikirkanlah juga sebaiknya kata-kata ini!


Maka kalaulah datang ke masjid, jangan sampai datang seperti seorang PELANCONG yang datang untuk bersiar-siar dan melihat-lihat keindahan pembinaan masjidnya dan hiasan-hiasan dalamannya. Kemudian kita tinggalkan maksud utama dari mendatangi masjid, iaitu untuk beribadat serta melakukan pekara-pekara yang diajar oleh Rasulullah SAW, ataupun kita memakmurkannya dengan duduk beri’tikaf di dalamnya walau seketika sekalipun, supaya kita tergolong dari kalangan orang-orang yang mengunjungi rumah Tuhan sambil menziarahi Tuannya sekali iaitu Allah SWT. Dan yang lebih malangnya lagi dekad kini, ada yang hanya singgah ke masjid adalah semata-mata untuk ‘membuang hajat’ serta langsung tidak memperdulikan apa yang telah disyariatkan kepadanya untuk menjadikan masjid itu laman menambahkan serta memperkukuhkan lagi amalan-amalan kita. Jangan kata setakat membuang hajat, untuk menginfakkan hartanya sedikitpun amat sukar sekali, walhal dialah yang paling banyak mengunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di dalam masjid. Ini tidak termasuk dengan pekara-pekara yang lain, sebagai contohnya, menjadikan masjid tempat istirehat tanpa memperdulikan waktu dan etika ketika waktu solat. Bukan ia menjadi kesalahan, tetapi biarlah kita ini menjadi seorang Muslim yang tahu dan menghormati orang yang sedang beribadat di dalam masjid.


Maka dengan itu, selalu-selalulah kita semua ke masjid untuk beribadat sekadar yang termampu, dan janganlah sampai kita dikategorikan ke dalam orang-orang yang tidak pernah mengenal akan masjid serta fungsinya, kelak terlepaslah kita untuk dikenal sebagai orang yang sering mengunjungi Rumah Allah SWT. Dan kerapkanlah diri kita pula untuk memakmurkannya dengan melakukan berbagai-bagai ibadat di dalamnya. Janganlah kita menjadi orang-orang yang ‘sombong bodoh’, sehinggakan kanak-kanak yang belum cukup akal fikirannya yang sedang bermain-main di dalam masjid kita marahi dan herdiknya dengan lantang. Ini kerap berlaku di Negara kita amnya, dan siperlakunya pula bukanlah calang-calang orangnya iaitu yang kerap mengunjungi masjid, sedangkan ada sesetengah AJK masjid yang sedang asyik dengan rokoknya di dalam masjid tidak pula ditegurnya dengan lantang. Bukankah ini semua menjadikan situasi yang pincang terhadap mereka yang suka datang ke masjid. Ingatlah wahai "semua AJK masjid”, bahawa kamu yang ingin menjadikan masjid sebagai tempat ibadah buat penghuninya, tetapi dalam masa yang sama secara senyap-senyap kamu juga yang menghalau serta mematikan niat seseorang untuk menjadikan masjid itu tempat beribadahnya atas sikap keras dan jahilnya kamu itu. Bacalah sirah-sirah Nabi SAW, yang mana Nabi SAW tidak pernah mengherdik sekalipun budak-budak kecil malahan untuk Baginda SAW mengatakan “ah” amat tidak sekali. Maka jika kamu orang yang telah diberi oleh Allah SWT untuk menjadikan masjid itu tempat beribadah, maka bersikap baiklah kepada pengunjungnya walaupun dalam situasi yang amat sukar dan terbatas sekali.


Jelaslah di sini orang yang tidak selalu pergi ke masjid tidak dapat dinamakan sebagai tetamu Allah SWT, atau orang-orang yang selalu menziarahi Allah Ta’ala. Jika kita benar-benar di kalangan orang-orang yang cintakan akan Allah SWT, maka kerapkanlah diri kita untuk hadir menjadi tetamu di Rumah-rumah Allah. WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails