Tuesday 17 August 2010

Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Alam Jagadraya.








Kebesaran Dan
Kekuasaan Allah SWT : Alam Jagadraya.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.









BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir bagaikan mutiara di sini. Alhamdulillah, syukur dengan taufik dan hidayah-Nya, kita dipertemukan lagi, dengan rahmat-Nya juga hari ini, jari dan akal kita masih tertumpu kepada bahan-bahan ilmuan Islam yang tidak berpenghujung, walaupun pada dasarnya kita tidak menyangka bahawa kita tidak akan ke destinasi tersebut. Begitulah betapa besarnya rahmat dari-Nya, yang kalau kita hitung, tidak mampu untuk mengungkap serta membilangnya. Namun yang demikian, tidak hairanlah jika rahmat itu di salah gunakan oleh segelintir dari kita kepada pekara-pekara kemungkaran dan kemaksiatan.



Kalau sebelum ini (artikel sebelum ini) saya sering membicarakan tentang situasi yang berlaku di sekeliling kita (kehidupan), namun kali ini saya akan cuba membawa kelainan sedikit, tetapi konsep tarbiyahnya tetap sama. Perlu diingati juga, berdakwah itu bukan sekadar berlaku kepada apa yang di sekeliling dan di hadapan kita sahaja, tetapi biarlah ia meliputi segala genap ruang alam ini, bagi memperlihatkan kekuasaan Allah SWT terhadap sekelian makhluk-Nya. Kita pernah melihat, kita pernah mendengar, malah kita juga pernah memikirkannya dan kita sebenarnya pernah memperkatakannya berkenaan dengan ‘Alam Jagadraya’, namun adakalanya kita membisu serta mengabaikannya akibat ketaksuban kita terhadap sesuatu yang kita fikirkan mudah untuk dibawa serta dihujahkannya di hadapan seseorang. Walaupun subjek sains astronomi dan kosmologi merupakan satu situasi yang pincang untuk diperbawakan di hadapan, namun tidak mustahil pada diri kita yang digelar sebagai khalifah-Nya untuk mendalami serta mengetahui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.





Al-quran membuktikan bahawa kitab suci itu ialah satu anugerah Ilahi kepada umat manusia untuk dijadikan panduan dan petunjuk sepanjang zaman. Bagaimanapun Al-quran tidak hanya mengajar ilmu sains kepada umat manusia tetapi hanya menyentuh sebahagian kecil saja dari segala keajaiban ciptaan Allah SWT di bumi dan langit. Bahagian-bahagian kecil ini sudah mencukupi untuk renungan kita semua tentang kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Sekiranya Allah SWT memasukkan segala sesuatu tentang ciptaan-Nya nescaya Al-quran akan menjadi kitab yang terdiri dari berjilid-jilid (pekara ini telah kita sama-sama bincangkan dalam artikel saya yang lalu, “Beriman Kepada Kitab : Al-quran Nur Karim”).



Ini sesuai dengan firman Allah SWT :


Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman - Ayat 27).



Allah SWT menganjurkan kepada umat Islam melihat dan merenung kepada segala ciptaan-Nya supaya kita mengetahui bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa. Dengan melihat alam ini, manusia akan mengenali siapa Pencipta yang sebenarnya dan apakah hikmah disebalik Dia menciptakan segala yang ada. Berfikir dan merenung tentang segala ciptaan Allah SWT adalah satu perintah daripada Allah SWT sendiri. Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud :


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran – Ayat 190 & 191).



Allah SWT juga telah mencabar orang-orang bukan Islam berfikir dan merenung tentang segala penciptaan-Nya. Tujuannya ialah untuk mengajak mereka menyakini bahawa Allah SWT adalah Penciptanya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa dan Maha Bijaksana.



Firman Allah SWT :


“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fussilat – Ayat 53).





Sekiranya manusia bukan Islam masih berdegil tidak mahu beriman, Allah SWT mengatakan bahawa di suatu masa kelak umat manusia akan sampai ke tahap melihat tanda-tanda kebenaran Islam sejelas-jelasnya.



Firman Allah SWT :


“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah Al-Anbiyaa’ – Ayat 30).



Ayat ini sungguhpun tidak menyebut secara terperinci proses kejadian alam semesta, tapi ia memberi imbasan tentang asal-usul alam semesta itu sendiri. Allah SWT tidak menyebut apa yang wujud sebelum wujudnya alam semesta ini. Al-quran menyentuh tentang satu kejadian sebagai satu titik permulaan. Alam semesta diciptakan Allah SWT sejak dahulu adalah suatu yang padu, maka ertinya alam semesta ini dimulakan oleh Allah SWT begitulah keadaan permulaannya. Adakalanya terlintas dalam fikiran kita bahawa :




Apakah yang wujud sebelumnya alam semesta ini?




Maka jawapannya, ia tidak releven. Manusia sebenarnya tidak dapat mencari jawapannya melalui akal fikirannya, kecuali Allah SWT jua yang Maha Mengetahui. Kita Cuma diberi satu maklumat penting bahawa Allah SWT memulakan wujudnya alam semesta begitu sebagai titik permulaan.





Alam ini dahulunya adalah suatu yang padu, itulah pemberitaan daripada Tuhan yang menciptakannya. Dari suatu yang padu itu, berpisahlah segala sesuatu dan berkembang menjadi debu-debu kosmik, kemudian menjadi bintang, planet, asap dan sebagainya. Istimewa sekali terjadinya bumi yang bakal didiami oleh umat manusia.



Maka berdasarkan maklumat itu juga, timbullah pula satu teori moden astronomi atau kosmologi yang digelar sebagai “Bing Bang Theory” . Teori ini menyatakan bahawa segala pergerakkan alam semesta ini yang kita lihat sebagai langit, bulan, matahari, bumi, bintang, serta planet-planet lain sedang bergerak menjauhi satu sama lain. Ini membuktikan bahawa alam semesta ini sedang mengalami proses perkembangan yang pesat. InsyaAllah pekara ini akan saya bawakan serta kongsikan bersama di artikel saya yang akan datang.





Dekad kini, pihak saintis moden telah mencipta alat yang canggih untuk mengatasi masaalah yang mereka hadapi sebelum ini. Sebagai contoh yang hendak saya bawa serta kongsikan di sini adalah dengan penggunaan alat-alat saintifik, termasuklah teropong “Hubble Telescope”. Para saintis bertambah yakin bahawa alam semesta ini berkembang menepati kehendak-kehendak teori ‘Big Bang Theory’. Ini adalah berkemungkinan bahawa teori ini ada menyatakan bahawa alam semesta ini bermula dengan satu titik permulaan. Segala jirim dan jisim berpadu pada titik itu kemudian berlakulah satu letupan besar, segala jirim dan jisim itu berpisah dan bergerak menjauhi satu sama lain. Ayat Al-quran juga memberitahu kita tentang asal-usul kejadian itu, maka sebenarnya ia tidak bercanggah dengan fakta sains yang sedang kita semua bincangkan ini.







Didapati juga telah banyak kitab yang ditulis oleh Ulama’ masyhur untuk mentafsirkan ayat-ayat suci Al-quran, yang merupakan panduan ajaran Islam itu, dengan menggunakan ayat-ayat lain di dalam kitab suci tersebut, sebagai bandingan, dan dengan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penjelasan. Namun dalam Al-quran sendiri, ciptaan Tuhan di seluruh dunia ini jelas disebutkan sebagai ‘tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah’, sebagai contohnya firman Allah SWT dalam surah Ali-Imraan, ayat 190 yang bermaksud :



“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;” (Surah Ali-Imraan – Ayat 190).



Oleh itu sebagai maklumat untuk mendapatkan erti ayat-ayat al-quran yang berkenaan “Al-Kaun” dapat digunakan juga ayat-ayat Allah yang berada di dalam alam semesta ini. Memandangkan hal tersebut di atas, maka tidaklah menghairankan apabila ketetapan dalam pentafsiran ayat-ayat Al-quran yang mengandungi konsep-konsep ‘Kauniyah’ sangat bervariasi, tergantung pada pengetahuan Mufassir tentang alam semesta itu sendiri.



Apabila terjadinya penemuan ahli sains berkenaan alam ini, maka ia juga boleh mengukuhkan iman orang Islam akan betapa kaya dan hebatnya Allah SWT. Kuasa dan kekayaan-Nya tidak hanya tertumpu di dunia ini sahaja, malahan ia juga tiada berpenghujungnya.





Sebagai contoh yang hendak saya bawakan di sini adalah, para ahli sains telah dapat membuktikan secara tidak langsung kewujudan sebuah bintang (Upsilon Andromedae) yang dikelilingi oleh tiga buah planet, kesemuanya lebih besar dari bumi. Bukankah betapa besarnya rahmat Allah SWT terhadap sekelian alam ini. Islam tidak menolak penemuan-penemuan ini. Ia tidak bercanggah dengan akidah Islam yang menyatakan bahawa kekayaan Allah SWT adalah lebih daripada apa yang mampu difikirkan oleh akal manusia. Islam juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada kehidupan berbentuk binatang melata (bergerak), tumbuh-tumbuhan atau bakteria-bakteria di planet-planet selain dari bumi, samaada di bintang-bintang, di galaksi Bima Sakti atau di galaksi-galaksi lain. Ini sudah termaktub dalam Al-quran.



Firman Allah SWT :


“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).” (Surah An-Nahl – Ayat 49).



“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).” (Surah As-Syura – Ayat 29).



Jika kita lihat, bahawa kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa ada makhluk yang melata (bergerak) yang hidup di langit atau boleh kita istilahkan di planet-planet. Akan tetapi Islam menolak kewujudan makhluk asing yang berakal selain daripada malaikat, manusia dan jin. Ini juga membuktikan kepada kita, sememangnya tiada kewujudan makhluk selain dari tiga (manusia, malaikat dan jin) di planet-planet tersebut serta menafikan langsung akan fahaman barat yang menyatakan kewujudan UFO sebagai makhluk yang wujud di planet-planet tertentu. Perlu diingati juga bahawa dunia kini telah ditipu ‘bulat-bulat’ oleh mereka yang dungu dan bebal dalam mentafsirkan sesuatu tanpa merujukpakai apa yang disifatkan Kitabullah dan Sunnah SAW. Akibat terlebih dalamnya ilmu-ilmu dalam diri mereka inilah yang menyebabkan ramai masyarakat dunia yang mengelarkan diri mereka sebagai ateis (tidak mempercayai tuhan). Dan sekiranya ada makhluk di angkasa lepas seperti pihak saintis barat nyatakan, maka sudah tentu telah diberitakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda SAW, ini kerana Rasulullah SAW diutuskan sebagai Nabi dan Rasul bagi seluruh alam. WaAllahua’lam.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails