Thursday 12 March 2009

Allah s.w.t Maha Pengasih - Makhluk Sekeliling Kita.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir

Assalammualaikum dan salam Muhibah. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Alhamdulillah Syukur kehadrat Allah S.W.T, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Selawat dan Salam bagi Rasulullah s.a.w Ahli Keluarga Baginda, Para Sahabat-Sahabat serta Sahabiahnya.

Tahukah kamu kehidupan-kehidupan yang kamu lihat setiap hari mempunyai sifat-sifat istimewa? Setelah mejadikan bumi, (telah saya terangkan pada posting yang sebelum ini) Allah telah mejadikan banyak hidupan di dalamnya. Terdapat hidupan selain daripada manusia di planet ini. Iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Di dalam bahagian ini, InsyaAllah, saya akan cuba menerangkan keajaiban sebahagian daripada sifat haiwan-haiwan menakjubkan ini. Allah menjadikan setiap makhluk di muka bumi ini dengan begitu sempurna sekali. Setiap makhluk yang diciptakanNya mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam mengagungkan Maha Pencipta. Mungkin posting yang telah saya kemukakan ini, tidak begitu meluas dari sudut yang berbeza, tetapi jika kita berfikir dan membuat penelitian yang terperinci dengan lebih mendalam dari segi sains dan Ilmiah, maka kamu semua akan menemui sesuatu yang tidak pernah kamu terfikir sebelum ini, dari sekecil-kecil makhluk ciptaanNya, mempunyai fungsi dan peranan yang begitu mengagumkan dan menakjubkan sekali, sehinggakan Allah mengatur segala rancaknya kehidupan haiwan-haiwan ini dengan begitu Bijaksana sekali. Untuk itu marikah kita bersama-sama berfikir sejenak tentang erti sebenar hakikat dan tujuan serta amanah yang telah diberikan kepada kita. Janganlah sekali-kali kita terpesong jauh dari nas-nas dan paksi-paksi Islam yang sebenar. Saya akan lampirkan beberapa contoh haiwan untuk tatapan dan rujukan kamu supaya dapatlah kita sama-sama berfikir tentang keistimewaan akan kejadian yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. InsyaAllah.


Sifat Makhluk Kecil - Nyamuk
Sebagai contoh, kamu dapat melihat gambar seekor nyamuk di dalam halaman ini. Nyamuk beratus-ratus kali ganda lebih kecil daripada manusia. Tetapi, manusia tidak dapat melindungi dirinya daripada nyamuk ketika tidur di atas katil. Apapun yang dilakukannya, dia tidak akan dapat menghalang nyamuk daripada menggigitnya. Allah telah menganugerahkan nyamuk banyak sifat-sifat istimewa, walaupun ia jauh lebih kecil daripada manusia. Tujuannya adalah supaya manusia memikirkannya. Dia mahu mereka mengetahui bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa, walaupun untuk melawan seekor nyamuk, tanpa kehendakNya. Dengan cara ini, manusia akan menyedari mereka tidak mempunyai sebarang upaya di hadapan Allah. Betapa kerdilnya dan fakirnya kita di hadapan Allah.

Sekarang, fikirkan tentang diri kamu. Kamu ke bilik tidur dan mendengar bunyi dengungan berpanjangan. Ia adalah bunyi dengungan seekor nyamuk. Seperti yang kamu lihat di dalam gambar di atas, nyamuk sangat kecil tetapi bunyinya amat kuat. Ini kerana bakat istimewa yang Allah berikan kepadanya. Bagaimanapun, tahukah kamu mengapa nyamuk terus menerus berusaha untuk menggigit kamu? Mari saya jelaskan kepada kamu pengembaraan hebat seekor nyamuk.

Nyamuk merupakan makhluk yang paling dikenali kerana ia sering melawat kediaman kita ketika musim panas. Pernahkah kamu mendapat peluang untuk melihat nyamuk secara dekat? Jika tidak, lihatlah gambar pada halaman-halaman posting saya ini dan kita dapat mengkajinya bersama. Tahukah kamu mengapa badan nyamuk berwarna merah? Badannya berwarna merah kerana ia dipenuhi darah manusia atau apa sahaja yang dihinggapinya? Ramai manusia percaya nyamuk menghidap darah. Kenyataannya, nyamuk menghisap manisan bunga juga. (rujuk kembali kenyataan buku sains tingkatan 1 hingga 3)

Hanya nyamuk betina menghisap darah, dan ia adalah untuk keperluan telur yang dibawanya. Selepas mempelajari perkara ini, kamu pasti akan melihat nyamuk dengan pandangan yang berbeza. Terdapat beberapa perkara tentang nyamuk ini yang akan menghairankan kamu. Seperti yang kamu ketahui nyamuk adalah makhluk yang tinggal di darat dan ia terbang, tetapi mereka membesar di dalam air dan setelah dewasa, mereka keluar daripada air tanpa basah. Pernahkah kamu mendengar tentang perkara menakjubkan ini? Jika tidak, teruskanlah membaca posting saya ini dan kamu akan merasa kagum selepas itu.Insya-Allah.


Pengembaraan akan saya mulakan di sini....
Nyamuk kecil bermula apabila ibu nyamuk meninggalkan telur-telurnya di dalam kolam atau daun-daun basah. Tetapi, ia tidak meninggalkan telur-telurnya begitu sahaja. Ia menyusunnya dengan rapi saling bersebelahan. Telur-telur ini kelihatan seperti sebuah rakit. Tahukah kamu mengapa ibu nyamuk menyusun telur-telurnya dalam bentuk ini?.
Membentuk telur-telurnya begitu kerana, memandangkan mereka akan ditinggalkan di atas air, ia mungkin akan tenggelam. Jika ia disambungkan seperti ini, risiko untuk ia tenggelam tidak mungkin ada. Telur-telur putih yang disusun oleh ibu nyamuk serta merta berubah menjadi gelap. Dengan cara itu, telur-telur ini akan selamat daripada serangan serangga dan burung. Jadi, bagaimana telur nyamuk yang kecil ini belajar menukarkan warnanya?

Sudah tentu, telur kecil ini tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Nyamuk yang menjadi ibu kepada telur-telur ini juga tidak mungkin tahu bagaimana menukarkan warnanya. Allah yang telah menukarkan warna telur-telur itu. Allah Yang Maha Pengasih dan Pelindung kepada semua benda yang telah dijadikannya. Dia menukarkan warna telur nyamuk itu untuk melindunginya.

Nanti dulu! Pengembaraan si nyamuk ini baru sahaja saya mulakan. Telur itu kemudian berubah menjadi makhluk seperti ulat dikenali sebagai larva. Larva-larva ini, seperti yang dapat kamu saksikan di dalam halaman berikutnya, kekal di dalam air dalam keadaan kepalanya berada di bawah. Bagaimanakah larva ini bernafas sekiranya kepalanya berada di dalam air? Allah telah menjadikan bagi mereka satu organ yang yang membolehkan mereka bernafas. Tahukah kamu bagaimana bentuk organ ini? Ia kelihatan seperti alat menyelam yang digunakan oleh kanak-kanak di dalam gambar ini. Ia adalah satu pembuluh dari bahagian atas yang sentiasa berada di atas air. Udara yang masuk melalui pembuluh ini membolehkan nyamuk kecil ini bernafas di bawah air. (lihat rajah di atas)

Bagaimanapun, terdapat satu masalah besar. Pembuluh ini berada di atas air tetapi ombak yang kecil boleh menyebabkan air memasukinya dan menyebabkan nyamuk ini lemas. Tetapi, ini tidak berlaku. Satu bahan melekit di hujung pembuluh ini menghalang air daripada memasukinya. Apakah kamu fikir nyamuk-nyamuk ini boleh berkata, "Mari letakkan bahan melekit pada hujung pembuluh ini, supaya air tidak dapat masuk ke dalam"? Apakah mungkin nyamuk-nyamuk kecil ini memiliki kebijaksanaan dan kemahiran seperti ini? Sudah tentu nyamuk-nyamuk kecil ini tidak dapat berfikir untuk melakukan perkara berikut. Allah yang telah menjadikan pembuluh itu supaya nyamuk ini dapat bernafas dan bahan melekit di hujungnya agar air tidak dapat masuk.

Seperti yang dapat kamu ketahui, Allah tidak hanya melindungi kita tetapi dia juga melindungi semua hidupan lain. Jangan fikir pengembaraan ini telah tamat. Ia masih saya teruskan lagi. Pada ketika yang sama, nyamuk-nyamuk kecil ini juga menyalin kulitnya beberapa kali. Sehingga akhirnya ia berbentuk seperti yang dapat kamu saksikan di dalam gambar di sebelah. Ia masih tidak kelihatan seperti seekor rama-rama. Fasa ini dikenali sebagai peringkat pupa. Di dalam kulitnya dikenali sebagai kokun, nyamuk yang telah cukup matang dan mempunyai bentuk seekor rama-rama yang sebenar. Ia bersedia untuk terbang dengan sesungutnya, mulut, kaki, dan mata yang memenuhi sebahagian besar kepalanya. Tetapi, ia perlu keluar daripada kulit ini dahulu.

Nyamuk Pertama Kali Keluar!. Kokun akan mula pecah pada bahagian kepala. Bagaimanapun, nyamuk ini berhadapan dengan bahaya besar. Bagaimana jika kokun ini dipenuhi air? Dalam keadaan ini nyamuk tersebut akan tenggelam. Bagaimanapun, bahagian kepala kokun ini mempunyai bahan melekit khas yang menghalang kepala nyamuk ini daripada terkena air. Inilah saat paling penting, kerana nyamuk ini perlu berdiri di atas air dengan hujung kakinya, dan sayapnya tidak boleh basah. Angin yang perlahan sahaja sudah cukup untuk menyebabkan ia jatuh ke dalam air dan mati. Nyamuk ini melakukannya dengan kemahiran hebat, kerana Allah menjadikannya dengan kepakaran ini.

Bagaimana Nyamuk Dapat Melihat Kamu Pada Waktu Malam Dan Menyengat Kamu pula? Pernahkah kamu terfikir? Di dalam malam yang gelap dan kamu sedang terbaring di atas katil. Kamu dibaluti selimut. Hanya sebahagian kecil tangan kamu terdedah. Kemudian nyamuk datang di dalam kegelapan malam; ia melihat dan menggigit bahagian kamu yang terdedah itu. Jadi, ketika kamu tidak dapat melihat apa-apa di dalam gelap, bagaimana nyamuk dapat melihat?

Nyamuk dapat melihat hidupan di sekeliling mereka dengan haba dikeluarkan, yang merupakan cahaya tidak kelihatan pada kita.
Memandangkan ia tidak kelihatan di dalam cahaya, mereka dapat mencari urat-urat kita walaupun di dalam kegelapan malam. Ini adalah kebolehan unik. Dengan merujuknya, para pakar sains telah mencipta sebuah kamera yang dapat menangkap imej dalam bentuk haba. Walaupun di dalam gelap, kamera ini membentuk imej sekeliling seperti hari siang. Dapatkah kamu bayangkan? Manusia meniru nyamuk yang kecil! Mungkinkah seekor nyamuk tahu lebih daripada seorang manusia, dapatkah ia mengetahui lebih daripada seorang pakar sains? Sudah tentu tidak! Allah telah menganugerahkan nyamuk kebolehan luar biasa ini. Manusia mengedari kelebihan ini dan cuba menirunya. Mereka mencipta kapal terbang dengan meniru burung. Manusia telah meniru banyak benda yang mereka saksikan di alam semula jadi. Sekarang mari kita teruskan pengembaraan nyamuk ini lagi untuk pemahaman yang menyeluruh.Insya-Allah.

Nyamuk Ketika Bekerja!. Teknik yang digunakan nyamuk untuk menghisap darah adalah sangat teliti sehinggakan mengejutkan manusia. Pertama, nyamuk hinggap di atas sasarannya.
Contohnya, tangan kamu. Kemudian, dengan menggunakan pembuluh berbentuk jarum, ia memilih satu tempat yang sesuai. Jarum nyamuk ini kelihatan seperti picagari dan ia dilindungi dengan sarung khas. Ketika proses penyedutan darah, jarum ini dikeluarkan daripada sarung ini. Ramai menyangka nyamuk mencucuk kulit dengan memasukkannya jarumnya, sebaliknya nyamuk menggunakan cara yang berbeza untuk melakukannya. Ia menggerakkan gergajinya ke depan dan ke belakang, seperti sebuah gergaji, dan dengan bantuan gergaji bawah, ia memotong kulit. Ia memasukkan jarumnya ke dalam bukaan ini dan apabila jarum ini telah sampai ke urat darah, ia mula menyedut darah.

Doktor Nyamuk! Kamu mungkin bertanya, "Bolehkah nyamuk menjadi doktor?" Selepas membaca artikel saya ini kamu akan berkata, "Mereka memang doktor!". Apabila kamu terluka, darah kamu akan berhenti mengalir dengan sendirinya. Ini kerana darah dapat membeku dan berhenti mengalir. Allah telah menjadikan darah dengan kualiti seperti ini untuk melindungi manusia. Jika darah tidak dapat membeku dengan sendirinya, luka kecil di jari kamu atau luka kerana terjatuh ketika berlari boleh menyebabkan kematian kamu, kerana kamu tidak dapat menghalang pendarahannya.
Ia amat penting kepada kita. Tetapi, nyamuk mungkin tidak gemarkannya. Mengapa? Kerana, apabila nyamuk mula menyedut darah, ia akan menjadi beku dan tidak akan dapat disedut. Jika ini berlaku, nyamuk tidak akan wujud, kerana tidak seekor nyamuk dapat memberikan protein kepada telur-telurnya. Sekali lagi Allah telah menjadikan satu kemahiran unik untuk proses ini. Bagaimana? Sebelum nyamuk mula menghisap darah, ia mengeluarkan satu cecair khas, yang Allah kurniakan kepadanya, ke dalam saluran darah sesiapa yang dihinggapinya. Dengan cara ini, darah di kawasan ini tidak akan membeku dan nyamuk dapat menyedutnya. Cecair ini juga mempunyai kualiti lain. Apabila nyamuk menjalankan kerjanya, kamu tidak akan merasa apa-apa, kerana bahan ini mengebaskan kawasan yang digigit nyamuk. Cecair ini seperti anestesia yang digunakan oleh doktor gigi atau pakar bedah. Doktor memberikan sejenis dadah supaya kamu tidak merasa sakit, dan memang kamu tidak merasanya. Jadi, nyamuk juga bekerja seperti seorang doktor. Mulanya ia membius dan kemudian menghisap.

Selepas nyamuk menggigit kamu, kamu akan merasa sedikit gatal dan bengkak. Punca rasa gatal dan bengkak ini adalah cecair ini.
Kamu mungkin beranggapan perkara ini memakan masa yang panjang. Tetapi nyamuk ini melakukan semuanya di dalam masa yang singkat. Kamu hanya merasa kesan gigitannya setelah ia menyelesaikan kerjanya dan mengemas kembali peralatannya. Sekarang, mari kita fikirkan bersama. Nyamuk hanya bersaiz hujung pensil, tetapi kerja yang dilakukan amat penting dan sempurna. Pada pandangan kamu apakah nyamuk-nyamuk ini dapat memikirkan semua ini? Untuk menghalang pembekuan darah manusia, membius kawasan gigitannya supaya ia tidak menyakitkan, menghasilkan mata yang dapat melihat pada waktu malam, menyusun telurnya dalam bentuk rakit supaya ia tidak tenggelam... Ia tidak dapat menciptanya, bukan? Allah telah menjadikan hidupan dengan sifat-sifat yang bersesuaian untuknya supaya ia dapat mencari makan sendiri, melindungi diri dan menyelamatkan diri. Ini membuktikan betapa Allah amat mengambil berat, Maha Penyayang dan melindungi. Sebagai contoh, sekiranya seekor nyamuk dapat meneruskan hidupnya, itu adalah kerana Allah telah melindunginya. Allah tidak pernah meninggalkan sesuatu pun, dan tidak pernah lupa. Kerana itulah semua yang diperlukan oleh seekor nyamuk adalah sempurna.
Tiada satu pun yang kurang.

Lalat Adalah Hidupan Terbang Terbaik Di Dunia
Setakat ini saya telah menyebutkan sifat-sifat istimewa seekor nyamuk. Hakikatnya, setiap serangga yang wujud di sekeliling kita mempunyai sifat-sifat istimewa. Sebagai contoh, lalat dapat terbang sebaik sahaja ia dilahirkan. Boleh dikatakan, apabila membincangkan tentang terbang, lalat adalah makhluk paling berbakat. Saya akan buktikan kepada kamu nanti, ayuh baca posting saya kelak dengan teliti.


Seekor lalat dapat mengepakkan sayapnya sekitar 500 hingga 1000 kali setiap saat. Berhenti di sini, dan fikirkan sejenak. Kadar yang saya sebutkan bukan sejam dan tidak juga seminit; tetapi hanya sesaat. Iaitu sama masa yang kamu gunakan untuk mengelipkan mata kamu. Lalat dapat menyepakkan sayapnya sekurang-kurangnya 500 kali ketika kamu membuka dan menutup mata kamu.
Fikirkan contoh berikut: Apa akan kamu lakukan sekiranya kamu diminta membuka dan menutup tangan kamu 10 kali dan bukannya 500 kali? Sudah tentu mustahil untuk kamu melakukannya 500 kali dengan otot-otot yang kamu milik ini. Lalat, dengan otot-otot luar biasanya, dapat melakukan tugas yang tidak dapat kamu atau orang dewasa melakukannya. Tambahan pula, lalat tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika mengepak sayapnya; otot terbangnya tidak akan tercabut. Kerana Allah telah menjadikan mereka dengan sistem yang hebat. Jika kamu dapat melihat lalat dengan dekat, kamu akan melihat ia tidak menghadapi sebarang kesukaran ketika terbang; kamu mungkin tidak merasa terkejut atau mengendahkannya.

Bagaimanapun, sebenarnya ia adalah gerakan yang penting dan sukar. Kamu mengenali helikopter dan kapal terbang. Tahukah kamu bila manusia mula menggunakannya? Mesin yang dapat terbang hari ini hanya direka pada hujung abad lepas. Ini bererti beratus-ratus tahun dahulu, tidak terdapat kapal terbang atau helikopter seperti yang ada sekarang. Jurutera dan juru teknik telah mengkaji sekian lama; mereka bekerja selama beberapa tahun dan hanya berjaya menghasilkannya tidak beberapa lama dahulu. Perhatikan: Hari ini tidak ada satu pun mesin yang dapat terbang seperti lalat. Ciri-ciri ini terdapat pada beberapa jenis helikopter yang maju. Tetapi berapa lama pun usaha yang dijalankan dan enjin canggih yang kuat, helikopter ini masih tidak memiliki kebolehan untuk terbang seperti lalat. AllahuAkhbar!.

Sekarang, perhatikan lalat yang kamu temui. Perhatikan apa yang dapat kamu kesan: Kamu akan mendapati lalat tersebut tidak terbang dalam keadaan lurus. Lalat dapat ke mana sahaja yang dikehendakinya dengan melakukan gerakan yang lincah. Contohnya, ia dapat melakukan "zigzag" di udara, dan melakukan peralihan mengejut. Ia dapat mendarat di atas sebarang permukaan, walau sesukar mana sekali pun. Ia dapat mendarat di atas siling atau dinding menegak dengan mudah. Tiada satu pun mesin terbang yang dapat melakukan semua perkara ini. Cuba bayangkan di dalam minda kamu bagaimana keadaan kapal terbang dan seekor lalat berlepas untuk terbang, dan bandingkan yang manakah paling sempurna. Sekarang, kamu mungkin pernah terfikir persoalan ini: Siapakah yang mengajar lalat-lalat ini semua gerakan seperti ini? Sekali lagi, kita akan menyaksikan ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Allah telah mengurniakan lalat dengan kebolehan yang sempurna.

Si Kecil Hebat Yang Menghasilkan Madu.
Tahukah kamu siapa yang menghasilkan madu di atas makanan dan minuman kamu? Kamu mungkin akan menjawab, "ya!" Kita semua sedia maklum lebah menghasilkan madu. Tetapi, tahukah kamu betapa sukarnya lebah-lebah ini bekerja untuk
menghasilkan madu sejak mereka lahir sehingga mati, atau betapa bijak dan pintarnya mereka? Mari kita mengkaji bersama-sama bagaimana Allah menciptakan madu dari lebah.
Di dalam sebuah sarang lebah, terdapat seekor ratu, beberapa ratus lebah jantan dan tenaga kerja beribu-ribu lebah betina yang mandul, iaitu lebah pekerja. (Bilangan lebah di dalam sebuah sarang boleh mencecah 80,000 ekor). Lebah pekerja menjalankan semua aktiviti di dalam sarang. Sebahagian daripada tugas-tugas mereka ialah: Membina sarang, membersihkan dan melindunginya, memberi makan ratu dan lebah jantan, menjaga larva, dan memberi mereka makan dengan jeli diraja, madu dan debunga, membina sel untuk telur-telur berkembang, membersihkan ruang-ruang ini, mengekalkan kepanasan dan melembabkan sarang, mengumpul manisan buah, debunga, air dan damar, dan lain-lain. Saya telah menceritakan sebelum ini kisah perjalan hidup dan sifat istimewa seekor nyamuk dan lalat. Sekarang mari kita perhatikan kehidupan yang dilalui oleh seekor lebah. Ayuh kita teruskan experimen kita yang mendebarkan ini.
Seekor lebah pekerja dapat hidup selama 4 hingga 6 minggu. Selama tiga minggu selepas dilahirkan ia tinggal di dalam sarang. Tugas pertamanya ialah menjaga lebah-lebah yang sedang membesar. Ia memberi makanan kepada bayi lebah dengan madu dan debunga yang diambil daripada tempat simpanan. Apabila lebah pekerja ini mencecah umur 12 hari, tiba-tiba, lilin lebah mula dihasilkan di dalam badannya. Lilin lebah amat penting kepada lebah, kerana mereka membina sarang dengan lilin ini.
Kamu dapat melihat gambar sarang lebah di halaman di atas.
Tidakkah ia kemas? Dapatkah kamu membina heksagon yang kemas seperti ini tanpa pembaris? Atau, dapatkan sehelai kertas kosong dan lukis bentuk heksagon dari satu penjuru kertas dan seorang kawan kamu melukis daripada hujung lain. Dapatkah kamu menghasilakan sebuah heksagon yang rapi, di tengah-tengah kertas, tanpa meninggalkan sedikit pun ruang? Pasti kamu tidak akan dapat melakukannya, bukan? (Ayuh sambutlah cabaran dari lebah-lebah ini). Malah orang dewasa juga tidak dapat melakukannya. Kamu, kawan kamu, guru kamu, ibu bapa, malah datuk kamu juga tidak akan dapat melakukannya.

Untuk melakukannya, kamu memerlukan peralatan dan kamu perlu melakukan perkiraan yang kompleks. Tetapi, si lebah kecil ini yang baru berusia 12 hari, dapat menghasilkan sebuah sarang lebah yang sempurna. Tambahan pula, ia melakukannya tanpa sebarang peralatan. Setiap lebah memulakan pembinaan heksagon daripada satu sudut, dan bertemu di tengahnya. Kamu mungkin dapat mengesan keluasan sarang lebah ini adalah sama. Bagaimanakah seekor lebah melaksanakan satu tugas yang tidak dapat dilakukan oleh seorang manusia dan ia melakukannya dengan cemerlang? Allah s.w.t yang telah membenarkan lebah ini melakukan semua tugas-tugas tersebut. Allah telah menjadikan lebah bersama dengan kelebihan ini. AllahuAkhbar!!.

Tanggungjawab seekor lebah pekerja tidak berakhir di situ sahaja. Di antara tugas-tugasnya, sehingga ia berusia 3 minggu, ialah menyimpan jeli diraja dan debunga di dalam sarang madu, memastikan sarang bersih dan membuang lebah mati dan sampah sarap ke luar sarang. Di peringkat akhir tugas 3 minggunya, ia memulakan tugas terakhirnya sebagai pengawal keselamatan dan melindungi sarang tersebut daripada musuh. Apabila tempoh 3 minggu berakhir, lebah tersebut telah cukup mahir untuk mengutip jeli diraja, debunga dan air. Lebah pekerja akan keletihan setelah bekerja tanpa henti 2 hingga 3 minggu dan kemudian mati.
Di dalam kehidupan mereka yang singkat, ia bekerja tanpa henti. Tambahan pula tidak ada siapa pun yang mengajarnya untuk melakukan tugas-tugas mereka. Ia mula bekerja sebaik sahaja selepas dilahirkan. Fikirkan sejenak, bagaimana sekiranya seorang bayi baru lagi keluar bangun daripada katilnya, mengemasnya, mandi, dan kemudian menjaga bayi-bayi lain; memandikan mereka, memberi mereka makan, memakaikan mereka pakaian. Tidakkah ini mustahil? Tetapi lebah telah melaksanakan tugas yang mustahil ini, kerana Allah telah menjadikan mereka dengan kebolehan untuk melakukannya. Maha Suci Allah.

Lebah Madu Dan Tarian.


Lebah menari dengan membuat gerakan berbentuk “8”. Tarian mereka mempunyai tujuan: Untuk menunjukkan kepada pekerja-pekerja lokasi sumber makanan.Pernahkah sesiapa memberitahu kamu lebah mempunyai tarian? Sebahagian lebah mencari sumber makanan di luar sarang. Setelah terbang sepanjang hari, mereka menemui sumber mereka sendiri dan membawa sebanyak mana jeli diraja yang boleh dibawa, dan kemudian mereka kembali ke sarang mereka. Masih terdapat banyak jeli diraja di sumber tersebut tetapi lebah berkenaan tidak dapat mengambilnya semuanya tanpa bantuan daripada lebah-lebah lain. Lebah pemandu akan mengingati lokasi sumber makanan ini di dalam mindanya dan dengan segera kembali ke sarang dan mengumpulkan rakan-rakannya. Mereka memulakan gerakan yang berbentuk nombor "8" di dalam sarang. Jumlah lebah ini bergerak atau menggoyangkan badannya adalah isyarat menunjukkan jarak sumber makanan daripada sarang. Pada penghujung tarian tersebut, lebah-lebah lain telah mengetahui lokasi sumber makanan tersebut dan segera meninggalkan sarang untuk mendapatkan bunga yang menjadi sumber makanan baru mereka.
Pada pandangan kamu, di manakah lebah-lebah ini belajar berkomunikasi dengan menari? Sudah tentu, Pencipta merekalah yang telah memberikan ilmu pengetahuan ini. Tahukah kamu lLebah juga membuat madu untuk kita? Lebah dapat menghasilkan madu lebih banyak daripada keperluan mereka. Seperti yang kamu ketahui, lebah menghasilkan madu di dalam badannya. Tubuh kecil mereka ini dapat menghasilkan madu yang mencukupi untuk keperluan mereka dan juga manusia. Tetapi mengapa lebah-lebah ini begitu pemurah? Mengapa mereka tidak memikirkan wang sahaja daripada memikirkan keperluan kita? Madu sangat berkhasiat kepada manusia. Kerana itulah, Allah telah menjadikan lebah bersama kebolehan menghasilkan madu dan memerintahkan mereka untuk menghasilkannya di dalam kuantiti yang banyak.
Allah berfirman di dalam Al-Quran:

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok- pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga- bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu" (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai- bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
(Surah An-Nahl:68-69)

Alhamdulillah, Syukur kehadrat Allah s.w.t Yang Maha Penyayang dan Maha Bijaksana, setelah apa yang telah saya huraikan dan bentangkan tadi sedikit sebanyak dapatlah kita jadikan panduan dan pedoman untuk memperbaiki lagi kesilapan dan kekhilafan yang tidak kita ketahui selama ini. Buka lah mata hati untuk kita bersama-sama mengakui Allah s.w.t Maha Pengasih dan Penyayang kepada sekelian makhluk-makhlukNya. Percayalah dan yakinlah dalam hati, bahawa Allah Maha bijaksana dalam segala urusan ketentuanNya. Allahu-Akhbar!!!.

Monday 9 March 2009

Allah s.w.t Maha Bijaksana - Anggota Tubuh Manusia

Oleh : Muhammad Ibn Nazir

Maha Suci Allah, Tuhan Semesta Alam. Alhamdulillah Syukur kehadrat Allah S.W.T, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Selawat dan Salam bagi Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya.

Badan kita adalah organisma sempurna yang membolehkan kita hidup di bumi ini dengan selesa, untuk berlari dan bermain, untuk membaca dan menulis dan, ringkasnya, ia membolehkan kita melakukan sebarang aktiviti. Organisma-organisma ini amat indah hingga tidak seorang pun dapat menyamakan mereka dengan mana-mana teknologi maju.
Bagaimana kamu mengenali tubuh kamu sendiri, yang bekerja tanpa henti dan dapat memperbaiki dirinya sendiri apabila rosak?


Jendela Kita Ke Dunia Luar: Mata
Setiap organ di dalam badan kita amat penting kepada kita. Hidup kita akan berubah sekiranya kita kehilangan satu daripadanya. Sebagai contoh,... Dapatkah kamu fikirkan apa yang dapat kamu lakukan jika kamu tidak mempunyai mata? Kamu tidak akan dapat mengetahui bagaimana rupa paras ibu bapa kamu, adik beradik, atau kawan-kawan. Kamu tidak dapat melihat semua benda-benda yang indah ini. Kamu tidak dapat bermain permainan yang kamu main sekarang. Kamu tidak akan dapat membaca artikel-artikel saya ini dan melihat gambar berwarna-warni di dalamnya. Kamu tidak dapat membayangkan bagaimana rupa seekor arnab atau seekor lembu, kerana kamu tidak pernah melihatnya. Kamu tidak dapat melihat kartun di TV. Kamu tidak dapat melakukan aktiviti kamu dengan mudah. Kamu mungkin tidak dapat mencari jalan di sekitar rumah kamu. Kamu tidak dapat melihat sebarang warna atau bentuk, kamu juga tidak dapat mengenali warna atau mengenal pastinya, serta senarai ini tidak akan habis.


Allah menjadikan setiap manusia dengan mata yang membolehkan mereka melihat. Allah telah memberikan manusia anugerah berharga ini. Mata kita memainkan fungsi paling penting. Ia menjalankan proses-proses penting yang tidak kita sedari, dan hanya selepasnya kita dapat melihat sekeliling. Mari kita kaji secara ringkas bagaimana kita melihat.

Setiap objek di dunia ini memantulkan dan memancarkan cahaya ke sekelilingnya. Sebagai contoh, semasa kamu melihat artikel ini, cahaya yang terpantul dan terpancar daripada artikel ini sampai ke belakang mata kamu melalui pupil. Cahaya ini, setelah melalui satu siri proses di belakang mata kamu, telah ditukar menjadi isyarat elektrik. Isyarat elektrik ini sampai ke otak kamu. Di belakang otak kamu terdapat pusat penglihatan yang membolehkan kamu melihat. Pusat penglihatan ini adalah sebuah tempat yang kecil. Di kawasan kecil inilah isyarat elektrik ini membentuk imej artikel ini dan ia berlaku ketika kamu melihat artikel ini.

Untuk menerangkan secara ringkas proses-proses ini sahaja telah memakan masa, sedangkan proses ini berlaku dengan pantas. Proses-proses ini berlaku secepat apabila kamu melihat artikel ini, pada kelajuan yang tidak dapat kamu melihatnya. Bukankah ia merupakan satu sistem yang sangat sempurna? Jika kamu masih ingat saya telah menyebutkan tentang para penyokong evolusi sebelum ini. Saya juga menyebut bahawa mereka ini percaya bumi, alam semesta, bintang-bintang dan semua hidupan adalah hasil daripada kebetulan. Mereka yang berkata demikian juga berkata perkara yang sama tentang mata. Mereka berkata, "Mata telah terbentuk dengan sendirinya secara kebetulan." Dapatkah sebuah sistem yang kompleks dan indah terbentuk dengan sendirinya? Saya berikan satu contoh untuk menjelaskan betapa mengarutnya pendapat ini.


Jurutera-jurutera telah menghasilkan kamera fotografi dan kamera video dengan meniru mata manusia. Bagaimanapun, tidak satu pun peralatan ini dapat memberikan gambaran yang jelas seperti mata kamu. Sekarang angkat kepala kamu daripada artikel ini dan lihat sekeliling kamu. Tidakkah pandangan kamu begitu jelas? Tidak terdapat sebarang kekaburan, bintik-bintik putih atau garisan terputus di dalam penglihatan kamu. Sering berlaku, kamu melihat bintik-bintik putih atau garisan-garisan terpisah di dalam satu imej.

Walaupun ini semua tidak terjadi dan dengan semua teknologi terkini, televisyen masih tidak dapat menghasilkan imej yang sempurna seperti mata kamu. Sekarang, mari kita fikirkan sejenak. Ini menunjukkan mata kamu adalah jauh lebih maju dan berkualiti daripada kamera video atau kamera fotografi atau televisyen. Apa yang akan kamu lakukan sekiranya seseorang datang kepada kamu dan berkata seperti berikut

"Telah berlaku satu ribut taufan yang menyebabkan kabel-kabel elektrik, skru-skru, penukul-penukul, pemutar skru terbang keluar pintu dan tingkap untuk keluar daripada rumah, dan kemudian semuanya berkumpul di halaman.
Kemudian ia ditimpa hujan dan petir dan semua bahan-bahan ini bercampur-aduk dengan tanah. Setelah berlalu beberapa lama dan saya melihat sebuah televisyen muncul.”
Adalah mustahil untuk sebuah televisyen membentuk dirinya sendiri.


Apakah mungkin mata kamu yang jauh lebih berkualiti daripada televisyen, dapat terbentuk dengan sendirinya? Sudah tentu tidak! Sebagaimana sebuah televisyen tidak dapat terbentuk dengan sendirinya, sebaliknya seseorang telah membuatnya, mata kita juga bukan hasil daripada kebetulan. Allah s.w.t yang telah menjadikan mata kita yang dapat melihat imej tiga dimensi dan berwarna dengan begitu jelas. Kerana itulah kita perlu bersyukur kepada Allah di atas segala keindahan yang kita saksikan.

Telinga Kita Yang Dapat Mendengar Tanpa Sebarang Gemercikan.
Allah telah menjadikan telinga kita sempurna seperti mata. Bayangkan sebuah stereo, sebagai contoh. Walaupun kamu memasang stereo terbaik, kamu tetap akan mendengar bunyi gemercikan dan desiran. Rangkaian radio sering bercampur aduk. Sekarang, jangan bercakap tapi dengar sahaja! Dapatkah kamu mendengar sebarang bunyi desiran? Telinga kamu tidak akan menghasilkannya. Kamu mendengar suara dengan begitu jelas sekali. Jadi apakah kamu merasakan telinga kamu juga menghasilkan bunyi gemercikan seperti stereo? Allah telah menjadikan telinga kita dengan sempurna dan kita dapat mendengar bunyi di sekeliling kita tanpa sebarang gangguan.
Allah telah menjadikan telinga kita sedemikian rupa sehinggakan kita tidak dapat mendengar bunyi-bunyi yang akan mengganggu kita. Darah di dalam tubuh kita, sebagi contoh, mengalir dengan begitu pantas dan ia menghasilkan bunyi yang banyak ketika proses peredarannya. Bagaimanapun, telinga kita tidak mendengar bunyi yang dihasilkannya. Bumi kita juga menghasilkan bunyi yang kuat ketika berputar. Tetapi, Allah telah menjadikan telinga kita begitu ideal sehingga kita tidak dapat mendengar bunyi ini. Allah sentiasa memelihara kita. Kerana itulah, sepanjang hidup kita, Allah tidak membiarkan kita mendengar bunyi-bunyi yang mengganggu kita. Allahu-Akhbar!.




Kerana itulah kita perlu bersyukur kepada Allah di atas nikmatnya, Allah telah menjelaskannya di dalam ayat Al-Quran:

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran; supaya kamu bersyukur".
(Surah An-Nahl : 78)

Jantung Kita Yang Tidak Pernah Penat
Bagi kita, jantung adalah organ asas. Ia berdenyut sekitar tujuh puluh dua kali seminit dan kira-kira empat puluh juta kali setahun. Untuk memahami bagaimana proses ini amat memeningkan, cuba buat genggaman dengan tangan kamu dan kemudian lepaskannya, kemudian teruskan membuat genggaman dan lepaskan. Berapa minit kamu dapat berbuat begitu?


Jantung kamu, yang bersaiz sebesar penumbuk kamu, berterusan melakukan aktiviti ini sepanjang hidup kamu tanpa merasa letih atau berhenti. Jantung kita tidak pernah berhenti walaupun ketika kita tidur. Jika merasa gembira, jantung kita akan berdenyut lebih pantas, dan ia berdenyut perlahan ketika kita berehat. Jantung kita melakukan penyenggaraan ini secara automatik ketika kita tidak menyedarinya. Setiap kali jantung kita berdenyut, ia mengepam darah ke seluruh badan kita. Apa yang kita perlukan untuk hidup terdapat di dalam darah ini. Setiap sel kita menerima oksigen dan makanan yang diperlukan daripada darah. Jantung kita mengepam sekitar 43,000 liter darah setiap hari. Tahukah kamu berapa banyak darah ini? Ia mencukupi untuk memenuhi 150 tab mandian.

Tidakkah kamu akan merasa penat sekiranya kamu cuba mengeringkan sebuah tab mandian dengan menggunakan sebiji cawan? Sekarang bayangkan bagaimana hendak mengeringkan air di dalam 150 tab mandian dengan sebiji cawan? Mungkin kamu tidak akan dapat melakukan tugas yang sukar ini. Bagaimanapun, jantung kita telah melakukan tugas ini dan telah melakukannya sejak kita dilahirkan dan akan terus melakukannya sehingga kita meninggal dunia. Lebih-lebih lagi, ia tidak pernah berhenti. Kamu, misalnya, pasti akan berehat ketika melakukan kerja-kerja berat. Kamu perlu berbaring, atau berehat, tetapi jantung kita tidak pernah letih, kerana ia merupakan keperluan kepada kita. Ia kecil tetapi tugasnya amat besar. Kerana itulah, Allah telah menjadikannya sedemikian rupa sehingga ia tidak pernah letih.

Tahukah Anda Terdapat Askar Di Dalam Tubuh Badan Yang Melindungi Kita Daripada Kuman?
Tempat kita duduk, udara yang kita sedut, benda-benda yang kita pegang penuh dengan kuman dan virus, tetapi kita tidak dapat melihatnya. Kuman dan virus adalah organisma-organisma kecil yang menyebabkan penyakit di dalam badan manusia. Kita tidak dapat melihatnya tetapi ia boleh menyebabkan kita jatuh sakit dan hilang kekuatan. Terdapat organisma-organisma lain yang kita tidak dapat lihat. Ia membentuk askar di dalam tubuh kita dan melindungi kita daripada kuman dan virus. Askar ini dikenali sebagai "Sistem Imuniti".
Apabila satu virus memasuki badan, sel imuniti yang bertindak sebagai pengawal akan mengenal pastinya. Sel pengawal ini akan memanggil sel imuniti dengan memberi amaran kepada mereka. Pada masa yang sama, senjata yang diperlukan telah pun dihasilkan. Ketika virus-virus ini memasuki sel-sel badan untuk membiak. Sel imuniti membunuh sel-sel badan ini untuk menghapuskan virus ini. Hasilnya: Tubuh kita memenangi peperangan ini.
Sistem imuniti kita terdapat di dalam darah. Sel-sel yang membentuk system imuniti kita dikenali sebagai sel darah putih. Apabila musuh memasuki badan kita, darah kita bekerja seperti sebuah makmal. Ia dengan segera menghasilkan bahan-bahan khas untuk menentang musuh ini dan menghasilkan lebih banyak sel yang setanding dengan kekuatan musuh. Satu pertempuran sengit berlaku. Kadang kala tentera di dalam badan kita memenangi pertempuran ini tanpa kita menyedarinya dan kuman dan virus mati.
Kadang kala kita dapat merasai pertempuran ini. Kamu nyatakan bagaimana? Apabila kamu demam! Sudah tentu kamu pernah merasai demam mungkin beberapa kali. Iaitu ketika musuh kamu sedang bertempur dengan tentera di dalam badan kamu. Ketika di dalam pertempuran ini, badan kamu menggunakan seluruh tenaganya dan memerlukan lebih. Sekiranya kamu berlari, ketika badan kamu terlibat di dalam pertempuran, kamu akan menggunakan semua tenaga yang diperlukan oleh tubuh kamu untuk bertempur. Di dalam keadaan ini, tentera kamu akan tewas di dalam pertempuran ini dan kamu akan jatuh sakit.

Bagaimanapun, apabila kamu demam, selalunya kamu berbaring untuk berehat, dan tentera kamu menggunakan semua tenaga yang ada. Dengan itu, tentera berkemungkinan untuk menang. Apabila suhu badan kita meningkat, badan kita memberikan isyarat "rehat"!


Tahukah kamu apa akan berlaku sekiranya kamu tidak mempunyai system imuniti ini? Sebaik sahaja kita dilahirkan, kuman pertama yang memasuki tubuh kita akan membunuh kita. Kerana Allah amat mengasihi hambanya dan mengambil berat terhadap semua manusia, Dia telah menjadikan semua manusia dengan system imuniti. Seperti yang saya kemukakan di awal artikel ini, kita terhutang budi kepada Allah setiap saat kehidupan kita kerana dapat melihat benda-benda yang indah dan menikmati makanan yang lazat. Kerana itulah, kita perlu mengingati Allah setiap ketika dan berkata "Ya Allah, saya bersyukur di atas segala keberkatan yang Engkau berikan kepada ku". Maha Suci Allah.

Menjurus kita kepada tentang pengenalan serba sedikit akan kejadian dan fungsi tubuh anggota badan kita, seharusnya kita perlu peka dan prihatin tentang keistimewaan yang telah Allah berikan kepada kita dan wajib kita menjaga dan menguruskan tubuh badan kita dengan begitu baik sekali. InsyaAllah.

Allah s.w.t Maha Pencipta.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir

Alhamdulillah, Syukur kehadrat Allah S.W.T, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang Selawat dan Salam bagi Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya.

Tahukah kamu apakah alam semesta itu? Ia adalah ruang yang tidak terbatas dan dia mempunyai segala-galanya, bumi, matahari, bulan, planet-planet dan bintang-bintang. Walaupun kamu berjalan berjuta-juta batu kamu tidak akan dapat sampai ke penghujung ruang ini, sebaliknya kamu akan sampai ke titik permulaannya. Puncanya ialah kerana angkasa ini terlalu luas untuk digambarkan. Bumi wujud di dalam ruang yang tidak terbatas ini. Bersama dengan bumi, matahari, bulan, dan berjuta-juta bintang juga wujud bersama. Jadi bagaimana semua benda-benda ini terbentuk?


Ada dua bentuk respons kepada soalan ini. Salah satu daripada respons-respons ini adalah benar dan yang satu lagi salah. Mereka yang memberikan respons yang salah hanya mempercayai teori evolusi. Di dalam halaman berikutnya, saya akan menunjukkan kepada kamu respons yang salah terlebih dahulu dan kemudian respons yang benar pula.
Respons Yang Salah (Teori Evolusi)
Mereka yang memberikan respons yang salah menyatakan: Alam semesta ini telah sedia ada dan ia muncul dengan sendirinya. Iaitu, berbagai bahan telah berkumpul dengan sendirinya secara kebetulan dan membentuk matahari, bintang-bintang, bumi, lautan, pokok-pokok, sungai-sungai dan bukit bukau. Apakah kamu fikir pandangan ini tidak logik? Jika seorang sahabat kamu datang dan memberitahu kamu: "Saya telah memasukkan sedikit tanah, batu-batu, dan sedikit air ke dalam sebuah kotak besar. Saya menanti selama beberapa tahun dan kemudian sebuah komputer telah muncul dari kotak ini." Apakah kamu akan mempercayainya? Kamu mungkin menyangkakan sahabat kamu ini hanya bergurau, berbohong atau gila.

Para Penyokong Evolusi secara terbuka menceritakan kisah panjang seperti ini. Sebuah komputer tidak dapat muncul dengan sendirinya hasil daripada kebetulan. Pertama, seseorang akan merancang bagaimana bentuk komputer ini, dan memilih komponen mana yang perlu digunakan. Kemudian di dalam kilang-kilang besar, jurutera-jurutera, juruteknik-juruteknik dan pekerja berkumpul. Kemudian mereka menggunakan mesin yang besar untuk membentuk komputer tersebut. Oleh itu, apabila kamu melihat sebuah komputer kamu akan tahu ia tidak terbentuk dengan sendirinya. Bukankah lebih wajar jika dikatakan manusia yang bijak telah membuat komputer?

Matahari, bumi dan tumbuh-tumbuhan adalah lebih besar daripada sebuah komputer. Oleh itu, jika ada orang yang membuat komputer, tentu ada satu kuasa yang mencipta matahari, bumi, bulan dan bintang-bintang.

Respons Yang Betul
Apakah anda mengerti apakah yang dimaksudkan dengan respons yang betul ini? Allah adalah Pencipta kepada matahari, bumi, planet-planet dan bintang-bintang. Segala-galanya di dalam alam ini begitu sempurna dan teratur. Kerana Allah mencipta alam ini, dan Dia telah meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.

Bagaimana Allah Mencipta Alam Semesta Ini?
Para pakar sains telah melakukan satu penemuan penting pada tahun-tahun mutakhir ini. Penemuan penting itu ialah sebelum alam ini terbentuk, tidak wujud benda lain. Tiada tanah, udara, air, dan tiada bintang-bintang; malah tiada ruang. Di dalam kekosongan ini, terdapat satu titik kecil. Titik ini terlalu kecil sehinggakan sukar untuk mata kita melihatnya. Berbagai bahan telah dimampatkan bersama di dalam titik kecil ini. Kemudian, pada satu ketika titik ini meletup. Apabila ia meletup, semua bahan yang termampat di dalamnya telah berselerakan. Selepas itu, pecahan-pecahan bahan ini akan bergabung untuk membentuk atom-atom yang pertama, kemudian daripada atom-atom ini, bintang-bintang, matahari, bumi dan planet-planet lain. Pakar sains menamakan letupan ini "Big Bang". Semua yang terdapat di dalam alam semula jadi ini adalah hasil daripada Big Bang ini.

Di sini kamu perlu memikirkan sesuatu yang sangat penting. Bayangkan sekiranya kamu memasukkan pecahan-pecahan satu teka jigsaw (puzzle) ke dalam sebuah belon secara rawak. Selepas itu, kamu masukkan udara dan kemudian secara tiba-tiba pecahkannya. Seolah-olah belon tersebut telah "meletup". Apa berlaku kepada pecahan-pecahan jigsaw yang kamu masukkan ke dalam belon tersebut? Bolehkah pecahan-pecahan ini membentuk sebuah kondominium atau sebuah lapangan terbang, sesuatu yang kamu sendiri tidak dapat lakukan - di dalam bilik kamu? Atau adakah ia akan berselerak di serata bilik kamu? Sudah tentu, ia akan berselerak di dalam bilik kamu. Kamu perlu menyusun pecahan-pecahan jigsaw tersebut untuk membentuk sebuah lapangan terbang atau sebuah kondominium.

Allah adalah Pencipta kepada "Big Bang" ini, Pengatur kepada bahan-bahan yang berselerakan di angkasa selepas "Big Bang". Dengan mengumpulkan bahan-bahan ini, Dia juga adalah Pencipta matahari, bumi, planet-planet dan bintang-bintang. Apabila Allah menghendaki sesuatu Dia hanya berkata "Jadi" maka jadilah ia. Allah Yang Maha Besar dan Dia Yang Paling Perkasa. KekuatanNya mampu melakukan apa sahaja. Apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia dapat menciptanya sekelip mata.

Allah telah menurunkan kepada kita kitab-Nya "Al-Quran" di mana Dia telah menerangkan tentang diri-Nya dan ciptaan-Nya kepada kita. Kita dapat mencari jawapan yang betul kepada setiap soalan daripada Al-Quran dan As-Sunnah (cara hidup Nabi Muhammad SAW). Sebagai contoh, apabila kita bertanya, "Bagaimana Allah mencipta segala-galanya?" Allah membalas di dalam Al-Quran dengan berfirman:

"(Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya". (surah Al-An'am : 101)

Allah Menjadikan Bumi Untuk Kita. Allah telah mencipta bumi, matahari, bintang-bintang dan bulan. Jadi bagaimana semua hidupan di bumi ini muncul? Bayangkan sebuah planet gergasi dengan permukaan yang sama sekali kosong. Tiada manusia atau binatang, tiada tumbuh-tumbuhan atau serangga.

Bumi telah dihiaskan dengan begitu terperinci untuk membolehkan hidupan hidup. Allah telah memberikan semua perincian ini. Jika tidak, tiada seorang pun yang dapat hidup, sama ada kamu, ibu bapa kamu, atau kawan-kawan kamu.

Mari kita kaji bagaimana Allah menjadikan bumi ini untuk membolehkan hidupan hidup: Fikirkan... betapa tersusunnya segala benda di alam ini. Matahari telah diletakkan pada tempat di mana ia dapat memanaskan kita dan pada masa yang sama memberikan cahaya kepada kita. Sekiranya tiada matahari, pasti tidak ada sebarang hidupan di muka bumi ini. Sama ada kita, tidak juga haiwan-haiwan atau sebarang makhluk lain tidak mungkin dapat hidup.

Allah juga telah menjarakkan matahari daripada kita pada jarak yang tepat. Sekiranya bumi hanya sedikit hampir kepada matahari, kepanasannya pasti akan membakar bumi dan kita pasti tidak dapat hidup. Jika bumi ini hanya sedikit jauh daripada matahari, glasier pasti akan meliputinya dan sekali lagi, hanya sebahagian hidupan dapat hidup. Kerana itulah tidak terdapat hidupan di planet-planet lain, kerana sama ada ia terlalu rapat atau terlalu jauh daripadanya.

Sebagaimana yang telah kamu ketahui, hidupan perlu bernafas untuk hidup. Kita memerlukan oksigen di udara untuk membolehkan kita bernafas. Kadar oksigen yang tepat di dalam udara diperlukan untuk membolehkan manusia bernafas. Sekiranya ia hanya sedikit terlebih atau terkurang, sama ada kita, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan tidak akan dapat hidup, kerana, seperti yang kita katakan sebentar tadi, kita perlu bernafas untuk hidup. Kerana itu, kita memerlukan oksigen.

Salah satu benda paling penting yang membolehkan kita hidup ialah air. Tiada organisma dapat hidup tanpa air. Kerana itu, Allah telah menjadikan sebahagian besar bumi ini sebagai air. Satu pertiga permukaan bumi dipenuhi air. Bagaimanapun, tidak terdapat air di planet-planet lain atau di bulan yang kamu lihat pada waktu malam. Keperluan asas hidupan hanya terdapat di bumi.
Banyak kejadian di bumi membolehkan kita hidup. Jika hanya satu daripada kejadian-kejadian ini tidak berlaku, tiada hidupan dapat selamat di bumi. Jadi, adakah mungkin beribu kejadian-kejadian ini telah berlaku secara spontan dan berlaku di tempat seperti bumi? Sudah tentu tidak. Tidak mungkin kejadian-kejadian ini berlaku secara kebetulan. Allah telah menjadikan bumi ini untuk manusia. Kerana itu, bumi adalah tempat paling sesuai untuk kita.

Kamu boleh memberikan contoh berikut kepada mereka yang mendakwa bumi ini dan seluruh cakerawala ini telah terbentuk secara kebetulan (Teori evolusi). Katakanlah kamu sedang bermain-main di pantai dan kamu melihat ombak besar menghampiri, jadi kamu pulang ke rumah. Apabila kamu kembali ke pantai beberapa jam kemudian, kamu melihat tanda yang hebat. Di pantai kamu melihat terdapat sebuah bandar terbentuk daripada pasir. Terdapat rumah-rumah, hospital-hospital, sebuah lapangan terbang dan bas-bas. Malah terdapat sejumlah manusia. Kamu bertanya kepada seorang sahabat yang melalui tempat tersebut sama ada dia mengetahui bagaimana semua ini berlaku. Sekiranya dia menjawab, "Saya rasa ombak besar yang sampai ke pantai ini telah membentuknya", apa yang akan kamu fikirkan? Tidakkah kamu akan mengesyaki kawan kamu itu hanya berimaginasi, atau mungkin kamu akan ketawa memikirkan dia mungkin hanya bergurau atau gila? Adalah mustahil untuk ombak-ombak ini membentuk sebuah bandar yang sempurna daripada pasir secara tidak sengaja. Adalah tidak masuk akal sesiapa yang mahir dalam membina bandar seperti itu telah datang, membinanya dan kemudian meninggalkannya.

Bagaimanapun, sebahagian manusia, walaupun mereka terdiri daripada profesor atau pakar sains - telah menerima idea karut ini. Mereka tidak akan menyatakan, "Ombak telah membentuk bandar pasir tersebut", tetapi mereka akan menyatakan, "Pecahan kecil benda, yang dinamakan sebagai atom, telah berkumpul secara kebetulan dan ia membentuk matahari, bintang-bintang dan bumi, segalanya dilakukan dengan sendirinya". Kerana mereka tidak mahu mengakui Allah telah mencipta segalanya. Mereka mempertahankan yang salah tanpa mempercayai yang benar. Saya akan menerangkan siapa mereka dengan lebih terperinci di akhir nanti. InsyaAllah.

Perisai Pelindungan Di Sekeliling Bumi: Atmosfera.
Tahukah anda setiap hari banyak meteor jatuh ke bumi?
Apabila meteor-meteor jatuh di planet-planet lain, ia membentuk kawah-kawah gergasi, tetapi apabila ia jatuh ke bumi, ia tidak menjejaskannya. Jadi bagaimana meteor-meteor yang menyebabkan kerosakan yang teruk kepada permukaan planet-planet lain tetapi tidak memberi apa-apa kesan kepada bumi? Ia disebabkan oleh atmosfera yang mengelilingi bumi. Atmosfera mengelilingi planet kita sebagai perisai perlindungan. Sebuah meteor memasuki atmosfera menyusut melalui pembakaran. Apabila ia menghampiri permukaan bumi, ia menjadi semakin kecil. Oleh itu, meteor tersebut menjadi sangat kecil atau berkurangan dan hilang sepenuhnya apabila ia mencecah permukaan bumi, dan tidak memudaratkan kita.

Atmosfera ini tidak hanya melindungi kita daripada meteor tetapi ia juga menyerap sinaran berbahaya daripada matahari. Sekali lagi, sekiranya sinaran berbahaya ini dapat mencecah permukaan bumi, mustahil bagi hidupan untuk selamat. Dua ciri yang saya sebutkan di sini adalah lebih daripada cukup untuk menunjukkan kepada kita atmosfera bukan benda sebarangan. Allah telah menjadikan atmosfera, dan dengan atmosfera ini Dia melindungi kita daripada bahaya.

Adakah Atom Dapat Berfikir?

Seperti yang dijelaskan terdahulu, selepas berlaku Big Bang, unsur-unsur telah bercantum sebagai ATOM. Tahukah anda apa itu atom? Biar saya terangkan kepada kamu apa itu atom. Kita boleh samakan atom ini dengan guli. Tetapi guli ini terlalu kecil, yang belum pernah kamu lihat sebelum ini. Sekarang lihat sekeliling kamu! Semua yang kamu lihat di dalam realiti dibuat daripada guli-guli, yang dinamakan atom. Kerusi tempat kamu sedang duduk, buku di tangan kamu, emak kamu, cikgu kamu di sekolah, televisyen yang kamu tontoni, buah apel, tembikai, dan coklat di dapur, binatang peliharaan kamu, air, bunga-bunga di taman kamu, barang permainan kamu, dan malah tubuh badan kamu, semuanya terbentuk daripada atom. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, bintang-bintang dan matahari yang membentuk cakerawala dan dunia yang kita huni kini juga terbentuk daripada atom seperti kamu. Di semua tempat yang kamu pergi dan setiap selekoh yang kamu belok, terdapat atom.
Kamu tidak dapat melihat benda kecil yang kita namakan atom ini, kerana ia lebih kecil daripada apa yang kamu bayangkan. Ia terlalu kecil sehinggakan dengan menggunakan mikroskop yang paling besar pun tidak akan dapat melihat walau satu daripadanya. Untuk memahami betapa kecilnya atom ini, perhatikan contoh ini:

Bayangkan kamu mempunyai kunci di dalam tangan kamu. Sudah pasti kamu tidak dapat melihat atom-atom yang membentuk kunci ini. Jika kamu katakan, "Saya mesti melihat atom-atom ini", kamu perlu membayangkan kunci tersebut sebesar bumi. Jika kamu dapat mengambarkan kunci tersebut sebesar bumi ini semua atom-atom di dalamnya akan menjadi sebesar buah ceri dan kamu akan dapat melihatnya.

Jadi, bagaimana semua atom-atom ini bercantum selepas Big Bang? Atom-atom ini tidak hidup. Mereka tidak mempunyai minda atau kebijaksanaan. Mereka tidak dapat membuat sebarang keputusan. Mereka tidak dapat berkata, sebagai contoh, "Mari sini, mari kita bergabung dan membentuk sebutir bintang" atau "Mari mendekati ku dan membentuk bumi". Kita juga boleh membuat contoh seperti berikut: saya telah menjelaskan tentang jigsaw. Ceraian jigsaw ini tidak hidup, dan seperti juga atom, mereka tidak dapat membuat sebarang keputusan. Jika kamu selerakkannya, ia tidak dapat berfikir seperti
"Mari kita bercantum dan membentuk sebuah istana atau seorang manusia!"

Mari kita berfikir: "Bagaimana semua bintang-bintang, planet-planet, manusia dan haiwan-haiwan yang terbentuk daripada atom-atom ini dapat terhasil? Jika atom-atom tidak membuat keputusan ini, jadi siapa yang mencantumkan mereka?" Sudah tentu, setiap benda di keliling kita tidak dapat terjadi secara kebetulan. Allah telah menyatukan atom-atom ini. Allah telah membentuk angkasa luas ini, planet-planet, bintang-bintang, bumi, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan manusia daripada atom.

Bagaimana Manusia Terbentuk Daripada Atom?
Saya telah sebutkan bahawa atom-atom telah bercantum untuk membentuk manusia, tetapi, sudah tentu, kamu tertanya-tanya bagaimana ia berlaku. Pertama, atom-atom bergabung untuk membentuk SEL. Sekali lagi, kita mempelajari sesuatu yang baru.

Apakah sel?
Badan semua organisma hidup terbentuk daripada sel-sel. Walaupun, sel ini tidak sekecil atom tetapi kamu tidak dapat melihatnya dengan mata kasar kamu. Saya akan cuba menjelaskan saiznya yang kecil ini dengan contoh berikut: Jika kita kumpulkan kira-kira 10,000 sel, kita hanya dapat membentuk saiz sebesar kepala pin. Kerana itulah kamu tidak dapat melihatnya. Tetapi sel adalah blok binaan manusia, semut, kucing, bunga ros, pokok, dan semua organisma-organisma hidup si sekeliling kamu. Kamu, contohnya, terbentuk daripada bertrilion sel. Jadi, dari manakah semua bertrilion sel ini datang?
Lihat adik atau anak kamu. Dia belum lahir pada masa dahulu, kemudian tiba-tiba dia muncul dan perlahan-lahan dia membesar. Bagaimana kejadian ajaib ini berlaku? Adik atau anak kamu bermula daripada satu sel di dalam badan ibu kamu. Tetapi sel tunggal ini menyimpan banyak maklumat-maklumat penting di dalamnya. Semua maklumat yang membentuk adik atau anak kamu sebagaimana dia sekarang telah disimpan di dalam sel ini: warna matanya, warna rambut, ketinggian dan sebagainya.

Kemudian sel ini mula membesar dan mula membahagikan dirinya. Mulanya, ia berpecah kepada dua sel. Bagaimanapun, terdapat satu peristiwa yang akan menarik perhatian kamu: Maklumat di dalam sel tidak terbahagi dua. Ini bererti maklumat yang sama telah disalin semula ke dalam dua sel. Selepas itu, sel-sel ini terus membahagikan diri dan penyalinan maklumat yang sama berlaku di dalam setiap satu daripadanya, menghasilkan banyak sel dengan maklumat yang sama. Kemudian semua sel-sel ini akan membahagikan diri kepada yang lain, dan yang lain membahagikan diri kepada yang lain pula. Proses ini terjadi sehingga berjuta-juta sel terbentuk.

Ketika semua ini berlaku, sesuatu yang tidak dapat kamu bayangkan telah berlaku! Sel-sel ini, walaupun mempunyai maklumat-maklumat yang berbeza, melakukan tugas-tugas berbeza di antara satu sama lain. Sebahagian daripadanya membentuk kulit adik atau anak kamu. Sebahagian yang lain membentuk otot-ototnya, yang lain pula tengkoraknya, dan saraf-saraf otaknya. Ketika sel-sel ini terus menyalin diri, sejumlah sel-sel seperti bentuk bola mula terbentuk. Mulanya kepala adik atau anak kamu muncul, diikuti dengan tangan-tangan dan kaki-kakinya yang kecil. Sel-sel ini terus membesar dan membahagikan diri dan selepas sembilan bulan, ia bertukar menjadi seorang bayi yang sempurna. Kamu berjumpa dengannya pertama kali setelah dia "dilahirkan".

Segala yang saya sebutkan setakat ini mungkin memeranjatkan kamu. Kamu mungkin akan terfikir tentang mengapa sel-sel ini melakukan tugas-tugas berbeza atau bagaimana mereka dapat bergabung di dalam bentuk yang sempurna. Allah yang telah melakukan semua ini. Sel-sel ini amat kecil sehinggakan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Seperti atom, adalah mustahil untuk sel-sel ini untuk membuat keputusan sendiri atau bergabung sendiri untuk membentuk seorang manusia. Adalah tidak masuk akal untuk memikirkan adik atau anak kamu serta manusia lain telah terbentuk daripada sel-sel yang bergabung secara kebetulan.

Allah s.w.t. Pencipta semua ini, telah menjadikan manusia dengan sempurna dan Dia telah memberitahu mereka untuk memikirkan tentangnya di dalam Kitab yang diturunkan kepada kita:

Allah berfirman:

"Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa itu belum ada sebarang apapun? "
(surah Maryam : 67)

Kamu, seperti juga adik atau anak kamu dan manusia lain, mula membesar daripada satu sel tunggal, yang terus membesar dan berubah menjadi seorang manusia sepenuhnya. Sekarang ini, kamu hidup dengan kehidupan yang baik di dunia ini. Kamu terhutang budi kepada Allah. Allah telah menunjukkan rahmat-Nya kepada kamu dan memberkati kamu. Oleh itu, jangan sekali-kali kamu terlupa untuk mengucapkan syukur kepada Pencipta kamu, Allah S.W.T. AllahuAkbar!!!.

Allah berfirman :
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal, (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". (surah Ali Imraan - 190 & 191)

Salam Ukhwah Dan Perkenalan.

Oleh : Muhammad Ibn Nazir

Assalamualaikum dan Salam Muhibah.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Salam dan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w, Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabat serta Sahabiah-sahabiahnya.

Alhamdulillah, Syukur kehadrat Illahi dengan limpah rahmat dan kurniaanNya kepada kita serta dengan kenikmatan dariNya, dapatlah bersama-sama dengan ini memulakan perjalanan kehidupan di fana ini dengan keredhaanNya. Bersyukur jua saya panjangkan kepadaNya, kerana mengizinkan diri ini untuk memulakan posting-posting dan artikel-artikel penulisan untuk tatapan umum di laman Blog kelolaan saya ini.

Saya yakin bahawa mungkin terdapat kekurangan atau kekhilafan serta kekeliruan terhadap penulisan saya ini yang tidak saya sengajakannya. Mohon ampun kepada Allah s.w.t dan RasulNya, andaikata ternyata terdapat kekhilafan dan kekeliruan (yang tidak sengaja) dalam saya memberi ulasan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi s.a.w serta dalam saya memberikan gambaran dan perumpamaannya. Mohon kemaafan ini juga dipanjatkan kepada para Alim Ulama, Para Sarjana Islam dan Para Ahli Cerdik Cendekiawan. Mohon maaf jua saya panjangkan lagi kepada individu-individu, pihak berkumpulan atau sebaliknya, sekiranya hujah-hujah saya ini menguris dan mencalar kretiviti setiap para pembaca nanti.

Bidang penulisan memerlukan pemahaman, penelitian erti maksud tersurat dan tersirat kepada penulis dan pembaca khasnya. Setiap kesalahan perlu dititik beratkan dan dikongsi bersama, bagi meluaskan bidang penulisan yang agak kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Oleh yang demikian, saya sarankan kepada individu-individu Pengkritik-Pengkritik Macho dan Sambrono agar lampirkan hujah-hujah anda bernaskan atau berpaksikan Al-Quran dan Hadith-hadith yang shahih, bagi mendorong setiap khilaf yang saya kemukakan kelak akan difahami umum, khasnya bagi mereka-mereka yang sedang dan akan mencari HidayahNya. Saya bermohon agar perjalanan penulisan ini perlu ditemani oleh rakan-rakan siber yang beretika demi membuahkan satu rungkaian kefahaman dan penelitian yang tertil dan tepat untuk tatapan umum.

Sempena menyambut bulan MaulidurRasul ini, Sama-samalah kita merenungi dan menghayati erti perjuangan Nabi s.a.w. Perbanyakkanlah berselawat kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w. Ramai Ulama-Ulama berpendapat bahawa tarikh 12 RabiuAwal bukanlah tarikh sebenar hari kelahiran Nabi s.a.w, ada segelintir negara-negara islam di dunia ini telah meraikan dan menyambut sebelum dan selepas tarikh 12 RabiuAwal tersebut, belum dapat dipastikan lagi tarikh sebenar tentang hari kelahiran Nabi s.a.w. tersebut, kerana pada masa itu Ahli-ahli kaji falakh tidak dapat menentukan tarikh sebenar akibat kekurangan alatan dan Ahli-ahli pengkaji ilmu falakh ketika waktu itu. Janganlah kita terlalu fanatik dengan tarikh 12 RabiuAwal tersebut, sehinggakan segala amal ibadah dan suruhanNya yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita diabaikan.

Seharusnya, kita perlu peka akan amanah yang telah diberikan kepada kita, dan perlu dititik beratkan dari setiap sudut. Oleh yang demikian, apa yang dapat saya membuat kesimpulan bahawa bulan RabiuAwal adalah bulan kelahiran junjungan besar kita iaitu Rasulullah s.a.w. Semoga kita bersama-sama mendekatkan diri kita yang fakir ini kepada Allah s.w.t. dan di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa kepadaNya.

Akhirkata dari saya, semoga anda semua dapat sesuatu yang ibrah dari kelola blog penulisan dari saya kelak. Sesungguhnya yang mulia itu datangnya dari Maha Pencipta, dan kekurangan, kedaifan dan kekhilafan itu datangnya dari diri saya sendiri.

AllahuAkhbar! AllahuAkhbar! AllahuAkhbar!.


JazzakaAllah khairan kathiraa.


Ikhlas dari,
Muhammad Ibn' Nazir.
12 RabiuAwal 1430.

MujahidinCyber@yahoo.com

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails