Thursday 31 December 2009

Para Malaikat Dan Orang Mukmin

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir

BismillahirRahmanirRahim,Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi, dengan izin dari-Nya, kita di arena ini, mencari dan mengupas tentang kepercayaan “Beriman Kepada Malaikat”. Posting yang terakhir dari saya berkenaan dengan beriman kepada malaikat ini juga, merupakan satu rentetan peristiwa yang jarang-jarang kita perolehi dan selidiki, walaupun ia tetap termaktub dalam Rukun Iman yang wajib kita semua percayai dan sepakati.


Malaikat mempunyai perasaan suka yang mendalam terhadap orang-orang Mukmin khasnya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


“Sesungguhnya Allah apabila mencintai seseorang hamba, Ia akan memanggil malaikat Jibril lalu berfirman: “Sesungguhnya Aku mencintai fulan, maka cintailah dia”


Lalu malaikat Jibril pun mencintainya dan berseru di langit seraya berkata: “Sesungguhnya Allah mencintai fulan, maka cintailah dia.” Maka para penghuni langit pun mencintainya dan diletakkan untuknya kemakbulan di bumi”


Apakah yang dimaksudkan selawat para malaikat terhadap orang-orang Mukmin? Mungkin cetusan persoalan ini sering bermain dalam minda kita, bagaimana? Melalui apa?. Semua itu sering bermain dalam kotak pemikiran. Adakah malaikat juga berselawat terhadap orang-orang Mukmin? Atau adakah ia turut sama seperti manusia berselawat terhadap Nabi s.a.w?


Sebenarnya para malaikat itu adalah berdoa, memohonkan keampunan, memintakan rahmat dan taufiq kepada Allah s.w.t untuk orang-orang yang beriman. Allah s.w.t berfirman:


Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).” (Surah Al-Ahzab – Ayat 43)


Para malaikat juga sering memerhatikan terhadap orang-orang Mukmin, serta ia menolong dan membetulkan setiap langkah-langkahnya. Saya tertarik dengan satu hadith Rasulullah s.a.w yang telah di riwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim r.a yang bermaksud:


“Barangsiapa meminta kadhaq, urusannya akan diserahkan kepadanya, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, malaikat turun kepadanya dan menunjukkannya.”


Di antara bentuk pertolongan malaikat terhadap orang-orang Mukmin adalah ia membetulkan susunan kata-katanya. Rasulullah s.a.w pernah menceritakan keazaman Nabi Sulaiman a.s untuk memperolehi anak yang ramai dari beberapa puluh isterinya pada suatu malam. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Berkata Nabi Sulaiman a.s bin Daud a.s: “Aku akan mengilirkan seratus isteri pada malam ini, setiap isteri nantinya akan melahirkan seorang anak yang dapat berperang di jalan Allah."


Malaikat berkata: “Katakan ‘InsyaAllah!”


Nabi Sulaiman a.s tidak berkata demikian kerana lupa. Maka Nabi sulaiman a.s pun menggilir isteri-isteri itu dan (ternyata) tidak ada yang melahirkan anak kecuali seorang isteri saja yang melahirkan separuh manusia”


Berkata Rasulullah s.a.w: “Seandainya Nabi Sulaiman mengucapkan ‘InsyaAllah’, beliau tidak melanggar sumpah dan apa yang dihajatkannya lebih termakbul”


Hadith ini hadith shahih daripada Imam Bukhari dan Imam Muslim r.a. Ini merupakan satu gambaran yang Allah s.w.t berikan kepada sekelian makhluknya. Supaya agar bersyukur dan senantiasa mengigati-Nya dalam apa jua situasi.


Begitu juga ceritanya berkenaan orang-orang Mukmin yang mengimarahkan Kalam Allah s.w.t. Orang-orang yang mempelajari Al-Quran mendapat tempat dan pahala yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Di antaranya adalah Allah menyuruh para malaikat agar mengembangkan sayapnya pada orang-orang tersebut. Pekara ini telah kita bincangkan dalam posting saya yang lalu. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Tidak berkumpul suatu kaum di dalam satu rumah dari rumah-rumah Allah dengan membaca Kitab Allah dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan mereka mendapat ketenteraman. Dan malaikat melindungi mereka serta mengelilingi mereka” (Hadith Riwayat Imam Bukhari r.a)


Dalam sabda Nabi s.a.w yang lain pula adalah:


“Sesungguhnya Allah s.w.t mempunyai malaikat yang bertugas berkeliling di jalan-jalan mencari orang-orang yang berzikir. Apabila mereka menemuinya satu kaum yang sedang berzikir kepada Allah, mereka saling memanggil: “Kemarilah, ini dia yang kau hajatkan”


Maka merekapun mengembangkan sayapnya ke atas orabg-orang yang berzikir tersebut hingga ke langit dunia”


Hadith ini adalah hadith yang shahih di mana ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a


Maka dengan itu setelah kita mendalami tentang “Beriman Kepada Malaikat”, kita dapati bahawa malaikat adalah makhluk Allah s.w.t yang paling patuh terhadap perintah Allah s.w.t. Sejak sebelum terciptanya Adam hingga ke hari kiamat, kepatuhan malaikat kepada Allah s.w.t tetap teguh dan tidak berganjak sekalipun. Malaikat mempunyai Iman yang tidak akan berubah-ubah, Imannya tetap dan tidak berganjak dari paksinya. Ia berbeza dengan Para Nabi dan Para Rasul Allah, imannya dari masa ke semasa tetap bertambah, tanpa ada sedikit kekurangan sekalipun. Ia terus dan terus meningkat dari masa ke semasa. Tetapi ia berbeza sekali dengan diri kita, Iman kita ada pasang surutnya, kadangkala Iman kita mengatasi nafsu dan adakala nafsu pula mengatasi Iman kita. Ia seakan-akan tidak seimbang. Pekara ini telah kita sama-sama perbincangkan dalam posting saya yang lalu iaitu “Hati itu…(Bahagian 2).” Oleh yang demikian perbaharulah lagi jika ketirisan dan tipisnya Iman kita terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap sekelian makhluk ciptaan-Nya. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.


Wednesday 30 December 2009

Malaikat Izrail Ketika Mencabut Nyawa.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, syukur, kembali kita dengan keizinan dari-Nya, bagi mendalami lagi berkenaan dengan “Beriman Kepada Malaikat”. InsyaAllah.


Apabila sampai masa kematian, maka Allah s.w.t mengutuskan malaikat Maut (Izrail) mencabut roh dari tubuh orang tersebut. Allah s.w.t berfirman dengan bermaksud :


Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (Surah Al-An’am – Ayat-61).


Sekiranya orang yang akan dicabut rohnya itu merupakan seorang yang mukmin, maka malaikat itu datang sebagai seorang yang rupawan. Tetapi jika datang pada orang yang kafir dan munafik maka mereka mendatanginya dengan rupa yang menakutkan.


Saya rujuk dalam hadith Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Bara’ bin Azib r.a di dalam hadith shahih Imam Abu Dawud r.a :


“Sesungguhnya jika orang Mukmin, maka ketika dia akan keluar dari dunia ini dan menuju kea lam akhirat, maka dia didatangi malaikat yang turun dari langit dengan muka yang putih berseri. Mereka itu membawa kain kafan yang dibawa dari syurga. Juga membawa wangian dari syurga. Malaikat datang sambil duduk sejauh mata memandang. Kemudian datanglah malaikat Maut (Izrail) dengan duduk di sisi kepalanya. Malaikat itu mengatakan : “Hai roh yang baik (tenang), keluarlah anda sekarang dengan mendapat ampunan dari Allah s.w.t dan kerelaan-Nya” Kemudian roh itu keluar seperti mengalirnya sebuah titisan yang berasal dari satu minuman, kemudian malaikat itu mengambil roh tersebut."


Dan saya rujuk juga dalam hadith shahih dari Imam Abu Dawud r.a :


“Dan sesungguhnya jika orang yang akan dicabut itu roh orang yang kafir, (Dalam riwayat yang lain pula : orang yang ‘fajir’ bererti penjahat, penzina atau pendusta) maka ketika orang itu di dunia lalu dia didatangi malaikat yang turun dari langit (yang berkeadaan kasar dan kejam) dengan rupanya yang hitam. Dengan membawa pakaian berbulu, lalu malaikat Maut (Izrail) datang dan duduk daripadanya sejauh mata memandang. Lalu malaikat Izrail datang dan duduk pula di sisi kepalanya, sambil mengatakan : “Hair oh yang jahat, keluarlah engkau sekarang menuju kemurkaan Allah dan kemarahan-Nya. Lalu dipisahkan roh itu dari tubuhnya, yang terpisahnya itu laksana dicabutnya bulu basah oleh besi panas (yang kemudian diikuti dengan putusnya keringatnya dan urat sarafnya).”


Semasa kejadian tersebut berlaku, mereka yang berada disampingnya tidak dapat melihat dan tidak mengetahui apa-apa tentang pekara tersebut. Firman Allah s.w.t :


“Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.” (Surah Al-Waqi’ah – Ayat 83-85).


Nabi Muhammad s.a.w telah mengungkapkan tentang adanya malaikat Maut (Izrail) yang akan memberikan berita gembira kepada mereka yang akan mati sebagai seorang Mukmin. Dengan janji ampunan Allah s.w.t serta kecintaan-Nya. Namun bagi mereka yang kafir atau ingkar (berdosa), bagi mereka dijanjikan pula adanya kemurkaan dan kemarahan Allah s.w.t kepadanya. Berkenaan dengan janji syurga yang telah Allah s.w.t janjikan kepada orang-orang mukmin tersebut telah diterangkan dalam Al-Quran :


“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!” (Surah Fussilat – Ayat 30-32).


Mengikut tafsir dari ayat Al-quran tersebut ia berkenaan dengan orang yang akan mati dalam keadaan serba takut dan susah, menghadapi masa yang akan datangnya kematian. Bahkan takutnya orang-orang yang akan mati kemudian. Dengan ayat tersebut maka jelaslah bahawa malaikat akan turun padanya nanti pada saat-saat kematiannya dengan berita yang membawa ketenteraman, yang seolah-olah malaikat itu akan mengatakan : “Jangan anda susah dalam menghadapi masa akan datang, baik ketika di alam barzakh mahupun di akhirat nanti. Juga anda tidak perlu susah tentang keluarga anda, anak-anak anda, mahupun hutang-hutang anda.” Bahkan diberinya berita dengan janji akan dimasukkan syurga sebagai berita gembira.


Sebaliknya, bagi orang yang kafir maka malaikat berjanji kepada mereka untuk menempatkan mereka di dalam neraka Jahanam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :


“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar. (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (surah Al-Anfal – Ayat 50-51).


Dari firman Allah s.w.t di atas menunjukkan pada kita bagaimana para malaikat mencabut roh orang yang kafir, maka ia merupakan satu peristiwa yang mengerikan, di mana para malaikat itu memukul wajah dan belakang mereka dan serta merta malaikat menyatakan; “Rasakanlah engkau sekarang dengan seksaan yang pedih.”


Diriwayatkan juga bahawa kisah tersebut berlaku dalam peperangan Badar, namun ia juga boleh terjadi bila-bila masa sahaja berkaitan masaalah yang bersangkutan dengan kekafiran. Tidak hanya khusus berlaku pada orang-orang kafir ketika perang Badar tersebut, tetapi ia juga boleh berlaku pada hari dan ketika ini untuk orang yang ingkar terhadap Allah s.w.t. Maka dengan itu renungilah kembali akan diri kita, adakah kita terjamin dengan amalan-amalan yang sedikit yang telah kita lakukan. Fikirkanlah. InsyaAllah, saya akan huraikan lagi berkenaan dengan malaikat ini di posting saya yang akan datang mengikut ketentuan dari-Nya.Allahu Akhbar!


Tuesday 29 December 2009

Malaikat Memuji Insan Yang Bersujud.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera. Sujud adalah rukun penting dalam ibadah solat. Tanpa sujud bererti suatu solat itu tidak sah di sisi Allah s.w.t. Sujud juga merupakan simbol kehinaan hamba di hadapan Penciptanya. Maka jika enggan bersujud bererti bersikap sombong dan angkuh kepada Allah s.w.t. Ini amat jelas bilamana Iblis enggan rasa hormat dan enggan sujud apabila Allah s.w.t menciptakan Adam. Dengan sikap sombong dan takabur itulah yang menyebabkan Iblis dan sekutunya dihalau keluar dan tersisih dari rahmat Allah s.w.t.


Selain sujud dalam solat, juga terdapat sujud-sujud lain yang intinya adalah pengagungan hamba kepada Allah Azza Wa Jalla, seperti sujud tilawah (Sujud kerana membaca sebuah ayat Al-Quran yang mengandungi makna kebesaran Allah s.w.t) dan sujud syukur (merupakan sikap syukur seorang hamba kepada Allah s.w.t atas segala nikmat yang diterimanya).


Saya tertarik dengan kata-kata dari Imam Ja’far bin Muhammad Al-Shadiq : “Sujud wajib dalam solat adalah kewajipan sempurna, dan dengannya hamba mendapat redha Allah s.w.t, dan dengannya para malaikat akan mengaguminya. Apabila seorang hamba melakukan sujud syukur setelah selesai solat, maka Allah s.w.t akan buka hijab antara hamba itu dengan malaikat-Nya. Allah berfirman : “Wahai malaikat-Ku, lihatlah hamba-Ku. Dia telah tunaikan kewajipannya terhadap-Ku. Dia telah sempurnakan janjinya pada-Ku. Kemudian dia bersimpuh sujud pada-Ku mensyukuri nikmat-nikmat yang Aku berikan padanya. Wahai malaikat-Ku, apa yang baik Aku berikan padanya?”

Malaikat berkata ; “Wahai Tuhan kami, dia berhak mendapatkan rahmat-Mu.” “Kemudian apa lagi?” Firman Allah s.w.t. “Wahai Tuhan kami, dia berhak mendapatkan syurga-Mu.” “Lalu apa lagi?” “Wahai Tuhan kami, dia berhak mendapat naungan-Mu yang meliputi segala sesuatu.” Firman Allah s.w.t lagi : “Lalu apa lagi?”


Kemudian malaikat menyebut anugerah Allah s.w.t satu persatu yang berhak diperolehi hamba ini. Setelah selesai, Allah s.w.t berfirman : “Wahai malaikat-Ku, Aku akan bersyukur padanya sebagaimana dia bersyukur pada-Ku. Aku akan limpahkan kepadanya nikmat-nikmat-Ku dan akan Aku perlihatkan kepadanya rahmat-Ku. InsyaAllah jika ada kelapangan waktu saya akan sambung lagi berkenaan dengan “Beriman Kepada Malaikat” ini dengan lebih mendalam lagi mengikut keizinan dan ketentuan dari-Nya.



Monday 28 December 2009

Para Malaikat Dan Majlis Zikir.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Muhibah. Alhamdulillah, syukur ke hadrat-Nya dapat kita sama-sama kembali meneruskan apa yang telah dan akan diperbincangkan ini, moga-moga dengan hidayah dan rahmat-Nya, dapatlah hendaknya menjadikan diri kita semakin hari semakin mantap Iman dan Taqwa kita terhadap Allah s.w.t. InsyaAllah. Sebelum ini kita telah bincangkan tentang kejadian dan tugas penghulu-penghulu malaikat di posting saya yang lalu, tetapi kali ini saya cuba lanjutkan lagi berkenaan dengan malaikat dengan lebih mendalam dan terperinci lagi mengikut panduan Al-quran dan Hadith-hadith Rasulullah s.a.w.


Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Allah s.w.t mempunyai para malaikat yang ditugaskan mencari majlis zikir, sebaik sahaja menjumpai majlis zikir tersebut, maka mereka (malaikat) akan duduk bersama-sama dengan orang yang berzikir serta memanggil malaikat-malaikat yang lain. Mereka akan datang berkerumun mengelilingi orang-orang yang berzikir itu dengan sayap-sayap mereka hingga memenuhi ruang antara mereka dengan langit dunia.”


Apabila majlis zikir itu tamat, maka para malaikat akan naik kembali ke langit. Lalu Allah bertanya kepada mereka (Allah s.w.t Maha Mengetahui) : “Wahai para malaikat-Ku, dari manakah kamu semua?” Berkata para malaikat : “Ya Tuhan kami, kami baru sahaja pulang memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi, mereka bertasbih, takbir, tahlil dan tahmid serta memohon kepada-Mu.” Setelah Allah s.w.t mendengar kata-kata malaikat-Nya, maka Allah s.w.t berfirman : “Wahai para malaikat-Ku, apakah yang mereka minta dari-Ku?” Berkata para malaikat : “Hamba-hamba-Mu itu memohon syurga dari-Mu.” Allah s.w.t berfirman lagi : “Pernahkah mereka melihat akan syurga itu?” Berkata para malaikat lagi : “Mereka tidak pernah melihat syurga itu.”


Allah s.w.t berfirman : “Hamba-hamba-Ku memohon syurga tetapi mereka tidak pernah melihatnya dan apalagi kalau mereka melihat syurga itu.” Berkata para malaikat : “Mereka juga memohon kebebasan.” Allah s.w.t bertanya : “Mohon bebas dari apa?” Berkata Malaikat : “Hamba-Mu itu memohon kepada-Mu agar mereka bebas dari neraka Jahanam.” Allah s.w.t berfirman kepada malaikat lagi : “Pernahkah hamba-hamba-Ku melihat neraka-Ku.” Berkata para malaikat : “Tidak Ya Allah.” Allah s.w.t berfirman : “Hamba-hamba-Ku tidak pernah melihat neraka jahanam, tapi mereka memohon supaya dibebaskan darinya, apalagi kalau mereka melihatnya.”


Kemudian para malaikat berkata lagi : “Ya Allah, hamba-Mu itu memohon ampun kepada-Mu,” Allah s.w.t berfirman : “Dengarlah wahai para malaikat-Ku, Aku mengampuni mereka itu dan Aku akan memberi apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari azab api neraka yang mereka takutkan itu.” Berkata malaikat lagi : “Ya Allah, di antara mereka itu terdapat seorang hamba yang penuh dengan dosa, dia melalui majlis itu lalu duduk bersama mereka yang sedang berzikir.” Allah s.w.t berfirman : “orang itu pun Aku ampuni, begitu juga dengan setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu, tidak ada yang celaka.”


Kisah ini satu rentetan tauladan yang berguna untuk sekelian manusia khasnya, ia menunjukkan kepada kita, begitu kasih dan sayangnya Allah s.w.t terhadap makhluk ciptaan-Nya. Tiada satu makhluk pun yang berada dalam alam semesta ini yang tidak diberikan perhatian oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t maha Penyayang dan maha Pengasih, sesuai dengan zhat-Nya. InsyaAllah saya akan bawa lagi kisah-kisah para malaikat ini untuk sama-sama kita mengetahui dengan lebih terperinci dan tersusun lagi mengikut keizinan dan keredhaan dari-Nya.




Wednesday 23 December 2009

Malaikat Izrail Memasukkan Roh.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim,Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Muhibah. Bertemu kita kembali dengan Izin Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan tubuh Adam dengan sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang kepala, iaitu dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung, dan sebuah liang mulut.Manakala dua buah liang di bawah badan pula adalah liang kemaluan dan liang dubur. Kajian sains juga mentafsirkan bahawa apa yang telah terkandung di atas tersebut yang terdapat pada tubuh badan manusia itu adalah benar dan tidak boleh disangkal lagi.


Ketika Allah s.w.t menjadikan Adam, tanah itu dicampuri dengan beberapa bahan iaitu air tawar, air masin, air hanyir, angin, dan api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam ‘Sifat’. Lalu tubuh Adam itu di genggam dengan genggaman ‘Jabarut’ kemudian diletakkan di dalam ‘Alam Malakut’. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan ‘Tubuh Adam’ adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari Nur Sifar Allah s.w.t, dan dirasmi dengan air hujan ‘Bahrul-Uluhiyah’. Kemudian tubuh itu dibenamkan dengan air ‘Kudral-Izzah-Nya’, Iaitu sifat “Jalan dan Jammal”, lalu diciptakan menjadi tubuh adam yang sempurna.


Menurut keterangan para ulama’, ketika tubuh Adam diselubinginya dalam waktu 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah, dan 40 tahun lagi di tanah yang hitam dan berbau. Kemudian Allah s.w.t mengubah tubuh Adam dengan rupa kemuliaan. Maka tertutuplah pemandangan mata malaikat daripada melihat hakikat sebenarnya. Mereka memandang rendah akan bakal kejadian Adam lantaran menurut penglihatan yang nyata asal kejadian Adam. Tiada lain sebabnya dari kurang Ma’rifat mereka. Memang para malaikat telah mengetahui bahawa Adam ini akan menjadi Khalifah Allah s.w.t di dunia kelak. Sudah tentu mereka berasa hairan, mengapa orang yang akan menjadi Khalifah Allah s.w.t demikian asal kejadiannya. Sedangkan bangsa malaikat asal kejadian mereka adalah dari cahaya (Nur).


Demikian pula roh, ketika ia diperintahkan agar masuk ke dalam tubuh adam, ia pun merasa enggan, Segan dan malas untuk masuk ke tubuh Adam yang masih merupakan patung yang kian mengeras seperti batu. Roh itu bukan memasuki tubuh Adam, tetapi ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar di situ di kelilingi malaikat yang menyaksikan seperti malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail dan lain-lain malaikat lagi. Kemudian Allah s.w.t menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk ke dalam tubuh Adam. Akhirnya mahu tidak mahu roh tersebut menyerah kepada malaikat Izrail. Ia dimasukkan ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa selama 200 tahun. Demikianlah Allah s.w.t memberi kekuatan kepada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Dahulu malaikat Izrail ditugaskan untuk mengambil tanah untuk adam, dan kini dia pula ditugaskan untuk mencabut nyawa umat manusia. Pekara ini telah kita sama-sama bincangkan dalam posting saya yang lalu.


Setelah ia meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya, seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirikkan ke kiri dan ke kanan. Dan juga melihat ke bawah di mana sebahagian daripada badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu telinga Adam telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih memuji kebesaran Allah s.w.t, dengan bermacam-macam ucapan kalimah tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan.


Kemudian ketika roh sampai ke hidungnya, lalu ia bersin serta mulutnya terbuka. Ketika itu Allah mengajarkan mengucap “Alhamdulillah”. Itulah ucapan Adam pertama kali ke hadrat Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t berkata “Yarkhamukallah” yang bererti “Semoga engkau diberi rahmat Allah”. Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucapkan : “Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan : “Yarkhamukallah.” Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana dengan firman Allah s.w.t dalam Al-Quran yang bermaksud :

Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” (Surah Al-Israa’ – Ayat 11).


Maka roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki, lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian bagus dan halus. Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam.


Menurut riwayat ketika Adam masih berada di Syurga sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti kulit kita sekarang ini. Kerana setelah Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan untuk kita semua, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Hal ini kita boleh sama-sama melihatnya walaupun orang tersebut berkulit hitam, tetapi warna kukunya adalah sama iaitu putih kemerah-merahan.Cuba kita semua perhatikan kuku-kuku kita, ia amat berbeza berbanding dengan warna yang terdapat pada kulit jari kita.WaAllahua’lam.


Suatu keterangan bahawa Nabi Adam a.s dikenali dengan gelaran ‘Abul-Basyar’ (Bapa segala manusia) dan Muhammad s.a.w pula dengan gelaran ‘Abul Ruh’ atau ‘Abul Arwah’ (Bapa segala roh). Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah merupakan jenis makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Mereka sama sekali tidak menyangka bahawa makhluk yang asalnya dari tanah kini kelihatan indah dan menawan.


Kemudian Adam dipakaikan dengan pakaian kebesaran dari syurga dengan mahkota yang bertatah intan berlian yang menambahkan lagi keagungannya sebagai seorang raja atau khalifah. Setelah itu Adam duduk di atas kerusi keemasan yang bertatah permata sambil dikelilingi oleh para malaikat. Kemudian setelah Adam duduk di atas kerusi itu, lalu dia diusung oleh empat orang malaikat serta diiringi oleh ribuan malaikat untuk diperkenalkan kepada penghuni di langit yang pertama sehingga ke langit yang ke tujuh sampailah ke syurga.


Menurut riwayat mengatakan Adam diarak oleh malaikat selama lebih kurang 100 tahun. Setelah itu barulah Adam dibawa ke syurga iaitu tempat Adam mula-mula dijadikan. Kemudian datanglah Jibril membawa seekor kuda dari syurga yang berwarna hijau muda serta bersayap. Baunya sangat harum serta dapat berkata-kata seperti manusia. Di belakang kuda itu terdapat tempat duduk yang selesa. Jibril memegang tali pemacu, Mikail duduk di sebelah kanan Adam manakala Israfil pula duduk di sebelah kiri beliau. Diceritakan di mana saja Adam pergi, dia selalu mengucapkan “Assalamualaikum” yang mana ia dijawab oleh setiap para malaikat dengan perkataan “Waa’alaikumsalam”. Maka dengan itu ia menjadi ikutan untuk setiap manusia yang beragama Islam untuk memberi dan menjawab salam. Ini salah satu rentetan kisah Aqidah yang perlu kita sematkan dalam diri dan keluarga kita tentang kejadian Adam sejak dari mulanya Allah s.w.t menciptakannya. Pekara inilah yang perlu kita ceritakan kepada anak-anak dan generasi kita, agar mereka kelak akan lebih mengetahui tentang kebesaran Allah s.w.t terhadap makhluk-Nya. Janganlah kita terlalu bakhil terhadap wang dan kemewahan kita, sehinggakan kita sanggup tidak memberikan perhatian langsung tentang buku-buku atau kitab-kitab yang berkenaan dengan Islam. Pekara inilah yang amat-amat dibimbangi kita. InsyaAllah untuk di posting yang akan datang, saya akan muatkan lagi artikel saya berkenaan dengan malaikat dengan lebih mendalam untuk kita sama-sama kongsikan.WaAllahua’lam.


Monday 21 December 2009

Para Malaikat Ditugaskan Untuk Mengambil Tanah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim,Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Tempohari saya ingin memuatkan posting saya berkenaan dengan malaikat, tetapi terbantut seketika atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat saya elakkan, InsyaAllah dengan masa dan kelapangan yang ada ketika ini saya akan lanjutkan lagi tentang apa yang dikatakan dengan “Beriman Kepada Malaikat” mengikut keizinan-Nya.


Pada suatu ketika Allah s.w.t menitahkan kepada malaikat Jibrail supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah yang akan dijadikan bahan untuk menciptakan Adam. Nanti saya akan senarai jenis-jenis tanah yang telah diambil oleh malaikat untuk menciptakan Adam di akhir perenggan nanti. Setelah malaikat Jibrail sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, hingga bumi bersumpah, demi Allah ia tidak rela sebahagian tanahnya akan dijadikan Adam, kerana ia terlalu khuatir kelak cucu Adam menjadikan bumi ini tempat engkar terhadap Allah s.w.t. Lalu Jibrail kembali ke hadrat Allah s.w.t. kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikat Mikail turun ke bumi dengan maksud yang sama, namun setelah mendengar perkataan bumi, seperti apa yang dikatakan kepada Jibrail, Mikailpun tidak dapat berbuat apa-apa, dan kembali ke Allah dengan tangan yang hampa. Kemudian Allah s.w.t menyuruh pula Israfil turun ke bumi untuk mengambil tanah, tetapi malaikat Israfil turut tidak terdaya mendengar sumpah bumi. Ia kembali ke hadrat Allah s.w.t dengan tangan yang hampa juga.


Lalu Allah s.w.t menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi untuk mengambil tanah. Kata Allah s.w.t :


“Hai Izrail turunlah ke bumi untuk mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas nama-Ku.”

Begitulah setelah Izrail tiba di atas bumi tidak dapat berkata apa-apa kecuali membiarkan Izrail mengambil tanahnya dengan tidak berbuat apa-apa. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah dia ke hadrat Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :

“Ya Izrail, pertama engkau yang-Ku suruh dan tugaskan untuk mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak engkau pula yang Aku tugaskan untuk mencabut roh-roh manusia.”


Lalu Izrail berkata :

“Jika demikian, hamba khuatir yang hamba ini jadi dibenci oleh anak Adam kerana pekerjaan hamba ini.”


Firman Allah s.w.t :

“Tidak, mereka tidak akan memusuhi engkau, Aku yang mengaturkannya, lalu Aku jadikan sebab-sebab untuk mendatangkan kematian untuk mereka kelak.”


Mengikut para ulama’ bahawa tanah-tanah tersebut adalah datangnya dari beberapa tempat yang berada di bumi ini, sebagai contohnya :


1) Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis.

2) Tanah Bukit Tursina.

3) Tanah Iraq.

4) Tanah Aden.

5) Tanah Al-Kautsar.

6) Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah.

7) Tanah Paris.

8) Tanah Khurasan.

9) Tanah Babylon.

10) Tanah India.

11) Tanah Syurga.

12) Tanah Tha’if.


Mengikut Ibnu Abbas r.a:


1)Kepala Adam dari tanah Baitul Muqaddis, kerana di situlah terletaknya otak manusia, dan di situ juga tempat beradanya akal.


2)Telinganya pula berasal dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat mendengar dan tempat menerima nasihat.


3)Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah s.w.t.


4)Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.


5)Mata dari tanah telaga Al-Kautsar tempat untuk menarik perhatian.


6)Giginya dari tanah Al-Kautsar.


7)Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan membantu manusia.


8)Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.


9)Perutnya dari tanah Khurasan, tempat lapar dan dahaga.


10)kemaluannya dari tanah Babylon. Di situ tempat seks dan tipudaya syaitan untuk menyesatkan manusia.


11)Tulang dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.


12)Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan berjalan.


13)Hatinya dari tanah Syurga Firdaus, kerana di situ tempat Iman, Ilmu, Keyakinan, kemahuan dan sebagainya.


14)Lidahnya pula dari tanah Tha’if tempat mengucap Syahadah, zikrullah, dan berdoa.


Ini adalah gambaran tentang bagaimana Allah s.w.t menciptakan Adam a.s yang pada asalnya adalah dari tanah.InsyaAllah, nanti saya akan lanjutkan lagi berkenaan dengan kemasukkan roh ke dalam tubuh Adam a.s, di posting saya yang akan datang mengikut keizinan dan keredhaan dari-Nya.WaAllahu a’lam.


You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails