Saturday 28 August 2010

Hikmah Kejadian Roh Dan Jasad.








Hikmah Kejadian Roh Dan Jasad.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.








BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam yang hadir di sini. Sedemikian dengan itu juga, artikel ini adalah posting saya yang terakhir berkenaan dengan tajuk "Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT" yang telah kita sama-sama bincang serta kongsikan sebelum ini dengan panjang lebar. Diharapkan dengan itu juga, semoga dengan apa yang telah dikongsikan ini akan membuka ruang minda kita untuk mengetahui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT terhadap makhluk-Nya. InsyaAllah.



Apabila saya rujuk dalam kitab “Syarah Muslim” hasil karangan Imam Nawawi r.h (seorang tokoh perundangan dalam Islam), beliau menyatakan dalam kitabnya bahawa pekara sebenar yang disepakati sama ada oleh Ulama’ Fiqh (Fuqaha), Ulama’ ahli Hadith (Muhaddithin) dan Ulama’ ilmu Kalam atau ilmu Tauhid (Mutakallimin), di dapati bahawa Nabi Muhammad SAW telah diisrak dan dimikrajkan Allah SWT dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al-Imam Ibnu Hajar r.h mempunyai pendapat yang sama dalam mentafsirkan pekara tersebut.



Menurutnya lagi (Imam Nawawi r.h), tiada alasan untuk menolak hakikat Israk dan Mikraj Nabi SAW dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Israk dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi SAW sendiri. Sebaliknya Nabi SAW menghebahkan kepada orang ramai bahawa Baginda SAW telah diisrak dan dimikrajkan oleh Allah SWT bersama malaikat Jibril a.s. Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT bernama ‘Buraq’, iaitu kenderaan yang dicipta daripada cahaya (Nur). Buruq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW dalam peristiwa bersejarah diisrak dan dimikrajkan ke langit Allah SWT. Ini bermakna bahawa Israk Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi SAW untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah SWT berlaku ke atas diri Nabi SAW dengan dibantu oleh malaikat Jibril a.s.



Firman Allah SWT :


Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa’ – Ayat 1).



Jika kita perhatikan pada ayat di atas, Allah SWT menjelaskan tentang peristiwa Israk memulakan dengan kalimah ‘Subhana’ iaitu yang bermaksud ‘Maha Suci Allah’ . Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu pekara luar biasa (ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah SWT Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua pekara pelik menjadi pekara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.



Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar Nabi SAW bermimpi pergi ke Baitul Maqdis dan juga mimpi naik ke langit, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersendakan Nabi SAW, kerana mimpi adalah pekara biasa bagi semua orang. Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang boleh bermimpi naik ke langit, bahkan orang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi serupa itu juga.



Apabila kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha bermati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku kepada roh dan jasad Nabi Muhammad SAW ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa Nabi SAW diisrak dan dimikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Bukannya bermimpi pergi ke langit, kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa kerana mimpi bukan isu yang patut dipertikaikan dan dibawa sebagai ijmak (hujah).



Sekiranya Nabi Muhammad SAW itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja, maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar Nabi SAW untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menerangkan rupa bentuk masjid Al-Aqsa serta jumlah pintu, tiang dan pekara-pekara yang berkaitan dengan masjid tersebut. Jika hanya dengan bermimpi, tidak mungkin Nabi SAW mampu menjawab semua soalan kaum musyrikin yang menghendaki Nabi Muhammad SAW menjawab dengan lengkap keadaan rupa bentuk masjid Al-Aqsa tersebut.

Pertanyaan kaum musyrikin mengenai keadaan rupa bentuk masjid Al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap, kerana mereka yakin seratus peratus bahawa Nabi SAW tidak pernah menjejakkan kaki ke Baitul Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah terjawab dengan betul, maka kaum musyrikin menjadi panik dan kebingungan. Mereka tahu bahawa Muhammad SAW sebelum peristiwa yang menggemparkan itu, sememangnya tidak pernah pergi ke Baitul Maqdis, tetapi mereka hairan bagaimana Nabi SAW boleh menjawab semua pertanyaan berhubung dengan masjid Al-Aqsa itu. Mereka telah hilang punca, kecuali mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi SAW adalah seorang ahli sihir, bagi mereka hanya ahli sihir sahaja yang boleh berbuat demikian. Naa’uuzubillah.



Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi SAW tentang rupa bentuk masjid Al-Aqsa, kerana Nabi SAW sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril a.s untuk menunaikan solat dua rakaat. Setelah selesai solat, Nabi SAW telah dihidangkan dengan dua bejana yang mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu, Nabi SAW mengambil bejana yang mengandungi susu, dan tindakan Nabi SAW memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril a.s kerana menepati fitrah manusia. Sesi minuman itu dalam masa yang singkat, selepas itu Nabi SAW naik ke langit bersama Jibril a.s dengan kenderaan Buruq.



Maka tidak terfikir oleh Nabi SAW untuk melihat persekitaran masjid Al-Aqsa, jauh sekali hendak mengingatkan jumlah pintu dan jumlah tiang serta lain-lain pekara yang berhubung masjid Al-aqsa. Bagaimanapun Allah SWT tidak membiarkan Nabi SAW dan Rasul-Nya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba ingin mamalukannya. Ketika Nabi SAW agak termangu dengan pertanyaan puak musyrikin, Allah SWT datangkan Masjid Al-Aqsa ke hadapan Nabi SAW yang sedang berdiri pada Hijir Ismail. Justeru itu Nabi SAW dapat melihat Masjid Al-Aqsa dengan jelas, sehingga begitu mudah Nabi SAW menjawab semua pertanyaan puak musyrikin dengan tepat.




Saudara-Saudari yang dirahmati Allah SWT




Kejadian Israk Mikraj yang berlaku kepada Nabi SAW sememangnya suatu peristiwa yang sukar untuk difahami oleh akal dan fikiran manusia seperti kita. Persoalannya bagaimana Nabi SAW naik ke langit dengan kenderaan Buruq yang terdedah kepada persekitaran angkasa lepas, ia boleh membahayakan fizikal manusia biasa. Nabi SAW menempuhnya tanpa sebarang persiapan untuk maksud tersebut, sebaliknya Nabi SAW diarah oleh Allah SWT secara mendadak untuk misi Israk dan Mikraj ke langit yang ditemani oleh malaikat Jibril a.s.

Bayangkanlah, ketika manusia mencipta kapal terbang untuk pengangkutan udara, mereka terpaksa mengkaji bertahun-tahun untuk membolehkan manusia berada di dalam pesawat udara pada kadar ketinggian tertentu dan masa yang agak lama. Bukan sahaja keselamatan pesawat tetapi juga keselamatan penumpang-penumpangnya yang menjadi taruhan. Tetapi Nabi SAW ke langit yang tertinggi iaitu ke ‘Sadratul Muntaha’ dengan tidak ada kawalan fizikal, sesuatu tempat yang malaikat Jiril a.s pun tidak boleh sampai padanya. SubhanAllah!



Begitulah serba sedikit yang hendak saya kongsikan di sini, untuk memperlihatkan kepada kita bahawa kejadian roh dan jasad itu sebenarnya merupakan satu nikmat dari Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Ini bererti bahawa roh serta jasad itu adalah satu elemen penting untuk menjadikan makhluk-Nya menjalankan segala aktiviti di muka bumi ini. Pekara ini juga sebenarnya telah kita sama-sama kongsikan dalam artikel saya yang lalu iaitu “Hati itu…Bahagian 1 dan bahagian 2”.



Oleh yang demikian, sebagaimana yang telah kita semua ketahui, Allah SWT mengurniakan roh dan jasad kepada kita adalah untuk menjadikan kita agar mengabdikan diri terhadap-Nya. Kita dilahirkan ke dunia ini bukanlah untuk mengingkari segala perintah dan larangan-Nya, tetapi sebaliknya adalah untuk taat dan patuh segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Lihatlah peristiwa Israk dan Mikraj ini dari sudut yang jauh, betapa hebatnya roh dan jasad Nabi SAW sehingga sampainya ke Sairatul Muntaha yang tidak sedikitpun para malaikat sampai ke sana.



Namun dekad kini, satu situasi pincang sering berlaku di negara kita, atas sebab sakitnya roh dan jasad seseorang itu terhadap dirinya sendiri, sehingga sanggup melakukan pekara-pekara yang di luar batasan akal fikiran manusia. Kalaulah kita tidak merawat roh dan jasad kita sejak dari awal lagi, maka tidak mungkin akan berlakunya pekara-pekara yang di luar kawalan kita. Lihat sahaja ketika ini, kelihatan begitu banyak roh dan jasad-jasad manusia yang melanggari perintah Allah SWT dengan melakukan pelbagai dosa-dosa besar. Ketahuilah bahawa, saban hari roh kita merintih, menangis dan menagih kepada jasad kita agar tidak melakukan pekara-pekara yang dilarang oleh Allah SWT.




Adakah kita semua sedar akan hakikat ini?




Jika kita semua amati dan renungi tentang peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW, di dapati bahawa sebenarnya kita juga diisrakkan oleh Allah SWT iaitu dengan melalui SOLAT. Ya! solat itulah telah mengisrakkan diri kita. Solat itu juga adalah pembersih rohaniah dari sifat-sifat keji. Maka tidak hairanlah jika orang-orang yang tidak diisrakkan (bersolat) oleh dirinya sendiri adalah merupakan orang-orang yang ingkar dan sering melakukan pekara-pekara kemaksiatan. Ketahulah kita semua, bahawa roh solat kita itu sebenarnya akan sampai kepada Allah SWT menembusi langit-Nya dengan dua pekara. Pekara yang pertama adalah, jika solat seseorang itu bersih (khusyuk) serta ikhlas kepada Allah SWT, maka roh solat tersebut sebenarnya sampai kepada Allah SWT dan sebaliknya roh solat itu akan memberi barakah kepada sidia yang melakukan solatnya dengan taat dan benar-benar ikhlas. Manakala pekara yang kedua adalah, jika roh solat tersebut dilakukan oleh mereka-mereka yang lalai ketika solat (tidak ikhlas) maka roh solat itu sebenarnya tidak mencecah ke langit Allah SWT, malah ia kelihatan hitam serta yang lebih mengaibkan lagi, roh solat tersebut dicampakkan semua kepada diri kita (sesetengah ulama’ berpendapat dicampakkan pada bahagian tengkuk). Begitulah betapa aibnya seseorang itu yang telah meninggalkan solatnya dengan sengaja.




Adakah kita juga sedar akan hakikat ini?




Oleh yang demikian, saya berpesan pada diri saya dan anda yang berada di luar sana, agar kembalilah dengan sebenar-benar Takwa dan Iman kepada Allah SWT. Bersolatlah kita semua mengikuti segala suruhan-Nya. Peringatkanlah kepada generasi kita agar menjaga ibadah solat dengan sebenar-benarnya, agar mereka tidak lalai dan leka dengan kemewahan dan memahsyuran duniawi yang merencami. Ingatlah kita semua, berapa banyak yang telah Allah SWT azabkan ketika di dunia ini bagi mereka-mereka yang ingkar, lihat sahaja apa yang terjadi pada Firaun, Qarun, Hamman, Abu Lahab, Abu Jahal, Abdullah Bin Ubay, Kaum Nabi Nuh a.s, Kaum Nabi Syuib a.s, Kaum Nabi Musa a.s, kaum Nabi Luth a.s dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang ingkar serta kuffur terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Janganlah kita melihat situasi geografi negara kita yang dilindungi dengan banjaran negara jiran (Indonesia) yang menyebabkan kita menyatakan bahawa negara kita tidak akan ditimpa dengan pelbagai malapetaka. Allah SWT Maha Berkuasa lagi Maha Agung. Allah SWT berkuasa berbuat apa sahaja mengikut kehendak-Nya. Kita sebenarnya telah ‘dilontarkan’ (pelajari sifat-sifat Allah SWT) oleh Allah SWT di atas perbuatan dosa-dosa kita dengan ‘balingan batu-batu yang kecil’, tetapi jika kita masih ingkar dan masih melakukan pekara-pekara kemaksiatan tanpa memikirkan akibatnya serta mengetepikan syariat-Nya, maka tidak mustahil bagi Allah SWT untuk menurunkan sesuatu yang kita semua tidak jangkakan akan berlaku. Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap negara-negara yang berdekatan dengan negara kita. Sebagai contohnya apa yang telah terjadi dan berlaku pada Aceh, Turki, Pakistan, India, dan segelintir negara-negara Islam. Ketahuilah kita semua, bahawa sebenarnya masyarakat kita (minoriti) dekad kini telah mengalami satu situasi pincang yang berkaitan dengan ketenatan roh dan jasad yang sangat-sangat kronik dan tenat. Tak percaya! Lihat sahaja kes-kes yang melibatkan akhlak dan aqidah generasi kini, keadaannya sungguh tenat dan sungguh memalukan. Itu tidak termasuk golongan atasannya, yang sangat-sangat memilu dan memualkan untuk saya bicara serta kongsikan di sini. Maka dengan itu ambillah pendekatan baru untuk menjadikan Al-quran itu santapan rohaniah kita agar roh serta jasad kita akan terus bersih. Junjunglah Al-quran itu dengan sebenar-benarnya. Perhiasilah roh dan jasad kita dengan Kitabullah. InsyaAllah. Allah SWT akan bersama-sama mereka benar-benar ikhlas dalam memperjuangkannya. WaAllahua’lam. Takbir!!! AllahuAkbar!!!.



No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails