Wednesday 24 March 2010

Haji Wida' - Satu Amanat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera, Salam Ukhuwah, Salam Harmoni buat semua yang dirahmati Allah SWT.



Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya, kita hidupkan, diberi hidayah dan diberi rahmat dari-Nya. Tanpa rahmatnya, mana mungkin kita akan di sini, tanpa keizinan-Nya mana mungkin kita dipertemukan di arena siber ini. Dari sekecil-kecil dan sebesar-besar rahmat-Nya itu, adalah petanda bahawa Allah SWT Ya Rahman, Ya Rahim. Kita sebagai makhluk ciptaan-Nya, perlulah senantiasa bersyukur ke atas nikmat dan hidayah dari-Nya bagi memperlihatkan keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya serta mengakui bahawa kita ini adalah sebenar-benar hamba-Nya. Sebagai seorang hamba, maka wajiblah kita mematuhi segala suruhan dan larangan dari-Nya, agar diri kita tergolong di dalam golongan yang berjaya di sisi Allah SWT. InsyaAllah.




Telah diriwayatkan bahawa walaupun pada akhir tahun ke 9 Hijrah ajaran Islam telah selesai tersebar ke seluruh Jazirah Arab, akan tetapi masih ada orang-orang yang belum beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Di mana masih juga terdapat orang-orang kafir yang berpegang teguh kepada adat jahiliyah mereka. Dalam bulan-bulan suci mereka masih menziarahi ke Kaabah, sedang mereka adalah orang-orang yang kafir dan kotor lahiriah mereka. Oleh sebab itu, Nabi SAW tidak mahu mengerjakan haji ketika itu. Baginda SAW tetap tinggal di Madinah sampai Allah SWT mengizinkan Beliau pergi berhaji ke Baitullah.



Kemudian disuruhlah Sayidina Abu Bakar r.a memimpin seramai 300 orang Muslimin yang hendak melakukan ibadah haji. Setelah Sayidina Abu Bakar r.a berangkat, Nabi SAW lalu mengutuskan Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a agar menyusul Abu Bakar r.a. Selanjutnya Ali r.a berkhutbah kepada khalayak ramai waktu musim haji di Arafah untuk menyampaikan bahawa orang-orang musyrik itu tidak boleh mendekati rumah suci yang sudah dibersihkan dari segala kehidupan syirik dan kuffur terhadap Allah SWT.



Pada bulan Zulka’edah tahun ke 10 Hijrah, Nabi SAW berangkat mengerjakan ibadah haji yang terakhir (Haji Wida’) bersama-sama dengan 114,000 orang jemaah dari seluruh pelusuk tanah Jazirah Arab. Mereka berangkat dengan penuh kegembiraan dan keikhlasan, menuju ke Baitullah yang suci. Mereka hendak menunaikan kewajiban ibadah haji yang besar. Ibadah haji yang terakhir diikuti oleh Nabi SAW inilah yang dalam sejarah dikenali sebagai “HAJI WIDA’”.



Ketika mereka sampai di Zul Hulaifah, mereka mendirikan khemah dan bermalam di sana. Keesokan harinya Nabi SAW berserta kaum Muslimin mengenakan pakaian ihram. Dengan pakaian ini seluruh manusia menghadap Allah SWT dalam keadaan yang sama.



Pada hari ke 4, ZulHijjah, Nabi SAW bersama kaum Muslimin memasuki kota Mekah. Segera setelah sampai di Mekah, Baginda SAW segera pula menuju Kaabah kemudian Baginda SAW menyentuh Hajar Aswad dan menciumnya, lalu bertawaf sebanyak 7 kali. Selanjutnya Nabi SAW bersembahyang di Maqam Ibrahim, setelah itu Nabi SAW melakukan Sa’I antara Shafa dan Marwa sebanyak 7 kali. Setelah itu semuanya selesai, Nabi SAW berseru kepada seluruh kaum Muslimin supaya yang tidak membawa ternak korban, mencukur kepala mereka dan untuk sementara mereka diminta untuk melepaskan pakaian ihramnya.




Pada hari ke 8 Zulhijjah (Hari Tarwiyah), Nabi SAW meninggalkan kota Mekah menuju ke Mina dan bermalam di sana. Setelah solat subuh berjamaah, Nabi SAW beserta kaum Muslimin menuju ke Arafah. Ketika sampai di perut Wadi di bilangan ‘Urana, Nabi SAW berpidato dan berkhutbah di atas unta kesayangannya. Telah diriwayatkan bahawa petikan khutbah Nabi SAW tersebut adalah berbunyi begini :



“Wahai umatku!. Dengarlah perkataan ini, kerana aku tidak tahu apakah aku akan bertemu lagi dengan kalian.”



“Saudara-saudara!. Tahukah kamu, hari apakah ini? Ini adalah yang Nahar, hari korban yang suci. Tahukah kamu, bulan apakah ini? Inilah bulan suci. Tahukah kamu, tempat apakah ini? Inilah tempat yang suci. Untuk itu aku sampaikan kepadamu bahawa hidupmu, harta bendamu dan kehormatanmu satu sama lain harus suci seperti hari ini. Hendaklah kamu yang hadiri kelak akan menjumpai Tuhanmu yang akan memanggilmu untuk menerima perhitungan atas perbuatanmu. Pada hari ini wang riba Dar Abbas bin Abdul Muthalib dibebaskan, demikian juga wang riba yang lainnya. Pada hari ini pula balas dendam atas pembunuhan yang dilakukan pada zaman jahiliyah dinyatakan hapus, terutama pembunuhan atas diri Rabi’ dan Harits diampuni.”



“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Keturunan, warna kulit serta bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT adalah yang paling bertakwa.”



“Wahai umatku! Kamu mempunyai hak atas diri kamu dan isteri-isteri kamu dengan penuh kasih atas diri kamu. Perlakukanlah isteri-isteri kamu dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka atas hak Allah SWT dan halal bagi kamu atas nama Allah SWT. Dan beri makanlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau makan dan beri pakaianlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau berpakaian. Jika mereka melakukan kesalahan yang tidak dapat kamu maafkan maka ingatlah bahawa mereka semua adalah hamba-hamba Allah SWT dan bukan untuk disakiti.”



“Saudara-saudara! Sesungguhnya ada dua masaalah yang sudah jelas kutinggalkan di tangan kamu, yang jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.”



“Wahai umat manusia! Bahawa seluruh umat Islam itu bersaudara satu sama lain. Kerana kamu bersaudara maka kamu tidak boleh mengambil hak saudaramu yang tidak diberikan kepadamu kecuali dengan izin mereka.”



Setelah selesai menyampaikan khutbah tersebut, Nabi SAW bertanya kepada seluruh kaum Muslimin :



“Sudahkah aku sampaikan amanat Allah SWT kepadamu?”



Mereka serentak menjawab :



“Ya.”



Lalu Nabi SAW meneruskan kata-katanya :



“Ya Allah saksikanlah ini!”



Ada riwayat menyatakan bahawa setelah selesai Nabi SAW mengakhiri khutbahnya, tidak lama kemudian turunlah wahyu Allah SWT, yang selanjutnya dibacakan kepada mereka yang hadir di sana.



Firman Allah SWT :

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Surah Al-Maidah – Ayat 3).



Apabila mendengar ayat tersebut seketika itu Sayidina Abu Bakar r.a menangis dan bersedih, ia merasa bahawa tugas Nabi SAW telah selesai dan itulah pertanda bahawa sudah hampir dekat pula saatnya hendak menghadap Allah SWT.





Oleh yang demikian, Nabi SAW telah melalui kisah hidup yang cukup menarik yang perlu kita semua ketahui dan kongsikan bersama. Sepanjang riwayat Nabi SAW, Baginda SAW tidak pernah mengajar agar umatnya membuat kemungkaran, sebaliknya mengajak agar sekelian umatnya melakukan kebaikan dan mentauhidkan Allah SWT serta menegah kemungkaran. Setiap manusia itu tidak akan kekal, ia pasti akan pergi suatu masa kelak yang telah ditentukan oleh-Nya, tetapi adakah kita telah bersedia untuk bekalan di hari itu, persediaan apakah yang telah kita sempurnakan setakat ini?. Solat kita?, puasa kita?, Sedekah kita? , amalan kita?. Adakah ia sudah mencukupi?. Fikir-fikirkanlah saudara-saudari sekelian, ketika dan saat ini, kita sedang menuju ke alam abadi yang akan ditentukan bila ia berlaku atas ketentuan Allah SWT. Jika pekara inipun kita sering mengabaikannya, bagaimana pula hendak kita fikirkan nasib kita ‘di sana’ kelak. Saya berpesan pada diri saya dan saudara-saudari yang membaca artikel ini, agar kembalilah semula ke asas-asas Islam yang sebenar, beriman dan bertakwalah kita semua kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Allahuakbar!.



2 comments:

  1. Salam...
    Alhamdulillah...amanat inilah yang Nabi saw tinggalkan supaya umat2nya sentiasa beringat...tertarik saya dengan kata amanat ini

    "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Keturunan, warna kulit serta bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT adalah yang paling bertakwa."

    bukanlah warna kulit,paras rupa menjadi ukuran bagi setiap umat islam itu dinilai dan dibezakan tetapi orang yang sentiasa bertakwa mendambakan dirinya pada ALLAH swt itulah orang yang paling mulia...

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam, BungaLarangan.

    In The Name Of Allah.

    Terlebih dahulu ucap terima kasih saya terhadap saudari kerana di sini.

    Saya setuju dengan pandangan saudari, Amanat ini besar maknanya terhadap umat Islam. Orang-orang yang memahami dan mentaati akan amanat ini merupakan orang yang faham akan struktur kehidupannya bersama Islam. Manakala orang-orang yang ingkar akan amanat Nabi SAW ini, adalah tergolong di dalam orang-orang yang rugi. Rugi di dunia dan rugi di akhirat. Malahan rugi pula di sisi Allah SWT.

    Nabi SAW bersabda bahawa "sekelian manusia dari keturunan Adam ini adalah sama, baik laki-laki mahupun perempuan."

    Di sini kita dapati bahawa tiada yang bezanya, antara kita satu sama lain kecuali Para Anbiya'. Para Anbiya' diberikan keistimewaan dari Allah SWT terhadapnya iaitu "WAHYU"," namun kita sebagai manusia yang kerdil ini juga dikurniakan Allah SWT dengan nikmat yang istimewa iaitu "Rahmat dan Hidayah".

    Firman Allah SWT :

    "Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri” jika kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Anbiyaa' - Ayat 7)

    Oleh yang demikian tujuan asal dan batu asas pegangan kita sebagai hamba-Nya adalah sama, halatuju kita di kemuadian hari adalah sama, cuma perbezaan di antara kita adalah "keimanan dan Ketaqwaan" kita terhadap Allah SWT.

    Semoga sekelian umat Islam dilindungi dan dibawah lindungan Allah SWT. Amin

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails