Tuesday 9 March 2010

Fisabilillah - Badar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Haji Ismail, K. Selangor.


BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Setelah kian lama untuk menyiapkan, namun seringkali tertangguh, Alhamdulillah, kini akhirnya dapat jua dimuatkan bagi memenuhi hasrat hati untuk memperlihatkan bahawa Islam itu berdiri bukannya atas dasar kekerasan sepertimana yang telah difitnahkan oleh musuh-musuh Islam yang menyatakan bahawa Islam itu adalah agama kekerasan. Kekerasan yang bagaimana itu belum dapat dipastikan lagi, tetapi pada umumnya Islam itu sebenarnya mengajar agar manusia itu berbuat kebaikan dan meninggalkan kebathilan. Jika pekara inilah yang membuatkan fitnah itu melata di pelusuk muka bumi ini, maka orang yang menyebarkan fitnah tersebut sebenarnya adalah orang yang mempunyai akal dan fikiran tetapi meletakkannya terkebawah, malah lebih rendah lagi dari muka bumi ini. Pelik bukan?.





Saudara-saudariku sekelian,



Berperang itu tidak bererti keganasan, berperang itu juga tidak bererti rakus, tetapi berperang itu adalah bersifat ‘mempertahankan’ apa yang tersurat dan apa yang terselindung melalui syariat-Nya. Jika berperang itu dikaitkan dengan keganasan, kerakusan, dan kekejaman tanpa mengetahui akan hakikat sebenar peperangan tersebut, ini bererti kita adalah manusia yang hanya mengunakan akal yang statik tetapi tidak mahu berfikir. Artikel saya pada kali ini lebih berkisarkan kepada perjuangan Nabi SAW dan para Sahabat dalam kehidupan mereka mempertahankan kesucian Islam. Semoga dengan apa yang akan saya lakarkan ini sedikit sebanyak menjadi ikhtibar yang berguna kepada diri kita malahan generasi kita khasnya yang sudah malahan sering melupai akan hakikat perjuangan manusia unggul ini iaitu Nabi Muhammad SAW.



Ia bermula setelah kemarahan penduduk Mekah semakin hari semakin memuncak, disebabkan kerana mereka mengetahui bahawa agama Islam di Madinah telah mengalami kemajuan yang pesat dan berkembang dengan begitu baik dan sempurna sekali. Mereka (kafir quraisy) khuatir dan beranggapan bahawa kelak orang-orang Islam Madinah akan membalas kembali kekejaman-kekejaman yang pernah mereka lakukan terhadap orang-orang Islam sedikit masa dahulu. Malahan dari sumber yang lain pula orang-orang kafir quraisy yang ingin berdagang ke Damascus akan terhalang, ini kerana mereka akan melalui Madinah untuk sampai ke sana. Pekara ini yang membuatkan mereka menjadi-jadi untuk menyerang kota Madinah yang majoritinya adalah beragama Islam.




Di samping itu, diriwayatkan bahawa sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah, seorang tokoh yang bernama Abdullah bin Ubay (ketua Munafik) yang mempunyai pengaruh yang cukup besar telah menerima hakikat bahawa dengan kehadiran Nabi SAW itu ke Madinah telah merencatkan agendanya untuk diangkat menjadi seorang pemimpin di kota Madinah. Oleh kerana itu, timbullah perasaan dengki dan marah beliau terhadap Nabi SAW. Kemarahan itu juga turut ditujukan kepada penduduk Madinah yang telah memberi perlindungan kepada Rasulullah SAW dan pengikut-pengikutnya. Mereka menganggap bahawa penduduk Madinah sebagai pemberontak dan mereka ingin menghukum bersama Nabi Muhammad SAW.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah,



Mereka (kafir quraisy) mencari-cari kesempatan untuk melaksanakan maksud mereka itu sampai sesuatu kesempatan datang dari segolongan orang Madinah. Walaupun penduduk Madinah menerima ajaran Nabi SAW, tetapi banyak juga mereka yang meraguinya. Mereka tidak menyukai Nabi SAW dan mengadakan gerakan sulit bersama-sama penduduk kafir quraisy untuk menyingkirkan Nabi SAW dari negeri mereka. Dalam ketika itu penduduk Mekah (kafir quraisy) telah bersiap sedia untuk berperang dan menyerang orang-orang Islam dengan kekuatan yang cukup besar. Pekara ini menyebabkan kedudukan orang Islam mulai sulit dan di dalam keadaan yang bahaya. Setiap waktu orang-orang Islam di Madinah dalam ketakutan di atas apa yang akan berlaku di mana mereka khuatiri akan berlakunya serangan dari luar atau timbulnya pula pemberontakan di dalam negeri mereka sendiri.



Firman Allah SWT:

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 190 & 191).



Apabila turunnya Wahyu tersebut dari Allah SWT kepada Nabi SAW, maka Baginda SAW mula menyusun gerakan pasukan perang, mengatur strategi pertahanan dan kelengkapan, lalu Nabi SAW mengutuskan beberapa orang pengintip di dalam kota untuk mengetahui tindakan pihak musuh, kekuatan musuh dan kelengkapan pihak musuh serta pada ketika itu Baginda SAW cuba menarik kafilah-kafilah Badwi untuk berpihak kepada orang-orang Islam.



Pada bulan Rejab tahun ke 2 Hijrah, Nabi SAW mengutuskan 12 orang Muhajirin dengan diketuai oleh Abdullah bin Jahsy r.a untuk pergi ke selatan. Sepucuk surat diberikan kepadanya oleh Nabi SAW dengan perintah membukanya setelah 2 hari perjalanan. Perintah tersebut dipatuhinya. Setelah 2 hari perjalanan, sesuai dengan pesanan Nabi SAW, Abdullah bin Jahsy r.a membuka surat tersebut. Ia berbunyi:



“Kalau sudah kau baca surat ini, teruskan perjalananmu sampai Nakhlah dan awasi keadaan mereka kemudian laporkan hasilnya”



Di Nakhlah kelompok yang dipimpin oleh Abdullah bin Jahsy r.a menemui kafilah dagang kafir quraisy yang dipimpin oleh Amr bin Hazrami, mereka sedang menuju ke Mekah. Kelompok ini teringat akan perlakuan kaum kafir quraisy dahulu dan harta benda mereka telah dirampas. Ketika itu juga, Abdullah bin Jahsy serta pengikutnya telah menyerang kafilah dagang kaum quraisy di Nakhlah berhampiran dengan kota Mekah dan di Sklimish. Mereka telah membunuh Amr bin Hazrami, maka dengan peristiwa pembunuhan itu telah membangkitkan lagi semangat kaum kafir quraisy untuk menyerang kembali serta membalas dendam terhadap kaum Muslimin.



Saudara-saudari yang dikasihi-Nya



Nabi SAW telah mengetahui bahawa kafilah kafir quraisy yang amat besar terdiri daripada 1000 ekor unta dengan segala muatannya, sedang dalam perjalanan dari Syiria menuju ke Mekah. Untuk mengurangi kekuatan musuh yang telah siap itu, Nabi SAW memerintahkan untuk menyekat kafilah itu dan merampasnya untuk dijadikan kekuatan perang. Tindakan Nabi SAW itu telah dapat diketahui oleh Abu Sufyan, di mana ia telah mengetuai angkatan tersebut. Lantaran dengan itu juga, Abu Sufyan segera mengirimkan utusannya ke Mekah meminta bantuan bala tentera yang ramai, di mana ketika itu juga mereka sebenarnya telah melalui satu tempat yang di namakan Badar. Maka bermulalah era perang yang dinamakan ‘Perang Badar’.



Perang Badar adalah peperangan yang paling hebat dan termahsyur dikalangan orang-orang Islam ketika itu. Pada dasarnya peperangan ini adalah merupakan peperangan yang berat sebelah dan tidak seimbang kuantiti bilangan pihak Islam dan pihak musuh. Telah di riwayatkan bahawa tentera Islam dianggotai oleh 313 orang fisabilillah, 3 ekor kuda, 70 ekor unta, 6 atau 9 batang lembing dan 8 bilah pedang. Manakala pihak kafir quraisy pula di ketuai oleh Abu Jahal dan Abu Sufyan dianggotai seramai 1000 orang, 700 ekor unta, 100 ekor kuda dan mempunyai kelengkapan senjata yang lengkap. Pihak kafir quraisy begitu yakin dengan peperangan ini, sehinggakan mereka telah membawa alat-alat muzik dan penyanyi wanita untuk menyambut kemenangan yang akan dijangkakan itu.



Saudara-saudari yang dirahmati-Nya,



Pada pagi jumaat 17 Ramadhan tahun ke 2 hijrah pihak tentera Islam dan kafir quraisy ke medan perang. Saat ini Nabi SAW sendiri memimpin kaum Muslimin, mengatur barisan dan kelengkapan perang. Tetapi apabila melihat kelengkapan musuh dengan bilangan yang begitu besar sekali, Nabi SAW kembali ke khemahnya dengan ditemani oleh Abu Bakar r.a. Ketika itu juga Nabi SAW sangat cemas, lalu Baginda SAW telah berdoa kepada Allah SWT:



“Wahai Allah! Hamba-hamba-Mu ini berjalan kaki, Kau dan hanya Dikau sahaja yang boleh menyediakan kepada mereka binatang-binatang untuk tunggangan mereka. Mereka bertelanjang, Kau dan Dikau sahaja yang dapat memberikan mereka pakaian. Mereka miskin, Kau dan Dikau sahaja yang boleh memelihara mereka.”



Lalu firman Allah SWT:

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anfal – Ayat 65 & 66).



Oleh yang demikian, Nabi mula bermusyawarah dengan para Sahabat Baginda SAW, Abu Bakar r.a dan Umar Al-Khatab r.a menasihatkan agar pertempuran mesti diteruskan. Begitu pula Miqdad bin Amr dari puak Muhajirin. Ia berkata kepada Rasulullah SAW: “Teruskan apa yang telah diperintahkan Allah kepada engkau (Rasulullah)”



Sudah menjadi kebiasaan bangsa Arab, bahawa sebelum tercetusnya sesuatu peperangan itu, mereka mestilah melalui proses pertandingan satu lawan satu untuk memperlihatkan kekuatan masing-masing. Maka ketika itu Rasulullah SAW telah menyuruh agar Hamzah bin Abdul Muthalib, Ali bin Abu Thalib dan Ubaidah bin Hariths untuk beradu kekuatan bagi menentang 3 lagi dari pihak kafir quraisy. Hamzah tidak lagi memberikan kesempatan kepada Syaibah, juga Ali juga tidak memberi kesempatan kepada Walid, mereka itu telah ditewaskan dengan mudah. Lalu Hamzah dan Ali terus sahaja menerkam Utbah yang ketika itu sedang menentang Ubaidah, sehingga ketiga-tiga perajurit musuh itu seluruhnya dapat ditewaskan.



Apabila selesainya pertandingan itu, dilanjutkan dengan peperangan yang sebenarnya antara kedua-dua pihak. Dalam peperangan itu pihak quraisy telah ramai yang tercedera dan tewas. Manakala Abu Jahal sendiri tewas ditangan pemuda Anshar. Apa yang menariknya dalam peperangan ini adalah tewasnya musuh utama iaitu Abu Jahal kepada ‘seorang pemuda’ yang gagah berani dari kaum Anshar di medan tempur. Cerita ini telah menjadi buah mulut kita sehingga ke saat kini, di mana ketika itu Abdul Rahman bin Auf r.a iaitu seorang sahabat Nabi SAW yang unggul telah meriwayatkan bahawa :



“Di dalam peperangan badar sewaktu aku berada di barisan pertempuran, aku ternampak dua orang pemuda Anshar di mana seorang darinya berada di sebelahku. Aku berfikir bahawa keadaanku ini begitu baik kerana berada di antara mereka yang lebih kuat dan dapat menolongku di masa kegentingan. Tiba-tiba, seorang dari pemuda itu memegang tanganku lalu berkata: “Adakah Pakcik tahu di mana Abu Jahal berada?. Aku telah mengetahui bahawa sibedebah (Abu Jahal) itu telah mencaci Rasulullah SAW. Dengan Nama Allah yang memegang nyawaku di dalam tangan-Nya, jika aku ternampak Abu Jahal olehku, tidak akan aku membiarkannya pastiku bunuhnya walaupun aku sendiri terbunuh.” Kata-katanya yang begitu memberangsangkan itu membuatkan aku tercenggang. Kemudian pemuda yang seorang lagi pula datang bertanya denganku dengan menyatakan keazaman yang sama untuk tujuan tersebut. Secara kebetulan aku terlihat Abu jahal sedang mengelilingi medan pertempuran dengan menunggang kuda, lantas aku berkata kepada kedua pemuda itu: “Di sana, berada orang yang kamu kehendaki (Abu Jahal) itu!” Mereka segera mengejar ke arah Abu Jahal dan menyerangnya dengan senjata mereka sehingga kelihatan olehku Abu Jahal jatuh dari tungangan kudanya.” Pemuda-pemuda Anshar yang diriwayatkan itu adalah Maaz bin Amar bin Jamooh dan Maaz bin Afra. Maaz bin Amar bin jamooh berkata : “Aku telah mendengar orang-orang berkata: “Tiada siapapun yang dapat membunuh Abu Jahal kerana ia dikawal rapi.” Ketika itu juga aku mencalonkan diriku untuk menghapuskannya.” Setelah Abu Jahal tersembam ke bumi akibat dari serangan tersebut, serta ia tidak dapat bergerak lagi, lalu pemuda tersebut iaitu Mewaz bin Afra iaitu abang kepada Ma’az bin Afra pula mencederakannya agar ia tidak dapat menyelamatkan dirinya menuju ke kubunya. Akhirnya Abdullah bin masuud menyerangnya (Abu Jahal) dengan memisahkan kepala Abu Jahal dari tubuh badannya. Ma’az bin Amar bin Jamooh berkata: “Ketika aku mencederakan Abu Jahal dengan pedangku, anak lelakinya iaitu Ikhramah berada bersamanya. Beliau telah menyerangku di atas bahu kulitku. Aku meletakkan lenganku ke atas bahu dan meneruskan perjuangan dengan sebelah tangan sahaja. Tetapi apabila aku dapati tanganku yang cedera itu kaku, aku meletakkannya di bawah kakiku dan menariknya lalu berpisahlah ia dari badanku.”



Saudara dan saudari yang dikasihi dan dirahmati Allah,



Jumlah yang tewas dari pihak musuh sebanyak 70 orang sedangkan dari pihak Islam yang gugur sebagai syuhada berjumlah 12 orang. Pasukan quraisy pun akhirnya berundur setelah megetahui banyak tenteranya mereka yang tewas di tangan tentera Islam. Namun demikian pihak Muslim telah berhasil mengejar mereka dan menangkap sebanyak 70 orang musuh sebagai tawanan perang. Kemenangan di medan badar oleh pihak Muslimin ini sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada pihak kafir quraisy, yahudi dan badwi sehingga mereka tertanya-tanya dalam hati, bagaimanakah kaum Muslimin yang hanya sepertiga jumlah pasukan quraisy dapat mengalahkan malahan dapat menawan sebilangan tentera-tentera mereka.



Setelah selesai di medan perang, lalu Nabi SAW telah mengusulkan bahawa tahanan perang dari kafir quraisy tersebut diperlakukan dengan baik. Lalu Umar Al-Khatab r.a berkata: “Bunuh sahaja tawanan perang ini sepertimana mereka perlakukan terhadap orang Islam suatu ketika dahulu.” Tetapi Abu Bakar r.a mengusulkan pula agar tawanan-tawanan yang kaya diwajib menebuskan dirinya masing-masing, lalu dibebaskan sedangkan yang miskin dan tidak merbahayakan orang ramai dibebaskan tanpa wang tebusan. Setelah bermusyawarah, Nabi SAW akhirnya memutuskan agar mereka dibebaskan dengan tebusan sesuai dengan kemampuannya atau kemampuan keluarganya masing-masing.



Ada riwayat menyatakan bahawa tebusan itu mencecah 400 dirham. Para tawanannya pula yang mempunyai kepandaian menulis, dapat menebus dirinya dengan kepandaiannya itu. Demikianlah juga terhadap kelompok ahli syair, yang sering menyairkan syair untuk melawan Nabi SAW, dihadapkan ke muka mahkamah yang dipimpin oleh Nabi SAW. Sekalipun mereka adalah tawanan perang yang sedang diadili, Nabi SAW tetap memperlakukannya dengan baik dan berhemah. Bahkan ada sesetengah usulan dari pihakMuslimin untuk mencabut gigi tawanan agar tidak mampu menghasut kaum Muslimin pun ditolak oleh Nabi SAW. Demikianlah perlakuan yang baik ditonjolkan oleh pihak Muslimin yang tipimpin Nabi SAW dan para Sahabat r.a terhadap tawanan perang sebagai salah satu cara untuk menyiarkan Islam pada waktu itu.



Ini adalah contoh motivasi buat kita, agar mengenal dan memperingati kembali akan peristiwa besar tersebut. Ia bukanlah satu perjuangan untuk menegakkan Islam dengan cara kekerasan, tetapi sebaliknya lebih kepada mempertahankan Islam dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam. Kalau dahulunya kita lihat bahawa pihak kafir quraisy telah mengunakan kekerasan untuk menghasut kaum Muslimin supaya meninggalkan Islam dengan cara kekerasan, tetapi pada hakikatnya Nabi SAW dan para Sahabat r.a tetap memperlakukan perbuatan yang baik terhadap kaum kafir quraisy, walaupun pada ketika dahulunya mereka itulah orang-orang yang menyeksa kaum Muslimin dengan kejam dan zalim. Islam tidak mengajar umatnya berlaku zalim terhadap orang-orang kafir, tetapi lebih kepada bermuafakat demi mentauhidkan Allah SWT.



Saudara dan Saudari yang dirahmati Allah,



Apa yang menariknya dalam perang Badar ini adalah jumlah tentera Islam itu sedikit jika hendak dibandingkan dengan jumlah tentera kaum kafir quraisy yang besar bilangannya, diikuti dengan peralatan dan kelengakapan perangnya yang memuaskan berbanding dengan kelengkapan kaum Muslimin yang serba kekurangan kelengkapannya. Tetapi itu semua bukan sebagai ukuran untuk mencapai kemenangan, semangat Jihad demi Islam dan Rasul tercinta itu membuatkan hati dan jiwa mereka berkobar-kobar. Lebih mulianya lagi ia berlaku ketika dibulan Ramadhan. Iaitu ketika umat Islam sedang berpuasa. Kekuatan bagi kaum Muslimin itu juga diterajui oleh belia-belia pemangkinnya yang utuh iman dan taqwanya. Sebagai contoh, orang yang telah membunuh Abu Jahal itu adalah datangnya dari seorang pemuda yang tinggi semangatnya untuk menegakkan sinar Islam. Semangat untuk memperlihatkan keberaniannya itu berbaloi sehingga Abu Jahal terbunuh di medan perang, walaupun pada ketika itu tubuhnya dipenuhi dengan kesan tusukan pedang musuh.



Ini adalah motivasi buat kita, berjuang demi Islam yang Ad-Deen, tetapi malangnya kita pada hari ini, golongan belia kita lebih rela mati di medan jalanraya akibat berlumba haram, rela mati di jarum suntikan akibat taksub keindahan duniawi dan lebih rela mati ditali gantung akibat membunuh anak bangsa sendiri. Pekara ini yang amat-amat memilukan kita, masa dan jasad yang telah diberikan Allah SWT itu tidak dipergunakan ke jalan yang betul. Saya tidak menyuruh agar kalian semua pergi berjuang 'meletupkan diri' untuk menentang pihak kafir, tetapi memadailah dengan apa yang kita kecapi ini, memadailah dari apa yang telah Allah SWT ilhamkan kepada kita selama ini. Walaupun kita dipisahkan dengan tembok konkrit yang besar memisahkan kita sesama Muslim, tetapi senjata utama kita adalah DOA.



Walaupun pecikan api itu kita tidak pernah merasainya sepertimana yang sering dilihat dan dirasai oleh Rakyat Palestin, Afganistan, Iraq, dan sebagainya, tetapi bukankah kita diajar oleh Nabi SAW agar mengiringi Doa bagi memohon supaya pihak-pihak kufur itu hancur. Janganlah kita alpa terhadap apa yang kita kecapi selama ini, percayalah ia adalah bersifat sementara, tiada yang akan kekal kecuali Allah SWT. Harta dan kekayaan yang kita miliki sekarang itu tidak menjamin apa-apa di akhirat kelak jika sikap kita terhadap saudara-saudara muslimin kita abaikan. Harta dan kemewahan itu adalah berupa cermin dunia, di mana kita boleh melihatnya tetapi pada dasarnya untuk memegang dan membawanya kita tidak berupaya sama sekalipun. Pangkat, kedudukan dan sijil pencapai yang berprestij itu juga tidak memberi kesan yang mendalam kepada kamu jika wang dan harta kita itu tidak diinfakkan kepada mereka-mereka yang memerlukan di luar sana. Hari ini kita tersenyum dan megah ketawa, tetapi tika dan saat yang telah ditentukan Allah SWT telah tiba, maka setiap senyum dan tawa kita itu bertukar menjadi kelam dan kusut.



InsyaAllah saya akan cuba sambungkan lagi artikel saya berkenaan perjuangan Nabi SAW dan Para Sahabat r.a ini (Fisabilillah-Uhud) di episod yang akan datang mengikut ketentuan dan keredhaan-Nya. WaAllahua’lam.



2 comments:

  1. Assalammualaikum...
    alhamdulillah dengan posting saudara ini moga dapat memberi semangat pada generasi kini,generasi akan datang dan dari kaum2 yang lain, bahawa kita (Islam) berjihad untuk menegakkan agama ALLAH (Islam yg suci) bukanlah untuk menindas,bukan untuk keganasan dan bukan untuk kekerasan tapi berjuang untuk agama yang suci iaitu ISLAM supaya tidak ditindas dan dipandang remeh oleh kaum2 yang lain...Allahu Akhbar!! Allahu Akhbar!! Allahu Akhbar!!

    ReplyDelete
  2. Waalaikumsalam, Bunga larangan.

    BismillahirRahmanirRahim.

    Benar apa yang dinyatakan oleh saudari, Islam tidak mengajar agar umatnya membentuk situasi keganasan dan kekejaman, tetapi sebaliknya ia mengajar akan umat-umatnya supaya bertoleransi dalam segenap penjuru bagi memperlihatkan kematangan Islam itu sendiri, tetapi malangnya ada segelintir dari kita yang masih menafikannya malah senantiasa menyokong apa yang telah diura-urakan musuh-musuh Islam.

    Semoga kita semua dilindungi dan dirahmati-Nya setiap saat, setiap detik dan setiap masa.

    Terima kasih kerana saudari kerap di sini, Semoga Allah SWT memberkati saudari dan seluruh keluarga saudari. Amin.

    ReplyDelete

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails