Monday, 20 September 2010

Hadith Qudsi : Nikmat Menemui Tuhan – Siri 3.





Hadith Qudsi : Nikmat Menemui Tuhan – Siri 3.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.






BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Syawal dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini.




Berkata Abu Umamah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT telah berfirman bahawa :



“Jika hamba-Ku suka menemui-KU, Aku juga suka menemuinya. Dan jika dia benci menemui-Ku, Aku juga benci menemuinya.” (Hadith Riwayat Bukhari, Nasa’I dan Malik r.h).






Tidak ada seorang yang suka menemui Tuhan, melainkan orang tersebut yang tiada bertuhan, atau orang yang tiada mengakui adanya Tuhan!



Akan tetapi Hadith ini ditujukan kepada kita semua, iaitu kaum Muslimin.



Apakah ada di antara kita yang tidak mahu menemui Tuhan, atau tidak suka menemui Tuhan?



Padahal nikmat yang terbesar sekali yang akan diberikan kepada manusia di syurga, iaitu sesudah segala kenikmatan dan kebahagiaan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dan yang terlintas dalam sanubari manusia, ialah dengan melihat wajah Tuhan, yang pada ketika itu akan dirasakan oleh penghuni-penghuni syurga akan nikmatnya, yang dikatakan, tiada suatu nikmat lain yang akan menandinginya.



Jadi, siapakah orangnya yang tidak suka atau tidak mahu menemui Tuhan, seperti yang dimaksudkan oleh Hadith Qudsi ini?!



Dia itulah orang yang BENCIKAN MATI, dan TAKUT KEPADA MATI, sebab Imannya tidak teguh, Islamnya lemah, lantaran itu dia tidak bersedia untuk mengalu-alukan mati, padahal dia tahu, bahawa yang HIDUP ITU PASTI MATI, dan mati itu akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Dan sesudah mati barulah dapat bertemu dengan Tuhan.



Demikianlah maksud dari Hadith Qudsi ini, bahawa sesiapa yang tidak suka mati itu samalah seperti dia tidak suka menemui Tuhannya. Bukankah dalam perbicaraan kita sehari-harian, kita namakan orang yang mati itu telah menyahut panggilan Tuhan. Nabi SAW juga ketika di akhir hayatnya, datang Malaikat memberinya pilihan, sama ada ingin terus hidup ataupun ingin menemui Tuhan. Baginda SAW menyatakan : Ilar Rafiiqil A’laa yang bermaksud terus kepada Tuhan yang Maha Tinggi. Begitu juga halnya kepada Utusan-utusan-Nya yang lain, yang hanya memilih menemui Tuhan dari terus hidup di dunia ini.



Orang yang suka menemui Tuhan, mestilah menyiapkan dirinya terlebih dahulu sebelum berangkat ‘pergi’. Kalau dia mengetahui bahawa jangka ‘keberangkatannya’ ke sana mungkin berlaku pada bila-bila masa juga, maka hendaklah dia menyiapkan dirinya pun pada bila-bila masa juga. Jangan sampai ketika dia dijemput berangkat sedang dia masih dalam keadaan serba tidak sempurna, masih belum bersiap sedia untuk berangkat, masih dalam pakaian yang kotor serta berbau busuk. Apa kata, kalau dia diundang oleh seorang Raja mahupun seorang Pemimpin tertinggi Negara, dan jangkanya akan diberitahu pada bila-bila masa sahaja, niscaya dia sentiasa bersedia menunggu, dan apabila dipanggil dia sudah pun bersedia, kelihatan rapi dan kemas sekali. Demikianlah pula sewajarnya kita menyiapkan diri kita untuk menyambut panggilan Tuhan, malah sepatutnya kita lebih dari apa yang sepatutnya.



Kalau kita mahu disambut oleh Tuhan dengan baik dan disukai kedatangan kita, maka hendaklah kita mematuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Jangan sekali-kali kita berani atau mencuba menentang-Nya, atau menyeleweng daripada jalan syariat yang telah ditentukan oleh-Nya. Semuanya telah ada di hadapan kita. Kita telah diberikan Al-quran dan Hadith Nabi SAW. Jadikanlah kedua-duanya sebagai pegangan dan ikutilah petunjuk dan pengajarannya, jangan sekali-kali kita ingkar serta menghinanya. Biar dalam pekara yang sekecil-kecil sekalipun, apatah lagi pekara dan perbuatan yang besar, niscaya kita akan selamat dan akan dikasihi Tuhan dan Rasul-Nya. Ketika itu barulah boleh dikatakan kita suka menemui Tuhan, dan Tuhan pun suka menemui kita.



Selain dari itu, dikhuatiri juga bahawa kita akan tergolong ke dalam golongan orang yang benci menemui Tuhan, padahal jiwa kita masih kotor dengan dosa dan maksiat, dan kita tidak pula mematuhi syariat Allah Ta’ala, kemungkinan sekali, Tuhan akan benci untuk menemui kita disebabkan perbuatan dan penyelewengan kita. Maka ketika itu samalah kita seperti orang yang benci menemui Tuhan, hendaklah kita mengikut petunjuk syariat-Nya. Barulah sesudah itu dapat kita mendakwa bahawa kita suka menemui Tuhan.



Kata lisan mestilah dibuktikan dengan amal. Kalau amal menyalahi ucapan lisan, jadilah orang itu seperti orang yang berdusta!



Dalam pengertaian yang lain. Hadith ini juga diertikan bahawa roh orang yang beriman pasti suka menemui Tuhannya. Manakala roh orang kafir tidak suka menemui Tuhannya, iaitu sesuai dengan maksud dari sebuah Hadith yang lain. Kalau begitulah yang diertikan, maka lebih parah lagi nasib orang-orang Mukmin yang membenci menemui Tuhannya, kerana ia boleh disamakan dengan orang yang tidak beriman, yang memang wajarlah Allah Ta’ala sendiri tidak suka menemuinya, kerana ia tidak mempercayai Tuhannya.



Lantaran dengan itu, awaslah kita semua, Wahai orang-orang yang beriman!



Jangan sampai kita semua bersikap sama dengan orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan Allah, sehingga kita semua akan tergolong sama dengan mereka yang ingkar!



Ingatlah!



Biar betapa jahat sekalipun seseorang yang beriman itu.



Insya’Allah dia mesti senang menemui Tuhannya.



Biar memikul dosa setinggi gunung pun, jangan gentar dan takut untuk menemui Tuhannya nanti di akhirat, kerana di sana tiada siapa yang lain, yang dapat melepaskan dirinya dari seksa yang menanti selain Allah Ta’ala semata.



Bersihkanlah hati kita semua kepada Allah SWT, mudah-mudahan Dia akan menerima taubat kita serta merahmati kita semua yang ingin kembali kepada-Nya dengan sebenar-benar ikhlas. Dan jangan sekali-kali kita semua berputus asa dari rahmat Allah Ta’ala, kerana lawannya mereka yang berputus asa itu adalah kufur, dan syaitan sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu mendampingi kufur itu untuk menambah bilangan teman-teman setianya yang akan bersama-sama menuju ke lembah mulut neraka. Nas’alullahas Salamah!



Wednesday, 8 September 2010

Salam Syawal 1431H.





BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Salam Ramadhan dan Salam Perjuangan. Di kesempatan dengan ini saya memohon keampunan kepada Allah SWT, para Alim Ulama’, pihak cendiakawan Islam dan pihak-pihak ahli Agama, di atas segala kekhilafan dalam saya mengatur serta menterjemahkan Hadith-hadith Nabi SAW serta huraian maksud Al-quran Nur Kareem serta pembahagian maksud lain yang boleh mengelirukan serta terdapatnya kesalahan maksud sebenar sehinggakan saya lupa dan alpa terhadap pencerahan tersebut. Semoga apa yang lahir itu terdapat kebaikan yang datangnya dari Allah SWT serta terdapat juga kesalahan yang terang-terang datangnya dari hamba-Nya yang dhaif dan fakir iaitu saya.






Lantaran dengan itu juga, saya memohon kemaafan yang tulus ikhlas dari saya kepada kedua orang tua saya, seluruh keluarga saya, guru-guru saya, rakan-rakan seperjuangan saya (di Malaysia mahupun di luar Negara) yang berada di luar sana di atas segala kekhilafan dan kesalahan diri saya sepanjang perhubungan silaturrohim ini samaada sengaja atau yang tidak disengajakan. Semoga di bulan Ramadhan yang mulia ini serta menantikan ketibaan bulan syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, akan menjadikan diri kita lebih dekat dan ikhlas kepada Allah SWT.




Saya tertarik dengan satu Hadith yang berbunyi :


Dari Jubair bin Nufair r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila para Sahabat Rasulullah SAW bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka saling mengucapkan : “Moga-moga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian semua.” (Ta’kobbalaallahu Minnaa Waaminkum). (Ibn Hajar – Fath Al-Bari, Jilid 2, Halaman 517).






Semoga dengan ucapan ini diwaktu tibanya syawal nanti akan memberi impak dan kesan yang berguna untuk kita semua agar senantiasa mengingati Allah SWT dengan seikhlas-ikhlasnya. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



Tuesday, 7 September 2010

Hadith Qudsi : Sentiasa Mengingati Allah – Siri 2.






Hadith Qudsi : Sentiasa Mengingati Allah – Siri 2.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.






BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat anda yang memanjangkan silaturrohim di sini.



Berkata Ibnu Abbas r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, Allah SWT telah berfirman :


“Apabila hamba-Ku mengingati-Ku sendirian, Aku pun akan mengingatinya sendirian. Dan apabila dia mengingati-Ku di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingati-Ku.” (Hadith Riwayat Thabarani r.h).



Apabila mengingati Tuhan dengan berzikir iaitu dengan bertasbih (menyebut SubhaanAllah), bertahmid (menyebut Alhamdulillah), bertakbir (menyebut Allahu Akbar), bertahlil (menyebut Laa Ilaaha IllaAllah), ataupun sebagainya daripada zikir-zikir yang lain, hati kita akan menjadi tenang.



Hadith ini menganjurkan kepada kaum Muslimin agar sentiasa mengingati Allah SWT di dalam hati ataupun secara terang-terangan. Setiap kali kita mengingati Allah SWT, maka setiap itulah juga kita sebenarnya mengingati diri kita sebenarnya. Allah SWT sebagai Pencipta, dan kita sebagai hamba-Nya. Allah SWT yang telah mengurniakan rezeki kepada kita, maka wajiblah kita pula sebagai hamba-Nya yang telah menerima kurniaan itu mengucapkan syukur kepada-Nya. Kemudian apabila kita mengingati Allah SWT, kita harus mengingati pula segala perintah-Nya dan segala larangan dari-Nya. Begitulah sepatutnya sikap hamba yang patuh, hamba yang mengenal dirinya sendiri sebagai hamba, hamba yang mengenal Tuhannya sebagai Tuan. Sembahyang tidak boleh ditinggalkan. Puasa jangan kita cuaikan. Zakat mesti kita keluarkan apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Haji pula mesti kita tunaikan sekurang-kurangnya seumur hidup sekali. Semua ini berkaitan dengan Rukun-rukun Islam yang kita telah semua ketahui. Sebagai orang-orang yang beriman, kita mesti menjaga Rukun-rukun tersebut sebaik mungkin agar tidak lari daripada syariat-Nya.



Mengingati Allah SWT juga berkait-rapat dengan Rukun-rukun Iman yang enam. Apabila kita mengingati Allah SWT, kita harus mengenal-Nya dan sifat-sifat-Nya menerusi Rukun-rukun Iman tersebut. Di samping mempercayai Allah SWT sebagai Tuhan, kita harus mempercayai para Malaikat-Nya, para Rasul-Nya, semua Kitab-kitab-Nya. Kemudian di samping itu pula hidup ini ada lagi hidup lain yang kekal abadi yang akan kita rasakan sesudah kita mati kelak. Di dalam kehidupan ini (di dunia), maka harus kita berpegang teguh kepada takdir dan putusan Allah Ta’ala. Lalu sesudah kita mati (di akhirat), maka kita akan diadili Tuhan di Hari Kiamat nanti.



Bukankah ini telah kita semua sedia maklum!



Demikianlah, apabila kita mengingati Allah SWT dengan menyebut nama-Nya, kita turut memperbaharui I’tikad kita tentang keEsaan Tuhan yang Satu dan Tunggal, tiada sekutu pula bagi-Nya. Tiada yang patut disembah melainkan Dia. Dia-lah yang menentukan segala sesuatu, sedang semua ciptaan-Nya harus tunduk kepada-Nya. Dia wajib ditaati, sedang semua hati akan tenang kepada-Nya akan merajai-Nya, akan berhukum kepada-Nya serta bertawa’kal kepada-Nya.




Bukankah ini juga yang patut kita sematkan dalam diri kita!



Orang yang masih belum mengakui hal-hal ini tidak diertikan atau dinamakan hamba Allah, dan bila tidak dinamakan hamba Allah, tidak perlu lagi dia menyebut nama Allah, kerana ‘dia telah berendam di dalam Lumpur kejahilan dan keraguan’. Maka tidak sesuai orang yang mahu menyebut nama Allah, walhal di dalam hatinya masih bercanggah dengan cabang-cabang kesamaran dan keraguan yang pekat di dalam hatinya, atau masih belum mengakui kekuasaan Allah Ta’ala yang mutlak dan sepenuhnya pada semua takdir dan Qadha’-Nya, kerana semua ini adalah pekara asas yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi.



Demikianlah, Allah SWT mengatakan menerusi Hadith Qudsi ini bahawa jika hamba-Nya mengingati-Nya secara tersembunyi, tiada sesiapa yang mengetahui, maka Dia juga akan mengingati hamba itu secara tersembunyi juga. Diberikan-Nya ketenangan hidup, ketenteraman jiwa, segala keperluannya dicukupi sehingga dia kelihatan tenang dan bahagia dalam kehidupannya. Sentiasa bersyukur apabila diberi kesenangan dan selalu bersabar apabila ditimpa musibah dan ujian. Tidak pernah berasa kecewa apabila dalam kesusahan dan serba kekurangan.



Jika kita lihat pula pengertian Hadith tersebut yang berbunyi :


Dan apabila dia mengingati-Ku di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingati-Ku.”



Sabda daripada pecahan Hadith ini menggambarkan, bahawa Allah Ta’ala sentiasa membalas amalan makhluk-Nya dengan balasan yang baik. Sebab itu ada sesetengah ahli Tasawwuf menciptakan pelbagai Thariqat dan majlis berzikir beramai-ramai, moga-moga inilah yang dimakduskan Hadith itu. Disamping itu ada yang mengadakan majlis tahlil beramai-ramai, kemudian dihadiahkan pahala tersebut kepada roh sifulan dan sifulan. Ini juga mudah-mudahan termasuk di dalam maksud Hadith ini. Hanya ada pula orang yang mengingkari amalan ini. Katanya amalan itu hanyalah sia-sia dan merupakan pekara Bid’ah dan hadiah pahala tersebut tidak akan sampai kepada sipenerimanya. Akan tetapi Ulama’ Mutaakhirin telah membuktikan apa yang diingkari itu adalah tidak benar dan sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan pihak Islam. KITA MESTILAH MENYIMPAN NIAT YANG BAIK TERHADAP ALLAH SWT. Kita juga mestilah meletakkan Allah SWT tertinggi di dalam pekara tersebut. Sepatutnya umat Islam mestilah lebih rasional dan optimis dalam mendalami pekara ini dengan merujuk kepada pakar-pakar ahli Hadith dan Ahli Ulama’ yang lebih mengetahui akan pekara ini. Umat Islam juga perlulah berlapang dada dalam menghadapi situasi ini, bukannya melemparkan tuduhan yang boleh mengerutukan lagi keadaan. Perlu diingati juga, saya punyai bukti dan alasan yang kukuh, kenapa pekara ini adalah suatu pekara yang perlu dipersetujui tanpa melalui situasi perdebatan yang panjang lebar. WaAllahua’lam.



Oleh yang demikian kita hendaklah melupakan pertelingkahan dalam usul yang kecil sehingga mendatangkan perpecahan di kalangan umat Islam. Senantiasalah mengingati Allah SWT dan berzikir kepadanya pada masa-masa kelapangan kita, diwaktu berdiri dan duduk, diwaktu diam dan berjalan, diwaktu senang dan susah, bahkan pada bila-bila masa, agar Allah SWT mengingati dan merahmati kita pula.



Firman Allah SWT :


(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imraan – Ayat – 191).



Orang yang dirahmati Tuhan sentiasa berada di dalam lindungan-Nya, hidupnya aman di dunia dan selamat pula di akhirat. Tidakkah ini yang telah kita cari dan idam-idamkan selama ini? Maka dengan itu panjatkanlah diri kita agar dekat dengan Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya walaupun dalam keadaan tertekan dan kesusahan sekali. Letakkanlah Allah SWT diperingkat yang tertinggi sekali dalam kita mengatur urusan-urusan kehidupan di dunia ini, agar diri kita akan terjamin di sana kelak. Insya’ Allah Ta’ala. Amin!



Saturday, 4 September 2010

Hadith Qudsi : “Bersabar Menghadapi Musibah” - Siri 1.





Hadith Qudsi : “Bersabar Menghadapi Musibah” - Siri 1.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.







BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.



Berkata Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW telah bersabda : Allah SWT berfirman :


“Apabila Aku Menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mu’min, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian akan Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat berkerja semula (iaitu setelah semua dosa dan kesalahannya yang lalu Tuhan ampunkan semuanya).” (Hadith Riwayat Hakim r.h)




Saudara dan Saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Kehidupan di dunia ini tidak terlepas daripada ujian dan cabaran serta dugaan. Segala ujian tersebut, biarpun yang ringan mahupun yang berat datangnya dari Allah SWT. Manusia tidak terdaya untuk menolak ujian Allah Ta’ala. Adakalanya ujian itu mendatangkan manfaat kepada manusia. Bertapa banyaknya manusia yang telah lalai dari jalan Allah SWT, dan tenggelam di dalam dosa dan maksiat. Apabila ditimpa saja bala dan bencana, segeralah dia kembali kepada Allah SWT. Segeralah dia ingat akan Allah Ta’ala. Segeralah dia sedar bahawa dia itu adalah hamba yang tiada berdaya, dan bahawa di atasnya ada Tuhan yang Berkuasa.



Di samping itu, ada pula manusia yang apabila tidak diuji oleh Allah SWT, dia merasa berdukacita. Dia bimbang, kalau-kalau dia sudah tiada lagi dikasihi oleh Allah SWT. Lantaran itu dibiarkannya hidup mewah dan senang-lenang. Sebab ada sebuah sabda menyatakan, bahawa jika Allah SWT mengasihi hamba-Nya, nescaya diujilah hamba itu dengan berbagai-bagai ujian. Kini dia hidup dalam sihat wal-afiat terus menerus tanpa sebarang kedukaan hidup. Dia menikmati kemewahan dan kelazatan hidup tanpa sakit. Dia kini khuatir kalau-kalau itu semua menandakan, bahawa Allah SWT sudah tidak sayang dan kasih lagi terhadapnya.



Maka dengan itu, ada yang berpendapat bahawa kemewahan hidup itu juga merupakan salah satu daripada ujian-ujian Allah Ta’ala. Allah ingin melihat apakah aku bersyukur atas nikmat yang dikurniakan kepadaku, ataupun aku kufur. Akan tetapi syukur itu bukanlah setakat menyatakan terima kasih kepada Allah SWT sahaja, ataupun setakat mengucapkan perkataan ‘Alhamdulillah’ kepada Allah SWT sahaja. Bahkan, kalau nikmat itu merupakan kekayaan wang ringgit, hendaklah wang ringgit itu dibelanjakan kepada orang-orang yang memerlukan. Kalau nikmat itu juga merupakan kemewahan makan, minum dan pakaian, hendaklah ia tidak melupakan fakir-miskin yang berhajat kepadanya. Hendaklah juga ia sentiasa membantu orang yang tidak terdaya. Dia tidak boleh bakhil kerana bakhil itu adalah suatu tanda bagi kekufuran nikmat.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Di sini Allah SWT mengatakan :


“Apabila Aku Menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mu’min, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya,”



Maka jika kalau ia mengeluh sekalipun atau mengadukan hal tersebut kepada orang lain, apakah dapat dia ditolong dan dibantu”




Tentu sekali tidak!



Kemudian ujian itu mungkin kerana dosanya yang banyak, Allah SWT hendak menebusnya. Mungkin kerana kekhilafannya yang berbakul-bakul, Allah SWT hendak mengigatkannya. Mungkin takabburnya yang sangat, Allah SWT mahu menundukkannya. Semua yang berlaku mungkin bersebab. Ketika itu ujian ini merupakan suatu nikmat juga dari Allah SWT.



Maka lantaran dengan itu juga, kesabarannya atas menanggung bala itulah, lantas Allah SWT mengampunkan segala kesalahannya. Semua dosanya terhakis. Semua kekhilafannya terhapus. Tinggallah ia sebagai kain putih yang bersih dan suci. Daging di badannya pula digantikan dengan daging yang baru. Darah yang mengalir dalam urat-uratnya juga ditukar kepada darah yang baru. Seolah-olah daging lama dan darah lama yang kotor itu sudah tidak sesuai lagi hidup dan mengalir ditubuh yang suci bersih dari salah dan dosa tersebut, lalu semuanya diganti oleh Allah SWT dengan yang baru.



Sesudah itu, sambung firman di atas tadi, maka ia bermaksud dibiarkanlah hamba itu menyambung kehidupannya yang baru dalam ‘pakaian’ yang baru pula. Terserahlah kepadanya, mahu memelihara ‘pakaiannya’ yang baru itu supaya sentiasa bersih dan putih? Ataupun akan dicontengnya lagi dengan arang yang hitam, sehingga menjadi kotor dan hitam pekat semula?



Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.



Manusia!



Oh manusia!



Alangkah sedikitnya orang yang dapat menginsafkan dirinya dari peristiwa-peristiwa yang lalu!



Saya akhiri perkongsian maksud huraian Hadith Qudsi ini dengan mengemukakan sebuah Hadith Nabi SAW yang bermaksud :


“Sekiranya Allah Ta’ala menghendaki kebaikan bagi hamba-Nya disegerakan balasan penderitaan ke atasnya di dunia. Dan jika Dia menghendaki keburukan buat seseorang hamba-Nya, ditahankan daripadanya balasan-Nya, sehingga hamba tersebut bermaharajalela dengan dosa-dosanya, lalu dibalas-Nya nanti di hari kiamat kelak.”



Kemudian sambung Baginda SAW lagi : “Besarnya penderitaan itu adalah sesuai dengan beratnya dosa. Begitulah Allah Ta’ala menimpakan bala-Nya kepada sesiapa yang dikasihi-Nya. Maka barangsiapa yang rela menanggung bala tersebut serta bersabar menderita, nescaya Allah SWT akan merelakannya. Dan barangsiapa yang bersunggut dan selalu mengadu halnya kepada orang lain. Nescaya Allah SWT menyungutinya pula. WaAllahua’lam.



Semoga perkongsian ini akan memberi impak yang berguna untuk diri saya dan saudara-saudari semua dan mudah-mudahan kita semua (umat Islam) tergolong di dalam orang-orang yang redha dan bersabar dalam setiap ujian-ujian dari Allah Azza Wajalla. Insya Allah!.



Monday, 30 August 2010

Mensyukuri Rahmat-NYA.



Mensyukuri Rahmat-NYA.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.






Lihatlah bumi yang terbentang luas,


Memberi petanda keagungan-NYA,


Sungai dan lautan sejauh mata memandang,


Memberi petunjuk akan nikmat-NYA,


Tumbuh-tumbuhan yang menghijau,


Memberi rezeki yang tidak terkira,


Haiwan pula bertebaran menjajah bumi,


Memberi manfaat buat manusia,


Bukankah itu satu petunjuk?


Petunjuk kebesaran dan kekuasaan Tuhan,


Yang menciptakan sesuatu yang tiada kepada yang ada,


Bukankah itu juga satu rahmat?


Rahmat buat sekelian alam,


Yang menjadikan manusia agar kembali kepada-NYA,


Itulah rahmat dan itulah juga nikmat,


Tanda syukur akan keagungan-NYA.





Bulan dan matahari berpadu tenaga,


Menyinari bumi pertukaran masa,


Bukankah itu satu kebesaran?


Yang menjadikan manusia taat akan perintah-NYA,


Bintang-bintang bertebaran menghiasi alam,


Memberi petunjuk kepada kegelapan,


Bukankah itu satu ilmu-NYA,


Yang menjadikan manusia berfikir kepada-NYA,


Langit penaung dikala terpancarnya sinar,


Membenarkan alam menghayatinya,


Bukankah itu pelindung buat semua,


Yang menjadikan manusia agar mencontohinya,


Itulah rahmat dan itulah juga nikmat,


Tanda syukur akan kemuliaan-NYA.





Alam itu sebagai tanda,


Tanda kebesaran dan kekuasaan-NYA,


Menjadikan manusia agar berfikir,


Siapa?


Kenapa?


Adakah kita ketahui akan itu?


Adakah kita memahami akan hakikat itu?


Berfikirlah,


Renungilah.


Lafazkanlah,


Ya ALLAH,


Aku bersyukur kepada-MU,


Sebagai tanda mensyukuri rahmat-NYA.


Adakah kita insan yang bersyukur?




You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails