Friday 10 December 2010

Istilah Aqidah Dan Syariah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir



BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini. Semoga kita semua berada di dalam rahmat dan perlindungan-Nya di dunia mahupun di akhirat kelak.


Pada asas dan pegangannya, Islam adalah agama yang terdiri daripada AQIDAH dan SYARIAH. Dengan kata lain, Aqidah bermakna keimanan dan Syariah pula ialah amal perbuatan. Jika kita semua selami pekara tersebut, hubungan antara keduanya sangat erat, akrab dan tidak mungkin dipisahkan antara satu dengan yang lainnya. Maka pada dasar pegangan seorang Muslim yang hanya mempunyai Iman tapi tidak melakukan amal-amal Islam tidak akan sempurna keislamannya dan sedemikian pula jika sebaliknya.



Aqidah yang rosak



Oleh sebab itu perkataan Iman dan Amal sentiasa disebut Allah Ta’ala secara bergandingan di dalam Al-Quran. Apabila saya merujuk dalam kitab “Aqidah Muslim” yang telah dinukilkan oleh Mohammad Al-Ghazali di halaman muka surat 147 dan 148, didapati bahawa menurut ahli tafsir bahawa Iman dan Amal disebut bersama di dalam Al-Quran sebanyak 730 kali. Sebagai contoh yang hendak saya bawa dan kongsikan di sini adalah :


Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.” (Surah At-Tin : Ayat - 4, 5 & 6).


“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Al-Baqarah : Ayat - 25).


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam : Ayat - 96).


Maka dapat ditafsirkan daripada apa yang telah kita ketahui melalui ayat-ayat suci Al-quran tersebut (seperti di atas) bahawa jika mempunyai Iman tetapi tidak diikuti oleh amalan adalah sama dengan iman IBLIS. Setuju atau tidak untuk saya nyatakan di sini adalah satu kefahaman yang cukup mendalam yang bakal kita semua ketahui dan fahami mengikut aturan pemikiran yang telah Allah Ta’ala kurniakan kepada kita. Mungkin ia satu koreksi simbol yang terlalu rencam untuk kita semua ketahui, namun ia juga sebenarnya membawa kita kepada mencari erti Iman yang sebenar melalui sumber-sumber yang shahih. Jika kita perhatikan berkenaan dengan sifat-sifat Iblis yang mana ia juga mengetahui akan keEsaan Allah Ta’ala dan tiada sekutu bagi-Nya, dan Iblis juga tahu bahawa ia akan kembali kepada Allah Ta’ala pada hari kebangkitan kelak. Tetapi kerana perintah Allah Ta’ala agar ia sujud (menghormati perintah Allah) kepada Adam tidak dilaksanakan, maka Iman dan Ma’rifatnya tentang ketuhanan itu sama sekali tidak dapat membantunya untuk bebas daripada kutukan dan laknat Allah Ta’ala.



Aqidah ciptaan manusia



Di sini dapatlah kita semua ketahui bahawa Iman tanpa ketundukkan dan kerendahan hati untuk melaksanakan amal-amal yang diperintahkan adalah tidak mempunyai nilai sama sekali di sisi Allah SWT. Adapun orang-orang yang suka berbuat kebaikan tetapi tidak beriman, keadaannya sama seperti orang kafir ataupun orang-orang yang gemar memperbanyakkan amal ibadah namun tidak membersihkan Iman mereka daripada pekara-pekara yang dapat merosakkan Iman sebagaimana yang kita dapati pada segolongan umat Islam, maka amalan mereka juga sia-sia dan tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah SWT.


Perlu diingati juga, bahawa imej, gaya pertuturan, keturunan, amal ibadah, ilmu yang tinggi, dan sebagainya bukan menjamin kita lebih dekat dengan-Nya jika masih ada sifat Takabur yang mendalam terhadap Allah SWT. Ini juga tidak bermakna diri seseorang itu lebih mulia disisi Allah SWT jika masih terpahat dan terpasak dalam diri dengan sifat bangga diri serta ego terhadap makhluk-Nya yang lemah.


Jika kita semua mendalami serta memahami, sebenarnya agama Islam adalah agama yang hanya terdiri daripada dua pekara iaitu AQIDAH dan SYARIAH. Kita tidak perlu menambah-nambah dengan unsur-unsur baru seperti sebagai contohnya Tarikat, ajaran penambahan aqidah, motivasi berunsurkan ajaran sesat dan sebagainya. Kita hanya perlu mentauhidkan bahawa aqidah adalah SATU, tidak berubah-ubah dengan perubahan umat sedangkan syariat pula adalah satu bentuk yang berubah-ubah mengikut keadaan umat pada masa itu. Sebagai contohnya jika kita mengkaji ketika zaman umat Nabi Ibrahim a.s, Aqidah mentauhidkan serta mengEsakan Allah SWT adalah pekara yang asas yang perlu ada pada umat ketika itu, tetapi syariatnya pula berbeza jika hendak dibandingkan dengan umat yang terkemudian seperti umat Nabi SAW. Begitu juga halnya yang terjadi kepada umat Nabi Isa a.s. Baginda juga mengajar umatnya agar mengEsakan Allah SWT tanpa mempersekutukan-Nya namun melalui syariat yang cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan umat Nabi yang sebelum dan sesuadahnya. Begitulah asas dan pegangan yang perlu ada pada diri kita khasnya, bahawa Aqidah kita sejak Nabi Adam a.s diciptakan sehinggalah ke hari kiamat adalah satu dan tidak pernah berubah-ubah walaupun syariatnya cukup berbeza mengikut peredaran umat-umat yang terdahulu.



Perbandingan Aqidah



Rasul demi rasul ‘diturunkan’ Allah Ta’ala kepada umat mereka masing-masing dan umat silih berganti namun Aqidah tetap satu, tidak berubah-ubah seperti mana dalam firman Allah SWT yang bermaksud :

“Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).” (Surah Asy-Syura : Ayat - 13).


Apabila saya rujuk dalam kitab Tafsir Al-Ali Al-Qadir (Ikhtisar Tafsir Ibnu Katsir) oleh Muhammad Nasib Al-Rifaa’I, jilid IV, muka surat 112, Imam Ibnu Katsir telah menyatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas (Surah Asy-Syura : Ayat 13) menyebut mengenai Rasul-rasul selepas Nabi Adam a.s iaitu Nabi Nuh a.s dan Rasul terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Kemudian disebut pula tentang Nabi-nabi di antara kedua-dua Rasul tersebut iaitu Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s. Kelima-lima Rasul itu adalah Ulul ‘Azmi. Adapun yang dimaksudkan dengan ugama” di dalam ayat tersebut adalah Tegakkanlah agama yang dibawa oleh semua Rasul yang hanya “beribadah” kepada Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.



Dr. Murad Hofmann



Hosni Mubarak



Maka jika kita perhatikan lagi, syariat atau peraturan dalam beramal adalah berbeza-beza antara satu umat dengan umat yang lain sesuai dengan keadaan atau kondisi umat-umat berkenaan. Ini disebabkan kerana Allah yang Maha Adil lagi Bijaksana tidak akan memberatkan umat-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh mereka. Sebagai contoh yang hendak saya kongsikan di sini adalah umpamanya tentang peraturan perkahwinan di zaman Nabi Adam a.s berlainan dengan peraturan perkahwinan di kalangan umat Nabi Muhammad SAW, bilangan waktu solat di zaman umat Nabi Musa a.s berlainan dengan bilangan waktu di kalangan umat Nabi Muhammad SAW dan sebagainya.


Firman Allah SWT :

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah Al-Maidah : Ayat - 48).


Di mana arah tuju kita selama ini?



Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa menyesuaikan amal ibadah dan segala bentuk aktiviti kehidupan kita dengan syariat yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Saya berpendapat serta melihat kedua-dua hakikat ini iaitu AQIDAH dan SYARIAH tergambar dengan jelas di dalam dua kalimah suci yang sering kita ungkap serta ucapkan. Kalimah tersebut merupakan pengsaksian dan pengabdian diri kita sebagai hamba-Nya terhadap Allah Azza Wajalla dengan sebenar-benar Iman dan Takwa.


“Aku naik saksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku naik saksi sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”


Jika kita melihat dan memahami maksud kalimah tersebut, didapati bahawa Syahadat pertama disebut juga dengan istilah Syahadat Tauhid iaitu “Aku naik saksi tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah” kerana kandungannya ialah kita mempersaksikan bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan selain daripada-Nya adalah dianggap kuffur terhadap-Nya. Manakala syahadat kedua disebut juga dengan Syahadat Risalah iaitu dan aku naik saksi sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”. Ini adalah kerana kandungannya menyatakan bahawa kita mempersaksikan bahawa hanya syariat atau peraturan amalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad sahaja yang akan kita patuhi dan bukan cara amalan-amalan dari sumber-sumber yang lain yang dianggap sebagai Bidaah, Khurafat dan sesat. WaAllahua’lam.




No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails