Wednesday 28 October 2009

Keutamaan Salam Dan Selawat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecualiNya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan PesuruhNya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam .

Sesungguhnya salam dan selawat ke atas Rasulullah s.a.w itu mempunyai kelebihan yang sangat besar dan banyak manfaatnya di dunia dan akhirat bagi umat Islam yang suka memperbanyakkan ucapannya.

Saya tertarik dengan satu bait syair Arab yang bermaksud :
“Barangsiapa menyukai sesuatu itu, akan banyaklah dia menyebut-nyebutnya.”

Syair ini menjelaskan kepada kita bahawa, jika kita menyukai atau mencintai sesuatu, sudah pasti kita akan sentiasa menyebutnya. Ini bererti, jika kita mencintai Rasulullah s.a.w dengan hati yang ikhlas sudah tentu kita akan sentiasa mengigati Baginda melalui amalan selawat. Selawat dan salam ke atas baginda s.a.w merupakan antara ibadat dan amalan yang paling dituntut melakukannya. Ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Ayat di atas jelas menunjukkan kemuliaan dan kehormatan terhadap junjungan Nabi Muhammad s.a.w sehinggakan Allah dan para malaikat juga turut berselawat dan mengucapkan salam kepada baginda; selain daripada menggalakkan hamba-hambanya yang mukmin melakukan pekara yang sama.

Saya rujuk dalam kitab Syarh Dalaail Al Khairat yang telah ditulis dan diterjemahkan oleh Syeikh Al fasi yang bermaksud, “Terdapat beberapa keramat (kemuliaan) bagi orang-orang yang berselawat ke atas Nabi s.a.w diantaranya adalah" :

1) Allah s.w.t berselawat (memberi rahmat, cahaya dan hidayah) kepada mereka.
2) Mendapat syafaat Rasulullah s.a.w pada hari Kiamat.
3) Bersama-sama dengan malaikat, kerana para malaikat itu sentiasa berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.
4) Menyalahi kelakuan orang-orang munafik dan kuffar, kerana orang-orang munafik dan kuffar itu tidak mengiktiraf Rasulullah s.a.w.
5) Menolong menyampaikan segala hajat.

Demikianlah antara kelebihan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya banyak lagi kelebihan yang tersirat disebalik kalimah selawat tersebut. Oleh itu sebagai insan yang mengaku beriman, menjadi tanggungjawab kita untuk meluaskan syiar Islam dengan menjadikan ajaran Rasulullah s.a.w sebagai panduan serta menjadikan Baginda sendiri sebagai ikutan. Sehubungan dengan itu, jadikanlah amalan berselawat kepada Rasulullah s.a.w sebagai sumber dan pencetus inspirasi serta sandaran dalam kehidupan seharian semoga apa yang kita lakukan akan dirahmati Allah s.w.t. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails