“Tafsir Al-Quran Menurut Istilah Bahasa Arab”
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”
Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera.
Sebelum ini (artikel yang lalu) kita semua telah memahami serta mendalami betapa pentingnya pentafsiran Al-quran. Kita juga telah berkongsi bersama tentang tatacara pemahaman pembahagian pentafsiran Al-quran merujuk kepada cara yang betul dan berkesan iaitu dengan menggunakan sumber tafsir Al-quran, Hadith Sahih SAW, Pendapat Para Sahabat r.a, Pendapat Tabi’in, dan ulama’ salafusoleh juga tidak menolak perlunya menilai pentafsiran Al-quran agar bertepatan dengan pembahagian pentafsiran berpandukan penggunaan Bahasa Arab. Ini adalah kerana, ketika Uthman bin ‘Affan r.a memerintahkan para penulis Mushaf Uthmani menyiapkan mushaf-mushafnya untuk diedarkan ke seluruh jajahan Islam selepas berlakunya pertelingkahan bacaan antara mereka, beliau memerintahkan agar kembali menggunakan bahasa Quraisy, iaitu bahasa Arab di zaman itu. Ini kerana Al-quran diturunkan menggunakan bahasa mereka.
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Surah Yusuf – Ayat 2).
Saudara dan saudari yang dimuliakan Allah SWT.
Antara contoh pentafsiran Al-quran yang memerlukan kembali kepada kaedah tata bahasa Arab agar pentafsirannya lebih menepati maksud sebenar adalah melalui surah Al-Baqarah – Ayat 29.
Firman Allah SWT :
“Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 29).
Al-Hafiz Ibn Hajar r.h telah menyatakan dalam kitab ‘Fath Al-Bari’. Ibn Battol r.h berkata :
“Ulama’ berbeza pendapat dalam mentafsirkan kalimah (Istawa’) mengenai firman Allah SWT :
Menurut pendapat golongan ‘Muktazilah berdasarkan istilah bahasa Arab adalah bermaksud (Istai’la) iaitu kasar dan mengalahkan dengan zalim berdalilkan sebuah syair Arab yang berbunyi :
“Orang ramai telah menuju (menyerang) ke atas
Tetapi, golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah menolak pendapat mereka. Menurut mereka, pendapat golongan Muktazilah itu dianggap Fasiq (membawa kerosakan pada makna ayat Al-quran) dan tidak boleh diterima kerana Allah SWT tidak layak disifatkan dengan bersifat kasar dan mengalahkan dengan zalim.

Menurut mereka lagi, pendapat paling sahih dan benar mengenai pentafsiran kalimah (astawa’) adalah bermakna kedudukan paling tinggi. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ahli Sunnah Waj Jamaah. Allah SWT sendiri mensifatkan diri-Nya dengan kedudukan yang MAHA TINGGI.
Firman Allah SWT :
“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Yunus – Ayat 18).
Jelaslah bahawa kedudukan Allah SWT di tempat paling tinggi termasuk salah satu daripada sifat-sifat Zat-Nya. (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, Jilid 13, mukasurat 406).
Ibn Hajar r.h berkata :
“Boleh dikatakan bahawa pendapat paling tepat mengenai kalimah (astawa’) ialah ia termasuk salah satu daripada sifat-sifat perbuatan Allah yang berkait rapat dengan Zat-Nya” (Sila rujuk Syarh Al-Aqidah Al-Washotiyah, Al-Hirash, muka
Imam Al-Hafiz ibn Hajar menjelaskan lagi dalam kitab Fath Al-Bari :
“Dinukilkan daripada Abu Ismail Al-Harawi dalam kitab Al-Faruq yang mana sanadnya sampai kepada Daud bin Ali bin Kholaf, katanya : Ketika kami bersama-sama Abdullah bin Al-A’rabi (Muhammad bin Jiyad Al-Lughawi) seorang lelaki telah bertanya mengenai firman Allah SWT :
“Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Toha – Ayat 5).
Abdullah bin Al-A’rabi (seorang pakar bahasa Arab) menjawab : Dia SWT berada di atas ‘Arasy seperti mana yang disifatkan oleh-Nya. Lelaki itu berkata : Wahai Abdullah! Sesungguhnya apa yang aku tahu bahawa makna istiwa’ ialah istaula iaitu mentadbir di mana-mana. Abdullah berkata : Diam! Jangan sekali-kali kamu mengatakan istiwa’ bermaksud istaula , iaitu mentadbir atas sesuatu pekara (urusan) di mana-mana sedangkan berlawanan dengan apa yang difirmankan Allah SWT.
Orang yang berada di sekeliling Abdullah berkata : Jikalau astawa’ bermakna istaula, iaitu mentadbir di mana-mana tanpa pengkhususan berada di atas ‘Arasy, mustahil kerana pekara itu berlaku ke atas semua makhluk.” (Sila rujuk kitab Fath Al-Bari, Jilid 13, muka

Kesimpulannya, wajib golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah menetapkan bahawa Allah SWT berada di atas ‘Arasy mentadbir segala urusan. Haram sama sekali mengatakan bahawa Allah SWT mentadbir makhluknya di mana-mana kerana ia merendahkan sifat Allah yang Maha Berkuasa Mentadbir makhluk tanpa perlu berada di mana-mana. Hanya berada di ‘Arasy, Allah SWT Mengetahui segala perbuatan makhluk-Nya. Berbeza dengan makhluk yang mentadbir di atas muka bumi. Mereka perlu kepada pengkhususan tempat untuk mentadbir.
Apa yang peliknya ketika kini, ada pengikut-pengikut fahaman Asya’i-rah, termasuk masyarakat nusantara mengguna pakai fahaman Muktazilah ini. Mereka mentafsirkan kalimah (astawa’) bermakna (istaula) dan pekara ini telah tersebar luas pada sesetengah kitab tafsir, tauhid dan pendapat-pendapat para ulama’ terkemudian. Mereka mengingkari ketinggian Allah SWT yang berada di atas ‘Arasy. Sedangkan, pekara itu ‘thabit’ daripada Al-quran, Hadith Nabi SAW yang sahih, pendapat para sahabat r.a, Tabi’in dan imam-imam mujtahid. Bahkan pendapat mereka itu berlawanan dengan bahasa Arab sebenar yang difahami oleh seluruh bangsa Arab dan tidak perlu kepada takwilan (pengubah suaian ayat dan makna) kerana Al-quran itu sendiri diturunkan mengikut bahasa mereka.

Persoalannya…
Apakah mereka masih memerlukan kalimah bahasa Arab yang lain untuk memahami serta memahamkan firman Allah SWT itu?
Jawapannya YA!.
Sudah tentu tidak ada perbezaan antara golongan ini dengan bangsa Yahudi yang melampau dalam mentakwil dan mengubah maksud firman Allah SWT yang asal dengan tangan-tangan mereka. Manakala mereka (yahudi) telah menukar ‘tahrif’ kalimah asalnya mengikut daya akal mereka yang cetek serta berkepentingan peribadi. Begitu juga perbuatan golongan yang suka mentakwil (mengubah makna asal) ayat-ayat Allah SWT yang sedikit sebanyak memberi makna jauh menyimpang dari kehendak-Nya. Lihatlah bagaimana mereka menyamakan perbuatan mereka hanya menambah huruf-huruf yang kecil bagi memperlihatkan tahrif yang jauh menyimpang dari makna asalnya. Pekara ini yang dibimbangi oleh semua umat Islam, kerana ada kitab-kitab yang telah dinukilkan masih mengunakan ayat-ayat serta terjemahan yang diambil dari kalimah-kalimah orang-orang yahudi sebagai rujukan sesuatu pekara. Kesannya, maka timbullah agama baru yang berfahaman anti Hadith dan sekuralisme. Maka dengan itu pembahagian pentafsiran Al-quran menggunakan penggunaan bahasa Arab mestilah dirujuk kepada ulama’ tafsir yang pakar dalam bahasa Arab tanpa ada sedikit pun mencampurkan antara Hak dan berkepentingan. WaAllahua’lam.











