Monday, 22 February 2010

Rasulullah s.a.w Utusan Terakhir.

Oleh Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Ahamdulillah syukur kehadrat-Nya. Salam dan Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w, Ahli keluarga Baginda serta Sahabat dan Sahabiah s.a.w. Dengan rahmat dari-Nya, kita dipertemukan lagi, dihidupkan, diberikan rezeki, diberikan hidayah dan diberikan segala nikmat yang melimpah-ruah untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini mengikut syariat dari-Nya.


Sebagaimana yang kita ketahui, di dalam Kitab Taurat dan Injil telah dinyatakan tentang akan adanya Nabi di akhir zaman untuk menyatukan umat manusia agar mentauhidkan serta mengEsakan Allah s.w.t. Pekara ini sememangnya diketahui umum oleh masyarakat Yahudi dan Nasrani bahawa kemunculan Nabi diakhir zaman itu benar-benar pasti akan berlaku. Tetapi dengan sikap sombong dan egonya mereka itu, membuatkan diri mereka menyangka bahawa Nabi tersebut adalah datangnya dari masyarakat keturunan mereka juga (Yahudi). Saban hari penantian mereka menunggu-nunggu akan kemunculan Nabi di akhir zaman tersebut, sehinggakan sangup menamakan anak-anak mereka itu sama seperti nama Nabi di akhir zaman tersebut mengikut apa yang telah dinyatakan di dalam kitab mereka, agar dengan harapan anak mereka itu beroleh pangkat kenabian dari Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t:

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” (Surah Al-Baqarah – Ayat 146).


Jika kita lihat di dalam kitab Injil, kita dapati bahawa, sememangnya akan hadir Nabi diakhir zaman di mana Beliau akan hadir mengantikan Nabi yang terdahulu, untuk membawa agar sekelian manusia kembali kepada syariat Allah s.w.t. Tetapi pekara ini telah disangkal sekeras-kerasnya oleh Ahli Kitab, di mana mereka berkepercayaan bahawa Nabi diakhir zaman itu adalah dari keturuanan mereka iaitu Yahudi.


“Jika kamu kasih akan daku, kamu akan memeliharakan hukum-hukumku, dan aku akan minta kepada Bapa supaya Ia beri kepada kamu Penghibur yang lain pula.” (Yuhana 14:15).


“Tetapi aku mengatakan yang benar kepada kamu, bahawa berfaedahlah bagi kamu jika aku undur dari kamu, kerana jika aku tidak undur, Penghibur itu tidak akan datang kepada kamu.” (Yuhana 16:17).


“Maka Penghibur itu akan membawa kamu kepada jalan kebenaran, kerana tidak ia akan berkata-kata dengan kemahuan dirinya sendiri, melainkan barang yang didengarnya kelak akan dikatakannya, dan ia akan khabarkan kepada kamu pekara-pekara yang akan datang. Ia akan memuliakan daku, kerana diambilnya pekara-pekara lalu dikhabarkan kepada kamu.” (Yuhana 16:13).


Dari tiga ayat tersebut, maka kita faham bahawa Nabi Isa a.s seorang penghibur, dan sesudah perginya akan datang Penghibur yang lain pula. Perkataan “Penghibur” yang tersebut itu, di dalam kitab Injil yang terdahulu, dikatakan berasal dari perkataan “Paraceleet” atau “Paraceliet”. Perkataan itu juga beerti “orang yang sangat terpuji (Ahmad atau Muhammad)” dan makna lainnya pula ada yang mengatakan sebagai “Orang yang melepaskan” atau “Menyelamatkan”.

Justeru itu saya lihat sifat-sifat “Penghibur” itu bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w iaitu Nabi yang terakhir bagi sekelian umat manusia. Sebagai contohnya, saya cuba lampirkan beberapa sifat berkenaan makna “Penghibur” tersebut dengan Nabi s.a.w untuk kita semua memahaminya.


1) Orang yang memperlihatkan agama akan mengetahui bahawa tidak ada kebenaran yang lebih nyata dari apa yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

2) Nabi Muhammad s.a.w tidak berkata-kata tentang hukum, melainkan apa yang Baginda dengar dari Allah s.w.t.

3) Nabi Muhammad s.a.w sudah menyatakan terlalu banyak pekara-pekara yang akan datang.

4) Nabi Muhammad s.a.w sering memuliakan Nabi Isa s.a tentang tauhid yang beliau bawa.


Maka dengan itu, jika kalaulah “Penghibur” itu bukan Nabi Muhammad s.a.w, maka siapakah Nabi yang telah datang sesudah Nabi Isa a.s bagi memenuhi Nubuwah (Khabaran) tersebut?. Persoalan inilah yang perlu bagi penganut-penganut kristian menjawabnya bagi menyatakan kebenaran akan hadirnya Nabi bagi sekelian umat diakhir zaman nanti. Sepanjang pengetahuan kita (Umat Islam), tidak akan ada seorangpun yang sudah mendakwakan dirinya sebagai Penghibur yang dinubuwahkan oleh Nabi Isa a.s, selain dari Nabi Muhammad s.a.w. Maka jika yang dikehendakinya itu bukan Nabi Muahammad s.a.w, maka siapakah yang ditunggu-tunggu oleh kaum Kristian?.


“Telah datang Tuhan dari Sinai, dan ia terbit bagi orang-orang itu dari sa’ir dan Ia bersinar dari gunung Faran, dan Ia datang dengan ribuan dari orang-orang yang kudus, dan di tangan kanannya ada syariat yang berapi. Ia saying akan kaumnya.” (Ulangan 33 : 2-3).


Dari apa yang dapat kita tafsirkan juga dari ayat tersebut maka:


1) “Tuhan datang dari Sinai” itu bermaksud, Nabi Musa a.s telah datang dari Thursina (Sinai) dengan membawa agama Allah s.w.t.

2) “Tuhan datang dari Sa’ir” itu bermaksud, Nabi Isa a.s datang dari gunung Sa’ir di Baitul Muqaddis dengan membawa agama Allah s.w.t.

3) “Tuhan datang dari Faran” itu bermaksud, Nabi Muhammad s.a.w datang dari gunung-gunung Makkah dengan membawa agama Allah s.w.t.


Mungkin kita keliru, apakah itu Faran?. Maka jika kita lihat dan mempelajari bahasa arab yang lama, Faran itu bermaksud salah satu tempat iaitu Makkah atau gunung-gunungnya. Ini beerti bahawa Faran itu adalah tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. Jadi siapakah Nabi yang lahir dari gunung Faran tersebut, selain dari Nabi Muhammad s.a.w?. Adakah ada selain dari nama gunung Faran dan sudahkah keluar daripadanya seorang Nabi buat menyempurnakan nubuwah Taurat tersebut?. Tentu jawapannya Tidak ada!. Kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Allahu Akhbar!.


“Katakanlah kepada Bani Israil, bahawa Aku akan adakan bagi mereka di akhir zaman, seorang nabi sepertimu dari saudara-saudara mereka, dan Aku akan letakkan perkataan-Ku dimulutnya, dan iapun akan berkata kepada mereka segala yang Aku hendak pesan kepada mereka.” (Ulangan 18:18).


Jika kita lihat bahawa, saudara bagi Bani Israil itu adalah Bani Ismail, kerana datuk bagi Bani Israil ini Ishak dan sedangkan Ishak itu pula Bani Israil. Semua Nabi yang dibangkitkan sesudah Nabi Musa a.s, adalah dari Bani israil, kecuali Nabi Muhammad s.a.w. lantaran itu, Nabi yang tersebut di ayat di atas merujuk bahawa tidak ada melainkan Nabi Muhammad s.a.w. Kalaulah yang tertera di dalam kitab Taurat itu bukan Nabi Muhammad s.a.w, maka tunjukkanlah siapa yang sudah memenuhi nubuwah tersebut?. Atau, adakah mereka tunggu kedatangan lain Nabi dari Bani Israil?. Kenapa diam!. Saya lampirkan lagi ayat tersebut untuk kita semua mudah memahaminya.


“Aku lihat pula langit terbuka, maka adalah kuda putih, dan yang menunggang dia dinamakan “Orang kepercayaan dan Benar”, maka dengan keadilan ia memutuskan hokum serta berperang. Adapun matanya itu seperti api, dan di kepalanya ada banyak mahkota.” (Yuhana 19:11).


Maka dari ayat tersebut, ditafsirkan bahawa ia sesuai dengan sifat Nabi Muhammad s.a.w, ini kerana Nabi s.a.w dinamakan Amin iaitu orang kepercayaan dan Shidiq orang yang benar, dan hukumnya adil serta dengan tidak memandang kanan atau kiri ketika Nabi Muhammad s.a.w di medan perang. “Matanya seperti api” bermaksud pahlawan yang gagah di dalam peperangan. Nabi Muhammad s.a.w berperang tetapi Nabi Isa a.s itu tidak berperang. Dan apa yang dimaksudkan dengan “Di kepalanya ada banyak mahkota” adalah dikepala pemikiran Nabi Muhammad itu mempunyai banyak rahmat dari Allah s.w.t sehinggakan para raja-raja akan tunduk, merendah diri dan beriman kepadanya.


“Alangkah bahagianya zaman yang Rasul itu akan datang kea lam ini. Percayalah kepadaku, aku telah melihat dia telah memajukan penghormatan, sebagaimana tiap-tiap Nabi sudah lihat dia, kerana Allah berikan kepada mereka rohnya sebagai kenabian. Di waktu aku lihat dia penuh kehiburanku dan aku berkata : “Ya Muhammad! Mudah-mudahan Allah bersertamu, dan hendaklah Ia jadikan daku orang yang layak membuka tali kusutmu, kerana kalau aku boleh dapat permintaanku itu, jadilah aku Nabi yang besar dan hamba Allah yang suci.” (Barnaba 44:27-30).


Jika kita lihat, bukan sekadar di ayat tersebut malah di beberapa tempat dari Injil Barnaba ada tersebut nama Nabi Muhammad s.a.w dengan tegas, bukan dengan lafaz yang mempunyai erti Muhammad. Oleh sebab itu kaum Kristian tidak mahu mengunakan kitab Injil Barnaba tersebut. Menurut tarikh, bahawa pada akhir-akhir kurun yang kelima sebelum Nabi Muhammad dijadikan Rasul, Paus bernama Glacuis telah mengharamkan orang-orang Kristian membaca beberapa kitab yang di antaranya adalah Injil Barnaba.


Kitab Injil Barnaba tersebut telah diubah bahasanya iaitu dari bahasa Itali kepada Inggeris dan dari Inggeris pula ke bahasa Arab. Penterjemahan kepada bahasa Arab ini telah dilakukan oleh Dr. Khalil Sa’adah iaitu seorang berbangsa Mesir yang beragama kristian. Manakala kitab ini pula telah dicetak oleh Mathba’ah Al-Manar.


Lantaran dengan itu nama Nabi Muhammad tersebut dengan tegas, maka khabar kenabiannya tersiar dengan pantas dan diterima juga oleh orang-orang yang cerdik pandai. Satu daripada tanda khabar tersebut adalah apabila raja-raja kristian yang dikirimkan surat oleh Nabi Muhammad s.a.w, telah hormati utusannya dengan secukupnya, malahan sebahagian daripada mereka ada yang memeluk Islam dan sebahagiannya pula menafikannya. Mungkin kurangnya kepercayaan mereka terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w pada ketika itu.


Oleh yang demikian, telah terbukti dan dibuktikan bahawa, kitab Injil dan Taurat ada menyatakan akan kenabian Muhammad s.a.w iaitu Nabi bagi sekelian umat manusia di akhir zaman. Tetapi dekad kini, segala pencaturan tersebut dianggap mudah bagi mereka-mereka yang tidak putus-putus menafikan bahawa Rasulullah s.a.w itulah utusan-Nya yang terakhir, sehinggakan sanggup mengadaikan maruah Islam itu semata-mata mngejar hasrat nafsu keduniaan. Kalaulah mereka-mereka ini mengkaji dan mengikuti apa yang telah diajar dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu sebaik mungkin, maka tidak akan adanya pekara-pekara murtad di kalangan warga Islam kita. Adakah ketika itu juga kita masih menyalahkan Allah?. Dengarlah wahai saudara dan saudariku sekelian, kita sebenarnya adalah Umat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu umat yang terakhir di kalangan umat manusia. Tiada umat selepas ini, kita akan menuju ke alam abadi untuk memperlihatkan segala amalan-amalan kita kelak. Maka dengan itu perteguhkanlah lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya, agar kita semua dapat bersama-sama menikmati syurga Allah s.w.t bersama-sama utusan-utusan-Nya malah disamping itu juga kita dapat melihat ‘Wajah’ Allah s.w.t yang telah menciptakan kita. Allahu Akhbar!.






Nota dan Rujukan :

1) Tafsir Al-Quran Prof. Dr. Hj Mahmud Yunus.

2) Fiqhus Sirah, Al-Ghazali.

3) A study of Islamic History, Prof. K. Ali.

4) Assabiyayaatufil Mawaa’idhil Barriyyaati, Al Imam As-Syaikhy Abu Nashry.




Saturday, 20 February 2010

Murtad.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Pengertian Murtad menurut kamus Al-Munjid dan Al-Marbawi mentafsirkan murtad atau Riddah adalah berundur, berpatah balik, kembali ke jalan asal atau keluar dari Agama Islam. Istilah murtad membawa maksud keluarnya daripada Islam (kembalinya orang Islam yang berakal dan dewasa kepada kekafiran dengan kehendaknya sendiri tanpa paksaan) melalui salah satu daripada tiga unsur iaitu ‘Niat’, ‘Perkataan’ dan ‘Perbuatan’. Saya akan membahagikan Riddah itu kepada dua bahagian iaitu ‘Riddah dengan Hati’ dan ‘Riddah dengan Perbuatan’ untuk kita semua sama-sama mengetahui akannya. Maka tidak mustahillah dalam kehidupan kita, kekadang kita terlepas pandang dan adakalanya kita tidak peka terhadap apa yang telah digarispandukan berkenaan dengan ciri-ciri kemurtadan ini. Sedangkan pekara ini telah kita semua ketahui umum akan akibatnya, serta kesannya terhadap diri kita dan Islam. Peruntukkan masa dan waktu itu sebenarnya ada, tetapi dengan timbulnya kesibukan kita akan hakikat duniawi itulah yang membuatkan kita menafikannya. Perlu diingati juga, saban hari kerektor manusia semakin hari semakin jauh, dan semakin hari juga semakin meluputkan apa yang dimaksudkan ‘Kekebalan Aqidah’.


Riddah Dengan Hati.


1) Tidak mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t, atau mengakui ada sekutu bagi Allah pada Zat-Nya seperti beriktikad bahawa ada kuasa yang sebanding dengan kekuasaan Allah s.w.t, atau syak tentang kewujudan Allah s.w.t atau beriktikad bahawa Allah tiada bersifat dengan satu sifat yang wajib bagi Allah bersifat dengannya melalui ijmak umat Islam seperti ilmu Allah dan kudrat Allah, atau mensabitkan sesuatu sifat kepada Allah padahal Allah suci daripada sifat itu seperti berjisim, berwarna dan bertempat.


2) Tidak mengakui atau syak kewujudan Malaikat-malaikat dan segala urusan yang diserahkan Allah kepada mereka.

3) Tidak mengakui atau syak tentang kebenaran Kitab-kitab yang telah diturunkan Allah s.w.t kepada Rasul-Rasul-Nya termasuk kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w atau tidak mengakui atau syak bahawa Al-Quran itu Kalamullah, terpelihara daripada tambahan dan kekurangan sama ada satu ayat atau satu huruf yang telah (disepakati) ijmak umat Islam padanya.

4) Tidak mengakui atau syak tentang kerasulan utusan-utusan Allah s.w.t yang disebut nama-nama mereka di dalam Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad s.a.w atau beriktikad harus ada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

5) Tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat (pekara ini telah saya bincangkan dalam artikel saya yang lalu) dan yang bersangkutan dengannya daripada soal hisab, syurga, neraka, timbalan amal perbuatan, pahala, dosa, seksa dan apa-apa yang diberitakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah daripada kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan pekara-pekara Ghaib yang wajib kita fahami dan mempercayainya.

6) Tidak mengakui atau syak tentang Qada’ dan Qadar Allah s.w.t, baik dan buruk semuanya datang daripada Allah s.w.t, bahawa Allah Pencipta segala sesuatu dan bebas menghendaki apa yang dikehendaki-Nya, memberi hidayat dan menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, bahawa Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya dan segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah s.w.t jua.

7) Tidak mengakui atau syak tentang hukum-hukum Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w.

8) Tidak mengakui atau syak terhadap pekara-pekara yang telah ijmak umat Islam padanya daripada pekara agama yang telah sabit dengan tiada boleh ditolak atau disangkal seperti Israk Nabi s.a.w daripada Masjidilharam ke Masjidilaqsa, mukjizat para Nabi atau mengingkari sunnah-sunnah Nabi yang shahih atau menafikan pekara wajib yang telah disabit dengan ijmak seperti kewajipan sembahyang fardhu lima waktu, sujud di dalam sembahyang, berwudhuk sebelum sembahyang, zakat, puasa dan haji, atau mewajibkan pekara yang tidak wajib dengan ijmak seperti menambah satu rakaat atau sujud di dalam sembahyang fardhu atau menafikan sesuatu pekara yang disyariatkan Allah s.w.t dengan ijmak umat Islam padanya seperti menafikan hukum sunat sembahyang-sembahyang sunat rawatib yang mengiringi sembahyang fardhu lima waktu.

9) Mendustai ayat-ayat keterangan Allah s.w.t dengan menghalalkan pekara yang telah diharamkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti haram berzina, liwat, mencuri, meminum arak, membunuh, riba dan sebagainya yang dikategorikan sebagai dosa-dosa besar, atau mengharamkan pekara yang telah dihalalkan dengan dalil Qat’i (Al-Quran, Hadith dan Ijmak) seperti halal jual beli, nikah, sewa menyewa dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah kamu berkata dusta menurut yang diterangkan oleh lidahmu sendiri; ini halal dan ini haram, supaya kamu mengadakan dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan dusta terhadap Allah, tidak akan beroleh kemenangan” (Surah An-Nahl – Ayat 116).


Dan orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 39).


10) Berazam hendak kufur pada masa akan datang dan seterusnya. Adapun merasa was-was tidaklah menjadi kufur kerana ia hanya lintasan hati.


11) Membenci atau tidak menyukai ajaran-ajaran Tauhid atau hukum-hukum Syarak yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Berlakunya yang demikian kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-quran), lalu Allah s.w.t mengugurkan amal-amal mereka. Pada umumnya seseorang itu boleh menjadi murtad apabila saja dia beriktikad dengan iktikad yang bercanggah dengan rukun Iman dan Aqidah Islam yang telah ijmak umat islam padanya dan pekara yang sememangnya diketahui di dalam agama Islam.

Firman Allah s.w.t :

“Dan orang-orang kafir, maka kecelakaanlah untuk mereka dan Dia menghapuskan amalan mereka. Demikian itu kerana mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah, lalu Dia menghapuskan (pahala) amalan mereka.” (Surah Muhammad – Ayat 8-9).


Riddah Dengan Perbuatan.


1) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, makhluk yang bernyawa dan tidak bernyawa samaada haiwan dan tumbuhan atau pekara-pekara yang mensyirikkan Allah s.w.t seperti sujud kepada salib (cross), api, angin, gunung, bukit-bukau dan sebagainya. Adapun memakai salib (cross) juga adalah perbuatan kufur kerana para Ulama’ Muktaqin menyifatkan dan bersepakat bahawa :


“Perbuatan kufur itu tiap-tiap perbuatan yang telah ijmak orang Islam bahawa perbuatan itu tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir pada hakikatnya. Oleh yang demikian kerana itu sekalipun orang Islam yang melakukan perbuatan orang kafir itu menyatakan bahawa ia orang Islam dengan terang-terang atau tiada berterang-terangan, dengan disaksikan oleh zahir keadaannya, jika perbuatan itu keluar daripadanya dengan sengaja memperolok-olokkan agama Islam dengan olok-olok yang terang dan nyata, maka sebenarnya dia adalah ‘Kufur’.”


2) Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan kitab Al-Quran atau kitab-kitab hadith seperti memijak atau melemparkan ke tempat yang kotor serta membakarnya.


Firman Allah s.w.t :

“Barang siapa yang murtad (kembali) di antaramu dari agamanya, lalu dia mati, sedang ia kafir, maka terhapus amalan mereka itu di dunia dan di akhirat, dan mereka itu penghuni neraka, sedang mereka kekal di dalamnya” (Surah Al-Baqarah – Ayat 217).


Murtad atau Riddah itu merupakan dosa besar yang dapat menghapuskan amal-amal soleh sebelumnya (semua amalan terbatal). Maka ia tidak mempunyai hak apa-apa terhadap kaum Muslimin dan haram untuknya nikmat akhirat bahkan mereka kekal di dalam neraka di akhirat nanti. Begitulah gambaran yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita (manusia) bahawa gejala murtad ini adalah satu pekara Aqidah yang perlu kita semua ketahui akan hakikatnya. Dunia yang semakin hari semakin dimamah usianya, sering terlihat akan gejala murtad itu kian berleluasa tidak kiralah di luar atau di dalam Negara kita amnya. Budaya-budaya mengagungkan idola-idola barat serta sekularisme yang tidak mempunyai unsur-unsur keislaman itulah sedikit sebanyak merobek-robek jiwa dan hati-hati masyarakat kita untuk menjerumuskan diri kepada kemurtadan. Maka tidak hairanlah mengapa ada golongan Para Mufti dan Solehfusoleh kita bersepakat bahawa hampir sebilangan masyarakat Islam di Negara kita tergolong kepada gelaja Murtad. Malahan apa yang membimbangkan kita lagi golongan tersebut majoritinya datang dari golongan muda-mudi dan belia yang datangnya dari keluarga yang beragama Islam. Pekara ini yang amat-amat kita bimbangi dan takuti. Lihat sahaja edisi-edisi perancanaan media massa dan penerbitan elektronik serta multimedia kita, rata-ratanya mengajak dan mengajar kita akan ketaksuban terhadap golongan kemurtadan malahan dibimbangi pula akan budaya keseronokan melampau itu sedikit sebanyak membawa kepada unsur-unsur murtad. Bimbingilah dan teladanilah diri, keluarga dan generasi kita untuk mengetahui akan hakikat ini. Berilah ruang dan ketika untuk memberi peringatan kepada mereka-mereka ini akan hakikat mensyirik dan murtad kepada Allah s.w.t. Allahu Akhbar!.



Friday, 19 February 2010

Holy Water?.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah, ucap syukur terhadap-Nya, menghidupkan dan memberi rahmat serta hidayah kepada kita semua bagi mengharungi kehidupan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini mengikut segala ajaran yang dibawa oleh junjungan besar kita iaitu Nabi s.a.w. kehidupan kini penuh dengan fitnah, tidak kiralah dipersekitaran kita mahupun di laman-laman siber yang pada amnya kian membimbangkan. Fitnah itu kalau kita semua tahu, dosanya lebih dahsyat dari dosa seseorang yang membunuh saudaranya sendiri. Fitnah itu tidak mengenal akan siapa mangsanya. Dengan fitnah itu juga, kadangkalanya persahabatan akan terputus, keluarga akan cerai berai, masyarakat akan berkelahi, Negara akan kacau-bilau dan berpuak-puak serta masyarakat dunia amnya akan menjadi kusut dan diselubungi dengan perasaan saling dengki mendengki, hasut menghasut dan seribu satu macam penyakit iblis yang akan muncul.


Sebagaimana juga yang telah kita semua ketahui, melalui fitnah itu juga, umat Islam akan menjadi berpecah, berpuak-puak, bersengketa walaupun hanya melibatkan pekara-pekara yang kecil. Lihat sahaja contohnya dua belas tahun yang terdahulu, kerana fitnah umat Islam Negara kita terbahagi kepada beberapa puak dan fahaman, satu berfahaman taghut, satu berfahaman firaun, satu berfahaman Qarun. Inilah realitinya masyarakat yang masih tidak kenal akan propaganda yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk memecah belahkan umat Islam di Negara kita khasnya. Prinsip ‘Pecah dan ‘Tadbir’ itu adalah propaganda yang sering dimainkan oleh musuh-musuh Islam untuk menjadikan Negara umat Islam itu mundur dari segi, kefahaman pengetahuannya, aqidahnya, pentadbirannya, sistem pertahanannya, dan sebagainya. Kini!, bencana fitnah itu bermain lagi, dan perpecahan itu tetap akan berlaku selagimana sentimen-sentimen fitnah itu dimainkan oleh pihak tertentu untuk memperlihatkan bahawa masyarakat kita kini akan menuju lagi perpecahan yang amat dahsyat dari apa yang sebelum ini terjadi.


Kalau kita lihat, Andalusia jatuh adalah kerana ketaksuban pemimpinnya terhadap duniawi, maka apabila ia lemah, mereka dipecahbelahkan kepada beberapa wilayahnya menjadi satu wilayah yang begitu banyak pemimpin. Setelah perpecahan berlaku, maka hadirlah ideologi baru untuk memperbaharui sistem yang telah ada. Timbullah pula Ideologi Sekularisme barat mengantikan sistem pentadbiran Islam yang telah sedia ada. Ia berlaku bukan jangka masa yang singkat, tetapi perancangannya mengambil masa beratus-ratus tahun lamanya. Maka apa yang sedang kita lihat pada Negara Andalusia itu ketika ini?. Begitu juga terjadinya pada Negara Iraq khasnya. Majoriti pemimpin Islam yang berada di bumi Anbiyaa itu tidak mendapat kata sepakat, ada yang ‘Pro’, ada yang ‘Bantah’ dan ada yang ‘Berkecuali’. Tetapi pada hakikatnya mereka-mereka itu sudah lama berpecah-belah akibat dari sedikit perselisihan faham mengenai kemewahan duniawi. Inilah kebenaran masyarakat umat Islam amnya yang masih tidak mahu mempelajari, mengigati malah menteladani apa yang dikatakan ‘Pecah’ dan ‘Tadbir’ oleh pihak Ahli khitab. Ini soal aqidah yang kita semua ketahui dan jarang pula kita memahaminya dengan tertil. Kalaulah pekara yang terang-terang itu kita semua tidak dapat menghidu dan melihatnya, macamana pula hendak memperhujahkan pekara-pekara lain yang melibatkan aqidah umat Islam, sebagai contohnya soal “Holy Water”. Sesuatu pekara yang kecil, tetapi digembar-gemburkan agar menjadikan Umat Islam itu keliru. Malah ada yang terlibat dengan pekara-pekara kesyirikan terhadap Allah s.w.t. Bilalah masyarakat kita hendak membuang pekara-pekara Tahyulisme dan Bebalisme ni!.


Kalau kita semua perhatikan Holy water bukan lagi satu isu perkataan asing bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia. Walaupun jarang dilihat oleh orang ramai, namanya memang pernah didengar oleh orang ramai. Cerita mengenai holy water sudah tersebar di kalangan orang-orang Melayu sejak lebih 50 tahun yang lalu, setelah berlakunya kes murtad pertama dalam sejarah tanah air pada tahun 1950, melibatkan seorang gadis bernama Natrah.


Apabila berlakunya kes murtad kedua, ketiga, keempat dan seterusnya, cerita-cerita mengenai holy water semakin tersebar luas dengan pelbagai versi. Akibatnya holy water menjadi sesuatu yang amat ditakuti oleh orang-orang Islam, sehingga kadangkala menjadi tidak berasas. Pada hal, apalah sangat dengan holy water?. Jika benar holy water itu begitu hebat, di dalam Islam pastilah ada penawarnya. Ini sejajar dengan kemuliaan Al-Quran dan kesempurnaan Islam itu sendiri.


Jika benar holy water itu begitu hebat, orang-orang Kristian tidak perlu bersusah payah hendak memurtadkan orang Islam, sehingga terpaksa mengunakan pelbagai taktik licik lain?. Mereka boleh memasukkan holy water ke dalam minuman dan makanan yang datang dari Negara mereka dan dijual dikedai-kedai di tanah air kita dan Negara-negara umat Islam lain, habis episod orang Islam di dunia ini akan murtad.


Ternyata, realiti sebenar tidaklah begitu. Begitupun, umat Islam janganlah pula mengambil sikap terlalu mudah dengan holy water ini sehingga sanggup cuba hendak meminumnya walaupun holy water tersebut hanyalah hanya holy water biasa sahaja. Holy water bukanlah minuman untuk orang Islam. Lebih-lebih lagi ternyata di kalangan orang-orang kristian ada yang sesat, walaupun semua kristian itu sendiri adalah sesat. Mereka yang sesat itulah yang merosakkan nama dan menyalahgunakan holy water.


Namun, mengaitkan holy water dengan mudahnya orang menjadi murtad tentunya Tidak Wajar. Orang murtad kerana dia sendiri yang mahu keluar Islam, bukan kerana holy water. Selaku umat Islam, kita perlu bersikap rasional dalam hal-hal sedemikian. Dengan itu barulah kita boleh melakukan langkah-langkah wajar yang lebih konkrit bagi mengatasi masaalah murtad di kalangan umat Islam.


Justeru, orang ramai terutamanya umat Islam perlu faham dengan pekara ini. Umat Islam tidak sewajarnya mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan tanpa asas mengenai holy water. Sebaliknya, setiap umat Islam perlu memantapkan Ilmu, Iman dan mempertingkatkan amalan masing-masing dari hari ke hari. Dengan itu barulah umat Islam tidak berjaya digoyahkan Iman dan Takwanya oleh golongan anti Islam, dan menjadi umat yang benar-benar berjaya di dunia dan di akhirat serta disegani kawan dan lawan. Sama-samalah kita renunginya dengan lebih mendalam bahawa holy water itu hanyalah satu propaganda pihak kristian untuk menakut-nakutkan serta mencalitkan aqidah umat Islam. Kalaulah benar kehebatan holy water tersebut, ada lagi yang lebih hebat darinya. Siapa Dia? Allah s.w.t Maha Perkasa terhadap sekelian ciptaan dan makhluk-Nya. Lupakah kita akan hakikat itu?. Maka dengan itu perbaharuilah serta mantapkanlah lagi Aqidah dan Iman kita untuk menangkis segala propaganda yang dibawa oleh pihak tertentu untuk melemahkan umat Islam. Allahu Akhbar!.

Wednesday, 17 February 2010

Sifat Taqwa.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah, syukur dengan limpah rahmat dan hidayah dari-Nya, kita dipertemukan lagi, diberikan nafas untuk menghirup udara untuk menjalani tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh-Nya terhadap kita sebagai pentadbir dan pengurus alam ini mengikut ketentuan dan keredhaan-Nya berlandaskan syariat-syariat yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w untuk sekelian manusia bagi mentauhidkan Allah s.w.t.


Sabda Rasulullah s.a.w:

“Perasaan takutkan Allah merupakan sumber kebijaksanaan”


Ibnu Umar r.a sering menangis kerana takutnya Allah s.w.t. Katanya kepada orang yang memerhatikannya: “Agaknya kamu hairan melihat aku menangis? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah”


Pada suatu hari Nabi s.a.w telah melalui seorang sahabatnya yang sedang membaca Al-Quran. Apabila sipembaca tadi sampai ke ayat yang berbunyi:


“Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;” (Surah Al-Rahman – Ayat 37)


Bulu roma sipembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya: “Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah? Malang nasibku ini.” Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Tangismu telah menyebabkan para malaikat juga turut sama menangis” Jawapan yang sama telah diberi oleh Nabi s.a.w kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjudnya.


Abdullah bin Rawahah r.a telah menangis pada suatu hari ketika beribadah. Isterinya melihat keadaannya turut juga menangis bersama-sama. Lalu ia bertanya kepada isterinya: “Mengapa kamu menangis?.” Jawab isterinya : “Apa yang menyebabkan engkau menangis itulah yang menyebabkan aku menangis.” Kata Abdullah: “Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui Ash-Shirath, aku menangis.Aku tidak tahu samaada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak.”


Pada suatu ketika Zurarah bin Aun r.a sedang bersolat di masjid. Apabila ia membaca ayat:


“Kerana apabila telah ditiup sangkakala, Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar” (Surah Al-Muddaththir – Ayat 8 & 9)

Lalu ia jatuh rebah ke bumi dan meninggal dunia. Begitulah betapa taqwanya ia terhadap Allah s.w.t.


Dalam satu kisah yang lain pula, telah diriwayatkan bahawa Aishah r.a ha telah bertanya kepada Nabi s.a.w:


“Adakah di antara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan?.”


“Ya,” Jawab Nabi s.a.w. “Dia ialah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah ia lakukan”


Nabi s.a.w menjawab lagi:

Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah. Titisan air mata kerana takutkan-Nya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang di jalan-Nya.”


Mengikut tafsir hadith ada tujuh jenis manusia yang dapat melindungi diri di bawah naungan Arash. Salah seorang daripada tersebut adalah orang yang menangis apabila berseorangan kerana takutkan Allah dan kerana menyesali dosa-dosanya yang telah lampau.


Umar r.a berkata:

“Kalau pada hari perhitungan diistiharkan kepada seluruh manusia, dan kecuali seorang sahaja yang akan memasuki neraka, sudah tentu dosa-dosaku akan menyebabkan aku menyangka yang simalang itu adalah aku sendiri. Sebaliknya kalau diistiharkan yang semua kecuali seorang sahaja akan memasuki syurga, sudah tentu aku akan berharap yang orang yang menjadi pilihan Allah itu adalah aku sendiri.”


Kisah umar r.a tersebut menunjukkan bertapa perlunya perasaan takut bercampur dengan harapan ini terselit di hati Umat Islam yang inginkan kebahagiaan ukhrawi. Bila menghadapi maut pula harapan akan rahmat Allah s.w.t sepatutnya melebihi perasaan takut tersebut.


Kata Nabi s.a.w:

“Tidak seorang pun yang sepatutnya mati tanpa harapan yang kuat akan rahmat Allah.”


Saya tertarik dengan sebuah kisah yang telah diriwayatkan apabila Imam Ahmad bin Hambal sedang menghadapi maut, dia mengesakan anaknya supaya menbaca Hadith-hadith Nabi s.a.w agar menekankan tentang perlunya ada harapan akan rahmat Allah s.w.t. Tetapi bagaimana pula dengan kita?.


Namun dekad kini, keadaan sungguh berbeza, pencaturan ketaqwaan yang telah dicontohi sebelum ini kian luput. Manusia seolah-olah tanpa rasa takut dan gerun terhadap kekuasaan Allah s.w.t. Ada yang sangup menafikan, melawan dan melemparkan fitnah yang berpanjangan terhadap Allah s.w.t serta Rasul-Nya. Maka tidak hairanlah juga, dilema takutkan Allah s.w.t ini sudah kian terpinggir oleh sesetengah manusia yang kononnya mengakui akan kebesaran Allah s.w.t. Lihat sahaja pada Negara kita amnya, menangis, merintih, bersedih bukan kerana kasihnya kepada Maha Pencipta, tetapi atas dasar cinta dan kasihnya terhadap populari seseorang. Lebih malangnya lagi, mereka-mereka ini datangnya dari orang-orang yang mengakui bahawa mereka itu beragama Islam. Pekara ini yang amat-amat dibimbangi kita saat ini.


Maka dengan itu, kalau dahulunya kita semasa dipersekolahan, kita sering dihidangi dengan Ilmu agama yang secukupnya, maka perkukuhkanlah ia kembali, agar ia tidak luput. Pelajarilah sejarah-sejarah ketokohan Ilmuan Islam yang terdahulu dari generasi kita, yang banyak mengajar akan erti Taqwa, agar segala ikutan yang terbaik itu terpahat dalam diri dan generasi kita. Kita bukan bangsa yang hanya mencedok dari budaya bangsa penjajah dan sekuralisme, kita adalah bangsa yang merdeka, merdeka dari segi pemikiran, tetapi bukan beerti kita merdeka, Islam itu kita ketepikan. Bukankah kita perlu berbangga dengan bangsa yang berteraskan Islam?. Islam itu adalah pemangkin kemajuan dunia dan akhirat. Jika majunya kita ‘tanpa Islam’, maka sebenarnya kita telah terpesong dari rahmat Allah s.w.t. WaAllahu a’lam. Allahu Akhbar!.




Thursday, 11 February 2010

Ketaatan Mendirikan Solat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man

yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Solat atau sembahyang merupakan salah satu rukun Islam yang terpenting dalam setiap diri seorang Muslim. Solat juga adalah ikatan benteng terakhir bagi Aqidah seorang yang mengenal Allah s.w.t. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka tiadalah lagi ikatan pertaliannya dengan Islam. Pada Hari Kiamat kelak, sepertimana yang kita semua ketahui bahawa solat itu adalah merupakan amalan yang pertama sekali diperiksa dan ditanya oleh Allah s.w.t. Bagi pendapat saya, solat itu adalah perisai atau benteng bagi diri setiap orang Islam. Jika tidak bersolat, maka ia juga dilabelkan sebagai orang yang mensyirikkan Allah s.w.t dengan sesuatu. InsyaAllah saya akan perjelaskan pekara ini di akhir perenggan nanti. Maka bersolatlah kita semua sebelum ‘kita disolatkan dihadapan Imam’. Ketika itu solat kita sudah tidak berguna lagi sebagai bekalan menuju ke alam yang abadi.


Sabda Rasulullah s.a.w :

“Solatlah yang membezakan kekufuran dengan keimanan”


Nabi s.a.w telah menyatakan bahawa Allah s.w.t telah berfirman kepada Baginda :


“Kemurkaan-Ku akan menimpa orang yang menaruh sebarang perasaan benci terhadap sahabat-sahabat-Ku. Mereka yang diberkati dengan kasih sayang-Ku ialah mereka yang menjalankan setiap perintah-Ku tanpa ragu-ragu. Orang yang meningkat tinggi pada pandangan-Ku ialah orang yang melakukan Nafilah sehingga dia Ku jadikan ‘kekasih-Ku’. Kemudian jadilah Aku telingganya, dengan mana ia mendengar, matanya, dengan mana ia melihat, tangannya, dengan mana ia memegang dan kakinya, dengan mana ia berjalan .(pendengarannya, penglihatannya, pemegangannya, dan perjalanannya sesuai dengan perintah-Ku sehingga ia tidak ingin mengunakan sebarang anggota badannya untuk mengingkari perintah-perintah-Ku) Kalau orang tersebut adalah yang sedemikian, maka doanya Aku makbulkan, kalau ia meminta perlindungan, permintaannya Aku tunaikan”


Sebagai contoh yang hendak saya nyatakan di sini adalah, solat itu sebenarnya merupakan pembersihan hati dan jiwa kita sebagai seorang hamba-Nya untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Solat itu juga adalah kemuliaan Iman dan Takwa kita terhadap Allah s.w.t. Tidak mendirikan solat beerti kita ingkar terhadap perintah-Nya. Selayak keingkaran tersebut juga tergolong di dalam golongan orang kafir dan kufur terhadap Allah s.w.t. Jika kita memegang jawatan tinggi atau diri kita disanjungi orang, tetapi kita tidak mendirikan solat, maka sebenarnya martabat kita sebagai seorang Muslim itu sebenarnya yang terbawah sekali dari kaca pandangan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak memandang seseorang itu berdasarkan keturunan, pangkat, rupa, harta, kerjaya dan sebagainya, tetapi sebaliknya Allah s.w.t melihat hamba-Nya itu berdasarkan Keimanan dan Ketakwaannya terhadap Allah s.w.t. Jika kita sebagai seorang pendidik sekalipun malah kita sebagai orang yang sering membantu masyarakat dalam segenap topik, tetapi kita mengambil mudah berkenaan dengan solat, maka ia adalah satu usaha yang sia-sia dan keberkatan kita di hadapan Allah s.w.t sebagai seorang yang beragama Islam itu adalah yang terburuk. Walaupun usaha-usaha murni kita itu memberi kesan yang mendalam terhadap seseorang. Maka secara keseluruhannya solat itu merupakan tiang dan batu asas monumen sebagai seorang Muslim.


Oleh yang demikian, sebagai contoh yang hendak saya bawa dan kongsikan di sini adalah tentang solat Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Saya tertarik dengan satu riwayat dari Isteri Nabi s.a.w iaitu Ummul Mukminin Aishah r.a yang mengisahkan ketika pada suatu malam Rasulullah s.a.w sedang tidur berbaring bersamanya, lalu Baginda s.a.w kemuadian berkata, “Sekarang biarlah aku menyembah Allah, Pemberi rezekiku”. Sambil berkata demikian, Baginda pun lalu bangun serta mendirikan solat dengan segala perasaan ikhlas dan tawadhuk. Semasa Baginda s.a.w bersolat, ia menangis, demikian juga keadaannya ketika rukuk dan sujud. Setelah bangun dari sujud keadaan Baginda s.a.w masih tidak berubah dengan tangisannya. Demikianlah halnya sehingga Bilal r.a melaungkan azan menandakan waktu fajar telah menjelang tiba. Lalu ketika itu Isteri Nabi s.a.w Ummul Mukminin Aishah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w.


“Ya Rasulullah, tuan tidak berdosa kerana Allah telah mengampuni setiap dosa Tuan, mahupun yang telah lalu ataupun yang akan datang. Tetapi Tuan masih memandang rendah terhadap diri Tuan sendiri”. Maka ketika itu Baginda Rasulullah s.a.w menjawab; “Aku sudah sepatutnya berterima kasih kepada Allah. Aku sudah sepatutnya bersembahyang begini mengigatkan ayat-ayat yang telah diwahyukan Allah kepada aku. Apakah tidak patut aku berterima kasih kepada Tuhanku?”


Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”(Surah Ali-Imran – Ayat 190-191).


Ada juga diriwayatkan dalam hadith Rasulullah s.a.w bahawa kaki Baginda s.a.w bengkak-bengkak kerana Beliau memanjangkan rakaat ketika di dalam sembahyangnya. Begitulah apa yang di gambarkan oleh Baginda terhadap ketekunannya ketika bersolat. Pekara ini sepatutnya kita ambil ibrah yang berguna untuk mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah s.w.t dari apa yang telah di ajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Perlu diingati juga, bahawa kita baru di permulaan tajuk, banyak lagi yang kita perlu kongsikan di sini tentang hakikat bersolat. Sebagai contoh yang lain pula, saya bawakan di sini adalah solat yang di lakukan oleh Para Sahabat r.a yang mahsyur.


Ada riwayat juga menyatakan bahawa Syaidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang telah dinyatakan oleh Abdullah bin Zubair r.a bahawa, beliau bersolat berdiri dengan tegak tanpa bergerak-gerak seolah-olah beliau terpaku di bumi. Maka para ulama’ semuanya berpendapat yang Abdullah bin Zubair itu telah belajar sembahyangnya daripada Abu Bakar r.a dan Abu Bakar r.a pula mempelajarinya dari Nabi s.a.w. Menurut cerita, Abdullah bin Zubair apabila ia bersujud, maka sujudnya itu terlalu lama sehingga burung-burung dapat hinggap bertenggek di atas badannya. Kadangkalanya pula ia berukuk dan bersujud sepanjang malam. Begitulah gambarannya yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Nabi s.a.w terhadap cintanya mereka kepada Allah s.w.t.


Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain iaitu ketika Syaidina Umar Al-Khatab r.a telah ditikam dan luka akibat tikaman itulah yang menyebabkan ia meninggal dunia. Badannya berdarah dan kadangkalanya ia jatuh pengsan selama beberapa ketika. Tetapi apabila diberitahu tentang tibanya waktu solat, dia pun bangun lalu mendirikannya. Kata-kata huqamah beliau berkenaan solat ketika itu adalah; “Tiada tempat dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat”. Inilah yang sepatutnya kita semua contohi, tidak bermakna kita sakit, maka tidak diwajibkan bersolat. Bukankah Islam juga mengajar akan kita tentang solat ketika kita sakit?.


Sebagai contoh sahabat yang lain pula adalah Syaidina Uthman r.a, beliau akan bersolat sepanjang malam serta mengkhatamkan seluruh Al-Quran dari masa ke semasa. Begitu juga dengan syaidina Ali r.a, beliau akan mengeletar dan wajahnya menjadi pucat. Ketika itu beliau telah ditanya oleh seseorang berkenaan dengan keadaan dirinya, lalu ia menjawab; “Telah tibalah masanya untuk aku tunaikan amanah yang telah dipersimpankan kepada aku oleh Allah s.w.t dan yang enggan diterima oleh langit, bumi dan bukit-bukau”.


Saudara-saudari kenal tidak dengan sahabat Nabi s.a.w iaitu Hatim bin Asam r.a?. Beliau merupakan seorang yang tekun ketika beribadah kepada Allah s.w.t. Ada riwayat menyatakan bahawa ketika tibanya waktu sembahyang, lalu ia berwudhuk serta berjalan ke tempat yang hendak ia bersembahyang. Kemudian ia pun berdiri untuk bersembahyang. Semasa itulah beliau membayangkan suatu gambaran yang jelas di hadapan matanya iaitu kaabah di hadapan, kakinya di titian Ash Shirath dengan syurga di sebelah kanannya dan neraka di sebelah kirinya serta malaikat Izrail a.s di belakangnya. Beliau berasa seolah-olah itu adalah solatnya yang terakhir. Dalam ketika itu beliau menunaikan solat tersebut dengan penuh Keimanan, Keikhlasan dan Ketaatan terhadap Allah s.w.t.


Oleh yang demikian ini adalah gambaran yang telah ditunjukkan dan diajarkan oleh Nabi s.a.w kepada sahabat-sahabatnya dan seterusnya ia diwarisi hingga ke saat ini. Jika Nabi s.a.w dan sahabat r.a sangat ikhlas dan tekun ketika bersolat, malah di kalangan mereka juga adalah golongan yang Nabi s.a.w nyatakan sebagai ahli syurga dengan segala rintangan dan dugaan, kenapakah kita tidak mencontohinya, sedangkan kita ini amat dan terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan mereka semua?. Persoalan inilah yang sepatutnya bermain diminda kita ketika ini. Lihat sahaja ketika zaman Rasulullah s.a.w, ketika itu masjid Baginda tidak secantik dan seindah masjid yang tersergam sekarang, tetapi Makmumnya ketika itu sehinggakan bersolat di luar masjid bersama-sama Rasulullah s.a.w. Tetapi berbeza dengan keadaan pada hari ini, ruang masjid ketika solat fardu wajib itu kadangkalanya amat-amat menyedihkan walaupun masjid tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang canggih. Lebih malangnya lagi, apabila tibanya musim perayaan, solat sunat itu pula melebihi Mukmunnya dari solat fardu. Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sebenarnya memperlekehkan Islam secara umumnya.


Begitu juga halnya bagi orang-orang yang sengaja meninggalkan solat. Kadangkalanya cara mereka ini seolah-olah tidak mengambarkan rasa kesalahan mereka terhadap Allah s.w.t. Lebih malangnya lagi ia terdiri dari golongan yang tahu akan erti solat tersebut, malahan golongan ini juga merupakan golongan yang rata-rata berpendidikan. Golongan yang meninggalkan solat ini, saya gambarkan ia sebagai golongan yang mensyirikkan Allah. Tentu ada di antara kita di luar sana menganggap bahawa ia sesuatu yang melampau, tetapi ini adalah satu peringatan buat kita semua, bahawa orang yang tidak bersolat itu adalah orang yang sememangnya tidak beragama, malah ia juga termasuk dalam golongan orang yang syirik terhadap Allah s.w.t serta kufur terhadap nikmat-Nya. Tahukah kita semua akan dosa Syirik itu? Apakah syirik itu?. Tentu kita tahu malah mengenal akan makna syirik itu, jadi kenapa kita meninggalkan solat kalau kita benar-benar malah tahu akan hakikat syirik tersebut. Bukankah Islam itu untuk orang yang berakal. Maka akal itulah yang membezakannya.


Firman Allah s.w.t:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyat – Ayat 56).


Saudara dan saudari faham tidak akan maksud dan tafsir ayat Allah s.w.t tersebut?. Ia adalah bersifat tegas dan larangan serta peringatan kepada golongan jin dan manusia agar mengigati-Nya. Melalui apa?. Melalui Solat dan ibadah kepada-Nya. Maka sudah jelas, Allah s.w.t berfirman bahawa solat itu merupakan ibadah yang penting dan merupakan rukun bagi seseorang Muslim. Jika solat itu dianggap remeh, maka sebenarnya kita adalah golongan yang tidak pernah mensyukuri nikmat dan rahmat Tuhan. Sebagai contoh yang lain, jika seseorang itu tidak bersolat, maka ia tidak mengigati langsung akan Allah s.w.t. Sedangkan dalam hidup dan mati kita mestilah berpaksikan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memberi kehidupan kepada kita dan Allah s.w.t yang memberi rezeki kepada kita. Maka jika ia enggan bersolat, disifatkan juga bahawa hati dan jiwanya berpaksi kepada selain dari Allah s.w.t. Mungkin boleh jadi kemewahan, kemahsyuran, pangkat, harta, kerjaya, dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa pekara tersebut melebihi pentingnya dari Allah s.w.t. Bukankah ini sesuatu pekara yang menduakan Allah?, Bukankah ini juga tergolong kepada pekara yang mensyirikkan Allah?. Sedangkan pada hakikatnya kita hanya sedar bahawa mensyirikkan Allah itu hanya kepada bomoh, pawang, dukun dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama, pekara-pekara yang lain yang bersangkutan dengan entiti syirik itu kita tidak kisahkan.


Oleh yang demikian, di sini saya ingin memperbetulkan sedikit tentang apa yang kita sama-sama perbincangkan dan akan dilalui nanti, di mana, ubahlah pemikiran kita tentang hakikat bersolat. Pada ibu dan bapa yang berada di luar sana, ubahlah sikap agar memilih bakal menantu yang bersolat. Untuk apa yang perlu saya katakana di sini?. Cuba kita semua bayangkan, dekad ini orang melihat bakal menantu itu berpaksikan kepada sejauh mana pelajaran mereka, pekerjaan yang dijawatnya, keturunan, malah ada seribu satu asas yang tidak munasabah yang telah lama diperlihatkan oleh mereka-mereka ini. Tetapi bermulalah dengan Tarbiyah ini, ubahlah dari sikap memilih bakal menantu yang sedemikian kepada bakal menantu yang bersolat. Pilihlah bakal menantu yang benar-benar tahu tentang Syariat-Nya, malahan tergolong di dalam golongan orang-orang yang bersolat. Bukankah dalam Islam telah mengajar akan hakikat tersebut?. Bukankah agama itu satu pencaturan kehidupan yang utuh?. Jadi kenapa harus memperlekehkannya. Cuba kita lihat, jika seseorang itu tergolong di dalam orang yang tidak bersolat, dan ketika itu ia diraikan dengan meriah di majlis perkahwinannya, maka sebenarnya kita sekeluarga sebenarnya berdosa. Berdosa bagaimana? Berdosa kerana meraikan orang yang tidak bersolat ketika di hari perkahwinannya. Kalau pada zaman Rasulullah s.a.w, orang yang tidak bersolat berjamaah ketika di masjid, Nabi s.a.w menyuruh agar membakar rumah-rumah mereka. Ini satu peringatan kepada kita semua bahawa solat itu adalah ibadah yang amat-amat penting dalam Islam. Maka dengan itu saya berpesan kepada diri saya dan kamu yang berada di luar sana malahan yang sering mengikuti perkembangan blog saya ini, agar segerahlah bertaubat dan kembalilah kepada-Nya. Hijrahkanlah pemikiran kita tentang istilah solat ini, kalau dahulunya kita ini golongan yang ingkar bersolat, maka bertekadlah bahawa saat ini kita adalah golongan orang yang menyegerakan ketikamana tibanya waktu solat. Bukalah minda kita akan hakikat kebenaran ini, kita diberikan waktu oleh Allah s.w.t, bukan untuk menambahkan atau membebankan dosa-dosa kita, sebaliknya kesempatan waktu dan ketika itu hendaklah digunakan untuk mentauhidkan-Nya. WaAllahua’lam. Allahu Akhbar!.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails