Saturday, 19 December 2009

Ma'al Hijrah Satu Pengertian.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



BismillahirRahmanirRahim,Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Salam Ma’al Hijrah 1431, kepada seluruh umat Islam amnya. Pengertian Ma’al Hijrah ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Ia memerlukan kekuatan Iman, Taqwa dan disiplin yang tinggi untuk menjadikan diri kita benar-benar menghayati erti pengorbanan yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada umatnya. Sebagaimana yang telah kita ketahui, bahawa Syaidina Umar Al-Khatab adalah sahabat Nabi s.a.w yang telah mencadangkan tarikh 1 Muharam adalah hari bermulanya hijrah tersebut, walaupun sebenarnya ia telah berlaku sebelum bulan Muharam lagi, maka Nabi s.a.w bersetuju dengan pendapat dan cadangan Syaidina Umar Al-Khatab untuk menjadikan bulan Muharam adalah bulan bermulanya tahun baru bagi kelendar Islam. Penghayatan Ma’al Hijrah ini berterusan hingga ke hari ini dan dikenali seluruh umat Islam amnya. Ma’al hijrah ini memerlukan penelitian yang cukup mendalam, ia melibatkan konsep perubahan dalam diri individu tersebut untuk berhijrah. Kalau dahulunya penghijrahan masyarakat Islam dari Mekah ke Madinah atas dasar perubahan yang dibawa oleh Nabi s.a.w, maka perubahan tersebut berterusan hingga ke hari ini. Tetapi pada dekad kini ia bukanlah perubahan dari satu tempat ke tempat yang lain, ia lebih kepada perubahan dalam diri seseorang itu mendekatkan lagi kepada Allah s.w.t. Kalau dahulunya kita merupakan orang yang suka melewat-lewatkan untuk bersolat, tetapi pada hari ini biarlah kita orang yang melaungkan azan dan qamat untuk menyeru supaya orang pergi dan mendirikan solat. Begitu juga kalau dahulunya kita merupakan orang yang suka menghabiskan masa hingga ke lewat malam untuk mencari rezeki, tetapi apabila bermulanya pengertian hijrah tersebut, maka jadikanlah diri kita orang yang sering menghadiri kuliah-kuliah Ilmu di masjid atau di surau-surau. Dan kalau dahulunya kita sering mengabaikan amalan-amalan sunat sebelum dan selepas solat wajib, maka jadikanlah dan tambahilah amalan-amalan sunat tersebut untuk memantapkan lagi amalan kita selama ini. Ini satu bentuk perubahan dari satu kejahilan kepada kemuliaan diri atas dasar untuk mentauhidkan Allah s.w.t. Perubahan ini memerlukan komitmen diri yang optimis dan telus. Ia bukan sekadar omong-omong kosong yang dilaungkan di kedai-kedai kopi dan cafĂ© berinternet. Ia memerlukan insan-insan yang berhatikan Keimanan, Ketaqwaan dan Disiplin yang tinggi untuk memacu penghijrahan tersebut. Disiplin yang tinggi untuk memantapkan lagi Iman dan Taqwa tersebut adalah kunci untuk mendekatkan lagi diri kita terhadap Allah s.w.t.


Apabila berbicara tentang disiplin ini, teringat ketika saya masih kecil lagi, ketika itu umur saya di bawah belasan tahun. Saya sering mengikuti ayah dan ibu saya pergi solat berjamaah di surau kampung saya. Perjalanan cerita ini saya pendekkan, apabila tiba dipintu surau tersebut saya terus memasukinya, lalu ayah saya berpesan kepada saya;

“Adik, kenapa selipar tidak disusun dengan teratur?”

Ayah saya menyapa dengan lembut.

Lalu saya berkata;

“Adik letakkan saja dekat situ, nanti mudah untuk adik memakainya ketika pulang.”

Lantas ayah saya menjawab dengan tersenyum.

“Tidak elok letak selipar macam itu, selipar adik itu mestilah diletakkan dengan betul dan ditempat letak yang telah disediakan di sana itu, jangan letak selipar adik secara berselerak dan tidak teratur, kerana nanti merumitkan adik ketika hendak pulang.”

Saya tergamam dengan kata-kata dari ayah saya itu, mata saya terlihat ibu saya yang tersenyum di samping ayah saya, lalu saya bertanya kepadanya;

“Ayah, ibu, ini cuma sekadar selipar saja, kenapa ayah menyuruh saya meletakkan selipar dengan betul dan ditempat yang betul, tengok dekat sana tu, selipar diaorang pun tidak diletakkan di tempat yang betul, pulak tu berselerak.”

Ayah dan ibu saya tersenyum lebar, lalu ayah nekad untuk menyatakan sesuatu kepada saya, ibu hanya memerhatikan ayah saya dengan keadaan tersenyum nipis. Lantas ayah saya menyatakan sesuatu pekara yang hingga ke hari ini saya masih mengigati kata-kata tersebut.

“Adik, ini soal disiplin, disiplin itu tonggak untuk memantapkan lagi diri kita terhadap Allah s.w.t. Disiplin itu mengajar diri kita erti kekuatan Iman dan Taqwa. Disiplin itu mendekatkan diri kita terhadap Allah s.w.t. Disiplin itu memerlukan latihan. Latihan yang berterusan dari masa ke semasa. Dari hari ke hari seterusnya. Apabila diri kita mempunyai integriti disiplin yang tinggi, maka mudahlah bagi kita untuk mengikuti dan menjalankan segala urusan dengan teratur. Sebagai contoh yang ayah hendak nyatakan pada adik adalah solat. Jika seseorang itu tidak mempunyai disiplin untuk menghadirkan diri ke surau untuk solat berjamaah, maka ia tidak akan sampai ke surau walaupun rumahnya berhampiran dengan surau tersebut. Dan jika ia mempunyai keyakinan dan disiplin dalam dirinya yang cukup tinggi untuk sampai ke surau, maka sebelum masuk waktu solat ia sudah berada di dalam surau. Ini salah satu bentuk disiplin yang patut adik ketahui, disiplin itu bermula dari akar umbi lagi, disiplin itu perlulah disulam dengan penuh keyakinan, walaupun ia bermula dengan pekara yang kecil, seperti meletakkan selipar adik di tempat yang disediakan dengan teratur dan tersusun. Ini adalah disiplin yang perlu adik terapkan dalam diri adik untuk memahirkan lagi perlakuan kita terhadap hukum-hukum yang telah ditetapkan. Jika disiplin yang kecil ini, adik tidak dapat melakukan dengan sempurna, bagaimana adik hendak mendisiplinkan diri adik dengan pekara-pekara yang wajib. Bagaimana adik hendak mendisiplinkan diri adik untuk bangun bersolat sunat di tengah malam, jika disiplin diri adik tidak di mulakan sejak dari kecil lagi. Ini salah satu bentuk jati diri untuk adik bagi mengenal akan maksud disiplin.”

Ayah saya menerangkan dengan penuh minat, saya teruja dengan jawapan yang telah dinyatakan oleh ayah saya itu. Saya mula faham dengan apa yang telah ayah saya maksudkan itu.

Lalu saya berkata kepada ayah dan ibu saya;

“Ayah, ibu, adik minta maaf, adik faham apa yang ayah cakapkan tu.”

Dialog ringkas ini sudah menjangkaui lebih 20 tahun yang lalu, tetapi ia masih segar lagi dalam ingatan saya, walaupun ia sesuatu pekara yang kecil, tetapi kesan dalam diri saya cukup mendalam, lebih lebih lagi ketika saya pergi ke masjid dan surau untuk solat berjamaah. Saya akan meletakkan selipar saya di tempat yang betul dengan tersusun. Disiplin inilah yang saya bawa hingga ke saat ini, dan disiplin ini juga mengajar saya menjalankan suruhan-Nya dengan teratur. Tidak hairanlah kita ketika ini, jika anak-anak yang di usia muda dan belum akil baligh telah diajar berpuasa, bersolat dan membaca Al-quran. Ia adalah disiplin dalam dirinya untuk mengenal Allah s.w.t. Disiplin di usia muda inilah yang perlu kita terapkan dalam keluarga kita. Bukan menjamu mereka dengan hiburan yang melampaui batas dan tiada penghujungnya. Lihat sahaja rancangan untuk kanak-kanak di media elektronik kita sekarang, budaya syirik, khurafat, hiburan, dan sebagainya telah menular dengan tegarnya. Lebih malangnya lagi ia disokong oleh ibu dan bapa mereka sendiri. Tanpa mereka sedari, sedikit sebanyak ia membolehkan negara kita bergelumang dengan pekara-pekara kemaksiatan di masa-masa yang akan datang.

Oleh yang demikian, perubahan Hijrah itu memerlukan pengertian yang cukup mendalam. Hijrah dari satu bentuk keburukan kepada kemuliaan. Ia memerlukan disiplin diri yang tinggi untuk digapai erti maksud sebenar Hijrah tersebut. Bukan sekadar dengan dendangan lagu-lagu berkenaan Ma’al Hijrah dan hari cuti umum yang mengembirakan, tetapi diri masih ditakuk lama. Maka dengan itu, bersempena dengan Ma’al Hijrah ini, lahirkanlah hati-hati kita untuk mendekatkan diri kita dengan Allah s.w.t. Jika dahulunya solat-solat sunat itu satu keberatan bagi kita, maka kini bermulalah era baru dalam diri kita untuk melakukannya. Perlu diingati juga umur-umur kita sekarang ini dan di ikuti pula kita berada di akhir zaman untuk menuju ke alam abadi iaitu akhirat, maka lakukanlah solat-solat sunat untuk memantapkan lagi amalan-amalan kita terhadap Allah s.w.t. Bukan sekadar di permulaan tahun bersemangat tetapi longlai ketika di pertengahan dan penghujungnya. Oleh itu, hijrah-hijrahkanlah minda pemikiran kita agar dapat melahirkan umat yang betul-betul zuhud terhadap Allah s.w.t. InsyaAllah.

Wednesday, 16 December 2009

Kiblat Para Malaikat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya.



Setelah kita mendalami tentang penghulu para malaikat di posting saya yang lalu, maka saya akan mengajak diri saya dan kamu di luar sana untuk memahami lagi dengan lebih mendalam tentang apa yang dikatakan dengan “Beriman Kepada Malaikat.” Sejurus dengan itu juga, pemahaman tentang wujudnya makhluk ciptaan Allah s.w.t selain dari manusia itu mestilah disematkan dalam diri dan hati kita, kerana Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih terhadap sekelian makhluk ciptaan-Nya. Mempercayai wujudnya malaikat bererti, kita mempercayai wujudnya yang menciptakan malaikat, iaitu Allah s.w.t.


Di sini juga saya ingin mengajak kamu yang sedang membaca posting saya ini agar bersama-sama mentauhidkan Allah s.w.t dengan sebenar-sebenarnya. Sebagaimana yang telah kita ketahui umum, bahawa Islam itu didirikan dengan tiang dan batu asas yang kukuh. Kukuhnya tiang tersebut, bererti kukuhnya manusia menjaga suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Salah satunya tiang batu asas Islam tersebut adalah ‘Solat’. Solat itu tiang dan kunci dalam Islam. Tanpa solat bererti runtuhlah segala monumen-monumen asas Islam seseorang itu. Maka dengan itu peliharalah solat, kerana solat itu adalah ikatan terakhir bagi seorang Muslim. Jika terlerai ikatan tersebut (meninggalkan solat), bermakna terlerailah ikatan manusia itu terhadap Allah s.w.t. Semakin kerap meninggalkan solat bermakna semakin jauhlah kita dari rahmat-Nya dan semakin hampirlah kita dengan azab seksaan-Nya. Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa jika manusia itu bersolat, ia mestilah mengadapkan dirinya ke arah kiblat. Kiblat kita adalah terletak di Mekah iaitu Kaabah. Apabila berbicara tentang kiblat, teringat bahawa saya pernah ditanya oleh rakan sekerja saya yang beragama Hindu, ketika itu saya bekerja sebagai ‘Monitori’, untuk projek kampus utama di Universiti Teknikal Melaka –Utem. Kawan saya ini amat-amat berminat untuk mendalami Islam, tetapi atas desakkan keturunan dan keluarga beliau serta kurangnya ilmu dalam Syahadah Islam, maka usaha beliau terbantut seketika. Saya mula ketahui akan ketekunan beliau ketika saya dan rakan-rakan sekerja sedang mengambil air wudhuk untuk bersolat, ketika itu beliau sering memerhatikan saya serta kawan-kawan saya ketika berwudhuk. Kita tinggalkan cerita tentang kawan saya ini dan berbalik pula pada persoalan yang telah diajukan oleh kawan saya yang beragama Hindu itu kepada saya. Di mana soalannya berbunyi begini :


“Kenapa Umat Islam menyembah sesuatu benda ketika bersembahyang?. Sedangkan dalam Islam juga mengharamkan menyembah selain dari Allah”


Soalan yang berupa Aqidah umat Islam ini, saya jawab dengan mengemukakan bukti yang kukuh kepadanya. Sebelum itu saya berpesan kepada kamu di luar sana agar berjihad mempertahankan Islam jika persoalan-persoalan yang melibatkan Islam ini di kemukakan oleh mereka-mereka yang ingin mengetahuinya dengan lebih mendalam tentang Islam. Orang-orang kafir yang tidak mengenal akan Islam dengan lebih terperinci, maka wajiblah kita memberikan keterangan mengenai Islam mengikut yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada kita. Jangan mengambil sikap terlalu berang dan mengikut nafsu ketika pertanyaan-pertanyaan tersebut diajukan kepada kita. Di sinilah silap masyarakat Islam kita, di mana sikap alpa dalam memberi keterangan kepada mereka tanpa maklumat yang tepat dan berkesan membuatkan mereka pandang serong terhadap Islam, malah menganggap bahawa Islam itu sebenarnya agama untuk bangsa Melayu sahaja. Perlu diingat juga, bahawa ada sesetengah masyarakat bukan Islam amat tertarik dengan Islam, tetapi belum menemui lagi jawapan yang konkrit dalam setiap pencarian persoalan-persoalan yang berlegar-legar dalam hatinya. Berbanding pula dengan soalan-soalan yang bersifat ‘biadap’ yang telah dikemukakan oleh orang-orang kafir atau sesetengah masyarakat Islam kita yang saya anggap ia sebagai satu penghinaan terhadap Islam, maka ketika itu wajiblah kita bangkit dan bangun menentangnya walaupun terpaksa meniarap dan merangkak sekalipun. Orang yang mempersenda-sendakan Islam dengan pertanyaan yang kurang sopan, maka wajiblah kita membalasnya dengan jawapan yang kurang sopan bagi mengajarnya agar menghormati agama Islam yang suci ini. Ini wajib kita pertahankan dengan apa cara sekalipun.Berbalik kita kepada soalan yang telah kawan saya yang beragama Hindu tadi nyatakan kepada saya, maka ini adalah jawapan saya untuknya:


“Islam itu terlalu tinggi, Islam itu suci, mana mungkin Islam mengajar agar penganutnya menyembah sesuatu benda. Umat Islam hanya menyembah Allah s.w.t. Apa yang kamu (kawan saya) lihat itu sebenarnya adalah umat Islam bersembahyang berkiblatkan Kaabah yang terdapat di Mekah. Kaabah itu merupakan asas arah kiblat bagi umat Islam bersembahyang dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.”


Kawan saya mulai terdiam seketika, lalu saya menjelaskannya lagi dengan keterangan perumpamaan agar dapat ia memahami apa yang saya jelaskan ini.


“Sebagai contoh, jika kamu (kawan saya) pergi ke hutan untuk mengkaji ilmu flora dan fauna. Apakah alatan yang penting untuk kamu (kawan saya) bawa ketika memasuki hutan?.”


Lalu dia (kawan saya) menjawab;


“Mestilah Kompas, Kompas itukan rujukan arah kita ketika dalam hutan nanti, dengan kompas dapat kita mencari jalan keluar jika berlaku kesulitan dalam hutan kelak”


Jawapan itu terkeluar dari mulut rakan saya yang menampakkan susunan giginya yang tidak rata. Lalu saya menjawab;


“Ya betul, kompas itu penunjuk arah kepada kita ketika berjalan di dalam hutan, tetapi jika kompas itu rosak atau pecah, bolehkah kita mencari arah dan petunjuk untuk keluar dari hutan tersebut?”


Kelihatan muka kawan saya tadi yang kelihatan tersenyum lalu berubah menjadi kerut di raut dahinya. Lantas saya menjawab;


“Tentu agak sukarkan, lebih-lebih lagi bila tibanya waktu malam dan keadaan gelap sekeliling kita.”


Lantaran dengan itu kawan saya bertanya kepada saya;


“Apa kaitan Kompas dengan Kiblat?.”


“Saya menjawap Kompas dan kiblat adalah satu pekara yang berbeza untuk ditafsirkan, Kompas merupakan alat untuk mencari arah tuju bagi tujuan pencarian sesuatu tempat, ia akan ditinggalkan oleh manusia jika ia telah rosak atau pecah dan tidak boleh digunakan lagi, tetapi kiblat adalah suatu arah bagi umat Islam bersembahyang dan mendekatkan diri dengan Tuhan iaitu Allah s.w.t. Kaabah yang terdapat di Mekah itu merupakan kiblat bagi umat Islam di muka bumi ini, jika kaabah tersebut dimusnahkan atau dihancurkan oleh manusia sekalipun, kami (umat Islam) akan tetap bersembahyang dan beribadat mengadap ke arahnya. Kiblat itu sebenarnya menunjukkan kepada kami (umat Islam) agar bersembahyang menuju ke satu arah sahaja, tidak ada umat Islam yang berada di bumi ini memalingkan tubuhnya jauh dari arah berpaksikan Kaabah. Ini bererti Islam mengajar agar umat Islam itu bersatu hati dan bersepakat ketika bersembahyang dengan arah yang sama, walaupun ada perbezaan waktu.”


Raut wajah kawan saya mula meminati tentang apa yang saya terangkan kepadanya tadi. Saya lanjutkan lagi keterangan saya terhadap kawan saya itu;


“Jelaslah apa yang saya terangkan ini kepada kamu (kawan saya) bahawa Islam itu tidak mengajar malah menyembah sesuatu dari apa yang telah kamu katakan tadi, kaabah itu merupakan Kiblat bagi umat Islam, Ia bukan untuk disembah atau diagungkan, ia sekadar penunjuk arah bagi umat Islam mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Cuba kamu lihat kuil kamu yang berada di Batu Caves dengan kuil-kuil yang terdapat di Malaysia dan seluruh dunia ini, adakah ia menunjukkan arah yang sama?, tentu tidakkan, bukankah agama kamu mengajar agar bersatu semasa bersembahyang dan ketika kamu menyembah dewa-dewa kamu?.”


Kawan saya hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Lantas saya lanjutkan lagi keterangan saya terhadapnya dengan berhati-hati;


“Jika kamu belajar Ilmu Geografi, kamu akan dapati bahawa kaabah tersebut merupakan titik pusat bagi muka bumi kita ini. Tetapi ia telah dinafikan oleh sarjana-sarjana barat yang atheis terhadap hukum Tuhan. Bagi kami (umat Islam) percaya dan yakin bahawa kiblat kami itu merupakan anugerah dari Allah s.w.t dengan tujuan agar kami umat Islam bersatu dalam semua aspek dan tujuan.”


Kawan saya hanya mendiamkan diri, dari raut wajahnya kelihatan seolah-olah ingin mencungkil lagi mengenai Islam.


Diskusi ini sudah menjangkaui lebih dari 5 tahun yang lalu, tetapi masih segar dalam ingatan saya sehingga ke hari ini. Walaupun ketika itu saya terlalu sibuk dengan aktiviti-aktiviti kerjaya saya, namun saya berasa puas kerana dapat memperjuangkan Islam walaupun hanya sedikit yang telah saya terangkan kepada mereka. Di samping itu juga segala Suruhan dan arahan-Nya saya jaga dengan sempurna walaupun sesibukmana saya ketika itu.


Dengan apa yang telah kita perbincangkan ini, sedikit sebanyak dapatlah kita mengetahui tentang hakikat kiblat bagi umat Islam itu, tetapi perbincangan kita bukanlah berkisarkan kiblat tersebut, tetapi lebih kepada kiblat bagi para malaikat yang telah saya forumkan di awal perenggan saya tadi. Malaikat memang mempunyai kaabahnya sendiri yang terletak di langit yang ke tujuh. Kaabah untuk malaikat itu dipanggil ‘Baitul Makmur’ dan terletak bertentangan dengan kaabah yang berada di bumi ini. Oleh yang demikian Baitul Makmur itu berada di atas Kaabah yang ada di bumi, seandainya Kaabah malaikat itu jatuh, maka ia akan menghempap kaabah yang ada di Mekah itu. Selain Baitul makmur yang berada di langit yang ke tujuh, setiap langit yang lain juga ada rumah ibadah tempat penghuninya beribadah kepada Allah s.w.t


Firman Allah s.w.t :

“Dan demi “Al-Baitul Makmur” (Surah At-Tur – Ayat 4).


Rasulullah s.a.w telah menyebut bahawa dalam kisah perjalanan Mi’rajnya, Baginda s.a.w telah menyebutkan bahawa Beliau telah dibawa melalui Baitul Makmur di langit yang ketujuh. Baginda bersabda :

“Kemudian saya (Rasulullah s.a.w) dibawa naik ke Baitul Makmur, di situ terdapat 70,000 malaikat masuk ke dalamnya setiap hari dan tidak pernah kembali lagi dari situ sehingga sampai kepada yang terakhir.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim R.A).


Maka dengan itu jelaslah kepada kita, bahawa malaikat itu juga mempunyai kiblatnya sendiri untuk mentauhidkan Allah s.w.t seperti makhluk-makhluk Allah yang lain seperti juga manusia. Ia juga menjelaskan kepada kita bahawa, begitu banyaknya para malaikat berbanding dengan makhluk selain darinya. Cuba kamu bayangkan jika sehari 70,000 malaikat memasuki Baitul Makmur dan tidak akan kembali semula selepas itu dan digantikan dengan malaikat yang lainnya pula, maka berapa banyakkah jumlahnya sehingga ke hari ini?. Fikirkan!. Saya tertarik dengan sebuah buku yang telah ditulis oleh Ustaz Ismail kamus, di mana beliau telah menerangkan kuantiti makhluk ciptaan Allah s.w.t di alam ini dengan perangkaan peratus yang saya anggapkannya agak tepat jika mengikut perangkaan jumlah ilmu pengetahuan manusia dekad ini. Ini sebenarnya sebuah gambaran yang perlu kita ketahui umum untuk mendekatkan lagi diri kita terhadap Allah s.w.t. Dalam buku tersebut beliau membahagikan jumlah manusia hanyalah 1%, jumlah Iblis, syaitan dan Jin 9% dan jumlah malaikat meliputi sehingga 90% di alam semesta ini. Ini merupakan satu bentuk pengetahuan umum bagi kita, bahawa beriman kepada malaikat itu merupakan rukun Iman yang perlu kita ketahui dan teraskan dalam diri dan hati-hati kita, agar kita tidak terpesong jauh dari syariat-Nya. InsyaAllah saya akan mendalami lagi keterangan saya mengenai malaikat ini diposting saya yang akan datang mengikut ketentuan dan keizinan dari-Nya. WaAllahua’alam.



Monday, 14 December 2009

Penghulu Para Malaikat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera. Alhamdulillah syukur kehadrat Illahi, Salam dan Selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w , Ahli keluarga Baginda dan Sahabat-sahabatnya. Aku bersaksi tiada Tuhan yang wajib disembah kecuali-Nya dan Muhammad s.a.w itu Hamba dan Pesuruh-Nya. Segala Puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam .

Setelah kita mengetahui tentang penciptaan malaikat di awal posting saya yang lalu, maka dengan itu saya lanjutkan lagi berkenaan dengannya tentang penghulu-penghulu malaikat yang wajib kita ketahui umum. Berkenaan dengan itu juga, malaikat seperti mana yang telah kita perbincangkan sebelum ini merupakan makhluk ciptaan Allah s.w.t seperti juga dengan manusia dan makhluk-makhluk yang lain meliputi seluruh alam semesta ini. Beriman kepada malaikat bererti membesarkan kebesaran Allah s.w.t dengan sepenuh yakin terhadap-Nya tanpa ada syak dan wasangka. Sepertimana yang kita ketahui, bahawa penghulu-penghulu malaikat itu mempunyai empat iaitu :


  1. Malaikat Jibril.
  2. Malaikat Mikail.
  3. Malaikat Israfil.
  4. Malaikat Maut.


Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil nama-namanya telah disebut dalam Al-Quranul Karim dan Hadith Rasulullah s.a.w yang shahih.


Firman Allah s.w.t :

“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 98).


Saya rujuk dalam Hadith Shahih Imam Muslim R.A yang telah diriwayatkan oleh Aisyah R.A berkata bahawa apabila Rasulullah s.a.w mengerjakan solat malam, Baginda s.a.w membaca doa iftitah di dalam solatnya sebagai berbunyi berikut :


“Ya Allah, Tuhan malaikat Jibril, Mikail dan Israfil; Maha Pencipta langit dan bumi, Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata. Engkaulah hakim di antara hamba-hambamu tentang pekara yang mereka perselisihkan, bimbinglah aku jalan keluar yang benar daripada perselisihan mereka. Sesungguhnya Engkau maha Pemberi petunjuk kepada jalan yang lurus, bagi siapa saja yang Engkau kehendaki.”(Hadith Riwayat Muslim R.A).


Maka dengan itu jelaslah kepada kita bahawa di antara ayat Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w yang memuatkan nama-nama Jibril, Mikail dan Israfil. Manakala sedangkan malaikat Maut, namanya tidak dijumpai dengan jelas di dalam Al-Quran dan tidak juga di dalam Hadith Rasulullah s.a.w yang shahih. Hanya di dalam beberapa athar ada menyebutkan nama malaikat Maut iaitu sebagai Izrail. WaAllahua’lam.


Allah s.w.t menyifatkan malaikat Jibril sebagai suatu pekara yang besar sebagaimana firman-Nya bermaksud :


“Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal,” (Surah An-Najm – Ayat 5-6).

Mungkin kamu di luar sana tertanya-tanya tentang apakah itu ‘Syaididul Quwa’?. Yang dimaksudkan dengan ‘Syaididul Quwa’ adalah malaikat Jibril. Dialah malaikat yang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Para Ulama’ bersepakat menyatakan bahawa betapa besarnya kekuatan yang dimiliki oleh Jibril, sehinggakan dia mampu mengangkat 7 bandar kaum Nabi Luth a.s yang didiami oleh pemghuninya sejumlah lebih kurang 400,000 umat, haiwan, bangunan-bangunan dan semua benda yang ada di dalam Bandar tersebut. Malaikat Jibril juga mengangkat kesemuanya itu hanya dengan mengunakan hujung sayapnya sahaja hingga sampai ruang angkasa di permukaan langit, sehinggalah para malaikat di langit mendengar akan lolongan dan pekikan binatang. Kemudian dia membalikkan bandar itu sehinggalah bahagian atasnya terlungkup ke bawah. Cuba kamu semua bayangkan betapa kuatnya tenaga malaikat Jibril itu, jika hendak dibandingkan dengan diri kita yang sekerdil ini. Kalaulah ada manusia yang takabur, dengan menganggap dirinya gagah dan perkasa, maka bolehkah ia mengangkat jumlah berat yang dipikul oleh malaikat Jibril?. Tentu mustahil bukan. Fikirkan!.


Firman Allah s.w.t :

“Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.” (Surah At-Takwir – Ayat 19-21).


Daripada firman Allah s.w.t tersebut, maka dapatlah kita mentafsirkan 4 pekara untuk kita ketahui umum tentang sifat-sifat malaikat Jibril di antaranya adalah :


  1. Bentuk kejadian Jibril adalah sangat cantik dan unik.
  2. Malaikat Jibril mempunyai tenaga dan kekuatan yang sangat tinggi dan luar biasa.
  3. Malaikat Jibril mempunyai tempat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t Pemilik Arasy yang mulia.
  4. Malaikat Jibril ditaati di alam malaikat, sangat amanah, oleh kerana itu Jibril bertugas sebagai duta antara Allah s.w.t dengan Rasul-Nya yang diberi wahyu oleh-Nya.


Oleh yang demikian, persoalan ini serba sedikit telah terjawab apabila fahaman Syiah menyatakan bahawa malaikat Jibril telah tersalah ketika memberikan Wahyu Allah s.w.t kepada Nabi s.a.w. Mana mungkin Malaikat yang jujur dan amanah memesongkan wahyu Allah itu terhadap orang lain selain dari Nabi s.a.w. Pekara ini telah jelas disangkal oleh Islam, bahawa menyatakan wahyu itu sebenarnya diturunkan oleh malaikat Jibril daripada Allah s.w.t adalah khas untuk Rasulullah s.a.w, iaitu Nabi yang terakhir dan Nabi penghulu sekelian Nabi Allah s.w.t.


Saya tertarik dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Jibril sentiasa mengharap-harapkan hendak menjadi manusia adalah kerana 7 pekara iaitu :


  1. Bersolat 5 waktu secara berjamaah.
  2. Mendampingi bersama-sama dengan para Ulama’
  3. Menziarahi orang yang sedang sakit.
  4. Menghantar jenazah ke tempat pengkebumian.
  5. Memberi makanan dan minuman kepada orang yang memerlukan.
  6. Mendamaikan di antara ke dua pihak yang sedang perselisihan.
  7. Memuliakan jiran dan anak-anak yatim.


Maka dengan itu telah jelas untuk kita ketahui, bahawa kita diciptakan dengan makhluk Allah s.w.t yang lain adalah dengan satu tujuan yang sama iaitu pengabdian terhadap Maha Pencipta dengan sebenar-benarnya. Pernahkah kita terfikir, bahawa alam semesta ini termasuklah, haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan bertasbih kepada Allah s.w.t tanpa tertinggal sesaat sekalipun. Ia tetap akan memuji Allah s.w.t dengan penuh rasa kasih dan sayangnya terhadap Maha Pencipta. Tetapi manusia yang telah di anugerahkan akal dan Ilmu oleh Allah s.w.t masih alpa dengan hakikat sebagai khalifah-Nya. Pekara inilah yang sering membuaikan diri kita, ditepuk, dimanja dan dilagukan dengan irama keduniaan yang tiada penghujungnya. Oleh yang demikian perbetulkanlah Iman dan Takwa kita daripada keciciran kepada kezuhudan bagi menjadikan kita insan-insan yang benar-benar beriman terhadap Allah s.w.t. InsyaAllah.


Saturday, 12 December 2009

Beriman Kepada Malaikat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat sejahtera. Pujian dan syukur kehadrat Allah s.w.t yang telah menciptakan segala makhluk yang ada di alam ini. Sungguh besar kekuasaan-Nya tidak ada satupun kekuasaan selain Dia yang dapat menciptakan dan menjaga alam dan segala isinya. Selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan kekasih Allah pembawa kebenaran untuk seluruh makhluk di dunia ini.

Malaikat adalah makhluk Allah yang taat dan setia kepada-Nya. Dalam keadaan bagaimanapun ia tetap berzikir dan membesarkan kebesaran Allah s.w.t.. Hadith Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘nur’ (cahaya).


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“Malaikat itu diciptakan daripada nur, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah disifatkan kepadamu”.


Ikrimah berkata :

“Malaikat itu diciptakan daripada ‘nurul izzah’."


Yazid bin Rumman pula berkata :

“Telah sampai khabar kepadaku bahawa malaikat itu diciptakan daripada ‘Ruhullah’”.


Ramai di antara ahli sejarah memperkatakan tentang masa malaikat diciptakan dan mereka telah menyebutkan bermacam-macam Qaul dan pendapat yang kesemuanya itu tidak berasaskan dalil dari Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Apa yang saya terangkan nanti adalah sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan malaikat itu sebelum Dia menciptakan manusia. Tegasnya, malaikat diciptakan lebih dahulu daripada manusia. Ia dapat dilihat di dalam Al-Quran bahawa Allah s.w.t telah memberitahu kepada para malaikat bahawa Dia akan menjadikan Khalifah di muka bumi ini iaitu manusia.


Firman Allah s.w.t :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah – Ayat 30).


Jumlah bilangan malaikat itu sangat ramai. Tidak ada dalil menunjukkan tentang berapakah jumlah malaikat yang sebenar, kecuali hanya dalil yang mengatakan bahawa jumlahnya begitu banyak sekali. Dan disebutkan bahawa yang mengetahui jumlah malaikat sebenar hanyalah Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :

“Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” (Surah Al-Muddaththir – Ayat 31).


Firman Allah s.w.t :

“(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): “Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya); “Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat), “Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih (mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan)!” (Surah As-Shaffat – Ayat 164-166).


Ada juga beberapa hadith Rasulullah s.a.w menyatakan ketika Baginda s.a.w sedang berada di majlisnya tiba-tiba Baginda bersabda :


“Apakah engkau mendengar apa yang kami dengar?”


Para sahabat bertanya :

“Apa yang sedang anda dengar wahai Rasulullah?”


Rasulullah s.a.w menjawab :

“Langit berbunyi dan benar padanya suara. Tidak ada tempat satu kakipun di langit melainkan terdapat malaikat yang sedang berdiri, rukuk atau bersujud di situ.”


Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat yang ertinya :

“Sesungguhnya kami benar-benar bertasbih (kepada Allah s.w.t).”


Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud :

“Pada hari itu akan didatangkan neraka Jahannam, padanya terdapat 70,000 tali pengikat yang ditarik oleh 70,000 malaikat” (H.R Muslim).


Setelah kita mengetahui akan jumlah banyaknya malaikat di alam semesta ini, maka persoalan akan timbul dalam kotak pemikiran kita. Persoalan untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang malaikat ini menunjukkan bahawa betapa teguhnya keimanan kita terhadap Allah s.w.t. Pada umumnya, sebagaimana yang kita ketahui, manusia (segelintir) sering menyamai malaikat itu dengan makhluk yang lain. Ada yang perlu kita kongsikan di sini, dan ada yang perlu kita fikirkan akan kekuasaan Allah s.w.t terhadap makhluk-Nya. Janganlah dengan hanya melampirkan pengetahuan-pengetahuan yang cetek membuatkan diri kita hampir dengan gejala Khurafat dan Syirik terhadap Allah s.w.t. Maka dengan itu, saya akan lampirkan dua persoalan yang berbentuk Aqidah untuk kita sama-sama dapat mengetahui akan hakikat sebenar makhluk ciptaan Allah s.w.t ini.




1) Apakah malaikat akan mati?


Jawapannya ; Ya, malaikat akan mati dan makhluk-makhluk yang lain juga tetap akan mati.


Pekara ini terjadi apabila sangkakala telah ditiup. Iaitu pada tiupan kedua yang pada waktu itu akan mati semua makhluk yang hidup di langit dan di bumi kecuali yang di kehendaki oleh Allah s.w.t, sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith Rasulullah s.a.w tentang ketika berlakunya kiamat kelak. Kemudian Allah s.w.t akan mencabut roh-roh makhluk yang masih hidup itu sehinggalah yang paling akhir sekali iaitu malaikat maut. Maka tinggallah sendiri Zat Yang Maha Hidup dan Maha Kekal iaitu Allah s.w.t.


Pada Ketika itu Allah s.w.t akan berfirman :

“Untuk siapakah kerajaan pada hari ini?”


Kemudian Dia menjawab sendiri pertanyaan-Nya itu.

“Untuk Allah Yang Maha Satu yang Maha Perkasa.”


Dalil yang menunjukkan bahawa malaikat itu akan mati ialah firman Allah s.w.t yang bermaksud :


“Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).” (Surah Az-Zumar – Ayat 68).


Firman Allah s.w.t :

“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).” (Surah Al-Qasas – Ayat 88).


Rasulullah s.a.w bersabda berkenaan dengan kisah trompet (sangkakala) yang mahsyur ini :


Kemudian Allah s.w.t memerintahkan malaikat Israfil.


Maka ditiuplah trompet itu, maka matilah semua penghuni langit dan bumi kecuali yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.


Berkata malaikat maut :

“Telah mati semua penghuni langit dan bumi kecuali yang Engkau kehendaki.”


Allah s.w.t bertanya : (Sebenarnya Dia lebih mengetahui).

“Siapakah yang masih hidup?”


Berkata malaikat maut :

“Tinggallah Engkau Zat yang maha Hidup tidak mati, malaikat pembawa Arasy, malaikat jibril, malaikat mikail dan aku.”


Allah s.w.t berfirman :

“Matilah Jibril dan Mikail!”


Malaikat Jibril dan Mikail pun mati. Kemudian malaikat maut datang melaporkan kepada Allah s.w.t :

“Malaikat Jibril dan Mikail telah mati.”


Allah s.w.t berfirman :

“Matilah malaikat pembawa Arasy!”


Kemudian mereka pun mati. Allah s.w.t memerintahkan pada Arasy, maka Allah mengambil sangkakala dari malaikat Israfil. Kemudian Malaikat maut datang kepada Allah s.w.t dan melaporkan :


“Wahai Tuhanku, malaikat pembawa ArasyMu telahpun mati.”


Allah s.w.t bertanya :

(Sebenarnya Dia lebih mengetahui). "Siapakah yang masih hidup?”


Malaikat maut menjawab :

“Tinggallah Engkau Zat Yang Maha Hidup, tidak mati dan tinggallah aku.”


Allah s.w.t berfirman :

“Engkau makhluk di antara makhluk juga Aku menciptakan engkau sebagaimana engkau telah ketahui, maka matilah engkau!”


Maka Malaikat maut pun mati.


2) Adakah malaikat itu berpasangan?

Jantina lelaki atau perempuan tidak saja ada pada makhluk yang bernama manusia, tetapi jantina itu juga ada pada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda lain. Semua makhluk yang ada itu terdiri daripada jantan dan betina, bahkan benda yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia juga terdiri dari jantina yang berlawanan; Sebagai contoh aliran elektrik, ia terdiri daripada elemen positif dan negatif. Dengan penjanaan kuasa berpasangan tersebut maka dapatlah ia menghasilkan satu kuasa yang membolehkan ia bergabung lalu menjadi aliran elektrik yang kukuh.


Firman Allah s.w.t :

“Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).” (Surah Az-Zariyat – Ayat 49).

Firman Allah s.w.t :

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan”. (Surah An-Najm – Ayat 45).


Firman Allah s.w.t :

“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah Yassin – Ayat 36).


Maka dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa semua makhluk itu terdiri dari lelaki dan perempuan sebagaimana yang telah disebutkan dalam Al-Quran, kecuali malaikat sahaja yang tidak termasuk dalam ayat tersebut. Malaikat tidak lelaki dan tidak perempuan. Mereka hanya disebut Allah s.w.t sebagai “Ibadurrahman” atau hamba-hamba Allah yang Maha Pemurah. InsyaAllah akan saya lanjutkan lagi kisah-kisah mengenai malaikat ini diposting yang akan datang untuk kita sama-sama mengetahui dengan lebih mendalam tentangnya lagi. WaAllahua'lam.


You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails