Tuesday, 17 August 2010

Kebesaran Dan Kekuasaan Allah SWT : Alam Jagadraya.








Kebesaran Dan
Kekuasaan Allah SWT : Alam Jagadraya.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.









BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir bagaikan mutiara di sini. Alhamdulillah, syukur dengan taufik dan hidayah-Nya, kita dipertemukan lagi, dengan rahmat-Nya juga hari ini, jari dan akal kita masih tertumpu kepada bahan-bahan ilmuan Islam yang tidak berpenghujung, walaupun pada dasarnya kita tidak menyangka bahawa kita tidak akan ke destinasi tersebut. Begitulah betapa besarnya rahmat dari-Nya, yang kalau kita hitung, tidak mampu untuk mengungkap serta membilangnya. Namun yang demikian, tidak hairanlah jika rahmat itu di salah gunakan oleh segelintir dari kita kepada pekara-pekara kemungkaran dan kemaksiatan.



Kalau sebelum ini (artikel sebelum ini) saya sering membicarakan tentang situasi yang berlaku di sekeliling kita (kehidupan), namun kali ini saya akan cuba membawa kelainan sedikit, tetapi konsep tarbiyahnya tetap sama. Perlu diingati juga, berdakwah itu bukan sekadar berlaku kepada apa yang di sekeliling dan di hadapan kita sahaja, tetapi biarlah ia meliputi segala genap ruang alam ini, bagi memperlihatkan kekuasaan Allah SWT terhadap sekelian makhluk-Nya. Kita pernah melihat, kita pernah mendengar, malah kita juga pernah memikirkannya dan kita sebenarnya pernah memperkatakannya berkenaan dengan ‘Alam Jagadraya’, namun adakalanya kita membisu serta mengabaikannya akibat ketaksuban kita terhadap sesuatu yang kita fikirkan mudah untuk dibawa serta dihujahkannya di hadapan seseorang. Walaupun subjek sains astronomi dan kosmologi merupakan satu situasi yang pincang untuk diperbawakan di hadapan, namun tidak mustahil pada diri kita yang digelar sebagai khalifah-Nya untuk mendalami serta mengetahui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.





Al-quran membuktikan bahawa kitab suci itu ialah satu anugerah Ilahi kepada umat manusia untuk dijadikan panduan dan petunjuk sepanjang zaman. Bagaimanapun Al-quran tidak hanya mengajar ilmu sains kepada umat manusia tetapi hanya menyentuh sebahagian kecil saja dari segala keajaiban ciptaan Allah SWT di bumi dan langit. Bahagian-bahagian kecil ini sudah mencukupi untuk renungan kita semua tentang kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Sekiranya Allah SWT memasukkan segala sesuatu tentang ciptaan-Nya nescaya Al-quran akan menjadi kitab yang terdiri dari berjilid-jilid (pekara ini telah kita sama-sama bincangkan dalam artikel saya yang lalu, “Beriman Kepada Kitab : Al-quran Nur Karim”).



Ini sesuai dengan firman Allah SWT :


Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman - Ayat 27).



Allah SWT menganjurkan kepada umat Islam melihat dan merenung kepada segala ciptaan-Nya supaya kita mengetahui bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Esa. Dengan melihat alam ini, manusia akan mengenali siapa Pencipta yang sebenarnya dan apakah hikmah disebalik Dia menciptakan segala yang ada. Berfikir dan merenung tentang segala ciptaan Allah SWT adalah satu perintah daripada Allah SWT sendiri. Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud :


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran – Ayat 190 & 191).



Allah SWT juga telah mencabar orang-orang bukan Islam berfikir dan merenung tentang segala penciptaan-Nya. Tujuannya ialah untuk mengajak mereka menyakini bahawa Allah SWT adalah Penciptanya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa dan Maha Bijaksana.



Firman Allah SWT :


“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Surah Fussilat – Ayat 53).





Sekiranya manusia bukan Islam masih berdegil tidak mahu beriman, Allah SWT mengatakan bahawa di suatu masa kelak umat manusia akan sampai ke tahap melihat tanda-tanda kebenaran Islam sejelas-jelasnya.



Firman Allah SWT :


“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah Al-Anbiyaa’ – Ayat 30).



Ayat ini sungguhpun tidak menyebut secara terperinci proses kejadian alam semesta, tapi ia memberi imbasan tentang asal-usul alam semesta itu sendiri. Allah SWT tidak menyebut apa yang wujud sebelum wujudnya alam semesta ini. Al-quran menyentuh tentang satu kejadian sebagai satu titik permulaan. Alam semesta diciptakan Allah SWT sejak dahulu adalah suatu yang padu, maka ertinya alam semesta ini dimulakan oleh Allah SWT begitulah keadaan permulaannya. Adakalanya terlintas dalam fikiran kita bahawa :




Apakah yang wujud sebelumnya alam semesta ini?




Maka jawapannya, ia tidak releven. Manusia sebenarnya tidak dapat mencari jawapannya melalui akal fikirannya, kecuali Allah SWT jua yang Maha Mengetahui. Kita Cuma diberi satu maklumat penting bahawa Allah SWT memulakan wujudnya alam semesta begitu sebagai titik permulaan.





Alam ini dahulunya adalah suatu yang padu, itulah pemberitaan daripada Tuhan yang menciptakannya. Dari suatu yang padu itu, berpisahlah segala sesuatu dan berkembang menjadi debu-debu kosmik, kemudian menjadi bintang, planet, asap dan sebagainya. Istimewa sekali terjadinya bumi yang bakal didiami oleh umat manusia.



Maka berdasarkan maklumat itu juga, timbullah pula satu teori moden astronomi atau kosmologi yang digelar sebagai “Bing Bang Theory” . Teori ini menyatakan bahawa segala pergerakkan alam semesta ini yang kita lihat sebagai langit, bulan, matahari, bumi, bintang, serta planet-planet lain sedang bergerak menjauhi satu sama lain. Ini membuktikan bahawa alam semesta ini sedang mengalami proses perkembangan yang pesat. InsyaAllah pekara ini akan saya bawakan serta kongsikan bersama di artikel saya yang akan datang.





Dekad kini, pihak saintis moden telah mencipta alat yang canggih untuk mengatasi masaalah yang mereka hadapi sebelum ini. Sebagai contoh yang hendak saya bawa serta kongsikan di sini adalah dengan penggunaan alat-alat saintifik, termasuklah teropong “Hubble Telescope”. Para saintis bertambah yakin bahawa alam semesta ini berkembang menepati kehendak-kehendak teori ‘Big Bang Theory’. Ini adalah berkemungkinan bahawa teori ini ada menyatakan bahawa alam semesta ini bermula dengan satu titik permulaan. Segala jirim dan jisim berpadu pada titik itu kemudian berlakulah satu letupan besar, segala jirim dan jisim itu berpisah dan bergerak menjauhi satu sama lain. Ayat Al-quran juga memberitahu kita tentang asal-usul kejadian itu, maka sebenarnya ia tidak bercanggah dengan fakta sains yang sedang kita semua bincangkan ini.







Didapati juga telah banyak kitab yang ditulis oleh Ulama’ masyhur untuk mentafsirkan ayat-ayat suci Al-quran, yang merupakan panduan ajaran Islam itu, dengan menggunakan ayat-ayat lain di dalam kitab suci tersebut, sebagai bandingan, dan dengan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penjelasan. Namun dalam Al-quran sendiri, ciptaan Tuhan di seluruh dunia ini jelas disebutkan sebagai ‘tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah’, sebagai contohnya firman Allah SWT dalam surah Ali-Imraan, ayat 190 yang bermaksud :



“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;” (Surah Ali-Imraan – Ayat 190).



Oleh itu sebagai maklumat untuk mendapatkan erti ayat-ayat al-quran yang berkenaan “Al-Kaun” dapat digunakan juga ayat-ayat Allah yang berada di dalam alam semesta ini. Memandangkan hal tersebut di atas, maka tidaklah menghairankan apabila ketetapan dalam pentafsiran ayat-ayat Al-quran yang mengandungi konsep-konsep ‘Kauniyah’ sangat bervariasi, tergantung pada pengetahuan Mufassir tentang alam semesta itu sendiri.



Apabila terjadinya penemuan ahli sains berkenaan alam ini, maka ia juga boleh mengukuhkan iman orang Islam akan betapa kaya dan hebatnya Allah SWT. Kuasa dan kekayaan-Nya tidak hanya tertumpu di dunia ini sahaja, malahan ia juga tiada berpenghujungnya.





Sebagai contoh yang hendak saya bawakan di sini adalah, para ahli sains telah dapat membuktikan secara tidak langsung kewujudan sebuah bintang (Upsilon Andromedae) yang dikelilingi oleh tiga buah planet, kesemuanya lebih besar dari bumi. Bukankah betapa besarnya rahmat Allah SWT terhadap sekelian alam ini. Islam tidak menolak penemuan-penemuan ini. Ia tidak bercanggah dengan akidah Islam yang menyatakan bahawa kekayaan Allah SWT adalah lebih daripada apa yang mampu difikirkan oleh akal manusia. Islam juga tidak menolak kemungkinan bahawa ada kehidupan berbentuk binatang melata (bergerak), tumbuh-tumbuhan atau bakteria-bakteria di planet-planet selain dari bumi, samaada di bintang-bintang, di galaksi Bima Sakti atau di galaksi-galaksi lain. Ini sudah termaktub dalam Al-quran.



Firman Allah SWT :


“Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya).” (Surah An-Nahl – Ayat 49).



“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).” (Surah As-Syura – Ayat 29).



Jika kita lihat, bahawa kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa ada makhluk yang melata (bergerak) yang hidup di langit atau boleh kita istilahkan di planet-planet. Akan tetapi Islam menolak kewujudan makhluk asing yang berakal selain daripada malaikat, manusia dan jin. Ini juga membuktikan kepada kita, sememangnya tiada kewujudan makhluk selain dari tiga (manusia, malaikat dan jin) di planet-planet tersebut serta menafikan langsung akan fahaman barat yang menyatakan kewujudan UFO sebagai makhluk yang wujud di planet-planet tertentu. Perlu diingati juga bahawa dunia kini telah ditipu ‘bulat-bulat’ oleh mereka yang dungu dan bebal dalam mentafsirkan sesuatu tanpa merujukpakai apa yang disifatkan Kitabullah dan Sunnah SAW. Akibat terlebih dalamnya ilmu-ilmu dalam diri mereka inilah yang menyebabkan ramai masyarakat dunia yang mengelarkan diri mereka sebagai ateis (tidak mempercayai tuhan). Dan sekiranya ada makhluk di angkasa lepas seperti pihak saintis barat nyatakan, maka sudah tentu telah diberitakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda SAW, ini kerana Rasulullah SAW diutuskan sebagai Nabi dan Rasul bagi seluruh alam. WaAllahua’lam.



Tuesday, 10 August 2010

Marhaban Ya Ramadhan : Antara IMAN Dan ingkar.







“Marhaban Ya Ramadhan : Antara IMAN Dan ingkar.”

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.








BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini. Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya, kita masih bernafas, nadi kita juga masih berdenyut, mata kita boleh melihat, organ badan kita juga boleh bergerak mengikuti daya kehendak kita, manakala mulut, tangan, kaki, jari jemari kita juga turut berfungsi dengan baik dan sempurna sekali.





Ya Allah,



Hebat!,



Maha Suci Allah, Tuhan sekelian Alam.



Begitulah betapa Pengasih dan Penyayangnya Allah SWT terhadap manusia.



Tetapi!




Adakah kita sedar akan nikmat-nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita?




Adakah kita mensyukuri segala nikmat-nikmat dari-Nya?




Pernahkah kita semua terfikir, dalam situasi yang sedemikian, ada di kalangan kita yang lena tidur sejak dari malam hari, tetapi tidak bangkit dari tidurnya sehingga fajar terbit lalu ia dikafankan serta dikebumikan, dan manakala ada di kalangan kita juga yang tidak tidur pada waktu malam hari akibat sibuk dengan hal-hal pencarian duniawi, tetapi pada siang harinya ia tidur dan tidak bangkit-bangkit lagi lalu di bawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Begitulah situasinya ketika ini dan seterusnya, apabila Ia sudah menyeru, maka tiada sesaatpun akan tertunda kedatangannya. Maka ketika itu barulah terjaga, terhantuk, tersentak dan sebagainya bagi mengigati semula akan janji-janji yang telah diberikan kepadanya sebagai hamba dan Khalifah Allah SWT.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.





Marhaban Ya Ramadhan.



Bulan mulia bagi umat Muhammad SAW untuk memperbaiki diri secara keseluruhan bagi membentuk keperibadian mulia di sisi Allah SWT. Jika di sebut akan perkataan ‘Ramadhan’, pasti malahan lebih dari pasti ia mengigatkan bahawa bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mempertingkatkan lagi amalan-amalan ibadah kita terhadap-Nya.

Harus diingati juga, ada segelintir dari kalangan kita yang merunggut apabila menjelmanya ketibaan bulan Ramadhan. Sebagai contoh suara-suara rungutan tersebut yang lazim kita semua dengari adalah :



“Alamak, saya tak boleh puasalah, saya ada penyakit.”



“Puasa awal je ni…lepas tu pergilah kedai mamak ‘tapau’ ke apa yang patut.”



“Saya selalu outstation, saya tak larat puasa, lagipun ‘client-client’ saya selalu ajak saya keluar makan.”



“Saya terlupa niat puasa pagi tadi.”




“Tengok tu, punyalah ayat baik…”



“Kesian pun ada…”



“Marah lagi la…”



“Meletup-letup pulak kat dada ni…”



“Kalaulah Malaysia ni ada mesin pengimbas tipu-helah manusiakan menarik, hari-hari boleh tengok muka-muka ‘siauta’ ni…”



“Kalau yang benar-benar sakit itu lainlah, tetapi yang peliknya sakit bila betul-betul tiba bulan Ramadhan… Apa barang?”




Saudara-saudari yang dikasihi dan dirahmati Allah SWT.



Saya tertarik dengan satu Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :


“Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Bila Ramadhan telah datang, maka dibuka pintu syurga, dikunci pintu neraka, dan dibelenggu semua Syaitan.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h – Hadith No. 1039 & 1040).



Kalau dilihat dari sudut pemahaman Hadith tersebut, maka dapatlah ditafsirkan bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang mulia bagi umat Muhammad SAW, serta bulan untuk mempertingkatkan amalan-amalan ibadah kita terhadap Allah SWT. Ini adalah kerana bulan tersebut segala syaitan telah dibelenggu (dipenjara, ditambat, diikat) oleh Allah SWT semata-mata mahukan umat manusia ketika itu kembali kepada syariat Allah SWT dengan sebenar-benar ikhlas dan takwa. Begitulah betapa besarnya kemuliaan Allah SWT terhadap hamba-Nya agar mereka (manusia) dapat memikirkan akan nikmat Ramadhan terhadap mereka.





Maka Allah SWT membalas dalam Firman-Nya yang bermaksud :


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 183).



Oleh yang demikian, maka dapatlah ditafsirkan juga bahawa ibadah puasa itu adalah wajib (kecuali orang-orang yang dikecualikan berpuasa) ketika di bulan Ramadhan. Soal wajib ini tiada kompromi dalam mempertikaikannya, tiada nas-nas yang menyeru agar puasa di bulan Ramadhan itu merupakan satu ibadah yang perlu diambil jalan mudah. Kalau ia telah termaktub di dalam Al-quran, maka ia merupakan pekara yang wajib ditunaikan oleh orang-orang Islam yang cukup akan kesifatannya untuk menjalankan ibadah puasa. Maka huraian dan Firman Allah SWT tersebut telah menghapuskan langsung segala alasan-alasan yang telah dinyatakan di atas sebagai hujah yang konkrit menyatakan bahawa ibadah puasa di bulan ramadhan itu adalah WAJIB.



Pernahkah kita terfikir, Kenapa Allah SWT menyeru agar manusia itu berpuasa?



“kenapa ye?.”



“Yang saya tahu puasa ni, banyak manfaatnya, boleh tambah Iman, tambah Amal dan

ermmm…. Boleh kuruskan badanlah.”




Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.



Sebelum kita menjalani ibadah puasa, kita perlu perbaiki dahulu niat kita untuk menjadikan ibadah kita itu lebih mencerminkan ketauhidan kepada Allah SWT. Kalau hendak berpuasa dengan niat untuk diet dan sesuatu kepentingan semata-mata untuk kepentingan diri dan duniawi, maka hasrat itu kita perolehi tetapi kita sebenarnya telah jauh dari keberkatan Allah SWT.



Jika kita mengkaji dari sudut sainsnya pula, apabila kita berpuasa, kita telah hilang lebih 75% tenaga badan kita akibat kurangnya makanan dan minuman yang membantu pergerakan badan melalui tenaga. Apabila badan kekurangan air dan makanan serta zat-zat yang lain akibat berpuasa, maka kita sebenarnya telah ‘menyekat’.




“Menyekat?”



“Menyekat apa?”



“Boleh tak terangkan saya makna ‘menyekat’ tu?”.




“Menyekat nafsu.”



“Nafsu makan dan nafsu syahwat.”




“Kenapa cakap macam tu?”



“Boleh terangkan tak pada saya.”




Saudara saudari yang dimuliakan Allah SWT.


Apabila kita makan dan minum, sumber makanan tersebut di salurkan ke dalam badan kita, lalu ia dinyahkan dalam badan untuk dijadikan sumber tumbesaran badan yang terdiri daripada pelbagai makanan berzat yang sesuai untuk badan seperti protein, zat besi, kalsium, karbohidrat, garam, dan sebagainya untuk menjana koordinasi badan bagi menghasilkan tenaga. Dan apabila ia telah diserap dalam anggota badan kita melalui prosesnya yang sesuai maka ia akan bertukar menjadi darah, bagi melancarkan segala susunatur koordinator pergerakan dalam badan. Dengan darah tersebut ia melancarkan lagi pergerakan dalam badan kita serta ia bertukar menjadi air mani. Kalau kita lihat betapa hebatnya ciptaan Allah SWT terhadap kita (manusia), ia berlaku tanpa kita sedari dan ia juga berlaku di dalam badan kita seolah-olah badan kita mempunyai sebuah ‘kilang-kilang’ yang menakjubkan. Cuba kita lihat kilang-kilang serta mesin-mesin teknologi terkini ciptaan manusia, dapatkah ia menjadikan makanan bertukar menjadi darah kemudian dari darah ia bertukar menjadi air mani?. Mustahil bukan!. Begitulah hebatnya ciptaan Allah SWT yang memperlihatkan kepada manusia bahawa Allah SWT Maha Bijaksana.





Apabila kita berpuasa, maka sumber tenaga tersebut (zat, darah, dan air mani) berkurangan di dalam badan. Dan apabila berkurangan maka ia dapat membantu kita mengatasi masaalah NAFSU MAKAN dan NAFSU SYAHWAT ketika menjalani ibadah puasa. Kalau kita lihat, sebagai contohnya, orang yang telah meningkat umur iaitu sekitar 60 ke 80 tahun, mereka sebenarnya telah mengurangkan makan dan minum mereka, dan dengan sebab itu badan mereka sebenarnya berkurangan darah serta serba sedikit mengurangkan juga kapasiti air maninya. Maka ketika itu juga mereka sebenarnya telah hilang daya Nafsu Makan serta kurangnya juga daya Nafsu Syahwat. Begitulah hebatnya kalau kita semua mengetahui bahawa ibadah puasa itu punyai rahmat dan nikmat terhadap manusia, bukan sahaja mengongkong diri agar terhindar dari perbuatan keji tetapi mengajak agar lebih dekat dengan Allah SWT.



Saya juga tertarik dengan satu Hadith Nabi SAW yang bermaksud :


“Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Setiap amal anak Adam dilipatgandakan pahalanya. Satu pekara kebaikan diberi pahala sepuluh sampai tujuh ratus kali. Allah Azza Wa Jalla berfirman : “Selain puasa, kerana puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi pahala bagi orang yang berpuasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana Aku. Dan bagi orang yang puasa ada dua macam kegembiraan : Pertama, ketika dia berbuka dan Kedua, ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r,h – Hadith No. 1118).




“Alhamdulillah saya faham kenapa umat Islam di suruh agar berpuasa.”




“Sebenarnya banyak lagi ganjaran-ganjaran serta nikmat-nikmat yang Allah SWT janji serta berikan kepada mereka yang berpuasa.”



“Boleh tak jelaskan lagi ganjaran dan nikmat tersebut kepada saya, lagi pun saya dah mula tertarik dengan penjelasan ini sejak dari huraian di atas tadi.”




Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT



Puasa juga ada kaitannya kepada kita semasa di hari kiamat (Qiamah) kelak. Kalau kita lihat dari perkataan “QIAMAH” dan kita ambil perkataan ‘QIA’ sebagai rujukan untuk menghuraikannya. Perkataan ‘Qia’ itu bererti satu situasi berdiri dalam situasi yang agak lama. Saudara-saudari tahu tidak, semasa kita dipadang mahsyar kelak, sekelian manusia menunggu saat penentuan untuk dihisab (diadili) oleh Allah SWT selama 70,000 tahun (sesetengah ulama’ mengatakan bahawa lebih dari jangkaan masa tersebut). Pada ketika itu pelbagai ragam manusia mengikut amalan-amalannya ketika di dunia dahulu. Ada yang mukanya dibawah kakinya di atas, ada yang menyerupai babi dan anjing, ada yang didekatkan hanya sejengkal kepalanya dengan matahari, ada yang berbau hanyir (akibat zina), ada yang dijauhi dari kepanasan matahari, ada yang berasa selesa dan nyaman, ada yang diteduh dengan sesuatu mengelakkan kepanasan matahari dan sebagainya. Apa yang hendak saya bawakan di sini adalah, kita semua (manusia) sebenarnya menanti dan menunggu saat itu dalam masa yang agak panjang dan memenatkan. Tetapi kalau kita di dunia dahulu sering bersolat sunat dengan berdiri terlalu lama serta rasa khusyuknya kita ketika bersolat, itu sebenarnya dapat membantu dalam mengatasi kepenatan ketika di padang mahsyar bagi menunggu Allah SWT untuk diadili dalam jangka waktu berpuluh-puluh tahun lamanya. Maka tidak hairanlah orang-orang yang beriman yang digelar Muslim-Mukmin akan melakukan solat tarawih sehingga 20 rakaat dalam satu malam bagi mendapatkan nikmat tersebut ketika di padang mahsyar kelak. Biarlah kita penat dan lelah ketika di dunia ini untuk beribadah kepada Allah SWT, tetapi nikmat tersebut kita kecapi ketika di sana nanti.





Saya tertarik juga dengan satu Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :


“Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang menegakkan (solat pada waktu malam) Ramadhan kerana Iman dan kerana Allah, diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h – Hadith no. 733).



“Saya mahukan penjelasan lagi berkenaan dengan ibadah puasa.”



“Sekarang saya sudah sedar.”



“Hendak tak kalau saya ceritakan apa itu Ar-Rayyan kepada kamu.”



“Apa kaitan Ar-Rayyan tu dalam topik yang kita bincangkan ni.”



“Ceritalah, apa itu Ar-Rayyan.”



“Saya tak sabar nak tahu apa itu Ar-Rayyan?”



“Ceritalah”



“Ceritalah”




Saudara-saudari yang dimuliakan dan dikasihi Allah SWT.



Orang-orang yang berpuasa kerana ikhlasnya kepada Allah SWT akan di balas oleh-Nya dengan nikmat yang setimpal ketika di dunia mahupun di akhirat kelak. Sebagai manusia, kita memerlukan nikmat akhirat yang berpanjangan dari nikmat di dunia ini yang singkat. Semua orang mahukan ganjaran, tetapi malas untuk mengotakan kata-katanya sendiri. Semua orang mahukan pengiktirafan tapi tidak semua mahu memikirkannya. Begitu juga dengan ganjaran yang telah Allah SWT beri serta janjikan kepada mereka-mereka yang berpuasa, tidak kiralah puasa di bulan Ramadhan atau pun puasa sunat yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada kita.





Saya bawakan satu Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :


“Dari Sahal bin Sa’ad r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda : “Di dalam syurga ada sebuah pintu yang di sebut ‘Ar-Rayyan’. Orang-orang yang diperkenankan masuk ke syurga melalui pintu itu pada hari kiamat kelak hanyalah orang-orang berpuasa, sedangkan yang lain-lainnya tidak diperkenankan. Mereka akan dipanggil : “Hai orang yang berpuasa!, maka masuklah mereka melalui pintu itu. Setelah orang yang terakhir masuk, pintu itu segera ditutup dan dikunci, sehingga yang lain-lain tidak dapat lagi melaluinya.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h – Hadith No. 1119).



“Ya Allah, Begitu besar nikmat-Mu kepadaku.”



“Tunjukilah aku jalan yang lurus Ya Allah.”



“Awak”



“Terima kasih kerana memberi penerangan kepada saya.”




Saudara-saudari yang dimuliakan Allah SWT.



Bulan Ramadhan adalah bulan untuk mentarbiyahkan diri agar kembali dekat kepada Allah SWT. Bulan yang membawa banyak pengertian kepada kita semua. Tahukah kita, bahawa bulan Ramadhan itu terdapat satu hari yang lebih baik dari seribu bulan? Ia adalah malam Lailatul Qadar.



Apabila menyebut akan malam Lailatul Qadar, semua orang ingin menemuinya. Tidak kiralah siapa sahaja sekalipun. Malam di mana nikmat Allah SWT mencurah-curah rahmatnya turun dari langit ke bumi bersama-sama para malaikat-Nya. Malam yang dinanti-nantikan oleh para Mukmin yang ikhlas beribadah kepada Allah SWT, malahan malam yang gelap bagi mereka yang kuffur terhadap Allah SWT juga.




Pernahkah kita terfikir, dengan bersolat ketika waktu tengah malam (qiamulai) kita sebenarnya lebih dekat untuk menemui malam lailatul qadar?



Saya cuba bawakan satu Hadith Rasulullah SAW yang menyatakan hujah tersebut :


“Dari Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “Sesiapa yang melakukan solat malam sepanjang tahun, niscaya dia bertemu dengan “Malam Qadar”. Jawab Ubay. “Demi Allah!, malam itu sesungguhnya terdapat dalam bulan Ramadhan. Demi Allah!, aku tahu malam itu di mana Rasulullah SAW menyuruh kami menegakkannya (beribadah pada malam itu) iaitu malam yang kedua puluh tujuh Ramadhan. Tanda-tandanya ialah keesokkan pagi matahari kelihatan putih tanpa sinar yang menyorot.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim r.h – Hadith No. 736).



Saudara-Saudari yang dikasihi Allah SWT.



Kita telah mendalami tentang hakikat berpuasa di bulan Ramadhan. Kita juga telah kongsikan bersama dengan Hadith-hadith Sahih Rasulullah SAW untuk kita bawakan bersama kepada generasi kita yang akan datang. Ambillah satu pendekatan untuk merubah dari yang kurang sempurna kembali kepada yang lebih baik dan teratur. Kalau dahulunya kita ini tegar dan ingkar terhadap perintah Allah SWT, tetapi tika dan saat jelmanya Ramadhan ini, kembalilah kita kepada suruhan-Nya dengan sebenar-benar takwa. Kita punyai matlamat hidup di di dunia ini, kita punyai misi dan kita juga punyai visi yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada kita (manusia). Kita punyai Akal dan Ilmu yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Kita bukannya makhluk yang berkaki empat, berkaki enam, berkaki, lapan dan berkaki seribu yang hanya hidup untuk berbakti kepada manusia. Jika seekor lembu itu boleh berbakti kepada manusia, kenapa kita yang punyai akal fikiran yang baik tidak boleh berbakti serta mengikuti segala suruhan Allah SWT. Kita bukannya seekor lembu, kita adalah manusia, yang telah Allah SWT muliakan sejak dari awal penciptaan kita lagi. Tetapi kita juga boleh menjadi lebih bawah dari lembu jika akal dan ilmu yang kita miliki itu tidak kita gunakan dengan sempurna serta mengikuti serakah nafsu dan syaitan laknatullah. Dalam saat itu juga, lembu tersebut matinya untuk berbakti, tetapi matinya kita meninggalkan suruhan Allah SWT, adalah mati yang bagaimana?. Maka dengan itu, tanamkanlah satu niat untuk merubah sesuatu kejahatan kepada kebaikan dengan berpandukan syariat Allah SWT. Kita sering menjaga adab-adab serta pekara-pekara yang membatalkan ibadah puasa kita, tetapi kita lupa pula untuk menjaga syarat-syarat yang boleh membatalkan PAHALA puasa kita. Pekara ini yang amat-amat dibimbangi kita ketika di bulan puasa kelak.






Saudara-saudari yang dikasihi dan dirahmati Allah SWT.



Bersempena dengan bulan yang mulia ini iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak yang akan menjelma tidak lama lagi, saya mohon kemaafan kepada semua rakan-rakan siber saya yang mengenali mahupun yang belum mengenali diri saya. Mohon maaf jua kepada semua Alim Ulama’ sekiranya cetusan coretan saya ini mempunyai unsur-unsur yang menyimpang dan menyalahi syariat Allah SWT. Di atas kekhilafan itu juga saya panjangkan lagi dengan memohon ampun dan maaf kepada kedua orang tua saya dan seluruh keluarga saya serta rakan-rakan seperjuangan saya mahupun di Malaysia, Brunei, Indonesia dan seluruh pelusuk dunia ini. Semoga di bulan yang mulia ini akan membuahkan satu pendekatan baru dalam diri kita bersama dalam mencari cahaya cinta Ilahi. Insya’Allah.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails