Monday, 22 March 2010

Fisabilillah - Hunain.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera. Alhamdulillah, Syukur ke Hadrat-Nya, kini kita tiba di penghujung posting yang terakhir saya berkenaan dengan artikel "Fisabilillah". Semoga apa yang akan saya lampirkan dari awal hinggalah di akhir posting ini memberi kesan dan impak dalam diri dan hati kita amnya serta generasi yang mendatang sebagai pedoman Ibrah yang berguna untuk perjalanan hidup di muka bumi yang berteraskan Syariat Allah SWT.



Telah diriwayatkan dalam tempoh 2 minggu lamanya Nabi SAW beserta dengan kaum Muslimin tinggal di Mekah, tiba-tiba tersiar berita bahawa Kabilah Hawazin yang tinggal di pergunungan sebelah timur Mekah, setelah melihat kemenangan kaum Muslimin yang telah membebaskan Mekah dan menghancurkan berhala-berhala, mereka segera mempersiapkan diri mereka untuk meyerang kaum Muslimin. Lebih dari itu, mereka bernafsu untuk ingin membalas dendam di atas berhala-berhala mereka yang telah diruntuhkan oleh Nabi SAW dan pengikutnya.




Dengan dipimpin oleh Malik bin Auf mereka bergerak ke arah kota Mekah dan berkhemah di lembah yang bernama “HUNAIN”, di mana tempat tersebut merupakan kawasan yang strategi sebagai benteng pertahanan. Ini kerana ia merupakan sebuah lembah yang mempunyai udaranya yang nyaman, hasil pertanian dan ternaknya melimpah ruah yang menjadikan mereka kaya raya dan kerananya itu juga membolehkan mereka mempunyai sumber pendapatan bagi mempertahankan pertahanan mereka.



Apabila mengetahui akan berita itu, Nabi SAW tidak terburu-buru untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka, tetapi sebaliknya, Nabi SAW telah mengantar seorang pengintip untuk mengetahui akan kebenaran dan perlakuan mereka. Nabi SAW telah mengutuskan Abdullah bin Abi Hadrad Al-Aslamy untuk menjalankan perintah Baginda SAW supaya memasuki tempat tersebut bagi menyelidik akan kebenaran berita tersebut.



Setelah terbukti akan kebenarannya berita tersebut, maka Nabi SAW memanggil Umar Al-Khathab r.a untuk minta pendapat dan cadangan agar masaalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Maka selanjutnya, Umar berpendapat bahawa, Nabi SAW harus menyerang kabilah Hawazin tersebut beserta dengan bala tentera Islam. Kemudian Nabi SAW menerima pendapat Umar tersebut, Baginda SAW segera mengumumkan kepada khalayak orang Islam untuk berangkat menghadapi kabilah Hawazin tersebut melalui peperangan.



Pada bulan syawal tahun ke 8 Hijrah, kaum Muslimin dengan dipimpin oleh Nabi SAW sendiri telah berangkat menuju Hunain, iaitu tempat di mana persembunyian kabilah Hawazin berkumpul. Ketika itu juga, seramai 12,000 tentera Islam, yang terdiri daripadanya seramai 10,000 pasukan berasal dari mereka yang telah menyerbu dan membebaskan kota Mekah manakala 2,000 lagi adalah pasukan berasal dari orang-orang Quraisy yang baru sahaja memeluk Islam. Mereka juga diikuti dengan kaum wanita. Keberangkatan kaum Muslimin dengan jumlah pasukan yang besar tersebut sebenarnya sebelum ini belum pernah terjadi di seluruh tanah Jazirah.



Sebahagian mereka berangkat ke medan perang dengan harapan akan mendapatkan harta rampasan yang banyak. Sebahagian dari mereka juga berasa sombong diri kerana jumlah mereka itu yang amat besar. Ketika perjalanan tersebut, ada yang berbisik-bisik di antara satu sama lain bahawa menyatakan :



“Kita pasti menang, kita tidak akan kalah kerana jumlah kita terlalu banyak”



Rasulullah SAW tidak berapa senang mendengar desas-desus ucapan yang sedemikian itu. Bukan sahaja tidak senang, malahan Rasulullah SAW menjadi khuatir, sebab Allah SWT tidak menyukai kepada kaum yang sombong.



Akhirnya pada saat menjelang sehari perjalanan tersebut, pasukan Muslimin telah tiba di daerah Wadi Hunain. Mereka telah berkhemah dan rehat di tempat tersebut. Setelah fajar mula menyinsing maka bangunlah mereka untuk bergerak menuju ke lembah Hunain tempat di mana persembunyian kabilah Hawazin tersebut. Sementara itu Khalid bin Walid yang telah memimpin Bani Sulaim telah berada di medan hadapan untuk menyerang kubu-kubu musuh. Dengan tiba-tiba mereka dihujani dengan panah-panah musuh yang berterbangan ke arah mereka, sedangkan ketika itu dalam keadaan kegelapan subuh. Pihak Muslimin menjadi kucar-kacir di atas apa yang berlaku. Pasukan Khalid yang ditugaskan untuk memanah, terpaksa undur bagi mengelakkan lebih ramai lagi tentera Islam yang terkorban. Peristiwa ini merupakan satu ujian dari Allah SWT di mana hukuman kepada kaum Muslimin di atas kesombongannya malah sedikit sebanyak ia berkaitan dengan niat sebenar kaum Muslimin untuk pergi berperang dan berjihad di jalan Allah SWT.



Ketika itu Nabi SAW begitu tabah dengan apa yang terjadi terhadap kaum Muslimin. Baginda SAW tidak berganjak sedikitpun dari tempatnya bersama-sama kaum Muhajirin dan Anshar ketika menghadapi pihak musuh. Dalam pada itu juga, Nabi SAW telah bersabda kepada kaumnya yang melarikan diri dari pihak musuh :



“Aku ini Rasulullah, Aku tidak dusta, Aku cucu Abdul Muthalib.”



Setelah Nabi SAW berseru, maka kaum Muslimin pun kembali mengelilingi Nabi SAW. Mereka berkumpul, dan berasa lega di atas seruan Nabi SAW tadi.



Firman Allah SWT :

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir. Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah At-Taubah – Ayat 25-27).





Peperangan tersebut tidak dapat dielakkan lagi, kaum Muslimin terus mara ke hadapan untuk berdepan dengan pihak musuh. Mereka tidak menghiraukan maut demi di jalan Allah SWT. Pertempuran ketika itu begitu hebat sekali, di mana pihak Islam telah banyak membunuh pihak musuh. Pihak kabilah Hawazin yang didokong oleh kaum Thaqif serta pengikut-pengikutnya yang setia telah mengalami kekalahan yang teruk di tangan tentera Islam Ketika itu juga, pihak musuh Islam telah banyak melarikan diri mereka di medan peperangan tersebut, malahan ada yang bersembunyi untuk mengelakkan diri mereka ditangkap atau dibunuh oleh pihak Muslimin. Lantaran dengan itu juga, pihak Muslimin meneruskan pengejarannya terhadap musuh tersebut. Sebahagian dari musuh yang lari itu kembali melawan, iaitu pasukan yang dipimpin oleh Malik bin Auf sehingga terjadinya pertempuran yang sengit lagi. Akan tetapi perlawanan inipun tidak membawa erti. Ini kerana pihak musuh telah melarikan diri ke Thaif di mana mereka mempunyai benteng pertahanan yang kuat dan kukuh. Mereka telah berlindung di dalam kubu tersebut dengan di bantu oleh rakan-rakan mereka yang setia menunngu kepulangan rakan-rakan mereka untuk membalas kembali serangan terhadap pihak Islam. Pihak Muslimin telah mengepung kubu pertahanan tersebut selama 20 hari lamanya, namun mereka juga enggan keluar sebagai tebusan dan mengakui kekalahan mereka terhadap pihak Muslimin.



Setelah bersepakat, maka Nabi SAW memerintahkan agar kembali ke Ja’ranah untuk membahagi-bahagikan harta rampasan perang tersebut. Tiba-tiba datang utusan dari Hawazin yang sudah mengaku memeluk Islam. Mereka meminta supaya harta mereka, wanita dan anak-anak dikembalikan kepada mereka. Nabi SAW mengabulkan permintaan mereka itu. Akhirnya wanita dan kanak-kanak dari kabilah Hawazin itu dikembalikan kepada yang sepatutnya setelah mereka semua mengakui memeluk Islam di hadapan Nabi SAW dan pengikutnya. Allahu Akhbar!, hebatnya kesabaran dan toleransi Nabi SAW terhadap umatnya, walaupun Baginda SAW diperangi dan disakiti oleh musuh-musuh yang membencinya. Lihatlah saudara-saudari sekelian, adakah sifat ini terpahat dalam diri kita sekarang ini. Contohilah sifat-sifat Nabi SAW ini yang mengajar erti kesabaran dan ketabahan dalam setiap sudut. SubhanaAllah!.



Setelah selesainya pembahagian harta rampasan tersebut, Nabi SAW kembali ke Mekah bersama pengikut-pengikutnya untuk menunaikan Umrah dan berihram. Setelah selesai Baginda SAW kembali semula ke kota Madinah bersama-sama orang-orang Muhajirin dan Anshar untuk memperkukuhkan lagi Islam di kota tersebut dan merancang untuk menyebarkannya di seluruh pelusuk tanah Arab. Pada tahun ke 9 Hijrah, pengaruh Nabi Muhammad SAW telah sampai ke seluruh tanah Jazirah Arab dan hampir seluruh penduduknya telah memeluk Islam. Dengan demikian ternyatalah kemenangan orang-orang yang beriman itu dan nyata pula akan kehancuran orang-orang yang musyik terhadap Allah SWT.



Ini adalah rentetan peristiwa motivasi buat kita semua, setiap kebathilan pasti akan hancur, setiap yang bernyawa itu akan pasti menemui-Nya. Allah SWT berhak memilih sesiapa yang ingin Ia miliki. Setelah saya nyatakan dalam artikel ‘Fisabilillah” selama 6 episod ini sedikit sebanyak mengubah kehidupan kita amnya. Ada yang perlu kita kongsikan bersama secara terbuka dan ada yang perlu kita rujukpakai untuk diri kita bagi memperlihatkan teguhnya Iman dan Taqwa kita terhadap Allah SWT. Kita bukan insan yang hanya mencedok fahaman dan dakyah dari musuh-musuh Islam untuk kita rujuk sebagai pedoman hidup. Nabi SAW adalah contoh tauladan yang terbaik dan terunggul untuk kita guna sebagai rujukan hidup. Nabi SAW telah berkorban demi untuk Islam dan Allah SWT adalah untuk memperlihatkan kepada umatnya bahawa Islam itu terlalu tinggi. Islam itu bukan sekadar mengucap kalimah syahadah tetapi tidak langsung mempraktikkan hukum-hukumnya. Maka tidak hairanlah dekad kini, semakin ramai yang ingin memeluk Islam bukanlah semata-mata untuk mentauhidkan Allah SWT, tetapi lebih cenderungnya mereka kepada kasih dan sayangnya terhadap orang yang di kasihi. Memeluk Islam untuk berkahwin dengan orang Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka-mereka ini tidak ubah seperti orang-orang yang tidak mengenal langsung akan kesucian Islam.




Bangkit dan bangunlah wahai saudara-saudari sekelian, Islam itu bukan sekadar memperlihatkan kepada imej dan pakaian sahaja, tetapi dalam masa yang sama, anak-anak kita sering dibiarkan dengan pendedahan aurat yang berleluasa malah lebih malangnya lagi, membiarkan anak-anak kita bebas bergaul dengan bukan muhrimnya tanpa kawalan yang sepatutnya. Kalaulah ini yang kita banggakan, maka tidak mustahil ia menjadi satu budaya ikutan dari satu generasi ke generasi yang lain.



Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan ketabahan kepada sekelian Umat Islam agar bangkit dari kelalaian duniawi yang merencam ini serta tempatkan hati-hati umat Islam ini di kalangan orang-orang yang mentauhidkan Allah SWT dan mengakui akan kebenaran Rasulullah SAW. Amin.




Buat Umat Islam semua,





Al Fatihah kepada mereka yang gugur sebagai Syuhadah.






Al-Fatihah….






Allahuakbar!, Allahuakbar!,Allahuakbar!.








Sumber Nota :

1) Tafsir Al-Quran Prof. Dr. Hj Mahmud Yunus.

2) Kitab Fiqhus Sirah, - Al Ghazali.

3) Kitab Quthuff Min Syamaail Al Muhammadiyah Wa Al-Akhlaq An-Nabawiyah Wa Al-Adab Al-Islamiyah, - Syeikh Muhammad Bin Jamil.

4) Kitab Hayatu Muhammad, - Muhammad Husein Haekal.

5) A Study of Islamic, History, - Prof. K. Ali.

6) Kitab Nurul Yaqina, - Muhammad Al-Hudhari Bik.

7) Kitab Assabiyyatufil Mawaa’idhil Barriyyaati – Al-Imam As-Syeikh Abu Nashry.

8) Kitab Rasul Muhadditsin Allama Jilid 1 & 2 – Muhammad Zakariyya, Syeikh Hadith Damat Barakatahum.

9) Hadith Shahih Bukhary r.a.

10) Hadith Shahih Muslim r.a..


Rujukan Peribadi :

1) Ustaz Nizam Al-Hafiz (Imam Masjid Hj. Ismail, Kuala Selangor.).

2) Mini Perpustakaan Muhammad Ibnu Nazir.



Saturday, 20 March 2010

Fisabilillah - Mut'ah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.



Alhamdulillah, kini kita dipertemukan lagi dengan rahmat dan hidayahnya. Terima kasih kepada saudara dan saudari sekelian yang sudi hadirkan diri untuk membaca posting saya sejak dari awal artikel saya berkenaan dengan “Fisabilillah”. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan keredhaannya kepada kita semua dalam kita mencari ilmu-ilmu Allah SWT. InsyaAllah.



Artikel ini saya mulakan dengan setelah pulangnya Nabi SAW dari menunaikan ibadah haji, Baginda SAW kembali mengirimkan para utusannya untuk menyampaikan surat kepada ketua-ketua Bani keturunan Arab. Baginda SAW mengirimkan utusan seramai 50 orang kepada Bani Sulaim untuk menyebarkan agama Islam ke pelusuk Jazirah Arab. Tetapi apa yang malangnya apabila sebahagian besar utusan Nabi SAW itu telah dibunuh oleh musuh-musuh Islam. Demikian juga 15 orang utusan Nabi SAW telah dihantar oleh Nabi SAW ke Dhat Atla iaitu di perbatasan Syam dengan tugas utama mereka adalah untuk berdakwah dan mengajak agar manusia menganut agama Islam secara keseluruhannya telah ditangkap dan dibunuh oleh mereka-mereka yang bencikan Nabi SAW dan Islam. Mereka telah diperlakukan dengan kejam oleh musuh-musuh Islam, didera, diseksa, dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam yang sangat membencikan Nabi SAW. Apabila terlepasnya seorang utusan Nabi SAW dari dihukum bunuh, maka ketika itu ia pergi berjumpa dengan Nabi SAW, lalu diceritakannya akan peristiwa penangkapan dan pembunuhan itu kepada Nabi SAW dan Para Sahabat r.a, maka Nabi SAW berasa begitu kecewa dengan apa yang menimpa di atas sekelian utusannya.




Peristiwa pembunuhan utusan Nabi SAW itu telah dilakukan oleh Syarahbil bin Amr, iaitu seorang ketua Negara dari Bashrah yang beragama Kristian. Syurahbil bin Amr juga telah membunuh Harith bin Amr iaitu seorang utusan Nabi SAW yang telah membawa surat ke tempat tersebut. Apabila Nabi SAW mendengar akan peristiwa pembunuhan tersebut, Baginda SAW sangat kecewa dan sedih di atas apa yang berlaku kepada para utusannya. Lantas Baginda SAW telah merancang untuk menubuhkan satu pasukan untuk membalas kembali perbuatan-perbuatan terkutuk mereka itu.



Pada bulan Jamadil Awwal, iaitu awal tahun ke 8 Hijrah bersamaan dengan 629 Masehi, Nabi Saw telah mengatur dan mempersiapkan bala tenteranya untuk pergi berperang iaitu seramai 3000 orang. Nabi SAW telah memilih Zaid bin Harithah iaitu bekas hambanya sebagai pemimpin untuk menerajui peperangan tersebut. Kalau kita semua mengkaji dan memerhatikan perlantikanan tersebut, Nabi SAW itu memilih seseorang sebagai pemimpin bukan dasar akan kedudukannya sebelum itu. Walaupun pada umumnya sebagaimana yang telah kita ketahui, bahawa Zaid bin Harithah ini adalah merupakan seorang hamba, tetapi pada saat yang diperlukan, Nabi SAW telah mengangkatnya sebagai seorang pemimpin untuk mengetuai umat Islam pergi berperang dan berjihad menentang pihak musuh. Ini adalah gambaran kepada kita, bahawa darjat, keturunan dan sebagainya itu bukanlah kayu pengukur bagi seseorang, tetapi Iman dan Takwanya itu terhadap Allah SWT adalah lebih mulia di sisi Islam. Maka dengan itu, ini membuktikan bahawa Nabi SAW tidak membeza-bezakan darjat serta keturunan di antara umatnya.



Setelah Nabi SAW selesai mengadakan pembentukan pasukan tersebut, lantas Nabi bersabda :


“Apabila Zaid gugur, maka Jaafar bin Abu Thalib yang memegang pimpinan dan apabila Jaafar gugur, maka Abdullah bin Rawahah yang akan memimpin pimpinan. Sekiranya beliau juga terbunuh, maka dengan itu bolehlah kamu sekelian memilih seorang ketua dari kalangan kamu hendaknya.”


Maka ketika itu seorang yahudi kebetulan telah terdengar sabda Nabi SAW tersebut dan berkata :


“Ketiga-tiga mereka ini pasti akan mati, inilah caranya yang lumrah bagaimana para-para Nabi yang terdahulunya selalu meramalkan.”



Maka, pasukan Muslimin yang dipimpin oleh Zaid bin Harithah r.a telah berangkat ke medan pertempuran untuk menentang musuh-musuh Islam. Baginda SAW memberi kepada Zaid sehelai bendera putih yang telah dibuat oleh Baginda SAW sendiri. Lebih manisnya ketika itu, Khalid bin Walid r.a baru sahaja memeluk Islam atas kesedaran dirinya sendiri. Beliau merupakan panglima perang yang amat-amat digeruni dan dikagumi oleh semua pihak. Dengan kemasukan beliau ke dalam agama Islam, sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada pihak musuh pada ketika itu, malahan ia juga memberi inspirasi untuk terus berjuang bagi pihak Islam. Keperwiraan beliau telah diketahui umum oleh masyarakat Arab pada ketika itu. Keberanian beliau juga merupakan tonggak utama bagi tentera Muslimin untuk bangkit bersama-sama menentang pihak musuh-musuh Islam. Dengan keikhlasan dan kesanggupannya dalam peperangan itulah yang menunjukkan iktikad baiknya sebagai seorang yang beriman terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Pada ketika itu juga, Nabi SAW telah berdoa kepada Allah SWT akan keselamatan seluruh tentera-tenteranya malahan turut menghantar tentera Islam untuk menentang pihak musuh sehingga sampai ke Saniyatul Wida. Ini juga sedikit sebanyak memberi semangat kepada tentera-tentera Islam untuk maju ke hadapan menentang pihak musuh-musuh Islam.



Setelah beberapa hari mereka melakukan perjalanan ke medan peperangan, akhirnya sampailah mereka ke suatu tempat yang bernama Ma’ab. Dua malam mereka berada di tempat tersebut memerhatikan pihak musuh yang jauh lebih banyak jumlahnya dari pihak tentera Islam. Pihak tentera Islam yang dipimpin oleh Zaid bin Harithah tetap dengan pendirian mereka untuk terus berjuang menentang pihak kuffar. Sementara itu juga pihak musuh yang dipimpin oleh Syurahbil bin Amr telah menghimpunkan kelompok-kelompok kabilah yang ada di sekitarnya ditambah dengan pasukan tentera yang terdiri dari orang-orang yahudi dan orang-orang kafir Arab, di mana mereka keseluruhan berjumlah 100,000 orang.



Ketika itu juga, pihak Muslimin telah bergerak menuju ke hadapan menghala ke medan peperangan yang bernama Balqa’ iaitu sebuah desa yang bernama Musyarif. Pihak Muslimin juga telah bertemu dan berhadapan dengan pasukan musuh, akan tetapi pasukan ini segera beralih arah ke suatu tempat yang dinamakan “Mut’ah”. Maka di Mut’ah inilah terjadinya pertempuran yang sengit di antara pihak Islam dan pihak musuh. Pada ketika itu pihak musuh telah diangotai seramai 100,000 orang bala tenteranya manakala pihak Islam telah diangotai juga seramai 3,000 orang tentera Muslim. Peperangan mulai tercetus dengan hebatnya, para tentera Islam berjuang habis-hasisan menentang pihak musuh yang lebih besar bilangan tenteranya tanpa rasa gerun dan takut sekali. Semangat mereka berkobar-kobar apabila menentang pihak musuh, mereka saling bantu membantu ketika mana mereka diserang disegenap sudut oleh pihak musuh. Laungan “Allahu Akhbar” jelas berkumandang di setiap sudut. Manakala pihak musuh kelihatan takut dan curiga terhadap kemaraan pihak Islam ke atas mereka. Ada yang lari bertempiaran dan bersembunyi untuk mengelak dari dibunuh oleh tentera Islam. Ada yang lari meninggalkan medan pertempuran tersebut, akibat takutnya mereka terhadap keperwiraan tentera Islam yang kian mara ke hadapan.




Syahidnya Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abu Thalib dan Abdullah bin Rawahah r.a.


Bendera Nabi SAW telah dibawa oleh Zaid bin Harithah dan dia terus maju ke tengah-tengah pihak musuh dengan beraninya tanpa menghiraukan anak-anak panah yang telah menusuk ke badannya. Ia yakin bahawa kematiannya itu tidak akan dapat dielakkannya lagi. Tetapi mati di medan itu, bererti syahid di jalan Allah SWT. Selain kemenangan, hanya satu pilihan, iaitu mati syahid di jalan Allah SWT. Dan di sinilah Zaid bertempur bermati-matian sehingga akhirnya ia hancur luluh oleh tombak musuh. Ketika beliau tercedera, beliau sempat menebas beberapa kepala musuh walaupun puluhan anak panah telah menusuk ke dalam badan beliau. Keberanian beliau itu juga membakar semangat kepada para pejuang lain untuk terus berjuang menentang pihak kuffar.



Saat itu juga bendera Islam disambut oleh Jaafar bin Abu Thalib r.a dari tangannya. Ketika Jaafar menerajui peperangan tersebut setelah kesyahidan Zaid, beliau ketika itu hanya berumur 33 tahun, sebagai pemuda yang berwajah tampan dan berani. Jaafar terus bertempur dengan membawa bendera tersebut sambil menebas kepala dan badan-badan musuh yang berhampiran dengannya tanpa rasa takut. Peristiwa tersebut membuatkan pihak musuh berasa amat gerun lantas ada yang melarikan diri untuk mengelak dari dibunuh oleh beliau dan tentera Islam. Bilamana kudanya dikepung oleh pihak musuh, dilompat kudanya itu dari pihak musuh dan menetak sekelian yang berada disekelilingnya itu, dan dia sendiri terjun ketengah-tengah pihak musuh, menyerbu dengan menghayunkan pedang ke leher sesiapa sahaja yang berhampiran dengannya tanpa ada perasaan takut. Bendera Islam pada ketika itu dipegang olehnya, dan bilamana tangan kanannya ditetak oleh pihak musuh dan terputus dari anggota badannya, maka tangan kirinya pula memegang bendera tersebut walaupun ketika itu tangan kanannya kelihatan darah memancut-mancut keluar dari tangannya. Beliau sendiri tidak menyedari akan peristiawa tersebut. Manakala apabila tangan kirinya juga turut terputus, maka dipeluknya bendera itu dengan kedua pangkal lengannya sampai ketika syahidnya beliau. Ya Allah! Hebat pengorbanan beliau demi Islam yang suci. Jika saya dan kamu membaca artikel ini, kamu akan teruja, tetapi jika kita ada ketika itu menyaksikan apa yang berlaku, maka semangat kita berbeza dari apa yang kita ketahui hari ini. SubhanaAllah!.



Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa :


“Apabila kami mengangkat keluar beliau dari medan pertempuran itu, kami telah mengira dan mendapati sebanyak sembilan puluh liang luka di badan beliau, malahan kesemuanya dari bahagian depan badannya”



Setelah Jaafar syahid di medan pertempuran, pimpinan tersebut beralih kepada Abdullah bin Rawahah r.a. Beliau merupakan pahlawan yang berjiwa kental ketika menghadapi pihak musuh. Jaafar terus maju dengan kudanya membawa bendera tersebut, sementara itu terfikir olehnya bahawa syahid di jalan Allah SWT itu lebih utama dari terkorban dalam kekafiran. Beliau menentang musuh dengan beraninya, menetak kepala dan badan-badan musuh yang cuba menghampirinya. Ketika itu juga, beliau sempat menyelamatkan sebilangan tentera Islam yang dikepung oleh pihak musuh. Beliau terus membunuh pihak musuh tanpa ada perasaan takut dalam dirinya. Ketika itu juga ramai dari pihak musuh telah melarikan diri dari medan petempuran tersebut, walaupun sebagaimana yang telah kta ketahui bahawa tentera musuh itu lebih besar bilangannya dari pihak Muslimin. Abdullah terus bertempur sehingga beliau sendiri telah syahid di jalan Allah SWT. Allahu Akhbar!. Inilah perjuangan sahabat Nabi SAW dan para syuhada ketika itu yang jarang kita ketahui akannya. Perjuangan untuk menegakkan Islam, walaupun nyawanya menjadi taruhan. Begitu besar pengorbanan mereka-mereka ini di jalan Allah SWT. Semoga Allah SWT merahmati mereka dan ditempatkan mereka dikalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.


Khalid bin Walid r.a sebagai peneraju.


Setelah syahidnya pemimpin yang telah diamanahkan Nabi SAW dalam peperangan Mut’ah tersebut, kini giliran Khalid bin Walid sebagai pemimpin dan peneraju peperangan tersebut. Beliau telah menentang pihak musuh dengan gagah beraninya, mengunakan segala pengalamannya untuk menentang pihak musuh. Beliau telah mengambil alih bendera Islam tersebut dari Abdullah bin Rawahah r.a yang telah syahid di medan pertempuran. Beliau telah melihat dan didapati bahawa pihak Islam telah banyak yang terkorban dan kelihatan mereka terlalu kelaparan dan kehausan akibat 3 hari sebelum pertempuran mereka telah kehabisan bekalan makanan dan perjalan yang agak jauh untuk sampai ke medan pertempuran tersebut. Ketika itu juga pihak kafir telah meminta bantuan kepada pihak Qaisar untuk menghantar 200,000 orang tentera lagi bagi membantu Syurahbil bin Amr menentang pihak Islam yang pada umumnya mereka telah mengalami kekalahan akibat banyak tenteranya yang telah terbunuh. Maka ketika itu Khalid bin Walid telah mengatur agar pihak Islam segera berundur dan memerintahkan agar pasukan Muslimin untuk menarik diri kembali ke Madinah setelah pihak musuh telah dapat dikucar-kacirkan. Pihak musuh ketika itu begitu teruja dengan apa yang telah mereka lihat, mereka menyangkakan bahawa mereka dapat menewaskan pihak Islam dengan begitu mudah sekali, walaupun bilangan tentera mereka jumlahnya lebih ramai dan dilengkapi dengan peralatan perang yang serba mewah dan tersusun, tetapi ia sebaliknya mereka terpaksa menghadapi peperangan tersebut dengan jalan yang sukar dan pahit. Pihak musuh telah mengalami kekalahan yang memalukan apabila pihak Islam yang sedikit bilangannya itu telah dapat mencerobohi kubu-kubu kuat mereka dan dapat membunuh sebilangan pahlawan-pahlawan mereka. Pihak musuh juga begitu takut dan gerun terhadap pihak Islam sehinggakan ia sanggup meminta bantuan ketenteraan dari pihak Qaisar.



Oleh yang demikian, terhindarlah tentera Islam dari bencana yang lebih dahsyat lagi ketika di medan Mut’ah, apabila Khalid bin Walid r.a telah mengarahkan agar pihaknya berundur menuju ke kota Madinah. Peperangan ini merupakan, medan perjuangan yang pertama dalam rangkaian perluasan Islam keluar dari Jazirah Arab.



Saya amat tertarik dengan 3 lingkaran syair yang telah dialunkan oleh Abdullah bin Rawahah r.a iaitu sebelum peprangan tersebut berlaku di mana syair tersebut adalah berbunyi begini :


“Daku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala debu-debuan dosa-dosaku dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku terpancar mengalir umpama jernihan air yang mengalir keluar dari mata air.”


“Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku dan ke isi perutku”


"Dan tatkala insan-insan melalui ditepian pinggir kuburku, mereka akan berkata : ‘Semoga engkau yang telah gugur kerana Allah…berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.”



Maka dengan itu, bagi diri kita juga, yang mempunyai semangat pengorbanan dan keperwiraan telah dapat dilihat dengan mata hati kita sendiri. Buih-buih pengorbanan tersebut serta keperwiraan para Sahabat r.a yang masih lagi hangat ke hari ini, dapatlah kita jadikannya satu ikutan yang berguna. Jika peristiwa pergorbanan tersebut sering dan malah kita kian lupai, maka mana mungkin kita tergolong di dalam golongan yang berjihad. Berjihad itu tidak bermakna hanya di medan ‘Fisabilillah’ tetapi berjihad sebenar ketika kita di dunia ini adalah “Melawan godaan Syaitan dan Nafsu”. Ini adalah jihad kita yang sebenar, jihad yang sering kita alaminya saban hari. Jika jihad melawan syaitan dan nafsu itu kita sering tewas, maka macammana kita hendak berjihad dengan pekara-pekara yang lebih besar lagi. Allahu Akhbar!.



InsyaAllah, saya akan lanjutkankan lagi posting saya yang terakhir berkenaan dengan artikel “Fisabilillah” iaitu berkenaan dengan “Fisabilillah - Hunain”, di artikel dan posting yang akan datang mengikut ketentuan dan keizinan dari Allah SWT. WaAllahu A’lam.



Thursday, 18 March 2010

Fisabilillah - Khaibar.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.


BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.



Sebagaimana yang telah kita semua kongsikan sebelum ini dalam posting saya yang lalu iaitu “Fisabilillah – Ahzab”, di mana ketika itu pihak bangsa yahudi telah dihalau keluar dari kota Madinah oleh Nabi SAW atas dasar khianatnya mereka terhadap perjanjian perdamaian yang telah dimeterai oleh mereka suatu ketika dahulu. Perjanjian tersebut dinamakan “Perjanjian Hudaibiyah”. InsyaAllah selepas saya habiskan berkenaan dengan artikel ‘Fisabilillah’ ini, saya akan muatkan pula berkenaan dengan koordinasi ‘Perjanjian Hudaibiyah’ yang telah dimeterai oleh Baginda SAW dengan pihak musuh. Ayuh!, mari kita kembali pula kepada huraian berkenaan dengan ‘Fisabilillah – Khaibar’, yang akan saya huraikan ini nanti.



Namun segala pemberontakan dari luar dan dari dalam kota Madinah oleh pihak yahudi yang dibantu oleh kaum kafir quraisy Mekah telah dapat dipatahkan oleh Rasulullah SAW serta para Sahabat r.a dengan bantuan serta pertolongan dari Allah SWT. Kini, tersurat lebaran baru bagi umat Islam Madinah untuk menyebarkan Islam ke pelusuk dunia dengan mudah dan berkesan sekali. Namun yang demikian, segala rintangan untuk mencapai niat tersebut, hendaklah disusuli dengan kegigihan dan keteguhan Iman yang terpahat dalam diri mereka. Telah diriwayatkan, bahawa setelah kaum yahudi diusir dari kota Madinah, mereka bertekad untuk tinggal di sebuah tempat atau daerah yang dipanggil ‘Khaibar’, iaitu lebih kurang 200 mil di sebelah utara kota Madinah.





Di sini kaum yahudi tersebut merasakan diri mereka merdeka dan di tempat itu pula dipenuhi dengan benteng-benteng yang kukuh sehingga pada setiap kesempatan mereka dapat melakukan serangan hendap terhadap umat Islam. Mereka sering melakukan serangan terhadap umat Islam secara senyap-senyap kemudian bersembunyi di dalam kota Khaibar tersebut yang dikelilingi dengan batuan tembok yang teguh, bagi mengelakkan diri mereka diserang pula oleh pihak Muslimin. Ini satu tektik kotor yang telah dimainkan oleh pihak yahudi untuk membangkitkan kemarahan malahan itu juga sedikit sebanyak memungkinkan terjadinya peperangan lagi. Mereka saban hari, tidak putus-putus untuk menghancurkan Islam malah mengkucar-kacirkan pentadbiran Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a yang ketika itu memerintah kota Madinah dengan adil dan berwibawa. Kaum yahudi tersebut telah melangari perjanjian yang telah mereka meterai bersama pihak Islam suatu ketika dahulu. Malahan apa yang mendukacitakan lagi apabila kaum ‘Gatafan’ telah bersetongkol dengan pihak yahudi kuffar untuk bersatu menghancur dan memusnahkan Islam serta pengikutnya. Pihak yahudi dan kaum ‘Gatafan’ telah bersepakat untuk bekerjasama bagi menyerang kota Madinah malah motif sebenar mereka itu adalah untuk membunuh Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a serta menghancurkan Islam. Mereka terlalu beria-ia untuk menakluki kota Madinah serta menyebarkan fahaman sesat mereka. Saudara dan saudari sekelian, kalau kita lihat, begitu gigihnya pihak yahudi dan kaum kuffar untuk menghancurkan Islam pada zaman Nabi SAW, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghancur serta memusnahkan Islam dari setiap sudut. Ini adalah petunjuk bagi kita untuk mengetahui bahawa propaganda fahaman yahudi sebenarnya dari masa ke semasa telah merebak ke dalam diri dan masyarakat kita, maka dengan itu fahamilah langkah-langkah mereka bagi menjamin diri kita terhindar dari propaganda yang sering dimainkan untuk memusnahkan umat Islam.



Apabila mendengar berita tentang rancangan untuk menyerang kota Madinah, Nabi SAW segera menyeru dan menyuruh para pengikutnya supaya bersiap sedia untuk menghadapi musuh pada bila-bila masa. Nabi SAW serta pengikutnya bersepakat untuk pergi menyerbu dan menyerang kubu musuh di Khaibar. Dan diriwayatkan juga, peperangan ini berlaku pada awal tahun ke 7 hijrah dan ia berakhir pada tahun tersebut juga.



Maka, setelah diperlengkapi dengan pelbagai peralatan yang sempurna, pihak Muslimin yang dipimpin oleh Nabi SAW telah berangkat ke kubu musuh iaitu di Khaibar. Seramai 1600 orang dengan 100 kavaleri kaum Muslimin berangkat menuju ke medan pertempuran dengan gagah beraninya. Mereka begitu optimis akan adanya pertolongan Allah SWT, sepertimana yang berlaku peperangan yang sudah. Mereka begitu bersemangat untuk terus berjuang, bagi menghapuskan saki baki pengkhianat dan pihak kuffar yang sering membawa kesusahan dan kemudaratan kepada mereka sebelum ini.



Dengan persiapan persenjataan yang lengkap, kaum Muslimin telah berada di hadapan benteng-benteng kubu pihak musuh. Pada ketika itu juga pihak yahudi telah dipimpin oleh Sallam bin Misykam yang menyatakan akan membunuh Nabi SAW dan pengikut-pengikutnya ketika peperangan ini berlaku. Begitu sombong dan bongkaknya Sallam bin Misykam ini terhadap Nabi SAW dan umat Muslimin pada ketika itu.



Kini, pertempuran tidak dapat ditangguhkan lagi, di mana pertempuran tersebut berlaku dengan sengit sekali, pihak Muslimin telah menentang musuh dengan begitu berani tanpa menghiraukan bencana yang akan menimpanya di hadapan. Piahk yahudi pada ketika itu seolah-olah tidak mempercayai akan kekuatan tentera Islam, di mana mereka melihat, pada ketika itu, pihak mereka telah seakan-akan mati arah dan buntu. Pihak yahudi telah menghadapi satu pertempuran yang hebat, ramai di kalangan mereka telah mati terkornban. Apabila melihat keadaan itu, ada segelintir dari pihak yahudi telah lari meninggalkan medan tersebut, akibat terlalu takut akan tentera Islam walaupun ketika itu mereka berada di dalam kubu-kubu mereka. Malahan apa yang menyedihkan bagi pihak yahudi adalah, Sallam bin Misykam telah mati dibunuh oleh pihak Islam. Ia mati bersama-sama keegoannya sendiri. Pada ketika itu juga keadaan menjadi kucar-kacir, akibat dari kematian panglima perang mereka.



Selanjutnya pimpinan pasukan yahudi telah beralih arah, di mana Harith bin Abi Zainal telah diambil sebagai panglima perang yang baru bagi mengantikan Sallam bin Misykam yang telah terbunuh dalam pertempuran tersebut. Harith bin Abi zainal telah melaungkan slogan peperangan untuk bangsa yahudi bagi menaikkan semangat tenteranya untuk terus berjuang menentang tentera Islam. Beliau telah menyatakan bahawa, peperangan Khaibar ini adalah titik tolaknya kaum Bani Israil di bumi Arab. Dengan penumpasannya mereka itu bererti, berakhirnya kaum Bani Israil di muka bumi Arab buat selama-lamanya.



Tetapi kebenaran Allah SWT itu berpihak kepada kaum Muslimin, di mana tidak lama kemudian banyak benteng-benteng kubu musuh dapat di tawan oleh pihak Islam. Hampir kesemuanya kubu-kubu pihak yahudi telah dapat di tewaskan, hanya tinggal 2 kubu lagi yang belum dapat ditawn oleh pihak tentera Islam. Kubu tersebut dipimpin oleh Watih dan Sulalim yang ketika itu juga hampir-hampir dapat ditewaskan oleh pihak Muslimin. Inilah gambaran kepada kita khasnya, bahawa kebenaran itu sebenarnya berpihak kepada Nabi SAW dan Islam. Semangat para mujahid menentang kaum kuffar itu tidak dapat disangkal lagi akan keberaniannya. Satu persatu kubu musuh dapat ditawan dengan mudah, malahan setiap panglima perang dari pihak musuh juga dapat dibunuh dengan hanya satu slogan “Allahu Akhbar!”.



Kini, saat itu juga perasaan putus asa mulai menghantui pihak musuh. Mereka ingin meminta perdamaian dari pihak Islam. Ketika itu juga peperangan sudah mulai reda, dan pihak yahudi meminta agar mereka diberi hak yang sepatutnya dari pihak Islam. Kejayaan perang Khaibar ini telah berpihak kepada umat Islam, atas kepintaran strategi perang yang dirancang oleh Nabi SAW serta para Sahabat r.a.



Semua harta benda mereka yang ada di dalam kubu-kubu mereka diserahkan semuanya kepada Nabi SAW untuk disita sebagai harta rampasan perang. Permintaan perdamaian itu tidak saja diterima oleh Nabi SAW, akan tetapi juga mengembalikan semua daerah dan harta kekayaan mereka serta kebebasan beragama dengan syarat mereka harus membayar pajak tanah yang tetap. Begitulah sikap Nabi SAW terhadap musuh-musuhnya, Baginda SAW berlembut dan memilih jalan yang baik untuk menyelesaikan sesuatu permasaalahan.



Setelah keadaan menjadi semakin aman dan perjanjian telah dibuat di antara satu sama lain yang bermotifkan kedamaian dan keamanan bagi semua pihak, kini tibalah peristiwa sedih yang berlaku terhadap pihak Islam. Di mana pada ketika itu Zainab bin Harith iaitu isteri kepada Sallam bin Misykam yang munafik serta benci ke atas Nabi SAW, di atas kematian suaminya iaitu Sallam bin Misykam di medan perang Khaibar telah merancang untuk membunuh Nabi SAW dan pengikutnya. Zainab bin Harith telah meletakkan racun pada hadiahnya terhadap Nabi SAW iaitu daging kambing panggang yang akan disantap oleh Nabi SAW dan para Sahabatnya. Ketika Baginda SAW bersama para Sahabat r.a yang ingin menjamu daging dari pemberian hadiah dari Zainab tersebut, maka tiba-tiba Nabi SAW telah diberitahu melalui Mukjizatnya iaitu lidah Baginda SAW telah berkata kepada beliau bahawa daging tersebut telah diracun. Lalu Nabi Saw memuntahkannya kembali bagi menyelakkan diri Baginda Saw diracun oleh Zainab bin Harith. Tetapi apa yang menyedihkan ketika itu, di mana Basyir bin Bara’ r.a iaitu Sahabat Nabi SAW telah meninggal dunia akibat dari memakan daging beracun tersebut. Lantas Para sahabt r.a menangkap Zainab bin Harith untuk dibicarakan di hadapan Nabi SAW di atas perlakuannya itu. Nabi SAW telah menyatakan agar semua pihak agar bertenang dan Baginda telah menjatuhkan hukuman mati terhadap zainab bin Harith di atas perbuatannya itu, walaupun ketika itu ada tali barut yang telah menyuruh serta menghasur agar Zainab berbuat demikian. Demi cintanya Nabi SAW terhadap perdamaian di antara mereka, hanya zainab saja yang dijatuhi hukuman tersebut.



Demikianlah, kisah yang telah diriwayatkan berkenaan perang Khaibar iaitu di antara pihak yahudi dan pihak Islam. Peperangan tersebut banyak meninggalkan kisah yang baik dan ibrah untuk kita semua renungi bersama sebagai pedoman hidup. Inilah perjuangan seorang Insan unggul yang dikasihi Allah SWT. Nabi SAW akan berlembut pada tempat dan pekara yang perlu dan akan bertegas apabila ia melibatkan dalam hukum-hukum Islam. Setelah berakhirnya perang Khaibar tersebut, Nabi SAW dan para pengikutnya beserta para Sahabat r.a telah pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji sepertimana yang telah dijanjikannya. InsyaAllah, saya akan lanjutkan lagi berkenaan dengan “Fisabilillah – Mut’ah”, mengikut ketentuan dan keizinan dari-Nya.





Ini adalah motivasi untuk kita semua, ia melibatkan Islam itu sendiri berdiri atas asas yang kukuh. Islam tidak mengajar akan kita tentang keganasan dan kekejaman sesama manusia. Apa yang telah kita lalui pada hari ini adalah satu rentetan fitnah dari pihak yahudi dan nasrani yang bermotifkan untuk menghancurkan Islam. Lihat sahaja peperangan Badar, Uhud, Ahzab, Khaibar dan sebagainya, Nabi SAW masih mengunakan toleransi terhadap musuh-musuhnya, malahan sikap kasih itu masih terpahat walaupun ketika itu Baginda diperangi. Ini jauh berbeza dengan keadaan sekarang, lihat sahaja apabila Negara Amerika yang beria-ia hendak menyerang Negara Islam, sebelum peperangan berlaku, sudah ada pencerobohan malahan perbunuhan yang berlaku, tetapi pada ketika itu peperangan sebenarnya tidak akan berlaku. Inilah gambaran kepada kita yang menunjukkan bahawa motif sebenar mereka adalah untuk menghancurkan dunia Islam. Sikap toleransi itu sebenarnya sudah tidak ada lagi dalam diri mereka walaupun setiap hari jumaat, pope john dan pendeta yahudi sering mengigatkan agar berbuat baik kepada sekelian manusia. Maka dengan itu ia menjadi penyebab bagi kita untuk kita memahami akan motif sebenar mereka terhadap dunia Islam. Janganlah kita berbangga dengan slogan anti yahudi dan nasrani, malah sanggup melekatkan pelekat di cermin-cermin kereta kita bagi memboikot mereka dan menyokong penuh akan perjuangan Islam di Palestin, tetapi dalam masa yang sama, ‘gaya rambut’ dan ‘pakaian’ segelintir kita sebenarnya tidak ubah seperti boneka mereka. WaAllahu a’lam.



Tuesday, 16 March 2010

Fisabilillah - Ahzab

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
Masjid Hj Ismail, Kuala Selangor.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.



Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya, kita kini dipertemukan lagi. Kali ini dengan artikel “Fisabilillah – Ahzab” yang telah saya janjikan tempohari. Saat saya menulis akan artikel “Fisabilillah” ini, saya dihujani dengan pelbagai dugaan yang merumitkan, namun setelah semua itu dapat di atasi, maka penulisan tersebut saya ajukan di sini walaupun masa dan ketika itu terlalu panjang yang saya ambil setakat ini. Ujian Allah SWT itu merangkumi pelbagai, yang pada dasarnya adalah untuk menguji keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya.

SubhanaAllah!.



Musim cuti sekolah yang menyeronokkan, tetapi bagi saya ia satu musim yang merumitkan, di mana terpapar di persekitaran rumah saya, golongan muda-mudi yang rata-ratanya mempamerkan reaksi fesyen yang mengiurkan, walaupun ia datangnya dari golongan yang berperingkat remaja persekolahan, tetapi perlu diingati juga, cuti itu tidak bermakna untuk kita membuka aurat untuk tatapan umum. Cuti sekolah itu tidak bermakna kita bebas melakukan pergaulan dengan bukan muhrim tanpa batas. Cuti sekolah itu tidak bermakna kita melupai pekara-pekara wajib yang disuruh oleh Allah SWT. Cuti sekolah itu tidak semestinya kita………………………………



Adik-adik!, mana mungkin abang sering nasihatkan adik- adik dengan panjang lebar di sini, Kitakan ada ilmu dan akal, maka gunakanlah pemberian yang istimewa dari Allah SWT itu……..



“Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan rahmatnya kepada Ibubapa masa kini dalam menanggani isu-isu dan masaalah anak-anak mereka…. Amin…”



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT,





Kaum Bani Qainuka dan Nadhir dari golongan Yahudi telah dihalau keluar dari bumi Madinah oleh Nabi SAW atas sebab pelangaran perjanjian yang telah dimeterai oleh pihak Yahudi dan Islam. Perbuatan mereka itu juga telah menyebabkan timbulnya kekacauan di Madinah yang dipimpin oleh Nabi SAW. Mereka merancang untuk membunuh Nabi SAW dan para Sahabat r.a dari setiap sudut. Maka dengan itu, Nabi SAW mengeluarkan perintah agar pihak berbangsa yahudi agar keluar dari kota Madinah dan mereka diizinkan membawa harta benda serta kekayaan mereka. Tetapi dengan sombong mereka enggan keluar dari kota Madinah, kerana merasa kuat dan mengharapkan bantuan dari Abdullah bin Ubay (ketua Munafik) untuk membantu rancangan jahat mereka. Sesudah dikepung oleh tentera Islam, mereka menyerah serta akhirnya mereka diusir keluar dari kota Madinah.



Di antara mereka sebahagian besar pergi bertempat di Khaibar dan sebahagian yang lainnya menuju kedestinasi yang lain pula. Mereka bergabung pada dasarnya, bersatu bangkit untuk menentang kembali pihak Islam dengan memohon bantuan dari Abdullah bin Ubay serta pihak kafir quraisy Mekah.





Pada bulan Syawal tahun ke 5 Hijrah, pasukan gabungan yang terdiri dari 24,000 orang tentera musuh bergerak menuju kota Madinah untuk menyerang orang-orang Islam. Mereka bertekad untuk melancarkan serangan besar-besaran. Sementara ketika itu pihak Islam hanya mempunyai sejumlah 2000 orang sahaja yang telah bersiap sedia untuk berjuang mempertahankan Islam dan kota Madinah.



Niat buruk pihak yahudi tersebut sebenarnya telah diketahui oleh Nabi SAW. Dengan segera Nabi SAW bermusyawarah dengan para Sahabat r.a untuk menghalang serangan yang bakal dilancarkan oleh pihak yahudi tersebut.



Saudara-saudari yang dikasihi-Nya,


Salman Al-Farisi r.a adalah orang yang banyak mengetahui akan strategi peperangan yang belum dikenali di daerah-daerah Arab. Ia begitu bijak menyusun koordinasi peperangan dengan terperinci dan tersusun sekali. Maka dengan itu, ia mengusulkan agar, di sekitar kota Madinah dibina parit bagi memperkuatkan lagi pertahanan tentera Islam dari dalam kota Madinah. Usul ini segera dilaksanakan oleh kaum Muslimin. Ketika menggali parit, Nabi SAW juga ikut serta. Baginda SAW mengangkat tanah dan sambil terus menerus memberi semangat, dengan menganjurkan kepada mereka supaya melipatgandakan kegiatan agar segala strategi itu akan berhasil dan berkesan.



Setelah urusan pertahanan itu selesai, maka anak-anak serta wanita-wanita dipindahkan ke suatu tempat yang lebih selamat, untuk menjaga agar kaum yahudi yang masih di dalam kota menyerbu secara senyap-senyap dapat dipatahkan oleh tentera Islam.



Pihak tentera yahudi dan kafir quraisy Mekah bersedia bergabung untuk menyerang kota Madinah, setibanya mereka di kota Madinah, mereka begitu hairan dan terkejut akan apa yang mereka lihat, kelihatan parit disekeliling kota Madinah tersebut. Maka mereka mengambil keputusan agar berkhemah di luar kota Madinah untuk menanti kedatangan tentera Islam untuk menyerang mereka. Maka ketika itu, kota Madinah telah dikepung oleh pihak musuh di setiap sudut. Selama sebulan kota Madinah dikepung musuh dan selama pengepungan itu juga, kaum Muslimin menderita kelaparan. Ramai tentera Islam yang takut dan khuatir, apatah lagi kerana pengaruh beberapa orang Munafik dari golongan mereka yang terdapat lagi di dalam kota Madinah tersebut. Setelah lebih satu bulan, tentera musuh sudah tidak tahan lagi untuk menyerang tentera Islam, lalu mereka menyerbu dengan melompat parit yang agak sempit dengan kuda-kuda mereka. Peperangan kian bermula, dan tidak dapat dielakkan lagi.



Saudara-saudari yang dirahmati dan dikasihi oleh Allah SWT,



Dalam peperangan tersebut, Ali bin Abi Thalib telah dapat menewaskan panglima perang dari pihak musuh iaitu Amr bin Abdu Wadd yang kononnya beliau dapat menghadapi 100 tentera Islam dalam satu-satu peperangan. Kebongkakkan dan kesombongan Amr bin Abdu Wadd telah dipatahkan oleh Ali bin Abi Thalib, apabila ia terkorban dalam peperangan tersebut. Pihak musuh mula, gementar melihat kejadian tersebut, ada yang lari bertempiaran menyelamatkan diri dari dibunuh oleh tentera Islam. Pada amnya, tentera Islam telah berperang dengan begitu berani sekali, tanpa ada perasaan takut dan gerun terhadap musuh-musuhnya walaupun ketika itu bilangan musuh begitu banyak berbanding dengan bilangan tentera dipihak Islam. Mereka berperang dalam keadaan yang lemah dan lapar akibat dari pengepungan pihak musuh terhadap kota Madinah selama satu bulan lebih.




Firman Allah SWT:

Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab – Ayat 10).




Ayat tersebut mengambarkan betapa hebatnya perasaan takut serta gementar oleh pihak Islam pada ketika itu. Ditambah lagi perasaan deritanya di pihak kaum Muslimin, setelah pimpinan baru dari kaum Bani Quraizhah iaitu kaab bin Asad telah khianat dan berpaling kepada pihak musuh. Pada umumnya bahawa, Kaab bin Asad itulah orang yang banyak mengetahui akan strategi peperangan dan pertahanan Nabi SAW. Pada ketika itu juga, jelas kelihatan begitu banyaknya orang-orang yang berpaling dengan Nabi SAW serta dikategorikan sebagai Munafik.



Maka dengan ketika itu juga datanglah seorang yang bernama Nu’aim bin Mas’ud iaitu seorang yang berbangsa Yahudi dari pihak musuh, menghadap Nabi SAW menyatakan dirinya masuk Islam di atas kesedaran dirinya sendiri. Kesempatan ini dimanfaatkan oleh Nabi SAW untuk menilai kekuatan musuh. Kemudian diutuslah Nu’aim itu menemui musuh. Dihasutnya bangsa Yahudi untuk tidak mempercayai bangsa Quraisy dan sebaliknya bangsa Quraisy pun dihasutnya supaya tidak percaya kepada bangsa Yahudi.



Pekara tersebut membuatkan barisan musuh mulai tidak mempercayai antara satu sama lain ketika di dalam medan peperangan tersebut. Selain perpecahan di antara mereka tidak dapat dielakkan lagi. Dalam keadaan seperti itu datanglah angin bertiup kencang disertai hujan yang turun dengan hebatnya memporakkan khemah-khemah pasukan musuh tersebut. Inilah pertolongan Allah SWT terhadap kaum Muslimin ketika di peperangan Ahzab tersebut. Allahu Akhbar!.



Firman Allah SWT:

Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah Al-Ahzab – Ayat 25).



Ayat tersebut juga mengambarkan kepada kaum Muslimin agar tidak perlu berperang lagi kerana Allah SWT telah menghalau mereka (musuh) dengan menghantarkan angin dan Malaikat untuk menyelamatkan mereka. Akhirnya pasukan musuh itu berundur diri dan kembali ke negeri masing-masing dalam keadaan yang hampa dan gerun.



Setelah seluruh pasukan musuh tersebut itu kembali ke tempat asal mereka, Nabi SAW mula mengatur dan memikirkan keadaan yang mungkin terjadi pada kesempatan peperangan yang lain pula dari pihak musuh. Pada kesempatan itu juga, Allah SWT telah menyelamatkan Baginda SAW serta orang-orang Islam dari serangan pihak musuh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan itu. Tetapi sungguhpun begitu pihak yahudi dapat sahaja mengulangi serta mencari kesempatan untuk menyerang lagi pihak Muslimin. Maka dengan itu pihak Islam perlulah mencanangkan satu strategi baru bagi menghadapi tentera-tentera musuh di masa-masa yang akan datang.



Keberhasilan kaum Muslimin di dalam mematahkan serangan yang dilancarkan oleh pasukan musuh yang jumlahnya begitu besar sangat menakjubkan suku-suku di sekitarnya yang kemudian dengan penuh sukarela mereka bergabung dengan umat Islam. Ketika saat itulah Islam tersiar dengan cepat di antara suku-suku di sekitar kota Madinah.



Saudara-saudari yang muliakan,



Setelah mengusir musuh dari dalam kota, selanjutnya kaum Muslimin memutuskan untuk menghukum Bani Quraizhah yang membantu penduduk Mekah sewaktu menyerang kota Madinah. Kaum Yahudi memohon kepada Nabi SAW agar nasib mereka diputuskan oleh Saad bin Mu’adh iaitu seorang dari kaum mereka sendiri. Nabi SAW memberi isyarat agar cadangan tersebut dilakukan.



Sa’ad meminta Bani Quraizhah agar bersumpah untuk berjanji untuk tunduk atas keputusan yang diambilnya. Adapun putusan yang diambil oleh Sa’ad adalah sebagai berikut : Semua orang laki-laki berbangsa Quraizhah yang khianat terhadap Nabi SAW dan Islam agar dihukum bunuh. Segala harta benda dan kekayaan mestilah dibahagikan sama rata. Dan kanak-kanak serta wanita-wanita tersebut hendaklah ditawan dan dilayan dengan baik. Oleh yang demikian pekara itu telah diputuskan, seramai 700 orang bani Quraizhah telah dijatuhi hukum bunuh. Maka sejak berlakunya peristiwa tersebut, berakhirlah riwayat bangsa yahudi di kota Madinah yang majoritinya kini dikuasai oleh Umat Islam.



InsyaAllah saya akan melanjutkan lagi artikel saya berkenaan dengan “Fisabilillah – Khaibar” di masa dan waktu yang akan datang mengikut ketentuan dan keizinan dari-Nya. Allahu Akhbar!!!.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails