Muhammad Ibnu Nazir.
BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Amnya, ciri-ciri orang yang bertakwa dan benar-benar mencintai Allah makin pupus. Ini gara-gara gaya hidup yang sudah berubah. Berubah agar dapat menyesuaikan diri dengan zaman dan seisinya.
Kebanyakannya kita kini lebih mementingkan kehendak dan keperluan fizikal semata-mata. Belajar, bekerja, berbuat baik malah memberikan senyuman pun kadangkala kerana kepentingan peribadi. Manusia makin lupa bahawa kita masih ada satu lagi yang perlu disuap.
Bukan perut dan minda sahaja yang perlu makanan.
Malah spiritual yang lebih utama perlu disuap. Solat pula hanya pergerakan fizikal, hatinya mengembara entah ke mana.
Malahan hari ini waktu untuk melihat manusia sibuk pada waktu malam merayu keampunan daripada Allah seolah-olah sudah luput. Manusia menghabiskan malam-malamnya untuk berhibur, tidur dan bermimpi indah. Bukan lagi tidur awal, bangun qiamullail dan berjamaah subuh semata-mata memenangi cinta Allah.
Yang tinggal hanyalah keriuhan kedai makan pada waktu malam, mula tidur pada saat orang Mukmin sepatutnya banggun bertahajud, dan membiarkan waktu subuh berlalu begitu sahaja,
Berapa ramai orang yang sudah lama tidak melihat matahari terbit atau menikmati saat itu. Kitakah itu?
Sungguh, hati kita kering daripada cinta. Cinta kepada-Nya.
Apakah apabila makin dekat dengan kiamat, makin jauh manusia daripada Allah?
Nauzubillah!
Moga Allah kurniakan kita cinta kepada-Nya.