Friday 25 February 2011

Istilah Iradat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.



Perhatikanlah…



Apa yang telah dijadikan Tuhan dan apa yang akan Dia jadikan, susunan dan aturan, terangkatnya langit dan terhamparnya bumi, adalah menurut Kehendak (Iradat)-Nya sendiri. Tiada unsur campur tangan dengan kehendak yang lain. Semuanya diberi bentuk menurut kehendak-Nya dan dinyatakan-Nya serta ditimbulkan-Nya bila sahaja Dia mahukan. Tidak ada kekuasaan lain yang mempengaruhi-Nya.


Pelbagai bentuk yang dapat kita lihat, rupa dan wajah manusia di dunia ini, yang bermilion-milion banyaknya, tiada yang serupa, adalah penyatuan daripada kehendak Iradat Ilahi, sejak sebelum itu. Malahan bintang yang berkelip-kelip di angkasa, entah berapa jumlahnya adalah dari kehendak-Nya juga. Sebab itu kalau sekiranya ahli falsafah dan ilmu alam berkeras mempertahankan hukum sebab-akibat yang tidak boleh berubah-ubah, ia tetap juga tidak berjaya mengatasi teorinya sendiri. Seperti apa yang telah dinyatakan sendiri oleh ahli falsafah ulung dekat ini, seperti Emmanuel Kant dan David Hume yang berkata :


“Bahawasanya hukum sebab-akibat hanyalah bergantung kepada pengalaman kita dalam pekara yang berulang kita lihat dan berulang kali yang kita alami. Di dalam menegakkan undang-undang hukum sebab-akibat, kita jangan lupa bahawa kita terikat oleh suatu ruang yang sempit dan waktu yang terbatas. Padahal kita tidaklah hidup dalam segala ruang dan segala waktu.”


Menurut falsafah ini, belumlah dapat dipastikan, bahawasanya undang-undang sebab-akibat di suatu masa, atau di suatu ruang sama dengan di waktu lain dan ruang yang lain. Dari segi pemikiran falsafahnya pula, mereka menyatakan adanya kemungkinan perbezaan undang-undang sebab-akibat itu. Dan bagi kepercayaan agama tidaklah mustahil Allah SWT mengubah undang-undang-Nya menurut kehendak-Nya.



Inilah yang dinamakan IRADAT!



Perhatikan lagi!



Apabila kita memasuki ke dalam sebuah kebun, kita lihat pelbagai warna, pelbagai pohon dan pelbagai buah serta bunganya. Kadang-kadang di sebelah pohon manggis, tumbuh pula pohon rambutan, di sebelah pohon durian, tumbuh pula pohon-pohon cili dan sebagainya. Kalau kita perhatikan pula, keadaan tanahnya adalah sama, tetapi warna, pohon, buah dan bunganya adalah berbeza. Begitu juga dengan keadaan haiwan yang menghuni di setiap pohon tersebut, ada yang spesis serangga, spesis replia, spesis burung dan sebagainya. Ini semua adalah dalam satu komuniti kehidupan yang telah diaturkan. Sesuatu yang mungkin tidak tercapai jika pencaturan itu dilakukan oleh dirinya sendiri. Lihatlah saudara-saudari sekelian,



Siapakah yang telah mengatur semua ini?



Siapakah yang menjadikan keadaan ini berlaku?



Siapa Dia!



Allah Ta’ala!



SubhanaAllah!



Inilah yang dinamakan IRADAT!




Allahua’lam.




Tuesday 22 February 2011

Istilah Al-'ilm.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.





BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang berkunjung di sini.


Jika kita semua perhatikan, ilmu Allah Ta’ala meliputi akan segala sesuatu. Ilmu-Nya meliputi akan yang sudah berlalu, yang sedang berlaku dan yang kemudian hari. Ilmu-Nya meliputi zahir dan batin, kehidupan kini dan kehidupan di akhirat kelak.


Manusia boleh mengetahui serba sedikit dari keadaan yang berlaku sekarang. Tetapi manusia tidak tahu akan semua kejadian tersebut! Malahan adakalanya sifat pelupa itu turut meliputi ruang ingatannya. Dan sama sekali manusia tidak dapat menembusi tabir atau ruang zaman masa hadapan yang turut berada di depannya sendiri. Malahan langsung tidak faham dan mengerti akan hakikat tersebut.





Lihatlah kita semua!




Diri dan akal kita adalah terlalu kecil untuk digambarkan, malah tidak mencakupi segala ruang kehidupan ini dari hal-hal yang mungkin tidak dapat digapai oleh kita. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana akan hal-hal tersebut. Allah SWT menghitung amal dan usaha kita selama mana kita bernyawa, dengan tidak ada yang terlepas sedikit jua pun. Allah SWT memberikan segala keadaan kehidupan isi alam fana ini, kerajaan demi kerajaan, bangsa demi bangsa, yang jatuh dan yang bertahta. Semua ini adalah dari Allah SWT.



Renungilah kita semua!


Ilmu Tuhan meliputi dengan menyinari akan segenap sesuatu, samaada zahir mahupun yang batinnya, pembukaan dan penutupnya. Tidak ada bagi Tuhan ukuran dekat mahu pun yang jauh. Semuanya adalah hampir dengan-Nya.



Perhatikanlah kita semua!



Berapa banyakkah bilangan pasir di gurun sahara dan yang berada di persisiran pantai?



Berapa banyakkah kapasiti air di lautan luas?



Berapa helaikah daun-daun di pohon-pohon pokok?



Berapa banyakkah bintang-bintang yang bersinar di ruang angkasaraya ini?



Berapa helaikah rambut yang berada di atas kepala kita, malah seluruh manusia yang menghuni dunia ini?



Jawab!



Tidak ada manusia termasuklah diri saya yang mengetahuinya.



Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui!



Fikirlah seketika!



Bagaimana perubahan-perubahan yang datang kepada bilangan yang banyak tersebut? Ada yang gugur dan ada yang hilang serta ada yang tumbuh baru. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Dan Dia juga yang mengatur kesemuanya. Ini bermakna bahawa ia terkumpul dalam SATU ILMU! Iaitu ILMU ALLAH SWT.



Memang tidak dinafikan bahawa kadangkala ada manusia diberi sedikit percikan daripada rahsia Ilmu tersebut. Baik dengan latihan, atau dengan percubaan ataupun dengan pengalaman. Dan kadang-kadangnya juga Orang-orang tersebut yang jiwanya disediakan agar menerima sedikit sinar dari Ilmu Alam Ghaib, sebagai Nabi-nabi dan Rasul-rasul-Nya, malah kadangkalanya lagi jiwa besar yang lain yang dinamakan Waliullah, itupun hanya sedikit sahaja, jika apa yang hendak dibandingkan dengan yang belum diberikan atau tidak akan diberikan.




Ketahuilah kita semua bahawa Ilmu itu milik Allah. Ilmu Allah terlalu luas yang sukar untuk kita semua gambarkan. Carilah ilmu-ilmu itu berbekalkan keredhaan-Nya. Janganlah terlalu riak dan sombong dengan ilmu-ilmu yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Kelak kemurkaan-Nya menimpa diri.











Waallahua’lam.




Monday 21 February 2011

Istilah Hu Al-Akhir.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.




BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Jika dilihat di dalam maksud Sifat Dua Puluh yang biasa disebut iaitu “Yang Akhir tidak berkesudahan” ia bermaksud Allah kekal selama-lamanya. Dia bukanlah tubuh, dan Dia tidak mati, serta Dia bukanlah sesuatu yang akan hancur dan lebur. Dia tetap, dan Kepada-Nya-lah segala sesuatu akan kembali. Segalanya akan binasa kecuali Zat-Nya.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).” (Surah Al-Qasas : Ayat 88).


Maka timbul pula persoalan di dalam hati kita, Bagaimana pula tentang kekalnya manusia di dalam syurga kelak, dalam Al-quran ada menyebut ‘Khalidina fiha’ kekal mereka selamanya di dalamnya. Samakah Khulud (kekalnya) manusia itu dengan khuludnya Allah Ta’ala?


Pasti jauh perbezaan di antara Khulud yang abadi sejak bermula lalu kesudahan, dengan khulud anugerah. Kalau Tuhan tidak mahu kita lahir ke dunia, tentu kita ini tidaklah lahir. Dan setelah kita wafat menutup mata, lama kelamaan kita dibanggunkan kembali. Maka diberilah anugerah Khulud di syurga bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau kehendak Tuhan tidak ada, tentu kita ini tidak lain daripada kekosongan semata-mata.



Tuhan pasti kekal!




Tidaklah dapat akal kita yang waras memikirkan bahawasanya Allah itu tidak kekal. Seorang manusia mendirikan rumah yang tersergam indah dan besar. Lama kelamaan rumah itupun pasti akan musnah jua. Batu, kayu, atap dan dinding lama kelamaan juga pasti akan usang dan reput suatu hari kelak. Perhatikan sahaja apa yang berlaku di banggunan-banggunan lama yang terdapat di Melaka khasnya yang telah mencecah ratusan malahan ribuan tahun lamanya. Ia didirikan atas perintah Raja-raja yang berkuasa pada masa itu. Tetapi pada hari ini, bila kita sampai ke tempat itu, kita hanya melihat bekas tinggalannya sahaja, sedangkan orang yang memerintahkannya suatu ketika dahulu sudah tiada lagi. Apa yang menariknya lagi, ia hanyalah sebagai kunjungan buat orang-orang yang terkini termasuklah diri kita. Maka lihatlah pula akan alam ini, masih tetap utuh, baru dan tetap tidak berubah-ubah, matahari, bintang, bulan, langit, awan, dan sebagainya tetap teguh dan utuh, kerana yang menjaganya tidak pernah mati dan tidak akan mati, Ia kekal selama-lamanya.


SubhanaAllah!


Ingatlah wahai teman-teman yang budiman!


Terjadinya alam ini adalah kerana adanya Tuhan. Dan alam juga memerlukan Tuhan. Dan terpeliharanya alam ini pun wajibnya kerana Tuhan sentiasa Ada. Setiap zarah dan atom sekalipun, baik di bumi mahupun di langit, tidaklah mungkin mengambil sumber adanya dirinya sendiri. Ia juga memerlukan Tuhan! Sebab hancur dan habisnya pun tidaklah atas kehendaknya sendiri. Ia adalah ketentuan Tuhan! Bahkan bayang-bayang kita juga turut akan hilang, jika matahari terbenam dan matahari serta seluruh alam tiada melainkan kerana adanya Allah SWT.


AllahuAkbar!


Pehatikanlah lagi syeikh-syeikah sekelian…


Ketuk-ketuk kepala tu, agar cepat-cepat tersedar dari lena!..


Akal dengan segala gerak-gerinya, hati dengan segala gelombang perasaan, tubuh dengan darah yang mengalirnya, dan anggota dengan persediaannya. Sejak mulai alam ini terjadi sampai kiamat kelak, yang kita kenal dan yang kita tidak kenal, semuanya itu terdiri kerana Allah tetap ada. Kalau Allah berpaling dan membiarkan kepada alam yang lain, maka hancurlah sebahagian di sini dan leburlah juga sebahagian di sana. Benarlah apa yang dikatakan oleh Nabi Musa a.s kepada Allah SWT.


Bumi yang terdampar di bawah telapak kaki kita, tidaklah merasai bahawa ada orang berjalan di atas tubuhnya. Bukanlah dia yang menjadikan kita, walaupun kita daripadanya diciptakan. Dia adalah beku, tidak berpengetahuan dan tidak berperasaan. Dia hanya menurut perintah sahaja, runtuh kata perintah, maka runtuhlah dia, tegak kata perintah, tegaklah dia, dan hancur luluhlah engkau kata perintah, hancur luluhlah dia. Maka perbezaan di antara wujud kita atau wujud alam keseluruhannya dengan Wujud Allah SWT, ialah bahawa alam seluruhnya wujud kerana kehendak-Nya, serta Wujud Allah adalah Wujud sendiri-Nya.


Kita tidak mempunyai kuasa apa-apa, kehidupan kita hanya menikmati sesuatu yang seketika. Datang perintah mati, hilanglah kita dari alam ini, hanya nama sahaja yang tinggal, itupun kalau memang ada nama!


Malah ada juga yang berkata :

“Kami dan kerajaan kami akan memerintah dan mentadbir negara ini untuk selama-lamanya demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan BANGSA kerana slogan kami adalah Dahulu, Kini dan Selamanya”…




Takaburnya manusia ini…





Waallahua’lam.




You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails