Friday 30 July 2010

Istilah Pemahaman Al-Quran.



"Istilah Pemahaman Al-Quran"

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.








BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Persahabatan dan Salam Perjuangan buat semua yang hadir bagaikan mutiara di sini.





Alhamdulillah, bersyukur ke hadrah Allah SWT kerana dengan izinnya saya dapat menyiapkan artikel “Beriman Kepada Kitab : Al-Quran Nur Karim” yang berkapasitikan 10 episod. Ini adalah kesinambungan bagi mengikuti berjuta-juta para ilmuan Salafusoleh yang hadir sebelum ini untuk memperkuatkan lagi benteng-bentang keimanan disegenap ruang kehidupan manusia. Maka, diharapkan juga, dengan berpandukan kapasiti 10 episod ini, dapatlah kita sama-sama menjunjung Kitabullah dengan sebenar-benarnya serta mengambilnya sebagai pedoman yang ibrah bagi menjalani kehidupan kita di dunia ini. Al-quran merupakan Kalamullah yang diturunkan kepada Bani Adam sama ada ia beriman ataupun tidak. Tetapi sayang sekali, orang kafir pula melebihi umat Islam dalam usaha mendalami ilmu Al-quran bertujuan untuk penyelewengan. Umat Islam pula leka dan hanya berdolak-dalih untuk tidak mempelajari ilmu Al-quran, sebaliknya mengambil pengetahuan selain dari Al-quran itu lebih penting dan mustajab bagi mengharungi kehidupan di fana ini.



Bukankah ilmu Al-quran mampu memantapkan persefahaman kita terhadap kehendak dan perintah Allah SWT?



Inilah realitinya. Ada di kalangan masyarakat kita (minoriti) yang menganggap bahawa ilmu Al-quran itu tidak perlu dipraktikkan dalam keadaan dunia yang maju seperti sekarang, sebaliknya menganggap teori-teori Tahyulisme dan Bebalisme dari barat itu adalah petunjuk untuk membina ketamadunan peradaban manusia. Malahan apa yang membimbangkan kita lagi, mereka juga mentafsirkan Al-quran itu hanyalah kitab-kitab Sains Kuno yang tidak perlu dipraktikan lagi pada zaman moden ini. Na’uzubillah… Perlu diingati, bahawa Al-quran itu bukanlah kitab-kitab sains sepertimana sarjana-sarjana barat tafsirkan kepada dunia. Al-quran tidak sama dengan kitab-kitab sains, walaupun isikandungan Al-quran tersebut ada menyatakan ilmu-ilmu sains dan ketamadunan manusia.



Untuk apa saya katakan sedemikian?…



Ini adalah kerana kitab-kitab sains itu sering dan ada kalanya diubah-ubah dan adakalanya ia perlu ditokok tambah bagi memperlihatkan bahawa ilmu sains itu memerlukan perubahan mengikut peredaran semasa. Ini menunjukkan bahawa kitab-kitab sains itu juga merupakan pembahagian penguraian ilmu yang tidak tetap dan memerlukan perubahan mengikut kajian demi kajian yang dilakukan oleh manusia.





Berbanding pula dengan Al-quran, ia amat jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan kitab-kitab sains buatan manusia. Walaupun Al-quran itu adalah petunjuknya dan ‘basic’ pada ilmu-ilmu sains yang terdapat di dalamnya, tetapi ia (Al-quran) tidak boleh dikatakan atau disamakan dengan kitab-kitab sains yang terdapat sekarang mahupun yang akan datang. Ini kerana Al-quran itu adalah TETAP (tidak berubah-ubah) dan tidak boleh diubah-ubah ilmunya serta perkataan ayat-ayatnya walaupun sepotong ayat sekalipun. Al-quran tetap Kitabullah, ia juga petunjuk bagi sekelian manusia sebagai jalan yang lurus. Maka dengan itu ambillah ia sebagai teman yang paling akrab dalam hidup kita, agar kehidupan kita disinari dengan cahaya keredhaan Ilahi.



Saudara-saudari pembaca yang di rahmati Allah SWT.



Untuk memperjelaskan lagi maksud makna sepanjang perkongsian kita sejak dari awal episod satu sehinggalah ke akhir episod ini, saya cuba bentangkan pengertian serta istilah pemahaman berkenaan Al-quran untuk kita sama-sama sematkan serta tarbiyahkan kepada jiwa dan hati-hati kita ini sebagai jalan yang mudah untuk mengenal betapa nikmatnya ketika memahami apa yang dimaksudkan dengan Al-quran.



Al-Quran Untuk Dipelajari.



Firman Allah SWT :


Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus – Ayat 57).



Melalui firman Allah SWT di atas, Ia telah mengkhabarkan melalui Rasul-Nya bahawa sesungguhnya Al-quran itu merupakan pelajaran bagi orang-orang yang beriman. Maka hendaklah difahami bahawa seandainya Al-quran itu adalah merupakan pelajaran, sudah tentu menjadi kewajipan kita untuk mempelajarinya sehingga dengannya kita akan memperolehi rahmat, taufik dan hidayah-Nya.




Al-Quran Untuk Difahami.



Firman Allah SWT :


“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Surah Muhammad – Ayat 24).



Mempelajari Al-quran bukan sahaja sekadar mengetahui yang ada di dalamnya, malah ia juga harus difahami dengan hati dan akal fikiran. Setelah itu barulah melahirkan keyakinan dan keimanan, dan seterusnya diamalkan sepertimana yang telah dipelajari dan difahami.

Adalah menjadi suatu yang sia-sia apabila seseorang itu mempelajari ilmu tetapi tidak memahaminya. Kefahaman yang benar akan melahirkan amal yang benar dan kefahaman yang salah atau memang tidak mahu memahami akan menyebabkan amal yang keliru atau salah. Maka adalah suatu pekara yang tidak mustahil jika dewasa ini kita melihat pelbagai pekara Bida’ah dan Khurafat yang menjadi amalan masyarakat sehari-hari akibat ketidak-fahaman mereka dalam mempelajari Al-quran dan As-Sunnah SAW.



Al-Quran Untuk Difikirkan.



Firman Allah SWT :


“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui. (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.” (Surah Al-Nahl – Ayat 43 & 44).


Al-quran adalah sebuah kitab yang diturunkan kepada Nabi SAW sejak lebih 1400 tahun dahulu. Dan ia kekal sehingga hari ini tanpa ada sebarang perubahan kerana Allah SWT yang memeliharanya. Di dalamnya terkandung pelbagai pedoman dan di antaranya adalah kisah-kisah para Nabi yang perlu difikirkan dan ditauladani. Berfikir bersama Al-quran akan menatijahkan kesempurnaan akal dan kemurnian hati kerana berpandukan cahaya Ilahi.






Al-Quran Untuk Penjelasan.



Firman Allah SWT :


“Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Nahl – Ayat 64).


Ia menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT menurunkan Al-quran untuk memberi penjelasan tentang syariat-Nya kepada manusia agar tidak membatasi segala larangan-Nya. Al-quran juga menjelaskan berkaitan dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT, agar manusia dapat mengikutinya tanpa berselisih pendapat antara satu sama lain dan ia juga sebagai rujukan bagi menjelaskan segala kekusutan hati dan jiwa manusia.



Al-Quran Untuk Petunjuk Dan Rahmat Serta Pemberi Khabar Gembira.



Firman Allah SWT :


“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (Surah Al-Israa’ – Ayat 9).

“Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah An-Naml – Ayat 77).


Maka hanya Al-quran sahaja yang mampu menunjuki manusia dari jalan yang lurus dan diredhai oleh Allah SWT, serta tidak ada lagi selain dari itu. Seseorang yang hidup di dalam petunjuk dan pimpinan Al-quran akan merasa tenteram jiwanya dan bahagia hidupnya. Sementara orang yang berpaling dengan Al-quran tidak akan merasakan keindahan sebagaimana yang dirasakan oleh orang-orang yang bersama Al-quran. Walaupun dunia dan seisinya datang di dalam hidupnya, ia tidak akan pernah mendatangkan manfaat malah semakin menyebabkan kehinaan kerana segala matlamat hidupnya adalah untuk dunia semata-mata. Sementara Al-quran akan terus dilupakan.



Sabda Rasulullah SAW :


“Mereka diliputi oleh kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali jika berpegang kepada perjanjian Allah dan tali perjanjian dengan manusia.”



Dan ada yang mengatakan bahawa dimaksud dengan tali Allah adalah kitab suci Al-quran sebagaimana sabda Rasulullah SAW. Dari Athiyah bin Abi Said yang berbunyi :


“Kitab Allah adalah tali Allah yang terulur dari langit bumi” (Hadith Riwayat At-Thabrani r.h)



Manakala dari hadith yang lain pula adalah :


“Dari Abdullah bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : Sesungguhnya Al-quran itu adalah tali Allah yang kukuh, cahaya yang menerangkan, ubat penyembuh yang berguna, pelindung bagi orang yang berpegang kepadanya, dan aman bagi yang mengikutinya.” (Hadith Riwayat Ibn Mardaweh r.h).



Firman Allah SWT :


“Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).” (Surah Al-Jathiyah – Ayat 20).



Al-Quran Untuk Penawar Dan Pengubat Hati.



Firman Allah SWT :


“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah Al-Israa’ – Ayat 82).



“Bacalah olehmu akan Al-quran kerana sesungguhnya Allah Taala tidak akan menyeksa hati yang menyimpan Al-quran dan bahawasanya Al-quran itu hidangan Allah, dan sesiapa yang masuk ke dalam hidangan Allah pasti akan aman.” (Hadith Riwayat Ad-Dharami r.h).



Orang yang jauh dari Al-quran bererti telah sengaja membuang ubat atau penawar yang boleh menyembuhkan hati dan rohaninya, walaupun ia dihinggapi oleh penyakit yang paling kronik sekalipun. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang menginginkan kebahagiaan dunia dan akhirat, hendaklah berusaha sekuat kemampuan yang ada untuk menjadikan Al-quran sebagai teman yang paling akrab, kerana membacanya akan menyebabkan ketenangan dan kedamaian, meneliti dan mempelajari akan membekal ilmu, dan mengamalkannya akan membuahkan keimanan dan kesolehan terhadap Allah Rabbul Jalil.



Al-Quran Untuk Kebenaran Yang Hakiki.



Firman Allah SWT :


“Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya). Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan). Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).” (Surah Al-Haqqah – Ayat 48-51).



“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah Al-Khafi – Ayat 29).



“Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.” (Surah Al-Baqarah – Ayat 147).



Seorang Mukmin harus yakin kebenaran Al-quran itu adalah sumber segala kebenaran yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya yang ummi. Dan tidak ada lagi kitab yang paling benar melainkan Al-quran. Menyakini sahaja belum mencukupi, malah seorang Mukmin itu juga wajib mengamalkan berdasarkan perintah-perintah yang terkandung di dalam serta larangan-larangannya.



Al-Quran Untuk Kebenaran.



Firman Allah SWT :


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.” (Surah Az-Zumar – 41).



Ia juga menerangkan bahawa Al-quran merupakan sesuatu kebenaran yang datangnya dari Allah SWT. Al-quran telah menjanjikan kepada orang-orang yang taat serta beramal soleh tentang hakikat kebenaran janji-janji Allah SWT terhadap mereka.



Al-Quran Untuk Kemuliaan Dunia Dan Akhirat.


Firman Allah SWT :


“Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).” (Surah Az-Zukhruf – Ayat 44).



Ini juga menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT memuliakan orang-orang yang taat serta patuh kepada Al-quran sebagai mukjizat Nabi SAW yang datangnya dari Allah SWT. Orang-orang yang membaca serta mengamalkan Al-quran akan mendapat kemuliaan dunia mahupun diakhirat. Ini adalah janji Allah SWT terhadap hamba-hambanya yang patuh serta taat kepada perintah-Nya. Sebab itu kalau kita lihat, orang-orang yang membaca serta mengamalkan isikandungan Al-quran untuk dirinya serta keluarga dan masyarakat sekelilingnya, ia beroleh kebahagiaan jiwa dan hati yang berpanjangan, tanpa ada sedikitpun kekusutan dalam kehidupan mereka. Allah SWT memelihara orang-orang yang sedemikian dari segi akhlak dan perlakuannya sehari-harian. Ada ulama’ berpendapat, bahawa mereka-mereka ini dijaga oleh para malaikat dari gangguan syaitan dan iblis laknatullah sepanjang menjalani kehidupannya. WaAllahua’lam.





Al-Quran Untuk Membawa Berkah.



Firman Allah SWT :


“Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-An’am – Ayat 155).



Ini menjelaskan kepada kita dengan terperinci bahawa Al-quran itu sebagai pelindung dari kejahatan dan kemaksiatan. Al-quran juga memberi banyak manfaat kepada sekelian alam mahupun kehidupan manusia. Maka tidak hairanlah manusia sering mengkaji ilmu-ilmu yang terdapat di dalam Al-quran sebagai rujukan dan pedoman bagi menjalani kehidupan harian.



Saudara-saudari pembaca yang dirahmati dan dikasihi Allah SWT.



Demikianlah serba sedikit penerangan yang dapat dijelaskan mengenai Al-quran sebagai perkongsian kita semua bersama yang mengandungi banyak ibrah untuk kita semua tauhidkan dalam diri dan hati-hati kita sepanjang perjalanan kehidupan ini. Maka dengan itu, ia sedikit sebanyak dapatlah mengetahui akan Mukjizat Nabi SAW ini sebagai panduan untuk kita menambahkan lagi keyakinan kita terhadap-Nya serta bersegera meninggalkan pekara-pekara yang mungkar yang menyalahi kehendak-kehendak Allah SWT serta Rasul-Nya.



Adakalanya kita sering membawa ahli keluarga kita pergi bersiar-siar atau melawati tempat-tempat yang menarik untuk memperlihatkan lagi kasih sayangnya kita terhadap keluarga. Manakala kita juga menghabiskan banyak wang dan waktu bersama-sama mereka demi untuk membahagiakan kehidupan berkeluarga.



Tetapi!



Adakah kita pernah berkumpul dalam satu rumpun untuk membaca Al-quran bersama-sama ahli keluarga kita?



Jika kita boleh bersama mereka dalam hal-hal waktu bersiar-siar dengan mengambil masa yang begitu lama, tetapi pernahkah kita membawa ahli keluarga kita berkumpul beramai-ramai membaca Al-quran secara berjamaah?



Kita menghidangkan mereka dengan kemewahan duniawi yang melampau, tetapi adakah kita juga telah menghidangkan mereka-mereka ini dengan forum membaca Al-quran secara berjamaah yang sepatutnya dilakukan setiap hari?



Maka…



Jika ini belum lagi dilaksanakan terhadap ahli keluarga kita sehinggalah ke hari ini, maka kita (ibubapa) sebenarnya adalah golongan yang zalim. Zalim terhadap diri dan keluarga kita. Malahan zalim terhadap Islam.




Untuk apa saya nyatakan sedemikian…



Saudara-saudari pembaca yang dikasihi Allah SWT.




Sebagai pedoman :


“Jika suatu hari rumah anda telah mengalami kebakaran, anda serta ahli keluarga anda sedang berada di dalam rumah tersebut, tiba-tiba dalam pandangan mata terlihat anak-anak anda yang sedang nyenyak tidur, wang ringgit dan barang-barang kemas anda yang hampir hendak terbakar. Manakah yang perlu anda selamatkan jika situasi ini berlaku, anak-anak anda, wang ringgit anda mahupun barang-barang kemas anda? “



Kalau dilihat dari sudut pendapat akal manusia, mereka akan menyelamatkan anak-anak dahulu dari harta dan wang ringgit, demi kasih dan sayangnya anda terhadap mereka, malahan mereka itu adalah penyambung harapan zuriat anda yang perlu didahulukan.



Setuju atau tidak!


(kalau selamatkan harta dulu, itu bermakna zalimlah kita terhadap anak-anak kita, mestilah kita selamatkan anak-anak kita dahulu dari harta kemewahan bila berlaku kebakaran ataupun kecelakaan)





Pernahkah kita terfikir, kita menyelamatkan anak-anak kita dari api kebakaran itu dengan sedaya upaya kita tanpa menghiraukan apa yang akan terjadi selepas itu serta meninggalkan segala harta-harta kita dengan begitu sahaja. Begitulah kasih dan sayangnya kita terhadap keluarga kita. Hebat bukan!



Tetapi!



Kita menyelamatkan mereka (anak-anak) dari api kebakaran dunia yang sedikit sahaja panasnya, tetapi kita tidak berupaya menyelamatkan anak-anak kita dari api neraka Allah SWT yang begitu hebat kepanasannya dari api yang terdapat di dunia ini. Kita juga sanggup meredah api dunia itu dengan berani, tanpa ada perasaan takut demi menyelamatkan nyawa anak-anak kita, tetapi kita tidak berupaya menerapkan anak-anak kita dengan Al-quran. Bukankah Al-quran itu melindungi diri kita dari azab api neraka Allah SWT ketika di akhirat kelak?

Inilah hakikatnya, jika kita masih lalai dengan tanggungjawab kita sebagai pemimpin dan pembimbing keluarga!



Firman Allah SWT :


“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim – Ayat 6).



Oleh yang demikian, peliharalah ahli keluarga kita sebaik-baiknya, agar mereka tidak lalai dan leka terhadap syariat Allah SWT. Bertekadlah bermulanya pada ketika ini untuk membawa ahli keluarga serta diri kita agar lebih akrab dan mencintai mukjizat Rasulullah SAW ini.



Saudara-saudari pembaca yang di rahmati Allah SWT.



Ingatlah!



Kita semua akan berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat kelak. Kita juga akan disoal setiap perbuatan kita ketika di dunia dahulu. Di sana kelak, Allah SWT tidak menyoal akan Nabi SAW di atas kesalahan kita, sebaliknya Allah SWT menyoal kita tentang apa yang kita telah lakukan ketika di dunia ini, dan kenapakah kita mengkhianati Rasulullah SAW iaitu rasul-Nya sehingga sanggup menggetepikan Al-quran dalam hidup kita ketika di dunia dahulu.



Sedarkah kita akan hakikat ini?



Saya berpesan pada diri saya dan anda semua agar kembali kepada Allah SWT dengan sebenar-benar Takwa dan Iman. Tanamkanlah waktu dan ketika dalam hidup kita untuk menghidupkan budaya membaca dan mempelajari Al-quran. Janganlah kita kecewa, jika kita tidak tahu membaca Al-quran, tetapi takutlah jika kita ‘pergi’ (meninggal dunia) tanpa membacanya sepanjang hidup kita. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, Al-quran itu adalah rahmat Allah SWT kepada manusia. Al-quran itu juga merupakan syafaat dari Nabi SAW terhadap umat-umat Baginda SAW. Bacalah dan fahamilah Al-quran dengan sebenar-benarnya. Pelajarilah mengikut kaedah yang telah kita sama-sama kongsikan bersama sebelum ini. Berjuanglah demi Islam. Berjuanglah berpandukan Al-quran. InsyaAllah. Allah SWT bersama-sama mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka-mereka yang menjadikan Al-quran itu pegangan dalam hidupnya. AllahuAkbar!


















*** Buat Ayahanda dan Bondaku tersayang, hari ini aku telah sempurnakan hajatmu, pesananmu buatku tidak pernah berganjak sehingga ke hari ini...***



Wednesday 28 July 2010

Manfaat Kitabullah : Di Mana Situasi Kita?

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.












“Manfaat Kitabullah : Di Mana Situasi Kita?”














BismillahirRahmanirRahim. “Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya. Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.”



Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini. Saya doakan semoga diri saya dan anda semua berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.





Kita dikejutkan dengan pelbagai ragam manusia dekad kini yang sering membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Kita juga dihidangkan dengan pelbagai ragam manusia yang tidak serik-serik melanggari nikmat yang telah dikurniakan dari Allah SWT kepadanya. Tidak kiralah dari golongan bawahan, mahupun golongan atasan. Dari yang bertudung litup dan berjubah labuh sehinggalah berpakaian sendat dan mengiurkan, dari yang berkopiah sehinggalah berseluar pendek.



Jika ditanya : “Mengapa?”


Jawapannya : “ikut peredaran zaman, inikan fesyen”.


Dan ditanyakan lagi : Sampai bila?


Jawapannya : “bila saya kawin nanti, saya ubahlah”,


Malahan diajukan lagi : “Bukankah membuka aurat itu haram bagi mereka yang telah akil baligh?”


Jawapan kebiasaan dari mereka-mereka ini yang biadap terhadap Islam adalah :


“kubur lain-lain, buat apa sibuk-sibuk hal peribadi orang.” (digelakkan dan persendakan kita pula).



Maka, untuk jawapan yang konkrit bagi berdepan dengan hujah ini adalah :


“Memanglah kubur semua lain-lain, tapi masaalahnya kubur awak itu nanti bersebelahan dengan kubur saya, macamana saya hendak istirehat, kalau kubur di sebelah saya itu berdentam-dentum bunyi bising.” (jawapan ini untuk orang-orang yang mempersenda-sendakan hukum Allah, maka wajib mempertahankan dengan hujah yang setimpal).



Inilah petanda dan inilah juga realitinya yang memperlihatkan kepada kita semua bahawa betapa kecil dan tipisnya iman-iman mereka ini terhadap hukum-hukum yang telah Allah SWT tetapkan kepada kita. Bukannya tidak berakal dan bukanya tidak berilmu, tetapi sebenarnya mereka-mereka (golongan mempersendakan Islam) ini adalah golongan yang tidak membaca, memahami dan meneliti Al-quran sebagai petunjuk dan pedoman yang ibrah untuk sekelian manusia. Orang yang membaca, meneliti dan memahami Kitabullah adalah orang yang sangat takut akan Allah SWT, lebih-lebih lagi apabila melibatkan dosa, maka ia akan cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT. Inilah kuncinya, dan inilah jalannya yang mengajar kita akan pengertian kepatuhan kepada MAHA PENCIPTA.





Saya masih ingat lagi, suatu ketika dahulu, ketika itu bapa saya sedang mengimami jamaah kami semasa berada di surau tempat yang biasa kami berjamaah, ketika ayah saya membaca ayat :


Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus.” (Surah Al-Fatihah – Ayat 5 & 6).



Ayah saya berhenti seketika, dan menangis, suara tangisan ayah saya jelas kedengaran oleh kami semua yang berjamaah di belakang. Selepas itu keadaan reda, ayah saya sambungnya kembali bagi menghabiskan surah tersebut. Setelah selesai kami solat berjamaah dan ketika hendak pulang ke rumah bersama ibu saya, maka ketika itu saya telah ajukan soalan kepadanya.



Saya : “Ayah kenapa menangis tadi, kenapa ayah selalu menangis ketika ayah membaca surah Al-fatihah.”



Mimik muka ayah saya seakan sudah bersedia dengan soalan yang telah saya ajukan itu.



Ayah saya : Ayat Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus.” Adalah kunci bagi surah Al-Fatihah. Ayat tersebut juga memperlihatkan kepada kita bahawa kita ini sebenarnya adalah ‘Fuqara’ (sangat fakir).



Saya mula berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, saya memperlajukan langkah saya untuk menghampiri ayah saya yang agak deras langkahnya.



Saya : “Apa itu Fuqara, ayah?”



Ayah saya : “Fuqara itu jamak dari fakir yang bererti semua manusia sangat miskin dan memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT sejak ia dilahirkan sehinggalah mati dalam segala bentuk kehidupannya. Sebagai contoh, yang hendak ayah beritahu, jika ia seorang majikan, maka ia perlu seorang pemandu untuk menghantarnya, jika ia seorang yang berpangkat, maka ia perlu seorang pengawal peribadi untuk memantau gerakgeri kehidupannya, jika ia seorang yang sakit, maka ia memerlukan bantuan untuk menyehatkan badannya dan sedemikian seterusnya. Begitulah kefakirannya manusia yang saling memerlukan sesama mereka apalagi terhadap Allah SWT. Iaitu Rabb yang menciptakan manusia, pastilah seluruh urusan hidup hingga ke matinya amat perlu sekali terhadap pertolongan Allah SWT.”



Ayah saya memperlahankan langkahnya dan meneruskan lagi perbualannya bersama saya.



Ayah saya : “Ingatlah, dunia ini hanyalah satu persingahan buat kita semua, dunia ini adalah tempat ujian keimanan dan ketakwaan kita terhadap Allah SWT. Perjalanan kehidupan kita ini adalah satu perjalanan yang sangat singkat dari pandangan Allah SWT. Manusia yang menjangkakan masa di dunia ini terlalu lama, tetapi tidak bagi Allah SWT yang menyatakan bahawa perjalanan masa ketika di dunia ini adalah terlalu singkat dan pendek. Apa yang boleh kita takrifkan ketika di dunia ini adalah seperti : “kita telah diseru untuk melalui sebuah jalan yang lurus, di tepi jalan tersebut punyai benteng pagar yang mempunyai pintu-pintunya. Setiap pintu pagar tersebut ada yang melambai-lambai kita agar berhenti dan memasukinya. Maka apa yang hendak ayah gambarkan di sini adalah, seruan perjalanan tersebut adalah Al-quran, jalan lurus yang kita lalui itu adalah Islam, benteng-benteng pagar tersebut adalah hukum-hukum Allah SWT dan pintu-pintu yang terdapat di p agar tersebut adalah ruang atau jalan yang dilaknati Allah SWT. Jika kita faham akan pengertian ayat-ayat Al-quran dan mengamalkannya maka kita akan sampai ke destinasinya, jika kita mengingkarinya maka, kita telah tewas dan terjerumus ke dalam pintu-pintu itu tanpa mengecapi keseluruhan sedikitpun perjalanan tersebut. Fahamkan apa yang telah ayah jelaskan ini.”



Saya hanya menganggukkan kepala saya sahaja. Dalam perjalanan tersebut, saya memerhatikan air mata ayah saya mengalir lagi, tetapi sempat ia berselindung dari kami.



Itulah hakikatnya dan itu juga adalah takrif yang kita bawa hingga ke hari ini. Perbualan tersebut antara saya dan ayah saya telah lama berlalu, tetapi ia masih segar dalam ingatan saya sehingga ke hari ini, maka tidak hairanlah kenapa setiap kali saya membaca surah Al-fatihah dari ayat tersebut, air mata saya mula mengalir, bukannya mengingati akan ayah saya, tetapi berasa terlalu dhaifnya diri ini terhadap Maha Pencipta. AllahuAkbar, sesungguhnya begitu besarnya rahmat-Mu terhadap kami.



Saudara-saudari yang dikasihi Allah SWT.



Saya terpaksa berhenti di sini, untuk memberi laluan kepada pekara yang hendak kita semua bincangkan. Semoga ia memberi manfaat buat kita semua di hari-hari yang mendatang. InsyaAllah.





Firman Allah SWT :


Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Surah Qaf – Ayat 37).



Berdasarkan ayat di atas, sekiranya seseorang ingin mendapat manfaat daripada Al-quran, dia hendaklah menghayati isi kandungan Al-quran sepenuh hatinya. Pendengaran yang digunakan untuk mendengar bacaan Al-quran dijadikan jalan untuk memahami setiap baris ayat kerana Al-quran itu sendiri adalah ‘Kalamullah’ (percakapan) daripada Allah SWT melalui lidah Nabi SAW.



Untuk memastikan pemahaman lebih berkesan dari apa yang dibaca, ia mesti disertakan dengan hati dan sanubarinya. Ini kerana, syarat penerimaan sesuatu pekara atau dianggap berkesan setelah terpancar di hati dan dapat dimanfaatkan oleh anggota badannya.



Sebagai contoh yang boleh kita sama-sama kongsikan di sini melalui ayat pertama seperti yang telah saya bawakan di atas iaitu :


Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran” (Surah Qaf – Ayat 37).


Seterusnya, Allah SWT menjelaskan antara golongan yang akan mendapat manfaat daripada hasil bacaan dan penghayatan isi kandungan Al-quran sebagaimana Firman-Nya dalam ayat yang berikutnya juga :


“Bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.” (Surah Qaf – Ayat 37).


Apa yang dimaksudkan dengan hati di sini ialah hati yang masih hidup segar menerima pengajaran dan bukannya hati yang telah mati dan kaku.



Saudara-saudari yang dirahmati Allah SWT.





Firman Allah SWT :


“(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.” (Surah Yasin – Ayat 69 & 70).



Saya rujuk dalam kitab ‘Al-Fawaid’, hasil karya Ibn Al-Qayyim, muka surat 3 – 5.



Ibn Qurtaibah r.h berkata :


“Perdengarkanlah isi kandungan Al-quran dengan menumpukan sepenuh hati serta cuba memahaminya bukannya dengan hati yang lalai.”



Jelaslah kepada kita bahawa antara pekara yang perlu dijauhi untuk memberi kesan dan mendapat manfaat dalam memahami isi kandungan Al-quran, seseorang hendaklah menjauhi sifat hati yang lali dan cuai serta hilang tumpuan ketika membaca, melihat dan memikirkan sesuatu pekara.


Justeru itu, antara cara yang perlu dititikberatkan untuk mendapat manfaat ialah membaca dalam keadaan hati menerima setiap apa yang dibaca, memenuhi syarat ketika membaca dan menjauhi pekara yang boleh menghilangkan tumpuan. Setelah ia berkesan, itulah dinamakan AL-QURAN bermanfaat untuk jiwa manusia dan sekelian alam. WaAllahua’lam.


















“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Ampunilah dosa-dosaku, ampunilah dosa-dosa kedua orang tua ku dan ampunilah jua dosa-dosa orang-orang muslimin, muslimat, mukminin dan mukminat samaada yang hidup mahupun yang telah pergi.” Amin.




You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails