Tuesday 30 March 2010

Jangan Gentar!

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



Kau dilahirkan untuk berjuang,

Kita dilahirkan untuk melihat,

Kamu dihidupkan untuk serakah,

Apa beza semua itu?,

Perjuangan!,

Pengorbanan!,

Atau sebuah ilusi,

Anda faham?,

Jangan Gentar!.


Sampai bilakah darah ini mengalir,

Sampai bilakah kita diperbodohkan,

Kau pasti ketahui,

Bilamana bumi itu menyuarakan,

Jihad!, Jihad!, Jihad!.

Si Mujahid berteriak,

Diam, Diam, Diam,

Sang kaldai bersuara,

Pekakkah kita semua,

Bisukah kita ini,

Kenapa diam!,

Lawan dengan keberanianmu,

Hancurkan laknatullah,

Biar mereka gerun,

Walaupun senjatamu sebiji kerikil,

Ingat!,

Jangan Gentar!.


Kau dimuliakan dengan Fisabilillah,

Kami di sini iringi doa,

Perjuanganmu tetap kami sanjungi,

Biarpun jauh dari pandangan,

Kau di muliakan,

Bangkitlah para Mujahid,

Serulah wahai Mujahidah,

Jangan Gentar!.


Bilamana seruan ibu bergema,

Di manakah bapamu?

Syahid!,

Di manakah abang dan kakakmu?,

Syahid!

Kenapa kamu di sini?,

Pergi!,

Berjuanglah demi Tuhanmu,

Ingat! Anak-anakku,

Takutlah pada Allah,

Ini bumi Allah,

Kita semua milik Allah,

Pergi!,

Pergi!,

Jangan Gentar!.


Bezanya di sini sedemikian rupa,

Si muda giat memperaga,

Si ibu pula kerap ketawa,

Si ayah kian mabuk dan lupa,

Tok ketua pula sibuk dengan harta-hartanya,

Beginilah nasib Negara kami,

Bagaikan hidup tidak bernyawa,

Namun!...

Ku syukuri,

Ada yang bangkit menentang,

Berteraskan panji-panji Islam,

Dipagari dengan senjata-senjata Iman,

Demi kehancuran rejim Zionis,

Apalagi yang ditunggu?,

Sebuah sketsa mimpi?

Atau khayalan duniawi?,

Ayuh! Palestin,

Ayuh! saudaraku,

Ayuh! Negaraku,

Jangan tertipu,

Tomahan dan dusta melata,

Itu semua propaganda mereka,

Jangan undur,

Setiap langkahmu,

Takutlah Allah,

Perjuangkan hak-hakmu,

Bangkitlah!,

Jangan Gentar!.



Monday 29 March 2010

Perjanjian Hudaibiyah - Era Kegemilangan Islam.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.



Alhamdulillah, Segala puji hanyalah semata bagi Allah SWT. Selawat serta Salam Sejahtera semoga dilimpahkan kepada utusan-Nya Muhammad SAW, pembawa risalah Islam yang paling sempurna. Aku bersaksi, bahawa tiada tuhan kecuali hanya Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi, bahawa Muhammad SAW adalah hamba dan Rasul-Nya.



Sebagaimana yang telah saya nyatakan pada artikel “Fisabilillah – Khaibar”, bahawa saat itu saya telah berjanji kepada anda untuk menceritakan koordinasi berkenaan dengan “Perjanjian Hudaibiyah” yang telah dimeterai oleh Baginda SAW dan pihak Quraisy Mekah. Namun yang demikian, setelah saya berpuas hati dengan apa yang telah saya nyatakan nanti, diharap ia akan menjadi satu renungan dan pedoman hidup kepada kita semua, walaupun Perjanjian Hudaibiyah tersebut tidak lagi dilakukan ketika dan saat kini. Maka dengan itu, isi kandungan perjanjian tersebut merupakan satu pegangan yang masih utuh serta digunapakai oleh seluruh para pemimpin Negara Islam dekad ini.



Sebagaimana yang telah diriwayatkan iaitu selepas perang Ahzab berlalu, Nabi SAW mengumumkan kepada semua Muslimin supaya berangkat ke kota Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Peristiwa tersebut berlaku pada bulan Zulkae’dah tahun ke 6 Hijrah. Ketika itu juga Nabi SAW beserta dengan 1,400 orang Muslimin telah bersiap sedia untuk berangkat ke kota Mekah tanpa membawa senjata kecuali pedang yang menurut pegangan adab bangsa Arab, ia merupakan hiasan yang khas, dengan bermaksud agar orang mengetahui bahawa mereka datang bukan untuk berperang, akan tetapi untuk berziarah ke Baitullah.




Setelah melakukan perjalanan selama beberapa hari akhirnya sampailah mereka di suatu tempat yang bernama “Hudaibiyah”, iaitu beberapa kilometer dari kota Mekah. Di sini mereka berkhemah dan juga menyembelih binatang korban sebagai tanda mengucap Talbiyah. Selanjutnya untuk menghalangi kekuatan dan untuk menghalangi kaum Muslimin agar tidak masuk ke kota Mekah, diutuskanlah Budail bin Warqa’ iaitu pemimpin suku Khuza’ah untuk menyelesaikannya. Setelah mengadakan pembicaraan dengan Nabi SAW, lalu Baginda SAW meminta kepada Budail agar ia memberitahukan kepada kaum Quraisy, bahawa kedatangan kaum Muslimin itu bukan untuk berperang melainkan hendak berziarah dan hendak memuliakan rumah suci. Mereka juga ingin menyakinkan Quraisy, supaya kaum Muslimin dibiarkan saja mengunjungi rumah suci, akan tetapi mereka malah dituduh dan tidak diterima baik oleh kaum Quraisy Mekah.



Biarpun rombongan kaum Muslimin yang segera memasuki kota Mekah, merupakan suatu dilema bagi kaum Quraisy, di atas sebab masuknya kaum Muslimin ke kota Mekah boleh diertikan takluknya Quraisy tanpa syarat. Tetapi sebaliknya mereka tidak boleh terima secara keseluruhan niat kaum Muslimin itu, bukan untuk berperang kerana pada waktu itu kaum Muslimin dilarang pergi berperang. Oleh yang demikian, kaum Quraisy kembali mengirimkan utusannya lagi. Kali ini yang diutus adalah Hulais iaitu pemimpin Bani Ahabisy. Ketika Nabi SAW melihat akan utusan Quraisy itu datang, dimintanya supaya dapat menyaksikan sendiri adanya bukti yang jelas bahawa kedatangan kaum Muslimin itu tidak lain hanyalah hendak berziarah ke rumah suci. Terharu ia melihat pemandangan itu, lalu ia kembali ke pangkuan kaum quraisy serta diceritakan dengan apa yang ia lihat. Tetapi begitu, ia dimarahi oleh pemimpin tertinggi kaum quraisy. Kemudian kaum quraisy tetap megutuskan utusannya yang lain untuk pergi berjumpa dengan Nabi SAW serta pengikutnya untuk berbincang akan perjanjian perdamaian tersebut termasuklah Urwah bin ma’ud Ath Thaqafi, namun hasilnya juga memalukan pihak quraisy.



Sementara mereka sedang berusaha untuk mencapai perdamaian dengan jalan tukar-menukar utusan, datanglah pasukan bersenjata musuh yang mengintai kaum Muslimin, tetapi pasukan tersebut segera ditangkap. Oleh kerana kaum Muslimin datang tidak untuk berperang, maka pasukan tersebut segera dibebaskan oleh kaum Muslimin, sebagai tanda jalan damai serta ingin menghormati bulan suci serta mengelakkan adanya pertumpahan darah di Hudaibiyah yang juga daerah suci kota Mekah.



Nabi SAW sekali lagi berusaha hendak menguji kesabaran kaum quraisy dengan mengirimkan seorang utusan yang akan mengadakan perundingan dengan mereka. Nabi SAW mengutuskan Utsman bin Affan r.a untuk berangkat menemui pemimpin-pemimpin kaum quraisy tersebut. Maka pembicaraan Utsman dengan kaum quraisy terjadi dalam kadar masa yang agak lama. Kaum Muslimin ternanti-nanti kembalinya Utsman bin Affan r.a, tetapi tidak juga datang kerana ketika itu beliau telah ditahan oleh kaum quraisy. Maka timbullah pula berita menyatakan bahawa Utsman r.a telah dihukum bunuh oleh kaum quraisy. Nabi SAW telah mengadakan perbincangan dengan para Sahabat r.a berkenaan dengan pekara itu, lalu Baginda SAW telah juga melakukan janji setia kepada kaum Muslimin agar terus menyokong perjuangan Baginda SAW. Kaum Muslimin mengadakan janji taat setia kepada Nabi SAW, bahawa mereka akan memerangi kaum quraisy bersama-sama Nabi SAW sampai memperolehi kemenangan. Perjanjian setia tersebut telah mendapat redha Allah SWT sebagaimana dalam Firman-Nya :


Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” (Surah Al-Fath – Ayat 18).



Baitul Ridhwan ini menggetarkan hati kaum quraisy sehingga mereka melepaskan semula Utsman bin Affan r.a yang telah mereka tangkap serta mengutuskan Suhail bin Amr pergi untuk mengadakan perjanjian damai dengan kaum Muslimin. Perjanjian tersebut telah diriwayatkan berlaku di Hudaibiyah,maka perjanjian itu terkenal dengan pangilan “Perjanjian Hudaibiyah”. Perjanjian ini terjadi selama 10 tahun dan di antara isi kandungannya adalah seperti berikut :


1) Kaum Muslimin tidak dibenarkan untuk berziarah pada tahun tersebut, tetapi ditangguhkan hingga ke tahun hadapan.



2) Pada tahun hadapan, kaum Muslimin diperbolehkan berziarah, tetapi tidak boleh tinggal di kota Mekah melebihi selama 3 hari.



3) Kaum Muslimin Madinah tidak boleh mengajak orang-orang yang tinggal di kota Mekah untuk tinggal di kota Madinah, demikian juga kaum Muslimin tidak diperbolehkan menghalangi umat Islam Madinah yang tinggal di kota Mekah.



4) Apabila di antara orang-orang Islam Mekah ada yang melarikan diri ke kota Madinah, maka harus kembalikannya ke kota Mekah dan tidak demikian sebaliknya.



5) Seluruh suku bangsa Arab, bebas menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja.



Maka demikianlah isi kandungan perjanjian tersebut yang pada hakikatnya merupakan suatu kemenangan yang besar bagi kaum Muslimin. Pada mulanya perjanjian tersebut tampak seperti berat sebelah, diikuti pula dengan ketidak setujuan dari para Sahabat r.a mengatakan bahawa ia akan melemahkan lagi kaum Muslimin. Tetapi dengan kebijaksanaan Nabi SAW itulah membuatkan Baginda SAW yakin dan percaya akan kebenaran Allah SWT. Baginda SAW menganggap bahawa ia satu kemenangan bagi pihak Islam, malahan dengan itu juga Islam akan tersebar ke serata tanah Jazirah Arab.


Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).” (Surah Al-Fath – Ayat 1 & 2).



Jika kita mengkaji akan isi kandungan perjanjian tersebut, malah Nabi SAW bersetuju dengan perjanjian tersebut merupakan bukti yang nyata bahawa Baginda SAW adalah seorang yang amat cinta kepada perdamaian dan membenci akan peperangan. Demikian juga memperlihatkan kecerdikan dan keunggulan Nabi SAW. Ada ketentuan bahawa “Perjanjian Hudaibiyah” berlaku untuk masa selama 10 tahun, ini memberi kesempatan kepada kaum Muslimin untuk memperluas dan memperkuatkan tuntutan mereka kepada kaum quraisy. Kesan dari perjanjian tersebut, maka kaum Muslimin dapat mencurahkan perhatian sepenuhnya kepada soal dakwah secara damai dan aman. Maka dengan itu juga, Perjanjian Hudaibiyah telah memberi kesan dan impak yang berkesan untuk kaum Muslimin terus berdakwah menyebarkan agama Islam ke seluruh kota Mekah dengan melalui saluran yang tepat dan berkesan.



Selama 2 tahun pertama, jumlah mereka yang memeluk agama Islam telah melebihi jumlah kaum Muslimin ketika itu. Ketika di Hudaibiyah jumlah mereka sebanyak 1400 orang, tetapi 2 tahun kemudian sewaktu mendatangi kota Mekah Baginda SAW diikuti oleh 10,000 orang. Begitu menakjubkan yang diperolehi kaum Muslimin sebagai akibat dari “Perjanjian Hudaibiyah” tersebut. Apabila seseorang memikirkan sesuatu berkenaan dengan Islam, maka ia akan mengikutinya secara menyeluruh bersama-sama dengan Nabi SAW. Sebagai contoh, perajurit-perajurit besar seperti Khalid bin Walid, panglima perang dan ahli strategi quraisy yang ulung iaitu Amr bin Ash telah memeluk Islam setelah Perjanjian Hudaibiyah tersebut dengan rela hatinya. Ini adalah bertepatan dengan janji Allah SWT kepada mereka-mereka yang berjaya dan ini juga merupakan kemenangan bagi pihak Islam yang telah ia diwahyukan Allah SWT kepada Nabi SAW ketika sebelumnya terjadi perjanjian tersebut. Kemenangan tersebut membuka lebaran baru yang luas untuk menyebarkan Islam di seluruh pelusuk tanah Arab dan seterusnya ke serata dunia.



Oleh yang demikian, ini adalah peristiwa yang patut kita semua ingati dan ambil tahu akannya serta menjagai segala amanat yang telah Baginda SAW amanahkan kepada kita semua. Islam itu bukan tersebar dengan cara keganansan yang apa telah kaum kafir fitnahkan kepada kita selama ini. Islam itu agama toleransi, melaluinya juga Islam itu berkembang ke seluruh pelusok dunia dengan begitu cepat dan berkesan sekali berbanding dengan agama-agama lain. Walaupun Islam itu dihina, dicaci, dikeji dan ditomah dengan pelbagai dakyah dari musuh-musuh Islam, tetapi ia tidak mematahkannya. Islam itu berdiri dengan teguhnya bersama-sama orang yang faham akan kalimah-kalimah Allah SWT. Orang-orang yang faham akan ayat-ayat Allah SWT, bererti juga ia faham akan hidupnya sebagai hamba kepada Allah SWT di dunia ini.




Oleh sebab itu, tidak hairanlah minoriti di kalangan kita yang sering bersolat, berpuasa, dan membaca Al-Quran tetapi melakukan pekara-pekara maksiat. Orang yang sedemikian adalah orang yang boleh membaca dan mengamal tetapi tidak faham membaca dan mengamalkan apa yang sepatutnya di baca dan amalkan. Orang yang sedemikian juga adalah orang yang tidak faham langsung akan makna ayat-ayat Allah SWT yang terkandung di dalam kalam-Nya. Maka tidak mustahillah dekad ini kes pembuangan bayi dan keruntuhan moral akhlaq kian berleluasa malahan yang lebih menyedihkan kita ia datangnya dari golongan yang mengakui dirinya Islam. Jika hal-hal yang sedemikian kita semua tidak ambil peduli dan membiarkan ia terusan berlaku, maka tunggulah hari dan saat yang lebih dahsyat lagi akan berlaku, ketika itu tiada suatupun yang dijangka, tiada suatupun yang menduga dan tiada suatu yang merasai akan azab yang menimpa kepada kita semua, kecuali Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan cepat akan seksaan-Nya terhadap manusia yang melakukan dosa. Setiap perbuatan dosa itu tempiasnya kepada kita yang leka dan ambil mudah terhadap dosa tersebut. Maka dengan itu, ambillah penekanan baru dari apa yang telah kita semua bincangkan ini, Nabi SAW serta para Sahabat ra. telah bersusah payah melalui liku hidup yang sukar untuk menyebarkan Islam, tetapi kita di sini masih tegar melakukan pekara-pekara kemungkaran dan kebathilan. Beringat-ingatlah saudara-saudaraku sekelian, kita semua akan diperhitungkan segenap amalan-amalan kita kelak di hadapan Allah SWT, walaupun ia sebesar debu.



Mampukah kita berhadapan dengan Allah SWT dalam keadaan kita sekarang ini?.



Mampukah Saudara-saudara sekelian!.



Saya berpesan kepada diri saya yang kerdil ini serta saudara yang membaca artikel di laman blog saya ini, agar mempertingkatkan lagi amalan-amalan kita kepada Allah SWT serta bertaubatlah kepada Allah SWT terhadap segala perbuatan dosa-dosa kita selama ini. Ingatlah! bahawa Allah Maha Pengampun, Allah Maha Penyayang kepada sekelian makhluk-Nya. Allahu Akbar!.



Wednesday 24 March 2010

Haji Wida' - Satu Amanat.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera, Salam Ukhuwah, Salam Harmoni buat semua yang dirahmati Allah SWT.



Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya, kita hidupkan, diberi hidayah dan diberi rahmat dari-Nya. Tanpa rahmatnya, mana mungkin kita akan di sini, tanpa keizinan-Nya mana mungkin kita dipertemukan di arena siber ini. Dari sekecil-kecil dan sebesar-besar rahmat-Nya itu, adalah petanda bahawa Allah SWT Ya Rahman, Ya Rahim. Kita sebagai makhluk ciptaan-Nya, perlulah senantiasa bersyukur ke atas nikmat dan hidayah dari-Nya bagi memperlihatkan keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya serta mengakui bahawa kita ini adalah sebenar-benar hamba-Nya. Sebagai seorang hamba, maka wajiblah kita mematuhi segala suruhan dan larangan dari-Nya, agar diri kita tergolong di dalam golongan yang berjaya di sisi Allah SWT. InsyaAllah.




Telah diriwayatkan bahawa walaupun pada akhir tahun ke 9 Hijrah ajaran Islam telah selesai tersebar ke seluruh Jazirah Arab, akan tetapi masih ada orang-orang yang belum beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya. Di mana masih juga terdapat orang-orang kafir yang berpegang teguh kepada adat jahiliyah mereka. Dalam bulan-bulan suci mereka masih menziarahi ke Kaabah, sedang mereka adalah orang-orang yang kafir dan kotor lahiriah mereka. Oleh sebab itu, Nabi SAW tidak mahu mengerjakan haji ketika itu. Baginda SAW tetap tinggal di Madinah sampai Allah SWT mengizinkan Beliau pergi berhaji ke Baitullah.



Kemudian disuruhlah Sayidina Abu Bakar r.a memimpin seramai 300 orang Muslimin yang hendak melakukan ibadah haji. Setelah Sayidina Abu Bakar r.a berangkat, Nabi SAW lalu mengutuskan Sayidina Ali bin Abi Thalib r.a agar menyusul Abu Bakar r.a. Selanjutnya Ali r.a berkhutbah kepada khalayak ramai waktu musim haji di Arafah untuk menyampaikan bahawa orang-orang musyrik itu tidak boleh mendekati rumah suci yang sudah dibersihkan dari segala kehidupan syirik dan kuffur terhadap Allah SWT.



Pada bulan Zulka’edah tahun ke 10 Hijrah, Nabi SAW berangkat mengerjakan ibadah haji yang terakhir (Haji Wida’) bersama-sama dengan 114,000 orang jemaah dari seluruh pelusuk tanah Jazirah Arab. Mereka berangkat dengan penuh kegembiraan dan keikhlasan, menuju ke Baitullah yang suci. Mereka hendak menunaikan kewajiban ibadah haji yang besar. Ibadah haji yang terakhir diikuti oleh Nabi SAW inilah yang dalam sejarah dikenali sebagai “HAJI WIDA’”.



Ketika mereka sampai di Zul Hulaifah, mereka mendirikan khemah dan bermalam di sana. Keesokan harinya Nabi SAW berserta kaum Muslimin mengenakan pakaian ihram. Dengan pakaian ini seluruh manusia menghadap Allah SWT dalam keadaan yang sama.



Pada hari ke 4, ZulHijjah, Nabi SAW bersama kaum Muslimin memasuki kota Mekah. Segera setelah sampai di Mekah, Baginda SAW segera pula menuju Kaabah kemudian Baginda SAW menyentuh Hajar Aswad dan menciumnya, lalu bertawaf sebanyak 7 kali. Selanjutnya Nabi SAW bersembahyang di Maqam Ibrahim, setelah itu Nabi SAW melakukan Sa’I antara Shafa dan Marwa sebanyak 7 kali. Setelah itu semuanya selesai, Nabi SAW berseru kepada seluruh kaum Muslimin supaya yang tidak membawa ternak korban, mencukur kepala mereka dan untuk sementara mereka diminta untuk melepaskan pakaian ihramnya.




Pada hari ke 8 Zulhijjah (Hari Tarwiyah), Nabi SAW meninggalkan kota Mekah menuju ke Mina dan bermalam di sana. Setelah solat subuh berjamaah, Nabi SAW beserta kaum Muslimin menuju ke Arafah. Ketika sampai di perut Wadi di bilangan ‘Urana, Nabi SAW berpidato dan berkhutbah di atas unta kesayangannya. Telah diriwayatkan bahawa petikan khutbah Nabi SAW tersebut adalah berbunyi begini :



“Wahai umatku!. Dengarlah perkataan ini, kerana aku tidak tahu apakah aku akan bertemu lagi dengan kalian.”



“Saudara-saudara!. Tahukah kamu, hari apakah ini? Ini adalah yang Nahar, hari korban yang suci. Tahukah kamu, bulan apakah ini? Inilah bulan suci. Tahukah kamu, tempat apakah ini? Inilah tempat yang suci. Untuk itu aku sampaikan kepadamu bahawa hidupmu, harta bendamu dan kehormatanmu satu sama lain harus suci seperti hari ini. Hendaklah kamu yang hadiri kelak akan menjumpai Tuhanmu yang akan memanggilmu untuk menerima perhitungan atas perbuatanmu. Pada hari ini wang riba Dar Abbas bin Abdul Muthalib dibebaskan, demikian juga wang riba yang lainnya. Pada hari ini pula balas dendam atas pembunuhan yang dilakukan pada zaman jahiliyah dinyatakan hapus, terutama pembunuhan atas diri Rabi’ dan Harits diampuni.”



“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Keturunan, warna kulit serta bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT adalah yang paling bertakwa.”



“Wahai umatku! Kamu mempunyai hak atas diri kamu dan isteri-isteri kamu dengan penuh kasih atas diri kamu. Perlakukanlah isteri-isteri kamu dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka atas hak Allah SWT dan halal bagi kamu atas nama Allah SWT. Dan beri makanlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau makan dan beri pakaianlah hamba-hamba sahayamu sebagaimana engkau berpakaian. Jika mereka melakukan kesalahan yang tidak dapat kamu maafkan maka ingatlah bahawa mereka semua adalah hamba-hamba Allah SWT dan bukan untuk disakiti.”



“Saudara-saudara! Sesungguhnya ada dua masaalah yang sudah jelas kutinggalkan di tangan kamu, yang jika kamu berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Kitabullah dan Sunnah Rasulullah.”



“Wahai umat manusia! Bahawa seluruh umat Islam itu bersaudara satu sama lain. Kerana kamu bersaudara maka kamu tidak boleh mengambil hak saudaramu yang tidak diberikan kepadamu kecuali dengan izin mereka.”



Setelah selesai menyampaikan khutbah tersebut, Nabi SAW bertanya kepada seluruh kaum Muslimin :



“Sudahkah aku sampaikan amanat Allah SWT kepadamu?”



Mereka serentak menjawab :



“Ya.”



Lalu Nabi SAW meneruskan kata-katanya :



“Ya Allah saksikanlah ini!”



Ada riwayat menyatakan bahawa setelah selesai Nabi SAW mengakhiri khutbahnya, tidak lama kemudian turunlah wahyu Allah SWT, yang selanjutnya dibacakan kepada mereka yang hadir di sana.



Firman Allah SWT :

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” (Surah Al-Maidah – Ayat 3).



Apabila mendengar ayat tersebut seketika itu Sayidina Abu Bakar r.a menangis dan bersedih, ia merasa bahawa tugas Nabi SAW telah selesai dan itulah pertanda bahawa sudah hampir dekat pula saatnya hendak menghadap Allah SWT.





Oleh yang demikian, Nabi SAW telah melalui kisah hidup yang cukup menarik yang perlu kita semua ketahui dan kongsikan bersama. Sepanjang riwayat Nabi SAW, Baginda SAW tidak pernah mengajar agar umatnya membuat kemungkaran, sebaliknya mengajak agar sekelian umatnya melakukan kebaikan dan mentauhidkan Allah SWT serta menegah kemungkaran. Setiap manusia itu tidak akan kekal, ia pasti akan pergi suatu masa kelak yang telah ditentukan oleh-Nya, tetapi adakah kita telah bersedia untuk bekalan di hari itu, persediaan apakah yang telah kita sempurnakan setakat ini?. Solat kita?, puasa kita?, Sedekah kita? , amalan kita?. Adakah ia sudah mencukupi?. Fikir-fikirkanlah saudara-saudari sekelian, ketika dan saat ini, kita sedang menuju ke alam abadi yang akan ditentukan bila ia berlaku atas ketentuan Allah SWT. Jika pekara inipun kita sering mengabaikannya, bagaimana pula hendak kita fikirkan nasib kita ‘di sana’ kelak. Saya berpesan pada diri saya dan saudara-saudari yang membaca artikel ini, agar kembalilah semula ke asas-asas Islam yang sebenar, beriman dan bertakwalah kita semua kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Allahuakbar!.



Tuesday 23 March 2010

"Kaya Harta Kaya Jiwa".

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.


BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Sejahtera.




Seringkali manusia menilai kekayaan itu dengan banyaknya harta yang bertimbun, rumah yang indah, kereta mewah yang menjalar, pakaian yang cantik, wang simpanan yang berkepuk-kepuk dalam bank dan saham-saham niaga yang berunit-unit banyaknya. Kemewahan dan kekayaan tersebut menjadi idaman dan impian bagi setiap manusia yang ingin memilikinya. Sangkaan mereka dengan kemewahan tersebut, hidup akan bahagia dan lebih menyeronokkan.


Namun benarkah dengan segala kemewahan itu dapat menenangkan jiwa?




Saya rujuk dalam Hadith Shahih Al-Bukhary dan Muslim r.a, bahawa telah diriwayatkan dalam sebuah Hadith daripada Abu Hurairah r.a telah berkata ia bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


“Yang dikatakan kaya itu bukanlah kerana banyaknya harta, tetapi sebenar-benar kaya adalah Kaya Jiwa.”



Sebagai contoh yang hendak saya bawakan dan kongsikan bersama di sini adalah, sebagaimana yang telah kita semua ketahui bahawa Abdul Rahman bin Auf r.a adalah contoh insan dan sahabat Nabi SAW yang unggul yang memiliki kekayaan harta dan jiwa. Dari Anas bin Malik pernah meriwayatkan bahawa :


“Ketika Siti Aisyah r.a berada di rumah, dia terdengar bunyi riuh rendah, lalu bertanya akan hal itu pada para sahabat. Dan diketahuilah bahawa bunyi itu adalah derap unta kafilah dagang Abdul Rahman bin Auf r.a. Lalu Aisyah r.a berkata : “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Aku melihat Abdul Rahman bin Auf memasuki syurga dengan keadaan merangkak!” Berita itu akhirnya sampai ke pendengaran Abdul Rahman bin Auf lalu dia datang bertemu Aisyah r.a bertanyakan hal tersebut. Aisyah r.a menerangkan padanya tentang kekayaan membuatkannya merangkak masuk ke syurga. Maka di situ juga Abdul Rahman bin Auf r.a berkata : “Saksikanlah! Bahawa 700 ekor unta ini dengan muatannya itu aku sedekah pada jalan Allah SWT.”



Bukan mudah untuk jiwa ini tunduk mengorbankan harta yang amat dikasihi semata-mata memenuhi kehendak iman. Abdul Rahman bin Auf r.a diberikan keistimewaan oleh Allah SWT menguasai harta dunia di tangan tetapi beliau tidak meletakkan harta itu di dalam jiwanya. Beliau meyakini kesejahteraan akhirat lebih utama berbanding dunia yang sementara.



Inilah contoh insan tauladan yang wajib kita contohi. Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikan dirinya kepada akhirat malah diletakkan sebagai matlamat utama berbanding dunia. Si miskin yang kaya jiwanya pula tidak memandang bahawa kemiskinan itu menjadi penghalang untuknya mendapat keredhaan Allah SWT. Orang kaya yang bersedekah dan berzakat adalah yang sewajarnya kerana mereka berharta, tetapi orang miskin yang bersedekah adalah lebih mulia kerana dalam keadaan hidupnya yang susah mereka masih merasakan ada lagi insan yang lebih susah hidup berbanding dirinya.



Si miskin akan jadi pemurah apabila jiwanya kaya. Satu ringgit yang didermakan oleh orang miskin tidak akan sama nilainya dengan satu ringgit yang didermakan oleh orang kaya. Satu ringgit tetap bernilai satu ringgit bagi orang kaya atau mungkin lebih rendah lagi jika dibandingkan kekayaan yang dimiliki. Sebaliknya satu ringgit mungkin bernilai 10 ringgit bagi orang miskin kerana sukarnya orang miskin untuk mendapatkan wang tersebut.



Justeru itu, keikhlasan seorang miskin yang dermawan mungkin lebih tinggi martabatnya berbanding seorang kaya seorang kaya yang dermawan kerana orang miskin yang dermawan pasti lebih tinggi martabatnya kerana dalam keadaan dirinya menghadapi kesulitan hidup namun dia masih mampu untuk menderma dan membantu orang lain.





Saya tertarik dengan satu riwayat yang mengisahkan tentang Syaidina Ali bin Abi Thalib dan Siti Fatimah r.a, di mana walaupun mereka sendiri hidup dalam kemiskinan, mereka tetap memiliki kekayaan duniawi dan akhiratwi. Sayidina Ali r.a pernah melucutkan cincin perak dari jarinya dan memberikannya kepada seorang peminta sedekah yang datang kepadanya, walaupun beliau ketika itu sedang sibuk mendirikan solat kerana takut peminta sedekah itu berlalu tanpa mendapat apa-apa, sebelum beliau selesai solat. Dalam peristiwa yang lain pula, setiap hari, selama tiga hari berturut-turut, sayidina Ali dan Siti Fatimah r.a menyedekahkan kepada orang-orang miskin yang datang meminta di rumahnya, makanan yang sepatutnya mereka makan untuk berbuka puasa nazar telah diberikan dan disedekahkan kepada fakir miskin tersebut. Hari pertama mereka menyedekahkan makanan yang disediakan untuk berbuka itu kepada fakir miskin yang sudah tidak makan selama beberapa hari lamanya. Hari keduanya pula disedakahkannya kepada seorang anak yatim yang sudah berpusing-pusing meminta makanan tetapi tidak mendapatkannya dan hari yang ketiga berikutnya pula, disedekahkan makanannya itu kepada seorang tawanan. Oleh kerana makanan untuk mereka berbuka itu disedekahkannya, Sayidina Ali dan Siti Fatimah sendiri tinggal kelaparan tiga hari berturut-turut. Allah SWT memuji sikap Sayidina Ali dan Siti Fatimah ini melalui firman-Nya yang bermaksud :


(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”. Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.” (Surah Al-Insan – Ayat 7-12).



Saudara dan saudariku sekelian,



Marilah kita meringgankan tangan untuk bersedekah dan berzakat kerana amalan itu akan menjadikan kita insan yang berjiwa kaya. Alangkah beruntungnya kita semua memiliki kekayaan harta dan kekayaan jiwa. Alangkah mulianya kita semua sekira tidak memiliki kekayaan harta tetapi memiliki kekayaan jiwa. Jiwa yang kaya akan melahirkan insan agung seperti Abdul Rahman bin Auf r.a yang kaya harta dan jiwa atau seperti para Sahabat r.a yang lain, mereka miskin harta tetapi memiliki jiwa yang kaya. Nanti di akhirat kita semua akan membawa jiwa yang kaya ini mengadap Allah SWT dengan penuh kesejahteraan dan kedamaian sebagaimana Firman-Nya di dalam Surah As-Syuaraa’ – Ayat 88 & 89 :


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, “Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).”



Saudara dan saudariku yang dirahmati dan dikasihi Allah SWT,



Ingatlah!, segala harta dan kekayaan itu adalah milik Allah SWT, saat dan ketika yang telah ditentukan oleh-Nya, harta tersebut akan bertukar milik. Ia berhak mengambilnya mengikut ketentuan dan kebijaksaan-Nya. Kereta, rumah, anak pinak, isteri, suami, saham, pangkat, kedudukan, duit melimpah ruah dan segala harta itu adalah suatu pinjaman yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, ia akan lenyap suatu masa nanti, tiada yang kekal kecuali Allah SWT yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Kita hanya meminjamnya dari Allah SWT, dan adab meminjam mestilah dikembalikan kepada tuan-Nya. Kalau dahulu kita terlalu berkira-kira untuk menyumbangkan sesuatu kepada Islam, maka ketika dan saat ini tanamlah “Era Baru” untuk meringgankan tangan-tangan kita bagi membantu mereka-mereka yang memerlukan di luar sana. Ingatlah!, janji Allah SWT itu pasti, bagi mereka yang menolong agama-Nya. Allahuakbar!.



You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails