Thursday 28 January 2010

Palestin...

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.



Bersyukurkah miliki bumi merdeka?,

Menghayati isi ciptaan-Nya,

Keberkatan rezeki melimpah melata,

Kemewahan duniawi tidak terbatas,

Melingkari susur denak berduri,

Menyembunyikan hukum Illahi,

Adakah kita merdeka?.


Melihat anak-anak Palestin dihinjak-hinjak,

Membiarkan buminya bermandi darah,

Peluru sesat tidak mengenal usia,

Darah syuhadah membanjiri bumi,

Lantas anak-anak Palestin meratap kelaparan,

Hanya sekeping roti,

Hanya sebutir tamar,

Hanya seteguk susu,

Kita di sini melempar-lempar,

Kita di sini sorak gempita,

Gemuruh isu dunia,

Riuh mengadu domba,

Tanpa rasa belas simpati.


Adakalanya kita merunggut,

Setiap permintaan tidak ditunaikan,

Membawa diri mencari ketenangan,

Merasakan diri satu ketentuan,

Masih ingatkah kita?

Bilamana anak-anak Palestin diseksa,

Bilamana perut ditusuk senjata,

Sakitnya hati itu tidak bererti,

Sakitnya lagi kewajipan diri,

Lihatlah dari hati,

Adakah terkata dengan kedudukan kita?,

Membiarkan darah saudara kita menyembah bumi,

Membiarkan Para Ilmuan meninggal pergi,

Membiarkan Islam dikhianati,

Akuilah kesilapan kita,

Kesilapan dusta Agama,

Kesilapan menghukum saudara-saudara kita.


Kelak…

Kita dipertemukan jua,

Di hadapan Allah,

‘Apakah sumbanganmu terhadap saudara-saudaramu?’

Jawablah dengan Iman,

‘Apakah sumbanganmu terhadap agamamu?’

Jawablah dengan Taqwa,

Jangan persalahkan Pesuruh-Nya,

Jangan telunjuki Kalam-Nya,

Jangan tunduk tanpa jawapan,

Kelak akan dipertemukan,

Saat yang tidak terperi,

Saat yang menakutkan,

Saat yang memilukan,

Tahukah kita semua?

Apa itu Neraka Jahanam?,

Apa itu isinya?.


Ketahuilah…

Apa yang kita tidak pernah katakan,

Apa yang kita tidak pernah perdengarkan,

Apa yang kita tidak pernah melihatnya,

Pekat hitamnya,

Luas dasarnya,

Sejauh mata memandang,

Didihlah ia,

Apa yang kelihatan,

Satu seksaan yang tidak terperi,

Di belenggu saban waktu,

Di rantai setiap kali,

Tahukah kita akan itu?.


Ketahuilah…

Kita adalah bersaudara,

Sakit di sana,

Di sini terasa,

Mengalir di sana,

Di sini tertumpah jua,

Meratap di sana,

Di sini berduka,

Keberkatan apa yang dipohon?,

Jika diri dipacu dogma,

Tulikah kita?,

Bisukah kita?,

Butakah kita?,

Jawab!,

Kitakah orang-orang itu?.




Wednesday 27 January 2010

Ash Shirath.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.




Alhamdulillah, syukur dengan nikmat dan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi mengharungi liku-liku kehidupan yang mencabar keimanan dan ketaqwaan. Masa dan detik waktu berlalu meninggalkan kita dengan begitu pantas tanpa menoleh ke belakang, membuatkan dunia kini semakin hari semakin uzur usianya. Begitu juga dengan keadaan kita, yang semakin hari meningkat akan usianya. Dari yang cerah pandangan matanya kembali kabur, dari yang hitam warna rambutnya kembali putih, yang bergigi kembali menghilang, yang tegang dan gebu kulit kembali kepada kekedutan dan begitulah seterusnya. Dunia ini adalah tempat untuk diuji bagi sekelian manusia untuk membezakan keimanan dan ketaqwaannya terhadap Allah s.w.t. Dunia yang penuh dengan muslihat, merencanakan seribu satu kedhaifan kehidupan jika syariat-Nya kita sisihkan. Tidak kiralah ia lahir dari golongan yang tertinggi dan berpendidikan sekalipun, ketetapan manusia membuat dosa itu tetap ada. Pembohongan, penyelewengan, pengkhianatan, dan seribu macam sifat-sifat iblis sering terlihat dekad kini, membuatkan manusia semakin hari semakin melanggari perintah-Nya. Ada yang tersembunyi dan ada yang terlihat akan muslihat-muslihat tersebut sehinggakan ada yang tidak segan untuk memperlihatkannya. Inilah ragam-ragam manusia yang di akhir zaman yang tidak putus-putus menafikan serta mengkhianati Rasulullah s.a.w serta syariat-Nya.


Saya suka berbicara berkenaan dengan hari kebangkitan (Kiamat), kerana topik ini merupakan topik aqidah yang mula-mula ibubapa saya ajarkan kepada saya. Dan topik ini juga sebenarnya memberi kesan yang mendalam kepada setiap individu yang yakin dan percaya akan munculnya hari kebangkitan. Jika Allah s.w.t boleh menciptakan manusia berjalan mengunakan kedua belah kakinya dengan begitu seimbang sekali, maka tidak mustahil di hari kiamat kelak Allah s.w.t menjadikan manusia-manusia yang ingkar berjalan mengunakan mukanya. Secara logik akal manusia adalah mustahil, tetapi Allah s.w.t Maha Berkuasa. Ketika itu tiada ertikata tidak, keadaan akan berubah dari apa yang terlihat di dunia ini dahulu. Jika ia berkuasa ketika di dunia, tetapi ketika di hari kiamat nanti, tiada yang lebih berkuasa selain dari Allah s.w.t.


Manusia begitu bangga menerokai alam cakrawala, sehinggakan ada yang menyatakan bahawa pernah menjejaki bulan dan marikh. Manusia begitu gah menyatakan pernah menakluki gunung tertinggi dunia. Manusia berbangga dengan hasil ciptaan sains dan teknologinya sehinggakan dapat menghasilkan robotik seakan-akan sifat manusia. Begitu juga dengan sistem peperangannya yang menjangkaui apa yang pernah Hitler fikirkan. Tetapi had-had akal manusia itu terbatas. Tidak semua manusia boleh melahirkan, menciptakan, memikirkan, mengkajikan dan mendalami ilmu-ilmu Allah s.w.t. Sebagai contoh, sebijak-bijak manusia dekad kini, belum ada yang mengkaji tentang hari kiamat, belum ada yang mengetahui hakikat sebenar alam barzakh. Semua itu terbatas oleh akal fikiran manusia. Allah s.w.t lebih mengetahui dari makhluk-Nya. Dan kita sebagai makhluk-Nya pula, mestilah mengetahui bahawa akal kita sebenarnya terlalu terhad. Sebagai contoh yang lain, manusia hingga ke hari ini belum dapat mengetahui maksud ayat-ayat ‘Muthasabihad’ yang tertera dalam Kalam-Nya. Kalau ada pun mungkin ia adalah di antara 30 golongan dajal yang telah Nabi s.a.w nyatakan dalam hadithnya yang akan muncul di akhir zaman nanti. Sedangkan Abu Lahab dan Abu jahal yang kafir itu pun menyatakan bahawa ayat-ayat Muthasabihad itu hanya Allah s.w.t yang Maha Mengetahui. Pelik bukan!. Itu adalah hakikat, bertapa kerdilnya diri kita ini.


Apa itu Ash-Shirath?. Kelak saya akan huraikan berkenaan dengannya dengan lebih mendalam mengikut keizinan-Nya. InsyaAllah. Setelah para terdakwa (manusia) mengalami proses persidangan di padang mahsyar (di hari kiamat) dan telah diteliti, diadili serta diperiksa segala pekara dan amalannya bersertakan bukti-bukti dan saksi-saksi di hadapan Allah s.w.t, maka para terdakwa (manusia) itu perlu melalui proses yang amat getir dan menakutkan sekali, iaitu melintasi satu jambatan yang sangat tajam dan halus laluannya yang disebut sebagai “Ash-Shirath”. Cara dan perlakuan manusia ketika melintasi Ash Shirath tersebut mempunyai pelbagai cara dan berbeza-beza di antara satu sama lain. Ini bergantung pula kepada amalan dan aqidah masing-masing ketika melintasi jambatan tersebut. Dinyatakan juga bahawa Ash Shirath itu melintasi di mana bawahnya terdampar neraka Jahanam yang luas dan mengerikan. Maka sesiapa yang dapat melintasi Ash Shirath tersebut dengan selamat, ia akan pasti sampai ke syurga Allah s.w.t. Tetapi jika sesiapa yang terkandas pula, ia akan terjatuh ke dalam api neraka yang sedia menunggunya untuk di bakar.

Di dalam Al-Quran tidak mengemukakan dengan jelas tentang Ash Shirath ini, tetapi ia telah diriwayatkan dengan jelas berkenaan dengannya melalui hadith Nabi s.a.w.


“Dari Abi said Al-Khudri r.a, Nabi s.a.w bersabda bahawa Ash Shirath itu adalah lebih kecil dan lembut dari rambut (sepertujuh belahan rambut) dan lebih tajam daripada pedang (pisau pencukur)” (HR Bukhari r.a).


Situasi melintasi Ash Shirath itu berbeza-beza, mengikut amalan-amalan kita ketika di dunia dahulu. Mengikut Imam Wahab berkata, Nabi s.a.w berdoa “Ya Allah selamatkanlah, Ya Allah selamatkanlah umatku!” Sebahagian mereka melintasi jambatan tersebut berasa gementar dan takut. Takut dan gementar ketika itu tidak sama ketika di dunia ini, ia amat berbeza sekali ketakutanya. Ada bermacam-macam golongan manusia ketika melintasi Ash Shirath. Di antaranya adalah :

1) Golongan pertama seperti kilat yang menyambar.

2) Golongan kedua seperti angin yang kuat menghembus.

3) Golongan ketiga seperti burung terbang dengan laju.

4) Golongan keempat seperti sepantas kuda.

5) Golongan kelima seperti kekuatan larian manusia.

6) Golongan keenam seperti binatang ternak.

7) Golongan ketujuh seperti selama sehari semalam.

8) Golongan kelapan seperti berjalan kaki.

9) Golongan kesembilan seperti merangkak.


Dan diriwayatkan juga bahawa ada sebahagian mereka melintasi Ash Shirath menjangkaui selama satu bulan, satu, dua dan tiga tahun, manakala ada juga mencecah ke 25,000 tahun mengikut tahun dunia, ada yang merangkak dan melutut. Ini semua adalah gambaran sebenar ketika di sana kelak. Diriwayatkan juga bahawa ketika manusia melintasi Ash Shirath, ia dikepung oleh api neraka, di bawah kaki mereka, di atas kepalanya, di sebelah kiri dan kanan mukanya dan di belakangnya sekali. Ketika itu juga api neraka menjilat tubuh, kulit dan daging, kecuali orang-orang yang beriman di sisi Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :

“Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.”
(Surah Mariam – Ayat 71-72).


Ash Shirath di hari kiamat itu merupakan titian yang melintang di atas jurang neraka Jahanam. Titian tersebut pasti wajib dilalui oleh manusia yang telah diadili, diteliti dan diperiksa di hadapan Allah s.w.t ketika di padang mahsyar. Semua manusia yang terdakwa sejak dari zaman Nabi Adam a.s hinggalah manusia yang mati paling akhir pada hari kiamat nanti. Semua diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk melintasi titian tersebut (Ash Shirath) yang getir dan menakutkan itu untuk menentukan siapa di antaranya yang selamat datang ke syurga, dan siapa yang menerima nasib terjerumus ke dalam jurang neraka.


Oleh yang demikian, ini adalah paparan gambaran hakikat sebenar yang patut kita yakin dan percaya malah sematkan dalam generasi kita amnya. Kalau dahulunya kita sering mengagungkan artis populariti dan bintang bola sepak yang terkenal, namun kini ubahlah selera kita kepada pekara-pekara yang mendatangkan keredhaan Allah s.w.t. Belilah buku-buku atau multimedia tentang berkaitan dengan Islam, bercirikan Islam, berkonsepkan Islam dari kita membeli pekara-pekara yang tidak ada kaitan langsung dengan Islam. Dalam masa yang sama juga artis dan bintang bola sepak yang kita agungkan itu sebenarnya di kalangan orang –orang yang tidak beragama Islam, malahan menafikan serta khianat kepada Rasulullah s.a.w . Bukankah ini satu kerugian yang besar pada kita dan generasi kita amnya. Lebih malangnya lagi kita menghabiskan wang dan masa kita untuk mengagungkan mereka ini sedangkan setiap detik tidak terlintas dalam diri mereka itu untuk mengetahui akan peminat-peminat mereka, malah bangsa kita pun mereka tidak ketahui. Ini adalah kenyataan, cuba kamu fikirkan jika kamu di datangi sakit, adakah mereka-mereka ini menyumbangkan sesuatu kepada kamu, malah melawat kamu yang sedang terlantar sakit?. Ingatlah, Allah s.w.t yang akan ‘menjaga’ dan ‘merawat’ kita.


Segala keajaiban yang ada pada mereka itu adalah dari Allah s.w.t. tetapi mereka-mereka ini jugalah menafikan syariat Allah s.w.t. Golongan inikah yang patut kita contohi dan dijadikan ‘Role Model’ dalam harian hidup kita?. Rasulullah s.a.w itu adalah sebaik-baik manusia yang patut kita contohi dan jadikan ikutan yang baik dan sempurna. Nabi s.a.w tidak pernah melupai umat-umatnya ketika sepanjang hidupnya, ketika hendak wafat dan ketika di hari kiamat nanti. Lupakah kita akan hakikat ini?. Maka dengan itu ini satu permulaan bagi kita untuk mengetahui akan kebenaran. Kebenaran hakikat Allah s.w.t itu selayak-layaknya disembah. Allah s.w.t sedia menerima taubat kita walaupun kita digelumbangi dengan dosa yang melimpah ruah, kerana rahmat Allah s.w.t itu pasti kepada sekelian makhluknya sama ada ia berakal mahupun yang tidak berakal. Tegakkan dan sinarilah Islam itu walaupun terpaksa kita merangkak, meniarap dan melihat, kerana sesungguhnya solat kita, ibadah kita, hidup kita, mati kita itu adalah kerana Allah s.w.t. Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!, Allahu Akhbar!.



Tuesday 26 January 2010

Zabaniyah.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.



Alhamdulillah. Segala puji-pujian itu hanyalah kepada-Nya, yang memberi rahmat dan hidayah kepada sekelian alam. Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah kecuali-Nya dan Muhammad s.a.w itu Pesuruh dan hamba-Nya. Walaupun sejuta ujian hidup ini ditempuhi dengan pelbagai rentak dan cara, namun tekadku untuk berjuang demi Islam yang Ad-Deen itu tetap terencana. Aku tidak gentar dengan apa jua rancangan kekeliruan, kekecewaan, malah usaha-usaha untuk merencatkan usaha dakwahku ketika kini, namun yangku tahu Allah s.w.t akanku letakkan tertinggi dalam hidupku. Satu coretan peribadi untuk taulan semua agar bangkit!, dan bertempur menghadapi layanan manusia yang bertopengkan syaitan dan munafikun. Jiwaku sebati dengan kekecewaan, namun tidak semudah itu untuk berundur sebelum berjuang demi Agama Allah s.w.t. Jika kini sesuatu itu membuatkan diri tersenyum dan tertawa melihat aku tumbang, namun suatu hari kelakku perlihatkan pula kebangkitanku untuk memperjuangkan Islam di depan mata kalian yang bertopengkan syaitan laknatullah. Semoga Allah s.w.t memberikan hidayah dan petunjuk kepada kalian yang bertopengkan syaitan dan munafikun, serta di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa.


Apa itu Zabaniyah?. Mungkin ada yang mengenali dan mungkin juga ada yang belum mengenalinya, kelak saya akan huraikan dengan lebih lanjut untuk kita semua faham berkenaan dengan apa itu Zabaniyah?. Menurut Al-Quran, bahawa petugas yang akan menyeksa manusia ketika berada di dalam Neraka itu adalah malaikat yang Allah s.w.t tugaskan khas untuk menjalankan perintah-Nya. Ia juga meliputi dengan tugas menyeksa dan menjaga neraka Allah s.w.t tersebut.


Menurut keterangan yang dipercayai dan disepakati oleh semua ahli ulama’ bahawa malaikat yang menyeksa manusia ketika di neraka memiliki tangan-tangan dan kaki-kaki sebanyaknya jumlah ahli neraka. Setiap tangan dan kaki membelenggu dan merantai orang yang dikehendaki. Malaikat yang ditugaskan untuk menyeksa manusia yang derhaka dan kufur ketika di dalam neraka tersebut adalah bernama “ZABANIYAH”. Malaikat zabaniyah adalah malaikat yang akan menyeksa orang-orang yang berdosa ketika berada di dalam Neraka.


Firman Allah s.w.t :

Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!” (Surah Al-A’laq – Ayat 18).


Menurut keterangan dalam riwayat, dan pekara ini telah disepati oleh semua para ulama’ bahawa setiap dari satu malaikat Zabaniyah ini dalam tugasnya mampu mengambil sebanyak 10,000 orang kafir dengan satu tangan, 10,000 lagi dengan tangan yang satunya, 10,000 lagi dengan salah satu dari kedua kakinya, dan 10,000 dengan mengunakan kakinya yang satu lagi. Lantas malaikat Zabaniyah melemparkan 40,000 orang durhaka dan kufur dengan hanya satu lemparan yang kuat sahaja ke dalam api neraka. Untuk pengetahuan kita semua, bahawa Malaikat Malik adalah pemimpin untuk menjaga seluruh organisasi neraka.


Firman Allah s.w.t :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah Al-Tahrim – Ayat 6).


Demikianlah secara ringkasnya mengenai malaikat “Zabaniyah” yang ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk menyeksa orang-orang yang durhaka dan kafir terhadap Allah s.w.t ketika berada di dalam neraka. Di sini juga dapatlah kita ketahui bahawa betapa hebatnya seksaan itu kelak ketika berada di dalam neraka. Ulama’ berpendapat bahawa ketika itu kita telah diadili di padang mahsyar di hadapan Allah s.w.t. Ada yang dibawa terus ke dalam syurga, ada yang dilempar dengan kasar ke dalam neraka dan ada yang diberikan syafaat dari Allah s.w.t. Keadaan itu tidak sama dengan apa yang digambarkan ketika manusia berada di dalam tawanan ketika di dunia. Ia amat berbeza sekali, sehinggakan ketika itu kita hanya memikirkan keadaan diri kita yang akan ditentukan oleh Allah s.w.t. kalau dahulunya kita terlepas dari hukuman ketika di dunia, tetapi ia tetap akan diadili juga ketika di hari akhirat kelak. Ini adalah satu kepastian yang akan berlaku dan benar-benar berlaku apabila telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Para Nabi dan Rasul serta orang-orang yang beriman akan menjadi saksi utama yang menentukan kita disingkirkan ke dalam api neraka ataupun dilayan baik lalu dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t. Semoga kita semua diberikan syafaat dan kemuliaan dari Allah s.w.t ketika berada di sana kelak. Allahu Akhbar!.





Saturday 23 January 2010

Allah Itu Wujud.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Alhamdulillah, syukur kehadrat-Nya kita dipertemukan lagi, mengharungi perjalanan hidup sebagai khalifah di jagadraya ini dengan rahmat dan hidayah dari-Nya. Ada yang bernafas lega mengucapkan syukur kerana menikmati nikmat dari Allah s.w.t. Ada yang berduka ketika ini, melalui situasi dugaan kehidupan yang mencabar. Ada yang menafikan langsung nikmat Tuhan yang melimpah ruah kepadanya sehingga sanggup membiarkan diri dilingkari dengan kekufuran.


Kita bersyukur diberikan ruang kesihatan yang selesa, malahan setiap tuntutan kewajipan itu dapat dilakukan dengan sempurna. Tetapi ada insan-insan yang lain berhempas pulas mengharungi liku-liku kehidupan yang dhaif dan serba kekurangan. Ada yang kaya-raya, memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, kereta mewah, syarikat perniagaan yang mahsyur malah serba serbi kehidupannya dihiasi dengan kemewahan, tetapi ruang kesihatannya tidak memuaskan. Malahan ada juga yang tidak memiliki harta, hidup seringkali dengan kedhaifan dan kesusahan, tetapi sebaliknya ia memiliki kesihatan yang sempurna. Allah s.w.t Maha Adil terhadap hamba-hamba-Nya. Setiap pemberiannya itu adalah yang terbaik untuk setiap hamba-hamba-Nya.


Allah s.w.t Maha Adil terhadap ciptaan-Nya. Maha Adil itu tidak hanya tertumpu kepada manusia sahaja, tetapi seluruh alam ini termasuklah haiwan, tumbuh-tumbuhan, planet dan sebagainya. Begitulah nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada makhluk ciptaan-Nya, sehinggakan setiap sesuatu itu mempunyai tugas dan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t. Ada makhluk-Nya yang mempunyai tugas jangka masa yang pendek, dan ada tugas yang meliputi jangka masa yang panjang. Semua itu telah diatur dan mengikut kehendak dari-Nya. Setiap kejadian itu mempunyai hikmah dan rahmatnya. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan, Allah s.w.t menciptakannya untuk membantu manusia menjalani kehidupan di alam ini. Hakikatnya tugas tumbuh-tumbuhan tersebut merupakan tugas jangka masa yang singkat. Pernahkah kita terfikir, kertas yang sering kita gunakan untuk mencatat, menulis dan membaca itu, adalah sebenarnya berasal dari tumbuh-tumbuhan?.


Tumbuh-tumbuhan tersebut memainkan peranan yang cukup besar, hidup sebagai pembantu manusia di alam ini. Cuba kita bayangkan jika tumbuh-tumbuhan tersebut Allah s.w.t tidak wujudkan di muka bumi ini. Adakah kita pada hari ini boleh menikmati kehidupan harian tanpanya?. Tentu amat sukar bukan. Segala kejadian itu telah diatur oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Tetapi pernahkah kita bersyukur terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada kita. Itu hanyalah sekelumit sahaja nikmat yang kita lihat, sebenarnya nikmat Allah s.w.t itu terlalu banyak untuk dikatakan. Sebagai contoh yang lain, Tumbuh-tumbuhan ini juga mengawal serta menjaga bumi kita dan manusia dengan begitu baik sekali. Pernahkah anda terfikir, tumbuh-tumbuhan ini juga memainkan peranan yang cukup penting untuk neutralkan sistem oksigen ke dalam tubuh kita melalui proses ‘Fotosintesis’. Melalui tumbuh-tumbuhan ini juga memberi perlindungan kepada manusia dari hawa panas terik matahari. Malahan tumbuh-tumbuhan ini juga adakalanya memberi peluang rezeki yang luas kepada manusia. Pernahkah kita bersyukur terhadap pemberian Allah s.w.t ini terhadap kita?. Tumbuh-tumbuhan tersebut hidup untuk tumbesaran dirinya, tetapi ia ada ruang dalam kehidupannya untuk membantu kehidupan manusia. Walaupun ia hanya tumbuhan yang bersaiz kecil seperti taugeh, tetapi pengorbanannya untuk membantu kehidupan manusia terlalu besar untuk kita gambarkan. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur semua ini?


Allah s.w.t yang mengatur segala urusan tersebut mengikut kehendak dan ketentuan dari-Nya. Allah s.w.t memberi penghidupan kepada tumbuh-tumbuhan tersebut untuk terus hidup, malah rahmat dari kehidupan tersebut dikongsi bersama dengan manusia. Besarnya nikmat dan rahmat Allah s.w.t ini terhadap kita, sukar untuk digambarkan dengan pancaindera dan akal kita. Kita selalu mendambakan diri kita kepada Allah s.w.t untuk berdoa memohon sesuatu apa yang kita hajati, tetapi adakalanya doa tersebut kita rasakan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Malahan adakalanya kita berasa terlalu jauh dengan Allah s.w.t. Sehinggakan sanggup kita menjauhkan diri terhadap-Nya. Ingatlah wahai kita semua, sebenarnya Allah s.w.t telah memakbulkan doa kita sebelum kita menadah tangan memohon kepada-Nya. Allah s.w.t Maha Mengetahui setiap apa yang terkandung dalam hati kita. Walaupun sejahil mana kelakuan dan perbuatan kita, Allah s.w.t akan menerima segala taubat dan doa-doa kita. Setiap doa kita itu akan Allah s.w.t makbulkan mengikut ketentuan dari-Nya. Ada yang memperolehi ketika di dunia, dan ada juga yang tidak perolehi ketika di dunia tetapi ketika di akhirat kelak ia akan mendapatnya. Allah s.w.t penuh dengan rahmatnya, tetapi kita sebagai manusia sering terlupa akan rahmat pemberian-Nya.


Cuba kita semua fikirkan, apabila ketika kita melangkah menuju ke tempat solat, maka itu adalah rahmat dari-Nya, sejadah yang terbentang itu juga rahmat-Nya, lampu yang menerangi sinaran tempat kita bersolat itu juga merupakan rahmat-Nya, pakaian dan suasana kenderaan serta sekeliling kita ketika hendak menunaikan solat itu juga adalah merupakan rahmat dari-Nya. Jadi kenapa pekara yang sedemikian kita tidak nampak akan kebesaran-Nya, sedangkan kita seringkali mengeluh kesah menyatakan Allah s.w.t tidak pernah memakbulkan permintaan kita. Itu merupakan rahmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita. Cuba kita perhatikan, lihat saja di Negara-negara yang sedang bergolak dengan peperangan, kemiskinan, kedhaifan dan sebagainya, mereka sukar untuk bersolat dan menjalani ibadah kepada Allah s.w.t, sehinggakan segala keperluan harian mereka tidak dikecapi dengan sempurna. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kita, yang penuh kelengkapan keperluan beribadah dengan sempurna. Tetapi mereka itu tidak pernah jemu, kecewa, sedih dengan apa yang telah menimpa mereka. Sebaliknya ia menganggap bahawa ia adalah ujian terhadap keimanan dan ketaqwaan seseorang muslim. Inilah yang patut kita contohi, tauladan yang tersemat dalam hati-hati mereka untuk mentauhidkan Allah s.w.t walau susah dan dhaif sekalipun.


Rahmat Allah s.w.t itu tidak hanya meliputi terhadap tumbuh-tumbuhan saja, tetapi haiwan juga menikmati rahmat tersebut melalui proses yang telah diatur Allah s.w.t. Walaupun ia merupakan haiwan yang ganas dari sudut pandangan manusia, tetapi ia juga memberi manfaat kepada kehidupan manusia itu sendiri. Haiwan memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan manusia, dari sudut akalnya, haiwan adalah pemangkin kepada pertumbuhan kehidupan manusia yang meliputi punca rezeki utamanya. Tanpa kita sedari, haiwan itu juga memberi manfaat kepada sekelian manusia. Maka tidak hairanlah dekad kini, penternak ayam, itik, kambing, lembu dan segala macam binatang ternakan merupakan orang yang berjaya dalam kehidupan. Cuba kita bayangkan, jika di dunia ini tidak ada seekor pun haiwan?. Tentu ia amat menyulitkan kehidupan kita bukan. Dalam sains juga menyatakan sumber daging adalah sumber tumbesaran yang paling banyak kalorinya dan sesuai dengan pertumbuhan badan manusia. Tanpa daging-daging dari haiwan ternakan ini juga akan menyulitkan lagi atau membantutkan lagi pertumbuhan sistem badan kita. Maka haiwan itu memainkan peranan yang cukup besar dalam kehidupan harian manusia.

Pernahkah kita terfikir, setiap haiwan mempunyai tugas-tugasnya tersendiri untuk terus hidup. Sebagai contoh yang hendak saya bawa di sini, lihat saja ikan di air tawar atau air payau, dengan ikan di air masin (laut), mereka mempunyai tugas yang berbeza-beza, walaupun dalam spesis yang sama iaitu ikan. Ikan air tawar tidak akan menyeberangi ke dalam laut, sebaliknya ia tahu had-had yang telah ditetapkan untuk ia terus berkembang dan hidup. Begitu juga dengan kehidupan ikan di air masin, ia juga tidak akan melintasi untuk memasuki ke daerah air tawar. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur semua ini?. Allah s.w.t yang telah mengaturnya mengikut kehendak dan ketentuan-Nya. Allah s.w.t Maha Bijaksana dalam mengatur setiap kehidupan makhluknya walaupun ia hanya seekor ikan. Tetapi kita yang telah Allah s.w.t mengurniakan akal fikiran, masih tidak dapat membezakan antara halal dan haram, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Sebaliknya kita mencampuri semua pekara-pekara tersebut. Kalaulah ikan yang tidak punyai akal dan fikiran itu tahu akan daerah serta had-had kehidupannya, mustahil bagi manusia yang punyai sifat dan akal tidak dapat membezakan pekara-pekara yang dilarang dengan pekara-pekara yang disuruh-Nya.


Begitu juga halnya kepada haiwan-haiwan yang lain, Allah s.w.t menjadikan haiwan tersebut hidup untuk membantu manusia tanpa ada imbuhan dari mana-mana sekalipun. Cuba kita perhatikan lebah. Lebah merupakan haiwan yang kerdil, tetapi manfaat madunya memberi kesan terhadap kehidupan manusia. Walaupun kerdilnya haiwan ini, jasa dan pengorbanannya terhadap kita terlalu tinggi. Kita hanya mengetahui lebah melalui madunya saja, tetapi kita tidak pernah melihat betapa sukarnya binatang ini untuk menghasilkan madu bagi kehidupan manusia. Pernahkah kita terfikir, Siapa Dia yang mengatur lebah-lebah ini untuk membantu manusia?. Sedangkan kita mengetahui bahawa lebah-lebah ini tidak dikurniakan akal seperti manusia. SubhanaAllah!. Ini semua telah ditentukan Allah s.w.t.


Rahmat Allah s.w.t tidak tertumpu kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan semata-mata, ia meliputi seluruh alam semesta ini termasuklah bintang, bulan, matahari dan planet-planet yang lain. Rahmat-Nya memberi impak yang berkesan terhadap kehidupan alam ini. Sebagai contoh matahari. Matahari seperti yang telah kita ketahui umum, ia mengeluarkan cahayanya yang panas untuk membantu kehidupan manusia. Kepanasan itu juga memberi kesan kepada tumbesaran tumbuh-tumbuhan dan haiwan di muka bumi ini. Allah s.w.t menciptakan matahari untuk membantu pertumbuhan perkembangan manusia amnya. Dengan cahaya dan suhu kepanasan yang tinggi itu membolehkan manusia menjalankan aktiviti harian mereka di bumi ini dengan sempurna. Matahari memberi sinar kepada kegelapan dunia ini, malah ia memberi manfaat kepada manusia dalam punca rezeki. Cuba kita bayangkan kalaulah tiada matahari di planet kita ini, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Tentu agak sukar bukan untuk kita menjalani kehidupan kita. Allah s.w.t telah menjadikan matahari itu dengan begitu sempurna sekali. Kepanasannya itu sebenarnya sesuai dengan rencana kehidupan manusia amnya. Cuba kita fikirkan jika matahari itu terlalu jauh dengan kita, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Semestinya kita diselaputi dengan salji yang menebal dan kegelapan itu adalah rutin seharian kita. Maka cacatlah pertumbuhan kehidupan harian kita. Dan cuba kita renungi pula, jika matahari itu terlalu hampir dengan kita semua?. Tentu keadaan kita semua ketika itu tidak wujud lagi. Kepanasan melampau itu membakar kita semua. Tetapi Allah s.w.t Maha Bijaksana. Dia mengatur semua itu mengikut ketentuan dan kemahuan dari-Nya. Allah s.w.t telah mengatur seluruh planet ini dengan pelbagai kemudahan dan rahmatnya terhadap makhluk-Nya. Pernahkah kita bersyukur terhadap-Nya?. Matahari sejak diciptakan hingga ke hari ini, tidak pernah ingkar terhadap Allah s.w.t. Ia akan mengikut putaran paksinya walaupun sudah berbilion-bilion tahun lama ia diciptakan. Tiada seinci pun paksi matahari tersebut tersasar keluar dari asas koordinatnya. Malahan tiada perbezaan jarak sekalipun ia dengan bumi walaupun seinci sekalipun. Kerana Allah s.w.t telah mengatur yang terbaik untuk kita semua, untuk kita faham bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang terhadap makhluk-Nya.


Begitu juganya dengan bulan. Bulan juga seperti matahari, tetapi bezanya antara panas dengan dingin. Allah s.w.t menciptakan bulan yang bersifat bercahaya. Bila terbenamnya matahari, maka timbulnya bulan untuk menyinari kegelapan malam. Pada amnya kalau kita lihat, Allah s.w.t memberi kita cahaya disetiap kehidupan kita, kalau siangnya kita disinari dengan cahaya matahari, tetapi pada malamnya pula kita juga disinari dengan cahaya iaitu bulan. Ini semua rahmat dari-Nya, mengatur setiap kejadian itu mengikut kehendak-Nya. Pernahkah kita terfikir, jika bulan tersebut tiada dalam peredaran planet kita, apakah akan terjadi terhadap kita semua?. Tentu ia menyukarkan pertumbuhan kehidupan harian kita kelak. Dan jika bulan tersebut terlalu hampir dengan kita, apakah akan berlaku terhadap kita semua?. Tentu kita tidak dapat membezakan warna-warna yang terdapat di bumi ini, malahan cahaya tersebut memberi kesan terhadap kesihatan kita semua. Allah s.w.t Maha Bijaksana, mengatur sesuatu itu punyai tujuan yang bermanfaat kepada kita semua. Pernahkah kita bersyukur terhadap nikmat serta rahmat-Nya terhadap kita?.


Oleh yang demikian, kita sebagai hamba-Nya, perlulah mengucap syukur terhadap Allah s.w.t yang telah memberi rahmat kepada kita semua. Rahmat Allah s.w.t itu terlalu besar untuk kita gambarkan. Lihat saja keadaan jantung kamu, ia adalah rahmat yang amat bernilai dari Allah s.w.t. Bermulanya kita di dalam rahim ibu hingga ke saat ini, ia senantiasa membantu kita untuk mengepam dan membekalkan oksigen untuk diri kita tanpa sesaat pun berhenti. Cuba kita bayangkan, jantung kita mengepam setiap saat dan waktu sejak di alam rahim ibu kita lagi tanpa rasa penat dan letih, tetapi dalam masa yang sama ada manusia yang tidak pernah mengetahuinya malah tidak bersyukur terhadap pemberian Allah s.w.t itu kepada kita. Allah s.w.t memberi rahmat tubuh badan kita ini dengan begitu sempurna sekali. Pernahkah kita bersyukur terhadap-Nya?. Susah sangatkah untuk kita bersyukur terhadap-Nya. Cuba kita lihat, jika seseorang itu mengucapkan pujian dan rasa terima kasihnya terhadap seseorang atau pemimpin, maka ia akan mengarangkan berjela-jela karangan ucapan terima kasihnya terhadap yang hendak diucapkannya itu. Sehinggakan karangan ucapannya itu mengambil masa yang agak panjang dan lama. Lebih panjang dan lama ucapan karangan pujian tersebut, lebih banyak ‘kelentongnya’. Ini semua realiti. Tetapi pernahkah kita terfikir dengan hanya ringkas ucapan yang kita hulurkan kepada Allah s.w.t itu sudah memadai kita sebagai hamba-Nya. Apakah ucapan untuk kita ucapkan kesyukuran kita terhadap-Nya. Apakah dia adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, tuan-tuan, puan-puan, maulana, syeikh. “Alhamdulillah”. Ringkas bukan, tapi penuh makna. Pernahkah ucapan ini terpalit pada lidah-lidah kita. Pernahkah?. Maka dengan itu renungilah diri kita amnya, kita terlalu kerdil jika hendak digambarkan. Allah s.w.t sering dicaci, dikeji, ditomah, difitnah oleh orang-orang kafir, tetapi Allah s.w.t Maha Penyabar dan Maha Penyayang. Kenapa sifat penyabar itu tidak ada dalam diri kita. Kenapa kita terburu-buru untuk memilih jalan yang sesat. Bersabarlah wahai saudara dan saudariku, ini semua adalah ujian dari-Nya untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kita terhadap-Nya. Ingatlah, kesabaran itu adalah tunjang keimanan dan ketaqwaan seseorang mukmin. Kesabaran itu juga membezakan antara akal dan nafsu. Semoga kita semua dirahmati dan dilindungi oleh-Nya. InsyaAllah. Allahu Akhbar!.


Wednesday 20 January 2010

Kenal Allah, Kenal Diri.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu. Amma ba'du. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan selamat sejahtera.


Dekad kini, semakin deras kemodenan adaptasi rekaan manusia merubah segalanya. Dari sekecil-kecil kepada sebesar-besar teknologi. Jika Allah s.w.t membangkitkan nenek moyang kita dari kubur, lantas mereka-mereka ini menyatakan bahawa dunia ini bukan seperti dahulu, dunia sekarang ini adalah jelmaan alam ghaib. Begitulah kiasannya yang harus kita kongsikan bersama akan hakikat modennya dunia ini. Sehinggakan manusia itu hanyut lantar lalai dibuai mimpi indah seakan-akan dunia ini sesuatu yang mengasyikkan.


Kecanggihan teknologi manusia itu juga meliputi segenap bidang. Sebagai contoh yang boleh kita lihat dalam bidang perubatan amnya. Kalau dahulunya manusia tidak mengunakan alatan membius, tetapi kali ini, pesakit hanya boleh bernafas lega apabila mereka boleh melihat ketika pembedahan tersebut dijalankan terhadap mereka. Pengunaan Pinisilin dekad ini merubah segala-galanya menunjukkan betapa majunya bidang perubatan dekad kini.


Tidak terlepas juga dalam bidang Elektrik dan Elektronik. Lihat saja kecanggihan alat telekomunikasi terkini. Begitu hebat, semakin hari semakin hebatnya manusia untuk menghasilkan sesuatu rekaan yang baru untuk kepuasan hati masing-masing. Di aliran kemodenan alatan perang pula, tidak kurang hebatnya. Kalau dahulu kita hanya menguna pengintip untuk melihat musuh dari jauh, tetapi dekad kini, kita ditemukan pula dengan sistem pengintip yang sukar di kesan oleh radar yang hanya boleh dikawal dari jauh malah kepantasannya mencakupi kelajuan cahaya dan bunyi. Begitu juga dalam bidang Robotik, saban hari ada sahaja kedengaran ciptaan yang boleh menyerupai seakan-akan manusia yang berkonsepkan gelombang elektromegnatik dan elektrostatik. Begitulah pesatnya teknologi manusia dekad kini.


Malahan tidak ketinggalan pula dalam bidang agro, saban hari ada sahaja klon-klon terbaru ciptaan manusia untuk memenuhi keperluan hidup kita. Kalau dahulunya susu lembu itu hanya diperah seminggu sekali, tetapi tika ini, ia boleh diperah setiap hari. Malahan itu juga untuk mengantikan susu ternakan ini, manusia menciptakan susu-susu tersebut dari tumbuh-tumbuhan. Sungguh menakjubkan!.


Segala kecanggihan dan kemodenan manusia ini, membuatkan manusia itu semakin lalai, dan angkuh sehinggakan sanggup menafikan-Nya. Ia menunjukkan seolah-olah manusia berasa bangga, seakan-akan manusia telah dapat menundukkan dan menakluki alam ini. Tetapi! Sejauhmana dan sehebatnya sarjana ini dapat menciptakan apa yang mereka kehendaki, namun mereka tidak dapat menandingi ciptaan Allah s.w.t iaitu “NYAWA”.


Dapatkah mereka menjawab apakah itu ‘Nyawa’?.


Dari manakah ‘Nyawa’ itu datang?.


Dan bagaimanakah kesudahan ‘Nyawa’ tersebut?.


Satu persoalan akal. yang wajib kita cari. Lantas mereka-mereka ini menjawab, Nyawa itu adalah benda-benda hidup yang mempunyai ‘Atom’, dan Atom tersebut mencakupi sesuatu yang lain yang dinamakan ‘Sel’. Maka setiap sel-sel tersebut meliputi susunatur kimianya tersendiri seperti ‘Karbon’, ‘Hidrogen’, ‘Oksigen’ dan ‘Nitrogen’. Baiklah, jika itu jawapan mereka-mereka ini, ajukan lagi soalan sedemikian.


Bolehkah kita menghidupkan sel-sel tersebut?.


Lantas terdiam!.


Kaku seketika.


Terkeluar pula perkataan ‘Allah’ dari mulut-mulut mereka meliputi apa yang dia fikirkan itu. Maka hadirlah mereka-mereka ini untuk mengetahui, menyelidik dan mencari ‘Siapa Dia’?. Maka datanglah 124,000 Nabi dan Rasul-Nya, Utusan dari yang memegang dan menciptakan segala rahsia pencarian itu dengan mengajar lidah-lidah mereka ini dengan :


“Akulah Allah! Tiada Tuhan, melainkan Daku”.


Namun. kini tetap juga berubah!, seperti berubahnya dataran dan lautan. Pengkajian Geologi juga mentafsirkan bahawa saban hari, kian berubah struktur permukaan bumi ini yang di selaputi dengan cecair, pepejal, gas, serta molekul-molekul yang lain. Dalam kajian itu juga, didapati bahawa gunung Himalaya dahulu tidak sama dengan yang terkini, lautan artik dan antartika juga tidak menyerupai dari keadaan asalnya. Ini ketentuan dari-Nya, mengatur setiap sesuatu itu mengikut kehendak-Nya. Begitu juga dengan manusia, perubahannya semakin hari semakin ketara, bilamana struktur Rohaniah dan Jasmaniah itu kian ‘mereput’!.


Kesombongan mereka-mereka ini akhirnya ditelan kepayauan kata-katanya sendiri. Apabila dicabar oleh Allah s.w.t di dalam Kalam-Nya :


Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (Surah Al-Hajj – Ayat 73).


Hanya seekor lalat!


Haiwan yang kerdil!


Dapatkah manusia menciptanya?


Namun akhirnya dari perjalanan mengumpul ‘sebab’ dan ‘akibat’, mesti tertumpu kepada persoalan yang tidak dapat dijawab lagi.


Lalu ia berdiri di tepi pantai, dan melihat ombak-ombak megah bergulung-gulung, lantas ia bertanya :


Mengapa ombak itu bergulung-gulung?’


‘Kerana udara!’


‘Mengapa udara bergerak?’


‘Kerana hawa panas!’


‘Dari mana datangnya panas itu?’


‘Dari matahari?’


‘Siapa yang meletakkan panas pada Matahari?’


‘Allahu Akhbar!’




You May Also Like These Article

Related Posts with Thumbnails